Search This Blog

Thursday, December 4, 2014

Dua pemandu maut treler bertembung


Anggota bomba melihat kawasan kemalangan melibatkan dua treler di Jambatan Putus, Buloh Kasap, awal pagi semalam.
Anggota bomba melihat kawasan kemalangan melibatkan dua treler di Jambatan Putus, Buloh Kasap, awal pagi semalam.
SEGAMAT - Dua pemandu maut manakala seorang cedera parah apabila dua treler dari arah bertentangan bertembung di Jambatan Putus, Buloh Kasap, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah, Eva Saifun Kamuni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 4.37 pagi dan sampai di lokasi kira-kira jam 4.47 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati nahas berlaku melibatkan treler, masing-masing membawa muatan kayu dan pasir yang datang dari arah Gemas-Segamat.

“Kami juga mendapat bantuan daripada Balai Bomba Bandar Putra dan menjadikan jumlah keseluruhan anggota yang terlibat operasi kemalangan ini seramai 15 orang dan semua mangsa tersepit akibat kemalangan tersebut,” katanya.

Eva Saifun yang juga komander operasi berkata, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa mengambil sedikit masa apabila anggotanya terpaksa memotong bahagian kenderaan yang terjejas dan operasi siap sepenuhnya kira-kira 8.17 pagi.

Menurutnya, kedua-dua pemandu lori tersebut maut di tempat kejadian akibat tersepit dan rempuhan kuat serta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan manakala kelindan lori pasir cedera parah dan dikejarkan ke hospital.

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan dituntut keluarga masing-masing.

Bukan hanya ditetak, mangsa juga kena tembak


4 Disember 2014

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 36 tahun maut akibat ditetak dengan parang dan ditembak oleh tiga lelaki ketika dia sedang bercakap melalui telefon berhampiran sebuah kedai tayar di Jalan Klang Lama di sini awal pagi ini.
 
Kejadian berlaku kira-kira 5.45 pagi dan tiga penyerang itu yang memakai topi keledar dipercayai melarikan diri dengan motosikal.
 
Seorang saksi yang melihat serangan itu memberitahu polis bahawa mangsa dikejar oleh tiga lelaki bertopi keledar yang bersenjatakan parang.
 
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah memberitahu Bernama, disebabkan ketakutan saksi yang melihat kejadian itu memasuki sebuah kedai sebelum dia mendengar satu das tembakan.
 
Selain menjumpai satu kelongsong peluru 9mm di tempat kejadian, polis yang memeriksa mayat mangsa mendapati terdapat tatu lambang harimau di lengan kiri dan tatu piramid di bahagian belakang mangsa.
 
Azlee berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan 302 kerana membunuh. - Bernama

Bunuh rakan: 15 warga Myanmar ditahan


4 Disember 2014

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan 15 warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes bunuh membabitkan rakan senegara mereka termasuk kes penemuan anggota badan di Bukit Mertajam dan Nibong Tebal, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata 15 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa lokasi termasuk negeri lain sejak dua minggu lepas.

"Terbaharu polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 40-an di Rawang, Selangor bagi membantu siasatan kes bunuh di Pulau Pinang dan dia bersama 14 lagi rakan senegaranya kini direman.

"Sebanyak 15 orang yang ditahan itu positif dalam siasatan polis membabitkan 18 kes bunuh warga asing di Pulau Pinang. Kami percaya penahanan mereka juga mampu membendung kegiatan bunuh (warga asing)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Menangani Keganasan ke Atas Wanita, di sini hari ini.

Katanya siasatan polis mendapati kebanyakan kes bunuh yang membabitkan warga Myanmar di Pulau Pinang adalah bermotifkan dendam antara mereka di negara mereka.

"Ada juga bermotifkan hutang, mabuk dan perselisihan faham. Bagaimanapun siasatan kami mendapati banyak kes yang membabitkan warga Myanmar itu adalah dendam dari negara asal mereka," katanya.

Abdul Rahim berkata mereka menyerang mangsa menggunakan parang dan bertindak memotong anggota badan manusia sebelum membuang di beberapa lokasi lain seperti tali air, tempat pembuangan sampah dan tepi jalan.

"Berdasarkan keadaan mayat, polis dapat tahu mangsa dari negara mana terutama warga Myanmar kerana modus operandi mereka adalah menggunakan parang dan bukan senjata api," katanya.

Sementara itu, beliau berkata beberapa anggota badan yang ditemui sebelum ini dipercayai milik warga Myanmar, bagaimanapun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Katanya laporan bedah siasat kes membabitkan penemuan beberapa anggota badan itu telah diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kami percaya ada yang ditahan itu (15 orang) terlibat dalam kes penemuan beberapa anggota badan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Abdul Rahim turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Pada 24 November lepas, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam dekat sini dan pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.

Terbaru pada Isnin lepas kepala dan tangan kiri dari lengan hingga tapak tangan ditemui dalam beg plastik berhampiran tong sampah di Machang Bubok, dekat sini. - Bernama

'Aku nok kerat tengkuk tiga-tiga ni'


 'Aku nok kerat tengkuk tiga-tiga ni'

KOTA BHARU - Perbuatan derhaka seorang anak cuba membunuh ibu sendiri mendapat balasan sementara di dunia apabila dia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap tertuduh Zamri Awang, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan melibas parang terhadap Bidah Abdu Rahman, 60, di rumah mereka di Kampung Terap, Banggu, di sini, pada jam 7.30 malam, 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang sedang duduk di dapur rumah didatangi tertuduh meminta RM5, namun pengadu berkata dia sudah tidak mempunyai wang dan RM10 yang diberikan pada jam 6 petang sebelum itu juga dipinjam daripada orang lain.

Tertuduh masih tidak berpuas hati dan berkata kepada pengadu “aku nok pitih (duit) nate (binatang) babi ni” dan kemudiannya mengambil parang sambil berkata, “nanti aku nok kerat palo (kepalo) sapo ni”.

Tidak lama selepas itu tertuduh pergi ke arah pengadu, anak dan menantu dengan melibas-libas parang dan berkata lagi, “aku nok kerat tengkuk tiga-tiga ni”.

Ekoran ugutan itu, anak dan menantu pengadu ketika itu terus keluar dari rumah kerana ketakutan.

Tertuduh terus mengamuk dan merosakkan barang-barang di dalam rumah hingga pintu dapur tercabut dan memecahkan pinggan mangkuk serta kuali dan melibas-libas parang sambil menjengkelkan mata ke arah ibunya.

Pengadu kemudian melaungkan azan dengan kuat dan tidak lama kemudian tertuduh beredar.

Pada prosiding itu, ibu tertuduh hadir dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kepada anaknya itu kerana dia sangat takut terhadap tertuduh.

Mangsa juga tidak berpaling melihat anaknya di dalam kandang orang salah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad

'Kalau ibu anjing, saya anak anjing’


 'Kalau ibu anjing, saya anak anjing’

KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur akibat mengasari dan memaki hamun ibu sendiri, dia dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Azren Mohd Ramly, 27, mengaku bersalah dengan sengaja memulas tangan dan menedang punggung ibunya, Saudah Yaacob, 52, dalam dua kejadian di sebuah rumah di Taman Bumi Batu 4 Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5 petang, 26 dan 30 November lalu.

Pada pagi itu, mangsa menyuruh anaknya membeli nasi sarapan pagi, tetapi tertuduh meminta lagi duit daripada mangsa.

Mangsa berkata, tiada duit lalu tertuduh merebut duit dan ketika itu tertuduh memulas tangan hingga pengadu kesakitan.

Tertuduh memaki hamun mangsa dengan berkata “ibu beruk” dan “ibu anjing”.

Mangsa terpaksa melepaskan duit di tangannya dan tertuduh mengambilnya lalu terus tidur.

Mangsa yang kesakitan menangis dan mengadu kepada seorang lagi anaknya.

Empat hari sebelumnya, semasa mangsa pulang ke rumah dari membeli barang, tertuduh meminta duit daripada mangsa, tetapi mangsa berkata tiada duit lalu menendang di bahagian punggung mangsa dengan kuat. Tertuduh juga memijak dan memecahkan telur yang baru dibeli mangsa.

Pada prosiding itu, Majistret, Nik Habri Muhamad bertanya tertuduh adakah dia anak kandung mangsa, tertuduh kemudian menjawab, "Ya".

“Jika ibu kamu ibu beruk dan ibu anjing, jadi kamu itu apa?” tanya Nik Habri lagi.

