Search This Blog

Wednesday, December 10, 2014

Lebih 830,000 saman belum dijelas warga asing

Foto hiasan
Foto hiasan
KUALA LUMPUR - Bagi tempoh 2000 hingga 2013, terdapat sebanyak 838,510 saman tertunggak belum dijelaskan oleh pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di negara ini.
    
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata, kebanyakan saman tertunggak itu membabitkan pemandu warga Singapura.
     
"Jumlah tertunggak bagi pemandu warga Singapura adalah 313,661 iaitu 37.4 peratus diikuti Brunei (48,179), Thailand (17,654), Indonesia (2,614) dan lain-lain (456,402)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
    
Beliau berkata, bagi mengesan kesemua pesalah trafik yang gagal membayar saman ini, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menjalankan kerjasama dengan Jabatan Imigresen serta mengadakan sekatan di pintu-pintu masuk negara untuk
menjejaki individu berkenaan bagi menyelesaikan saman tertunggak.
    
"Polis meminta agar pemandu warga asing tidak kira dari Singapura, Brunei mahupun Thailand, yang ingin masuk semula ke negara Malaysia supaya segera menyelesaikan saman terbabit sebelum dikenakan tindakan lanjut. Tolong hormati undang-undang kita.
    
"Pemandu warga asing juga boleh membayar saman tertunggak melalui www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my dengan menggunakan kad kredit," katanya.
    
Dalam perkembangan lain, Mohd Fuad berkata, bagi tempoh 2011 sehingga November lepas, sebanyak 42,864 saman dikeluarkan bagi kesalahan memotong atau menggunakan lorong kecemasan.
    
"Sepanjang Ops Selamat 5 yang lepas juga, sejumlah 2,529 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya seluruh negara atas kesalahan memotong Q dan memotong garisan berkembar," katanya.
    
Katanya, dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang lalu lintas, pihaknya menerima 55 unit kamera 'trucam' yang diedarkan kepada semua kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Zon Peronda Lebuh Raya.-Bernama

Remaja dakwa dipukul polis


Song Tuck bersama ibu mangsa, Chen, 42 menunjukkan lebam pada bahagian pipi kiri Yeow selepas didakwa dipukul oleh anggota polis
Song Tuck bersama ibu mangsa, Chen, 42 menunjukkan lebam pada bahagian pipi kiri Yeow selepas didakwa dipukul oleh anggota polis
JOHOR BAHRU – Seorang remaja mengakui trauma selepas mendakwa dipukul hingga lebam selain turut diacukan pistol oleh anggota polis yang menahannya dalam kejadian awal pagi, kelmarin.

Pembantu tukang masak, Yeow, 17, yang tinggal di Taman Desa Tebrau, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dirinya merancang untuk keluar membeli makanan, namun terkejut mendapati motosikalnya telah dikunci.

Menurutnya, dia kemudiannya bertemu pengawal keselamatan untuk mendapatkan kepastian dan diminta tunggu sebelum tiba-tiba didatangi dua pegawai polis berpakaian preman yang mengarahkannya menunjukkan motosikal berkenaan.

“Saya disyaki mencuri motosikal berkenaan kerana berlaku kes kehilangan motosikal di blok berhampiran sedangkan saya baru sahaja membeli motosikal terpakai itu dari sebuah kedai.

“Dua pegawai polis berkenaan kemudian membawa saya menaiki kereta berwarna biru gelap dan disiasat di Balai Polis Pelangi Indah,” katanya di sini semalam.

Yeow berkata, dia bukan sahaja tidak dibenarkan menghubungi ibunya malah telah dipukul oleh salah seorang anggota polis yang dipercayai mabuk ketika berada dalam kereta selain turut diacukan pistol ketika disoal siasat di balai polis.

“Saya telah dipukul oleh salah seorang anggota polis sehingga mengalami lebam di muka, tengkuk dan kepala.

“Saya percaya anggota polis itu mabuk kerana terhidu bau minuman keras padanya selain turut mengalami muntah beberapa kali.

“Malah dia juga mengacukan pistol di kepala saya dan mengugut untuk bunuh saya ketika soal siasat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, dia dibebaskan tanpa sebarang tuduhan kira-kira sejam kemudian dan pulang ke rumah menaiki motosikalnya yang dibawa ke balai polis berkenaan oleh seorang anggota polis lain.

“Saya kemudiannya buat laporan polis bersama ibu di Balai Polis Johor Bahru Selatan pada kira-kira jam 7.48 malam dan turut menjalani pemeriksaan doktor,” katanya.

Ketua Biro Aduan MCA Negeri Johor, Kua Song Tuck berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang melanggar etika.

“Perkara ini membabitkan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa.

Saya yakin pihak polis sentiasa profesional dalam menjalankan tugas dan berharap tindakan tegas diambil terhadap anggota yang melakukan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Kita akan jalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi memastikan kesahihan kejadian berkenaan dan tidak akan melindungi mana-mana indivdiu,” katanya.

Kedai makan dipecah masuk


Ahmadiah menunjukkan kunci mangga pintu belakang kedainya yang diumpil penyamun.
Ahmadiah menunjukkan kunci mangga pintu belakang kedainya yang diumpil penyamun.
KUALA PILAH – Pemilik Kodai Sarapan D'sawah kerugian RM4,000 apabila kedai makan miliknya di Kampung Ulu Bendul, di sini dipecah masuk, awal pagi semalam.

Menurut Ahmadiah Jaamat, 40, penyamun dipercayai masuk melalui pintu di bahagian belakang kedai yang berjaya diumpil dan melarikan beberapa peralatan memasak.

Kata Ahmadiah, dia terperanjat apabila melihat kedainya gelap gelita ketika datang ke kedai untuk membuat persiapan berniaga.

