Search This Blog

Friday, December 12, 2014

Dua Maut, Dua Cedera Kapal Asing Muatan LPG Terbakar


Diterbitkan: Khamis, 11 Disember 2014 12:24 PM

KUALA TERENGGANU: Dua maut, manakala dua lagi cedera selepas kapal tangki yang membawa muatan gas petroleum cair (LPG) terbakar dalam kejadian kira-kira 26 batu nautika dari Timur Laut Kuala Terengganu, petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu seorang krew warga Myanmar, Zaw Myo Htut, 23, dan seorang lagi warga Korea Selatan, Song Oh Weon, 56, maut di tempat kejadian selepas terbakar.
Manakala dua lagi yang cedera iaitu seorang krew warga Myanmar, Khine Zin Lin, 28, dan seorang krew warga Korea Selatan Chow Tea Won, 64, masing-masing cedera pada bahagian kaki dan perut.
Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu, Mohammad Zainal berkata sebaik menerima laporan berhubung insiden itu, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kebakaran itu telahpun dipadamkan namun terdapat mangsa yang cedera dan maut akibat kebakaran tersebut.
"Hasil pemeriksaan ke atas kapal tersebut, kita menemui dua krew kapal telah meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Pengkalan APMM Pulau Kambing untuk diberikan rawatan lanjut," katanya ketika  ditemui pemberita, di sini, Khamis.
Menurutnya kapal yang belayar ke Korea Selatan bersama 23 krew ini dipercayai dalam perjalanan menuju ke Thailand sebelum terbakar di perairan negara.
Mohammad berkata siasatan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berwajib.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala dua mayat tersebut turut dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

OKU Jaja Tisu: Sindiket 'Bela' Warga Asing Jadi 'Penarik'


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 3:49 PM

PETALING JAYA: Warga asing dengan status meragukan dipercayai 'berselindung' di sebalik aktiviti minta sedekah dengan menjadi pengiring kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan yang menjual tisu.
Kumpulan yang kebanyakannya di kalangan wanita  berusia sekitar 30 hingga 45 tahun ini juga dikenali sebagai 'penarik' akan bersama OKU berkenaan menjual tisu atau meminta sedekah dari meja ke meja makan pelanggan restoran di kawasan tumpuan ramai.
Lebih mengejutkan apabila ada pengiring celik ini yang dikatakan diupah pihak tertentu dan mengambil kesempatan terhadap sebilangan OKU buta yang mencari rezeki dengan menjual tisu.
Pekerjaan ini menjadi sasaran pihak berkenaan yang berperanan umpama sindiket ini kerana ia antara sumber pendapatan yang menjanjikan pulangan tinggi kepada golongan istimewa itu seperti mana pendedahan mStar Online baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, maklumat terbaharu ini diterima daripada golongan OKU menerusi emel sebagai maklum balas terhadap laporan portal berita ini yang mendedahkan mengenai OKU buta menjual tisu mampu meraih pendapatan lebih RM2,500 sebulan.
Pengirim emel itu juga mengakui ramai OKU buta yang ditindas pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan 'kekurangan' mereka untuk mendapat untung atas angin dan meminta mStar Online mendedahkan kegiatan itu.
"Mereka akan berkumpul di gerai-gerai makan sebelum memulakan operasi dan kembali semula ke kawasan itu setelah selesai operasi untuk mengira hasil pendapatan.
"Saya yakin dan percaya kebanyakan warga asing ini tidak mempunyai permit kerja yang sah,e tetapi menjadi 'penarik' kerana kerja itu mudah dan lumayan," kata seorang OKU cacat penglihatan melalui emel yang dihantar kepada mStar Online.
Dia yang tidak mahu mendedahkan identitinya menyatakan kebimbangannya jika aktiviti ini berlarutan, golongan OKU akan terus ditindas, manakala pihak lain yang mengaut keuntungan 'atas angin'.
Katanya, disebabkan aktiviti mengemis dan menjual tisu ini, golongan OKU buta yang hidup berdikari dan bekerja terkena tempias dan terpaksa berdepan persepsi negatif masyarakat.
"Penglibatan warga asing dalam kerja menjaja tisu kononnya sebagai pengiring orang buta menggalakkan kebanjiran pendatang asing kerana pekerjaan tersebut mudah dan lumayan," katanya yang berkerja dalam bidang refleksologi.
Seorang lagi OKU cacat penglihatan yang membuka perniagaan sendiri berkata, ada situasi di mana wanita warga asing yang menjadi 'penarik' berkahwin dengan OKU buta.
"Bila sudah berkahwin, hasil jualan tisu akan jadi pendapatan bersama.
"Ada juga kes di mana OKU buta keluar bergilir-gilir, kadang-kadang dengan isteri sendiri, kadang-kadang dengan penarik warga asing," katanya yang juga tidak mahu mendedahkan identiti.
Diminta mengulas dakwaan OKU berkenaan, Ketua  Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk Ganesan Supayah berkata, pihaknya sedar akan kebanjiran warga asing berpasangan dengan OKU buta di sekitar ibu kota.
Katanya, kegiatan mereka ini dapat dilihat di Kuala Lumpur terutama sekitar Brickfields kerana kawasan tersebut 'mesra OKU' dan menjadi tumpuan ramai.
"Orang asing itu paling membimbangkan kita terutama kerana status mereka diragui.
"OKU buta pun kita bimbang. Kita tak tahu mereka datang dari mana, tetapi yang pasti semakin hari mereka semakin ramai," katanya sambil menambah di Brickfields sahaja terdapat kira-kira 1,000 OKU cacat penglihatan.
Beliau berkata, agensi-agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu sentiasa menjalankan pemantauan dan bertindak pro-aktif dalam usaha menangani isu ini.
Beliau menambah, MAB juga sedia berkerjasama dengan agensi-agensi tersebut untuk memastikan kegiatan ini dikurangkan.

Rakan Syak Jutawan Britain Dibunuh Mafia Rusia


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 10:51 AM
Noelle sentiasa bersama Young semasa berhadapan masalah kewangan.

LONDON: Jutawan Britain, Scot Young yang ditemui mati terpacak pada pagar besi pangsapurinya pada Isnin didakwa dibunuh kerana 'banyak berhutang dengan orang yang 'salah'.
Kematiannya juga dikaitkan dengan hubungan rapat usahawan hartanah itu dengan pihak mafia Rusia sejak dua tahun lalu.
Mayat lelaki berusia 52 tahun itu pangsapurinya yang terletak di kawasan mewah Marylebone di tengah-tengah bandar ini selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter.
Rakannya yang enggan dikenali itu mendakwa Young berstatus muflis dan berhutang dengan pihak yang tidak sepatutnya hingga menyebabkan dia ditolak dari balconi kediaman mewahnya di Hotel London Dorchester oleh mafia Rusia.
Young juga dikatakan sentiasa dalam ketakutan sambil menambah: "Saya percaya Scot dibunuh."
Walaupun pihak polis tidak menyiasat kematiannya sebagai sesuatu yang mencurigakan, tetapi rakannya itu masih bertegas menyatakan bapa kepada dua cahaya mata itu mungkin telah dicampak dari tingkap Hotel Park Lane dua tahun lalu jika tidak menjelaskan hutangnya.
"Saya sama sekali tidak percaya Scot membunuh diri, sebaliknya hati kecil saya tetap berkata dia dibunuh.
"Saya mengenalinya lebih 20 tahun dan kami memang takut dengan apa yang mungkin berlaku. Saya percaya Scot dibunuh kerana dia berhutang dengan orang yang 'salah'," katanya.
Seorang lagi rakannya juga mendakwa ketika menemuinya di Marylebone sebulan lalu, Young menyatakan rasa bimbang dia akan dibunuh.
Sumber lain pula berkata: "Dia bimbang kerana ada orang mengekorinya. Ramai rakan Scot tidak terkejut dengan kematiannya."
Jutawan berusia 52 tahun itu meninggal dunia dalam keadaan yang sangat ngeri sehingga memaksa pihak polis menutup tempat kejadian dengan kain pemidang bagi mengelak mayatnya dilihat oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan mewah tersebut.
Pihak bomba dan penyelamat kemudiannya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memotong pagar besi tersebut bagi mengeluarkan mayat mangsa.
Mangsa menjadi popular tidak sampai setahun yang lalu apabila kes perceraiannya disifatkan sebagai yang paling mahal pernah dibicarakan di mahkamah tinggi Britain apabila bekas isterinya, Michelle Young, 49, memenangi kes tersebut dengan pampasan berjumlah £20 juta.
Perbicaraan kes itu berlangsung selama enam tahun.
Kemuncak kepada bala yang dihadapinya itu ialah apabila mahkamah mengeluarkan perintah penjara ke atasnya selama enam bulan Januari tahun lalu kerana enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai harta-hartanya sebagaimana yang diperintahkan.
Kekasih mendiang, Noelle Reno, yang juga seorang model berdiri teguh di sampingnya ketika saat-saat dia mengharungi hukuman penjara itu.
Selepas kes itu selesai, Michelle menyifatkan yang apa yang dia terima adalah sesuatu yang memalukan kerana dia mendakwa yang bekas suaminya itu mempunyai aset dan wang tunai bernilai berbilion pound sterling.


Susulan kematian ngeri itu, polis masih lagi menyiasat punca kejadian sama ada ia disebabkan kemalangan atau akibat daripada tekanan yang ditanggung oleh mendiang selepas kes perceraiannya itu.

Satu Lagi Kumpulan Myanmar Disyaki Terlibat Kes Bunuh Di Pulau Pinang


Diterbitkan: Khamis, 11 Disember 2014 12:33 PM

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang percaya selain sekumpulan lelaki warga Myanmar yang ditahan bagi bantu siasatan kes bunuh rakan senegara mereka, satu lagi kumpulan turut terlibat dalam kejadian itu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan siasatan dan maklumat yang diperoleh, kumpulan warga Myanmar yang dikenal pasti itu turut terlibat dalam beberapa kejadian bunuh yang berlaku di negeri ini.
"Berdasarkan maklumat kami, beberapa kes bunuh di Pulau Pinang yang membabitkan warga Myanmar turut dilakukan oleh sebuah kumpulan dari negara yang sama dan mereka ini dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas.
"Polis tengah kesan kumpulan berkenaan dan kami percaya mereka masih di Pulau Pinang, cuma sekarang ini saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut kerana bimbang ia mengganggu siasatan serta operasi polis," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Kontijen Pulau Pinang di sini, Khamis.
Kes pembunuhan melibatkan rakyat negara itu mendapat perhatian apabila kumpulan rakyat Myanmar terbabit memotong anggota badan mangsa mereka dan membuangnya di beberapa tempat di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam di sini termasuk berhampiran Balai Polis Machang Bubok, di sini.
Sejak awal tahun ini 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan. Bagaimanapun sejak bulan lepas kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa.
Abdul Rahim berkata berdasarkan siasatan polis juga, kumpulan yang masih dikesan itu mencari anggotanya dengan merekrut rakan senegara mereka yang bekerja di Pulau Pinang dan kebanyakannya terdiri daripada penduduk dpenduduk dari kawasan yang sama di Myanmar.
"Ketua (kumpulan) yang menetap di Pulau Pinang lebih awal akan merekrut anggota kumpulannya yang kebanyakannya datang ke sini untuk bekerja sebelum mereka tinggal di kawasan yang sama di negeri ini.
"Berdasarkan siasatan polis, motif pembunuhan adalah sama dengan kumpulan yang pertama iaitu dendam dari negara asal. Mereka akan bertindak selepas mendapat maklumat (pergaduhan) dari negara asal," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Bukit Aman, Jabatan Imigresen Pulau Pinang dan Wisma Putra dalam usaha mengesan anggota kumpulan berkenaan.
Abdul Rahim sekali lagi menegaskan bahawa kejadian pembunuhan membabitkan kumpulan warga Myanmar itu tidak melibatkan warga tempatan dan meminta orang ramai agar tidak gusar atau bimbang.
"Saya beri jaminan kepada orang ramai bahawa kes pembunuhan itu bukan ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan mayarakat setempat sebaliknya hanya membabitkan rakyat Myanmar, tiada warga tempatan yang terlibat sama ada suspek atau mangsa," katanya.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat warga Myanmar yang mencurigakan di kawasan petempatan mereka agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Sabah Tumpu Kepada Penahanan Dan Penghantaran Pulang Pendatang Asing


Diterbitkan: Rabu, 10 Disember 2014 9:41 PM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberi tumpuan terhadap penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin di samping membendung kemasukan warga asing secara haram. 

