Search This Blog

Wednesday, January 21, 2015

Laporan awal nahas QZ8501 dikeluarkan 28 Januari ini



GAMBAR bertarikh 12 Januari ini menunjukkan dua penyiasat dari syarikat Airbus memeriksa serpihan ekor pesawat QZ8501 yang ditempatkan di Pelabuhan Kumai berhampiran Pangkalan Bun di Kalimatan Tengah, Indonesia.


JAKARTA – Para ­penyiasat Indonesia sedang memfokuskan faktor kesilapan manusia atau masalah teknikal pada pesawat yang mungkin menjadi punca nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) yang sebelum ini menolak ada unsur pengganas dalam nahas itu membe­ritahu bahawa satu laporan awal tragedi tersebut akan dikeluarkan pada 28 Januari ini.
Seorang pegawai penyiasat di NTSC, Nurcahyo Utomo berkata, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlakunya kerosakan pada pesawat dan faktor manusia.
Sebelum ini para pegawai agensi meteorologi Indonesia memberitahu, kemungkinan cuaca buruk menjadi punca pesawat berkenaan terhempas.
“Kami akan memfokuskan kepada bagaimana sistem pada pesawat dan ­juruterbang bertindak balas terhadap cuaca berbanding cuaca ketika kejadian,” kata Nurcahyo.
Ujarnya, pasukan ­penyiasat juga sedang ­menganalisa maklumat daripada rakaman data penerbangan pesawat yang memantau semua bahagian utama pesawat dan merakamkan ketinggian serta arah ia bergerak.
Seorang lagi penyiasat, Ertata Lananggalih berkata, pihak berkuasa tidak akan mendedahkan sebarang butir lanjut mengenai kan­dungan rakaman data ­penerbangan dan rakaman suara kokpit QZ8501 sebelum laporan awal dikeluarkan.
Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura.
Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.
Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk meng­hampiri badan pesawat berkenaan yang ditemui di dasar Laut Jawa sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.
Pesawat itu terhempas ke dalam Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3PPRAmQ1h 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment