Search This Blog

Friday, November 28, 2014

Polis serbu pusat judi dalam rumah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

apendy@hmetro.com.my

Sungai Siput: Polis berjaya mematahkan cubaan menghidupkan kembali kegiatan perjudian komputer di daerah ini dengan tertangkapnya seorang lelaki yang bertindak sebagai penganjur dan sembilan kaki judi dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Salak Bahru, di sini awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pemilik rumah berkenaan yang berusia 56 tahun diberkas kerana dipercayai menjadikan kediamannya sebagai pusat perjudian komputer.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan Ernest John berkata, selain penganjur kegiatan haram itu, sembilan lelaki dioercayai kaki judi berusia 17 hingga 29 tahun turut ditangkap dan polis merampas enam komputer riba yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian.
"Selepas operasi besar-besaran memerangi kegiatan perjudian komputer dilaksanakan bermula bulan lalu, kegiatan berkenaan di daerah ini berjaya dilumpuhkan, namun hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan polis berjaya mengesan cubaan menghidupkan kembali kegiatan itu termasuk menjadikan premis kediaman sebagai pusat judi.
"Penganjur terbabit dipercayai baru sehari menjalankan operasi perjudian di rumahnya itu dan hasil maklumat serta risikan sepasukan polis bertindak menyerbu kediaman terbabit," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM500 dan kesemua yang ditahan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 12:47 PM


ERNEST menunjukkan komputer riba yang dirampas. FOTO Yahya Zain
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12573#sthash.jrHCxt43.dpuf

Warga Bangladesh bunuh rakan dihukum mati

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Bangladesh yang didapati bersalah membunuh rakan senegaranya di sebuah ladang kepala sawit di Bahau, Jempol, dekat sini, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, Abdul Mazid, 52.
Dalam penghakimannya, Zabariah berkata, mahkamah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan serta hujah kedua-dua pihak dalam memberikan keputusan.
Mengikut pertuduhan, Abdul didakwa membunuh rakan sekerja yang juga senegara di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Bukit Rokan Utara, Bahau, Jempol antara 12 tengahari hingga 1.30 petang, pada 20 Oktober 2012. 
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam N Maniam.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 1:10 PM


TERTUDUH (tengah) dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh rakan senegaranya. FOTO Hazreen Mohamad
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12575#sthash.o2b3J9a6.dpuf

Remaja maut dirempuh dekat Dataran Merdeka

Oleh Mohd Rizal Abdullah
Kuala Lumpur: Seorang remaja maut dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara di Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa, Irham Muzani Azhar, 19, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, pemandu kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh mangsa dari arah bertentangan.
Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan kenderaan terbabit berpusing beberapa kali lalu menghempap sebuah kereta jenis Proton Wira yang diparkir di tepi jalan.
"Pemandu termasuk tiga penumpang kenderaan itu hanya mengalami kecederaan ringan.
"Siasatan awal mendapati pemandu termasuk penumpang kenderaan itu dibawah pengaruh alkohol," katanya.
Mangsa yang menetap di Taman Anggerik Perdana, Semenyih dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 3:30 PM


KENDERAAN pacuan empat roda menghempap kereta jenis Proton Wira.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12588#sthash.ig49q5z6.dpuf

Mercedes-Benz pengarah MPK dibakar

Oleh Mohd Hasbi Sidek
Klang: Sebuah kereta Mercedes-Benz milik Pengarah Undang-Undang Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang diletakkan di parkir bangunan MPK, di sini, malam tadi rentung dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, pengarah berusia 50-an itu dikatakan sedang menunaikan solat di surau berdekatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook berkata, polis dan bomba yang dimaklumkan kejadian bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima maklumat.
"Sebelum kejadian mangsa meletakkan kenderaannya di lokasi kira-kira jam 7.50 malam untuk ke surau yang terletak berdekatan tempat letak kereta berkenaan.
"Kami sedang menyiasat punca sebenar kejadian dan kes ini dipercayai ada unsur khianat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 4:54 PM


KERETA milik Pengarah Undang-undang MPK musnah terbakar disyaki akibat perbuatan khinat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12595#sthash.GNOwEpKE.dpuf

