Hos Chris Pine dan Cheryl Boone mengumumkan filem American Sniper sebagai salah satu calon Oscar untuk Filem Terbaik di Beverly Hills, California pada 15 Januari lalu. - Foto AFP
Hos Chris Pine dan Cheryl Boone mengumumkan filem American Sniper sebagai salah satu calon Oscar untuk Filem Terbaik di Beverly Hills, California pada 15 Januari lalu. - Foto AFP
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Penduduk Muslim di Amerika Syarikat (AS) kini berdepan ancaman kempen anti-Islam yang semakin meningkat susulan daripada penghasilan filem berjudul American Sniper.

Susulan daripada itu, Jawatankuasa Antidiskriminasi Arab-Amerika (ADC) bertindak menghantar surat kepada pengarahnya, Clint Eastwood dan aktor Bradley Cooper sebagai membantah filem tersebut.

"Majoriti ancaman keganasan yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu dipercayai berpunca daripada gambaran imej buruk orang Arab dan Islam dalam filem terbabit," kata jurucakap ADC.

Menurutnya lagi, mereka turut menerima ratusan mesej menerusi media sosial yang membantah filem bercorak perang tersebut.

Filem mengisahkan kisah benar mengenai penembak tepat terhandal AS, Chris Kyle yang dihantar menyertai misi di Iraq itu mula ditayangkan awal bulan lalu dan turut dicalonkan dalam enam kategori Anugerah Akademi.

Kyle dinamakan sebagai penembak tepat paling berbahaya kerana telah membunuh lebih 100 orang sepanjang dia berkhidmat dalam unit elit tentera laut AS, SEAL.

Bekas tentera elit itu bagaimanapun ditembak mati di sebuah pusat menembak di Texas pada 2013. - AFP