Search This Blog

Monday, January 12, 2015

TIGA AJAL SUBUH

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

hafizee@hmetro.com.my
Ipoh
Tiga penjenayah warga asing yang dipercayai terbabit dengan 17 kes samun di beberapa daerah di negeri itu ditembak mati polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, di Jalan Lasah, Sungai Siput, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta Perodua Myvi itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rasah, Sungai Siput, dipercayai sedang dalam perjalanan untuk melakukan kegiatan jenayah.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, kumpulan penjenayah itu yang dipercayai aktif sejak Julai tahun lalu dikesan oleh sekumpulan anggota D9 IPK ketika melakukan rondaan di kawasan itu cuba menahan suspek.
Katanya, ketiga-tiga suspek tidak menghiraukan arahan diberikan polis supaya memberhentikan kenderaan, menghimpit kenderaan polis sebelum melarikan diri dengan melepaskan beberapa das tembakan.
“Polis kemudiannya bertindak membalas tembakan sebelum mengejar kenderaan suspek hingga mengakibatkan ia terbabas sebelum penjenayah terbabit sekali lagi berbalas tembakan dengan polis.
“Bagaimanapun, polis berjaya menumpaskan ketiga-tiga suspek berkenaan dengan menembak mati semua mereka yang dipercayai warga asing berusia 30 hingga 40 tahun,” katanya pada dalam sidang media di IPK semalam.
Paramasivam berkata, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah di sekitar Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Taiping menggunakan modus operandi memecah rumah menggunakan peralatan pecah rumah.
Katanya, polis turut merampas beberapa senjata dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah di dalam kenderaan milik kumpulan penjenayah terbabit iaitu sepucuk pistol, dua pemotong besi, satu kuku kambing, dua kapak, tiga topeng muka dan lima pasang sarung tangan.
Menurutnya, melalui semakan ke atas kenderaan digunakan ketiga-tiga suspek, ia didapati kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Bukit Puchong, Selangor, Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Paramasivam berkata, sebelum ini, polis berjaya menahan empat lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 31 tahun di sebuah premis di Khantan Baru, Chemor pada 7 Januari lalu yang turut dipercayai anggota kumpulan berkenaan.
“Keempat-empat suspek ditahan ini dipercayai terbabit dengan kegiatan samun dan pecah rumah bersenjata di Batu Gajah yang dilaporkan pada 5 Januari lalu dan bekerjasama dengan tiga penjenayah yang berjaya ditembak mati.
“Dengan tumpasnya ketiga-tiga suspek terbabit serta penahanan empat suspek ini, polis berjaya menyelesaikan 17 kes jenayah membabitkan samun dan pecah rumah dilakukan anggota kumpulan terbabit,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:41 AM


PARAMASIVAM (dua dari kiri) menunjukkan senjata serta peralatan pecah rumah yang ditemui dalam kereta dinaiki penjenayah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23284#sthash.O1OgR9rL.dpuf

No comments:

Post a Comment