Maut motosikal terbabas di Kuala Terengganu

Kuala Terengganu: Seorang jurukimpal berusia 23 tahun maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, 3.40 pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Nur Hisam Roslan menunggang motosikal Honda EX5 serta membonceng rakannya Muhammad Amirrul Abd Manaf, 18, dalam perjalanan ke kediaman masing-masing di Bandar Baru, Pulau Kambing, di sini.
Malangnya, motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan di laluan berkenaan.
Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Nur Hisam cedera teruk di kepala manakala Muhammad Amirul cedera parah di badan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan kejadian dan berkata, Muhammad Nur Hisam bagaimanapun meninggal dunia di HSNZ jam 8.30 pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:49 PM


AHLI keluarga mengangkat jenazah Muhammad Nur Hisam yang maut selepas melanggar penghadang jalan. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12609#sthash.yloAa1fq.dpuf

Tembak mati pemikat burung


Oleh Muhamaad Razis Ismail
Kuala Krai: Seorang pekerja ladang yang sedang memikat burung maut selepas terkena tembakan rakan sekampungnya yang sedang berburu di hutan sempadan Ladang Bukit Abu di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Zulkifli Mat Isa, 48, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Dabong di sini, akibat kecederaan parah di kepala, bahu kiri dan peha kanan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, suspek berusia 48 tahun dipercayai tersalah tembak mangsa yang disangkakan sebagai kijang.
Katanya, suspek hanya menyedari tertembak mangsa sebaik memeriksa hasil tembakannnya di lokasi kejadian.
"Mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di klinik berhampiran.
"Suspek bersama rakannya berusia 40 tahun ditahan reman sehingga 4 Disember depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:16 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12598#sthash.0Lo2b1qS.dpuf

TLDM patahkan cubaan nelayan Vietnam curi khazanah kapal perang


KAPAL warga Vietnam yang ditahan anggota TLDM kerana disyakki
KAPAL warga Vietnam yang ditahan anggota TLDM kerana disyakki cuba mencuri hasil tinggalan kapal perang British yang telah karam semasa perang dunia kedua kira-kira 60 batu nautika dari Tanjung Gelang, Kuantan. pagi semalam. - Gambar TLDM/UTUSAN
KUANTAN 28 Nov. - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan nelayan asing dari Vietnam yang cuba mencuri khazanah kapal perang British era Perang Dunia Kedua kira-kira 60 Batu nautika dari Tanjung Gelang, dekat sini, semalam.
Mawilla 1 dalam kenyataan di sini hari ini berkata, nelayan berkenaan dipercayai mencuri khazanah dari dua buah kapal yang tenggelam itu iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales.
Kejayaan mematahkan kegiatan haram mencuri khazanah laut negara itu adalah hasil maklumat daripada Persatuan Nelayan Pahang yang dimaklumkan dalam satu program khas bersama pihaknya, minggu lalu, katanya.
"Aktiviti penyelaman haram oleh nelayan asing di perairan sekitar 60 batu nautika dari Tanjung Gelang itu dipatahkan oleh KD Perkasa yang dalam pelayaran pulang selepas tamat latihan Malindo Jaya, pada 6.45 pagi.
"KD Perkasa menahan sebuah bot nelayan diubah suai menjadi bot penyelaman dan sebanyak 17 kru rakyat Vietnam berada di atasnya dengan sebahagian daripada mereka sedang menyelam di dasar laut dipercayai untuk mengambil hasil tinggalan disyaki kapal perang yang tenggelam semasa Perang Dunia Kedua," katanya.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati kesemua kru kapal itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah kecuali tekong dan kesemua tahanan dibawa ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang serta diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.
"Mengikut sumber, kawasan itu adalah lokasi dua buah kapal perang British tenggelam semasa Perang Dunia Kedua pada 10 Dis 1941 iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales," katanya.
Kejayaan berkenaan membuktikan bahawa program mendekati masyarakat khususnya komuniti maritim mampu memberi kesan dan membantu pelaksanaan operasi Markas Wilayah Laut Satu TLDM, menurut kenyataan itu.
"Komuniti maritim seperti nelayan, pengusaha pusat peranginan dan penduduk di pulau boleh menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan khasnya TLDM.
"Mereka boleh melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara," katanya. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tldm-patahkan-cubaan-nelayan-vietnam-curi-khazanah-kapal-perang-1.30221#sthash.9QxyWnve.dpuf

Lelaki mati ditembak kerana disangka kijang


28 November 2014 6:03 PM

KOTA BAHARU 28 Nov. - Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan senapang patah yang dilepaskan seorang lelaki yang dipercayai sedang berburu di ladang rakyat Estet Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, mangsa Mohd Zulkifli Mat Isa, 48, dilaporkan ditembak lelaki berkenaan yang sedang memburu bersama seorang lagi rakannya di kawasan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata, selepas terkena tembakan itu, mangsa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan oleh kedua-dua suspek.
"Mangsa yang tiba di klinik berkenaan kira-kira jam 9.30 malam masih bernafas, namun selang beberapa minit kemudian mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, mangsa terkena lima das tembakan di kepala, bahu kiri dan peha kanan.
Lai berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 40 dan 48 tahun itu atas kesalahan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian.
"Kedua-dua suspek kini di reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan kerana menyangkakan mangsa adalah kijang yang diburu.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-mati-ditembak-kerana-disangka-kijang-1.30223#sthash.rZCcCIPq.dpuf

Treler terjunam dalam gaung


Keadaan treler yang terjunam ke dalam gaung sedalam lebih empat meter di Jalan Sri Puteri-
Ulu Kanchong, dekat sini, semalam
Keadaan treler yang terjunam ke dalam gaung sedalam lebih empat meter di Jalan Sri Puteri- Ulu Kanchong, dekat sini, semalam
REMBAU – Seorang pemandu treler muatan getah cemas apabila kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam lebih empat meter di Jalan Sri Puteri-Ulu Kanchong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, S Mugan, 41, dalam perjalanan pulang dari kilang getah di Kota ke Seremban dipercayai cuba mengelak merempuh sebuah kereta di depannya selepas melalui satu selekoh di jalan berkenaan.

Menurut Mugan, dia yang sudah 10 tahun bekerja sebagai pemandu treler hanya mampu tergamam dan berdoa supaya selamat sebaik menyedari lori yang dipandunya terbalik dan masuk ke dalam gaung.

“Ketika kejadian hujan lebat dan saya tidak menyedari satu laluan ditutup kerana kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan menyebabkan kenderaan dari arah Rembau bergerak perlahan.

"Saya cuba menekan brek kerana khuatir merempuh kereta di depan dan bergerak perlahan ke bahu kiri jalan. Namun, tiba-tiba lori yang dipandu saya terus terbalik dan masuk ke dalam gaung," katanya.

Katanya, selepas itu, dia terus menyelamatkan diri dengan memanjat keluar sebelum orang awam menghulurkan bantuan.

Malah tambahnya, dia sangat bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan sahaja dan akan membuat laporan polis selepas segala urusan pemindahan muatan yang dibawa selesai.

Lori simen terbalik


Lori terbalik sewaktu melalui selekoh dari arah kawasan perindustrian orang asli menuju ke Kundang, semalam.
Lori terbalik sewaktu melalui selekoh dari arah kawasan perindustrian orang asli menuju ke Kundang, semalam.
KUANG - Seorang pemandu lori membawa muatan simen alami detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbalik sewaktu melalui selekoh dari arah kawasan perindustrian orang asli menuju ke Kundang, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu mangsa, Azhar Mohamed, 40, tidak cedera dan berjaya keluar melalui tingkap pintu yang pecah.

Azhar berkata, lorinya terbalik sewaktu dia memberhentikan kenderaan untuk cuba mengambil ruang melepasi selekoh tajam. Muatan seberat 40 tan itu menyebabkan struktur tanah gagal menampung beban hingga mendap sebelum terbalik.

Sehingga jam 12 lori masih gagal dikeluarkan.

Empat sekeluarga nyaris rentung


Anggota bomba berusaha memadam kebakaran. Gambar kecil: Keadaan ruang tamu rumah Noor Azreen
yang musnah kebakaran.
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran. Gambar kecil: Keadaan ruang tamu rumah Noor Azreen yang musnah kebakaran.
RAUB - Empat sekeluarga di Kampung Jeram Banting, Dong, dekat sini nyaris rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 1 petang kelmarin.

