Search This Blog

Sunday, December 21, 2014

Lelaki hilang selepas bot terbalik dipukul ombak

KUANTAN: Seorang lelaki hilang manakala rakannya terselamat selepas bot yang mereka naiki dipukul ombak sebelum terbalik di Pantai Baru, Gebeng dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata Tan Kok Meng, 37, dari Batu 3 dekat sini dan rakannya, Chea Yong San, 33, dari Taman Kurnia Jaya dekat sini, keluar memancing di kawasan berkenaan pada 8 pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 12 tengah hari semasa kedua-dua mangsa berada di dalam bot fiber berkenaan, sebelum tiba-tiba bot itu dipukul ombak dan terbalik.
"Chea berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai, namun mangsa (Tan) tidak ditemui," katanya hari ini.
Beliau berkata, Chea juga meminta bantuan rakannya yang lain sebelum membuat laporan di Balai Polis Gebeng.
Polis segera ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada 1.35 tengah hari, sebelum meminta bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin serta bomba untuk mencari mangsa, katanya. - BERNAMA

Banjir telan kedai makan sekelip mata



BEBERAPA penduduk yang terjejas banjir mengharungi banjir untuk ke lokasi selamat yang ditetapkan di Pekan Rantau Panjang dekat di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PASIR MAS: Bencana banjir yang melimpahi pekan Rantau Panjang Khamis lalu menyebabkan seorang pemilik kedai makan hanya mampu melihat segala kelengkapan kedai miliknya dibawa arus dalam sekelip mata.
Faezah Kamarudin, 44, berkata semasa kejadian kedainya masih dibuka kira-kira 1 pagi dan beberapa pelanggan yang masih ada sebelum tiba-tiba limpahan air dari Sungai Golok melanda kawasan sekitar.
"Ketika itu saya hanya mampu melihat segala kelengkapan perniagaan saya dihanyutkan arus deras banjir. Ia berlaku begitu pantas tanpa sempat saya menyelamatkan barang-barang perniagaan.
"Kebetulan di belakang kedai saya ada paya. Jadi semua barang dibawa arus banjir, sampai kaunter saya pun dihanyutkan sekali ke paya itu," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelanggan yang ada dalam kedai sempat menyelamatkan diri apabila air mula memasuki kedai.
"Air masuk kedai dengan pantas dan kedai saya tenggelam terus, memang ini kali pertama berlaku sejak saya berniaga.
"Saya dan tiga pekerja diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang lalu di kawasan itu. Nyawa lebih penting dari harta benda," katanya.
Faezah berkata, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas peralatan seperti televisyen, kerusi, meja dan lain-lain dihanyutkan air banjir.
"Saya hanya mampu berserah dan perlu mengeluarkan modal lain untuk memulakan semula perniagaan.
"Banjir kali ini adalah paling buruk, selalunya setiap kali banjir, air tidak masuk ke dalam kedai," katanya.
Nasib serupa turut dialami seorang lagi peniaga, Hasnah Yusof, 58, yang menganggarkan kerugian lebih RM20,000 selain kedai yang mengalami kerosakan teruk.
"Tidak ada apa yang mampu saya selamatkan, (tetapi) saya reda dengan apa yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Warga Britain maut nahas di Terowong SMART

AHAD, 21 DISEMBER 2014 @ 8:21 PM

 
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Britain maut dan seorang guru wanita cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superitendan S Markandan berkata dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi itu, mereka dipercayai dalam perjalanan menghala ke ibu negara.

"Kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar dinding terowong itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, warga Britain itu, Thomas George, 22, cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala guru wanita berumur 25 tahun itu, yang memandu kereta berkenaan, cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.


Markandan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, dua lelaki maut dalam nahas membabitkan sebuah lori tiga tan dan kereta di Kilometer 47 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, Hulu Selangor pada kira-kira 2.20 pagi tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor berkata, pemandu lori itu dikatakan keluar dari simpang secara mengejut dan mengakibatkan pemandu kereta Proton Wira Aeroback gagal mengawal kenderaannya. "Pemandu kereta itu, yang turut dinaiki lima penumpang lelaki, gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan terbabas dan terbalik di bahu jalan. "Pemandu dan seorang penumpang kereta itu yang masing-masing berumur 20 dan 15 tahun maut di tempat kejadian manakala empat penumpang lain cedera dan kini dirawat di Hospital Selayang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkepli Bedin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

- BERNAMA

Operasi SAR mangsa tanah runtuh di Pulau Jawa ditamatkan

"Usaha untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah tanah runtuh berakhir pada hari ini.
"Pasukan mencari menemui mayat seorang ibu dan anaknya hari ini. Seramai 95 orang terbunuh manakala 13 yang lain hilang," kata jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.
Beratus-ratus anggota penyelamat menggunakan penyodok untuk mencari mangsa di bawah runtuhan tanah sejak kejadian tanah runtuh melanda di kawasan lereng bukit yang memusnahkan berpuluh kediaman di Kampung Jemblung, Jawa Tengah pada 12 Disember lalu.
Nugroho berkata, keluarga mangsa bersetuju untuk menghentikan operasi mencari kerana khuatir dengan cuaca buruk dan ancaman tanah runtuh. - AFP
PASUKAN mencari dan menyelamat menamatkan operasi mencari mangsa tanah runtuh di Pulau Jawa dengan memberikan angka korban rasmi seramai 95 orang sehingga hari ini. - Foto EPA

