Orang ramai mengutip ikan yang bertaburan selepas lori membawa muatan ikan terbabas sebelum melanggar pokok ru di Lembah Bidong, semalam.
Orang ramai mengutip ikan yang bertaburan selepas lori membawa muatan ikan terbabas sebelum melanggar pokok ru di Lembah Bidong, semalam.
SETIU - Seorang pemandu lori yang membawa muatan ikan maut selepas lori yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok ru di Kilometer 35.9 Jalan Pantai Kuala Terengganu - Kampung Raja dekat Lembah Bidong, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu menyebabkan Mohd Azrul Hisham, 32, maut di tempat kejadian, manakala kelindan, Mohd Azuhar Mohd Rosli, 22, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila lori dipandu mangsa terbabas ke kanan sebelum merempuh pokok ru menyebabkan bahagian kanan lori remuk teruk.

“Mangsa yang tersepit cedera parah di kepala dan badan, maut di tempat kejadian sementara kelindannya hanya cedera ringan,” katanya.

Mohd Azrul dari Projek Kandis, Telong, Bachok Kelantan dikatakan dalam perjalanan menghantar ikan ke Kuala Terengganu sementara kelindannya dari Tawang, Bachok.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat dan Mohd Azuhar mendapat rawatan di hospital sama.

Sementara itu, orang ramai mengambil kesempatan mengutip ikan yang bertaburan di tempat kejadian.