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menegaskan ia adalah sebahagian daripada langkah drastik yang akan diambil untuk menangani masalah pendatang tanpa izin yang sejak sekian lama menghantui penduduk di Sabah.

"Bagi fokus pertama (penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin), kami meneliti butiran beberapa aspek yang perlu ditambah baik dalam operasi sedia ada oleh agensi berkaitan.

"Kami bersetuju untuk memperkenalkan semula secara segera operasi bersepadu dan saya telahpun mengarahkan persediaan praoperasi dilakukan secepat mungkin untuk memperkukuhkan operasi yang akan dilaksanakan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Musa mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan keselamatan di Sabah iaitu Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Menteri berkata fokus pertama akan turut merangkumi peningkatan keupayaan Pusat Tahanan Sementara yang pada masa ini boleh menempatkan 5,000 orang pada satu-satu masa. 

Beliau menjelaskan lokasi sesuai dan bangunan yang boleh diubah suai serta diwartakan sebagai Pusat Tahanan Sementara telah pun dicadang bagi memastikan keupayaan untuk menahan dapat dipertingkatkan tanpa sebarang kelewatan yang lazimnya berlaku ketika pembinaan pusat baharu.

Katanya terdapat juga keperluan untuk menyemak dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin, yang turut merangkumi aspek seperti reman, siasatan, dokumentasi danjadual penghantaran pulang.

"Sungguhpun SOP sedia ada sudah ditambah baik daripada purata enam bulan hingga dua bulan, tempoh ini masih dilihat agak lama dan memerlukan kos operasi yang tinggi dari segi penyediaan makanan kepada tahanan, penyelenggaraan dan keselamatan.

"Penambahbaikan SOP ini akan memerlukan rundingan dan kerjasama daripada negara asal memandangkan komitmen diperlukan daripada negara berkenaan dalam usaha mengurangkan masa yang diambil untuk menghantar pulang tahanan," katanya

Dalam hubungan ini, Musa berkata Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri ditubuhkan untuk membuat susulan terhadap dua tindakan yang akan dilaksanakan dan untuk mengetuai pelaksanaan operasi bersepadu itu. 

Beliau turut menggesa semua pihak terutamanya majikan dalam memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah, manakala pemimpin masyarakat, ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung pula diarah supaya memberi kerjasama kepada agensi keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing.

Beliau memberi amaran tindakan akan diambil terhadap mereka yang melindungi pendatang tanpa izin. Bagi fokus kedua (membendung kemasukan warga asing secara haram), Musa berkata kerajaan bersetuju untuk memperluaskan strategi sedia ada dalam menguat kuasakan perintah berkurung di ESSZone, yang akan diperkukuhkan lagi dengan cadangan melaksanakan strategi baharu untuk mewartakan pulau yang digunakan oleh pendatang tanpa izin dan penjenayah sebagai Kawasan Larangan. 

"Strategi ini penting kerana pulau dalam perairan ESSZone adalah antara lokasi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, penculikan dan penyembunyian pendatang tanpa izin sebelum mereka memasuki Sabah," katanya, dan menambah terdapat lebih 360 pulau dalam ESSZone dan 83 daripada pulau itu terletak di Semporna.

Secara prinsip, Musa berkata pelaksanaan untuk mewartakan pulau yang disasarkan itu sebagai Kawasan Larangan bergantung kepada kajian yang akan dijalankan oleh sebuah jawatankuasa bertindak.

"Sama dengan strategi perintah berkurung, kami yakin strategi Kawasan Larangan akan mewujudkan kesan ketara dalam agenda kami untuk membendung kemasukan pendatang tanpa izin.

"Ini sebaliknya akan membantu kerajaan negeri dalam mengatasi masalah pendatang tanpa izin yang menjadi fokus utama kami pada masa depan," katanya.

Budak Lelaki Cedera Akibat Penyepit Tercucuk Leher


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 12:17 PM
Jun Chia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas penyepit yang digunakan ketika menikmati mi tercucuk pada lehernya.

WUHAN: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menanggung kesakitan akibat tercucuk penyepit makanan pada lehernya ketika sedang menikmati mi sambil berjalan.
Jun Chia sebelum itu keluar dari kawasan sekolahnya untuk membungkus makanan kerana lapar dan menikmatinya sambil berjalan untuk pulang ke kelasnya.
Bagaimanapun, dalam keadaan kelam kabut itu dia dilanggar bapa rakannya yang menggunakan skuter elektrik menyebabkan Jun Chia terjatuh, manakala penyepit yang dipegang tercucuk pada lehernya.
Seorang kakitangan sekolah di Wilayah Hubei di sini segera menghubungi ambulans untuk membawa budak lelaki itu ke hospital.
Pemeriksaan di hospital menunjukkan sesuatu yang mengejutkan, kedudukan penyepit itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kerosakan pada sebarang organ dalaman Jun Chia.
Pegawai perubatan Zhou Jen memberitahu media tempatan: "Kami lakukan imbasan CT dan mendapati penyepit itu tidak mengenai trakea, esofagus atau pembuluh darah utamanya.
"Budak lelaki itu memang bernasib baik dan kami juga berjaya melakukan pembedahan untuk mengeluarkan penyepit itu."
Beliau menambah, keadaan penyepit yang diperbuat daripada keluli bukannya kayu menyebabkan ada kebimbangan berlaku jangkitan.
Selesai pembedahan itu, budak lelaki itu diletakkan dalam pemerhatian dan dijangka dibenarkan pulang hujung minggu ini.

Polis Buru Dua Warga Afrika Berhubung Kes Rompak Dan Serang


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 12:45 PM

KUALA LUMPUR: Lelaki warganegara Malaysia dan Hong Kong berada dalam keadaan kritikal selepas mereka didakwa ditetak oleh dua warga Afrika di sebuah hotel di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Supritendan A. Asmadi Abd. Aziz berkata, polis telah dimaklumkan mengenai kes tersebut sekitar pukul 9 malam Khamis.

"Kita sedang memburu dua lelaki Afrika yang dipercayai menjadi sebahagian daripada sindiket rompakan di sini.

"Kami percaya kedua-dua lelaki memikat mangsa dengan memberikan alasan urusan perniagaan, sebelum merompak mereka," katanya, Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Chin Foo Kha (Malaysia), 40, dan David Chi Keung, 34, dari Hong Kong.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi hotline polis di talian 03-2115 9999 atau pergi ke balai polis berhampiran.

Rasuah: Penolong Pegawai Tanah Mengaku Tidak Bersalah


Diterbitkan: Selasa, 9 Disember 2014 3:45 PM

IPOH: Seorang Penolong Pegawai Tanah, yang sebelum ini mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menerima rasuah, pada Selasa menukar pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini dan mohon dibicarakan.

Muhammad Sharwani Ramli, 35, yang berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan hari ini.

Hakim Madihah Harullah dijadual memberi keputusan hukuman kes itu hari ini.

Muhammad Sharwani memohon untuk melantik peguam dan dibicarakan semasa Madihah memberi peluang kepadanya untuk merayu sebelum hukuman dijatuhi.

Mahkamah kemudian membacakan semula kesemua pertuduhan sebelum menetapkan kes itu disebut semula pada 7 Jan depan.

Pada 2 Disember lepas, tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima rasuah melibatkan cek dan wang berjumlah RM7,572 daripada dua usahawan syarikat pasir sejak tiga tahun lepas.

Muhammad Sharwani didakwa menerima cek bernilai RM1,500 dengan tiada balasan daripada Hoong Chee Mun, yang tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya sebagai Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, pada 9.30 pagi 19 Dis 2011.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa masing-masing menerima wang tunai RM1,500 dan RM1,124 daripada Hoong Yoet Ming pada 2 petang 23 Feb dan 31 Mei 2012.

Dia turut didakwa menerima sekeping cek bernilai RM1,000 pada 2.30 petang 14 Jun 2012, selain menerima wang tunai RM2,448 pada 2 petang 2 Julai 2012 daripada Yoet Ming.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di No. 168, Jalan Pasir Puteh, Ipoh di sini.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan 2 Dis lepas, tertuduh menerima suapan itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat terlibat yang menjalankan perniagaan memindah pasir sejak Disember 2011.

Muhammad Sharwani didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus.

Pekerja Hotel Lima Bintang Mengaku Tidak Bersalah Cuba Rogol Pelancong Australia


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 12:32 PM

KUALA LUMPUR: Kes yang melibatkan seorang penyambut tetamu hotel yang didakwa merogol seorang pelancong Australia yang datang untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya di sini telah ditangguhkan ke bulan depan untuk sebutan semula kes.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Mustapha menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka masih belum menerima laporan kimia.

Beliau kemudian meminta tarikh untuk perbicaraan akan datang.

Hakim Azman kemudian menetapkan 8 Januari untuk tarikh sebutan seterusnya.

Roaquin Radzmund Muhammad Reduan, 25, dituduh merogol pelancong berusia 27 tahun di sebuah bilik di sebuah hotel lima bintang di sini kira-kira pukul 5 pagi, 19 Oktober tahun ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Dia ditangkap pada hari yang sama.

Ketika ia pertama kali dibawa ke mahkamah pada 21 Oktober, dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Roaquin diwakili peguam Zamri Ibrahim.

Peguam Tania Scivetti menjadi peguam pemerhati bagi mangsa yang merupakan pengurus restoran makanan segera di Australia.

Pemandu Van Nafi Rogol Gadis Kurang Upaya


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 4:06 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah pada Jumaat terhadap dua pertuduhan merogol seorang gadis kurang upaya berumur 16 tahun di Mahkamah Sesyen di sini.

Ser Kim Joo, 50, didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana didakwa merogol remaja itu di sebuah rumah di Flat PPR Gombak Setia, kira-kira pukul 11 pagi, pada 22 dan 29 November tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne tidak menawarkan ikat jamin.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Mustapha menetapkan 13 Januari sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Lelaki Warga India Didakwa Rogol, Liwat Wanita Indonesia


Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2014 4:09 PM

KUALA LUMPUR: Seorang warganegara India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan merogol dan meliwat seorang wanita Indonesia.

Mohamad Aslam Abdul Hameed, 28, yang merupakan seorang pemasang dawai kemudian mengaku tidak bersalah merogol wanita berusia 41 tahun dan pada masa yang sama menyebabkan kecederaan kepadanya.

Dia dituduh di bawah Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan.

Mohamad Aslam juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kedua dan ketiga meliwat wanita itu dengan melakukan seks oral dan melalui dubur.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, Mohamad Aslam dituduh di bawah Seksyen 377C akta yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Bukit Bintang di sini di antara pukul 2 pagi dan 2.05 pagi pada 3 Disember tahun ini.

46 warga Myanmar, Bangladesh dikurung di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Seramai 46 warga Myanmar dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun ditemui polis pagi tadi dalam keadaan dikurung dalam sebuah rumah di Taman Sejati Indah, di sini.
Difahamkan, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berjaya menemui semua warga asing itu pada jam kira-kira 5 pagi tadi berikutan penahanan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya warga tempatan yang disyaki mengurung mereka.
Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki itu pada mulanya dilihat mencurigakan dalam sebuah kereta sebelum cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis berhampiran sebuah hotel, di sini.
"Daripada penahanan lelaki tempatan berusia 40-an dan dua warga Bangladesh berusia 30-an itu, anggota polis dibawa ke sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah kawasan perumahan.
"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui senarai 46 warga Myanmar dan Bangladesh dikurung antara dua hari hingga sebulan di dalam rumah terbabit," katanya.
Sumber berkata, semua suspek dan warga asing berkenaan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Suami tetak tangan, kaki isteri akibat cemburu

JOHOR BAHRU: Seorang wanita cedera parah ditetak suaminya selepas satu pertengkaran di rumah mereka di Taman Suria, Kluang, hari ini, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Roze Shaari, berkata kedua-dua pergelangan tangan dan kaki K Menaga, 44, hampir putus akibat ditetak suaminya N Marimuthu, 47, di tempat letak kereta rumah mereka dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 11 pagi.
Katanya, Marimuthu kemudiannya ditemui mati tergantung di balkoni tingkat atas rumah, dipercayai membunuh diri.
"Hasil siasatan awal, kita percaya motif kejadian adalah berpunca daripada perasaan cemburu suami yang mengesyaki mangsa yang bekerja di Singapura mempunyai 'skandal'," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mangsa yang kritikal dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.
Mohd Roze berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah hotel di Singapura, baru sampai di rumah dari tempat kerjanya pada jam 10.30 pagi telah bergaduh dengan suaminya di ruang tamu dan didengari anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun dan ibu Marimuthu yang berada di dapur ketika itu.
"Mangsa kemudian telah mengajak mereka untuk keluar membeli barang keperluan sekolah namun semasa mereka bergerak keluar, si suami secara tiba-tiba datang dari belakang dan menetak lengan kirinya sambil menyuruhnya agar jangan bekerja di Singapura lagi.
"Wanita itu yang ketakutan melarikan diri, namun terjatuh di tempat letak kereta rumah, di mana suaminya menetak kedua-dua pergelangan tangan dan kakinya," katanya.
Mohd Roze berkata, Marimuthu kemudian naik ke bahagian atas rumah dan mengunci pintu pagar balkoni.
Katanya, anak lelaki pasangan itu telah menghubungi bapa saudaranya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.
"Polis menemui sebilah pisau pemotong daging, sebilah parang panjang dan satu tong racun berwarna putih di tempat kejadian. Kematian Marimuthu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
- BERNAMA

Polis tahan lelaki miliki pistol angin di Tawau

KHAMIS, 11 DISEMBER 2014 @ 5:57 PM

 
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas menemui sepucuk pistol angin dan dua kotak peluru bebola besi di rumahnya di Taman Semarak, Jalan Kuhara, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, berkata suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya pada 12.35 tengah hari, hasil daripada maklumat orang awam.

"Pistol angin dan peluru bebola besi itu dijumpai di sebuah bilik di tingkat bawah rumah suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek mengaku memiliki pistol angin tersebut dan mendakwa senjata itu digunakan untuk menembak cicak.


Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

- BERNAMA

Anggota polis ditemui mati dengan kesan tembakan

JUMAAT, 12 DISEMBER 2014 @ 2:52 PM

 
LABUAN: Seorang anggota polis ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian kepala di rumahnya awal hari ini dan sepucuk pistol turut ditemui di sisi mayatnya.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata Lans Koperal Mohd Sobri Abd Rahman, 29, ditemui mati pada 12.20 pagi dan beliau pulang ke rumah pada 11.30 malam selepas menjalankan tugasan rondaan, malam tadi.

"Beliau meninggal dunia akibat luka tembakan, tempat di mana beliau menunaikan solat," katanya kepada Bernama.

Turut ditemui sepucuk pistol separa automatik jenis Walther P99, katanya.


Mohd Sobri, yang berasal dari Perak, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia dua tahun, kata Adzhar sambil menambah Mohd Sobri menjalankan tugasan am di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan sejak enam tahun lepas.

Adzhar berkata Mohd Sobri bergiat aktif dalam sukan, merupakan pelatih perarakan dan pengadil futsal pada Sukan Persahabatan BIMP-EAGA yang baru berakhir.

"Sobri merupakan seorang anggota polis yang sangat berdedikasi. Dia akan sentiasa dikenang oleh rakan-rakannya," kata seorang anggota polis.

Jenazah Mohd Sobri akan diterbangkan ke kampung halamannya di Gerik, Perak, untuk disemadikan. - BERNAMA

Pegawai, 3 anggota polis dilepas, dibebaskan tuduhan membunuh tahanan lokap

JUMAAT, 12 DISEMBER 2014 @ 3:43 PM

 
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dan tiga anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang tahanan dalam lokap, tahun lalu.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan melepaskan Inspektor S Hare Krishnan, 40; Sarjan Jaffri Jaafar, 44; Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 45, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32, tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa membunuh N Dharmenderan, 32, di Pejabat Siasatan Khas (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL), Jalan Hang Tuah antara jam 12.20 tengah hari hingga 2.50 petang, 21 Mei tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Isteri rayu orang ramai bantu suami dilanggar lari

JUMAAT, 12 DISEMBER 2014 @ 5:29 PM

 
JOHOR BAHRU: Seorang isteri merayu supaya orang ramai tampil memberi maklumat kepada pihak polis berikutan suaminya dipercayai menjadi mangsa langgar lari di Jalan Lingkaran Dalam di sini, Selasa lalu.