Jordan gantung 11 lelaki selepas penangguhan sementara hukuman mati

AMMAN: Kerajaan Jordan menggantung sampai mati 11 lelaki atas kesalahan membunuh sekali gus menamatkan penangguhan hukuman gantung selama lapan tahun, kata Kementerian Dalam Negeri.
"Seramai 11 pesalah didapati bersalah atas pelbagai kes bunuh dihukum gantung sampai mati pada waktu Subuh," kata agensi berita Petra memetik jurucakap kementerian berkenaan.
Pihak berkuasa berkata, kesemua itu adalah warga Jordan yang didapati bersalah atas tuduhan pada 2005 dan 2006.
Kali terakhir kerajaan negara itu melaksanakan hukuman gantung sampai mati ialah pada Jun 2006 dan 122 orang sudah dijatuhi hukuman mati.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Hussein Majali mencadangkan hukuman gantung mungkin ditamatkan dan berkata, wujud "perdebatan besar" di Jordan berkaitan hukuman mati dan "orang awam percaya peningkatan kes jenayah adalah disebabkan oleh penangguhan" hukuman mati.
Sejumlah negara di Asia Barat terus melaksanakan hukuman bagi jenayah berat termasuk jiran Jordan, Arab Saudi yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 83 orang sepanjang tahun ini.
Pemantau hak asasi manusia, Amnesty International dalam laporannya Mac lalu berkata, China muncul negara paling ramai melaksanakan hukuman mati tahun lalu membabitkan beribu-ribu orang, diikuti Iran, Iraq, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. - AFP

Operasi SAR mangsa tanah runtuh di Pulau Jawa ditamatkan

"Usaha untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah tanah runtuh berakhir pada hari ini.
"Pasukan mencari menemui mayat seorang ibu dan anaknya hari ini. Seramai 95 orang terbunuh manakala 13 yang lain hilang," kata jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.
Beratus-ratus anggota penyelamat menggunakan penyodok untuk mencari mangsa di bawah runtuhan tanah sejak kejadian tanah runtuh melanda di kawasan lereng bukit yang memusnahkan berpuluh kediaman di Kampung Jemblung, Jawa Tengah pada 12 Disember lalu.
Nugroho berkata, keluarga mangsa bersetuju untuk menghentikan operasi mencari kerana khuatir dengan cuaca buruk dan ancaman tanah runtuh. - AFP
PASUKAN mencari dan menyelamat menamatkan operasi mencari mangsa tanah runtuh di Pulau Jawa dengan memberikan angka korban rasmi seramai 95 orang sehingga hari ini. - Foto EPA

Pemandu maut kereta terbalik langgar bendul


Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin sedang berusaha mengeluarkan mayat selepas kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbalik.
Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin sedang berusaha mengeluarkan mayat selepas kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbalik.
ROMPIN – Sebuah kereta Proton Wira dari arah Nenasi, Pekan menuju ke Kuala Rompin, di sini, telah terbalik Kilometer 114 Jalan Kuantan–Johor Bahru sekitar jam 11,55 pagi tadi selepas hilang kawalan hingga menyebabkan pemandunya maut di tempat kejadian.

Pemandu kereta berkenaan yang maut dikenali sebagai Mohd Kamal Abd Wahab, 28, berasal dari Kampung Nenasi Pantai, Pekan serta bekerja sebagai Pembantu Am di AgroBest (M) Sdn Bhd.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa bersendirian dipercayai gagal dikawal ketika melalui lokasi kejadian.

“Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh selepas simpang ke Summerset lalu terlanggar bendul di bahu jalan sebelum terbalik dan terbabas di bahu jalan sebelah kanan arah ke Kuantan.

“Pemandu kereta yang cedera parah maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa banjir Pahang meningkat 1,566 orang


Penduduk Kampung Air Hitam, Wan Ramlah Aki,53, bersama anak-anak dibawa penduduk kampung menaiki sampan untuk ke pusat pemindahan selepas kampung mereka dilanda banjir ketika tinjauan fotoBERNAMA di Kuantan, hari ini. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Air Hitam, Wan Ramlah Aki,53, bersama anak-anak dibawa penduduk kampung menaiki sampan untuk ke pusat pemindahan selepas kampung mereka dilanda banjir ketika tinjauan fotoBERNAMA di Kuantan, hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di Daerah Kuantan meningkat kepada 1,566 orang daripada 389 keluarga sehingga 6 petang ini berbanding 1,556 orang daripada 389 keluarga pada tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan merekod jumlah mangsa paling banyak  iaitu 893 orang daripada 235 keluarga dari Kampung Pandan 2, Chendering dan Lubuk Puyu.

Lima lagi pusat pemindahan ialah Sekolah Kebangsaan Fakeh Samad yang menampung 320 mangsa daripada 62 keluarga dari Taman Tas Jaya, Sekolah  Menengah Kebangsaan Gudang Rasau (209 mangsa daripada 47 keluarga) dari Kampung  Gudang Rasau.