Seorang mangsa, Noor Azreen Musa, 24, berkata, api kebakaran dipercayai berpunca daripada dapur gas rumah mereka.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menyediakan masakan makan tengah hari untuk keluarga.

“Ketika cuba menghidupkan api, saya dapati api tidak keluar di bahagian tungku, sebaliknya keluar di bahagian paip gas.

“Memandangkan ia berada terlaku dekat dengan gas, saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keadaan, sebaliknya api terus marak,” katanya.

Ketika itu katanya, dia bersama ibu, adik lelaki dan anak saudaranya berada di rumah manakala abangnya keluar bekerja.

“Saya melulu keluar bersama ahli keluarga untuk selamatkan diri dan kami minta tolong jiran selain menghubungi bomba.

“Hampir keseluruhan dapur dan ruang tamu musnah, namun bahagian bilik sempat diselamatkan pihak bomba, mujur pakaian dan dokumen penting sempat diselamatkan,” katanya.

Noor Azreen berkata, kejadian itu turut memusnahkan segala kelengkapan rumah dan barangan elektrik sekali gus mengakibatkan kerugian kira-kira RM70,000.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Noor Azreen sekeluarga turut menerima sumbangan zakat berjumlah RM2,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang disampaikan Pegawai Muip Raub, Abdul Halim Chik, semalam.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Tarmizi Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.52 petang kelmarin dan tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian.

“Lapan anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dikawal dua minit kemudian.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Empat kes curi motosikal sehari


Idris (kiri) ketika memakaikan pangkat kepada salah seorang anggota pada Perhimpunan Bulanan Polis di IPD Kuala Terengganu, semalam.
Idris (kiri) ketika memakaikan pangkat kepada salah seorang anggota pada Perhimpunan Bulanan Polis di IPD Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Kes kecurian motosikal mencatatkan indeks jenayah tertinggi di daerah ini dengan purata sebanyak tiga hingga empat  kes kecurian berlaku setiap hari walaupun peratusan kes itu menurun belakangan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kes itu penyumbang tertinggi jenayah di daerah ini diikuti kes pecah rumah.

Menurutnya, kegagalan pemilik motosikal menggunakan kunci pendua atau kunci tambahan antara faktor yang dikenal pasti antara punca menyebabkan kes kecurian motosikal di negeri ini meningkat.

“Kebanyakan kes kecurian motosikal ini berlaku di kawasan perumahan dan di hadapan rumah sahaja kerana kegagalan pemilik memasang kunci tambahan kepada kenderaan mereka.

“Tanggungjawab dan kesedaran pemilik berkaitan kepentingan menggunakan kunci tambahan ini pastinya dapat mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri kerana berdasarkan kebanyakan kes sebelum ini, ia berpunca kerana tiadanya kunci pendua dilekatkan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya setakat ini pihaknya tidak mengesan kegiatan kecurian motosikal itu dilakukan secara bersindiket namun percaya kemungkinan ia dijalankan oleh individu perseorangan.

Kata Idris, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kegiatan kecurian ini dilakukan oleh mat rempit.

“Kita dapati motosikal yang kerap dilaporkan hilang seperti Honda Ex-5, Yamaha dan Suzuki..  ia digunakan untuk mengubah suai dan menjual komponen motosikal terbabit.

“Ex-5 lebih mudah dicuri kerana laku di pasaran begitu juga komponen lebih mudah dijual,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengadakan operasi bersama agensi lain untuk basmi kegiatan samseng jalanan.

Kata Idris, pihaknya telah mengenal pasti lokasi panas seperti Jalan Durian Burung dan Padang Midin yang menjadi tumpuan mat rempit.

Beliau berkata, walaupun kini terdapat hampir 300 mat rempit berdasarkan pecahan lokasi mereka yang aktif, jumlah itu kini dilihat semakin berkurangan.

“Operasi menggempur ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan masalah mat rempit yang menimbulkan kesesakan lalu lintas ini dapat diselesaikan.

"Setakat ini, samseng jalanan masih lagi terkawal,” katanya.

Pukul anak saudara: Penganggur didenda


Tertuduh (dua, kanan) ditahan sehingga denda dijelaskan.
Tertuduh (dua, kanan) ditahan sehingga denda dijelaskan.
KOTA BHARU - Padah pukul anak saudara dan ejek adik-adik pengadu sebagai anak tidak sah taraf, seorang penganggur didenda RM2,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Majistret, Nik Habri Muhamad  turut mengarahkan tertuduh yang berusia 31 tahun itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika denda gagal dijelaskan.

Tertuduh yang beralamat di Kampung Pauh, Badang, Jalan PCB, di sini, didakwa dengan sengaja menyebabkan kesakitan kepada remaja berusia 14 tahun itu di alamat tersebut jam 11 pagi, 1 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang berada di tangga dapur rumah secara tiba-tiba dipukul oleh tertuduh dengan topi keledar, namun dia sempat mengelak. Tertuduh kemudian menendang pengadu dan kena pada tulang rusuk kanan.

Punca kejadian kerana pengadu bertanyakan kepada bapa saudaranya itu yang mengatakan adik-adiknya anak luar nikah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh dengan mengambil kira kecederaan pengadu.

Kontraktor mengaku tidak salah tuduhan curi kereta


Dari kiri, Mohd Nasir, dan Awang
Dari kiri, Mohd Nasir, dan Awang
KOTA BHARU - Seorang kontraktor mengaku tidak salah tuduhan mencuri sebuah kereta jenis Kia Serento di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Nasir Ab Rahmad, 43, didakwa mencuri kereta bernilai RM45,000 itu di hadapan sebuah rumah kedai di Jalan Sultanah Zainab, di sini, antara jam 11.30 malam, 9 Oktober lalu dan 7 pagi keesokannya.

Susulan penafian tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Majistret, Nik Habri Muhamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan didengar semula Disember depan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang buruh dipenjara sebulan dan denda RM3,500 oleh mahkamah sama kerana kesalahan memiliki pisau sepanjang 15 inci dalam sebuah kereta pada jam 3.30 pagi, 15 November lalu.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Hospital, di sini, dan tertuduh, Awang Mohd, 27, gagal memberi keterangan memuaskan terhadap kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya.

Tertuduh turut didenda kerana gagal mengemukakan kad pengenalan ketika ditahan.

Nik Habri turut menjatuhkan hukuman enam bulan dan masing-masing empat bulan penjara bagi setiap denda yang gagal dijelaskan terhadap ketiga-tiga tuduhan itu.

Bekalan elektrik terputus ribut kuat, banjir di Brisbane

BRISBANE: Ribut kuat dan banjir di Brisbane mengakibatkan bumbung rumah terpelanting, bekalan elektrik terputus, jalan raya ditenggelami air manakala berpuluh orang cedera di bandar raya ketiga terbesar di Australia itu.
Pembekal elektrik, Energex hari ini berkata kira-kira 90,000 rumah tidak mempunyai bekalan elektrik berikutan pokok dan tiang elektrik tumbang dipukul angin yang berkelajuan 140 kilometer sejam.
Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan, pusat konvensyen yang menjadi tempat Sidang Kemuncak G20 diadakan yang dihadiri Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain dua minggu lalu, mengalami kerosakan akibat ditenggelami air dan hujan batu.
Pemimpin Queensland, Campbell Newman menyifatkan kejadian ribut itu sebagai yang terburuk di bandar raya berkenaan sejak 1985. - AP

Wanita maut dalam banjir di Riviera, Perancis

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 @ 8:54 AM

 
PARIS: Hujan lebat di French Riviera menenggelamkan rumah dan jalan raya mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang terkorban dan tiga lagi hilang.

Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve, berkata pasukan penyelamat sedang mencari tiga penduduk yang hilang selepas seorang wanita dijumpai mati di La Londe-les-Maures apabila keretanya dibawa arus deras.

Pengetua sebuah sekolah di pekan Grimaud di Teluk Saint Tropez, di timur Perancis, memberitahu stesen televisyen iTele TV, seramai 23 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 10 tahun terpaksa bermalam di perpustakaan sekolah Blaquieres.

Pusat pemindahan dibuka di beberapa pekan di Wilayah Var di mana rumah ditenggelami dalam banjir dan jalan raya berubah menjadi seperti sungai.

Helikopter digunakan bagi menyelamatkan beberapa penduduk yang terkandas. - AP

503 individu ditahan berkaitan dadah di Arau


KETUA Polis Daerah Arau, Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad bersama pegawainya melupuskan barang kes narkotik IPD Arau, di Kompleks Logistik PDRM Mata Ayer. - Foto Eizairi Shamsudin
ARAU: Seramai 503 individu ditahan melalui 493 kes berkaitan dadah di seluruh daerah ini sepanjang tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad, berkata statistik itu menunjukkan peningkatan dalam kes narkotik di daerah ini, kerana sepanjang tahun lalu 527 individu ditahan melalui 492 kes yang dikesan.
Beliau ketika ditanya percaya penyumbang utama peningkatan kes narkotik di daerah ini adalah berikutan pertambahan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 iaitu pemilikan daun, serbuk dan cecair ketum," katanya dalam sidang media tadi.
Ku Yaacob berkata demikian ketika ditemui ketika majlis pelupusan barang kes Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini tadi.
Dalam majlis itu pelbagai barang kes narkotik sepanjang 2012 hingga Oktober 2014 seperti heroin, ganja, syabu, pil psikotropik, pil eramin 5 serta serbuk, daun dan air ketum yang dilupuskan membabitkan nilai keseluruhan RM80,000.

Anggota Geng Sakai 24 ditahan di Perak

TAIPING: Lapan anggota kumpulan kongsi gelap Geng Sakai 24, kumpulan Beng Hoey dan Sam Tai Coo adalah antara 70 individu yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Bersepadu di sini, Kerian dan Manjung.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam, berkata mereka yang berumur antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan antara pukul 2 petang Rabu hingga tengah malam tadi.
Mereka terdiri daripada tiga anggota Geng Sakai 24, empat anggota Ang Beng Hoey dan seorang anggota Sam Tai Coo.
"Tiga daripada mereka amat dikehendaki kerana terbabit dalam kes samun, dadah dan penipuan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam operasi itu, 23 individu yang terdiri daripada tiga penjaga rumah urut, tujuh wanita China dan 13 wanita Thailand yang tidak mempunyai permit turut ditahan atas kesalahan maksiat di Setiawan dan Lumut.
Paramasivam berkata, selain itu turut ditahan ialah 32 pendatang asing tanpa izin di Simpang dan Bagan Pachor yang melibatkan 28 warga Indonesia dan empat warga Myanmar.
Sementara itu, beliau berkata tujuh lelaki ditahan atas kesalahan menyeludup rokok dan minuman keras di Pantai Remis, Tanjung Piandang dan Kuala Sepetang.
"Hasil penahanan mereka, 579 kartun rokok pelbagai jenama, 928 botol minuman keras dan 90 kotak mercun dengan jumlah rampasan bernilai RM40,898 dirampas, selain 122,629 liter diesel dengan rampasan RM269,783.80," katanya.
Dalam Ops Tapis Khas Bersepadu pula, A Paramasivam, berkata polis menahan 23 orang kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah di sekitar Kuala Sepetang, Kampung Seberang dan Bagan Panchor awal bulan ini.
Sebanyak 15.2 gram pelbagai jenis dadah turut dirampas iaitu heroin (8.6 gram), syabu (0.7 gram), ganja (4.9 gram) dan Eramin 5 (dua biji seberat 1.0 gram), katanya.
- BERNAMA

Penunggang motosikal maut dirempuh 4WD

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang hilang kawalan dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk, dalam kejadian di Dataran Merdeka, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Irham Muzani Azhar, 19, maut di tempat kejadian manakala pemandu serta tiga penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit dilaporkan cedera.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC itu dipercayai baru pulang dari bekerja di sebuah restoran di ibu negara untuk pulang ke rumahnya di Jalan Ampang.
Katanya, mangsa yang melalui jalan Raja dirempuh sebuah kenderaan jenis Nissan Navara yang hilang kawalan dari arah bertentangan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali.
"Mangsa yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, empat lelaki yang menaiki kereta itu cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya.