Tertuduh kemudian menjawab, “...anak anjing”.

Hampir buta kerana laser mainan


-Gambar Hiasan
-Gambar Hiasan
VIENNA - AUSTRIA. Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun hampir mengalami buta kekal selepas bermain dengan mainan 'laser pointer'.

Menurut doktor, penglihatan kanak-kanak tersebut telah berkurangan sebanyak 60 peratus, lapor The Straits Times.

"Mungkin mangsa bermain laser tesebut bersama cermin, dan cermin memantulkan laser berkenaan ke matanya," kata ketua doktor, Yosuf El-Shabrawi.

Menurut Yosuf, kecederaan yang dialami kanak-kanak itu tidak dapat dipulihkan.

"Kami cuma mampu berharap matanya sembuh sendiri dan keadaannya bertambah baik," tambahnya.

Ayah kepada kanak-kanak tersebut membeli 'laser pointer' berkenaan selepas ianya diiklankan di internet sebagai alat permainan untuk dimainkan bersama kucing kucing.

Curi ambulans nak tonton tarian berahi


Pontiac (Michigan): Kecewa kerana kekurangan pengangkutan awam dan terdesak untuk tiba di satu destinasi, seorang lelaki gelandangan bertindak mencuri sebuah ambulans di sini, semalam.
Ketika ditahan polis, lelaki berkenaan yang namanya tidak disiarkan mengaku dia bertindak demikian kerana mahu menyaksikan tarian berahi di sebuah kelab di Detroit.
Jurucakap syerif Oakland County Michael Bouchard berkata, lelaki berkenaan terdesak kerana tidak ada pengangkutan awam untuk membawanya ke kelab berkenaan.
Dia mencuri ambulans berkenaan yang diletakkan di depan hospital itu.
Pihak berkuasa dimaklumkan ambulans berkenaan tidak dikunci dan sebuah telefon bimbit berada di dalamnya.
Syerif kemudian mengesan lokasi telefon berkenaan dan berjaya menghubungi polis untuk menahan kenderaan terbabit di bandar berhampiran. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:52 A
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13810#sthash.o2WPSdSB.dpuf

Lima sekeluarga cedera lori terbabas

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

am@hmetro.com.my

Rembau: Lima sekeluarga cedera apabila lori kontena dinaiki mereka terbabas di Kilometer 235 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Pedas, awal pagi tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Zuki Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu 1.30 pagi dan ke lokasi bersama enam pegawai bomba untuk memberi bantuan.
Beliau berkata, sejurus tiba didapati kemalangan membabitkan lori kontena terbabas di tepi bukit selepas merempuh pembahagi jalan dan tidak membabitkan kenderaan lain.
Katanya, dipercayai lori kontena terbabas disebabkan pemandu berusia 40-an itu memandu dalam keadaan mengantuk.
"Bagaimanapun, lelaki itu dan isteri berusia 30-an serta tiga anak berusia sembilan, lapan dan enam tahun hanya cedera ringan dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, siasatan lanjut kejadian diserahkan kepada pihak polis dan pihaknya turut dibantu dua anggota Unit Gerak Cepat daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dalam operasi itu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 12:55 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13677#sthash.CJynUDOL.dpuf

Tiga maut dua bas sekolah bertembung di Tennessee

KNOXVILLE (Tennessee): Dua bas sekolah bertembung di Lebuhraya Tennessee petang semalam, mengakibatkan dua pelajar serta seorang dewasa terkorban manakala 27 lagi cedera.
Polis berkata siasatan awal mendapati sebuah bas membuat pusingan tajam ke kiri sebelum terlanggar konkrit di tepi jalan lalu merempuh sebuah bas lain dari laluan bertentangan.
Akibat pelanggaran kuat, bas kedua itu terbalik ke kiri dan tergelincir.
Ketua Polis Knoxville, David Rausch, berkata pelajar yang terbunuh belajar di tingkatan tiga manakala mangsa dewasa yang maut adalah pembantu kepada pemandu bas.
Tiga mangsa yang parah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Tennessee dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Jurucakap pusat perubatan, Jim Ragonese berkata tujuh orang dirawat dengan tiga daripada mereka sudah keluar dari hospital berkenaan.
Rausch berkata, 18 daripada 20 pelajar di dalam bas itu sedang dalam perjalanan pulang dari Sekolah Rendah Sunnyview.
Sebuah lagi bas yang terbabit dalam kemalangan adalah dari Sekolah Menengah Chilhowee. - AP

AS sertai misi cari mangsa bot karam Korea

SEOUL: Pasukan menyelamat Amerika Syarikat (AS) hari ini menyertai operasi mencari 52 orang yang hilang selepas sebuah bot nelayan Korea Selatan karam di perairan beku di luar pesisiran pantai timur Russia.
Pegawai Kementerian Luar Korea Selatan berkata, sebuah pesawat Pengawal Pantai Amerika sudah berada di tempat kejadian di Laut Bering manakala sebuah kapal Amerika yang mempunyai kepakaran dalam operasi mencari dan menyelamat dijangka tiba esok.
Mereka akan menyertai lima kapal yang kini sedang menjalankan usaha mencari sejak bot seberat 1,753 tan, Oryong 501 dengan 60 orang di dalamnya, tenggelam di laut bergelora pada pagi Isnin lalu.
Penemuan empat bot kecemasan yang musnah dan kosong menimbulkan kebimbangan bahawa anggota kru yang hilang itu tenggelam di dalam air bersuhu ais itu ketika bot terbabit karam.
Mereka termasuk 11 warga Korea Selatan, 35 Indonesia, 13 anggota kru Filipina dan seorang warga Russia yang dikenal pasti oleh agensi berita Russia sebagai Inspektor Perikanan.
Mayat seorang warga Korea sudah dijumpai, manakala inspektor Russia dan enam anggota kru asing berjaya diselamatkan.
Menurut Oleg Karev dari Pusat Penyelamat Marin, Pelabuhan Petropavlovsk-Kamchatsky, pasukan penyelamat juga ternampak satu mayat timbul di dalam air di kawasan berkenaan tetapi tidak dapat mencapainya kerana ribut dan laut bergelora. - AFP

Wanita Amerika maut ditikam di pusat beli-belah Abu Dhabi



GAMBAR menerusi CCTV menunjukkan penyerang (kanan) yang berpakaian jubah hitam, bersarung tangan dan berpurdah, di Boutik Mall Isnin lalu. - Foto AFP
ABU DHABI: Polis Abu Dhabi sedang menyiasat kematian seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) yang ditikam di tandas sebuah pusat beli-belah oleh suspek berpakaian purdah, lapor media rasmi hari ini.
Motif bagi serangan di Boutik Mall Isnin lalu bagaimanapun masih tidak jelas.
Saksi berkata, wanita berusia 37 tahun yang bekerja di sebuah sekolah tadika di Abu Dhabi, ditikam oleh penyerang yang berpakaian jubah hitam, bersarung tangan dan berpurdah.
"Mangsa ditikam dengan objek tajam selepas berlaku pertengkaran di tandas perempuan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Abu Dhabi, Kolonel Rashid Bourscheid dipetik akhbar The National.
"Polis masih cuba mencari punca serangan itu dan identiti suspek yang melarikan diri," katanya.
Wanita Amerika itu meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Polis tidak menamakan mangsa terbabit tetapi menyatakan dia sudah bercerai dan mempunyai dua anak kembar berusia 11 tahun. - AFP

Warga emas maut terjatuh gaung


keadaan Seng Lee yang ditemui mati dalam gaung di Jalan Pokok Cheri, Bukit Bendera, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN – Seorang warga emas ditemui maut setelah motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 25 meter di Jalan Pokok Cheri, Bukit Bendera di sini kelmarin.
Mayat Cheng Seng Lee, 73, ditemui dalam gaung itu oleh pasukan mencari dan menye­lamat pada pukul 10.24 malam berdekatan stesen nombor dua Bukit Bendera.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda C70 dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebunnya yang terletak di kawasan bukit itu.
Sebelum itu, Seng Lee dilihat keluar seorang diri ke kebun buah-buahan yang diusahakannya sejak be­­berapa tahun lalu kira-kira pukul 3 petang, namun tidak pulang ke rumahnya sehingga pukul 8 malam.
Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, V. Sasikala berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3Ksh7WuAV 
Hakcipta terpelihara 