Dewan Orang Ramai Seri Damai (91 mangsa daripada 31 keluarga) dari Kampung Seri Damai, Pusat Bina Insan Jaya Gading (48 mangsa daripada 12 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (lima mangsa daripada dua keluarga) dari Kampung Semangat.

Beliau memberitahu Bernama semula laluan utama boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Sementara itu Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang mengesahkan tiada pemindahan mangsa di daerah lain. - Bernama

Pensyarah maut nahas jalan raya


Keadaan kereta dipandu mangsa selepas terbabit kemalangan yang meragut nyawanya petang kelmarin.
Keadaan kereta dipandu mangsa selepas terbabit kemalangan yang meragut nyawanya petang kelmarin.
KUANTAN- Seorang pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang, maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 40 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Batu 8, Lepar, dekat sini , kelmarin.
Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamed Fauaad Hassan, 41, dari Batu 8, Lepar, Gambang, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Manakala pemandu lori yang dikenali sebagai Din berusia dalam lingkungan 30-an  cedera di kaki sebelum dihantar menerima rawatan  di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri,  Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika Mohd Fauaad yang memandu kereta jenis Produa Kancil dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.
Menurutnya,  sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Segamat menuju ke Kuantan.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa remuk manakala dia  tersepit di tempat duduk pemandu.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi pihak berkuasa,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, mangsa  disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan yang tiba kira-kira 20 minit kemudian sebelum mayatnya  dihantar ke HTAA untuk dibedah siasat.
“Polis  masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian termasuk mengambil keterangan daripada saksi dan pemandu lori untuk tindakan lanjut,” katanya.

Gembala lembu hilang


Sulaiman (empat, kanan) melihat peta lokasi pencarian seluas tiga kilometer persegi yang disediakan pasukan penyelamat. Gambar kecil: Fairuz
Sulaiman (empat, kanan) melihat peta lokasi pencarian seluas tiga kilometer persegi yang disediakan pasukan penyelamat. Gambar kecil: Fairuz
BESTARI JAYA – Misteri kehilangan seorang penjaga lembu yang dikatakan keluar mencari haiwan ternakan yang dibiarkan lepas di kawasan bukit di Batu 31, Kampung Kambing Susu, di sini masih belum terjawab.

Mangsa, Mohd Fairuz Ibrahim, 29, dikatakan keluar ke arah hutan di kawasan kampung itu kira-kira jam 10 pagi pada Ahad lalu, bagaimanapun tidak pulang.

Majikannya, Mohd Nazri Noor Muhammad, 38, berkata, dia hairan Fairuz tidak muncul sehingga jam 1 tengah hari sebelum dia cuba mencari nya hingga ke kawasan bukit.

“Saya jerit panggil Fairuz..tiada sahutan. Memang pelik sebab selalunya dia akan balik selepas alihkan lembu ke kawasan ragut yang tak jauh dari kawasan hutan itu.

“Saya daki bukit dan cari Fairuz kalau-kalau dia tertidur di mana-mana sebab sebelum ini dia pernah tak balik sebab tertidur di hutan.

“Lagipun Fairuz tak akan sesat sebab dia sudah biasa dengan kawasan ini. Dia dah kerja lebih setahun dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Nazri berkata, dia berusaha mencari Fairuz sebelah petang bersama kawannya sebelum dihentikan pada jam 7.30 malam kerana keletihan dan disambung semula pada jam 9 malam.

“Memang kawasan itu gelap dan hanya berpandukan lampu suluh saja mencari beberapa tempat yang mungkin jadi ‘port’ Fairuz berehat tapi tak jumpa juga.

“Bila tak jumpa sampai esok dan seterusnya, barulah saya mengalah dan buat laporan polis di Balai Polis Bestari Jaya pada malam Isnin untuk dapatkan bantuan,” katanya.

Nampak kelibat abang sebelum hilang

Rasa tak sedap hati ibu mangsa selepas terlihat kelibat Fairuz pada petang Ahad itu rupa-rupanya petanda anaknya dilaporkan hilang.

Perkara itu diceritakan adik mangsa, Mohd Zaini Ibrahim, 26.

“Ibu tengah berehat di serambi rumah nampak abang lalu di halaman pada petang Ahad. Bila dipanggil dia tak menyahut.  Kata ibu, hatinya mula rasa tak sedap, jadi ibu pun minta ayah telefon majikan abang yang juga kenalan rapat keluarga.

“Kami sekeluarga terkejut bila dapat tahu rupa-rupanya abang hilang masa cari lembu dan saya pun cepat-cepat datang untuk bantu mencari.

“Tapi sampai sekarang masih tak jumpa. Memang kami bimbang keselamatan abang...dah enam hari dia tak jumpa, pasti dia lapar,” katanya.

Operasi temui jalan buntu

Ketua Balai Polis Serendah, Inspektor Syamsul Bahrin Ahmad menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dijalankan sebaik saja menerima laporan dari Balai Polis Bestari Jaya memandang kawasan aduan di bawah Serendah.

“Operasi dijalankan bermula petang Selasa sampai ke hari ini (semalam) dan turut menggunakan anjing pengesan K9 untuk menjejaki mangsa di kawasan hutan seluas tiga kilometer persegi bagaimanapun menemui jalan buntu.

“Pegawai dan anggota polis bersama bomba dan pasukan gerakan am (PGA) turut sama mencari mangsa bersama penduduk setempat namun dihentikan pada hari ini disebabkan masih gagal menemui sebarang petunjuk.

“Bagaimanapun penduduk kampung masih meneruskan pencarian mereka,” katanya kepada Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak yang hadir meninjau lokasi pencarian, semalam.

Dalam pada itu, menurut Sulaiman, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kehilangan anak penduduk Kampung Sungai Yu itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga terbabit dan berharap mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Bomba pantau lokasi banjir 24 jam


Penduduk Kampung Air Hitam menaiki sampan untuk pergi ke pusat pemindahan selepas kampung mereka dilanda banjir, semalam.
Penduduk Kampung Air Hitam menaiki sampan untuk pergi ke pusat pemindahan selepas kampung mereka dilanda banjir, semalam.
KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menempatkan anggota bersama aset lengkap di beberapa lokasi yang dilanda banjir di daerah Kuantan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir yang lebih serius.

Penugasan tersebut melibatkan anggota semua balai termasuk Balai Kuantan, Indera Mahkota, Gebeng dan Taman Tas.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya mengarahkan anggota bersiap sedia 24 jam dan akan dikerahkan bila-bila masa jika perlu atau ada mangsa yang terpaksa dipindahkan.

Menurutnya, bomba akan menggunakan aset-aset sedia ada termasuk 16 bot aluminium yang dibekalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika keadaan memerlukan bagaimanapun setakat ini belum ada operasi pemindahan besar-besaran yang memerlukan kesemua aset digerakkan.

“Hasil pemantauan JBPM Pahang mendapati keadaan banjir yang berlaku di kawasan Kempadang, Taman, Tas, Kampung Pandan dan Jaya Gading masih terkawal.

“Kita dapati banjir berlaku akibat limpahan air sungai berhampiran namun aliran keluar agak lambat akibat masalah perparitan dan hujan lebat berterusan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Anuar berkata, walaupun banjir kali ini terkawal, pihaknya sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.

“Buat masa sekarang, keanggotaan dan logistik sedia ada di balai-balai sekitar Kuantan mencukupi bagaimanapun jika bencana ini serius, kita akan mendapatkan bantuan anggota dan aset daripada balai-balai daerah lain yang tidak terlibat banjir ,”katanya.

Beliau berkata, setakat ini, operasi pemindahan mangsa banjir termasuk yang terawal di Kampung Kempadang di sini berjalan lancar.

Dalam perkembangan sama beliau meminta orang ramai di kawasan terjejas banjir supaya tidak mengambil sikap tunggu dan lihat jika air mula naik di kawasan mereka.

“Jangan tunggu saat-saat akhir atau selepas paras air terlalu tinggi baru hendak berpindah kerana keadaan ini bukan sahaja  menyukarkan operasi menyelamat malah mengundang risiko keselamatan diri dan keluarga mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu menjadikan pengalaman banjir besar penghujung tahun lalu sebagai iktibar.

Sehingga jam dua petang semalam, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan kepada 1,556 orang berbanding 1,586 yang dicatatkan jam 7 pagi ekoran keadaan cuaca semakin baik dan sebahagian mangsa ada yang sudah pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah tersebut melibatkan 389 keluarga dari Lorong Haji Husin, Pandan 2, Kampung Seri Damai, Perkampungan Gudang Rasau, Kampung Jaya Gading dan Kampung Semangat dekat sini yang kini berada di enam pusat pemindahan.

Semua laluan yang ditutup  akibat dilimpahi air sebelum ini kini dibuka dan boleh digunakan semua kenderaan.

Geng curi motosikal tumpas


Tiga suspek ditahan di Balai Polis Kinrara untuk siasatan.
Tiga suspek ditahan di Balai Polis Kinrara untuk siasatan.
PUCHONG – Perbuatan sekumpulan penjenayah menyembunyikan motosikal dicuri di rumah kosong di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bandar Kinrara terbongkar, selepas tiga lelaki dicekup polis, kelmarin.

Difahamkan, geng terbabit menjadikan tapak kuarters kem yang ditinggalkan kosong sejak beberapa tahun lalu sebagai port menyembunyikan kenderaan dicuri.
Bagaimanapun, kegiatan mereka berjaya dibongkar selepas polis menahan tiga lelaki di tiga lokasi berasingan sejak pagi kelmarin.

Sumber berkata, seorang daripada suspek, ditahan dalam Ops Lejang dilaksanakan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Bandar Kinrara pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, suspek berusia 40 tahun itu dikatakan menghampiri sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan cuba menghidupkan enjin tanpa menyedari gerak-gerinya sedang diperhatikan polis.

“Suspek diberkas dan pemeriksaan mendapati dia dikehendaki polis bersabit kes di bawah Akta Dadah Berbahaya serta didapati menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu yang masih dilaporkan hilang.

