Search This Blog

Sunday, December 7, 2014

Mayat Mangsa Kebakaran Warga Malaysia Diserah Kepada Keluarga


Diterbitkan: Ahad, 7 Disember 2014 2:47 PM

SINGAPURA: Mayat Yusof Masrong, 49, dan Ramu Kotiah, 50, antara empat rakyat Malaysia yang mati dalam kebakaran di blok asrama pekerja asing di Lorong 4 Geylang awal Sabtu telah diserahkan kepada anggota keluarga mereka, kata seorang pegawai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.
Yusof dari Kg Ulu Bungin, Staoh, Sibu, Sarawak sementara Ramu dari Ipoh, Perak.
Jenazah Yusof akan diterbangkan ke Sibu esok. Dua lagi mangsa ialah Jubitol Rumanjing, 37, dan Maslan Musundo, 43, dari Kg Mangkapon, Pitas, Sabah.
Mayat kedua-duanya akan dibawa pulang ke Kota Kinabalu esok.
Seorang lagi mangsa Muslin Masundo iaitu abang Maslan, kini dirawat di Wad ICU Hospital Besar Singapura.
Dalam kebakaran itu, empat rakyat Malaysia meninggal sementara lapan lagi cedera.

Wanita Terkejut Jumpa Bayi Depan Pintu Rumah


Diterbitkan: Sabtu, 6 Disember 2014 4:07 PM

SHAH ALAM: Seorang bayi perempuan ditemui di hadapan sebuah unit rumah flat di Bukit Tinggi, Klang pagi Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Supt Goh Lee Fook berkata seorang wanita terkejut apabila mendapati bayi berkenaan di hadapan pintunya dan segera menghubungi polis.
Bayi itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kira-kira 24 jam sebelum ditemui yang dibalut dengan selimut serta tali pusatnya siap dipotong.
Beliau berkata polis sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab membuang bayi tersebut.

Empat Rakyat Malaysia Terbunuh Dalam Kebakaran Asrama di Geylang


Diterbitkan: Sabtu, 6 Disember 2014 6:42 PM

PETALING JAYA: Empat rakyat Malaysia yang bekerja sebagai tukang cuci meninggal dunia di asrama pekerja di Geylang, Singapura pada awal pagi Sabtu.
Tiga daripada mereka yang dipercayai lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun, mati di tempat kejadian sementara mangsa keempat meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut berlaku pada 1.40 pagi.

The Straits Times berkata sekurang-kuranya sembilan orang dihantar ke Hospital Tan Tock Seng dan Hospital Besar Singapura.

Mereka termasuk dua anggota bomba yang mengalami kecederaan ringan. 
Sementara itu wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, mengesahkan mangsa yang meninggal dunia merupakan pekerja yang menetap di negara tersebut. 
"Kami berjaya mengenalpasti identiti mangsa melalui kad pengenalan dan pasport milik mangsa.

"Waris keluarga mangsa yang terlibat telah pun dihubungi untuk memaklumkan mengenai kejadian malang tersebut," katanya ketika dihubungi The Star pada Sabtu.

Mangsa yang meniggal dunia dikenalpasti sebagai Jubitol Rumanjing, 37, Maslan Musundo, 43, Yusoff Masrong, 49, dan Ramu Kotiah, 50.

"Pihak kami bekerja sama dengan polis Malaysia dan Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengenalpasti dua lagi waris keluarga mangsa yang terlibat," katanya.

Tiga mangsa yang terbunuh berasal dari Sabah dan mayat mereka sehingga kini masih berada di Hospital Besar Singapura menanti ia dituntut waris masing-masing. 

Asrama tersebut terletak di kawasan rumah kedai, di Lorong 4 Geylang. Terdapat hampir 100 warga asing yang tinggal di sana terdiri daripada warga China, India, Bangladesh dan Malaysia.

Bangunan rumah kedai tersebut dibahagikan kepada 11 unit bilik dengan setiap sebuah bilik didiami oleh 10 orang.