Goh Cai Fen, 27, berkata dia ingin mengetahui kejadian sebenar memandangkan suaminya Low Kuok Khien, 31, kini dalam keadaan koma di Hospital Sultanah Aminah akibat kemalangan itu.

Menurutnya, suaminya dilanggar ketika menaiki motosikal dalam perjalanan ke Singapura dan mengalami kecederaan teruk.

"Saya benar-benar ingin mengetahui perkara yang terjadi dan berharap mereka yang melihat kejadian itu tampil membuat laporan polis," katanya.


Kes kemalangan itu sudah pun dilapor kepada pihak polis.

Presiden Persatuan Keselamatan Sukarela Johor Bahru, Steven Lee Chun Hian berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh juga datang ke pejabat persatuan itu di No 82-A, Jalan Sutera Merah 2, Taman Sutera.

- BERNAMA

9 lelaki terbabit keganasan bola sepak direman 5 hari

SHAH ALAM: Seramai sembilan lelaki yang dipercayai terbabit dalam keganasan bola sepak di Stadium Shah Alam ketika perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014 antara Malaysia dan Vietnam ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.
Kesemua mereka yang berumur di antara 20 hingga 30 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian itu, seorang penyokong pelawat cedera ringan diserang sekumpulan penyokong Malaysia.
Insiden tercetus lima minit sebelum tamat perlawanan apabila penyokong Harimau Malaya dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam.

Tiga cedera diserang 10 lelaki di Georgetown

JUMAAT, 12 DISEMBER 2014 @ 6:02 PM

 
GEORGETOWN: Tiga lelaki bukan sahaja mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan 10 lelaki, malah motosikal seorang daripada mereka turut dibakar dalam kejadian di Jalan Kelawai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tanjung Tokong.

Jurucakap polis berkata, mereka baru selesai makan di Padang Kota.

"Sekumpulan lelaki memintas perjalanan mereka ketika berada di Jalan Kelawai sebelum mereka dipukul dengan topi keledar. Mangsa berjaya melarikan diri namun terpaksa meninggalkan sebuah daripada motosikal mereka.


"Setengah jam kemudian, mereka kembali ke tempat kejadian dan mendapati motosikal yang ditinggalkan itu telah terbakar dan apinya sedang dipadam anggota bomba," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lelaki terbabit yang seorang daripada mereka dicam oleh mangsa.

Motif sebenar kejadian masih disiasat.

- BERNAMA

10 individu diberi tempoh seminggu serah senjata api tiruan


KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra (kanan) menunjukan senjata api tiruan yang diserahkan sendiri oleh pemiliknya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
KOTA KINABALU: Pihak polis di sini memberi tempoh selama seminggu kepada 10 individu yang dipercayai memiliki senjata api tiruan untuk menyerahkannya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M Chandra, berkata mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi ASP Hamizi Halim di talian 019-8998671 atau Hotline 088-221191.
Individu terbabit dipercayai masih berada di sekitar Kota Kinabalu dan di Tuaran serta Kota Marudu.
Bulan lalu pihak polis merampas 31 laras senjata api tiruan pelbagai jenis selepas menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun.
Lelaki berkenaan dipercayai membeli senjata itu daripada seorang warga China yang digelar 'boss' sebelum menjualnya kepada pelanggannya.
Sementara itu, M Chandra berkata dua individu telah secara sukarela menyerahkan senjata tiruan milik mereka sejak 2 Disember lalu sementara selaras lagi dirampas di kawasan penempatan di Telipok sehari kemudian.
- BERNAMA
DISYORKAN

Lelaki ditahan cuba seludup 1,508 liter petrol, diesel bersubsidi

JUMAAT, 12 DISEMBER 2014 @ 7:34 PM

 
SANDAKAN: Polis Marin menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang disyaki cuba menyeludup 1,508 liter petrol dan diesel bersubsidi bernilai RM38,407 semalam.

Komander Pasukan Marin Wilayah Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata lelaki berkenaan ditahan bersama sebuah lori yang dipandunya di sebuah stesen minyak di sini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen pembelian minyak berkenaan dan disyaki cuba melakukan penyeludupan.

- BERNAMA