"Susulan penahanan suspek itu membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki dipercayai anggota kumpulan sama di sebuah pangsapuri di Bandar Kinrara dan Jalan Puchong," katanya.

Sumber berkata, suspek kedua berusia 45 tahun turut menunjukkan tempat dia menyimpan motosikal curi jenis Demak EX90 yang sudah dilerai dalam sebuah bilik kosong di kem sama.

Katanya, pemeriksaan mendapati motosikal itu masih dilaporkan hilang.

“Suspek terakhir ditahan di belakang sebuah kedai perabot beberapa jam selepas penahanan suspek kedua.

"Ketika diserbu, suspek itu cuba melarikan diri dengan memecut motosikal, namun berjaya ditahan polis.

Kata sumber, semakan menunjukkan suspek berusia 32 tahun itu turut melakukan kesalahan menunggang sebuah motosikal yang masih dilaporkan hilang.

Kesemua suspek kini ditahan di Balai Polis Kinrara untuk tindakan selanjutnya.

Jemaah mangsa samun dalam kawasan masjid


Komputer riba yang diletakkan di bawah kerusi ini dapat dikesan pencuri.
Komputer riba yang diletakkan di bawah kerusi ini dapat dikesan pencuri.
BENTONG - Seorang jemaah masjid terkejut apabila kereta miliknya yang di parkir dalam kawasan masjid ketika menunaikan solat Jumaat pada 19 Disember lalu dipecah pihak tidak bertanggungjawab.

Mangsa, Zamri Abdul Aziz, 53, berkata, dirinya tidak menjangkakan kejadian tidak bermoral berkenaan boleh berlaku di dalam kawasan rumah ALLAH yang diyakininya selamat.

"Kejadian macam ni betul-betul saya tak sangka boleh berlaku... saya amat kesal kerana kejadian curi berlaku dalam kawasan rumah ibadah. Dalam kawasan rumah ALLAH berani betul pencuri tersebut buat perkara yang Islam tegah.

"Tapi benda dah jadi... kesal memang kesal, tapi saya anggap ini ujian ALLAH. Insya-ALLAH ada hikmah di sebalik apa berlaku," katanya tenang.

Memberitahu lanjut, Zamri memberitahu, sebelum ini dia pernah mendengar kejadian serupa berlaku di sebuah masjid di kawasan Bentong namun, tidak menyangka hal sedemikian menimpa dirinya.

"Di sebabkan kejadian ni saya kehilangan sebuah komputer riba yang menyimpan pelbagai dokumen penting termasuk beberapa fail-fail mustahak berkaitan urusan pejabat," katanya sambil memberitahu komputer riba berkenaan diletakan di bahagian bawah kerusi dan tidak menyangka pencuri terbabit sedar akan keberadaan alat elektronik berkenaan.

Menurutnya, dia telah buat laporan polis dan memohon jasa baik orang awam yang terlihat kejadian itu sudi memaklumkannya di talian 013-9663311 atau hubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Seorang maut, 10 parah dalam nahas


Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis membantu mengeluarkan mangsa.
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis membantu mengeluarkan mangsa.
KUALA LIPIS - Kemalangan melibatkan dua kereta di kilometer (KM) 14 jalan Lipis-Merapoh kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, mengakibatkan seorang terbunuh sementara 10 lagi cedera parah.

Dalam kejadian berhampiran simpang Kampung Gua di sini, kereta Proton Iswara dipandu Mohd Sofian Mat Daud, 37, dari arah Merapoh ke Lipis dipercayai dilanggar secara berhadapan oleh kereta Perodua Myvi yang dipandu Tuan Mohd Khuzaie Tuan Rosli, 22, dari arah bertentangan.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata, Perodua Myvi dipandu Tuan Mohd Khuzaie bersama empat ahli keluarganya dipercayai terlanggar lopak air sebelum hilang kawalan lalu masuk ke laluan sebelah kanan.

“Dalam masa sama, Mohd Sofian yang memandu Proton Iswara membawa lima ahli keluarganya dari arah Merapoh menuju ke Lipis gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta Perodua Myvi berkenaan.

“Mohd Sofian parah di bahagian kepala dan cedera mengalami dalaman. Dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.35 malam ketika menerima rawatan di Hospital Lipis,” katanya sambil memberitahu anak bongsu mangsa, Puteri Batrisya Aulina, 3, yang turut parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk rawatan lanjut.

Sementara itu Abdul Razak berkata,  isteri Allahyarham, Hasmi Adam, 38; anak perempuan mereka, Puteri Balqis, 12; bapa mertua, Adam Awang, 89; dan biras, Yusof Bakar, 51, yang juga cedera sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Menurutnya, turut menerima rawatan di hospital sama ialah bapa kepada pemandu kereta Perodua Myvi, Tuan Rosli Tuan Abdullah, 48; ibunya, Sarimah Halim, 43; dan dua adiknya, Tuan Narisah, 15; serta Tuan Abdul Muhaimi, 9.

“Kejadian dipercayai berpunca kecuaian sikap pemandu yang tidak mematuhi had kelajuan lebih-lebih lagi struktur permukaan jalan basah dan licin akibat hujan,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 atau tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan,” katanya.

