Search This Blog

Tuesday, December 23, 2014

Pengkalan Chepa diramal tenggelam

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

maiamalina@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kawasan Pengkalan Chepa di sini, diramal tenggelam menjelang 9 malam ini, sekiranya hujan kekal berterusan dan paras sungai naik mendadak hingga melepasi tebing.
Ketika ini Sungai Kelantan yang juga kawasan paling hilir sudah mencapai paras bahaya dengan bacaan di Tangga Krai 29.20 meter (m) berbanding normal 17.00m, sementara di Tambatan Diraja 5.28m.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Shahimi Sharif berkata, penduduk di kawasan Pengkalan Chepa terutama yang tinggal berdekatan tebing sungai perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Sungai Kelantan yang paling hilir sekali dan aliran air datang dari Gua Musang. Kita jangkakan jika paras di Tangga Krai terus meningkat, sungai-sungai di Pengkalan Chepa akan melimpah dan kawasan itu bakal menerima nasib buruk seperti bandar lama Gua Musang.
"Ramalan kita malam ini sekitar 9 ke 10 malam, namun ia masih lagi bergantung kepada taburan hujan. Buat masa ini, purata taburan hujan memang meningkat berbanding biasa," katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Shahimi berkata, Gua Musang masih terjejas teruk berikutan taburan hujan yang mencecah 280milimeter sejak 12 tengah malam hingga pagi tadi. Ia peningkatan berganda berbanding normal iaitu kurang 50 milimeter.
Sementara bandar Kota Bharu, katanya, masih dalam keadaan selamat.
Portal eBanjir Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencecah 21,377 orang berbanding 17,050 malam tadi.
Ia membabitkan 7,020 keluarga yang ditempatkan di 87 PPS di sembilan jajahan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 1:28 PM


MANGSA banjir terpaksa memanjat tembok rumah akibat limpahan air sungai. FOTO Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18476#sthash.KxSxFOaB.dpuf

Banjir Terengganu semakin buruk

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu semakin buruk apabila bilangan mangsa ditempatkan pusat pemindahan sementara meningkat mendadak kepada 12,350 orang sehingga 11 pagi ini berbanding 5,910 orang malam tadi.
Sehingga jam 11 pagi tadi, semua mangsa banjir adalah daripada 2,952 keluarga yang ditempatkan di 95 pusat pemindahan berbanding 1,575 keluarga di 62 pusat pemindahan sebelum ini.
Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, Kemaman mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 5,592 orang daripada 1,291 keluarga ditempatkan di 36 pusat pemindahan.
Kuala Terengganu pula mencatatkan 2,803 orang daripada 583 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan manakala di Dungun, 2,664 orang daripada 718 keluarga ditempatkan di 21 pusat pemindahan.
Di Hulu Terengganu, seramai 680 orang daripada 206 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan manakala di Besut, seramai 495 orang daripada 119 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.
Di Marang, seramai 94 orang daripada 28 keluarga di dua pusat pemindahan dan Setiu mencatatkan jumlah mangsa terendah iaitu hanya 22 mangsa daripada tujuh keluarga di tempatkan di dua pusat pemindahan.
Beberapa laluan masih ditutup iaitu Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris (FT185), Jalan Kuala Berang/Tanggol/Wakaf Tapai (T107) dan Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong (T139) di Hulu Terengganu serta Jalan Chukai/Air Putih (FT237), Kemaman dan Jalan Buluh Gading/Jeram/Pulau Bahagia,Kuala Terengganu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 11:39 AM


KEADAAN Balai Polis Kuala Jengal Dungun menyebabkan sembilan keluarga anggota polis berpindah sejak malam tadi. FOTO Rosli Ilham
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18460#sthash.CiCWx3qf.dpuf

Nak kurus hilang ‘power’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman

am@hmetro.com.my
Puchong: Idamkan tubuh kurus dalam tempoh singkat namun bala yang menimpa apabila berpuluh lelaki yang mengambil sejenis minuman nutrisi mendakwa 'diserang' mati pucuk mendadak.
Kebanyakan mangsa lelaki yang mengambil sejenis minuman nutrisi tidak menyedari produk diambil itu dicampur kimia fluoxetine yang disahkan boleh menyebabkan mati pucuk pada golongan lelaki.
Malah kimia untuk ubat sakit jiwa itu turut menyebabkan golongan wanita 'dingin seks' selepas disyaratkan diminum bersama kopi atau koko.
Produk serbuk minuman berharga mahal mencecah RM200 setiap satu itu dikesan dipasarkan sindiket beribu pejabat di Bandar Puteri di sini.
Tindakan merbahaya itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas kilang haram sindiket itu diserbu sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangor pagi semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:12 AM


PEGAWAI CPF KKM Selangor memeriksa produk mengandungi serbuk kimia yang menyebabkan mati pucuk.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18358#sthash.8yAgJKrw.dpuf

Maran Dilanda Banjir Terburuk Dalam Tempoh Tujuh Tahun


Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2014 9:34 PM
BANJIR… Bandar Maran dilanda banjir selepas hujan tanpa henti selama tiga hari pada Selasa. Kampung yang berada di kawasan rendah sekitar Kuantan dilanda banjir selepas hujan lebat tanpa henti selama empat hari dan air pasang besar. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat di Pantai Timur sehingga minggu depan. --foto BERNAMA

MARAN: Maran dilanda banjir terburuk dalam tempoh tujuh tahun apabila bandarnya dinaiki air kira-kira 1.2 meter malam semalam menyebabkan segala operasi melibatkan premis perniagaan, bank dan beberapa bangunan agensi kerajaan terjejas hari ini.

Seorang peniaga, Ngo Kee Chiew, 36, berkata kejadian banjir malam semalam merupakan yang terburuk pernah dialaminya selepas 2007 semenjak membuka bengkel membaiki kenderaan di sini pada 2002.

"Hujan turun tidak berhenti sejak petang semalam (22 Dis) menyebabkan air naik dengan cepat.

"Sebaik mendapat maklumat pukul 11 malam, saya bergegas dari rumah untuk selamatkan barang di kedai, namun tidak sempat kerana air sudah naik paras dada dan kebanyakan jalan tidak boleh dilalui.

"Semasa banjir buruk tahun lepas kita masih sempat selamatkan barang, namun tahun ini, saya kerugian kira-kira RM30,000 kerana kebanyakan barang rosak, " katanya kepada Bernama ketika sedang membersihkan kedainya di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati antara agensi yang turut terjejas berikutan kejadian banjir malam semalam termasuk Perpustakaan Awam Maran, Jabatan Veterinar, Bank Simpanan Nasional dan CIMB cawangan Maran.

Mangsa banjir Nur Saida Abd Rafar, 31, berkata air mula naik di kawasan rumahnya di Taman Maran Jaya kira-kira 3 pagi setelah hujan lebat sejak petang semalam.

"Semasa itu saya sedang tidur, namun terjaga sebaik mendengar bunyi bising pukul 1 pagi (23 Dis), menyebabkan saya dan suami hanya sempat mencapai beberapa barangan sahaja untuk disimpan di tempat tinggi.

"Air naik terlalu cepat menyebabkan kami terpaksa meninggalkan rumah dengan segera. Pukul 5 pagi tadi saya pergi jenguk rumah, yang nampak hanya bumbung," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Masjid Syakirin, di sini.

Beliau yang mempunyai tiga anak berumur antara sembilan hingga satu tahun menyifatkan kejadian itu paling buruk dialaminya sejak tinggal di situ 10 tahun yang lepas.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob petang ini turut turun padang melawat mangsa banjir di daerah ini yang mencecah sehingga 1,646 mangsa daripada 457 keluarga sehingga pukul 4 petang tadi.

Beliau bersama rombongan, terdahulu mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran sebelum melawat pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung Luit yang menempatkan 600 mangsa banjir.

Dalam lawatannya itu Adnan menasihati semua mangsa banjir supaya menjaga kebersihan termasuk soal pemakanan dan pakaian terutama mereka yang mempunyai anak kecil.

13 Mangsa Bot Terbalik Dilaporkan Selamat - Polis


Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2014 9:12 PM
Mangsa banjir dari Kampung Jerat China menggunakan bot untuk menyelamatkan diri akibat limpahan air Sungai Galas di sini hari ini. Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat seramai 316 orang berbanding 1,328 pagi tadi kepada 1,644 orang tengah hari ini yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan. --fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Sepuluh mangsa banjir dan tiga anggota tentera yang bot mereka naiki terbalik di bandar lama Gua Musang tengah hari Selasa, berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku akibat arus deras ketika anggota tentera berkenaan sedang mengangkut 10 mangsa banjir yang kesemuanya orang dewasa di kawasan Kesedar Inn ke pusat pemindahan.
"Kejadian berlaku ketika pasukan penyelamat sedang cuba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di Kesedar Inn tengah hari tadi. Kesemua yang terbabit dapat menyelamatkan diri dan berlindung di bangunan Istana Persinggahan Gua Musang berhampiran tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Saiful Bahri berkata arus deras di kawasan tersebut menyebabkan bot yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik.

