Tertuduh (tengah) menunggu di luar mahkamah untuk dibawa ke penjara.
Tertuduh (tengah) menunggu di luar mahkamah untuk dibawa ke penjara.
KOTA BHARU - Akibat menggunakan wang palsu untuk membeli sebuah telefon pintar, seorang bekas jururawat dihukum penjara lapan tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Nor Aziarina Ismail, 31, selepas tertuduh mengaku salah.

Nor Aziarina didakwa menggunakan 16 keping not RM100 palsu berjumlah RM1,600 sebagai tulen dan membeli telefon bimbit jenis iPhone 5 daripada Mohamad Nabil Aiman Abd Wahid, 19, di hadapan sebuah stesen minyak di Melor, di sini, pada jam 11.30 malam, 18 November tahun lalu.

Pengadu sebelum itu mengiklankan telefon tersebut di laman sesawang dan dihubungi tertuduh yang menyatakan hasrat ingin membeli telefon berkenaan.

Mereka kemudian berjumpa dan pengadu menyerahkan telefon tersebut. Tertuduh membayar RM1,650 lalu beredar tergesa-gesa.

Pengadu masuk ke dalam kereta untuk mengira wang dan mendapati sekeping RM50 diletakkan di atas 16 not RM100 yang mempunyai nombor siri sama dan disyaki palsu.

Tertuduh dihubungi, namun tidak berjaya. Pengadu ke bank untuk mendepositkan wang tetapi hanya RM50 diterima.

Pada prosiding semalam, tertuduh melalui peguamnya merayu hukuman diringankan dengan alasan dia penjawat awam dan sudah hampir setahun berada di penjara. Tertuduh juga mempunyai dua anak  masih kecil yang kini berada di bawah jagaan mertuanya.

Rayuan pihak pembelaan itu bagaimanapun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari yang memohon hukuman berat dengan hujah tertuduh sepatutnya menjaga amanah dan integriti sebagai penjawat awam.
Hukuman tersebut diarah berkuat kuasa semalam. Tertuduh sedang menjalani hukuman penjara terhadap dua kesalahan sama sebelum ini.
Suaminya turut dituduh memproses wang palsu dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan.