Search This Blog

Tuesday, December 2, 2014

Mahkamah sesak dipenuhi mangsa pelaburan emas

Butterworth: Seorang ejen pelaburan emas dikenakan jaminan RM400,000 selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam pertuduhan pecah amanah jenayah RM1.2 juta, lima tahun lalu.
Bagi kes pertama hingga ketiga, pertuduhan dilakukan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah yang memutuskan wang jaminan RM250,000 terhadap tertuduh Kee Kim Beng, 51.
Manakala tuduhan keempat hingga keenam dilakukan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi yang memutuskan jaminan RM150,000 terhadap tiga pertuduhan berkenaan.
Ketika prosiding berlangsung, suasana dalam mahkamah sesak dengan kehadiran individu dipercayai mangsa terbabit dengan kes penipuan emas mahu melihat tuduhan dikenakan ke atas Kee yang ditahan di Kuching, Sarawak, Rabu lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Kee sebagai ejen iaitu Master Program Pelaburan Emas bagi syarikat Tignet Gold City Sdn Bhd dan Tignet Global Sdn Bhd dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan terhadap harta tertentu iaitu RM1 juta, RM30,000 dan RM20,000 dan melakukan pecah amanah ke atas jumlah berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Gold City Management Sdn Bhd No 7324, 1st Floor, Jalan Raja Uda, Taman Tanjung Jaya, Public Bank Jalan Raja Uda dan Standard Chartered Bank Cawangan Jalan Raja Uda di sini, pada 29 September, 21 Oktober dan 25 November 2009.
Manakala bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Kim Beng didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang kepunyaan syarikat Tignet Gold City Sdn Bhd dan Tignet Global Sdn Bhd berjumlah RM150,000, RM50,000 dan RM33,000.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:30 AM


KEE diiringi anggota polis ketika keluar dari mahkamah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13418#sthash.drhLGFsX.dpuf

Anjing gonggong anggota mayat reput

Bukit Mertajam: “Saya sangka kekecohan di depan bengkel tempat bekerja kerana kemalangan, namun selepas meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) saya dapat lihat dengan jelas seekor anjing menggonggong tangan manusia,” kata P Karthi, 33.
Karthi, mekanik sebuah bengkel jentera pembinaan itu antara individu terawal yang menemui sepasang tangan dan kepala manusia sudah berulat serta mula mereput yang dibuang dalam kawasan semak di hadapan bengkel tempat dia bekerja.
Anggota tubuh manusia itu ditemui berhampiran simpang masuk ke Taman Machang Bubok, di sini, iaitu tidak sampai 100 meter dari Balai Polis Machang Bubok, kira-kira jam 3.40 petang semalam.
Tangan dan kepala manusia itu diisi dalam plastik warna hitam dan bau daging yang sudah mereput itu menarik perhatian anjing yang menggonggong tangan kiri berkenaan sebelum tercicir di tepi jalan dan disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan penemuan itu kepada polis.
“Selepas melihat CCTV, saya melihat aksi haiwan itu menggonggong tangan manusia.
“Saya keluar untuk melihat dengan lebih dekat dan pemeriksaan dilakukan dalam kawasan semak itu membawa kepada penemuan sebelah lagi tangan dan kepala manusia sudah mereput serta berulat,” katanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner R S Gunarajan berkata, berdasarkan keadaan anggota badan itu, ia dipercayai sudah dibuang di kawasan itu sejak seminggu lalu.
Beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K-9) turut dipanggil untuk mengesan sekiranya ada lagi anggota badan manusia yang dibuang di kawasan sama, namun pemeriksaan selama dua jam tidak menemui sebarang petunjuk.
Gunarajan berkata, pihaknya akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap anggota badan berkenaan untuk memeriksa sekiranya ia mempunyai kaitan dengan penemuan beberapa lagi anggota badan manusia dalam beberapa kejadian sebelum ini.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:13 AM


ANGGOTA Unit Anjing Pengesan (K-9) di lokasi kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13366#sthash.fEIqOnY6.dpuf

Tangan, kaki milik mangsa sama


Georgetown: Polis mengesahkan penemuan sepasang tangan dan kaki kiri manusia di dalam parit di kawasan perindustrian Industri Kecil dan Sederhana Simpang Ampat, Nibong Tebal, semalam serta kaki kanan di dalam tali air di Sungai Bakap, kelmarin milik mangsa sama berdasarkan cebisan pakaian yang melekat pada anggota berkenaan.
Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa selain mengesyaki anggota badan berkenaan bukan rakyat tempatan, sebaliknya warga asing.
“Setakat ini, kami belum menemui bahagian lain badan mangsa termasuk kepala serta tubuh dan operasi mencari masih diteruskan.
“Semua anggota yang ditemui itu kini ditempatkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut.
“Kami meminta kerjasama orang ramai tampil membantu siasatan.
“Pada masa sama, pemantauan dan pemeriksaan akan terus dilakukan pasukan task force untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:15 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13367#sthash.lMqGerOf.dpuf

Tak mengaku curi barangan elektronik

Kuantan: Dua sahabat mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap pertuduhan mencuri pelbagai jenis barangan elektronik bernilai RM6,000, bulan lalu.
Tertuduh, Chua Song Guan, 32, dari Lorong Air Putih dan Tay Kok Wah, 36, dari Taman Marimas, di sini, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama mencuri tiga komputer, dua mesin pencetak, mesin pengimbas, komputer riba dan dua kamera litar tertutup (CCTV) yang semuanya bernilai RM6,000 kepunyaan A7 Kepm Tech Sdn Bhd.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di premis A7 Kepm Tech, Lorong Seri Setali 1, di sini, antara jam 3 hingga 6 pagi pada 10 November lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan pihak pendakwaan, namun kedua-dua tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sementara menanti tarikh perbicaraan.
Dalam rayuannya, Song Guan memberikan alasan perlu menanggung bapanya dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan sebagai pemandu lori manakala Kok Wah memaklumkan dia perlu menyara anak serta ibunya dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan sebagai mekanik.
Jesseca membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 seorang dengan seorang penjamin bercagar sebelum menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan pra bicara.
Sementara itu, Kok Wah turut berdepan satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan menyimpan harta curi bernilai RM8,000, bulan lalu, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan selepas rayuan dibuat, Jesseca membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:25 AM


TERTUDUH diiringi polis selepas mendengar pertuduhan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13414#sthash.2SNtq2MX.dpuf

Along RM1.4 juta

Georgetown: Seorang dalang sindiket peminjam wang tanpa lesen bergerak aktif di sekitar daerah Barat Daya sejak 2008 ditahan bersama rampasan wang RM500,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, di sini, Sabtu lalu.
Suspek berusia 35 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) di rumahnya ketika berehat bersama ahli keluarga hasil maklumat serta risikan yang dilakukan sejak seminggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, berdasarkan siasatan suspek menjalankan kegiatan haram itu tanpa memiliki lesen sah dengan memberi pinjaman kepada peniaga kecil serta nelayan di daerah itu.
Beliau berkata, pihaknya merampas wang RM545,599 serta 51 cek pelbagai agensi perbankan RM846,000 yang belum ditunaikan dan 47 kad peminjam yang mengandungi butiran bayaran peminjam.
“Selain itu, polis menemui 49 kad peminjam kosong, dua salinan kad pengenalan peminjam, satu kad pengenalan, 10 buku bank milik suspek dan peminjam, satu kad pengeluaran wang automatik (ATM), dua telefon bimbit Samsung dan Nokia.
“Turut dirampas satu komputer riba Acer, dua buku catatan dan angka yang disyaki milik akaun peminjam, tujuh kertas transaksi mesin deposit tunai (CDM), 25 slip transaksi pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga parang.
“Suspek mengaku menjalankan aktiviti pemberi wang tanpa lesen sejak 2008 dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 2011 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM250,000 atau tidak melebihi RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:33 AM


AZMI (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian wang dirampas, di IPK Pulau Pinang, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13422#sthash.JhhF4Ryz.dpuf

3 beranak melambung

Dungun: “Kereta itu tiba-tiba terbabas selepas melalui satu selekoh sebelum merempuh kami tiga beranak,” kata suri rumah, Fazlin Hussin, 21, selepas motosikal Modenas Kriss dinaiki bersama suami dan anaknya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 98, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, semalam.
Kemalangan jam 5.30 petang itu menyebabkan suaminya, Mohd Zuhdi Mohd Nazari, 27, parah selepas patah kaki kiri dan cedera di kepala serta badan sementara anaknya, Nia Zahra Faziana, 2, cedera di mulut dan kaki.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila tiga beranak terbabit berhenti di tengah jalan untuk masuk ke simpang sebelum kereta Proton Waja terbabit yang datang dari arah Dungun ke Paka terbabas selepas melalui satu selekoh di situ sebelum merempuh motosikal mangsa.
Rempuhan kuat itu menyebabkan tiga beranak terbabit tercampak ke atas jalan sebelum sebuah lagi kereta Proton Saga yang datang dari arah Paka ke Dungun merempuh motosikal mangsa.
Fazlin berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan suaminya terperosok di bawah kereta Proton Saga terbabit dan dia yang cedera di kaki menerpa ke tengah jalan untuk menyelamatkan anaknya.
“Saya pada mulanya menyangka suami sudah meninggal dunia, namun bersyukur dia hanya parah dan saya tidak putus berdoa agar Allah selisihkan ajal kami tiga beranak,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun, di sini, semalam.
Menurutnya, ketika kejadian mereka tiga beranak dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berkunjung ke sebuah pusat perubatan resdung tidak jauh dari situ.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:43 AM


Mohd Zuhdi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 98 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Tebing Tembah Paka dikejarkan ke Hospital Dungun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13432#sthash.eXFHeSIF.dpuf

111 wanita tanpa bapa kahwin secara percuma


Ahmedabad: Seorang hartawan dermawan menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai untuk meraikan 111 wanita yang ketiadaan bapa.
Mahesh Savani, 44, yang menjadikan aktiviti perdagangan berlian sebagai sumber pendapatan berkata, keluarga terbabit terlalu miskin untuk membiayai perkahwinan mereka.
Kata Savani, mereka juga menganggapnya sebagai bapa angkat.
“Saya perlu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada pengantin perempuan,” katanya kepada AFP sejurus sebelum majlis berkenaan dimulakan di sebuah sekolah di Gujerat semalam.
Selain membiayai perkahwinan itu, Savani juga menghadiahkan setiap seorang pengantin wanita barang kemas serta kemudahan lain bernilai R450,000 (RM24,920) untuk membantu memulakan hidup baru.
Kata Savani, apa yang dihadiahkan tidaklah terlau penting sebaliknya melunaskan tanggungjawab sebagai seorang ‘bapa’ lebih mustahak.
“Mengahwinkan anak adalah perbuatan yang suci,” katanya.
Savani yang sudah menganjurkan majlis perkahwinan untuk 251 wanita sebelum ini berkata, aktiviti amal itu bermula sejak 2008 apabila seorang daripada kakitangan syarikatnya meninggal dunia.
“Saya terkejut dengan kematian yang berlaku hanya 12 hari sebelum dia mengahwinkan anak perempuannya,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:07 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13401#sthash.x6XHODTn.dpuf

Tragedi dalam timbunan rumput kering


Sa Kaeo (Thailand): Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun atas tuduhan merogol tiga beradik perempuan berusia antara tujuh hingga sembilan tahun yang juga jirannya di daerah Aranyaprathet.
Polis dipanggil ke rumah remaja itu dan mendapati 20 penduduk kampung sudah mengepung kediaman.
Penghulu Aranyaprathet, Sungwarn Lakunplearn berkata, suspek memujuk tiga beradik itu untuk bermain di dalam timbunan rumput kering berhampiran rumah mereka pada tengah hari Sabtu lalu.
Remaja itu dikatakan mengakui terangsang selepas bermain dengan kanak-kanak terbabit sebelum membawa adik bongsu mereka ke tempat tersorok dan merogolnya.
Dia kemudian melakukan perkara sama kepada dua kakak mangsa. Semua mangsa tidak faham apa yang dilakukannya kepada mereka.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa kemudian menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya yang terus mengadu kepada Sungwarn.
Timbalan Ketua Polis Aranyaprathet, Kapten Chaiya Maneesoot berkata, pegawai dari Pejabat Keselamatan Manusia dan Pembangunan Sosial Sa Kaeo akan menghadiri sesi soal siasat suspek dan mangsa disebabkan semuanya masih bawah umur. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:15 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13405#sthash.5Q4Dlvhf.dpuf

Tumbukan maut kekasih


New York: Hubungan percintaan songsang sepasang gay sejak lapan bulan lalu berakhir dengan kematian apabila seorang daripada mereka menumbuk mati kekasihnya selepas satu pertengkaran berhampiran Zoo Bronx, semalam.
Suspek bagaimanapun tidak terus ditahan kerana polis tidak dapat mengenal pasti sama ada mangsa berusia 42 tahun itu mati akibat ditumbuk atau serangan jantung.
Ketika ini, lelaki yang mati itu diketahui menjalin hubungan cinta dengan pemuda berusia 20 tahun.
Media melaporkan pasangan gay terbabit bertengkar atas sebab yang belum disahkan.
Seorang daripadanya kemudian melepaskan tumbukan menyebabkan lelaki yang lebih berusia itu terjatuh lalu mati. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:17 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13408#sthash.UG6TZd5G.dpuf

Bapa, ibu tiri didakwa


Washington: Bapa kandung dan ibu tiri remaja lelaki yang ditemui terkurung di ruang kecil di sebalik dinding palsu almari kain kelmarin dihadapkan ke mahkamah di Georgia.
Gregory Jean, 37, dan Samantha Davis, 42, didakwa di Mahkamah Daerah Clayton atas tuduhan melindungi perbuatan jenayah, mengurung secara salah dan mendera kanak-kanak.
Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan jaminan dan dijadualkan hadir semula di mahkamah pada 9 Disember ini.
Pasangan itu ditahan bersama tiga juvana ekoran penemuan remaja lelaki berusia 13 tahun itu.
Remaja terbabit dipercayai dikurung dalam ruang sempit sejam empat tahun lalu.
Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat ibunya ketika dibenarkan melawat Jean pada 2010.
Ibunya yang juga pendatang asing melaporkan kehilangan anaknya kepada pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak tetapi tidak kepada polis kerana dipercayai tidak mengetahui sistem perundangan di Amerika.
Remaja terbabit diselamatkan selepas berjaya menemui telefon bimbit dan memuat turun aplikasi yang membolehkannya menghubungi ibunya di Florida. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:17 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13409#sthash.jKHD8CNL.dpuf

Stesen minyak habis stok RON97



SEORANG pekerja bank, Mohd. Alif Ashraf Mohd. Izahan menunjukkan pam RON97 yang tidak beroperasi kerana kehabisan minyak di Jalan Ampang semalam.


KUALA LUMPUR – Keghairahan pemandu kenderaan yang mula beralih menggunakan minyak RON97 ekoran perbezaan terkini harga bahan api itu hanya 20 sen seliter lebih mahal berbanding RON95 menyebabkan kebanyakan stesen minyak di Lembah Klang kehabisan bekalan petrol tersebut.
Penghapusan subsidi sepenuhnya ke atas RON95 di sam­ping kejatuhan harga minyak dunia menyebabkan RON97 yang sebelum ini dianggap sebagai ‘minyak kelas atasan’ mengalami penurunan harga ketara iaitu 29 sen seliter dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
Tinjauan Kosmo! di lebih 20 stesen minyak di sekitar Lembah Klang semalam mendapati hampir kebanyakan stesen tidak lagi menjual RON97 selepas mendakwa kehabisan bekalan.
Dalam tinjauan itu, empat daripada tujuh stesen minyak di Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang tidak lagi mempunyai bekalan RON97, manakala daripada 10 stesen minyak di Taman Salak Selatan, Jalan Maharajalela dan Jalan Loke Yew pula hanya dua stesen masih mempunyai bekalan RON97.
Rata-rata kebanyakan pemandu kenderaan yang ditemui melahirkan kekecewaan kerana gagal mengisi minyak menggunakan RON97, malah ramai yang memanjangkan rungutan tersebut menerusi laman sosial.
Menurut seorang pekerja swasta, Amar Haziq, 19, beliau terkejut apabila mendapati beberapa buah stesen minyak yang dikunjunginya kehabisan RON97, sedangkan sebelum ini masalah itu tidak pernah berlaku.
“Saya ingin mengisi minyak RON97 hari ini selepas bahan api ini semakin murah dan harga tidak jauh berbeza dengan RON95, tetapi apabila sampai di beberapa stesen minyak di Kampung Baru saya terkejut kerana semua pam RON97 dile­takkan notis stok RON97 habis,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3KhFaj600 
Hakcipta terpelihara 

42 PATI disumbat dalam tiga kereta



Sebahagian warga asing yang diseludup masuk ke negara ini ditahan sementara di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Perlis pada 27 November lalu.


KANGAR – Keberanian seorang lelaki menyeludup masuk 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan cara menyumbat mereka ke dalam tiga buah ken­deraan gagal apabila taktik itu dikesan polis baru-baru ini.
Suspek rakyat tempatan berusia 35 tahun itu ditahan bersama kesemua warga asing terbabit di Kampung Titi Tinggi Hulu, Padang Besar dekat sini pada 27 November lalu pukul 8.30 malam.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada 40 lelaki dan dua wanita warga Myanmar serta Bangladesh berusia antara 19 hingga 30 tahun.
Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron (gambar kecil) berkata, ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya, ketiga-tiga buah kenderaan yang dinaiki mereka sedang menghala ke Pulau Pinang dari Thailand.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3KhFT1nGl 
Hakcipta terpelihara 

Berkas penyeludup dadah, pistol



Zakaria (empat dari kiri) menunjukkan pistol jenis Ruby Extra Trade Mark 22 dan 500 biji pil Eramin 5 pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu, Jitra semalam.


JITRA – Percubaan tiga sahabat termasuk dua rakyat Thailand untuk menyeludup keluar 500 biji pil dadah Eramin 5 dan sepucuk pistol ke negara jiran gagal apabila mereka ditahan sepasukan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 1.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata, kesemua suspek berusia 28 hingga 35 tahun yang menaiki sebuah kereta Toyota Yaris menggunakan nombor pendaftaran Thailand itu ditahan kira-kira pukul 2 petang.
“Kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan manakala dua rakyat Thailand iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita berada di tempat duduk depan dan belakang.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan berkenaan, anggota UPP berjaya menemui sepucuk pistol jenis Ruby Extra Trade Mark 22, 11 butir peluru dan 500 biji pil Eramin 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini semalam.
Tambah Zakaria, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua warga Thailand terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram.
“Siasatan turut mendapati, lelaki rakyat Malaysia terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah, pecah rumah selain beberapa kes lain di Thailand.
“Kesemua suspek yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 direman di IPD Kubang Pasu di sini selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.
Ujar beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api dan Seksyen (6)(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3KhFJaslJ 
Hakcipta terpelihara 

Peniaga Myanmar mati dikerat



KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang peniaga warga Myanmar yang diculik di Jinjang Utara, Sentul dekat sini kira-kira dua minggu lalu terjawab apabila mangsa dipercayai dibunuh dengan mayatnya ditanam di sebuah kawasan belukar berhampiran sebuah kilang pasir di Bidor, Perak semalam.
Kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa yang berusia dalam lingkungan 35 tahun ditemui anggota-anggota Forensik daripada Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama pasukan patologi Hospital Ipoh, Perak dalam keadaan dikerat-kerat sebelum ditanam di kawasan belukar tersebut.
Lokasi tempat mayat lelaki berkenaan ditanam didedahkan oleh seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang merupakan suspek utama kejadian pembunuhan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, pada 20 November lalu, suspek utama tersebut telah ditahan pada pukul 8.05 malam.
“Hasil siasatan lanjut, suspek telah membawa polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke sebuah kilang di Bidor, Perak. Polis menemui satu jasad yang disyaki mangsa diculik yang ditanam di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3KhEf50NR 
Hakcipta terpelihara 

Tipu jual kereta mewah Langkawi



JACK DENG (kiri) dan Hai Chun (kanan) keluar dari Mahkamah Seksyen Shah Alam semalam selepas didakwa memperdaya seorang jurujual kereta dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.


SHAH ALAM – Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menipu dalam penjualan sebuah kenderaan yang tidak dibayar cukai dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram pada dua tahun lalu.
Tertuduh, Chin Jack Deng, 33 dan sepupunya, Tan Hai Chuen, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Jack Deng dan Hai Chuen didakwa memperdaya seorang jurujual kereta untuk membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche Cayenne E2 Diesel pada harga RM520,000 termasuk cukai sedangkan, cukai dan duti kenderaan itu masih belum dilunaskan dan ia telah dibawa keluar dari pusat bebas cukai, Pulau Langkawi, Kedah secara tidak sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Temasya, Glenmarie di sini pada 13 Julai dan 23 Julai 2012.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3KhF4UBNn 
Hakcipta terpelihara 

Polis, perusuh bertempur



AFP - SEORANG anggota polis memukul seorang pelajar ketika menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di Pusat Admiralty di Hong Kong semalam.


HONG KONG – Ibu pejabat kerajaan di Hong Kong terpaksa ditutup sementara semalam selepas beribu-ribu penyokong prodemokrasi berhimpun di kompleks berkenaan.
Kumpulan tunjuk perasaan tersebut turut bertempur dengan pihak polis selepas enggan berundur dari kompleks berkenaan walaupun diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying berkata, pihak berkuasa mengamalkan sikap tolenrasi sepanjang dua bulan protes berkenaan berlangsung.
Bagaimanapun, beliau membayangkan untuk mengambil tindakan tegas selepas sudah ‘hilang sabar’ dengan kumpulan penunjuk perasaan berkenaan.
“Ramai pihak beranggapan bahawa toleransi yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa ini adalah satu kelemahan.
“Saya memberi amaran kepada kumpulan penunjuk perasaan supaya membatalkan hasrat untuk kembali ke lokasi perhimpunan,” katanya.
Kekacauan semalam tercetus ketika beratus-ratus kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di Pusat Admiralty yang menempatkan pejabat kerajaan dan gerai perniagaan bertempur dengan pihak polis.
Anggota polis dilihat mengejar kumpulan penunjuk perasaan dengan belantan dan menyembur mereka dengan cecair cili.
Pihak polis berkata, seramai 40 penunjuk perasaan ditahan dalam kekacauan tersebut.
Kumpulan tunjuk perasaan yang disertai aktivis pelajar membantah tindakan China yang mahu menyaring terlebih dulu calon bakal bertanding dalam pilihan raya umum pulau berkenaan pada tahun 2015.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3KhDacz1R 
Hakcipta terpelihara 

Polis tembak remaja letak jawatan



AFP - DUA lelaki berdepan dengan anggota polis yang mengawal tunjuk perasaan di St. Louis, Missouri, kelmarin. (gambar kecil) kiri Brown, kanan Darren Wilson


FERGUSON – Anggota polis berkulit putih yang menembak mati seorang remaja kulit hitam yang tidak bersenjata di Missouri pada Ogos lalu mengambil keputusan meletak jawatan daripada pasukan polis, kata Datuk Bandar St.Louis.
Anggota polis itu, Darren Wilson yang mengumumkan peletakan jawatan pada Sabtu lalu berkata, keputusan itu kerana dia takut dengan keselamatannya dan anggota polis yang lain selepas juri memutuskan untuk tidak mendakwanya kerana membunuh remaja berusia 18 tahun itu, Michael Brown.
“Tiada sebarang pembayaran pencen atau faedah lain untuk Wilson ekoran peletakan jawatannya,” kata Datuk Bandar St. Louis, James Knowles pada sidang akhbar.
Bantahan yang berlaku sejak beberapa bulan bertukar menjadi ganas di Ferguson selepas juri mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Wilson pada Isnin lalu.
Malah, bantahan itu telah merebak di lebih 100 bandar selain tindakan menghalang laluan sebuah lebuh raya di Washington serta membakar bangunan.
Wilson berkata, apa yang dilakukan sebelum ini adalah tindakan mempertahankan diri dan telah dihukum dengan digantung tugas selain diri­nya yang dipencilkan sejak kejadian berkenaan.
Knowles pula menjelaskan bahawa dia tidak mengarahkan Wilson meletak jawatan sebaliknya tindakan itu adalah kerelaan­nya sendiri.
“Tumpuan saya kini ialah memulihkan semula kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis kerana kejadian ber­kenaan telah mewujudkan ketegangan antara kaum di Ferguson dan bandar-bandar lain,” katanya.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3KhDIrxAL 
Hakcipta terpelihara 

Doktor keluarkan 120 ulat dari mata dan hidung



Agensi - SEJUMLAH ekor ulat berenga dilihat berada di dalam lubang hidung seorang wanita yang dirawat di sebuah hospital di Kanada.


OTTAWA, Kanada – Sekumpulan doktor mengeluarkan sejumlah 120 ulat berenga daripada hidung dan kelopak mata seorang pesakit wanita yang dihinggapi lalat ketika dirawat di sebuah hospital di sini.
Satu laporan jurnal perubatan di Kanada memberitahu, wanita itu yang dirahsiakan identitinya di masukkan ke sebuah hospital kerana sakit.
Bagaimanapun, ketika dirawat di hospital seekor lalat dipercayai hinggap di muka wanita tersebut dan telah bertelur di rongga hidungnya tanpa disedari oleh pesakit berkenaan.
“Beberapa petugas mendakwa, terlihat seekor lalat terbang di dalam sebuah wad di mana wanita itu dirawat selama beberapa hari.
“Wad berkenaan tidak mempunyai tingkap yang terbuka sekali gus menyebabkan lalat itu tidak boleh keluar,” kata laporan berkenaan.
Rakaman video yang memaparkan doktor mengeluarkan ulat berengga dari mata dan hidung wanita itu kini menjadi popular di internet selepas dimuat naik beberapa hari lalu.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3KhCu59AZ 
Hakcipta terpelihara