Search This Blog

Monday, December 8, 2014

Ajal rempuh belakang lori


Motosikal ditunggangi mangsa yang remuk.
Motosikal ditunggangi mangsa yang remuk.
SEREMBAN -  Seorang juruteknik maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 258 Lebuhraya Utara - Selatan, arah selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Akmal Arifen, 23, beralamat di Taman Pedas Indah, Pedas, Rembau meninggal dunia akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala dalam kejadian di bawah jejambat di Jalan Rasah di sini.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z secara berseorangan dikatakan dalam perjalanan dari arah Seremban 2 menuju ke Senawang.

“Sejurus sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori.

“Ketika kejadian cuaca baik dan permukaan jalan juga kering.Terdapat empat lorong jalan dan ketika itu motosikal mangsa di lorong kedua dari kiri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Kata jurucakap, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian.

Pesara polis maut kemalangan


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Disember 2014


SEREMBAN - Seorang pesara polis maut dalam keadaan mengerikan apabila motosikal ditungganginya bergesel sebuah treler di Jalan Persiaran S2 A3, berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tun Shing, Seremban 2, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa, Masri Mansor, 58, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo S, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mantau Indah dari Seremban 2 itu difahamkan bergesel dengan treler yang membawa muatan simen, sebelum terjatuh dan digilis.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan treler itu dan kemudiannya terjatuh ke tengah jalan.

“Akibat itu, kepala dan badan mangsa dilenyek treler berkenaan, disebabkan pemandu tersebut tidak sempat mengelak.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ditahan untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dua maut digilis kontena

 WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Disember 2014
Keadaan mangsa yang maut dalam kejadian tersebut. Gambar kecil: Memerang yang mati dilanggar lori.
 Keadaan mangsa yang maut dalam kejadian tersebut. Gambar kecil: Memerang yang mati dilanggar lori.

PELABUHAN BARAT - Kerana ingin mengelak seekor memerang yang melintas jalan, seorang operator kilang dan seorang suri rumah maut selepas digilis sebuah kontena di Jalan Pelabuhan Barat berhampiran susur keluar Taman Botanik, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, kedua-dua mangsa iaitu Idris Alin @ Nordin,48, beralamat di Kajang dan Rohana Abd Jaba, 43, beralamat di Kampung Sungai Pinang, Klang parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam (KBKA) merangkap Ketua Trafik IPD Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa menunggang motosikal dari arah Pelabuhan Barat menghala Shah Alam di lorong kiri jalan. “Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori telah melanggar seekor memerang yang kebetulan menyeberang jalan. “Mangsa cuba elak daripada merempuh memerang itu. Bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan motosikal dinaiki mereka terbalik sebelum tercampak ke jalan raya,” katanya. Selepas tercampak, kedua-dua mangsa kemudian digilis sebuah kontena lain yang berada di belakang treler tersebut. “Mangsa dipercayai bukan suami isteri sebaliknya penyewa rumah dengan orang yang memberi sewa,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Make Money at : http://bit.ly/copy_win

Juru kimpal maut direnjat elektrik

Sulaiman Salleh
Sulaiman Salleh
JOHOR BAHRU - Seorang juru kimpal di sebuah syarikat swasta maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bekerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Skudai dekat Danga Bay, di sini, kelmarin.

Kejadian hanya disedari rakannya apabila mangsa Yusman Ahmad, 44 dari Kampung Parit Kudus, Pontian yang melakukan kerja-kerja mengimpal di sebuah paip besar di situ tidak memberi sebarang maklum balas selepas 15 minit mereka bekerja.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa melakukan kerja mengimpal dalam paip manakala rakannya Mohd Musa Ahmad Ismail,  26 bekerja di bahagian luar untuk tujuan penyambungan paip.

“Namun, selepas 15 minit mereka bekerja, Yusman tidak memberi tindak balas dan menyedari kejadian berkenaan, rakan mangsa bertindak dengan meninjau keadaan mangsa.

“Rakan mangsa mendapati Yusman terbaring dan tidak bergerak walaupun telah cuba diberikan bantuan. Mangsa kemudiannya dibawa keluar daripada paip itu dan semasa rakan sekerjanya menyentuh badan mangsa terasa macam ada aliran arus elektrik pada badannya,” katanya ke.

Sulaiman berkata, siasatan mendapati tiada dijumpai sebarang perbuatan jenayah dalam kejadian ini dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa telah bekerja kira-kira lapan bulan di syarikat itu telah berkahwin. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat,” katanya.

Tok Janggut selamatkan 3 beradik


Tok Janggut sedih melihat dua kucing kesayangannya yang rentung dalam kejadian semalam.
Tok Janggut sedih melihat dua kucing kesayangannya yang rentung dalam kejadian semalam.
JALAN KEBUN - Demi menyelamatkan tiga anak jiran yang terkurung dalam rumah yang terbakar, seorang tukang karut dikir barat dikenali dengan panggilan Tok Janggut sanggup membiarkan dua kucing kesayangannya mati rentung dalam kejadian kebakaran pagi semalam.

