Search This Blog

Sunday, January 25, 2015

Sakit bahu petanda sakit jantung



SAKIT bahu berkemungkinan tanda seseorang itu menghidap penyakit jantung terutama dalam kalangan perokok dan mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. – Gambar hiasan


GEORGE TOWN – Ramai menganggap sakit gastrik dan bahu perkara biasa, namun keadaan itu sebenarnya berkemungkinan boleh menyebabkan seseorang itu berisiko menghidap penyakit jantung.
Perunding Kardiologi Intervensi, Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr. Liew Chee Tat (gambar kecil) berkata, kebanyakan masyarakat hanya mengetahui seseorang itu di­serang penyakit jantung jika individu terbabit berasa sakit di dada.
“Sebenarnya banyak tanda untuk kesan bahawa kemungkinan seseorang berisiko menghidap penyakit jantung.
“Tanda sakit jantung bukan hanya sakit di dada, tetapi bagi sesetengah orang tandanya seperti sakit gastrik iaitu sakit di bahagian ulu hati dan sakit bahu. Sakit gigi juga boleh menjadi tanda seseorang itu menghidap sakit jantung,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran Wad Pemulihan Jantung di Hospital Pantai Pulau Pinang di sini semalam.
Chee Tat berkata, kira-kira 50 peratus individu yang mengesan diri mereka menghidap penyakit jantung melalui tanda-tanda sakit dada, manakala 50 peratus lagi menerusi simptom sakit gastrik, bahu dan gigi.
“Jika wanita muda sakit gastrik, dia mungkin bukan sakit jantung.
“Tetapi jika seseorang penghisap rokok yang ada kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi tiba-tiba sakit gastrik maka segeralah berjumpa doktor kerana kemungkinan dia sakit jantung,” katanya.
Chee Tat turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok, kerap melakukan senaman, mengurangkan pengambilan makanan manis dan berkolestrol tinggi bagi mengelak terdedah dengan penya­kit jantung. – Bernama.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3PmoQTLI2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment