Search This Blog

Monday, January 12, 2015

Penyamun anak-beranak

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz 
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Samun bersama rakan, hasil samun pula diserahkan kepada ibu, kakak dan teman wanita untuk disimpan.
Itulah perbuatan seorang lelaki berusia 26 tahun yang aktif menyamun dengan memecahkan cermin kereta di persimpangan lampu isyarat di sekitar kawasan Kepong, Damansara, Taman Melawati dan Gombak dipercayai sejak tujuh bulan lalu.
Kelicikan suspek utama bersama dua lagi rakannya yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 30 kes jenayah itu berkubur apabila dia dan dua rakan termasuk ibu, kakak dan teman wanitanya dicekup secara berasingan sekitar Batu Caves (Gombak) dan Petaling Jaya berusia antara 18 dan 48 tahun.
Menurut sumber, suspek utama dan semua rangkaiannya itu dicekup bermula 4 Januari hingga 8 Januari lalu.
Menceritakan semula tangkapan berkenaan, sumber berkata, bermula jam 9 malam sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak melakukan serbuan di sebuah bengkel motosikal di Taman Batu Muda, Batu Caves sebelum berjaya menahan suspek utama bersama dua lagi rakannya.
“Dalam serbuan itu pihak berkuasa merampas telefon bimbit, tiga motosikal dan peralatan yang digunakan untuk memecah cermin kereta. Susulan siasatan yang dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek, beberapa siri serbuan seterusnya dilakukan,” katanya.
Menurutnya, jam 7 malam pada 8 Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Gombak menyerbu sebuah rumah di Petaling Jaya sebelum menahan teman wanita suspek utama selain merampas barangan curi yang disimpan seperti telefon bimbit dan beg tangan.
“Pada hari sama jam 11.25 malam, JSJ IPD Gombak melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Batu Caves dan menahan ibu suspek utama. Ibu dan teman wanita suspek utama itu dipercayai bersubahat dengan menyimpan barangan curi milik lelaki terbabit,” katanya.
Sumber itu berkata, jam 12.45 tengah malam hingga 4 pagi kelmarin, pasukan polis sama menyerbu beberapa rumah sekitar Gombak dan Petaling Jaya sebelum menahan tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Pelbagai barangan curi seperti beg tangan, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas dirampas,” katanya serta menambah,, seramai lapan individu termasuk suspek utama kumpulan terbabit ditahan sejak 4 Januari hingga kelmarin dalam beberapa siri serbuan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:18 AM


POLIS merampas barangan dalam serbuan itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23091#sthash.V93OByJh.dpuf

No comments:

Post a Comment