Tambah menyedihkan lagi, dia sanggup membiarkan wang gaji RM5,500 yang baru diperoleh kelmarin hangus dalam sebuah beg dalam kediamannya yang turut terbakar.

Tok Janggut atau nama sebenarnya Nazri Ahmad, 47, berkata, dia menyedari tiga anak jirannya itu terkurung selepas mereka menjerit minta tolong.

“Bila dengar mereka menjerit, saya terus suruh isteri dan anak umur tiga tahun keluar selamatkan diri. Saya pula gegas selamatkan mereka dengan bantuan jiran depan rumah, Ainah. Kami pecahkan mangga rumah kelima itu dengan tukul dan bawa keluar tiga beradik tu.

Bila saya berpatah balik nak selamatkan barang dalam rumah, semua sudah hangus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, paling menyayat hati apabila dua kucing kesayangan Ara dan Maro yang dibela sejak setahun lalu turut hangus terbakar.

“Saya sedih sangat... si Ara tengah bunting. Kesian Ara..." katanya sebak.

Dia yang menyewa di situ sejak tiga tahun lalu berkata, dari malam kelmarin, dia rasa tidak sedap hati seolah-olah ada sesuatu akan berlaku hingga dia membatalkan niat ke tempat kerja hari ini (semalam).

“Dua kucing saya tu menggelupur banyak kali... tak nak masuk dalam rumah. Banyak kali saya angkat kemudian lari keluar. Hati saya pun rasa lain macam, sampai tak boleh tidur. Rupa-rupanya kejadian ni nak jadi..." katanya sambil memberitahu dirinya turut bersedih kerana semua peralatan dikir barat miliknya turut musnah.

"Alat-alat dikir barat saya semua dah tak ada... rebana pun musnah," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, rumah sewa Tok Janggut bersama 11 rumah papan yang lain di Jalan Kampung Baru Tua, Kampung Jalan Kebun, di sini terbakar menyebabkan 12 keluarga tinggal sehelai sepinggan.

Selain rumah kediaman, sebuah kereta Honda milik salah seorang mangsa turut hangus dijilat api.

Mangsa, Ainah Senin, 61, berkata, ketika kejadian dia sedang mengaji al-Quran di ruang tamu rumahnya.

“Saya nampak asap dan api keluar dari rumah nombor lima yang diduduki tiga kanak-kanak itu. Saya dengar mereka jerit minta tolong. Saya pun terus gegas panggil Tok Janggut yang kebetulan keluar dari rumah supaya lekas selamatkan budak-budak tu.

“Kami sepakat pecahkan kunci mangga. Masa kejadian kebanyakan rumah tiada penghuni... Orang lelaki yang ada hanya Tok Janggut seorang saja... dialah yang kami harapkan. Syukur  tiga beradik tu selamat," katanya sekali gus memberitahu tiga kanak-kanak itu ditinggalkan ibu bapa mereka yang keluar bekerja dengan mengunci pintu dari luar rumah.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, bomba terima panggilan jam 9.30 pagi dan tiba di lokasi kejadian jam 9.44 pagi melibatkan anggota dari Balai Shah Alam dan Andalas. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan masih diteruskan.

Wanita nyaris maut kereta tiba-tiba terbakar


Kereta jenis Myvi milik K Pakian yang tiba-tiba terbakar selepas mangsa menghidupkan enjin
Kereta jenis Myvi milik K Pakian yang tiba-tiba terbakar selepas mangsa menghidupkan enjin
KUANTAN - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi dipandunya musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Kubang Buaya, dekat sini, semalam.

K Pakian, 42, berkata, mujurnya dia menyedari asap berkepul keluar dari bahagian enjin selepas cuba menghidupkan kenderaannya sebaik sahaja enjin mati dengan tiba-tiba ketika bergerak.

Mangsa yang tinggal kira-kira 300 meter dari tempat kejadian itu bersama seorang pembantu rumah berusia 40 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli barang keperluan dapur di bandar ini.

“Sebelum kereta terbakar, saya mengarahkan pembantu rumah membawa keluar semua barang pulang ke rumah kerana mungkin ada sesuatu yang rosak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika cuba menghidupkan semula kenderaan itu pembantu rumahnya sempat melihat asap tebal dari bawah bahagian enjin dan terus melambai-lambai tangan sebagai isyarat  sambil menjerit meminta keluar daripada kenderaan.

“Tiga kali saya cuba menghidupkan enjin, malangnya api merebak dengan cepat, Mujur saya dapat menyelamatkan diri dan terus menghubungi bomba,” katanya yang bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

K Pakian mendakwa, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM26,000.

Sementara itu, Penguasa Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Yusof Hussin berkata, bomba bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan berjaya mengawal api setengah jam kemudian.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan akan cuba mengenal pasti sehingga siasatan selesai.

Seorang maut, dua parah


Keadaan motosikal dan kenderaan pelbagai guna yang bertembung di Sungai Baging petang semalam.
Keadaan motosikal dan kenderaan pelbagai guna yang bertembung di Sungai Baging petang semalam.
KUANTAN - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut manakala dua parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran jambatan Sungai Baging, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, pemandu motosikal, Mohd Abd Mubin Mohamed, 40 dikatakan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat beranak secara tiba-tiba berada laluannya.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa dari Kampung Darat Sungai Ular, maut akibat parah di kepala dan anggota badan.

Katanya,  kejadian berlaku apabila Toyota Unser  dari arah  Kemaman, Terengganu menuju ke bandar ini secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, mangsa gagal mengelak dan motosikal Kawasaki Z800 bertembung menyebabkan pemandu MPV tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, dua lagi penumpang daripada MPV berkenaan turut parah di kepala serta anggota badan seterusnya mereka dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan susulan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya.

Mohamad Noor berkata siasatan awal mendapati pemandu MPV kemungkinan hilang kawalan menyebabkannya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Abd Mubin yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Mohd Noor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dua rakan karib maut nahas


Anggota polis dan bomba sedang menyiasat kedua-dua buah kereta yang remuk membabitkan kehilangan dua nyawa dalam kejadian kemalangan di Kilometer 12, Jalan Benta ke Kuala Lipis, malam kelmarin.
Anggota polis dan bomba sedang menyiasat kedua-dua buah kereta yang remuk membabitkan kehilangan dua nyawa dalam kejadian kemalangan di Kilometer 12, Jalan Benta ke Kuala Lipis, malam kelmarin.
KUALA LIPIS - Hasrat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Setiawangsa, di sini, yang baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nadia Farahidayu Yusoff, 17, untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Ahad ini tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya, di Kilometer 12, Jalan Lipis - Benta, kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu, rakan karibnya, Nur Syafinaz Mohamad Affader, 17, yang menumpang kereta Kancil berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Abdul Razak Hassan, berkata, dalam kejadian berhampiran Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah, Lipis, kereta Kancil yang dipandu oleh Nadia Farahidayu dari arah Benta ke Kuala Lipis dipercayai dilanggar berhadapan oleh sebuah kereta

Proton Wira yang dipandu oleh Noramirudin Ariffin, 29 yang datang dari arah Kuala Lipis.

Menurutnya, kereta Proton Wira yang dipandu oleh Noramirudin cuba memintas kenderaan lain, tetapi gagal lalu bertembung dengan Kancil di laluan bertentangan di lokasi kejadian berkenaan.

“Nadia Farahidayu mengalami kecederaan parah di kepala dan paru-paru sementara rakannya, Nur Syafinaz patah tengkuk. Kedua-dua mangsa maut serta merta di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, Noramirudin yang bekerja sebagai mekanik mengalami patah kaki kiri, manakala seorang penumpang di bahagian belakang tempat duduk kanan yang juga anak saudara Noramirudin, Nursyamimi Amira Mohd Shukri, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah

Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Seri Inderapura, Jitra, Kedah mengalami pendarahan di bahagian kepala.

“Kedua-dua mangsa kereta Proton Wira berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut dan dilaporkan telah stabil,” katanya.

Menurutnya, adik Nursyamimi, Nur Najwa Hanim Mohd Shukri, 15 serta dua lagi saudara mereka Sharifah Abdullah, 18, dan Azli Afandi Mohd Amruzi, 14, cuma mengalami cedera ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Lipis.

Abdul Razak berkata, kereta Proton Wira yang dipandu Noramirudin berlepas dari Changloon, Kedah dalam perjalanan balik kampung di sebuah tanah rancangan Felda di Triang, Bera melalui laluan alternatif di Kuala Lipis.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berpunca kecuaian sikap pemandu yang tidak mematuhi had kelajuan selain struktur permukaan jalan basah dan licin berikutan hujan renyai-renyai.

“Pemandu kenderaan yang pulang bercuti ke kampung melalui laluan Benta ke Lipis dan Merapoh diminta berhati-hati dan mematuhi had kelajuan termasuk berwaspada  ketika pemanduan pada musim hujan,” katanya.

Abdul Razak berkata, mayat kedua mangsa yang menetap di Taman Cheneras Jaya, di sini dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat dan dituntut oleh oleh keluarga masing-masing bagi disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang dalam satu liang lahad.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang mengetahui tentang kejadian berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nafis Nazaruddin, di talian 093122222 atau hadir ke Bahagian Trafik

Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan.

Sementara itu,  Sinar Harian difahamkan, Nadia Farahidayu dan Nur Syafinaz baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM dalam perjalanan dari bandar Raub selepas berbelanja membeli peralatan untuk persiapan menyertai panggilan kursus PLKN, minggu depan.

Difahamkan juga, arwah telah mengajak rakan karibnya, Nur Syafinaz menemaninya ke Raub untuk tujuan berkenaan. Sebelum kejadian tersebut mereka telah berhenti menjamu selera di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Benta, dekat sini.

Gadis gelandangan diselamatkan


Wan Azahari (kiri) menyertai operasi menyelamatkan seorang gadis gelandangan.
Wan Azahari (kiri) menyertai operasi menyelamatkan seorang gadis gelandangan.
TANAH MERAH - Seorang gadis berusia awal 20-an diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, Khamis lalu, kerana hidup bergelandangan di sekitar bandar ini dipercayai sejak beberapa bulan lalu.

Tindakan itu sekali gus menamatkan usaha JKM jajahan ini mengesan gadis terbabit selepas gambarnya disiarkan akhbar ini, 11 November lalu dan beberapa cubaan mencarinya selepas itu gagal.

Pegawai Kebajikan Masyarakat jajahan ini, Wan Azahari Wan Muhammad berkata, gadis gelandangan terbabit diselamatkan dengan kerjasama polis di belakang sebuah bangunan di Jalan Pechong, dekat sini.

Menurutnya, gadis itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan psikiatrik.

“Gadis ini mendakwa dia berasal dari Jerantut, Pahang dan datang ke bandar ini untuk mencari kerja tetapi dia nampak seolah-olah ada masalah kesihatan mental,” katanya.

Akhbar ini sebelum ini menyiarkan laporan mengenai seorang gadis yang dikatakan hidup sebagai gelandangan di bandar ini selepas ibu angkatnya didakwa jatuh sakit.

Namun, siasatan JKM kemudian mendapati gadis gelandangan terbabit tidak ada kaitan dengan seorang lagi gadis yang menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga di Kampung Padang Siam seperti dilaporkan.

Laporan akhbar tersebut bagaimana pun menjadi pencetus kepada usaha JKM mengesan gadis gelandangan itu termasuk pada awal minggu lalu yang berakhir dengan kakitangan agensi terbabit dibaling batu oleh gadis terbabit.

Menurut Wan Azahari, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai gadis terbabit daripada hospital terutama dari segi kesihatan untuk tindakan susulan.

“Kemungkinan selepas ini, JKM akan uruskan proses menghantar gadis ini balik ke kampungnya jika semua maklumat yang diberikan mengenai diri dia benar,” katanya.

Gadis ditemui mati lemas


Mayat Siti Nor Syamillah Abd Aziz ditemui kira-kira 19 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat Siti Nor Syamillah Abd Aziz ditemui kira-kira 19 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
JELI - Mayat seorang gadis berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Pergau, Kampung Timur, di sini, Jumaat lalu, ditemui pasukan mencari dan menyelamat, semalam.

Mayat Siti Nor Syamillah Abd Aziz ditemui kira-kira 19 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga lagi saudara perempuannya pada hari kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba, Soleh Nasir berkata, mayat mangsa yang berasal dari Ladang Kerilla, Tanah Merah, dijumpai pada jam 4.30 petang, ketika operasi mencari dan menyelamat masuk hari ketiga, semalam.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jeli pada jam 6.05 petang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa sedang mandi bersama kakaknya, Siti Nor Salmi , 22, adiknya, Siti Nor Syariah, 14 dan sepupu mereka, Aini Sahira Zaki, 16.

Mangsa kemudian dikatakan hanyut dibawa arus deras, manakala Siti Nor Syahirah dan Aini Sahira yang juga hampir lemas diselamatkan Siti Nor Salmi. Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila air dari Empangan Pergau dilepaskan menyebabkan paras sungai naik secara mendadak.

Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang


8 Disember 2014


SIK - Enam sekeluarga dari Kampung Namek dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
 
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 3 pagi itu kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kejadian.
 
Rumah itu milik pasangan Masnawi Ahmad, 41, dan isterinya Rashidah Mustafa, 37, yang mempunyai empat anak berusia satu hingga 14 tahun. Ketika kejadian keluarga itu berada di rumah seorang saudara mereka di Kampung Bukit Selambau, Sungai Petani.
 
Masnawi yang bekerja kampung berkata jiran dan saudara mara yang tinggal berhampiran rumahnya berusaha memadamkan kebakaran tetapi gagal, menyebabkan tiada sebarang peralatan yang dapat diselamatkan kerana api terlalu marak.
 
Katanya dia pulang ke rumah pukul 4 pagi bersama keluarganya setelah dihubungi jiran dan mendapati rumah dan sebuah motosikal miliknya musnah.
 
"Saya menerimanya sebagai takdir dan berharap ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran ini," katanya.
 
Masnawi bersama keluarganya kini terpaksa menumpang di rumah seorang saudara berdekatan rumahnya yang musnah terbakar.
 
Sementara itu, Anggota Parlimen Sik Dr Mansor Abd Rahman hari ini melawat mangsa kebakaran dan menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka.

"Saya akan berbincang dengan beberapa pihak bagi membantu keluarga ini mendapatkan sebuah rumah untuk mereka meneruskan kehidupan termasuk daripada projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program zakat TNB," katanya.
 
Sementara itu, Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik akan membantu membersihkan kawasan rumah yang terbakar untuk dibina semula setelah ada bantuan oleh mana-mana pihak.
 
Pengerusinya Mahadzir Abd Hamid berkata anggota Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik sedia membantu membersihkan sisa kebakaran itu dalam masa terdekat. -Bernama

Lelaki maut ditetak dalam taman rekreasi


8 Disember 2014


GEORGETOWN - Seorang lelaki, dipercayai rakyat asing ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah tokong di Taman Metropolitan, Relau di sini hari ini.
 
Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui seorang guru wanita yang sedang beriadah dalam kawasan rekreasi itu pada pukul 10 pagi. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh lelaki itu antaranya di pipi, leher dan kedua-dua belah tangan manakala telinga kirinya putus.
 
"Berdasarkan kecederaan mangsa, dia dipercayai mempertahankan diri dalam pergelutan itu dengan menahan tetakan menggunakan kedua-dua tangannya.
 
"Kami juga percaya penyerangnya lebih daripada dua orang dan mereka bersenjatakan parang," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.  
 
Mazlan berkata berdasarkan keadaan mayat lelaki itu, polis percaya rakyat asing berkenaan mati kurang daripada tempoh 12 jam dan kejadian antara pukul 2 pagi dan 5 pagi.
 
Beliau berkata polis juga mengesyaki suspek kejadian itu adalah dalam senarai individu dikehendaki polis berdasarkan modus operandi pembunuhan namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.
 
Ditanya sama ada kemungkinan kejadian itu melibatkan rakyat Myanmar, beliau hanya berkata mangsa dipercayai rakyat asing kerana tiada kesan suntikan BCG pada lengannya.
 
"Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
 
Beliau berkata terdapat kesan seperti diseluk pada poket seluar yang dipakai lelaki itu dan dia mungkin disamun kerana tiada barang berharga seperti dompet dijumpai.
 
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama

Kes bunuh di Relau ada kaitan rakyat Myanmar


8 Disember 2014


BUTTERWORTH - Polis percaya kes bunuh di hadapan sebuah tokong di Taman Metropolitan, Relau dekat sini hari ini dilakukan oleh kumpulan rakyat Myanmar yang sama dalam beberapa kes bunuh melibatkan rakyat negara itu di negeri ini.
   
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ia berdasarkan modus operandi dan kesan kecederaan yang dialami mangsa sama seperti kes-kes bunuh membabitkan rakyat Myanmar sebelum ini.
   
"Berdasarkan siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan kes bunuh awal pagi ini di Relau itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes bunuh membabitkan warga Myanmar.
   
"Suspek dipercayai warga Myanmar dan mangsa juga rakan senegaranya. Motif kejadian dipercayai dendam yang dibawa dari negara mereka, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Boling Polis Diraja Malaysia (PDRM) Piala Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim', di sini hari ini.
   
Abdul Rahim berkata usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan menurutnya mungkin polis boleh mendapatkan maklumat daripada warga Myanmar yang ditahan sebelum ini.
   
Sejak awal tahun ini, 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal, mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan. Bagaimanapun sejak bulan lepas kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa. -Bernama

Pemandu teksi Uber ditahan kerana merogol


Gambar hiasan. Sumber internet
Gambar hiasan. Sumber internet
MATHURA - INDIA. Polis menahan seorang pemandu teksi Uber atas tuduhan merogol seorang penumpang berumur 25 tahun dalam satu kejadian, Jumaat lepas.

Kejadian tersebut memberi kesan buruk kepada syarikat teksi berkenaan, yang selama ini mementingkan keselamatan, lapor Yahoo.news.

Polis berjaya mengesan suspek yang telah meninggalkan teksinya dan lari ke Uttar Pradesh.

Ketika kejadian, suspek dilaporkan menyerang penumpangnya itu di sebuah kawasan terpencil di ibu kota India.

Pegawai polis, Deepak Mishra mengkritik Uber kerana siasatan menunjukkan bahawa peranti GPS tidak disertakan dalam teksi suspek, malah  pemeriksaan mandatori oleh pihak polis terhadap pemandu juga tidak dibuat.

Tiga maut dalam kemalangan tiga kenderaan



Rempuhan secara berhadapan antara treler membawa muatan kayu dan bas ekpress dari laluan bertentangan di Kilometer 264 Lebuhraya Plus (arah utara), berhampiran Plaza Tol Seremban, di sini, petang tadi.
Rempuhan secara berhadapan antara treler membawa muatan kayu dan bas ekpress dari laluan bertentangan di Kilometer 264 Lebuhraya Plus (arah utara), berhampiran Plaza Tol Seremban, di sini, petang tadi.
SEREMBAN – [DIKEMASKINI] Tiga maut, 10 cedera termasuk dua parah dan lapan cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu bas ekspres, treler dan lori di Kilometer 264 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berhampiran Plaza Tol Seremban, petang tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.50 petang itu, pemandu treler, S.Surej 28; pemandu bas, Nor Zaili Nordin 55 dan penumpang bas wanita yang masih tidak diketahui identiti.

Dalam kejadian berkenaan, treler yang membawa muatan kayu dari arah utara ke selatan dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua kendeaan berkenaan turut melanggar sebuah lori membawa muatan tanah yang diletakkan ditepi jalan yang sedang dalam urusan membuat kerja-kerja pembinaan jalan.

Sinar Harian difahamkan, bas itu dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur manakala pemandu treler dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kuala Lumpur ke Seremban.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff berkata, sejurus menerima panggilan pada 3.04 petang, tiga jentera dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 serta Nilai segera ke lokasi.

Menurutnya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Dua ahli Geng 
Mamak ditahan polis


Serbuan ke sebuah rumah di Jalan Kuala Kangsar

IPOH 7 Dis. - Dua suspek dipercayai ahli Geng Mamak ditahan oleh sepasukan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuala Kangsar di sini malam tadi.
Menurut sumber, kedua-dua mereka yang ditahan kira-kira pukul 10.30 malam itu merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun.
Jelas beliau, semasa serbuan dibuat, lelaki berkenaan cuba melarikan diri daripada ditahan anggota polis.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, kita menjumpai pelbagai peralatan untuk pecah rumah antaranya parang, kuku kambing dan pemotong besi. Turut dijumpai topeng muka, spanar dan playar yang diletakkan dalam sebuah beg yang dirampas daripada suspek berkenaan.
“Selain itu, kita juga menemui pelbagai nombor pendaftaran kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas dua buah kenderaan daripada suspek terlibat untuk tujuan siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-ahli-geng-8232-mamak-ditahan-polis-1.33817#sthash.Nmmshcpj.dpuf

Penduduk kulit hitam Amerika terus demonstrasi


Penduduk mengadakan demonstrasi di Lower Manhattan, New York,
Penduduk mengadakan demonstrasi di Lower Manhattan, New York, kelmarin mendesak supaya kematian remaja kulit hitam Eric Garner, mendapat pembelaan. – REUTERS
NEW YORK 6 Dis – Orang ramai membanjiri jalan-jalan raya di New York dan beberapa bandar lain masuk malam ketiga berturut-turut, semalam bagi menyertai tunjuk mengecam tindakan kekerasan polis sehingga membawa maut terhadap penduduk minoriti berkulit hitam di Amerika Syarikat (AS).
Kematian seorang pemuda kulit hitam Akai Gurley, 28, yang ditembak mati di Brooklyn, New York, merupakan kejadian terbaharu membabitkan tindakan keganasan polis, sekali gus menyemarakkan kemarahan orang ramai terhadap pihak polis yang bersikap perkauman.
Gelombang kemarahan ditunjukkan melalui tunjuk perasaan aman secara besar-besaran bermula Rabu lalu apabila panel juri agung New York memutuskan tidak akan mendakwa seorang pegawai polis, Daniel Pantaleo, yang didakwa mencekik seorang lelaki kulit hitam, Eric Garner, 43, yang mempunyai enam orang anak sehingga mati pada 17 Julai lalu.
Garner yang tidak memiliki senjata ditangkap kerana disyaki menjual rokok haram dalam satu rakaman video ketika bergelut dengan polis di Pulau Staten pada Julai lalu.
Keputusan membebaskan Pantaleo dibuat sembilan hari selepas sebuah panel juri agung di Missouri memutuskan untuk tidak mendakwa seorang lagi anggota polis kulit putih kerana menembak mati seorang remaja kulit hitam yang juga tidak bersenjata di St. Louis, Ferguson pada Ogos lalu, sehingga mencetus tunjuk perasaan selama dua malam di kawasan berkenaan.
Kemudian pada hari Khamis di Phoenix, Arizona, seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata ditembak mati pula oleh seorang pegawai polis kulit putih semasa bergelut, yang membawa kepada tercetusnya tunjuk perasaan di bandar itu.
“Kerajaan telah mencipta seekor raksasa dan ia kini sedang terlepas,” kata Soraya Soi Free, 45, seorang jururawat di Bronx yang menyertai tunjuk perasaan di New York.
Sebelum ini, keengganan juri mendakwa anggota polis dalam kes serupa di Ferguson, Missouri, turut dikecam hebat sehingga Peguam Negara, Eric Holder memulakan semakan sivil terhadap kes itu.
Holder turut menjanjikan akan menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes terbaru membabitkan Garner di New York.
Demonstrasi bermula pada sebelah petang selepas waktu pejabat dan penunjuk perasaan menganggu lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan teruk dan semakin ramai menyertai tunjuk perasaan itu menjelang malam.
Mereka kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan di lokasi berbeza, namun tiada keganasan berlaku.
Keadaan menjadi tegang apabila sekurang-kurangnya 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Times Square sejurus sebelum tengah malam. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-kulit-hitam-amerika-terus-demonstrasi-1.33386#sthash.3uFz0THb.dpuf

Tunjuk perasaan iringi pengebumian Gurley


Dua anggota polis bergelut dengan penunjuk perasaan dalam demonstrasi
Dua anggota polis bergelut dengan penunjuk perasaan dalam demonstrasi yang mengecam keputusan juri dalam kes kematian seorang lelaki kulit hitam akibat ditembak anggota polis yang diadakan di Berkeley, California, Amerika Syarikat, kelmarin. – AFP
NEW YORK 7 Dis. – Tunjuk perasaan yang berterusan di New York dan seluruh Amerika Syarikat (AS) pada hari keempat semalam, mengiringi acara pengebumian lelaki kulit hitam yang menjadi mangsa kekerasan pihak polis, di Gereja Brown Memorial Baptist, di sini.
Rakan-rakan dan ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada Akai Gurley, 28, yang ditembak mati oleh seorang pegawai polis di sebuah pangsapuri di Brooklyn pada 20 November lalu.
Gurley yang merupakan bapa kepada seorang anak perempuan, pernah merancang untuk memperkenalkan wanita itu kepada ibunya yang tinggal di Florida sempena perayaan Hari Kesyukuran sebelum kejadian tersebut.
Aktivis, Kevin Powell mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dan penduduk bandar terbabit kerana menanggung kos pengebumian Gurley dan menyokong usaha menentang ketidakadilan yang berlaku.
“Gurley tidak bersalah. Ini merupakan hukuman zaman moden, dia adalah mangsa terbaru dalam isu ni,” katanya.
Powell turut menggesa supaya pembaharuan dilakukan dalam pasukan polis dan mengecam tindakan membunuh penduduk kulit hitam yang tidak bersalah oleh pihak berkuasa.
“Kita perlu melakukan segalanya bagi mengelak daripada keadaan ini berulang,” katanya.
Pendakwa raya Brooklyn, Ken Thompson kelmarin mengumumkan, anggota juri akan mempertimbangkan dakwaan dalam satu daripada beberapa kes kekerasan terhadap penduduk kulit hitam di AS oleh anggota polis.
Pengebumian Gurley dijalankan ketika bantahan diadakan ekoran kes pembunuhan seorang remaja kulit hitam, Michael Brown, 18, di Ferguson, Missouri pada 9 Ogos lalu dan Eric Garner, 43, yang dicekik sehingga mati oleh anggota polis di sini, Julai lalu.
Tunjuk perasaan terus diadakan di California dan Washington DC sehingga menyebabkan jalan utama dan jambatan ditutup, manakala di sekitar Grand Central Station, New York, penunjuk perasaan berbaring di terminal bas itu sambil berteriak berulang-­ulang nama Garner dan Brown. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tunjuk-perasaan-iringi-pengebumian-gurley-1.33699#sthash.9TOgHuuD.dpuf

Polis India giat kesan pemandu teksi merogol


NEW DELHI 8 Dis. - Pasukan polis India berusaha mengesan seorang pemandu teksi perkhidmatan tempahan antarabangsa, Uber kerana didapati bersalah merogol seorang wanita berusia 26 tahun di pusat bandar negara itu semalam.
Pegawai polis New Delhi, Alma Ming berkata, siasatan lanjut yang dilakukan menjumpai sebuah teksi yang ditinggalkan pemandu berusia 32 tahun itu, namun pemandu tersebut masih dicari.
Akhbar Press Trust of India melaporkan, wanita itu tertidur semasa menaiki teksi terbabit. Apabila dia terjaga, dia dapati teksi itu berada di sebuah tempat tersorok dan pemandu teksi tersebut kemudian mengugut wanita berkenaan dan merogolnya. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-india-giat-kesan-pemandu-teksi-merogol-1.33890#sthash.g9ApIhRQ.dpuf

13 sakit, pesawat AS buat pendaratan cemas


ROME 8 Dis. - Sebuah pesawat penumpang Amerika Syarikat (AS), US Airways melakukan pendaratan cemas di Rome semalam selepas dua penumpang dan 11 anak kapalnya jatuh sakit, lapor media Itali.
Pesawat itu yang berlepas dari Tel Aviv, Israel ke Philadelphia di AS, mendarat di lapangan terbang Fiumicino di bandar Itali dan meminta bantuan perubatan untuk 13 orang penumpang dan anak kapal yang menunjukkan gejala merah mata dan muntah-muntah.
Penumpang dan anak kapal yang terjejas itu diperiksa oleh beberapa doktor kecemasan lapangan terbang sebelum di bawa ke hospital di Ostia, Rome. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/13-sakit-pesawat-as-buat-pendaratan-cemas-1.33892#sthash.i9yCp4Vz.dpuf

Masjid baru dirasmi kena conteng



Masjid Hussain Seremban 2 di Seremban yang baru dirasmikan oleh Menteri Besar pada 24 Oktober lalu dikesan menjadi sasaran vandalisme kelmarin.


SEREMBAN – Masjid Hussain Seremban 2 di sini turut menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab apabila didapati diconteng kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun (gambar kecil) berkata, masjid yang baru dirasmikan pada 24 Oktober lalu itu diconteng pada dinding dengan beberapa perkataan menggunakan pen penanda biru gelap.
Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu diterima kelmarin dan pihaknya sedang menyiasat kes tersebut kerana mencemarkan tempat ibadat.
“Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari semasa majlis perkahwinan sepasang pengantin berlangsung di masjid itu.
“Perbuatan disyaki dilakukan orang dewasa kerana tulisan berada di bahagian yang tinggi,” katanya di sini semalam.
Dalam tinjauan di masjid itu bagaimanapun tidak menemui kesan contengan tersebut kerana dipercayai telah dicat semula pagi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3LFwNinvV 
Hakcipta terpelihara 

Nyaris tertelan ‘uri bayi’



INILAH objek asing yang menyerupai uri bayi ditemui di dalam minuman oleh seorang pemilik kedai makan di Teluk Bahang, Balik Pulau kelmarin.


BALIK PULAU – Seorang pemilik kedai makan di Teluk Bahang di sini nyaris tertelan objek asing seakan-akan jeli yang menyerupai uri bayi di dalam air minuman tin kelmarin.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnah, 30-an mendakwa, kejadian berlaku ketika dia sedang minum air berperisa teh bunga tersebut sebelum mendapati ada sesuatu di dalam mulutnya.
Menurutnya, dia kemudian berhenti daripada terus meneguk minuman kegemarannya tersebut sebelum meluahkan objek itu.
“Saya tahu minuman itu memang tidak mempunyai sebarang kandungan lain selain air berperisa sahaja.
“Bagaimanapun selepas meneguknya, saya berasa ia sedikit pelik dan seolah-olah ada benda seakan-akan jeli menyebabkan saya terus meluahkan apa yang telah diminum,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3LFwCag2C 
Hakcipta terpelihara 

Ibu mahu bebaskan anak direman nyaris diperdaya





MIRI – Ibu kepada suspek yang ditahan di Lapangan Terbang Miri kerana memiliki dadah jenis syabu di dalam enam bagasinya pada Khamis lalu nyaris terpedaya dengan satu panggilan telefon daripada in­dividu tidak dikenali di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an dikatakan menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai seorang pegawai polis.

Menurut sumber, lelaki ber­kenaan menyatakan bahawa dia mampu membantu membebaskan anaknya yang masih dalam tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, di sini.

“Lelaki berkenaan meminta mangsa menemuinya di Kuala Lumpur pada hari yang sama bagi menguruskan pembebasan anak mangsa.

“Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mangsa mulai curiga lalu bertindak menghubungi IPD Miri bagi memperoleh pengesahan dan polis me­mintanya pulang segera ke Miri serta menasihatinya supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3LFvvdign
Hakcipta terpelihara 

Ribut landa dua kampung



MOHD. KHALID (kanan) menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut selepas dilanda ribut dan angn kencang di Kampung Tengku Hussein, Manjoi, Ipoh semalam.


IPOH – Lebih 50 buah rumah di Kampung Tengku Hussein dan Kampung Sungai Tapah di Manjoi di sini rosak teruk selepas dilanda ribut dan angin kencang semalam. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian pada pukul 2.45 petang yang melibatkan lebih 40 buah rumah di Kampung Tengku Hussien dan 10 buah kediaman di Kampung Sungai Tapah.
Salah seorang mangsa, Mohd. Khalid Mohd. Tahir, 60, dari Kampung Tengku Hussien berkata, kejadian ribut itu merupakan kali ketiga berlaku sepanjang 35 tahun dia menetap di kampung tersebut.
Bagaimanapun kata pesara tentera itu, kejadian pada petang berkenaan disifatkan yang terburuk pernah berlaku apabila memusnahkan hampir 70 peratus kediamannya.

SEORANG petugas Majlis Bandaraya Ipoh menyaksikan keadaan bumbung rumah yang diterbangkan angin kencang di Kampung Tengku Hussein di Manjoi, Ipoh semalam.


“Ketika kejadian, saya sedang bersiap-siap mahu membakar sate manakala 12 lagi anggota keluarga yang lain termasuk cucu yang baru berusia 1 bulan berada dalam rumah.
“Tiba-tiba, angin kuat yang datangnya dari arah rumah jiran melanda rumah saya menyebabkan bumbung mula berter­bangan disusuli bunyi-bunyi pe­cah. Pada masa itu, kami hanya mampu menyorok di kawasan selamat,’’ katanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3LFvckGdR 
Hakcipta terpelihara 

Buang badan mangsa dalam tali air selepas bunuh



KAWASAN tali air di Sungai Bakap, Nibong Tebal yang dipercayai lokasi satu badan mangsa pembunuhan kejam warga Myanmar dibuang.


GEORGE TOWN – Polis mencari satu lagi badan mangsa pembunuhan kejam warga Myanmar yang mayatnya dipotong-potong sebelum dicampak di beberapa lokasi berbeza di negeri ini sejak dua minggu lalu.
Badan berkenaan dipercayai dibuang ke dalam tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap di Nibong Tebal.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, petunjuk baharu itu diperoleh hasil soal siasat terhadap 17 lelaki Myanmar yang ditahan baru-baru ini.
Menurut beliau, suspek me ngaku membuang kepala, tangan dan kaki mangsa di kawasan ber asingan di Bukit Mertajam.
“Mereka mengaku membunuh mangsa, bagaimanapun kemungkinan badannya telah hanyut ke sungai atau laut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3LFvPB6VB 
Hakcipta terpelihara