Cuba bunuh pegawai polis



DUA pelajar warga Nigeria, Ezewezie dan Ebuka Andrew diiringi anggota polis selepas didakwa cuba membunuh seorang Inspektor di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Dua pelajar kolej swasta warga Nigeria didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan cuba membunuh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dua minggu lalu.
Calicutus Ezewezie dan Okolo Chukwu Ebuka Andrew yang masing-masing berumur 27 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zainol Rashid Hussain.
Mereka berdua didakwa berniat cuba membunuh Inspektor Ruslan Ab. Rashid dengan melanggar menggunakan kereta Perodua Myvi bernombor pendaftaran WQD 6011 yang boleh menyebabkan kematian di hadapan pasar raya besar Aeon Big, Jalan Metro Perdana, dekat Kepong pada pukul 7.20 malam, 20 November lalu.
Kedua-dua tertuduh itu didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3KsgmtgVD 
Hakcipta terpelihara 

Hakim arah buat pemeriksaan mental


Zawawi (kanan) diiringi oleh anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen, Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR – Seorang penganggur yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan seorang anggota polis dengan sebilah parang minggu lalu diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam menjalani pemeriksaan mental Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.
Hakim Ibrahim Osman memerintahkan demikian terhadap Zawawi Jasni, 28, bagi mengetahui status kesihatan mental tertuduh ketika kejadian.
Mengikut pertuduhan, Zawawi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Abdul Halil Osman dengan menggunakan sebilah parang pada pukul 4.30 petang, 27 November lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di No. 11, Kampung Kerkau, Guar Kepayang, Pendang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya. Azlena Hashim memohon mahkamah agar membenarkan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri untuk mendapatkan laporan perubatan tentang keadaan mental tertuduh kerana tertuduh mempunyai rekod pesakit mental.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3KsgfqRUd 
Hakcipta terpelihara 

Hasil judi RM55 juta dirampas



Foto ihsan Polis Kontinjen Selangor - Abdul Samah mengendalikan jengkaut untuk melupuskan komputer yang dijadikan mesin judi di pekarangan Balai Polis Ara Damansara di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Polis negeri ini berjaya merampas sebanyak 69,350 unit komputer membabitkan nilai rampasan mencecah RM55 juta hasil daripada 41,377 serbuan dan pemeriksaan dalam Ops Dadu sejak Januari hingga Disember tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, sepanjang tempoh itu juga seramai 4,245 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian ditahan selain merampas wang tunai sebanyak RM333,104 dipercayai digunakan dalam aktiviti haram itu.
Menurut beliau, lima lokasi di negeri ini pula dikenal pasti sebagai kawasan perjudian iaitu di Shah Alam, Serdang, Subang Jaya, Gombak dan Klang Utara.
“Pada fasa pertama Ops Dadu Khas yang dilancarkan sejak 26 Oktober berakhir 2 November lepas pula, kita telah melakukan 3,971 serbuan dan merampas 982 unit mesin judi bernilai RM785,600 serta menangkap 76 individu yang terdiri daripada penjaga premis dan kaki judi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3KsgYhCST 
Hakcipta terpelihara 

Tahan sakit ditoreh demi maruah


Mas ERMIEYATI (kanan) melihat kecederaan pada wajah Nur Syafiqa yang ditoreh penyamun di Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH – Ketika sesetengah orang mungkin lebih rela dirogol daripada dicederakan, seorang gadis cantik, Nur Shafiqa Lah, 22, bertindak sebaliknya apabila dia sanggup melawan penyamun sehingga menyebabkan wajahnya ditoreh dengan pisau. Dia sanggup menggadai keselamatan demi menjaga kesucian dirinya.
Berkongsi kembali detik cemas kejadian itu, menurut Nur Syafiqa, dia bertindak melawan suspek yang merompak rumah keluarganya di Kampung Wakaf Berangan, dekat sini Ahad lalu ke­rana suspek cuba merogol dengan mengheretnya ke dalam sebuah bilik.
“Saya terpaksa tanggung kesakitan apabila ditoreh dengan pisau tajam sehingga berlumuran darah di atas katil sebuah bilik selepas suspek terbabit berang kerana gagal dalam cubaan memperkosa saya.
“Tindakan saya adalah untuk mempertahankan maruah dan kesucian diri. Saya bersyukur kerana terselamat,” luah Nur Syafiqa yang masih trauma.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3KsgLrsL0 
Hakcipta terpelihara 

46 lagi kru bot pukat tunda Korea Selatan masih hilang


REUTERS - GAMBAR fail menunjukkan bot nelayan Oryong 501 yang dipercayai karam di Laut Bering pada Isnin lalu menyebabkan lebih 50 orang hilang.


SEOUL – Pasukan mencari dan menyelamat semalam menemui enam lagi mayat kru bot tunda milik Korea Selatan yang karam di Laut Bering, manakala 46 yang lain masih hilang.
Penemuan itu sekali gus me­nunjukkan peluang yang tipis untuk menemui kru yang masih hidup.
“Semasa ditemui oleh anggota penyelamat, kesemua enam mayat berkenaan memakai jaket keselamatan,” kata seorang jurucakap mewakili pemilik bot dari syarikat Sajo Industries itu.
Kesemua mayat terbabit ditemui sekitar 14 kilometer di bahagian barat daya iaitu lokasi kapal Oryong 501 seberat lebih 1,000 tan itu dilaporkan karam bersama 60 kru di lautan yang sejuk pada Isnin lalu.
Penemuan itu menjadikan jumlah mayat yang ditemui kini sebanyak tujuh mayat dengan tujuh kru yang lain dapat dise­lamatkan, manakala 46 lagi masih hilang.
Menurut pegawai Kementerian Luar Seoul, sebuah pesawat pe­ngawal pantai Amerika Syarikat dilaporkan turut bekerjasama mencari mangsa yang masih hilang sambil dibantu oleh kapal milik Rusia yang melancarkan penca­rian di sekitar lokasi kejadian.
Penemuan empat bot penyelamat yang telah rosak kelmarin mencetuskan kebimbangan bahawa kesemua anak kapal mungkin telah tenggelam ke dalam air laut yang sejuk bersama-sama dengan bangkai bot.
Kru bot yang terlibat termasuklah 11 warga Korea Selatan, 35 warga Indonesia, 13 warga Filipina dan seorang warga Rusia yang telah disahkan oleh inspektor perikanan berdasar maklumat daripada mangsa yang terselamat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3KsfcOHv6 
Hakcipta terpelihara 

Polis buru jutawan Thailand


NOPPORN


BANGKOK – Polis semalam memburu seorang lelaki antara yang terkaya di Thailand berkaitan siasatan kes rasuah melibatkan golongan elit di negara berkenaan.
Taikun tenaga, Nopporn Suppipat merupakan individu berprofil tinggi terbaharu disyaki terlibat dalam skandal rasuah itu yang turut membabitkan beberapa pegawai kanan polis dan menyebabkan gelaran kehormat keluarga seorang puteri Thailand dilucutkan.
“Mahkamah tentera meluluskan waran tangkap terhadap Nopporn pada 1 Disember lalu berhubung dakwaan menghina raja dan melakukan tahanan secara haram,” kata jurucakap polis Thailand, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri.
Nopporn berada dalam senarai lelaki ke-31 terkaya di Thailand pada 2013 oleh majalah Forbes dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$800 juta (RM2.7 bilion). Dia kini dipercayai melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Dia didakwa mengupah beberapa lelaki untuk menculik seorang ahli perniagaan di sini supaya membatalkan hutangnya, tambah jurucakap berkenaan.
Usahawan tersebut yang dilaporkan berusia dalam lingkungan 40-an, merupakan pengasas syarikat Wind Energy Holding yang mengendalikan loji tenaga angin.
“Dia dipercayai telah meninggalkan Thailand,” kata jurucakap itu sambil menambah, polis kini menimbang untuk menangkap dua individu lain berhubung kes rasuah tersebut.
Seramai 22 orang ditangkap setakat ini dalam kes rasuah itu yang membabitkan kalangan pegawai polis tertinggi di Thailand.
Kes tersebut juga menyebabkan tumpuan diberikan kepada pihak istana selepas Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn meminta junta tentera mengharamkan sesiapa sahaja daripada menggunakan nama gelaran Akkharapongpricha.
Sebanyak tiga orang yang mempunyai nama itu ditangkap pada minggu lalu berhubung dakwaan rasuah.
Di bawah undang-undang negara Thailand, mereka yang didapati bersalah kerana memfitnah, menghina atau mengugut raja, permaisuri atau pewaris takhta boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan yang dilakukan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3KsfNXXUM 
Hakcipta terpelihara