Pelajar UMP maut kemalangan


Keadaan mayat mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
Keadaan mayat mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
ROMPIN – Bila sudah tiba saat kematian, tidak kira muda atau tua ia tetap berlaku menurut waktu ditetapkan ALLAH. Begitulah yang berlaku kepada seorang pemuda berasal dari Kampung Pulau Lang kiri, di sini yang maut dalam kemalangan jalan raya pada usia 21 tahun.

Allahyarham Ridwan Sabardan yang juga pelajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) meninggal dunia selepas terbabas dan menggeluncur bersama motosikal yang ditunggangnya di Kilometer 130 Jalan Kuantan–Johor Bahru sekitar 2.40 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya, berkata, kejadian berlaku di Kampung Sungai Puteri berhampiran simpang masuk ke perumahan nelayan kampung tersebut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu dari arah Bandar Kuala Rompin menuju ke Kuantan hendak memasuki simpang di sebelah kanan.

“Ketika kejadian, mangsa bersendirian menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Kuantan menuju ke Bandar Kuala Rompin.

Mangsa dipercayai menekan brek motosikalnya secara mengejut dan mengakibatkannya hilang kawalan lalu terbabas dan menggeluncur jatuh ke atas jalan.

Motosikal mangsa turut melanggar sedikit badan kereta berkenaan di bahagian belakang di sebelah kiri,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Rompin untuk dibedah siasat.

“Pemandu kereta itu telah ditahan untuk ujian dadah dan alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disamun di tempat letak kereta


Pergelangan tangan mangsa cedera akibat kesan ikatan.
Pergelangan tangan mangsa cedera akibat kesan ikatan.
TAIPING – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia didatangi seorang lelaki bersenjatakan pistol dan gunting di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun, baru sahaja sampai di kawasan tempat letak kereta untuk menghantar makanan kepada adiknya yang bekerja di situ.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, sebaik keluar dari kereta dia didatangi seorang lelaki yang kemudiannya meminta RM2.

“Saya minta lelaki itu tunggu sebentar kerana ingin ambil barang. Namun secara tiba-tiba saya diacukan sepucuk pistol berwarna perak dan suspek meminta saya serahkan semua duit,” katanya.

Katanya, pada mulanya saya memaklumkan kepada suspek hanya memiliki RM50 sahaja.

“Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan wang yang saya ada, suspek kemudiannya mengeluarkan gunting dan meminta saya masuk dalam kereta dan duduk di bahagian tempat duduk penumpang,” katanya.

Semasa kejadian, seorang wanita yang berjalan kaki di kawasan itu cuba membantu, namun dia diugut suspek supaya tidak menjerit atau memaklumkan kepada sesiapa.

“Disebabkan bimbang dicederakan wanita terbabit segera melarikan diri ,” katanya.

Mengulas lanjut, mangsa berkata, ketika itu, suspek turut bertanya sama ada memiliki kad pengeluaran wang automatik (ATM) atau tidak.

“Disebabkan bimbang keselamatan, saya terus memaklumkan mempunyai wang RM500.

“Dalam masa sama, suspek turut mengikat tangan saya dan merendahkan kerusi supaya tidak disedari orang dan memandu kereta keluar dari kawasan tempat letak kereta,” katanya.

Katanya, semasa dalam kereta suspek turut bertanya beberapa soalan lain.

“Ketika berada di kawasan Assam Kumbang, saya cuba membunyikan hon menggunakan kaki dan mengganggu pemanduan suspek.

“Sebaik tiba di kawasan lampu isyarat, saya cuba tendang pintu kereta dan berjaya melompat keluar dari kereta,”  katanya.

Mangsa berkata, suspek kemudiannya menggunakan kereta sama bertindak membuat pusingan U dan melarikan diri ke arah Kamunting.

“Selepas itu, saya terus menghubungi keluarga dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Akibat kejadian terbabit, saya mengalami kecederaan ringan di lutut dan kesan ikatan di pergelangan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya berkenaan.

Mayat warga emas ditemui separuh bogel tepi sungai


Mayat Kamalan dibawa keluar dari lokasi mangsa ditemui.
Mayat Kamalan dibawa keluar dari lokasi mangsa ditemui.
BIDOR – Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di kawasan tepi sungai berhampiran kediamannya di Kampung Cegar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mayat mangsa, A Kamalan, 79, dijumpai anak angkatnya di lokasi itu yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Tapah, Som Sak Din Keliaw berkata, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kesan lebam di bahagian mata dan kesan luka pada belakang kepala warga emas itu.

“Muka mangsa juga mempunyai kesan bengkak. Kita tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul sekumpulan lelaki.

“Ini berdasarkan penemuan darah dan kesan seretan dari rumah mangsa ke tempat mangsa ditemui,” katanya.

Beliau berkata, hasil tindakan pantas daripada maklumat diperoleh, polis berjaya menjejaki suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Katanya, lima individu berusia di antara 14 hingga 21 tahun kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Calon SPM maut kemalangan


Jenazah Muhammad Shahidi dimasukkan ke dalam van jenazah untuk disembahyangkan di Masjid Kelana Petra Sendeng, Ampangan,
Jenazah Muhammad Shahidi dimasukkan ke dalam van jenazah untuk disembahyangkan di Masjid Kelana Petra Sendeng, Ampangan,
SEREMBAN – “Dalam seminggu ini, seluruh ruang dalam rumah termasuk bilik tidur berbau wangi. Bau wangi itu sentiasa ada. Begitu juga saya perasan ada seekor rama-rama putih masuk ke dalam rumah tiga hari lalu, namun saya tidak mensyaki apa-apa.

“Saya tidak sangka pula bau wangi dan kehadiran sekor rama-rama itu seakan memberi satu petanda, bagaimanapun saya reda dengan pemergian anak saya,” kata Siti Norbaya Yaakub, 45, ibu kepada mangsa, Muhammad Shahidi Mohd Azmi, 17, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.14 pagi itu, Muhammad Shahidi yang menunggang motosikal jenis Modenas CT 110 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Setia Jaya, Jalan Jelebu dari arah Sikamat, dilanggar sebuah kereta jenis Hyundai Sonata yang datang dari arah Seremban.

Siti Norbaya berkata, anak keempat daripada enam beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Semalam saya sempat jumpanya selepas dia selesai shif kerja. Dia beritahu nak keluar jumpa kawan dan itulah kali terakhir saya bersamanya.

“Kebiasaannya dia akan salam saya dan kemudian saya akan cium dahi dia sebelum dia keluar. Dia keluar rumah seperti biasa, naik motosikal.

“Ketika itu, saya tak rasa apa-apa perubahan. Selepas mendapat tahu kejadian yang menimpa Muhammad Shahidi, saya terkejut dan tidak dapat menahan kesedihan. Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan-Nya,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan, Muhammad Shahidi pelajar Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad Seremban yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta.

“Pemandu berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya,  bagaimanapun telah melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Motosikal mangsa diseret  sejauh satu kilometer dan berhenti di hadapan Stor Barang Kes Berpusat Sikamat. Manakala mangsa tercampak di bahu jalan berhampiran kesan perlanggaran pertama,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Pelajar tahfiz maut, rakan parah


Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari longkang untuk dibawa ke hospital.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari longkang untuk dibawa ke hospital.
TAIPING – Seorang remaja maut manakala rakannya parah apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam longkang di Jalan Taman Panglima berhampiran Pejabat Kastam Assam Kumbang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Irfan Nabil Hakim Faizol, 12, maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala sementara rakannya, Muhd Yusof Saifudin, 15, cedera di kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, berdasarkan siasatan awal, motosikal yang dalam perjalanan dari arah Assam Kumbang ke Taiping itu terbabas ketika melalui selekoh dan masuk ke longkang di kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa yang membonceng tercampak ke dalam longkang berkenaan dan melanggar konkrit penutup longkang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera di kepala. Rakannya dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa yang merupakan pelajar tahfiz Maahad Tahfiz Ar-Rahimiah, Pokok Assam dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Taiping serta dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Pembunuhan Di Cairns: Wanita Hadapi Lapan Pertuduhan Bunuh


Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 2:08 PM
Lokasi pembunuhan lapan kanak-kanak di Cairns dipantau oleh pihak polis.

CAIRNS: Ibu kepada tujuh daripada lapan kanak-kanak yang dibunuh di utara bandar Cairins didakwa atas pertuduhan membunuh, kata polis Australia pada Ahad.
Wanita berusia 37 tahun itu yang identitinya tidak didedahkan dan masih ditempatkan di sebuah hospital dengan kawalan polis itu didakwa dengan lapan pertuduhan bunuh selepas mayat empat kanak-kanak perempuan dan empat lagi mayat lelaki berusia dua hingga 14 tahun ditemui pada pagi Jumaat.

Menurut polis, pertuduhan itu dibacakan oleh seorang majistret di Hospital Pangkalan Chairns, Queensland.

Kes pembunuhan itu mengejutkan penduduk Australia yang masih trauma dengan insiden tebusan di sebuah kafe di Sydney pada minggu ini dengan menyaksikan dua tebusan dan seorang lelaki bersenjata maut.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan punca kematian kanak-kanak itu tetapi mereka sedang melihat pelbagai senario termasuk mati lemas.

"Kami mempertimbangkan kemungkinan mati lemas dan oleh itu, kes ini memerlukan sedikit masa," kata inspektor detektif Bruno Asnicar pada Ahad.

Terdahulu, polis berkata sebilah pisau ditemui di sebuah rumah, lokasi dimana kesemua lapan mayat tersebut ditemui.

Bedah siasat ke atas kesemua mayat sedang dilakukan dan proses itu dijangka selesai lewat malam Ahad.

Spekulasi Pelepasan Air Empangan Sukhirin Di Thailand Tidak Benar - MKN


Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 3:26 PM
Seorang mekanik membaiki sebuah motosikal yang mengalami kerosakan akibat banjir di Pekan Rantau Panjang pada Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Spekulasi yang tersebar di medium sosial, WhatsApp bahawa Kelantan akan ditenggelami air berikutan pelepasan air empangan di daerah Sukhirin, wilayah Narathiwat, Thailand adalah tidak benar.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab mengesahkan bahawa semakan yang dilakukan dengan Jabatan Pengairan Diraja Thailand, mendapati empangan itu tidak wujud.