Beliau berkata 30 anggota termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dihantar ke lokasi kejadian untuk memindahkan mangsa terbabit dari bangunan Istana Persinggahan Gua Musang itu ke pusat pemindahan berdekatan.

Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang, kesemua anggota penyelamat itu terpaksa berpatah balik berikutan arus deras untuk mereka sampai ke bangunan berkenaan.

"Keseluruhan tempat ditenggelami banjir dan menjadi seperti sebuah pulau. Bantuan udara amat diperlukan sekiranya usaha menyelamat menggunakan bot tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata kira-kira 200 hingga 300 lagi penduduk masih terperangkap di beberapa kampung termasuk Kampung Batu Papan di sini, perlu segera dipindahkan. 

‘Tolong bos dera saya’ dera

RUMAH tempat mangsa bekerja.
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

firdaus_ibrahim@hmetro.com.my
Ampang: Kejam dan tidak bertamadun apabila giginya dicabut, dipaksa minum air kencing dan air panas serta kemaluannya disula dengan objek keras dipercayai kayu.

Tidak cukup dengan itu, dia juga dirotan, direnjat elektrik, dipijak di kepala dan badan selain makan najis.

Begitulah nasib dilalui seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun yang diseksa oleh majikan di Pandan Indah, di sini, sejak lapan bulan lalu.

Penderitaan mangsa itu bagaimanapun berakhir apabila diselamatkan jiran susulan penemuan nota yang ditulisnya berbunyi ‘tolong bos dera saya’ di bawah pintu rumah majikannya.

Pada jam 6.20 petang Sabtu lalu, sepasukan polis dari Balai Polis Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa sebelum menahan dua wanita berusia 39 dan 47 tahun.

Jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu Harian Metro bahawa dia dan jiran lain sering terdengar mangsa menjerit dan merayu dikasihani.

“Mulanya kami sangkakan perkara biasa, namun lama-kelamaan jeritan itu makin kerap menyebabkan kami mengesyaki berlaku penderaan.

“Susulan itu, penduduk nekad membantu menyelamatkan mangsa dengan melaporkan kejadian itu kepada polis apalagi selepas menemui nota ditinggalkan mangsa,”katanya.

Dia amat terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan cedera teruk ketika diselamatkan polis.

Menurutnya, mereka menyamakan rumah didiami mangsa ibarat ‘pusat penyeksaan’ berikutan polis merampas sembilan jenis rotan.

Sementara itu, sumber polis berkata, mangsa mula bekerja di rumah majikannya yang juga seorang perunding sebuah kilang di Selangor sejak lapan bulan lalu.

“Mangsa mendakwa mula didera sejak bekerja di rumah itu. Mangsa mendedahkan dia ditumbuk dan ditendang di seluruh badan terutama kepala.

“Mangsa turut dipaksa minum air panas selain makan najis dan (minum) air kencing. Dia turut dirotan dan kemaluannya disula dengan objek keras,” katanya yang mendedahkan mangsa turut direnjat dengan elektrik.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Ampang (HA) dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan mangsa turut patah tulang rahang selain kemaluannya cedera,” katanya.

Sumber polis berkata, sepasukan polis kembali ke lokasi kejadian jam 10 pagi kelmarin bagi mengumpul bukti penderaan sebelum menemui lima kesan darah baru di lantai dapur rumah itu.

Polis turut menemui dan merampas sembilan rotan pelbagai saiz yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

“Selain itu, polis merampas alat penghalau nyamuk elektrik yang dipercayai digunakan untuk merenjat elektrik jari mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati suspek akan memaksa mangsa mengesat darahnya yang jatuh di lantai dapur rumah berkenaan selepas didera majikan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu terbabit dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan 377 C (A) Kanun Keseksaan.

Suspek itu sedang direman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:05 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18364#sthash.7uG4mRBm.dpuf

Mangsa Banjir Di Tenom, Beaufort Dipindahkan


Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2014 2:41 PM
Keadaan banjir yang berlaku di Beaufort.

KOTA KINABALU: Hujan lebat semalaman di Tenom dan Beaufort, Sabah mengakibatkan lebih 100 penduduk terpaksa dipindahkan berikutan banjir.
Walaupun keadaan cuaca bertambah baik dan paras air surut setakat pukul 10 pagi Selasa, namun kebanyakan penduduk masih bimbang hujan lebat bakal berlaku pada sebelah petang.
Paras air di Sungai Padas dan Empangan Pangi di Beaufort naik pada tahap berbahaya dan melimpat pada awal pagi Selasa.
Pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Affendy Ramin berkata, seramai 14 orang dari Kg Tenom Lama dipindahkan dan dihantar ke tempat perlindungan sementara di Dewan Sri Antanom yang terletak berdekatan dengan kampung itu.
"Sejumlah 46 keluarga dengan 128 orang dari beberapa kampung di Beaufort turut dipindahkan dan dihantar ke Dewan Baru Beaufort," katanya.
Kebanyakan jalan di Beaufort masih ditenggelami air tetapi boleh dilalui banyak kenderaan.
"Kami memantau keadaan banjir dan akan mengemaskini keadaan itu dari semasa ke semasa," kata Mohd Affendy.