Lagak Suspek Bunuh 18 Warga Myanmar Seperti 'Sivaji The Boss'


Diterbitkan: Ahad, 7 Disember 2014 9:34 AM

BUKIT MERTAJAM: Lelaki yang dipercayai mengetuai kumpulan pembunuh warga Myanmar di Pulau Pinang didakwa berkarektor seperti watak filem Tamil, Sivaji The Bosskerana sering berkaca mata hitam serta mempunyai gaya tersendiri.
Seorang warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Anwar berkata, dia sering melihat suspek yang juga warga Myanmar dan tinggal bersebelahan rumahnya di Kampuang Pisang, Machang Bubuk, berkaca mata hitam dengan gaya tersendiri.
"Rambutnya panjang dan kadang-kadang berpakaian seperti pelakon Tamil, Rajinikanth ketika dalam filem Sivaji The Boss," katanya ketika melihat suspek keluar dan masuk rumah yang menjadi lokasi pembunuhan.
Bagaimanapun Anwar yang tinggal di situ sejak lapan tahun lalu tidak mengetahui pekerjaan suspek dan rakan-rakan.

"Dia lebih menyendiri. Dia hanya keluar dan masuk rumah sahaja, kadang-kadang ada wanita dipercayai isterinya turut bersama.
"Dia berpakaian kemas dan hanya akan melemparkan senyuman kepada penduduk di sini jika melintasi mereka. Dia tidak pernah bercakap dengan jiran-jiran," jelasnya.
Seorang lagi jiran suspek, Noorshah Siti Hazariah Awang berkata, dia terkejut apabila terdengar polis mengetuk pintu rumah berkenaan pada pagi Jumaat.
"Kami tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku kerana polis hanya memberitahu 'kes berat'. Saya melihat polis membawanya (suspek) ke dalam kereta.
"Saya tidak pernah tahu jika ada pembunuhan berlaku di rumah yang terletak bersebelahan. Saya tidak pernah dengar bunyi bising dan sesuautu yang mencurigakan," cerita wanita terbabit.
Bagaimanapun katanya, terdapat ramai orang yang terdiri daripada warga Myanmar sering ke rumah tersebut.
Polis sebelum ini berjaya menahan 17 suspek bagi membantu siasatan pembunuhan 18 warga Myanmar di sekitar negeri tersebut.
Polis juga percaya pembunuhan mangsa telah dilakukan di kediaman tersebut setelah menemui beberapa parang panjang.

Suspek Mengaku Membunuh & Potong Badan Mangsa


Diterbitkan: Ahad, 7 Disember 2014 7:32 PM
Abdul Rahim Hanafi.

GEORGE TOWN: Polis mendapat beberapa petunjuk baharu bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes bunuh dan mengerat anggota badan rakyat Myanmar yang dipercayai dilakukan rakyat negara itu sendiri, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata dengan petunjuk baharu yang diperoleh hasil soal siasat terhadap 17 lelaki Myanmar yang ditahan, polis telah mendapat lokasi badan seorang lelaki yang kepala, tangan dan kakinya ditemui di kawasan berasingan di Bukit Mertajam.

"Suspek mengaku membunuh sebelum memotong anggota badan dan membuangnya termasuk badan lelaki berkenaan ke dalam tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap dekat sini dua minggu lepas.

"Setakat ini polis hanya menemui kepala, tangan dan kaki mangsa. Kemungkinan badan mangsa telah hanyut ke sungai atau laut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Polis, di sini hari ini.

Pada 24 November lepas, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam dan pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.

Terbaru pada Isnin lepas kepala dan tangan kiri dari lengan hingga tapak tangan ditemui dalam beg plastik berhampiran tong sampah di Machang Bubok.

Abdul Rahim turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kes pembunuhan itu bukan ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan mayarakat setempat sebaliknya hanya membabitkan rakayat Myanmar.

Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah Pulau Pinang menurun sebanyak 377 kes atau 4.8 peratus dalam tempoh Januari hingga semalam berbanding 7,854 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata kejayaan menurunkan kadar jenayah itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis.

Polis Tumpas Kumpulan Curi Kereta, Tahan Tiga Lelaki


Diterbitkan: Ahad, 7 Disember 2014 7:48 PM

KOTA TINGGI: Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan curi kereta berikutan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kampung Temenin Lama, di sini, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kesemua mereka yang berumur antara 27 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira 1 pagi, 1 Disember lepas selepas bertindak atas maklumat.
"Polis memeriksa empat kereta di bengkel tersebut iaitu Proton Wira, BMW, Mitsubishi Lancer dan Hyundai Sonata. Mitsubishi Lancer dan Hyundai Sonata terbabit mempunyai nombor pendaftaran Singapura," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rahmat berkata hasil pemeriksaan mendapati Proton Wira itu dilaporkan hilang pada 9 Ogos lepas di Kota Tinggi manakala nombor enjin serta casis BMW, Mitsubishi Lancer dan Hyundai Sonata pula sudah dikikis.

Beliau berkata seorang daripada tiga lelaki tersebut merupakan pemilik bengkel berkenaan dan dua daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah serta memiliki harta curi.

Menurutnya bengkel itu pula didapati tidak mempunyai lesen dan ia dipercayai digunakan sebagai tempat pengubahsuaian serta melupuskan barang curi.

Kerjasama polis Singapura akan dipohon untuk menyemak sama ada dua kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu pernah dilaporkan hilang, katanya.

Katanya ketiga-tiga lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 411 kanun sama iaitu menyimpan atau memiliki harta curi.

Pelajar Kolej Dipenjara 18 Bulan Sembunyi Kelahiran Bayi


Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 7:04 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Khamis kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya, Oktober lepas.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan berkata, mahkamah menjatuhi hukuman itu selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan tertuduh, Norhidayah Yon, 19, serta laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada 4 November lepas, Norhidayah, pelajar semester tiga Diploma Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di sini mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan hukuman terhadapnya ditangguhkan ke hari ini sementara menunggu laporan akhlak.
Dalam keputusan itu, Ashraf Rezal turut berpuas hati dengan laporan JKM yang menyatakan latar belakang ekonomi keluarga tertuduh adalah sederhana manakala latar belakang sosial dan pendidikannya adalah baik.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Oktober lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling sebelum itu memohon hukuman penjara setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak bertanggungjawab.
"Tidak ada hukuman yang lebih sesuai dengan kesalahan ini kecuali hukuman penjara memandangkan kesalahan sedemikian berleluasa sekarang," kata Ooi.
Selepas mahkamah membacakan laporan akhlak itu, pegawai JKM Wan Hanafiah Wan Hanafi berkata, pihaknya memohon satu hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin selain sabitan terhadap tertuduh tidak direkodkan.
Ketika rayuan, Norhidayah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman paling ringan dan meminta peluang untuk berubah selain telah insaf atas perbuatannya.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu didakwa atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam tong sampah selepas ia dilahirkan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Block C, Kondominium PV6 Platinum Hill Park, Jalan Setapak di sini, pada 4 pagi, 28 Oktober lepas.
Norhidayah didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Gadis 18 tahun dikhuatiri lemas


Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas diteruskan di Sungai Pergau, dekat Kampung Timur, Jeli, semalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas diteruskan di Sungai Pergau, dekat Kampung Timur, Jeli, semalam.
JELI - Kegembiraan empat bersaudara termasuk tiga beradik mandi di Sungai Pergau, dekat Kampung Timur, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, mangsa, Siti Nor Syamillah Abd Aziz dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu bersama kakaknya, Siti Nor Salmi, 22, adiknya, Siti Nor Syahirah, 14 dan sepupu mereka, Aini Sahira Zaki, 16.

Kejadian dikatakan berlaku apabila air dari Empangan Pergau, dekat sini, dilepaskan dan menyebabkan paras air sungai itu naik mendadak serta bertukar menjadi deras.