"Penduduk diingatkan untuk tidak mudah mempercayai khabar angin dan berasa panik," katanya.

Mohamed Thajudeen berkata pihak Thailand juga mengesahkan bahawa empangan terdekat dengan Malaysia terletak di daerah Munok di bahagian selatan Thailand, namun empangan itu ditutup pada masa ini.

Beliau berkata jika air empangan itu dilepaskan, ia akan menyebabkan banjir di daerah Tak Bai, Narathiwat terlebih dahulu.

"MKN juga mempunyai persefahaman dengan pihak Thailand. Jika mereka perlu melepaskan air di empangan itu, mereka akan memaklumkan kepada MKN supaya kita tidak 'terkejut' dengan kedatangan air secara tiba-tiba.

"Jika dimaklumkan, MKN akan segera mengenal pasti laluan air dan memindahkan mereka yang tinggal di kawasan itu untuk mengurangkan risiko," katanya.

Mohamed Thajudeen berkata banjir di Kelantan pada masa ini tiada kaitan dengan pelepasan air di negara jiran, sebaliknya disebabkan hujan lebat yang berterusan dengan sukatan 400 mililiter sehari.

Banjir gelombang kedua di Kelantan yang bermula sejak Selasa lepas telah mengorbankan empat nyawa.

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Kategori Ketiga Sehingga Rabu


Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 3:37 PM

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan perairan negara diramal dilanda angin kencang dan laut bergelora selama tiga hari bermula Ahad hingga 24 Disember ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), amaran angin kencang Timur Laut dan laut bergelora (kategori ketiga) dengan kelajuan 60km sejam serta ombak mencapai ketinggian 5.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, pantai Barat dan Kudat) serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut kenyataan itu kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kenaikan paras air laut.

JMM turut mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dan laut bergelora (kategori ketiga) berkelajuan 60km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 5.5 meter di perairan Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef North, Reef South, Kuching, Layang-Layang, Labuan dan Palawan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai, perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak dan menangkap ikan.

Menteri Pertahanan Australia Digugurkan Dari Kabinet


Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 2:57 PM
David Johnston.

SYDNEY: Menteri Pertahanan Australia, David Johnston digugurkan dariKabinet Perdana Menteri Tony Abbott pada Ahad.

Pemecatan itu dibuat sebulan selepas beliau memalukan kerajaan dengan beberapa komen kritikal mengenai syarikat pembina kapal milik kerajaan.

Abbott turut menawarkan jawatan Menteri Keselamatan Sosial kepada Menteri Imigresen, Scott Morrison dalam rombakan Kabinet itu.

"Ini adalah kementerian untuk tugas-tugas dan keluarga serta ia adalah petanda bahawa kerajaan ini mahu ekonomi diutamakan pada tahun depan," kata Abbott merujuk kepada portfolio keselamatan sosial.

Keadaan Banjir Di Kelantan, Terengganu Berubah Sedikit


Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 2:33 PM
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Bendang Pak Yong,Tumpat pada Ahad. - foto SAZUKI EMBONG/The Star

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung berubah sedikit tengah hari Ahad dengan beberapa pusat pemindahan banjir di Kelantan ditutup.
Menurut portal banjir kerajaan negeri Kelantan, empat pusat pemindahan mangsa banjir di Jeli ditutup selepas 216 orang yang berada di pusat berkenaan di sebelah pagi dibenarkan pulang.

Kelantan merekodkan 20,524 mangsa setakat tengah hari ini daripada 6,669 keluarga yang ditempatkan di 73 pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri dengan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah terbesar mangsa iaitu 11,853 orang yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan berbanding 12,008 orang pagi Ahad.

Jumlah mangsa banjir di Tumpat bertambah sedikit tengah hari ini kepada 5,270 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencatat bacaan 10.29 meter naik sedikit berbanding 10.29m pagi Ahad melepasi paras bahaya 9 meter.

Keadaan itu dijangka menyebabkan berlaku pertambahan mangsa banjir berikutan keadaan cuaca yang mendung disusuli sesekali hujan lebat terutama di kawasan pedalaman negeri ini.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Kuala Krai kekal 1,928 orang yang ditempatkan di lapan buah pusat, Machang (75/tiga pusat, Pasir Puteh (619/empat pusat), Tanah Merah (443 orang/14 pusat) dan Kota Baharu (336 orang/empat pusat).

Jumlah yang terkorban akibat banjir gelombang kedua di negeri ini sejak 16 Disember lalu masih kekal empat orang.

Sementara itu, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di Terengganu pula menurun kepada 5,977 tengah hari ini berbanding 6,746 orang di sebelah pagi yang ditempatkan di 82 pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri.

Dungun masih mempunyai bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu 2,248 orang, diikuti Besut (1,347/27 pusat) Kemaman (1,254/10 pusat) Hulu Terengganu (425/enam pusat), Kuala Terengganu (336/empat pusat), Setiu (132/lapan pusat) dan Marang (40/satu pusat pemindahan).