“Memang menjadi rutin setiap jam 5 hingga 6 pagi, saya akan datang ke kedai untuk menjerang air sebelum membuat persiapan untuk berniaga.

“Namun apabila melihat dari jauh kedai saya gelap, terdetik di hati bahawa pasti kedai saya kena pecah masuk. Bila tiba sahaja di kedai, ternyata ia betul dan saya  terkejut apabila kunci mangga di pintu belakang diumpil termasuk bilik stor yang mengisi makanan basah, kering serta peti ais.

“Habis semua barang basah dan kering, periuk, perkakas dapur, tong gas dan peti ais sejuk beku, disapu bersih oleh penyamun,” katanya memberitahu jiran berhampiran ternampak kedainya telah gelap jam 3.30 pagi.

Menurut Ahmadiah, malam sebelum kejadian, dia pulang ke rumah jam 10 malam selepas selesai mengemas dan mengunci pintu kedai seperti biasa malah turut memasang lampu.

“Saya memang terperanjat apabila melihat semua barang lesap. Saya juga terjumpa sebuah peti ais yang telah dikosongkan ditinggalkan di tepi parit di hadapan kedai.

“Apabila saya periksa stor, saya dapati sebuah peti ais berisi makanan sejuk beku, sebuah periuk nasi elektrik dan sebuah radio Panasonic telah hilang.

“Manakala 12 periuk, beberapa batang senduk, sebuah kipas angin, enam tong gas, enam kuali, peralatan membancuh air serta barangan mentah (kering dan basah) disimpan di dalam stor turut hilang. Nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM4,000,” katanya.

Katanya, ini kejadian kali kedua kedainya dipecah masuk sejak dia berniaga enam tahun lalu.

“Pada 2011, saya kerugian RM3,000 apabila kedai ini dipecah masuk dan sekali lagi pada hari ini (semalam).

“Tetapi saya akan terus berniaga. Saya reda, mungkin ada hikmahnya dan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh jua.

Saya tidak mengesyaki sesiapa, namun dari apa yang saya lihat, mungkin penyamun ini tidak mahu saya berniaga lagi berikutan habis semua barang diambilnya,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Terachi, jam 8 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian itu.

Pengusaha restoran disamun


Lee Ying cedera selepas diserang penjenayah dalam kejadian samun di restorennya di Rasah Jaya.
Lee Ying cedera selepas diserang penjenayah dalam kejadian samun di restorennya di Rasah Jaya.
SEREMBAN – Seorang pengusaha restoran di Rasah Jaya, di sini, kerugian hampir RM5,000 selepas di samun dua penjenayah pada Sabtu lalu.

Bukan sahaja kerugian wang, mangsa, You Lee Ying, 43, turut mengalami cedera di tangan selepas dicederakan penjenayah bersenjatakan parang dan kayu itu.

Menceritakan detik cemas itu, Lee Ying berkata, kejadian berlaku ketika dia mahu membuka restoran di Fasa1, Rasah Jaya, di sini, kira-kira jam 6 pagi.

Katanya, secara tiba-tiba dia didatangi dua lelaki 20-an yang mengugut agar dia menyerahkan barang berharga miliknya.

“Mereka cuba mengambil beg tangan saya tetapi saya menghalang menyebabkan salah seorang menetak tangan kiri saya dengan parang.

“Selepas itu, lelaki itu memukul kepala saya dengan kayu menyebabkan saya pengsan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, anak perempuannya berusia 23 tahun berada di belakang restoran.

“Mereka mengambil wang sebanyak RM2,000 dan seutas rantai emas saya dan terus melarikan diri.

“Selepas penjenayah melarikan diri, anak saya segera meminta bantuan orang ramai untuk membawa saya ke hospital,” katanya.

Akibat serangan itu, Lee Ying menerima 20 jahitan di tangan kiri

Lee Ying berkata, dia percaya tindakan penjenayah itu menyerangnya berikutan masalah hutang terhadap sebuah syarikat nombor ekor haram sebanyak RM40,000 sejak dua tahun lalu.

“Sebelum kejadian, saya ada didatangi suspek yang menggelar diri sebagai ‘mang kah li’ dan meminta saya membayar hutang sebanyak RM5,000 sebelum Ahad lepas dan RM3,000 sebulan sehingga hutang selesai.

“Suspek turut mengugut mahu mencederakan saya jika saya gagal bayar hutang. Saya berjanji kepadanya akan bayar hutang tersebut tetapi mereka sudah serang saya sebelum saya sempat saya bayar hutang,” katanya.

Menurut Lee Ying, dua laporan polis telah dibuat iaitu sehari sebelum dan selepas kejadian.

“Saya berharap polis dapat menangkap penjenayah ini secepat mungkin kerana mereka mencederakan saya. Nyawa saya dalam bahaya kerana mereka pasti akan mencari saya dan mencederakan saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Dua suspek telah ditahan pada Ahad lalu disebabkan memungut hutang. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan cedera,” katanya.

Penghantar SMS, MMS lucah dihukum


10 Disember 2014


CYBERJAYA - Seorang lelaki yang berumur, 42 tahun, telah mengaku bersalah di atas pertuduhan menghantar SMS dan MMS lucah kepada Nor Fadilah binti Yusoff, 27 tahun. Mohd Azlan bin Ibrahim telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Johor Bahru pada 7 Disember 2014.

Mohd Azlan mengaku bersalah di atas pertuduhan ke atasnya dan telah dijatuhkan hukuman denda RM3,000. Dia juga boleh dipenjara selama 1 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan terhadap lelaki yang telah menghantar SMS dan MMS lucah berupa gambar kemaluan lelaki kepada nombor telefon milik mangsa, Nor Fadilah pada 18 Disember 2012.

Menghantar gambar lucah melalui telefon bimbit merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya, boleh dikenakan. - Bernama

Buruh maut akibat terjatuh ketika baiki atap


10 Disember 2014


KOTA TINGGI - Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat terjatuh ketika membaiki atap kilang papan di Batu 9, Mawai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Suprintendan Rahmat Othman, yang mengesahkan kejadian itu hari ini berkata Nur Kholiq, 42, berasal dari Blitar, Indonesia, merupakan pekerja buruh di kilang terbabit.

Pengurus kilang papan itu, Mok Tan Chai, 62, berkata kejadian berlaku selepas pekerja-pekerja kilang selesai waktu rehat makan tengah hari.

"Ketika mangsa mahu memulakan kerjanya, belum sempat memasang tali keselamatan, dia tergelincir lalu jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 36 kaki (10.97 meter)," katanya.

Mok kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Kampung Mawai yang terletak kira-kira 100 meter dari kilang itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi selepas polis tiba.

“Pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah kecederaan teruk di kepala. Penghantaran jenazah akan diuruskan oleh pihak syarikat ke negara asal," katanya ketika dihubungi di sini. - Bernama

2 lelaki ditahan curi bateri pencawang komunikasi


10 Disember 2014

JITRA - Dua bekas pekerja syarikat sub kontraktor  syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) ditahan ketika mencuri lapan biji bateri pencawang komunikasi Maxis di Bukit Tinggi dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supritenden Abd Rahim Abdullah berkata tangkapan dilakukan kira-kira pukul 5.45 petang, hasil maklumat daripada pekerja syarikat Maxis yang menyaksikan kejadian tersebut.

Katanya ketika serbuan dilakukan, dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun itu sedang mengangkut bateri tersebut untuk dimasukkan ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang disewa.

"Lapan biji bateri tersebut bernilai RM6,400 dan siasatan lanjut mendapati suspek telah melakukan kegiatan mencuri di sekitar Alor Setar dan Sik, Arau dan Kangar di Perlis sejak setahun lepas iaitu selepas mereka berhenti kerja.

"Polis turut merampas pelbagai kunci, peralatan untuk mengumpil, serta peralatan seperti mesin drill dan mesin canai yang digunakan untuk memecah masuk ke kawasan pencawang yang berpagar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Abd Rahim berkata dua suspek yang berasal dari Alor Setar dipercayai melakukan kegiatan tersebut pada waktu petang dan menjual bateri tersebut kepada syarikat barangan lusuh.

"Kita percaya berjaya selesaikan beberapa kes kecurian yang berlaku di Alor Setar dan Sik serta Arau dan Kangar di Perlis. Kita dapati dua suspek positif dadah dan salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Beliau berkata dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. - Bernama

KPDNKK rampas beg tangan tiruan RM30,000


Barangan dirampas KPDNKK Putrajaya dimasukkan ke dalam plastik hitam.
Barangan dirampas KPDNKK Putrajaya dimasukkan ke dalam plastik hitam.
KUALA LUMPUR - Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas pelbagai barangan tiruan bernilai RM30,000 membabitkan lima premis di sebuah pusat membeli-belah di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, pihak penguatkuasa agensi berkenaan merampas 866 unit beg tangan, dompet dan aksesori tiruan yang menggunakan jenama terkenal Micheal Kors.

Barangan itu dipercayai diimport dari China untuk dipasarkan ke seluruh negara dengan harga lebih murah.

Ketua Operasi, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menyiasat modus operandi dan mengesan cara barangan itu dibawa masuk ke dalam negara ini.

“Penjualan barangan terbabit melanggar peraturan hak cipta mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011. Mana-mana pihak yang didapati melanggar kesalahan ini boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit atau penjara tidak lebih 3 tahun,” katanya.

“Siasatan lanjut adalah untuk mengesan pemilik premis berkenaan. Operasi pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” tegasnya.

'Kekasih gelap' warisi KWSP


Tamil Selvee membuat aduan di pejabat Pembela BN Melaka ekoran kecewa wang KWSP yang ditinggalkan suami selepas kematiannya diwarisi oleh individu lain yang didakwa sebagai ‘kekasih gelap’ suaminya
Tamil Selvee membuat aduan di pejabat Pembela BN Melaka ekoran kecewa wang KWSP yang ditinggalkan suami selepas kematiannya diwarisi oleh individu lain yang didakwa sebagai ‘kekasih gelap’ suaminya
AYER KEROH - Hampa dan kecewa. Itulah yang dirasa seorang ibu tunggal apabila mendapat tahu dia tidak layak menuntut wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suami selepas kematian lelaki itu.

Sebaliknya nama waris yang tertera adalah individu lain yang didakwa sebagai ‘kekasih gelap’ suami.

M Tamil Selvee, 48, dari Taman Kesang Damai, Jasin, berkata, perkara itu hanya disedarinya ketika tampil ke pejabat KWSP Cawangan Jasin, Julai lalu dan pegawai terbabit menjelaskan suaminya telah menukar nama waris kepada wanita berkenaan.

Selvee yang hanya meraih pendapatan sebanyak RM322 sebulan sebagai tukang sapu di sebuah kuil, mengenali wanita terbabit dan tahu hubungannya dengan suami selama ini.

“Saya memang tahu hubungan suami, tetapi apa boleh buat, sebagai isteri saya kena patuh padanya. Tetapi saya tidak sangka dia (suami) tergamak sehingga sanggup menukar nama waris KWSP miliknya kepada wanita itu.

“Saya puas merayu kepada wanita itu supaya memberikan sebahagian wang itu untuk keperluan keluarga saya tetapi dia langsung tidak mengendahkannya,” katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka, di sini, semalam.

Menurut Tamil Selvee, suaminya, Mendiang K Chellamanickam, seorang pemandu jentolak, meninggal dunia pada Julai lalu selepas  mendapat kemalangan di tempat kerja.

Katanya, mendiang suaminya pernah mengeluarkan wang berkenaan sebelum kematiannya beberapa bulan lalu sebaik usianya genap 50 tahun.

Ibu tunggal itu bercadang untuk mengeluarkan baki wang berkenaan yang jumlahnya lebih kurang RM31,000.

“Saya mempunyai tiga anak tetapi dua daripadanya sudah meninggal dunia akibat sakit. Kini tinggal anak perempuan saya berusia 26 tahun tetapi dia sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Harapan saya, wang berkenaan dapat digunakan untuk keperluan keluarga.

“Saya ingin nasihatkan isteri-isteri di luar sana supaya semak penama KWSP suami supaya apa yang menimpa saya tidak terjadi kepada wanita-wanita lain yang kematian suami.

Begitu juga buat suami, jangan tergamak perlakukan isteri seperti ini, hanya kerana terpengaruh dengan teman wanita sampai letak penama KWSP kepada nama kekasih,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, apa yang berlaku menunjukkan kelemahan sistem penama KWSP itu sendiri sehingga pencarum sewenang-wenang meletakkan nama kepada sesiapa pun.

“Saya mencadangkan agar perkara ini diambil perhatian serius dengan meletakkan nama waris kepada mereka yang benar-benar berhak seperti anak dan isteri,” katanya.

Mayat lelaki reput ditemui terapung


Mayat seorang lelaki reput ditemui hanyut dekat Kampung Kemumbung, Sidam semalam.
Mayat seorang lelaki reput ditemui hanyut dekat Kampung Kemumbung, Sidam semalam.
SUNGAI PETANI – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan reput dan terapung di tebing sungai dekat Kampung Kemumbung, Sidam dalam kejadian 11.20 pagi semalam.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairil Shamsul Md Yusof berkata, pasukan bomba menerima panggilan kira-kira jam 11.23 pagi oleh orang awam yang menyedari kejadian.

Menurutnya, tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Ketika tiba, didapati mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui terapung di tebing sungai dan operasi menaikkan mayat berjaya dilakukan sejurus kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

"Setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan. Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat," katanya.

Kesal anak kena buli di sekolah pondok


Muhamad (kanan) menunjukkan gambar kecederaan dialami Ahmad Imran (kiri) akibat dibuli rakan seasrama.
Muhamad (kanan) menunjukkan gambar kecederaan dialami Ahmad Imran (kiri) akibat dibuli rakan seasrama.
KEMAMAN – Pesara kerajaan, Muhamad Endut, 63, kesal kerana anaknya yang belajar di sebuah sekolah pondok di Kuala Berang, Hulu Terengganu dibuli rakan seasrama.

Menurut Muhamad, walaupun kejadian berlaku pada 3 November lalu, namun anaknya, Ahmad Imran Muhamad, 15, yang masih belajar di tingkatan tiga sekolah berkenaan, sehingga kini masih trauma.

Lebih menyedihkan, kata Muhamad atau dikenali dengan panggilan Pok Hassan, kejadian itu merupakan kejadian buli kedua yang menimpa anaknya kerana pada 1 Oktober lepas, seorang pelajar tiba-tiba menghentak kepalanya dengan kayu ketika anaknya itu sedang tidur.

Akibatnya, anaknya itu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan menerima 10 jahitan di kepala.

“Dalam kejadian pertama, pada awalnya anak tidak sedar kepalanya berdarah apabila dipukul dengan sebatang kayu. Sebaik dia terasa sakit, dia tersedar daripada tidur dan kejar pelajar yang pukul dia dengan kayu.

“Selain pecah kepala, beberapa bahagian badan iaitu belakang, paha dan buku lali turut lebam. Apa yang mengecewakan saya, seorang cikgu sekolah itu hanya beritahu saya yang anak kena kayu dan bukan dipukul,” katanya.

Menurut Muhamad, selepas menerima rawatan di HSNZ, guru terbabit memberikan anaknya wang dan disuruh pulang tanpa teman dengan menaiki bas dari Kuala Terengganu ke rumah mereka di Kampung Geliga, di sini.

Sehubungan itu, Muhamad membuat laporan kejadian di Balai Polis Kemaman pada 2 Oktober, sebelum merujuk kes berkenaan di Balai Polis Kuala Berang.

Bagaimanapun, kata beliau, kes buli yang menimpa anaknya itu kembali berulang, malah semakin teruk apabila dipukul sembilan pelajar dalam kejadian pada jam 10 malam.

“Saya terkejut apabila seorang pelajar asrama menghubungi saya dan beritahu anak dipukul. Kata pelajar itu, kalau saya tak datang ambil anak, anak mungkin mati dipukul.

“Ketika dibelasah sembilan pelajar, kepala anak saya turut dihentak atas cermin dan dipukul dengan seterika. Kejadian itu terjadi waktu anak saya sedang buat air sebelum tiba-tiba seorang pelajar tingkatan satu memanggilnya masuk ke bilik dan dia dipukul beramai-ramai,” katanya yang sekali lagi membuat laporan polis berikutan kes berkenaan.

Muhamad berkata, hatinya sedih kerana guru bertanggungjawab hanya mengenakan denda membersihkan tandas kepada semua sembilan pelajar yang membelasah anaknya itu.

“Sebagai pelajar sekolah pondok, sepatutnya kes buli sebegini tidak berlaku. Ini menjejaskan imej sekolah dan saya harap pihak sekolah dapat mengambil tindakan tegas kerana jika tidak dibendung, kes buli seperti ini mungkin akan menimpa pelajar lain pula,” katanya.

Honda panggil semula 13 juta kenderaan


10 Disember 2014


TOKYO - JEPUN . Pengeluar kereta Jepun, Honda Motor Corp bakal memanggil semula 13 juta kenderaannya di seluruh dunia.

Menurut agensi berita Kyodo, ia berikutan masalah beg udara penumpang yang dipasang oleh syarikat Takata Corp.

Sebelum ini, Honda menarik balik berjuta-juta kenderaannya di Amerika Syarikat.

Jurucakap Honda berkata, alat pengembung beg udara penumpang hadapan dipasang bersama komponen penujah mempunyai masalah.

“Beg udara yang dipasang Takata boleh menyebabkan bekas komponen itu pecah semasa kemalangan dan menyembur serpihan logam, sekali gus memberi kecederaan kepada penumpang,” katanya.

Menurut Honda lagi, peguam mereka mempunyai bukti bahawa terdapat kes kematian disebabkan beg udara di AS dan Malaysia.

Sehingga kini, 11 juta kenderaannya telah dipanggil balik. - dpa

18 maut kemalangan bas di barat Nepal


Kemalangan bas sering berlaku di Nepal akibat dipandu laju, keadaan jalan raya dan lebih muatan. - Foto AFP
Kemalangan bas sering berlaku di Nepal akibat dipandu laju, keadaan jalan raya dan lebih muatan. - Foto AFP
KATHMANDU - NEPAL. Sekurang-kurangnya 18 terbunuh dan 55 yang lain cedera selepas bas dinaiki terbabas dan terjunam kira-kira 500 meter ke dalam gaung, di barat Nepal, menurut polis, semalam.

Menurut pegawai polis, Kesh Bahadur Shahi, kejadian yang berlaku pada malam kelmarin berpunca selepas bas hilang kawalan berhampiran kampung Pokharakada di daerah Surkhet lapor dpa.

"Anggota keselamatan membantu operasi menyelamat dan angka kematian dijangka meningkat kerana beberapa mangsa cedera kini berada dalam keadaan kritikal."katanya.

Difahamkan, ketika kejadian bas terbabit membawa lebih muatan dan penuh sesak dengan 73 penumpang di mana tempat duduk yang disediakan hanya 38 kerusi.

Penduduk tempatan melaporkan, bas ketika itu dipandu pembantu pemandu dan penumpang kebanyakannya pekerja asing Nepal yang bekerja di India.

Rumah dirompak dua kali sebulan


Mohd Faizulhakim menunjukkan jeriji besi tingkap yang dipotong perompak untuk memasuki rumah dalam kejadian rompakan, malam kelmarin.
Mohd Faizulhakim menunjukkan jeriji besi tingkap yang dipotong perompak untuk memasuki rumah dalam kejadian rompakan, malam kelmarin.
PONTIAN - Keluarga Ketua Pemuda Pas Kawasan Pontian, Mohd Faizulhakim Ahmad, 35, kini hidup dalam trauma selepas rumah mereka di Kampung Parit Ismail, Benut, dimasuki perompak untuk kali kedua dalam tempoh sebulan lalu.

Mohd Faizulhakim berkata, beliau sentiasa bimbang untuk meninggalkan keluarganya setiap kali perlu berurusan di luar daerah dan akhirnya kebimbangan itu nyata apabila rumah dirompak sekali lagi, malam kelmarin.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan untuk bertemu Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas selesai sebuah program parti di Pulau Pinang.

“Ketika tiba di Gerik, Perak, kira-kira jam 7.30 pagi, saya menerima panggilan daripada sepupu, Mohd Syafie Mahsuri, 36, yang tinggal bersebelahan rumah saya memaklumkan kejadian rompakan tersebut.

“Ketika itu, saya sangat terkejut dan hanya memikirkan keselamatan isteri, Siti Aishah Nazeri, 35, yang menjaga bayi berusia dua bulan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila dimaklumkan isteri, ibu dan empat anaknya yang masih kecil masing-masing berusia 2 bulan hingga 8 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Mohd Faizulhakim, beliau bergegas pulang ke rumah dan membatalkan hasratnya untuk ke Kota Bharu, Kelantan.

Jelasnya, pelbagai barangan berharga hilang termasuk wang tunai RM800 dan rantai emas dianggarkan bernilai RM2,000.

“Ini kali kedua saya dirompak sejak kejadian rompakan yang pertama yang berlaku pada 13 November lalu.

“Isteri dan ibu paling trauma selepas tangan mereka diikat dengan dawai ampaian baju oleh empat perompak bersenjatakan sabit dan pisau dalam kejadian rompakan yang berlaku malam kelmarin,” katanya.

Tambahnya, jeriji besi tingkap di belakang rumah dipotong oleh perompak tersebut untuk masuk ke dalam rumah.

Katanya, isteri dan ibunya kini tinggal sementara di rumah saudara mereka di Johor Bahru, kerana begitu trauma dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Benut.

Ada 'benda' terbakar


Beginilah keadaan rumah sewa didiami tiga beranak yang hangus sama sekali dalam satu kebakaran di Kampung Che Kundur, Kuala Terengganu, petang kelmarin.
Beginilah keadaan rumah sewa didiami tiga beranak yang hangus sama sekali dalam satu kebakaran di Kampung Che Kundur, Kuala Terengganu, petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa didiami mereka sejak tiga bulan lalu musnah sama sekali dalam satu kebakaran di Kampung Che Kundur, di sini, petang kelmarin.

Semasa kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang juga seorang kakitangan Syarikat Air Terengganu (Satu), Mohd Hazizul Mohd Noor, 28, berada di pejabatnya sebelum dikejutkan dengan panggilan daripada isteri memaklumkan ada ‘benda’ mungkin sedang terbakar sebab dia terbau benda hangit.

“Dalam nada cemas isteri menelefon memaklumkan ada ‘benda’  terbakar sebab berbau hangit dan menyuruh saya balik dalam kadar segera.

“Bagaimanapun, sebelum menamatkan talian, saya masih sempat mengarahkan isteri keluar rumah segera bersama anak lelaki kami yang berusia sembilan bulan.

“Saya juga sempat berpesan sekiranya tiada apa-apa berlaku, cuba selamatkan dokumen penting tetapi jika ada apa-apa berlaku, abaikan sahaja,” katanya.

Jelas Mohd Hazizul, sejurus menerima panggilan, dia bergegas pulang, namun setibanya di pekarangan rumah, dia dapati api sedang marak menjilat rumah sewanya.

“Semasa melihat api yang sedang marak, apa yang saya fikirkan keadaan isteri dan anak kami.. alhamdulilah mereka berdua selamat.

“Isteri memaklumkan yang dia tidak sempat mengambil dokumen penting kerana selepas menghubungi saya, rupa-rupanya api sudah membakar sebahagian dari rumah.

“Api merebak begitu pantas dan jiran tetangga yang menyedari insiden itu juga mengakui tidak dapat berbuat apa-apa kecuali membantu menyelamatkan isteri dan anak sahaja,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zulkhairul Mohd Razilah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.11 petang.

“Seramai 12 pegawai serta anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Terengganu bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dan tiba beberapa minit kemudian.

“Sebaik tiba didapati rumah separuh kekal itu sedang terbakar hampir 80 peratus,” katanya.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan anggaran kerugian yang dialami mangsa juga masih belum ditafsirkan.

Sinar Harian difahamkan, pihak bomba mengalami sedikit kesukaran untuk memadamkan api kerana masalah punca air jauh dari kediaman iaitu kira-kira 200 meter.

Motosikal terperosok bawah kereta


Motosikal ditunggangi mangsa terperosok di bawah Perodua Kancil dalam kemalangan di Taman Chukai Utama, pagi semalam.
Motosikal ditunggangi mangsa terperosok di bawah Perodua Kancil dalam kemalangan di Taman Chukai Utama, pagi semalam.
KEMAMAN – Seorang pekerja rendah awam Klinik Kesihatan Gong Limau nyaris maut selepas motosikal ditungganginya terperosok di bawah sebuah Perodua Kancil dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu–Kuantan berhadapan Maybank Kemaman di Taman Chukai Utama, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu dipercayai berlaku selepas pemandu kereta berusia lingkungan 20-an diserang sawan, menyebabkan dia yang turut membawa anak saudara lelaki berusia 5 tahun gagal mengawal kenderaan lalu melanggar mangsa, Abdul Razak Mohamad, 59.

Bagaimanapun, kata Abdul Razak, dia bernasib baik kerana melambung kira-kira empat meter ke tepi jalan sebelum motosikal ditungganginya terperosok di bawah kereta terbabit.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia berada di bahu jalan dan menunggu kenderaan di lorong kiri reda untuk masuk ke jalan besar.

“Kereta waktu itu banyak sangat (bertali arus), jadi pok (pakcik) tunggu di bahu jalan. Bila toleh ke belakang, nampak sebuah Perodua Kancil makin dekat dengan pok. Ingatkan dia nak berhenti, tapi rupanya dok (tak).

“Tiba-tiba kereta mari sodok (datang rempuh) ikut belakang. Lepas kena langgar, pok tercampak. Masa tu pok hanya mampu doa dalam hati supaya selamat.

"Alhamdulillah, pok selamat, cuma kaki kanan saja yang sakit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebelum kejadian, Abdul Razak yang juga bapa kepada enam anak dan tinggal di Desa Darul Iman, Bukit Kuang, berbelanja di sebuah pasar raya.

Akibat kemalangan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman turut berkejar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Pegawai operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Sidek berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mengeluarkan pemandu yang ketika itu dalam keadaan trauma, daripada kereta tersebut.

“Bagaimanapun, pemandu dan kanak-kanak di dalam kereta itu dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mereka berdua diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Kemaman. Penunggang motosikal juga dikejarkan ke hospital untuk dapatkan rawatan,” katanya.

Wanita saman kerajaan Perancis


10 Disember 2014


PARIS - PERANCIS . Seorang wanita bertindak memfailkan saman ke atas kerajaan Perancis kerana didakwa membenarkan anaknya yang masih di bawah umur meninggalkan negara itu pada tahun lalu.

Akhbar Le Parisien melaporkan remaja lelaki berusia 16 tahun itu dipercayai menyertai misi kemanusiaan ke Syria tanpa pengetahuan ibunya.

"Dia memaklumkan akan bermalam di rumah rakannya sebelum gagal dihubungi" menurut laporan itu.

Peguam yang mewakili keluarga terbabit, Samia Maktouf menegaskan pihak berkuasa sepatutnya bertanggungjawab menyekat mana-mana remaja daripada melakukan perjalanan ke zon konflik. - AP

Budak dapat pampasan lebih RM3 juta


10 Disember 2014

SINGAPURA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mengalami kerosakan otak dan menjadi lumpuh diberikan pampasan lebih SG$1.25 juta (RM3.31 juta) oleh Mahkamah Tinggi.

Budak lelaki itu dilanggar oleh seorang pemandu yang tidak mematuhi lampu isyarat merah, tiga tahun lalu.

Insiden berlaku berhampiran lorong pejalan kaki di Jurong East Avenue pada 1 Julai 2011 ketika mangsa berusia sembilan tahun.

"Jelas sekali, kemalangan itu telah memberi kesan buruk terhadap plaintif dan kehidupan ahli keluarganya," kata Penolong Pendaftar Jean Chan.

Chan turut mengarahkan pemandu berkenaan membayar perbelanjaan perubatan kanak-kanak terbabit pada masa hadapan.

Tertuduh telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang akan didengar pada Februari depan. - Channel News Asia

Hagupit mula reda


Sebuah keluarga mencari barang yang boleh dikitar semula selepas rumah mereka musnah dibadai taufan Hagupit.
Sebuah keluarga mencari barang yang boleh dikitar semula selepas rumah mereka musnah dibadai taufan Hagupit.
MANILA - FILIPINA . Biro Kaji Cuaca Filipina semalam menurunkan tahap taufan Hagupit kepada tahap ‘ribut tropika’ selepas ia tidak lagi menyebabkan kemusnahan besar di negara itu.

Difahamkan, angin ribut telah sampai ke barat Filipina dan kakitangan kerajaan juga kini kembali bekerja serta pasaran saham turut menyambung semula operasinya.

"Taufan Hagupit telah melewati kepulauan Asia Tenggara dan kini menghampiri Laut China Selatan," menurut agensi itu.

Sementara itu, Pengerusi Palang Merah Filipina Richard Gordon memberitahu, angka korban terkini akibat taufan itu mencecah 27 orang dan ia dijangka meningkat selepas penilaian penuh dilakukan di wilayah Samar Timur. - Al Jazeera

Penarik kereta maut, rakan parah diserang sekumpulan lelaki

SELASA, 9 DISEMBER 2014 @ 8:54 PM

 
JOHOR BAHRU: Seorang penarik kereta berusia 35 tahun maut manakala rakannya, cedera parah selepas diserang sekumpulan tujuh hingga lapan lelaki bersenjatakan parang menaiki dua kereta hitam dan putih di bandar raya itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh, berkata dalam kejadian pada 4.15 pagi itu, mangsa diserang ketika memberhentikan kereta di lampu isyarat di Jalan Tebrau .

"Ketika berhenti di lampu isyarat itu, tiba-tiba tujuh hingga lapan lelaki bersenjatakan parang menaiki dua kereta telah menyerang kereta mangsa dengan menetak cermin depan dan belakang kereta mangsa hingga pecah."

"Kedua-dua mangsa cuba melarikan diri dengan keluar daripada kereta mereka tetapi dikejar oleh kumpulan lelaki itu tetapi gagal dan telah ditetak dan dikelar sehingga rebah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Sulaiman berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Denniskumar berasal daripada Bukit Chagar, Johor Baharu, manakala rakannya yang cedera parah, dikenali sebagai Krishnasamy, 45, juga seorang penarik kereta.

Katanya, tangan kanan mangsa putus selain bahu, lengan, peha serta perut juga mengalami kecederaan akibat tetakan dan kelaran kumpulan lelaki terbabit.

"Denniskumar mati ketika sedang dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala rakannya kini berada dalam keadaan kritikal dengan kecederaan akibat tetakan di bahagian dagu, muka dan tangan kanan," katanya.

Sulaiman berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan beliau meminta saksi-saksi kejadian tampil membantu polis.

"Polis juga masih menyiasat jenis dan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang itu," katanya.

- BERNAMA

29 individu ditahan dalam Ops Lejang di Tawau

TAWAU: Polis menahan 29 individu atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 39 motosikal dalam Ops Lejang di Batu 8, Kalabakan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, berkata semua suspek lelaki yang berumur antara 15 dan 45 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula 3 petang di ladang-ladang di sekitar kawasan berkenaan.
"Mereka ditahan kerana memandu tanpa lesen dan cukai jalan telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Awang Besar berkata, operasi yang antara lain bertujuan untuk mengesan motosikal curi itu disertai dua pegawai serta 20 anggota dan pihaknya akan terus melaksanakan operasi seperti itu di kawasan lain di seluruh daerah ini.- BERNAMA

APMM tahan 32 PATI warga Indonesia di perairan Perak



KETUA Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan (kanan) bertanyakan sesuatu kepada PATI yang ditahan. - Foto Norsharuddin Sapian
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lumut menahan 32 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk empat wanita di perairan Perak semalam.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Abdul Razak Johan berkata kesemua mereka termasuk seorang tekong dan empat awak-awak ditahan pada pukul 12 tengah hari.
Beliau berkata Kapal Maritim Nyalau yang diketuai Lt Dya Maritim Mohammad Khairul Mohd Asli bersama sembilan anggota ditugaskan untuk melakukan rondaan di sekitar perairan Perak telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 43 batu nautika dari barat daya Pulau Pangkor.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan tersebut mendapati 28 lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Razak berkata mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sekinchan, Selangor menuju ke perairan Indonesia.
"PATI tersebut dibawa keluar menggunakan bot nelayan tempatan dari Sekinchan sebelum dipindahkan ke bot nelayan yang menunggu mereka di sempadan perairan Malaysia-Indonesia," katanya.
Katanya sindiket berkenaan mendapat bayaran RM700 sebagai upah untuk membawa keluar setiap PATI dari perairan negara ini.
Abdul Razak berkata pihaknya turut menemui wang tunai sejumlah RM26,000 dalam bentuk mata wang Ringgit Malaysia dan Rupiah Indonesia bersama tekong bot berkenaan.
Beliau berkata tekong dan awak-awak terbabit disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya.
Manakala kesemua PATI pula disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.
Katanya kes yang melibatkan tangkapan PATI itu merupakan yang ketiga sejak Januari tahun ini di perairan negeri itu. - BERNAMA

Penolong pegawai tanah tukar pengakuan kes rasuah


PENOLONG Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Muhammad Sharwani Ramli, 35, didakwa dengan lima pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah Ipoh. - Foto L Manimaran
IPOH: Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta di Batu Gajah, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini terhadap lima tuduhan menerima suapan RM7,572 antara Disember 2011 dan Julai 2012.
Muhammad Sharwani Ramli, 35, dari No 57, Jalan Pakatan Jaya 6, Taman Pakatan Jaya, Hulu Kinta, dekat sini, meminta dirinya dibicarakan sejurus sebelum Hakim Madihah Harullah mahu menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya selepas dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan ketika didakwa pada 2 Disember lalu.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa dengan lima pertuduhan menerima wang berkenaan dalam bentuk cek dan tunai daripada dua individu dari sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pemindahan pasir dan tanah merah.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menerima cek bernilai RM1,500 daripada Hoong Chee Mun pada jam 9.30 pagi, 19 Disember 2011.
Bagi pertuduhan kedua hingga kelima pula, dia didakwa menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,072 daripada seorang lagi individu, Hoong Yoet Ming yang diterimanya pada 2012, iaitu jam 2 petang pada 23 Februari, jam 2 petang pada 31 Mei, jam 2.30 petang pada 14 Jun dan jam 2 petang 2 Julai.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di No 168 Jalan Pasir Puteh, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Madihah menetapkan 7 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mukhriz Mat Rus.

Buang bayi dalam tong sampah

Oleh Kalidevi Mogan

kalidevi@hmetro.com.my
Kumarappa 
Ampang: Mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam tong sampah di pintu A Hospital Ampang, Pandan Mewah kira-kira 6.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, bayi yang baru dilahirkan itu ditemui seorang tukang bersih hospital sebelum memaklumkan kepada pengawal keselamatan hospital.
Katanya, bayi berkenaan dipercayai dilahirkan 24 jam yang lalu dan mangsa juga sudah dipotong tali pusatnya.
"Mayat mangsa sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat dan laporan bedah siasat mendapati bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman dan luaran.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:51 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14689#sthash.TSQkVDhu.dpuf

Bapa pula kena tikam

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kurang 24 jam selepas menikam rakan sekerja, seorang pengawal keselamatan berusia 30 tahun bertindak menikam bapa sendiri di rumah rakannya di Kampung Tasek, Bukit Payong, Marang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, suspek yang sebelum ini menghilangkan diri sebaik menikam dada rakan sekerjanya di Kuala Ibai, Jumaat lalu, menikam pula dada bapa kandungnya malam kelmarin ketika bersembunyi di rumah rakannya.
Bapa mangsa yang berusia 68 tahun berkata, kejadian berlaku ketika dia cuba memujuk anak kedua daripada sembilan beradik itu pulang ke rumah.
Menurutnya, pujukan itu bukan saja tidak berkesan, malah menaikkan darah anaknya hingga bertindak luar batasan dengan menikam dadanya dengan pisau hingga berlubang.
"Selepas mengetahui anak saya menikam rakan sekerjanya di tempat kerja di Kampung Kuala Ibai daripada seorang pengawal keselamatan di kawasan itu, tanpa berlengah, saya terus mencarinya sebelum menemui dia mengayuh basikal di Kampung Tasek.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 6:08 AM


ISMAIL menerima rawatan di HSNZ. Gambar kecil, Mohamad Zaki turut menerima rawatan di HSNZ.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14549#sthash.cseoVe1j.dpuf

Maut tercampak dari kereta

Oleh Junaidi Ladjana

junaidi_ladjana@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seorang pelajar yang bekerja sambilan di pasar raya terbunuh apabila tercampak dari kereta yang dinaiki bersama empat rakan dalam kemalangan di Jalan Tuaran Lama di sini, semalam.
Dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, mangsa Levisto Yu'usuf, 15, dari Kampung Mantanau, Kota Belud yang duduk di tempat duduk belakang kiri meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Pemandu kereta Roland Shero Malik, 20; serta tiga penumpang lain iaitu Alvin Mathew, 20; Riba Jiul, 22; dan Jekrison Manuel, 21, turut cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta itu dari Inanam menghala Tuaran sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan bergesel dengan motosikal yang berada di kiri jalan.
"Akibat kejadian itu, motosikal tercampak ke kiri jalan manakala kereta itu berpusing ke kiri jalan lalu merempuh tembok konkrit menyebabkan seorang penumpang belakang tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Penunggang motosikal Mohd Syafiq Ruslan dari Kampung Tengah Bongawan, Papar turut cedera parah.
Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Chandra berkata, punca kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:16 PM


KERETA remuk akibat kemalangan di Jalan Tuaran Lama. FOTO Junaidi Ladjana
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14912#sthash.34Q5OQim.dpuf

Lemas dalam tasik Universiti Malaya

Mohd Rizal Abdullah

mohd.rizal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an lemas di dalam tasik di Universiti Malaya (UM) di sini, pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian pada 8.45 pagi itu, seorang anggota keselamatan UM melihat mangsa masuk ke dalam tasik berkenaan sebelum mengapungkan diri ke tengah.
Katanya, anggota keselamatan terbabit memerhatikan dari tebing dan cuba bertanyakan tentang apa yang cuba dilakukannya tetapi mangsa bertegas supaya dirinya tidak dipedulikan.
Menurut beliau, sebaik sampai ke tengah tasik, lelaki itu dilihat tenggelam timbul sebelum lemas beberapa minit kemudian.
Katanya, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan anggota keselamatan terbabit tidak sempat menyelamatkan mangsa.
Azlee berkata, tidak lama selepas lemas, lelaki Indonesia itu dapat dibawa naik ke tebing oleh anggota terbabit bagaimanapun mangsa sudah tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa yang dipercayai pekerja pembinaan di sekitar UM. Siasatan kami juga mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 6:33 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14915#sthash.y6ui1Gd0.dpuf