Koma jatuh kondo


Rembau: Sepasang kekasih paling dikehendaki polis kerana terbabit 12 jenayah ragut dan curi motosikal di negeri ini akhirnya ditangkap di sebuah kondominium mewah di Teluk Kemang, Port Dickson, dekat sini, Rabu lalu.
Dalam serbuan jam 7.20 pagi oleh pasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, pasangan itu cedera ketika cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat lima kondominium itu.
Akibatnya, suspek wanita berusia 17 tahun itu koma selepas cedera di kepala selain patah kedua-dua kaki dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Teman lelakinya yang berusia 22 tahun pula patah kaki kiri dan ditahan di lokap selepas menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, suspek menyewa kondominium itu pada Mei lalu dan sejak itu aktif melakukan samun serta ragut di sekitar Port Dickson, Seremban dan daerah ini.
Menurutnya, ketika serbuan ada lima lagi penyewa lain iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun berada di ruang tamu rumah.
“Kedua-dua suspek yang berada di bilik tidur cuba melarikan diri melalui balkoni sebaik menyedari kehadiran polis namun suspek perempuan terjatuh dari tingkat lima kondominium selepas tangannya terlepas daripada genggaman teman lelaki,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan IPD Rembau, di sini, semalam.
Ibrahim berkata, empat rakan mereka turut ditahan kerana positif heroin manakala wanita berusia 20 tahun dibebaskan.
Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dengan 12 kes samun dan ragut di sekitar Port Dickson, Seremban dan daerah ini dengan laporan polis terakhir dibuat pada Rabu lalu.
Menurutnya, dalam kejadian itu, pasangan penjenayah itu meragut rantai emas milik peniaga kedai runcit bernilai RM2,500 di Taman Pedas Indah, dekat sini.
Beliau berkata, dalam pemeriksaan di kondominium itu, polis merampas dua kad pengenalan, tiga kad ATM, enam telefon bimbit, 12 kad sim dan lima topi keledar.
“Polis juga merampas enam plat motosikal, 16 dompet pelbagai jenama, 12 beg tangan dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC serta kad siswa,” katanya.
Ibrahim berkata, suspek lelaki tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes rogol dan curi motosikal pada tahun lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:52 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18420#sthash.po3l1Q2Z.dpuf

Pegawai imigresen didakwa

TERTUDUH diiringi polis selepas mendengar pertuduhan di Mahkamah Majistret, semalam.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein dan Zainuz Fitri

am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas 12 pertuduhan memiliki dua pasport warga asing dan 10 cop Imigresen Malaysia bagi tujuan pemalsuan, sembilan bulan lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Farez Bujang, 22, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki 10 cop tertera Imigresen Malaysia Bangunan Sultan Iskandar dan Jeti Stulang Laut terdiri lima cop pas lawatan dan lima cop keluar bagi tujuan pemalsuan.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa tanpa kuasa yang sah memiliki dua pasport antarabangsa milik dua orang warga negara Filipina dan Nepal dan dia dituduh mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di stesen minyak BHP, Taman Kemas, Tampoi di sini, pada jam 2.50 pagi, 2 Mac lalu.

Tertuduh yang bertugas sebagai pegawai imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, memohon jumlah jaminan yang rendah dengan alasan hanya memperoleh gaji RM1,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM44,000 bagi semua pertuduhan itu dan menetapkan 14 Januari 2015 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Saniayati Andi Mansur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:02 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18428#sthash.K4gpqn81.dpuf

Amah meraung dihukum gantung


Shah Alam: Seorang pembantu rumah warga Thailand hanya mampu meraung di Mahkamah Tinggi, semalam, selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah cuba menyeludup dadah.
Tertuduh, Miss Duangchit Khonthokhonbari, 33, menangis sebelum rebah sejurus keputusan dibacakan.
Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Collin berkata, pembelaan tertuduh tidak konsisten, bersifat penafian, rekaan semata-mata dan bukanlah pembelaan yang boleh meyakinkan mahkamah.
“Kenyataan tertuduh yang menyatakan dia cuba melarikan diri apabila terlihat barang kes adalah bercanggah dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18426#sthash.HPHaY4Te.dpuf

Pintar bak MacGyver


ORANG ramai menyaksikan kereta yang dipandu mangsa terhumban ke dalam sungai.
Oleh Arifin Salleh

am@hmetro.com.my
Melaka: Pengetip kuku menjadi penyelamat seorang peniaga selepas dia terperangkap dalam kenderaan yang terjunam ke sungai di Jalan Bertam Hulu-Sungai Udang, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, Honda Civic dipandu Ady Zainan Zulkifli, 35, hilang kawalan kerana cuba mengelak seekor haiwan yang menyeberang jalan secara tiba-tiba.

Ady Zainan berkata, dia yang memandu sendirian dari arah Krubong ke tempat berniaga di Tangga Batu, terbabas ke bahu jalan dalam keadaan hujan lebat sebelum keretanya terhumban ke sungai.

“Kereta terbalik dengan keadaan empat tayar ke atas dan hampir ditenggelami air sungai yang deras.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya mencapai pemotong kuku dan memotong tali pinggang keledar sebelum memecahkan cermin tingkap pemandu,” katanya yang ditemui semalam.

Menurutnya, dia mengambil masa beberapa minit untuk memutuskan tali pinggang keledar dan bernasib baik air tidak memasuki ke dalam kereta.

Katanya, selepas memecahkan cermin kereta, air mula masuk dan dia terpaksa meredah arus deras untuk ke tebing sebelum mendapat bantuan daripada seorang pemandu treler.

Ady Zainan berkata, dia cedera ringan di dahi namun bersyukur tidak mengalami sebarang kecelakaan biarpun terpaksa bertarung ajal sebelum dapat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:59 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18424#sthash.ML5TjIkH.dpuf

Putus tangan dan kaki

Kalimuthu maut dilanggar kereta api. FOTO Omar Osman
Oleh Omar Osman
Gambar Omar Osman
Sungai Petani: Seorang lelaki dipercayai sakit mental maut dalam keadaan kedua-dua tangan dan kaki putus dilanggar kereta api barang dalam satu kejadian dekat Bedong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mayat mangsa, M Kalimuthu, 29, ditemui anggota polis yang menerima laporan daripada pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejurus menyedari keretapi berkenaan melanggar seorang lelaki.

Jurucakap polis ketika ditemui berkata mangsa dipercayai merayau-rayau di kawasan landasan seorang diri, sebelum dilanggar kereta api barang itu.

Mayat mangsa termasuk cebisan anggotanya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 4:19 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18496#sthash.lOx2FpMr.dpuf

Lebih 100 rumah dilanda air pasang besar

KAWASAN di Minyak Beku, Batu Pahat dinaiki air.
Oleh Mustapha Ismail

am@hmetro.com.my


Batu Pahat: Fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan rendah berhampiran pantai dan sungai di daerah ini dinaiki air 10 pagi tadi.

Fenomena itu menyebabkan ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.

Antara kawasan dikesan paling teruk terjejas ialah Desa Sri Banang di Jalan Minyak Beku, yang menyebabkan hampir keseluruhan 100 rumah di kawasan penempatan berkenaan dinaiki air sehingga 0.3 meter.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Halim Hasbullah berkata, tiada penduduk dipindahkan ke penempatan sementara kerana kebiasaanya air surut dalam tempoh beberapa jam kemudian.

Namun katanya, pihaknya bersedia memindahkan penduduk jika keadaan diburukkan lagi dengan hujan lebat yang menyebabkan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:59 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18498#sthash.7seMxfJ8.dpuf

117 PATI ditahan imigresen

ANTARA warga asing yang ditahan.
Oleh Nur Saliawati Salberi

hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Seratus tujuh belas warga asing ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan yang dilakukan sekitar Telok Panglima Garang dan Klang semalam.

Dalam serbuan kira-kira 9.30 pagi itu, semua warga asing berkenaan ditahan kerana melanggar Akta Imigresen.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor Shaline Heng Ay Ngok berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira tujuh jam yang berakhir 4.30 petang itu, menyasarkan sembilan lokasi yang menjadi tumpuan warga asing.

"Antara lokasi serbuan adalah kilang, restoran, kedai runcit dan perkampungan yang dihuni warga asing yang mana seramai 117 warga asing termasuk 22 wanita dan seorang kanak-kanak ditahan.

"Mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke lokap sementara Jabatan Imigresen Selangor sebelum dihantar ke depoh tahanan untuk disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 6(3) Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(c)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 3:41 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18493#sthash.LYYF3IAi.dpuf

BANJIR: Empat kampung diminta pindah

AIR sungai yang naik mendadak sejak empat hari lalu. FOTO Betty Subaryati
Kota Bharu: Penduduk di empat kampung sekitar tebing Sungai Pengkalan Chepa diminta berpindah segera sebelum 10 malam ini.

Empat kampung berkenaan, Kampung Penambang, Kampung Tikat, Kampung Bangol dan Kampung Kedai Buluh.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Shahimi Sharif berkata, mereka perlu berpindah kerana dijangka berlaku limpahan air sungai di kawasan itu.

"Ketika ini paras Sungai Kelantan di Tambatan Diraja sudah mencecah 5.36 meter (m). Kita jangka menjelang 10 malam air akan naik ke paras 6.00m.

"Jika keadaan itu berlaku bermakna akan berlaku limpahan kuat di Sungai Pengkalan Chepa, justeru penduduk sekitarnya perlu berpindah," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, sekiranya mereka sudah berpindah, penduduk tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman dalam masa terdekat sehingga keadaan dipastikan baik.

Dalam pada itu, mengulas kemungkinan Pengkalan Chepa di sini, lumpuh akibat banjir, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, kebanyakan kawasan di bandar ini terutama yang dekat dengan tebing sungai adalah berisiko sekiranya paras Sungai Kelantan di Tambatan Diraja mencecah 6.50m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 6:20 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18503#sthash.AsmZF59C.dpuf

Wartawan mangsa letupan maut


Kabul: Seorang wartawan Afghanistan yang parah akibat serangan berani mati di Pusat Kebudayaan Perancis meninggal dunia akibat kecederaannya, kelmarin.
Zubair Hatami yang bertugas untuk stesen televisyen Mitra TV meninggal dunia selepas koma 10 hari.
Seorang lelaki warga Jerman terbunuh manakala 20 lain cedera dalam letupan pada 11 Disember lalu ketika mereka menghadiri persembahan di auditorium French Institute of Afghanistan di Kabul.
Persembahan itu bertajuk Heartbeat, The Silence After The Explosion menyelar serangan berani mati yang kerap berlaku di Afghanistan.
Ketua Mitra TV, Adul Jabar Aryayee berkata, Zubair menghembuskan nafas yang terakhirnya kira-kira tengah malam.
Lebih 100 rakan sekerja dan anggota keluarganya menghadiri majlis pengebumiannya, kelmarin.
Presiden Ashraf Ghani turut mengucapkan takziah atas kejadian itu dalam satu kenyataan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18313#sthash.LLQn35oJ.dpuf

Banduan panik ‘terbunuh’ polis


Miami: Seorang banduan yang melarikan diri daripada pihak berkuasa, menembak dan merempuh seorang anggota polis menyebabkan mangsa terbunuh.
Marco Antonio Parilla Jr, 23, kemudian melanggar tiang dan satu kenderaan lain selepas merempuh melanggar Charles Kondek, semalam. Dia ditahan atas tuduhan bunuh tahap pertama.
Kejadian itu tiada sebarang kaitan dengan pembunuhan dua anggota polis di New York, kelmarin.
Menurut pihak berkuasa, Kondek menyiasat aduan kekacauan di sebuah bangunan apartmen pada jam 2 pagi.
Dia terserempak Parilla yang kebetulan sedang mencari jirannya yang disyakinya membuat aduan kepada polis.
Sebaik nampak Kondek, Parilla terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis itu. Satu mengenai baju kalis peluru mangsa. Dia kemudian merempuh Kondek menggunakan kereta Hyundai Elantra.
Parilla menjalani hukuman penjara lebih dua tahun atas beberapa kesalahan, termasuk dadah. Dia dibebaskan Mac lalu.
Parilla mengakui panik apabila melihat Kondek kerana tidak mahu dihantar semula ke penjara. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18304#sthash.9hkfQWEf.dpuf

Banduan panik ‘terbunuh’ polis


Miami: Seorang banduan yang melarikan diri daripada pihak berkuasa, menembak dan merempuh seorang anggota polis menyebabkan mangsa terbunuh.
Marco Antonio Parilla Jr, 23, kemudian melanggar tiang dan satu kenderaan lain selepas merempuh melanggar Charles Kondek, semalam. Dia ditahan atas tuduhan bunuh tahap pertama.
Kejadian itu tiada sebarang kaitan dengan pembunuhan dua anggota polis di New York, kelmarin.
Menurut pihak berkuasa, Kondek menyiasat aduan kekacauan di sebuah bangunan apartmen pada jam 2 pagi.
Dia terserempak Parilla yang kebetulan sedang mencari jirannya yang disyakinya membuat aduan kepada polis.
Sebaik nampak Kondek, Parilla terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis itu. Satu mengenai baju kalis peluru mangsa. Dia kemudian merempuh Kondek menggunakan kereta Hyundai Elantra.
Parilla menjalani hukuman penjara lebih dua tahun atas beberapa kesalahan, termasuk dadah. Dia dibebaskan Mac lalu.
Parilla mengakui panik apabila melihat Kondek kerana tidak mahu dihantar semula ke penjara. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18304#sthash.9hkfQWEf.dpuf

Ketua CBI Thailand dituduh rasuah pula


Bangkok: Bekas Ketua Biro Siasatan Pusat (CBI) Thailand, Pongpat Chayapan, kini berdepan tuduhan baru menerima skandal rasuah daripada sindiket mengatur perlawanan bola sepak.

Turut menghadapi tuduhan itu, bekas timbalannya, Kowit Wongrungroj.

Sebelum ini Pongpat dan Kowit sudah dikenakan pelbagai tuduhan jenayah termasuk menghina monarki.

Sementara menanti nasib mereka ditentukan hakim, Pongpat dan Kowit merengkok di penjara dan pihak berkuasa pula terus menyelongkar tuduhan salah laku yang dikenakan.

Ketua Polis Metropolitan, Sriwara Rangsiphramnakul berkata, Pongkat membongkar sindiket perjudian dalam talian di kenali sebagai “rangkaian Abubakar bin Sulaiman.”

Kata Sriwara, sindiket perjudian itu aktif antara 2009 hingga 2010.

Ketika siasatan dijalankan, katanya, Pongkat menyerbu 58 rumah dan premis perniagaan di 16 wilayah, 800 akaun bank serta aset lain bernilai THB bilion (RM105. 7 juta)

“Ketika siasatan dijalankan, Pongpat dan pegawainya meminta sindiket perjudian itu memberi habuan tertentu jika mahu aset yang dirampas polis dikembalikan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:04 AM

Amah tampal nota minta diselamatkan


AMPANG JAYA – Tidak tahan dipukul dan disepak hampir setiap hari oleh majikannya, seorang pembantu rumah warga Indonesia menampal sekeping nota di pintu hadapan rumah supaya diselamatkan di Flat Pandan Jaya, Persiaran Pandan Jaya 7 di sini, Sabtu lalu.
Tindakan wanita berusia 32 tahun itu mendapat perhatian salah seorang jirannya sebelum menghubungi polis pada pukul 6.30 petang.
Menurut sumber, sepasukan anggota polis kemudian dikejarkan ke pangsapuri berkenaan dan menemui pembantu rumah itu dalam keadaan lebam pada muka, berparut dan luka pada beberapa bahagian anggota badan selain beberapa batang giginya patah.
“Mangsa menampal sekeping nota di pintu rumah berkenaan tertera ayat ‘Tolong bos dera saya’ dan nota ini disedari oleh salah seorang jiran yang kemudian menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3MiLR7o1M 
Hakcipta terpelihara 

Hujan lebat, ‘palung’ tidak bergerak



Keadaan banjir di bandar lama Gua Musang semalam.


KOTA BHARU – Pantai Timur terutamanya Kelantan boleh berdepan banjir yang lebih besar apabila kawasan penumpuan angin atau ‘palung’ yang sepatutnya sudah berada di Selatan Semenanjung penghujung Disember.
Ia menyebabkan wap air terus berkumpul di situ dan hujan lebih banyak bertumpu di kawasan yang sama sedangkan ia sepatutnya bergerak ke arah Johor.
Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan banjir boleh diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar di perairan Pantai Timur yang menyebabkan air sungai serta air banjir sukar untuk mengalir keluar ke pantai.
“Mengapa palung itu tidak bergerak, itu perlukan lebih kajian tetapi kebiasaannya ia bersangkutan dengan tekanan tinggi rendah secara global.
“Mengenai air pasang besar, ia disumbang oleh faktor graviti bulan, oleh itu kita jangka hujan lebat akan berterusan di kawasan Pantai Timur sehingga 24 Disember (esok),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3MiLIfK8e 
Hakcipta terpelihara 

Kelantan masih digenangi banjir



Anggota bomba membantu memindahkan penduduk Kampung Pandan, Kuantan semalam.


