Nahas berlaku berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuang Hwa kira pukul 4.15 petang membabitkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Kancil yang dinaiki empat mangsa serta sebuah Proton Perdana dan Proton Preve.
Pada awalnya, kemalangan itu didakwa berpunca daripada kereta Proton Perdana yang terbabas ke laluan bertentangan ketika melarikan diri daripada dikejar kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum merempuh Perodua Kancil yang dinaiki mangsa.
Bagaimanapun JPJ menafikan perkara itu dan telah membuat satu laporan polis.
Menurut jurucakap polis, kereta Kancil dipandu Ida Dollah, 46, dari arah Melaka dilanggar sebuah Proton Perdana dari arah Muar yang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, kereta mangsa turut dilanggar sebuah Proton Preve yang ketika itu berada di belakangnya.
“Rempuhan itu menyebabkan dua anak Ida iaitu Siti Rohana Abd. Ghafar, 23, dan Siti Rohani, 18, yang berada di tempat duduk penum­pang belakang tercampak keluar daripada kenderaan tersebut.
“Berikutan itu, Ida dan ibunya, Saima Wahab, 77, yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu tersepit. Keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini.
Jurucakap polis memberitahu, pemandu Proton Perdana itu cedera ringan manakala pemandu Proton Preve tidak cedera.
Sementara itu, suami Ida, Abd. Ghafar Said, 49, berkata, isterinya memberitahu hendak ke bandar Melaka bersama dua anak mereka kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
“Selepas keluar dari rumah kami di Kesang Laut, Muar, isteri dan anak-anak saya pergi ambil mentua saya di Sungai Rambai, Jasin.
“Dia mungkin hendak bawa mereka bersiar-siar di bandar Me­laka, jadi saya tidak menghalang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin di sini.
Katanya, kira-kira pukul 4.30 petang, dia diberitahu oleh adiknya mengenai kemalangan yang me­nimpa mereka.
“Pada mulanya saya ingat hanya kemalangan biasa dan tidak sangka semua sekali meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, bakal tunang Siti Rohana, Mohammad Azlan Jamak, 23, memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa kira pukul 12 tengah hari ini.
“Dia beritahu mereka sedang melihat kapal di Melaka,” katanya yang merancang untuk bertunang pada Mac ini.
Dia berkata, selepas itu dia cuba menghubungi semula Siti Rohana tetapi hanya dijawab polis trafik yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Rahmat Sa­yoti ketika dihubungi berkata, laporan kononnya sebuah kenderaan penguat kuasa JPJ mengejar salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas itu sebelum kemalangan tersebut adalah tidak benar.
Menurut beliau, pihaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin malam ini berhubung berita itu yang kini tersebar dalam laman sosial.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemala­ngan tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan.