Search This Blog

Friday, January 23, 2015

Tukang kayu mengaku bersalah beri rasuah kepada pegawai polis

IPOH: Seorang tukang kayu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi kerana cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis November lalu.
Pang Hung Boon, 34, membuat pengakuan itu ketika didakwa melakukan kesalahan itu iaitu cuba memberi suapan RM350 kepada Ketua Polis Balai Kamunting, Inspektor Abdul Rammalee Mat di balai berkenaan pada kira-kira jam 1 pagi, 29 November.
Cubaan itu sebagai dorongan kepada pegawai polis berkenaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh iaitu tidak membawanya untuk ujian saringan air kencing di Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping bagi kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 Pindaan 1998.
PANG Hung Boon (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis November lalu. - Foto Yahya Zainuddin
Dengan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed bagaimanapun menetapkan kes disebut semula pada 30 Januari ini untuk hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.
Pihak pendakwa diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Yang Ah Lay manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment