Search This Blog

Wednesday, December 17, 2014

Banjir semakin buruk di Kelantan

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk apabila 716 mangsa dipindahkan di empat daerah di negeri ini.
Kelmarin hanya daerah Pasir Puteh saja dilanda banjir yang membabitkan 19 orang.
Mengikut portal e-banjir Kelantan, sembilan pusat pemindahan dibuka di Jeli dengan mangsa seramai 605 orang; di Pasir Mas seramai 61 orang; Tanah Merah (31) dan Pasir Puteh (19).

Pemotong besi dituduh bunuh isteri

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 9:03 AM

 

ANNATHURAI dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membunuh isteri 9 Disember lalu di Kangkar Pulai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
JOHOR BAHRU: Seorang pemotong besi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh isterinya pada 9 Disember lalu.

  Tertuduh, C Annathurai, 26, dari Taman Nesa, Skudai mengaku faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

  Mengikut pertuduhan, Annathurai didakwa membunuh M Sila, 27 pada jam 5.50 pagi di rumah beralamat 50A, Jalan Meranti 2, Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai, dekat sini.


  Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

  Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 18 Januari depan sementara menunggu laporan bedah siasat.

  Sebelum ini, akhbar melaporkan Annathurai memukul mangsa susulan perselisihan faham antara mereka berdua. Mangsa yang ditemui dalam keadaan hidung dan kepala berdarah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum disahkan meninggal dunia.

STAFOC, Polis Perak tumpaskan ahli Geng Mamak di Kuala Kangsar

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 9:17 AM

 
IPOH: Polis Perak berjaya menembak mati seorang anggota Geng Mamak yang sangat dikehendaki serta menahan tiga lagi termasuk seorang wanita dipercayai teman wanita anggota geng berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, anggota yang ditembak mati berusia 24 tahun berasal dari Padang Rengas, Kuala Kangsar manakala dua anggota yang ditahan masing-masing berusia 50 dan 37 tahun masing-masing berasal dari Kampung Stesen, Kuala Kangsar.

"Dengan tertangkapnya dua ahli kumpulan Geng Mamak dan menambak mati seorang daripadanya, kami percaya mampu menyelesaikan 24 kes jenayah yang dilakukan kumpulan itu di negeri ini selain beberapa jenayah lain di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kelantan" katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, tengah hari tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui twitter rasminya hari ini berkata, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) bersama Polis Kontinjen Perak berjaya menumpaskan seorang ahli Geng Mamak berkenaan.



ANTARA status yang dimuatnaik Khalid mengenai kejayaan polis di laman twitter beliau.

Tiga lelaki warga asing ditembak mati di Pulau Carey

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 9:54 AM

 

TIMBALAN Ketua Polis Selangor DCP Datuk Abd Rahim Jaafar (lima dari kiri) melihat peralatan penjenayah pecah rumah yang ditemui di lokasi kejadian. - Foto ihsan PDRM
BANTING: Tiga lelaki warga asing, dipercayai terbabit dalam jenayah pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini, ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis, di Jalan Segenting, Pulau Carey, Kuala Langat, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata polis kini sedang memburu dua lagi rakan jenayah suspek yang mati ditembak dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu selepas mereka berjaya meloloskan diri di kawasan semak berhampiran tempat kejadian.

Ketiga-tiga penjenayah yang berusia antara 25 hingga 35 tahun itu mati di tempat kejadian.


beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kumpulan berkenaan baru menyamun sebuah di rumah di daerah ini beberapa jam sebelum itu.

"Suspek dipercayai terbabit dalam jenayah samun dan pecah rumah sekitar Pandan Indah, Taman Melawati dan Bukit Jelutong sejak tahun lalu.

"Polis turut merampas sepucuk pistol, parang dan peralatan pecah rumah daripada suspek," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Polis tahan lelaki di KLIA disyaki dalam perjalanan sertai IS

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 10:00 AM

 
KUALA LUMPUR : Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke Turki melalui Brunei untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS), kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Suspek berkenaan ditahan polis ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum meninggalkan negara ini untuk ke Brunei.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut akan dijalankan.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto fail NSTP/Effendy Rashid

Pelajar tingkatan empat maut dirempuh kereta

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 12:49 PM

 
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tingkatan empat terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat stesen minyak Batu Buruk, di sini awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Mohammad Farhan Mohd Rosdi, 16, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda Accord, Mohd Fadhir Sulong bersama dua penumpang datang dari arah Batu Buruk menuju ke Marang.

Beliau berkata, setiba di persimpangan itu, lampu isyarat di laluan kereta berkenaan bertukar hijau dan meneruskan perjalanan menghala ke Marang.


"Bagaimanapun, secara tiba-tiba mangsa yang datang dari arah Padang Negara dikatakan membelok ke kanan menuju ke stesen minyak menyebabkan kereta itu gagal mengelak lalu bertembung dengan mangsa.

"Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak dan kepalanya terhantuk pada cermin hadapan kereta lalu meninggal serta merta di tempat kejadian," katanya di sini.

Idris berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Lerek, Tepoh di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dituntut keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


MOTOSIKAL Mohammad Farhan yang remuk selepas bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat stesen minyak Batu Buruk, di sini awal pagi hari ini. - Foto Khairul Hamizy Ramlee

KERETA yang terbabit dalam kemalangan selepas bertembung dengan motosikal di persimpangan lampu isyarat stesen minyak Batu Buruk, di sini awal pagi hari ini. - Foto Khairul Hamizy Ramlee

Vokalis kumpulan rock, Terrarossa didakwa miliki dan masukkan dadah dalam badan

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 2:54 PM

 
AMPANG: Vokalis baharu kumpulan rock, Terrarossa, Khairul Hizam Kaha, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki dan memasukkan dadah jenis metaphatamine ke dalam badannya, Mei lalu.


KHAIRUL Hizam Kaha (kiri) dituduh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini. - Foto Nik Hariff Hassan

Dua maut, tiga cedera nahas dekat Penampang

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 4:36 PM

 
PENAMPANG: Dua maut manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Bulatan Sigar dekat Donggongon di sini, pagi tadi.

Kemalangan pada kira-kira jam 11.45 pagi itu membabitkan dua motosikal, sebuah pacuan empat roda serta sebuah lori treler.

Difahamkan, dua mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang dan pembonceng motosikal, masing-masing lelaki dan wanita.

Tiga mangsa yang cedera termasuk seorang dilaporkan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.49 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.


KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan yang mengakibatkan dua maut di Bulatan Sigar di Donggongon, Penampang. - Foto ihsan pembaca BH

KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan yang mengakibatkan dua maut di Bulatan Sigar di Donggongon, Penampang. - Foto ihsan pembaca BH

Banjir: 1,260 mangsa masih terjejas di Terengganu

KANAK-KANAK tidak melepas peluang bermain air banjir pada musim cuti persekolahan di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung yang dinaiki air. - Foto Mohd Syafiq Ambak
KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu tidak banyak berubah walaupun jumlah mangsa menurun kepada 1,260 orang petang ini berbanding 1,661 orang pagi tadi.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, beberapa pusat pemindahan di Setiu dan Kemaman juga ditutup selepas mangsa pulang ke rumah masing-masing.
Di Setiu, pusat pemindahan yang ditutup ialah Kampung Masjid Merbau Menyusut yang menempatkan 85 orang dari 32 keluarga dan Masjid Kampung Kasar yang menempatkan 149 dari 35 keluarga.
Di Kemaman, pusat pemindahan di Balai Raya JKKK Padang Kubu yang menempatkan 105 orang dari 19 keluarga), Masjid Lama Kampung Padang Kubu 22orang dari 5 keluarga dan Rumah Pegawai Ladang Padang Kubu yang menempatkan 60 orang dari 16 keluarga ditutup pada 11 pagi ini. Berikutan perkembangan itu, mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Setiu ialah seramai 190 orang daripada 50 keluarga,Kemaman 338 orang (82 keluarga), Marang 646 orang (163) keluarga, Hulu Terengganu 50 orang (18) keluarga, Kuala Terengganu 22 orang (5) keluarga danBesut 16 orang (3) keluarga.
Pada masa ini, sebanyak 20 pusat pemindahan masih beroperasi di negeri ini iaitu Setiu (7), Kemaman (6), Marang (3), Hulu Terengganu (2) dan KualaTerengganu serta Besut masing-masing satu pusat.
Sementara itu, paras air Sungai Setiu di Permaisuri dan di Langkap serta Sungai Marang di Pengkalan Berangan masing-masing berada pada tahan amaran.
Jabatan Meteorologi Malaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang kategori pertama dengan kelajuan angin 40-50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Terengganu sehingga 18 Disember ini.
- BERNAMA

Banjir kilat di bandar Sungai Lembing

SELASA, 16 DISEMBER 2014 @ 8:46 PM

 
Kuantan: Cuaca mendung dan hujan lebat sekejap-sekejap sejak pagi tadi menyebabkan banjir kilat kira-kira 0.3 meter di bandar Sungai Lembing, 30 kilometer dari sini.

Bagaimanapun, sehingga jam 8 malam, tiada yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah memaklumkan bahawa paras air Sungai Kuantan berhampiran Bukit Kenau, dekat sini, melepasi paras amaran jam 7 malam tadi.

Berikutan itu, seorang pegawai bersama 22 anggota Tentera Darat dari Kem Batu 10 ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sungai Lembing sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, banjir kilat bermula jam 4 petang tadi surut sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.


Jambatan kayu yang menghubungkan Pekan Sungai Lembing dengan empat kampung lain bagaimanapun masih ditenggelami air.

Sehingga jam 8 malam tadi, jambatan kayu berkenaan masih lagi ditenggelami air dan siren amaran banjir berfungsi dengan baik dengan mengeluarkan bunyi amaran setiap sejam sebagai peringatan kepada penduduk bersedia untuk sebarang kemungkinan.


PEKAN Sungai Lembing dinaiki air sedalam 0.3 meter akibat hujan berterusan sejak malam kelmarin. - Foto NSTP

SEBAHAGIAN pekan Sungai Lembing dinaiki air sedalam 0.3 meter akibat hujan berterusan sejak malam kelmarin. - Foto NSTP

HUJAN lebat berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan jambatan kayu yang menghubungkan beberapa kampung terputus hubungan dengan pekan Sungai Lembing. - Foto NSTP

Lelaki tembak mati enam orang di AS


ANGGOTA polis berkumpul dekat sebuah rumah di Pennsburg, dipercayai tempat suspek Bradley William Stone menyembunyikan diri selepas kejadian tembak di tiga lokasi berbeza. - Foto AP
NEW YORK: Seorang lelaki bersenjata menembak mati enam orang dan seorang lagi cedera parah dalam kejadian dekat bandar timur laut Amerika Syarikat, Philadelphia, kata pihak berkuasa, hari ini.
Polis kini sedang memburu suspek berkenaan.
Pendakwa raya Montgomery County, Pennsylvania berkata, kesemua tujuh mangsa yang dikatakan mempunyai "ikatan keluarga" dengan suspek, dikenali sebagai Bradley William Stone.
Police berkata, Stone yang kemungkinan memakai pakaian seragam tentera dikatakan "bersenjata dan berbahaya."
Tiada motif diberikan berkaitan kejadian tembak itu. Salah seorang yang maut dipercayai wanita yang dibunuh di dalam rumahnya pada tengah malam.
Jiran mangsa menelefon media tempatan bahawa suspek kemudiannya beredar dari rumah itu dengan anak mangsa.
Stesen televisyen ABC pula berkata, suspek dipercayai seorang bekas anggota tentera.
Kejadian tembak itu berlaku di tiga tempat berbeza di pinggir bandar Philadelphia iaitu Souderton, Lansdale dan Lower Salford.
Polis sedang mencari lokasi keempat di bandar Pennsburg iaitu tempat tinggal Stone. - AFP

Ancaman bom lewatkan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Zurich

GENEVA: Sejumlah besar jadual penerbangan mengalami kelewatan dan sebahagian lapangan terbang utama Switzerland di Zurich terpaksa ditutup selepas menerima ancaman bom semalam sebelum pihak berkuasa memaklumkan keadaan berjaya dikawal, kata laporan dan pegawai tempatan.
Berbelas penerbangan terbabit mengalami kelewatan sehingga 30 minit dan tidak dapat dipastikan jenis ancaman yang berlaku.
Bagaimanapun, tiada penerbangan dibatalkan.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, amaran keselamatan itu dibuat apabila pihak lapangan terbang menerima panggilan ancaman bom daripada individu yang tidak dikenali.
"Semuanya kembali beroperasi seperti biasa dan penerbangan akan disambung semula mengikut jadual," kata jurucakap polis, Carmen Surber, hari ini. - AFP

Penerbangan terjejas akibat ugutan bom di lapangan terbang Zurich



Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich.
GENEVA: Ugutan bom menyebabkan penerbangan terjejas dengan sebahagian Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich terpaksa ditutup hari ini sebelum pihak keselamatan membenarkan ia beroperasi semula.
Polis berkata, berpuluh penerbangan tertunda sehingga lebih 30 minit selepas pihak keselamatan menerima ancaman bom.
Bagaimanapun tiada penerbangan dibatalkan.
Media tempatan melaporkan, tahap keselamatan dipertingkatkan selepas seorang yang tidak dikenali membuat panggilan ancaman bom.
"Semuanya kembali seperti biasa selepas itu dan semua operasi penerbangan disambung semula," kata jurucakap polis, Carmen Surber.

JSJN rampas dadah RM5.7 juta, patahkan cubaan seludup dadah warga Nigeria

RABU, 17 DISEMBER 2014 @ 2:18 PM

 
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya mematahkan cubaan seludup dadah oleh sindiket warga Nigeria serta merampas 43.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 5.4 kg ephedrine membabitkan nilai keseluruhan RM5.7 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh pasukannya dalam operasi berasingan dijalankan JSJN di pintu masuk lapangan terbang negara pada 13, 14 dan 16 Disember.

Beliau berkata dalam rampasan pertama iaitu pada jam 8.50 malam, Sabtu lalu, sindiket telah menyeludup masuk dua bungkusan berasingan dengan menggunakan satu dokumen perjalanan udara.

"Satu daripada bungkusan itu mengandungi pakaian terpakai termasuk seluar jeans, sementara satu lagi didapati mengandungi sejumlah 20.2 kg syabu.


"Bungkusan itu telah dihantar dari Abuja, Nigeria menggunakan penerbangan Egypt Air melalui Kaherah ke Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, sebentar tadi.

Noor Rashid berkata, bagi rampasan kedua, pada Ahad pula, pemantauan rapi dilakukan JSJN pada 7.10 malam berjaya menahan seorang lelaki India berusia 44 tahun yang baru tuba dari Chennai, India.

"Hasil pemeriksaan ke atasnya, kita berjaya merampas satu bungkusan mengandungi 5.4 kg ephedrine yang disorokkan dalam ruangan bawah bagasi yang telah diubah suai.

"Suspek telah ditahan dan direman bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Merbahaya (ADM) 1952," katanya.

Bagi rampasan ketiga iaitu pada jam 7.10 malam, semalam, beliau berkata modus operandi sama digunakan dengan rampasan pada Sabtu iaitu menyorok barang terlarang itu dalam sebuah kotak yang dihantar dari Abuja.

"Hasil pemeriksaan di kargo, berjaya merampas 23 kg syabu dan kita percaya ia dilakukan oleh sindiket sama pada Sabtu," katanya.

Katanya, walaupun tiada tangkapan bagi rampasan pada Sabtu dan semalam, anggota tetap akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39(b) ADM 1952 bagi menjejaki sindiket berkenaan.

Kes godam ATM gemparkan pemilik akaun bank

KUALA LUMPUR: Tahun ini negara digemparkan dengan kes penggodaman 17 mesin juruwang automatik (ATM) di ibu negara, Selangor, Melaka dan Johor Bahru membabitkan kerugian lebih RM3 juta.
Ada sindiket yang dipercayai terbabit terdiri daripada warga Amerika Latin yang dikesan pada September lalu.
Kes berkenaan membuka mata banyak pihak mengenai keperluan tahap keselamatan sistem perbankan bukan sahaja ditumpukan kepada kad-kad bank malah sistem mesin ATM.
Ini kerana jenayah siber jenis baharu itu mencetuskan kebimbangan kira-kira 15 juta pemilik akaun bank di negara ini yang khuatir dengan keberkesanan sistem keselamatan institusi perbankan dalam melindungi kepentingan pemilik akaun.
Kejadian penggodaman mesin ATM itu adalah jenayah pertama berlaku di negara ini selepas jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM yang berlaku sejak 1997 hingga 2002, kerana kad ATM dan kad kredit hanya menggunakan sistem pita magnetik di belakang kad pada ketika itu. Bagaimanapun, jenayah pengklonan itu berjaya diatasi selepas Bank Negara menguatkuasakan penggunaan sistem cip dan pita magnetik pada setiap kad ATM pada 2003.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata bahawa jenayah terancang yang dikaitkan dengan kumpulan sindiket itu dikenal pasti menggunakan kaedah menyuntik virus malware 'ulssm.exe' sebelum memasukkan cakera padat (CD) ke dalam pembaca cakera padat (CD-ROM) yang terdapat di dalam mesin-mesin itu untuk mengeluarkan wang.
Kaedah itu digunakan bagi menipu sistem pengkomputeran bank sebelum mengeluarkan kesemua wang dalam ATM itu menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon daripada rakan anggota sindiket itu, namun data pelanggan bank berkenaan tidak digangguatau dikompromi.
Susulan jenayah godam itu, polis melancarkan 'Ops Godam ATM' membabitkan pasukan khas daripada polis Bukit Aman dan polis kontinjen negeri untuk memburu penjenayah berkenaan secara besar-besaran, termasuk membuat pemantauan di setiap pintu masuk negara sama ada melalui jalan darat, laut dan udara.
Gambar suspek hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, turut disebarkan di seluruh negara termasuk bagi tujuan pemantauan di pintu masuk, namun belum ada sebarang tangkapan. Beberapa langkah keselamatan diambil pihak bank untuk menghalangmesin ATM daripada serangan siber termasuk menaik taraf sistem operasi komputer dan menempatkan pengawal keselamatan di setiap mesin dalam tempoh tiga bulan.
Menurut laporan media antarabangsa, kaedah menggodam ATM itu pertama kali dikesan di Mexico pada September tahun lalu, dan berdasarkan kes itu, penyelidik keselamatan Symantec percaya penggodam mengeksploitasi kelemahan operasi ATM yang menggunakan satu sistem perisian jenis lama.
Selain itu, negara dikejutkan dengan kes kebocoran beberapa kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 pada Oktober yang menyebabkan semua calon terpaksa mendudukinya semula.
Peperiksaan semula kertas Bahasa Inggeris dan Sains UPSR diadakan pada 30 September lalu manakala bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil diadakan pada 9 Oktober lalu.
Ekoran kejadian itu, polis mengambil keterangan daripada lebih 30 individu untuk membantu siasatan, manakala Kementerian Pendidikan menggantung tugas Pengarah Lembaga Peperiksaan Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh.
Sehingga kini sudah empat guru dihadapkan di mahkamah masing-masing dua orang di Negeri Sembilan dan Perak atas tuduhan memiliki salinan kertas soalan UPSR itu.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan kerajaan kini sedang melihat keperluan menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai peranti alternatif bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Insiden letupan bom di hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang pada 9 Oktober lalu, turut mewujudkan keperluan menggubal undang-undang lebih berkesan dalam mengekang aktiviti kumpulan kongsi gelap.
Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini yang menyebabkan seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing.
Polis percaya kejadian itu adalah cubaan membunuh yang bermotifkan persaingan aktiviti haram ke atas seorang lelaki kerana pembabitannya dalam menjalankan aktiviti perjudian haram.
Sehingga kini belum ada tangkapan dan polis hanya mendedahkan wajah suspek utama, seorang lelaki berusia 40-an.
Dekan Kolej Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti UtaraMalaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed menyatakan perlunya undang-undang khas yang setara dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digubal segera bagi membanteras rangkaian kongsi gelap dan jenayah berat selepas ISA dan Ordinan Darurat (OE) dimansuhkan pada 2012.
- BERNAMA

3 penjenayah warga asing ditembak mati


KUALA LANGAT 17 Dis. - Tiga penjenayah warga asing maut selepas ditembak oleh polis berhampiran Jalan Pusara, Telok Panglima Garang di sini awal pagi ini.
Polis masih memburu saki baki penjenayah yang berjaya melepaskan diri di kawasan itu. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/3-penjenayah-warga-asing-ditembak-mati-1.37404#sthash.6quAIFi0.dpuf

Polis selamatkan 69 kanak-kanak, remaja lelaki


MUMBAI 17 Dis. – Pasukan polis menempatkan seramai 69 orang kanak-kanak dan remaja lelaki di beberapa pusat jagaan selepas menyelamatkan mereka daripada sindiket pemerdagangan manusia semalam yang membawa mereka ke kawasan bandar untuk bekerja secara haram.
Inspektor bertugas, Vijay Dhopavkar berkata, seramai 24 orang ditahan dalam operasi terbabit selepas didapati membawa kanak-kanak bawah umur tersebut untuk bekerja.
“Kebanyakan mereka berusia antara 10 dan 16 tahun. Mereka telah dihantar ke pusat jagaan,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-selamatkan-69-kanak-kanak-remaja-lelaki-1.37140#sthash.AO0S8oLX.dpuf

Ahli Geng Mamak ditembak mati


IPOH 17 Dis. - Seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan penjenayah Geng Mamak ditembak mati dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, polis menyerbu kediaman berkenaan yang dipercayai dijadikan markas logistik kumpulan tersebut. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ahli-geng-mamak-ditembak-mati-1.37405#sthash.EdY8Y0MC.dpuf

Dua anak kekal dipelihara ibu beragama Hindu


PUTRAJAYA 17 Dis. - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan dua orang anak milik pasangan berlainan agama kekal dipelihara oleh ibu mereka, S. Deepa yang beragama Hindu.
Demikian keputusan majoriti panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang bersidang bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Ahmadi Asnawi selepas menolak rayuan N. Viran atau nama Islamnya, Izwan Abdullah.
Izwan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan hak penjagaan dua anaknya kepada bekas isteri yang masih beragama Hindu. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/dua-anak-kekal-dipelihara-ibu-beragama-hindu-1.37408#sthash.Y7SZ2blB.dpuf

Tiga Suspek Rompakan Maut Dalam Kejadian Berbalas Tembakan


Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 12:33 PM

PETALING JAYA: Tiga suspek rompakan maut ditembak selepas satu kejadian pecah rumah dilaporkan di Banting awal pagi Rabu.
Pasukan polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.30 pagi, dan mereka bertembung dengan lima suspek di Jalan Segenting, sebelum memasuki Pulau Carey di Klang.
Kejadian tembakan berlaku pada pukul 6.30 pagi dan ketiga-tiga suspek, berusia 25 hingga 30 tahun ditembak mati, manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kelima-lima suspek, kesemuanya warga asing menaiki kereta Toyota Vios yang dilaporkan dicuri di Subang Jaya pada 2013.
Mereka merempuh tiang lampu ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.
Abdul Rahim berkata, kesemua suspek bergegas keluar dari kereta dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah polis.
"Pasukan kita terpaksa membalas tembakan. Tiga perompak maut ditembak.
"Kita sedang memburu dua lagi yang cuba melarikan diri masuk ke kawasan hutan berhampiran," tambahnya.
Polis menemui sepucuk pistol, dua parang dan tiga telefon bimbit di lokasi kejadian.
Abdul Rahim berkata, polis menerima dua laporan iaitu satu insiden pecah rumah dan cubaan rompakan sebelum kejadian tembak-menembak berlaku.
"Kesemua mereka terbabit dengan tujuh ke lapan kes pecah rumah di sekitar Pandan Indah dan Taman Melawati di Ampang, termasuk di Bukit Jelutong.
"Kita percaya mereka sebahagian daripada satu kumpulan, yang mana salah seorang anggotanya maut ditembak polis dalam insiden sebelum ini," katanya.

Mayat remaja lelaki dipercayai dibunuh


Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari
CAMERON HIGHLANDS - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di tepi sungai di Batu 49, Kuala Terla, Kampung Raja di sini, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat berusia lingkungan 20 an itu ditemui tidak berbaju dan berseluar jean hitam panjang dipercayai dibunuh.

“Polis menerima panggilan telefon dari seorang lelaki Cina kira-kira jam 12.40 tengah hari kelmarin yang menyatakan ada terjumpa mayat lelaki di tepi sungai tersebut.

“Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya ke lokasi berkenaan dan telah menemui mayat lelaki itu dalam keadaan terbaring terlentang dicelah batu sungai,” katanya di sini, semalam.

Wan Mohd Zahari berkata, terdapat kesan cedera dipercayai terkena objek tajam di bahagian leher kiri, dahi dan koyakan di bahagian pipi kanan.

Menurutnya, selain itu terdapat juga kesan calar di bahagian dada mangsa.

Beliau berkata, mayat terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Cameron Highlands untuk bedah siasat dengan dibantu pihak forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Kami meminta mana-mana saksi bebas untuk tampil ke hadapan membantu siasatan.

“Selain itu, jika ada ahli keluarga yang hilang dalam masa terdekat ini serta mempunyai deskripsi tersebut sila tampil ke IPD Cameron Highlands,” katanya.

Empat ditahan samun pelancong di Georgetown


Gambar hiasan
Gambar hiasan
GEORGETOWN - Polis menahan empat lelaki yang disyaki menyamun dan memukul seorang pelancong wanita Thailand di Lebuh Leith di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam  kejadian pukul 4.15 pagi itu, seorang daripada lelaki terbabit berpura-pura bertanya sesuatu kepada wanita berkenaan sebelum rakannya datang dan menarik rambut wanita itu dari belakang.
"Kepala mangsa juga dipukul dengan objek keras menyebabkan dia terjatuh sebelum beg tangannya dilarikan empat suspek terbabit yang menaiki dua motosikal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata keempat-empat lelaki berusia antara 19 dan 20 tahun itu ditahan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di persimpangan Jalan Masjid Kapitan Keling dan Jalan Lebuh Chulia kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Polis percaya mereka mempunyai kaitan dalam 34 kes ragut yang dilapor tahun ini, katanya dan memberitahu polis merampas empat bilah pisau pemotong kertas yang dipercayai diguna untuk mengugut mangsa dan menemui semula beg tangan dan barangan peribadi milik pelancong berkenaan. 
Sementara itu, polis menahan seorang penagih dadah awal hari ini, kira-kira 15 jam selepas lelaki terbabit dipercayai melarikan sebuah lori di Lebuh Leith.

Mior Faridalathrash berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan ketika cuba menghidupkan lori jenis Isuzu tiga tan yang dilarikan itu di Lebuh Cecil pada pukul 2 pagi.

"Lori itu dikesan di Lebuh Cecil pada pukul 7.30 malam dan polis menunggu sehingga suspek datang dan mengambil lori itu pukul 2 pagi tadi," katanya.
Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati lelaki yang pernah ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dua tahun lepas itu positif dadah jenis Amphetamine. Dia kini direman enam hari.
Polis percaya dengan penahanan lelaki itu, dapat menyelesaikan lapan kes curi lori di sini, katanya sambil memberitahu 29 lori pelbagai jenis dilapor hilang tahun ini dan polis turut menyiasat kemungkinan suspek terlibat dalam kes-kes itu. -Bernama

Mayat tergantung belakang hotel


Anggota polis dan bomba membawa keluar mayat yang ditemui tergantung di sebatang pokok di belakang Hotel Seri Malaysia semalam.
Anggota polis dan bomba membawa keluar mayat yang ditemui tergantung di sebatang pokok di belakang Hotel Seri Malaysia semalam.
SEREMBAN – Mayat yang lengkap berpakaian ditemui orang awam dalam keadaan tergantung di sebatang pokok di belakang Hotel Seri Malaysia Seremban di Jalan Sungai Ujong dekat sini, semalam.

Difahamkan, mayat yang masih tidak diketahui identiti itu dipercayai mati beberapa hari dan tergantung dengan wayar elektrik di sebatang pokok setinggi 3.78 meter.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menjumpai mayat tergantung di sebatang pokok di kawasan tersebut, kira-kira jam 3.37 petang.

“Keadaan mayat sudah membengkak dan berulat dipercayai sudah mati beberapa hari menyebabkan sukar untuk pengecaman dan pengesahan jantina.

“Tiada bukti lain diperoleh di tempat kejadian dan post mortem akan dilakukan esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, mayat tergantung dipercayai menggunakan kain sari yang membaluti badan mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mokhtar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.01 petang.

“Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera dengan dibantu sebuah unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba sepuluh minit kemudian, mayat mangsa masih lagi tergantung di atas sebatang pokok dan dalam keadaan berbau busuk.

“Kami perlu menunggu polis forensik tiba ke tempat kejadian sebelum menurunkan mayat berkenaan.

“Kerja-kerja menurunkan mangsa tamat pada jam 5.12 petang dan mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat,” katanya.

16 GRO Vietnam ditahan di Mentakab


Antara warganegara Vietnam yang ditahan kerana menyalah gunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di premis hiburan di Mentakab dan menawarkan kegiatan tidak bermoral.
Antara warganegara Vietnam yang ditahan kerana menyalah gunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di premis hiburan di Mentakab dan menawarkan kegiatan tidak bermoral.
TEMERLOH - Polis menahan 16 warganegara Vietnam dalam serbuan di sebuah premis hiburan  dipercayai terlibat dengan kegiatan tidak bermoral termasuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, serbuan jam 1 pagi semalam di kawasan Taman Perindustrian Temerloh di Mentakab itu berjaya menahan mereka yang berusia antara 19 hingga 28 tahun.

Menurutnya, serbuan dilakukan cawangan Pencegahan Maksiat dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh itu turut menahan tiga lelaki tempatan berumur 29 hingga 39 tahun yang merupakan pemilik dan pekerja premis tersebut.

“Hasil risikan polis, kami percaya kesemua wanita berkenaan menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan turut menjalankan kegiatan tidak bermoral didalangi lelaki warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Anuar berkata, kesemua tangkapan kini di reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan (kegiatan pelacuran).

Beliau berkata, mereka yang ditahan juga akan disiasat di bawah Seksyen 39b peraturan-peraturan imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, polis akan membendung kegiatan tidak bermoral seperti ini yang jarang berlaku di dalam daerah Temerloh.

Sehubungan dengan itu katanya, polis meminta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat sekiranya mereka mempunyai maklumat berlakunya kegiatan tidak bermoral seperti ini.

22 wanita tawar seks, pelanggan diberkas


Antara individu yang ditahan bagi membantu siasatan.
Antara individu yang ditahan bagi membantu siasatan.
KUALA LUMPUR – Sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman memberkas 22 wanita warga asing dipercayai menawarkan khidmat seks di tiga premis rumah tumpangan di Jalan Petaling, kelmarin.

Seramai dua pegawai dan 10 anggota D7 Bukit Aman yang diketuai oleh Asisten Superintendan Muhammad Mohd Jais terlibat dalam  serbuan pada kira-kira 4.15 petang itu.

Muhammad berkata, pihaknya memberkas 17 wanita warga India dan lima wanita warga Indonesia, turut ditahan 12 pelanggan berusia dalam lingkungan umur 28 hingga 40 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kesemua wanita warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri. Kita percaya premis itu menjadi port warga asing untuk melepaskan nafsu dengan bayaran khidmat seks kira-kira RM30 hingga RM50,” katanya.

Kesemua yang ditahan itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

13 anggota tentera kemalangan


Keadaan trak ATM yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 13 anggota dan pegawai.
Keadaan trak ATM yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 13 anggota dan pegawai.
KAMPAR - Seramai 13 anggota tentera termasuk pegawai dari Kem 2 Woksyop Briged Jalan Tambun Ipoh terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer 9.4 Kuala Dipang-Chenderiang, Kampung Sahom, di sini pagi, semalam.

Daripada jumlah itu, tiga adalah wanita, masing-masing berusia antara 22 hingga 44 tahun.

Dalam kejadian jam kira-kira 7.50 pagi itu, trak ATM yang dipandu seorang anggota berpangkat Koperal  dalam perjalanan menuju ke Lata Kinjang untuk menjalani latihan Jalan Laju 15 Kilometer.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, pemandu trak tersebut cuba mengelak sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, akibatnya, trak berkenaan terbabas di bahu jalan dan melanggar tiang elektrik sebelum terbalik di dalam parit sebelah kiri jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan dua penumpang belakang trak tersebut iaitu Sarjan Tun Normiza Azis, 32, dan Staff Sarjan Mohd Nizam Md Zain, 41, cedera parah masing-masing akibat patah tulang rusuk kiri.

“Manakala, empat yang lain iaitu Sarjan Jamilah Ahmad, Sarjan Mohd Hafiz Ali, Pegawai Waran II Sairol Azil bin Mat Khir dan Pegawai Waran II Mohd Zahrul Hisham Abdullah hanya mengalami cedera ringan.

“Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, tujuh anggota lain masing-masing berpangkat Kapten, Leftenan, Sarjan, Koperal, Lans Koperal dan Prebet tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Sek 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Dipenjara enam tahun bunuh rakan


Nor Kamal dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, kelmarin.
Nor Kamal dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara enam tahun selepas mengaku salah membunuh tanpa niat rakan senegaranya, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, kelmarin.

Nor Kamal Shom Shu, 17, mengaku salah menyebabkan kematian terhadap mangsa, Mohamad Rofik Sayed Karim, di rumah kongsi tapak pembinaan Masjid, Kampung Durian Mentangau, Dungun, 2 April lalu, lebih kurang jam 2 pagi.

Dengan itu, dia yang bekerja sebagai buruh binaan mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Nor Zanuar Wan Ahmad.

Ibu hamil maut, dua ahli keluarga kritikal


Kereta jenis Perodua Kancil dinaiki lima sekeluarga remuk.
Kereta jenis Perodua Kancil dinaiki lima sekeluarga remuk.
SUNGAI PETANI – Seorang wanita hamil empat bulan maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Petani-Alor Setar berdekatan Bedong, kira-kira jam 1.20 petang, semalam.

Mangsa, Intan Safina Hussin, 26, maut manakala suaminya, Azril Azmi, 30, dan anak sulung berusia 10 tahun dilaporkan kritikal serta dua lagi anak mereka masing-masing berusia lapan dan lima tahun mengalami kecederaan.

Difahamkan, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil gagal memotong lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Khairil Shamsul Md Yusof berkata, tujuh anggota diarah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan sementara mayat Intan Safina dibawa ke Unit Forensik untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sabri Muhammad.