KOTA BHARU – Biarpun bilangan mang­sa banjir di Kelantan sedikit menurun semalam, namun keadaan banjir di negeri itu belum pulih apabila berlaku pertambahan daerah yang dilanda banjir.
Hujan lebat yang berterusan di Gua Musang sejak kelmarin menyebabkan lebih 10 buah kampung termasuk bandar lama Gua Musang ditenggelami air sehingga paras paha semalam.
Enam pusat pemindahan dibuka melibatkan jumlah mangsa 179 orang di Chiku, Galas dan Bertam.
Beberapa jalan menuju ke bandar daerah ini juga ditutup kepada kenderaan ringan.
Bagaimanapun, secara keseluruhannya keadaan banjir di Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa banjir menurun kepada 16,411 orang semalam berbanding 18,570 kelmarin.
Menurut portal rasmi banjir kerajaan negeri, sebanyak 58 pusat pemindahan dibuka di sembilan buah daerah.
Daerah Pasir Mas masih merupakan daerah yang paling terjejas apabila 10,575 mangsa ditempatkan di 32 pusat pemindahan.
Sehingga pukul 8 malam semalam, lima sungai utama di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang pada paras 10.42 meter (m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah (16.13m) dan Tangga Krai di Kuala Krai (26.92).


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3MiL8fzpS 
Hakcipta terpelihara 

Padah ingin berhibur percuma



SUSPEK yang menyamar sebagai polis dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh, Melaka untuk mendapat perintah tahanan reman semalam.


MELAKA – Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis untuk masuk percuma berhibur akhirnya memakan diri apabila dia dicekup polis di sebuah pusat karaoke di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, suspek yang berusia 30 tahun ditangkap selepas pemilik pusat karaoke itu menghubungi pihak polis untuk kepastian selepas pemilik itu meragui suspek.
Sumber memberitahu, sebelum dicekup, suspek dikatakan datang ke pusat karaoke tersebut bersama tiga lagi individu lain.
“Apabila sampai di pintu masuk pusat karaoke, suspek memberitahu, dia merupakan pegawai polis dan ingin masuk percuma.
“Pemilik pusat karaoke yang ragu-ragu dengan suspek kemudian telah menghubungi polis untuk datang ke pusat hiburan tersebut untuk kepastian status suspek yang mendakwa dirinya polis,” kata sumber polis itu ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3MiL14hzP 
Hakcipta terpelihara 

Budak maut jatuh tingkat sembilan



SEORANG penduduk menunjukkan lokasi Mohd. Iman terjatuh dari tingkat sembilan Flat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan Flat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd. Iman Danish Razmi mati di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah pada kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa merupakan anak tunggal dan tinggal bersama dengan ibu serta neneknya sejak dilahirkan.
Menurut nenek mangsa, Siti Mariam Junit, 61, sebelum kejadian, Mohd. Iman dikatakan sedang menonton televisyen di rumahnya di tingkat tujuh.
Katanya, Mohd. Iman kemudian meminta izin untuk keluar bermain bersama kawan-kawannya dan dia sempat berpesan kepada mangsa supaya berhati-hati.
“Tidak lama kemudian, ada jiran datang memberitahu cucu saya jatuh. Saya terkejut dan terus bergegas ke tingkat satu tempat dia jatuh.
“Bagaikan hendak luruh jantung apabila melihat cucu terbujur kaku dalam keadaan berlumuran darah,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3MiKiaiQj 
Hakcipta terpelihara 

Wanita berang larikan keretanya yang dikunci tayar



SEORANG lelaki membawa pengapit tayar untuk mengunci tayar kenderaan Washington. - YouTube


HOUSTON, Amerika Syarikat – Seorang wanita yang berang selepas tayar keretanya dikunci oleh pihak berkuasa bertindak nekad memandu kenderaannya walaupun alat berkenaan masih dipasang.
Kejadian berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 milik Chicquita Washington telah dikunci pada bahagian kiri tayar belakang kerana diletakkan di kawasan yang dilarang.
Washington yang baru keluar daripada menghadiri satu sesi uji bakat sebelum itu cuba merayu supaya seorang pegawai yang sedang mengunci tayar SUV miliknya tidak meneruskan tindakan berkenaan.
Apabila rayuannya tidak dipedulikan, dia kemudian masuk ke dalam SUV berkenaan dan terus memandu walaupun beberapa pengguna jalan raya menasihati dia berhenti.
Bagaimanapun, selepas beberapa meter kunci tayar itu tiba-tiba patah menyebabkan sekumpulan penduduk yang melihat aksi itu bersorak dan bertepuk tangan.
Seorang penduduk yang merakamkan aksi Washington itu telah memuat naik video berkenaan di internet dan kini menjadi sensasi di laman sosial. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3MiK4ctz2 
Hakcipta terpelihara