Antara penduduk yang buta selepas menjalani pembedahan katarak dianjurkan NGO di Gurdaspur, bulan lalu.
Antara penduduk yang buta selepas menjalani pembedahan katarak dianjurkan NGO di Gurdaspur, bulan lalu.
NEW DELHI - INDIA. Sekurang-kurangnya 15 orang di India telah kehilangan penglihatan mereka selepas menjalani pembedahan katarak di sebuah kem mata, lapor akhbar The Indian Express.

Kesemua mangsa berasal dari perkampungan Gago Mahal telah membuat aduan terhadap Kebajikan Amanah Guru Nanak iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan kem tersebut, serta doktor yang menjalankan pembedahan di situ.

Difahamkan, kem tersebut diadakan di daerah Gurdaspur di barat negeri Punjab bulan lalu.

Menurut Al-Jazeera, 62 orang telah menjalani pemulihan penglihatan di kem berkenaan.

Pakar bedah dari Amritsar, Dr Rajiv Bhalla mendedahkan pembedahan berkenaan dijalankan dalam keadaan yang tidak bersih serta NGO terbabit tidak mendapat kebenaran untuk mengadakan kem.

"Kesemua mereka buta sepenuhnya dan kini dirawat di sebuah kolej perubatan milik kerajaan di daerah Amritsar," katanya.

Bulan lalu, India digemparkan dengan kematian 13 wanita di negeri Chattisgarh selepas menjalani pembedahan pemandulan yang diketuai oleh Dr RK Gupta.