Mekanik mengaku tidak bersalah sebabkan kematian wanita



CHOW Teik Leong, 53, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar seorang wanita dengan niat menyebabkan kematian minggu lalu. - Foto BERNAMA
GEORGETOWN: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melanggar seorang wanita dengan niat menyebabkan kematian minggu lepas.
Tertuduh, Chow Teik Leong, 53, dari Bajan Ajam, Butterworth dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian Lee Seoh Pheng, 47, dengan melanggar mangsa di bawah Flat Taman Desa Intan, Jalan Thean Teik, Bandar Baru, Air Itam.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.40 tengah malam, pada 21 November lepas. Dia didakwa di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Zulhazmi Abdullah tidak membenarkan Chow diikat jamin dan menetapkan 22 Januari 2015 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini dan Nur Farhana Hashim.
Chow pula diwakili peguam bela Datuk Baljit Singh, manakala peguam Muhammad Arif Shaharuddin menjadi peguam pemerhati mewakili peguam Ramkarpal Singh untuk keluarga mangsa. - BERNAMA

Gunung Berapi Aso meletus, penerbangan dibatal

TOKYO: Sebuah gunung berapi di selatan Jepun meletuskan lahar hari ini untuk kali pertama sejak 22 tahun lalu, mengakibatkan banyak penerbangan dibatalkan serta amaran kepada orang ramai agar menjauhi kawasan bencana.
Agensi Meteorologikal Jepun berkata, Gunung Aso memuntahkan lahar, letusan bunga api dan debu tebal setinggi satu kilometer tinggi ke awan.
Berpuluh penerbangan dari Kumamoto, iaitu bandar terdekat terpaksa dibatalkan.
Pemerhati berkata, letusan yang begitu besar adalah di luar jangkaan.
Gunung Aso, kira-kira 1,000 kilometer di barat daya Tokyo di Pulau Kyushu, adalah salah satu gunung berapi terbesar dunia.
Pada penghujung September tahun lalu, letusan satu lagi gunung berapi, Gunung Ontake, di Nagano, barat Tokyo mengorbankan lebih 50 orang. - AP

Tentera dikerah, banjir terburuk di Brisbane



BEBERAPA jalan raya di pusat perniagaan di Brisbane dinaiki air selepas ribut terburuk melanda pesisir pantai timur Australia, hari ini. Jumlah kerosakan berikutan bencana alam itu kini dianggarkan mencecah Aus$100 juta (AS$85 juta). - Foto EPA
BRISBANE: Pasukan tentera dikerah bagi membantu operasi menyelamat susulan ribut terburuk di pesisir pantai timur Australia yang sehingga kini jumlah kerosakan dianggarkan mencecah Aus$100 juta (AS$85 juta).
Ribut yang menurut pegawai antara terburuk pernah disaksikan di negara itu dan terkuat melanda Bandaraya Brisbane dalam tiga dekad, turut menyebabkan hujan batu sebesar bola tenis sehingga menimpa kereta dan bangunan lewat semalam.
Banjir kilat turut melanda sehingga sekurang-kurangnya 39 orang dilaporkan cedera setakat ini.

SEBUAH pesawat ringan mengalami kerosakan selepas terbalik berikutan dibadai ribut terburuk di pesisir pantai timur Australia, hari ini. - Foto EPA
Tiupan angin ribut 140 kilometer sejak (kmh) dicatatkan iaitu dalam Kategori Dua, turut menyaksikan pokok tercabut dan menjejaskan bekalan elektrik.
Salah satu saat paling dramatik apabila sekurang-kurangnya empat pesawat ringan diterbangkan angin kuat di Lapangan Terbang Archerfield, 11km dari Pusat Perniagaan Brisbane.
"Ia seperti puting beliung," menurut seorang penduduk pangsapuri apabila bumbung besi diterbangkan angin sehingga 100 meter.
Menteri Pengangkutan Australia, Scott Emerson, berkata kerosakan akibat ribut dianggarkan meningkat kepada Aus$100 juta.
Sekurang-kurangnya 500 rangkaian elektrik terputus bekalan awal pagi ini dengan 65,000 kediaman dan perniagaan masih terputus bekalan.
Berpuluh sekolah ditutup hari ini manakala ratusan anggota tentera dari Pasukan Bantuan Kecemasan dikerah untuk mengalihkan pokok tumbang dan sisa kerosakan yang memenuhi jalan raya di Brisbane. - AFP