Search This Blog

Tuesday, February 10, 2015

Gadis tekad tendang peragut


10 Februari 2015


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun bertindak berani mengejar dan menendang motosikal seorang peragut menyebabkan penjenayah itu berjaya diberkas dalam kejadian di hadapan Petronas Jalan Merdeka, Ampang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, suspek berusia 22 tahun diberkas oleh penduduk sekitar walaupun cuba melarikan diri selepas terjatuh dari motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, sebelum kejadian, suspek yang menunggang motosikal mengekori mangsa yang juga menunggang motosikal secara perlahan dan kemudiannya menarik beg tangan yang diletakkan di celah kaki mangsa.

"Suspek memerhati mangsa sebelum merampas beg tangan namun mangsa bertindak berani mengekori suspek dan kemudiannya menendang motosikal yang dinaiki suspek sehingga terjatuh. Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas motosikal jenis Yamaha Nouvo yang digunakan suspek.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang untuk permohonan tahanan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan polis akan melakukan siasatan sama ada suspek pernah terbabit dengan kes ragut lain," katanya.

Khairudin berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali bagi tuduhan pertama, jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments:

Post a Comment