Sebahagian 19 mangsa yang terperangkap dalam lif berkenaan menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Sebahagian 19 mangsa yang terperangkap dalam lif berkenaan menunjukkan laporan polis yang dibuat.
IPOH - Mengecewakan! Selepas lebih sejam terperangkap dalam lif sebuah hospital di sini, mangsa akhirnya berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Itu yang berlaku kepada 19 mangsa  1 Januari lalu kira-kira jam 5.20 petang selepas lif yang digunakan tersekat di antara tingkat satu dan dua hospital tersebut.

Salah seorang mangsa, Noraizan Mohd Yacob, 43, berkata, dia tidak menyangka niatnya untuk melawat rakan terbantut selepas terperangkap dalam lif berkenaan.
Menurutnya, dia ada menekan loceng kecemasan tetapi mereka terpaksa menunggu lama untuk dikeluarkan dari lif tersebut.

“Nasib baik salah seorang daripada kami berjaya menghubungi bomba dan menerusi telefon bimbitnya memaklumkan kejadian.

“Saya yang baru sembuh selepas patah kaki akibat kemalangan terpaksa berdiri lebih sejam, malah ada bayi dan kanak-kanak menangis kerana keadaan dalam lif panas dan gelap,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zul Nizam Ismail, 34, yang turut berada di dalam lif itu berkata, ini kali kedua dia terperangkap dalam lif dan dia cuba menenangkan kesemua mangsa supaya tidak terlalu panik.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut ada dua atau tiga kali pintu lif dibuka sedikit dari luar tetapi ia tidak memberi sebarang kesan kepada mereka kerana keadaan dalam lif gelap dan panas.

“Setelah pintu lif dibuka oleh anggota bomba, saya terus mendapatkan pengawal keselamatan yang bertugas untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian tersebut.

“Jawapan yang diterima daripada mereka amat mengecewakan kerana kami dikatakan tidak menekan loceng kecemasan menyebabkan mereka tidak tahu kejadian itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Senam pada hari sama.

Tambahnya, laporan berkenaan dibuat supaya pihak hospital dapat menyelenggara lif mengikut masa dan mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya akan memanjangkan perkara ini kepada pengarah hospital berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kita minta mereka yang mendakwa terperangkap dalam lif itu mengemukakan aduan dan laporan kepada pihak hospital.

“Saya tidak boleh ulas lanjut memandangkan tidak mempunyai maklumat lengkap tentang perkara itu. Apa pun kita akan beri maklum balas selepas siasatan dibuat,” katanya.