Search This Blog

Thursday, December 18, 2014

Komunis ‘bercuti’ perang sempena Krismas


Manila: Pemberontak komunis Filipina semalam mengumumkan gencatan senjata sempena cuti Krismas dan lawatan Pope Francis bulan depan.
Menurut kenyataan Parti Komunis Filipina, anggota sayap bersenjata mereka - Tentera Rakyat Baru - diarah menangguhkan serangan terhadap polis dan tentera sepanjang tempoh 24 hingga 26 Disember, 31 Disember hingga 1 Januari dan 15 hingga 19 Januari.
Sebelum ini tentera mengumumkan gencatan senjata selama sebulan sehingga 19 Januari.
Namun, operasi terhadap militan Muslim tetap diteruskan.
Kata Parti Komunis Filipina, gencatan senjata itu memberi peluang kepada pelbagai pihak meraikan perayaan agama serta meningkatkan persefahaman pelbagai isu, seperti penderaan tentera serta pelanggaran hak asasi manusia. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:07 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17036#sthash.MFbhNxlb.dpuf

Penyerang serang bank, 10 terbunuh


Kandahar: Sekumpulan lelaki menyerbu sebuah bank di Helmand, wilayah selatan Afghanistan semalam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk tiga anggota polis.
Seorang daripada lima penyerang itu meletupkan dirinya di depan pintu masuk bank di Lashgar Gah, ibu negeri Helmand, untuk membolehkan empat yang lain memasukinya.
Jurucakap gabenor wilayah, Omer Zawaj berkata, sebaik berada di dalam, penyerang itu menembak pasukan keselamatan yang tiba dan mengepung bangunan berkenaan.
Serangan itu turut mencederakan 15 yang lain, termasuk enam anggota pasukan keselamatan.
Jurucakap polis Jelmand, Fareed Obaid berkata, baki empat penyerang berkenaan mati dalam pertempuran yang berlaku.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada penyerang berkenaan anggota Taliban. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/16995#sthash.mjOyI5y5.dpuf

79 mayat sudah ditemui

Jakarta: Ketua Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Syamsul Maarif berkata, 79 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Banjarnegara sudah ditemui.
Di sebalik penemuan itu, Syamsul berkata, operasi mencari diteruskan.
“Usaha mengesan mangsa tanah runtuh dapat dijalankan dengan lebih berkesan hasil kerjasama daripada penduduk setempat,” katanya.
Sebelum ini agensi itu menyatakan, operasi berkenaan terpaksa dihentikan kelmarin kerana hujan lebat. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:08 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17042#sthash.slr8wChF.dpuf

Siat kulit gadis selepas bunuh

Mexico City: Seorang pelajar kejururawatan dibunuh dan kulitnya disiat selepas bercadang untuk mendedahkan perbuatan tidak senonoh bapa tirinya ke atas dirinya.
Kassandra Bravo, 19, dilapor hilang awal bulan ini selepas tidak muncul untuk menjaga bayi di rumah rakan keluarganya.
Polis mengeluarkan notis orang hilang selepas menerima laporan daripada ibunya. Mayatnya ditemui dalam parit berhampiran jalan raya di Las Cocinas.
Detektif yang menyiasat kes itu berkata, mulanya sukar untuk mengecam mayat Kassandra kerana kulit mukanya sudah disiat.
Hasil bedah siasat menunjukkan dia dicekik.
Seorang rakannya memberitahu polis, Kassandra bercadang memberitahu ibunya Angela Bravo, 41, bahawa dia didera secara seksual sejak berumur 15 tahun.
Bapa tiri mangsa, Daniel Murrieta Sianz, 42, mengaku mencekik dan membuang mayat mangsa, tetapi menolak dakwaan dia mendera atau menyiat kulitnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:09 AM


Kassandra
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17047#sthash.ot3DaXGj.dpuf

RUNTUHAN BANGUNAN DI kilang Mee Jalan Chong Hua Batu 8 1/2 Sandakan

RUNTUHAN BANGUNAN DI kilang Mee Jalan Chong Hua Batu 8 1/2 Sandakan pada pukul 1.13 petang tadi.
Runtuhan bangunan berpunca dari letupan boiler, 3 mangsa terperangkap telah ditemui maut oleh pasukan Bomba dan diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan. Keluasan bangunan 150x100 kaki dan runtuh 60%. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Sandakan.
Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia)'s photo.

Bayi dikhuatiri lemas terlepas dari dukungan ibu

KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas dihanyutkan arus selepas dia terlepas daripada dukungan ibunya yang mengharungi banjir untuk ke pusat pemindahan.
Dalam kejadian 3 pagi tadi di Kampung Sepertang, Telekong, Kuala Krai di sini, ibu mangsa bersama tiga lagi anaknya yang lain sedang mengharungi air untuk ke pusat pemindahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, usaha mencari Nur Adriana Adila masih dilakukan.
"Bayi berkenaan terlepas daripada tangan ibunya dan terus dibawa arus yang deras. Pada masa itu air sedang naik dan mencapai paras paha," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, di sini, hari ini.
Mazlan berkata ketika kejadian, bapa mangsa tiada bersama keluarga berkenaan kerana bekerja di Kuala Lumpur.
"Kita nasihatkan kepada orang ramai supaya memaklumkan kejadian banjir di kawasan masing-masing dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa sekiranya perlu," katanya.
Beliau menasihati mangsa banjir berpindah dengan segera apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.
Mazlan turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingani.
Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui mati di kawasan yang digenangi air akibat hujan lebat, berhampiran Sekolah Kebangsaan Long Ghafar, Kubang Kerian di sini, kira-kira pukul 11 pagi.
Mazlan berkata mangsa, Baharum Mohamad, seorang pekerja kedai santan dipercayai lemas selepas diserang penyakit sawan.
"Mangsa kemungkinan lemas pada malam tadi kemudian dihanyutkan arus dan mayat mangsa dilihat oleh orang awam di kawasan tersebut," katanya. - BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Kuantan bertambah

KUANTAN: Hujan lebat sejak tengah hari tadi mengakibatkan jumlah mangsa banjir di daerah ini bertambah kepada 826 orang membabitkan 191 keluarga.
Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkata, mereka kini dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir.
Beliau berkata, ia membabitkan penduduk di sembilan kampung termasuk PPRT Kampung Kempadang, Kampung Pandan, Kampung Seri Damai, Kampung Gudang Rasau dan Taman Tas.
"Penduduk di kawasan rendah di daerah ini diminta segera menyelamatkan dokumen penting dan mematuhi arahan jika diminta berpindah memandangkan keadaan hujan lebat ketika ini," katanya di sini, hari ini.

Tiga pekerja kilang mi maut dandang pemanas meletup




ANGGOTA bomba memeriksa struktur kilang mi yang runtuh akibat letupan dandang pemanas di Jalan Chong Hwa, Batu 9, Sandakan, tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba
SANDAKAN: Tiga pekerja kilang membekal mi maut selepas dandang pemanas meletup dalam kejadian di Jalan Chong Hua Batu 9, dekat sini, tengah hari tadi.
Mangsa dikenali sebagai Hadi, iaitu warga Filipina, serta dua lagi dikenali sebagai Sahril dan Herman masing-masing berusia 30 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.
Bomba menerima panggilan pada jam 1.13 tengah hari sebelum menghantar sembilan anggota dan dua jentera ke lokasi kejadian.
Mayat ketiga-tiga mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan ditemui pasukan bomba sejam selepas itu.

Angka kematian akibat Ebola meningkat lebih 6,900: WHO

GENEVA: Lebih 6,900 orang maut akibat virus Ebola, kebanyakannya di barat Afrika, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.
Sehingga 14 Disember 2014, sebanyak 18,569 kes jangkitan virus berdarah itu dilaporkan di tiga negara paling teruk terjejas iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone manakala jumlah kematian ialah 6,900 orang.
Angka kematian itu adalah daripada 18,603 kes dan 6,915 kematian secara keseluruhan membabitkan lapan negara yang terjejas akibat virus berkenaan.
Bagaimanapun, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, Mali tidak mencatat sebarang kes terbaharu untuk tempoh beberapa minggu selepas melalui tempoh pengeraman selama 21 hari yang diperlukan bagi diisytiharkan bebas daripada virus berkenaan.
Angka kematian di negara lain tidak berubah iaitu enam di Mali, satu di Amerika Syarikat dan lapan di Nigeria yang diisytiharkan bebas daripada Ebola pada Oktober lalu.
Sepanyol dan Senegal, juga yang sudah diumumkan bebas daripada Ebola masing-masing mencatat satu kes tetapi tiada kematian. - AFP

Empat askar terkorban pesawat terhempas di Mesir

KHAMIS, 18 DISEMBER 2014 @ 9:04 AM

 
KAHERAH: Dua pegawai tentera Mesir dan dua dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) terkorban selepas pesawat yang mereka naiki terhempas ketika latihan bersama di Mesir, semalam, kata laporan rasmi.

Jurucakap tentera Mesir dalam kenyataan berkata, kegagalan sistem teknikal menjadi punca pesawat berkenaan terhempas pada kira-kira jam 7 malam waktu tempatan.

Sementara itu, agensi berita UAE turut melaporkan nahas yang sama.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian. - Reuters

Tentera Cameroon akui bunuh 116 pemisah Boko Haram

YAOUNDE : Tentera Cameroon berkata, pihaknya membunuh seramai 116 pemisah Nigeria dari kumpulan Islam Boko Haram di utara negara itu.
Kementerian Pertahanannya dalam satu kenyataan berkata, pemisah itu pada Rabu bertindak menyerang pangkalan tentera di Amchide, sempadan Nigeria, namun anggota keselamatan berjaya membalas serangan itu sehingga menyebabkan banyak kematian.
"Kumpulan yang terdiri daripada sebuah trak tentera dan empat lori pasukan BIR (Elit Rapid Intervention Battalion) telah terperangkap dalam serangan hendap yang bermula dengan satu letupan bom di tepi jalan.
"Pada masa sama, pangkalan tentera Amchide turut diserang beratus pejuang dari kumpulan sama, namun pertahanan kita telah bertindak segera dan dengan sewajarnya," kata kenyataan itu.
Katanya, terdapat 116 daripada penyerang mati di wilayah Cameroon dan identiti mangsa masih belum dapat ditentukan.
Menurut tentera juga, pemisah Boko Haram telah memusnahkan sebuah lori dan trak, malah cuba untuk merampas satu lagi trak milik tentera.
Boko Haram mula mengembangkan kuasanya di kawasan terbabit, di mana sempadan Cameroon dan Nigeria hanya dihubungkan dengan jambatan.
Pemisah terbabit sudah melakukan pembunuhan terhadap orang awam serta serangan ke kawasan kampung, kini mereka semakin aktif melakukan serangan yang mensasarkan tentera. -AFP

Tiga maut salji tebal landa Jepun

KHAMIS, 18 DISEMBER 2014 @ 11:48 AM

 
TOKYO: Sekurang-kurangnya tiga orang maut akibat salji tebal yang melanda Jepun, kata laporan hari ini.

Salji tebal sehingga dua meter melanda beberapa tempat di negara itu dan lebih banyak diramal menyusul.

Dua wanita warga emas terkorban di pulang paling utara, Hokkaido. Seorang mangsa dilanggar jentolak salji dan seorang lagi tertimbus selepas sebuah gudang runtuh akibat terlalu banyak salji menimpa.

Polis berkata, seorang lelaki mati dalam kemalangan jalan raya di Hiroshima.



Sementara itu, perjalanan membabitkan pengangkutan awam turut terjejas. Kira-kira 100 jadual penerbangan tempatan dibatalkan dan 450 lagi ditangguhkan semalam termasuk sebahagian bagi laluan antarabangsa.

Laporan juga berkata, jadual perjalanan bagi rangkaian kereta api laju terkenal Jepun turut terjejas. - AFP





Banjir: Rantau Panjang kritikal, perlu bantuan segera


MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menggesa semua pihak yang berkaitan tampil memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di jajahan itu.

Beliau ketika dihubungi berkata, banjir di Rantau Panjang berada di peringkat kritikal sehinggakan terdapat mangsa-mangsa yang terperangkap dan tidak diselamatkan akibat kekurangan bot penyelamat.

"Keadaan sekarang amat kritikal serta suasana cemas apabila ada mangsa-mangsa yang tidak dapat kita selamatkan lagi kerana kekurangan bot penyelamat.

"Saya merayu semua pihak tampil beri bantuan terutama bot-bot penyelamat untuk kita keluarkan ke semua mangsa yang terperangkap di dalam kawasan banjir.

"Saya turut dimaklumkan ada mereka yang terpaksa berlindung di atas pokok dan bumbung rumah, bantuan perlu disegerakan," katanya kepada Harakahdaily.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu juga turut memberitahu keseluruhan bekalan elektrik telah terputus sejak semalam.

"Alat perhubungan yang ada sekarang hanyalah melalui telefon, kami di sini memerlukan 'walkie talkie' untuk permudahkan komunikasi dengan semua pihak.

"Dalam keadaan sekarang kita bekerjasama penuh dengan pasukan-pasukan penyelamat seperti Bomba, Jabatan Petahanan Amam Malaysia (Jpam), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN)," sambung beliau.

Beliau berharap bantuan akan diberikan dengan segera bagi menggelakkan berlakunya korban nyawa akibat daripada kelewatan operasi menyelamat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Amal Malaysia, Johari Osman berkata Jabatan Amal di peringkat kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang sudah membuka bilik gerakan bagi melancarkan kerja-kerja menyelamat.

Katanya lagi satu mesyuarat tergempar akan diadakan dengan Emergency Disaster Management (MEDM) yang diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bagi membincangkan tindakan segera untuk situasi banjir yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur.

Mengikut laporan portal berita banjir Negeri Kelantan, setakat tengah hari ini sebanyak 70 pusat pemindahan telah dibuka bagi menampung 5,429 orang mangsa dari 1,550 keluarga.

Pusat pemindahan telah dibuka di sepuluh jajahan iaitu di Bachok satu (1) pusat pemindahan, Gua Musang (1), Jeli (6), Kota Bharu (3), Kuala Krai (7), Tumpat (2), Machang (4), Pasir Mas (17), Pasir puteh (3) dan Tanah merah (26).

Setakat jam 12 tengah hari ini, paras air di enam sungai kini berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat 10.82 meter (bahaya 9 meter), Sungai Golok di Jenoh, Tanah Merah merekod bacaan 23,65 meter (bahaya 23.50 meter).

Manakala paras air di Sungai Kelantan di Tambatan Diraja Kota Bharu mencecah 5.33 meter (bahaya 5 meter), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah 17.96 meter (bahaya 16 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai merekodkan bacaan  28.66 meter (bahaya 25 meter).

Bagi Sungai Lebir, Tualang Gua Musang turut melepasi paras bahaya iaitu 36.30 meter (bahaya 35 meter), manakala sungai yang melepas peringkat amaran adalah di Sungai Galas, Dabong iaitu 36.53 meter dan Sungai Semarak, Pasir Puteh dicatatkan 2.53 meter. -HARAKAHDAILY 18/12/2014

Mayat Wanita Berselimut Ditemui Di Kuching


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 7:44 PM
Mayat wanita dibungkus dengan selimut ditemui di tepi tong sampah di Kota Sentosa, Kuching, pagi Khamis.

KUCHING: Mayat seorang wanita yang dibungkus dengan selimut ditemui berdekatan sebuah restoran di Kota Sentosa di sini kira-kira pukul 6.30 pagi, Khamis.
Menurut Ketua Polis Padawan, Superintendan Pauzi Bujang, wanita itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang berhampiran tong sampah di situ.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati adanya kesan kecederaan pada kepala dan kesan hidung berdarah.
"Berdasarkan kecederaan yang dialami, kami percaya wanita itu dipukul dengan objek tumpul," katanya.
Mangsa dipercayai warga tempatan ditemui berpakaian kemeja-T hitam, seluar pendek dengan tatu pada kedua-dua tangannya.
Mayat itu dihantar ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat.

Penjawat Awam Terlibat Dengan Operasi IS


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 8:30 AM

KUALA LUMPUR: Ramai penjawat awam yang terdiri daripada anggota tentera, pensyarah universiti tempatan serta kakitangan di jabatan dan agensi kerajaan dipercayai terlibat dengan operasi kumpulan Negara Islam (IS) di negara ini. 

Sumber menyifatkan penglibatan penjawat awam tersebut sebagai 'sangat serius' dan beliau berkata, pihak polis sedang menjejaki mereka. 
Sejak April tahun ini, sekurang-kuranya 10 penjawat awam dikenalpasti terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan aktiviti kumpulan militan, terutamanya dalam pembiayaan dana mahupun merekrut ahli baru dikalangan rakyat Malaysia.

"Jumlah penjawat awam yang bersimpati dengan kumpulan militan ini agak membimbangkan," kata sumber tersebut.

Salah seorang penjawat awam berprofil tinggi yang ditahan pada tahun ini ialah, pembantu kanan pengarah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang berusia 37 tahun.

Suspek ditahan kerana dipercayai terlibat merekrut ahli baru menyertai IS, dan telah menghilangkan diri selama setahun daripada pekerjaannya kerana didakwa menjaga ibunya yang sakit.

Bagaimanapun, polis percaya suspek berada di selatan Filipina untuk bertemu dengan ahli kumpulan yang bersembunyi di negara tersebut, termasuk bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad (atau lebih dikenali sebagai Abu Hanadzlah) dan pemilik kedai serbaneka, Mohd Najib Husen, kedua-duanya berusia 36 tahun.

Mereka dipercayai merupakan ketua kumpulan militan tempatan yang melatih ahlinya untuk berjuang di Syria dan Iraq.

Suspek ketiga ialah bekas pekerja Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Joraimee Awang Raimee, 39 atau lebih dikenali sebagai Abu Nur.

Terdahulu pada awal tahun ini, dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia turut ditahan.

Pada 28 November lalu, dua anggota penjawat awam turut ditahan.

Mereka dipercayai terlibat membiayai dana kepada rakyat Malaysia yang akan bergerak ke Syria.

Sumber itu berkata, dua daripada suspek berkenaan berusia antara 23 dan 28 tahun, sanggup mengetepikan sebahagian daripada gaji mereka untuk membiayai anggota IS.

Mereka ditahan di rumah masing-masing di Kuala Lumpur oleh Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pada 28 November.

Bayi Dikhuatiri Lemas Terlepas Dari Dukungan Ibu


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 8:55 PM
Gambar hiasan.

KOTA BARU: Seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas dihanyutkan arus selepas dia terlepas daripada dukungan ibunya yang mengharungi banjir untuk ke pusat pemindahan.

Dalam kejadian 3 pagi Khamis di Kampung Sepertang, Telekong, Kuala Krai di sini, ibu mangsa bersama tiga lagi anaknya yang lain sedang mengharungi air untuk ke pusat pemindahan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata usaha mencari Nur Adriana Adila masih dilakukan.

"Bayi berkenaan terlepas daripada tangan ibunya dan terus dibawa arus yang deras. Pada masa itu air sedang naik dan mencapai paras paha," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, di sini, Khamis.

Mazlan berkata ketika kejadian, bapa mangsa tiada bersama keluarga berkenaan kerana bekerja di Kuala Lumpur.

"Kita nasihatkan kepada orang ramai supaya memaklumkan kejadian banjir di kawasan masing-masing dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa sekiranya perlu," katanya.

Beliau menasihati mangsa banjir berpindah dengan segera apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

Mazlan turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingani.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui mati di kawasan yang digenangi air akibat hujan lebat, berhampiran Sekolah Kebangsaan Long Ghafar, Kubang Kerian di sini, kira-kira pukul 11 pagi.

Mazlan berkata mangsa, Baharum Mohamad, seorang pekerja kedai santan dipercayai lemas selepas diserang penyakit sawan.

"Mangsa kemungkinan lemas pada malam Rabu kemudian dihanyutkan arus dan mayat mangsa dilihat oleh orang awam di kawasan tersebut," katanya.

Utara Jepun Dilanda Ribut Salji


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 1:13 PM

TOKYO: Utara Jepun pada Rabu dilanda ribu sajli dan angin kencang, mengakibatkan 300 penerbangan terpaksa dibatalkan dan banyak kenderaan terbenam dalam salji.
Menurut agensi cuaca, salji setinggi 28 inci melitupi di kebanyakan kawasan di Hokkaido dalam tempoh 24 jam.
Keadaan salji yang lebat itu memaksa dua syarikat penerbangan utama, All Nippon Airways dan Japan Airlines membatalkan sekurang-kurangnya 296 penerbangan domestik dan antarabangsa, lapor Jiji Press.
"Kami sedang berusaha untuk mengalihkan litupan salji di jalan," kata seorang pegawai di bandar Obhiro kepada AFP.
"Sebanyak 50 kenderaan terperangkap dalam salji," katanya. 
Agensi Meteorologi Jepun berkata, keadaan ribu salji akan berterusan sehingga khamis. - AFP

26 laluan di Kelantan ditutup akibat banjir


18 Disember 2014


KOTA BHARU - Sebanyak 26 laluan di lapan jajahan di Kelantan masih ditutup akibat banjir.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, 16 laluan ditutup kepada semua kenderaan manakala 12 laluan hanya ditutup kepada kenderaan ringan.

Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan membabitkan empat laluan di Kuala Krai melibatkan Km4 Jalan Sungai Durian dan Km2 Jalan Bukit Sireh dan tiga laluan di Machang iaitu di Km8 Jalan Machang-Pangkal Meleret, Km7 Jalan Kampung Pek-Paloh Rawa dan Km6 Jalan Kubor China-Temangan.

Di Pasir Mas, membabitkan lapan laluan iaitu Km12 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, Km7.5 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, Km3 Jalan Pengkalan Rakit, Km11 Jalan Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, Km12 Jalan Lubok Jong-Tanah Merah (Jegor), Km23 Jalan Banggol Kulim, Km25 Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dan KM10 Jalan Pohon Tanjung-Meranti. 

Di Pasir Puteh pula di Km45 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu.

Sementara itu, 12 laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Jalan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Km10 Jalan Pangkal Gong-Kemubu, Machang dan Km3  Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan di Tumpat.

Di Kota Bharu membabitkan Km6 Jalan Kubang Kerian-Bachok dan Km4 Jalan Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan.

Di Pasir Puteh, tiga laluan terlibat iaitu di Km75 Jalan Pasir Puteh-Gong Kelih, Km3.5 Jalan Pasir Puteh-Semerak dan Km29 Jalan Kota Baharu-Kuala Terengganu.     Di Pasir Mas juga melibatkan tiga laluan di Km5 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas, Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas di Kampung Manan, dan Km4 Jalan Pasir Mas-Meranti manakala di Tanah Merah di Km1.5 Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh. - Bernama

Pembaca Berita Sebak Kenal Mangsa Tebusan Sydney Ketika Siaran Langsung


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 11:09 AM
  (Ubah saiz teks)
PEMBACA berita program Sunrise, Natalie Barr tidak dapat menahan kesedihannya ketika sedang bersiaran langsung sebaik sahaja mengumumkan mangsa tebusan di sebuah kafe di Sydney, Katrina Dawson terbunuh dalam insiden itu, pada pagi Selasa.
Mangsa yang merupakan ibu kepada tiga anak, merupakan adik kepada kenalan Barr.
Bar, 46, yang membaca berita di program Channel Seven bersama David Koch berasa sebak dan tidak dapat mengawal perasaannya itu.
"Saya baru menyedari Katrina... Katrina Dawson merupakan adik kepada seorang peguam, Sandy Dawson, yang pernah berkhidmat untuk Channel Seven," katanya.
"Adik kepada salah seorang kakitangan Channel Seven kami, Sandy Dawson, yang saya kenali, dan rakan-rakan saya juga mengenalinya."
Beliau menambah: "(Katrina) merupakan ibu kepada tiga anak. Kami baru mengetahui tentangnya pagi ini.
"Dia merupakan adik kepada seorang peguam yang banyak berkhidmat untuk Channel Seven, yang mungkin ramai mengenalinya di Sydney, dan keluarga mereka terpaksa berhadapan dengan keadaan sukar ini, seperti mereka yang lain."
Kejadian yang berlaku pada Isnin itu melibatkan seorang lelaki bersenjata, Man Haron Monis yang menawan sejumlah tebusan di sebuah kafe di Sydney.
Tawanan itu yang berlanjutan selama 16 jam berakhir selepas polis membuat serbuan ke dalam bangunan itu.
Tiga maut dalam insiden itu, termasuk Monis, seorang pengurus kafe, Tori Johnson dan Dawson.
Dilaporkan bahawa Dawson dipercayai terbunuh dalam insiden itu ketika cuba melindungi seorang rakannya yang mengandung. - mirror.co.uk 

KPN Tidak Boleh Dipaksa Tangkap Bapa Mualaf


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 8:45 PM
M. Indira Gandhi.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu memutuskan bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak boleh dipaksa untuk menangkap seorang bapa mualaf dan mengembalikan anak perempuannya kepada bekas isterinya yang beragama Hindu.

Ketika membenarkan rayuan KPN untuk mengetepikan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Aziz Ab Rahim memutuskan bahawa mahkamah tidak dapat menguat kuasakan perintah Mahkamah Tinggi itu kerana perkara itu melibatkan perbalahan peribadi.

"Perintah mandamus tidak harus dikeluarkan untuk menguatkuasakan hak peribadi," kata Abdul Aziz.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, Abdul Aziz berkata, M. Indira Gandhi belum habis menggunakan semua remedi undang-undang untuk mencari bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah dan anaknya.

"Dia tidak menghubungi bailif mahkamah untuk mencari anaknya," katanya yang mendengar rayuan bersama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Ahmadi Asnawi.
Tengku Maimun, yang membuat keputusan menentang, berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak tersilap dalam mengeluarkan perintah mandamus itu.

Pada 12 September lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh Indira Gandhi untuk perintah mandamus bagi memaksa Khalid menangkap Mohd Ridhuan dan mengembalikan anak perempuan mereka, Prasana Diksa, 6 tahun kepada dia.

Pada 2009, Mahkamah Syariah di Ipoh memberi kepada Mohd Ridhuan, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, hak penjagaan terhadap tiga anak mereka, Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana, 6, selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada Indira Gandhi hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak mereka dan Mohd Ridhuan diarah untuk mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.

Pada 30 Mei, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Ridhuan kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dia berulang kali gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada ibu kanak-kanak itu.

Indira Gandhi juga memperoleh perintah mendapatkan kembali dari Mahkamah Tinggi untu memaksa polis mengesan Muhammad Ridhuan.

Panel hakim yang sama menolak rayuan yang dikemukakan oleh seorang bapa mualaf Izwan Abdullah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sivil Seremban yang memberi hak penjagaan dua anak mereka kepada bekas isterinya yang beragama Hindu, S. Deepa.

Izwan yang sebelum ini dikenali sebagai N.Viran, merayu terhadap perintah itu yang dikeluarkan pada 7 April tahun ini yang memberi hak penjagaan anak perempuan, Sharmila, 9 tahun dan anak lelaki, Mithran, 6 tahun kepada ibu mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, Abdul Aziz memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkahwinan sivil apabila satu pihak telah memeluk agama Islam.

Hakim berkata apa yang Mahkamah Syariah boleh lakukan ialah untuk mengesahkan pembubaran perkahwinan tersebut.

"Mahkamah Syariah hanya boleh mengesahkan pembubaran perkahwinan akibat penukaran agama," kata Hakim Abdul Rahim.

Beliau kemudian mengarahkan Izwan membayar RM10,000 sebagai kos.

Panel hakim juga menolak rayuan Izwan terhadap perintah mendapatkan kembali yang diperoleh oleh Deepa dari Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan polis mengesan anak lelakinya, Mithran yang berada bersama Izwan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Izwan bagi penangguhan pelaksanaan perintah itu dalam tempoh tiga minggu sementara memohon kebenaran untuk menfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

Hakim Abdul Aziz memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi boleh mengeluarkan perintah mendapatkan kembali dan ia boleh mengeluarkan perintah yang perlu mengikut undang-undang.
Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut agama Hindu.

Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama ketiga-tiga kanak-kanak itu tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan seterusnya memperoleh perintah dari Mahkamah Syariah Seremban bagi penjagaan dan kawalan kanak-kanak itu.

Peguam Aston Paiva, mewakili Indira Gandhi, dan Mohd Haniff Katri Abdulla mewakili Izwan sementara peguam kanan persekutuan Suzana Atan mewakili Khalid.

5 Lelaki Termasuk Dua Beradik Didakwa Merusuh Di Stadium Shah Alam


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 3:13 PM

SHAH ALAM: Lima lelaki termasuk dua beradik pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada 7 Dis lepas.
Kelima-lima tertuduh iaitu Amirul Akmal Nooradzhar, 22; Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28; Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 19, serta dua adik beradik Mohd Aminuddin Hamdan, 34, dan Noor Hadi Hamdan, 29 didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam.
Majistret Ellyana Razali membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Kanak-Kanak 11 Tahun Jadi Mangsa Cabul Di Kedai Runcit


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 5:35 PM

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dicabul oleh lelaki warga Myanmar di sebuah kedai runcit di Kajang ketika keluar membeli telur ayam.
Mangsa, pergi ke sebuah kedai di Jalan Sungai Segamat kira-kira pukul 10.15 pagi Selasa membeli telur ayam untuk ibunya tetapi lelaki tersebut yang juga pekerja di kedai tersebut mencabulnya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata lelaki tersebut menarik kanak-kanak perempuan itu sebelum menyentuh alat kemaluannya.

"Kanak-kanak perempuan itu berlari pulang ke rumah dan memberitahu ibunya.

"Ibu mangsa kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut ke sebuah balai polis berdekatan dan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi.

Ab Rashid berkata polis pergi ke kedai runcit tersebut dan mencari suspek tetapi dia berjaya melarikan diri.

"Kami masih memburu suspek. Kami percaya dia masih di kawasan berdekatan. Kami memerlukan sedikit masa untuk menangkapnya," kata Ab Rashid.

Dua Maut, Tiga Cedera Nahas Dekat Penampang


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 4:53 PM

PENAMPANG: Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Bulatan Sigar dekat Donggongon di sini, pagi Rabu.

Kemalangan pada kira-kira jam 11.45 pagi itu membabitkan dua motosikal, sebuah pacuan empat roda serta sebuah lori treler.

Difahamkan, dua mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang dan pembonceng motosikal, masing-masing lelaki dan wanita.

Tiga mangsa yang cedera termasuk seorang dilaporkan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.49 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.

Seorang Maut, 9 Cedera Termasuk Rakyat Malaysia, Belon Udara Panas Terhempas Di Turki


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 7:23 PM
Sebuah belon udara panas dipercayai terhempas di sebuah pusat peranginan popular di Cappadocia, Turki.

ISTANBUL: Seorang pelancong China terbunuh manakala sembilan yang lain cedera apabila belon udara panas yang mereka naiki terhempas di sebuah pusat peranginan popular di Cappadocia, Turki pada Rabu.
Menurut laman web CNN Turki, warga China dan Malaysia antara mangsa yang berada di dalam belon udara panas itu.

Belon udara panas itu dilaporkan ditiup angin secara tiba-tiba sebelum jatuh terhempas ke tanah walaupun ia cuba melakukan pendaratan kecemasan.

Cappadocia terletak di tengah-tengah Turki, terkenal dengan ciri geologi yang dipanggil struktur batu-batu tajam.

Aktiviti menaiki belon udara panas adalah antara aktiviti popular di kawasan itu.

Bagaimanapun, di pusat peranginan itu, kemalangan maut tidak kerap berlaku.

Pada Mei tahun lalu, media tempatan melaporkan tiga rakyat Brazil meninggal dunia apabila dua belon dinaiki bertembung sesama sendiri.

Sementara itu, seorang pelancong British turut dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan pada 2009. - REUTERS

Gempa Bumi Sederhana Landa Utara Sumatera


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 7:30 AM

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda Pantai Barat Utara Sumatera pada 11.24 malam Rabu. 
Jabatan Meteorolog Malaysia, dalam satu kenyataan, berkata pusat gempa ialah 35 kilometer barat daya Simeulue, Indonesia dan 579km barat daya Lumut, Perak.

Jabatan itu sedang memantau kejadian itu dan akan memaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini.

Penunjuk Perasaan Larikan Lembu Peliharaan Polis


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 9:33 AM
MERU: Penunjuk perasaan menyerbu Balai Polis Githongo dan menghalau empat lembu peliharaan pihak berkuasa, lapor media pada Rabu.
Tunjuk perasaan itu diadakan sekumpulan penjaja pasar Githongo di daerah Abothuguci Barat. Kebanyakan mereka ialah pedagang dan pemandu teksi motosikal yang dikenali sebagai boda boda.
Sumber berkata, mereka berang kerana terus menjadi mangsa gangguan polis setempat.
Protes tercetus apabila lima anggota polis merampas sebuah boda boda dan menangkap seorang penjual daging yang cuba menghalang operasi pihak berkuasa itu.
Aktiviti di pasar itu tiba-tiba terhenti apabila penjaja menutup perniagaan masing-masing dan menyertai tunjuk perasaan.
Mula-mula mereka mengelilingi pasar sambil menyanyi dan membawa sepanduk.
Kata sumber, protes aman itu bertukar menjadi ganas apabila penunjuk perasaan menyerbu balai polis.
Ia diketuai seorang wakil rakyat setempat.
Sementara itu, penjual daging yang ditangkap itu, Martin Mwenda, berkata, seorang pemilik boda boda datang ke kedainya untuk membeli daging.
“Tidak lama kemudian lima anggota polis datang mahu merampas boda boda.
“Saya menghalang dan meminta polis menunggu pemiliknya datang terlebih dulu tetapi polis tersebut berkeras mahu membawa motosikal itu ke balai,” katanya.
Sumber lain pula berkata, polis meminta rasuah sebelum mahu membebaskan Mwenda.
Protes berkenaan berlangsung lebih sejam sebelum penunjuk perasaan melarikan empat lembu ke lokasi tidak diketahui.
Penduduk setempat berkata, polis di balai itu mengabaikan tanggungjawab masing-masing menjaga keselamatan kerana sibuk menternak lembu.