NEW YORK: Tunjuk perasaan meletus di bandaraya New York selepas barisan juri memutuskan untuk tidak mendakwa seorang anggota polis kulit putih dalam kes kematian seorang lelaki kulit hitam.
Sebaik sahaja keputusan oleh barisan juri itu diumumkan, beratus-ratus orang mengadakan perhimpunan di 'Times Square' New York sambil melaungkan slogan 'Tiada keadilan, tiada keamanan', sama seperti laungan dalam bantahan berhubung kes remaja kulit hitam, Michael Brown yang ditembak mati oleh polis di Missouri.
Kedua-dua kes, ditambah pula dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditembak mati oleh polis di Ohio ketika dia sedang bermain dengan pistol mainan, mencetuskan perbalahan di Amerika Syarikat mengenai perhubungan di antara penguat kuasa undang-undang dengan rakyat Amerika keturunan Afrika.
Berikutan keputusan barisan juri itu, Peguam Negara, Eric Holder berkata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat akan melakukan penyiasatan hak asasi awam persekutuan berhubung kes Eric Garner, yang mati selepas anggota polis terbabit mencekak lehernya ketika ditahan kerana disyaki menjual rokok tidak bercukai di pulau Staten.
Jaminan itu tidak menghalang penunjuk perasaan di 'Times Square', yang membawa sepanduk dengan ungkapan 'Nyawa kulit hitam penting' dan 'Hormati nyawa manusia'.
Beberapa orang ditahan oleh polis dalam bantahan itu berhampiran Pusat Rockefeller. Terdapat satu lagi bantahan di Stesen 'Grand Central', di mana kira-kira 50 penunjuk perasaan berpura-pura mati, disamping tunjuk perasaan berasingan di pulau Staten dan Washington D C. - AFP