Search This Blog

Wednesday, January 21, 2015

Lelaki didenda RM6,000 akibat tunjuk kemaluan


WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Januari 2015


KUANTAN - Seorang lelaki warga Indonesia berstatus penduduk tetap terpaksa menanggung akibat atas tindakan tidak senonohnya apabila sengaja menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis di sini penghujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hesim Abdullah, 50 beralamat di Puchong, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas kesalahan itu 16 Disember tahun lalu bagaimanapun ketika itu dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dia yang hadir ke mahkamah untuk sebutan kes tersebut semalam akhirnya akur dengan kesalahan yang dilakukan apabila memilih untuk  mengaku bersalah sebelum dihukum denda RM6,000 atau lapan bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Hukuman ke atas tertuduh diputuskan Majistret Noor Aisah Mohamed manakala pendakwaan diwakili Pegawai pendakwa Inspektor Boon Chun Yee.

Berdasarkan fakta kes, mangsa, seorang pelajar berusia 15 tahun ketika kejadian berada di belakang rumah untuk mengambil serai.

Dalam kejadian di belakang sebuah rumah di Lorong IM12/12, Alam Perdana, Bandar Indera Mahkota  di sini kira-kira jam 12.15 tengah hari, 9 Disember 2014 itu, gadis terbabit terpandang tertuduh ketika hendak masuk ke dalam rumah.

Mangsa mendakwa terpandang tertuduh menunjukkan kemaluan ke arahnya bagai tujuan mengaibkan.

Ekoran perbuatan tertuduh itu, gadis terbabit bersama keluarga membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan lelaki tersebut.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya sebelum itu, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan dan memohon agar mahkamah hanya mengenakan hukuman denda.

Menurutnya, dia hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM45 sehari dan hasil gajinya itu digunakan untuk menyara isteri dan enam anak.

Ketika ditanya mahkamah sama ada dia mampu untuk menjelaskan denda, tertuduh diam seketika bagaimanapun selepas itu dia memaklumkan akan meminta saudara menjelaskan denda tersebut.

No comments:

Post a Comment