Menurut Siti Nor Salmi, sebelum kejadian, mereka berempat turun ke sungai itu untuk mandi dengan dia berada di hadapan, manakala tiga lagi di belakangnya.

“Tiba-tiba air sungai naik dan deras. Bila saya berpaling, mereka bertiga sedang terkapai-kapai, saya cuba selamatkan mereka tetapi hanya dapat capai tangan Siti Nor Syahirah dan Aini Sahira.

“Masa dia hanyut, saya nampak Siti Nor Syamillah cuba berpaut di dahan pokok tetapi gagal sebelum tenggelam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Siti Nor Salmi kemudian memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.30 petang.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa, semalam, diteruskan pelbagai agensi termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zulkifli Husin dan disertai anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan penduduk.

Operasi yang memasuki hari kedua, semalam, turut mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan mangsa.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

'Jannah, tolonglah balik'



Kartini menunjukkan gambar anak perempuannya, Jannah yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat minggu lalu.
Kartini menunjukkan gambar anak perempuannya, Jannah yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat minggu lalu.
RANTAU PANJANG - “Baliklah. Mak, ayah dan abang-abang tak marah,” rayu seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya di Kampung Binjal Jejawi.

Kartini Ibrahim, 41, berkata, anaknya yang keempat dari sembilan beradik Nur Jannah Aziz, 14, didapati keluar rumah pada jam 7.15 malam, Jumaat minggu lalu.

Menurutnya, semua yang berada di rumah tidak menyedari kehilangan Jannah kerana sibuk bersiap untuk solat Maghrib.

Kartini berkata, dia cuba menghubungi telefon bimbit anaknya namun telefon berkenaan ditutup.

“Sehinggalah pada jam 9 malam, saya menerima pesanan ringkas (SMS). ‘Mak jangan risau. Jannah selamat. Jannah pergi tak lama. Nanti Jannah baliklah’.

“Hanya selepas menerima sistem pesanan ringkas (SMS) barulah saya boleh menarik nafas lega,” katanya.

Namun katanya, selepas 24 jam kehilangan Jannah, dia mula risau dan membuat laporan polis di Balai Jeram Perdah.

Kartini yang bekerja sebagai juruwang di salah sebuah stesen minyak dekat sini berkata, dia tak akan tenang sehingga dapat bertemu semula dengan Jannah.

Menurutnya, dia mengagak Jannah keluar bersama seorang pemuda yang berusia 23 tahun, tinggal di Paka Terengganu dan dikenali sebagai Faiz.

“Faiz pernah hantar SMS maklum supaya jangan risau dengan keadaan Jannah malah dia memberi jaminan keselamatan Jannah.

“Tapi Jannah anak perempuan saya, sayalah yang sepatutnya jamin keselamatan dia. Bukan Faiz. Jannah tolonglah balik,” katanya.

Empat pekerja asing maut kebakaran asrama


6 Disember 2014

SINGAPURA - Empat pekerja asing terbunuh dan lapan lagi cedera dalam kebakaran di rumah kedai sederet di Lorong 4 Geylang, awal hari ini, menurut laporan Channel NewsAsia (CNA).

Stesen televisyen tempatan itu melaporkan pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu di Lorong 4 Geylang kira-kira pukul 1.40 pagi.

Asap hitam tebal dilihat menjulang dari unit tingkat bawah di No. 35. Menurut jiran-jiran, unit itu digunakan sebagai asrama bagi pekerja asing daripada beberapa negara.

Unit itu dipercayai menempatkan jumlah pekerja asing melebihi daripada jumlah yang dibenarkan dan ruang struktur secara haram mungkin dibuat untuk memuatkan lebih banyak bilik.  

Para pegawai SCDF berkata, kebakaran tertumpu di tengah-tengah unit, dan ia dapat dipadamkan dalam masa 30 minit.

Tiga orang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik. Mereka disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian. Sembilan yang lain dihantar ke hospital, seorang daripada mereka kemudian meninggal.

CNA melaporkan bahawa Pusat Pekerja Migran berkata ia akan membantu ahli keluarga mereka yang terkorban serta pekerja yang cedera.

Ia juga menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat insiden itu secara terperinci dan menambah bahawa ia memandang serius perumahan yang selamat untuk pekerja asing. - Bernama

FBI siasat kematian remaja Islam


FBI siasat kematian remaja Islam

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) menyiasat kematian seorang remaja kulit hitam beragama Islam di Kansas City, Missouri untuk memastikan sama ada terdapat unsur kebencian agama dalam insiden itu.
 
Jurucakap FBI, Bridget Patton memaklumkan siasatan itu turut dilakukan bersama Jabatan Polis Kansas City.

Mangsa dikenali sebagai Abdisamad Sheikh-Hussien, 15, dari Somalia didakwa dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis SUV, Khamis lalu.

"Abdisamad disahkan meninggal dunia di hospital dan dia turut mengalami kecederaan kaki yang teruk," katanya.

Sementara itu, ahli lembaga Majlis Islam Heartland, Zulfiqar Malik memberitahu mereka terpaksa meminta campur tangan penguatkuasa undang-undang persekutuan terhadap insiden tersebut.

Dalam satu kenyataan lain, Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) mendedahkan seorang lelaki tidak dikenali pernah mengancam untuk membunuh orang Islam di Kansas City dan sebuah SUV juga didakwa sengaja menyebarkan mesej berunsur anti-Islam sejak beberapa bulan lalu.

Setakat ini, laporan dipetik dari Press TV, seorang suspek berusia 34 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut. 

Taufan Hagupit musnahkan kediaman di timur Filipina



PENDUDUK meredah air banjir berikutan Taufan Hagupit melanda daerah Legaspi, timur Filipina menyebabkan ombak besar membadai kawsan pantai yang didiami penduduk, bekalan elektrik terputus dan memusnahkan kediaman. - Foto EPA
LEGASPI: Taufan Hagupif memusnahkan kediaman dan menyebabkan ombak besar membadai kawasan pantai yang didiami penduduk di timur Filipina serta mengakibatkan berjuta orang cemas berikutan bencana alam dahsyat itu.
Agensi Cuaca Tempatan, Pagasa berkata, taufan yang membadai dari Lautan Pasifik dan kemudiannya bertuip kencang ke arah kawasan nelayan di Pulau Samar malam tadi dengan kelajuan 210 kilometer sejam.
Angin kencang menjadikan Hagupit sebagai taufan paling kuat membadai Filipina tahun ini sekali gus mengatasi taufan pada Julai lalu yang menyebabkan lebih 100 orang terkorban.
"Atap berterbangan, pokok tumbang dan terdapat kawasan dilanda banjir," kata Datuk Bandar Catbalogan, Stephany Uy-Tan.
Kebimbangan terhadap bencana alam berulang selepas tahun lalu ketika Taufan Haiyan meragut nyawa lebih 7,350 orang.
Berikutan itu kerajaan mengambil langkah awal apabila memindahkan berjuta penduduk lebih awal sebelum Hagupit melanda.
Hagupit diramal melanda tiga hari di seluruh Filipina dengan menyeberang di kebanyakan wilayah miskin dan membawa hujan lebat di kawasan yang padat dengan penduduk di utara Manila.
Kerajaan memberi amaran bahawa ribut setinggi lima meter boleh melanda di beberapa kawasan, banjir kilat, tanah runtuh dan angin kencang yang berupaya memusnahkan kediaman.
Berpuluh juta orang tinggal di laluan taufan termasuk mereka di tengah Filipina yang masih belum dapat melupakan trauma ketika dilanda Taufan Haiyan kira-kira 13 bulan lalu.
Haiyan adalah ribut paling kencang pernah membadai kawasan daratan iaitu pada kelajuan 315 kilometer sejam dan menyebabkan ribut tsunami sehingga memusnahkan hampir keseluruhan bandar. - AFP