LOS ANGELES: Satu kebakaran memusnahkan sebuah kompleks apartmen sedang dalam pembinaan di Los Angeles, menyebabkan api menjulang tinggi dan dapat dilihat berbatu-batu jauhnya.
Kebakaran itu menyebabkan jalan raya menjadi begitu sesak pada waktu puncak di bandar raya ini.
Ia adalah satu daripada dua kebakaran besar yang berlaku pagi ini di bandar raya ini. Satu lagi kebakaran memusnahkan sebuah bangunan yang menempatkan pelbagai perniagaan di kawasan berdekatan.
Ketua Jabatan Bomba, Ralph Terrazas berkata lebih 250 anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkan api dalam kejadian itu yang berlaku pada jam 1.20 pagi.
Asap menyelubungi bangunan tujuh tingkat itu dan merebak ke bangunan bersebelahan sebelum berjaya mengawalnya dalam masa 90 minit.
Menjelang malam, pasukan penyiasat masih belum dapat memasuki premis bangunan sedang dalam pembinaan yang musnah itu.
Pegawai bomba berpendapat bangunan itu mungkin dibakar dengan sengaja memandangkan ia berlaku dengan begitu pantas.
"Adalah jarang keseluruhan bangunan boleh dijilat api dengan begitu pantas. Pasti ada sesuatu yang tidak kena," kata Kapten Jaime Moore daripada Jabatan Bomba bandaraya Los Angeles.
Moore berkata kebakaran itu mengakibatkan kerugian yang dianggarkan berjumlah AS$10 juta ke atas kompleks terbabit. - AFP