Kejadian tersebut sempat di­rakamkan oleh orang ramai di stesen kereta api Beijing South, baru-baru ini yang menunjukkan lelaki yang dikenali sebagai Chen Yen dan anak perempuannya sedang menunggu kereta api dalam keadaan tangan mereka bergari untuk menghadiri Festival Musim Panas.
Portal berita Mail Online yang memetik kenyataan Chen berkata, dia berbuat demikian selepas mendapat berita tentang anak perempuan jirannya diculik di luar sekolah dan dia berbuat demikian bagi mengelakkan perkara itu berlaku terhadap anaknya.
Pada hari yang sama, Chen berkata, polis menerusi siaran televisyen turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kegiatan penyeluk saku dan pencuri sepanjang festival itu berlangsung.
“Saya tidak kisah tentang penyeluk saku, tetapi lebih bimbangkan jika kehilangan anak saya.
“Saya tidak mahu perkara yang buruk berlaku kepadanya dan saya mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal,” kata Chen.
Dia turut memberi anaknya memakai jam tangan yang boleh dikesan pada setiap masa serta seutas rantai yang mempunyai nombor telefonnya untuk dihubungi jika berlaku kecemasan.
“Ibu bapa perlu mengambil langkah yang sepatutnya demi keselamatan anak mereka dan jangan membiarkan mereka bermain di jalan raya yang boleh menyebabkan berlaku kejadian culik,” katanya.
Dianggarkan 70,000 kanak-kanak diculik di China setiap tahun, walaupun pihak berkuasa menjalankan kempen memerangi pasaran gelap yang menjual mangsa culik di bawah umur.
Kebanyakan mangsa dipercayai diculik oleh kumpulan penjenayah yang menjual mereka kepada pasangan yang tidak mempunyai anak atas sebab-sebab tertentu.