Search This Blog

Saturday, November 22, 2014

Kanak-kanak tiga tahun hilang di kebun getah sejak semalam

22/11/2014 8:53pm

BEAUFORT - Seorang kanak-kanak berumur tiga tahun hilang ketika bermain di kawasan kebun getah di Kampung Selagon di sini sejak pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, ketika kejadian, mangsa Mohd Shariqal Sidek bersama dua abangnya keluar dari rumah kira-kira 6.30 pagi tanpa disedari ibunya.
"Polis dimaklumkan mengenai kehilangan kanak-kanak itu kira-kira pukul 1 tengah hari (semalam) sebelum memaklumkan kepada pihak bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk membantu dalam operasi mencari dan penyelamat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mustaffa Maarof berkata, operasi tersebut dihentikan pada pukul 6.30 petang semalam dan bersambung pada pukul 7 pagi tadi melibatkan kawasan seluas kira-kira 39 hektar.
Beliau berkata, mangsa dilihat kali terakhir bersama dua abangnya itu bermain di kawasan kejiranan berhampiran kawasan kebun getah sebelum hilang. - Bernama


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz3JoM3JatH 
Hakcipta terpelihara 

Suami isteri maut dalam kemalangan lori 10 tan di Kinabatangan


22/11/2014 9:48pm

KINABATANGAN - Sepasang suami isteri maut ketika lori kontena yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori lain di kilometer 126 jalan Sandakan-Lahad Datu di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, pemandu lori kontena terbabit Ramli Manti, 37 mati di tempat kejadian manakala isterinya Sima Katta Salama, 31, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.
"Siasatan awal mendapati lori kontena itu yang datang dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu telah masuk ke lorong kanan lalu bertembung dengan lori 10 tan yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan dua lori itu, penumpang lori kontena iaitu Sima tersepit di bahagian penumpang dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut A. Sahak, anak pasangan itu Nor Fatin Najiha, berumur satu setengah tahun, yang juga bersama pasangan terbabit ketika kejadian, mengalami cedera parah di paha kanannya dan sedang dirawat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. - Bernama


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_22.htm#ixzz3JoLbyhb3 
Hakcipta terpelihara 

Beberapa kawasan di Kubang Pasu banjir kilat


22/11/2014 9:49pm

ALOR SETAR - Banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu berikutan hujan lebat sejak 5 petang tadi.

Jurucakap polis berkata, sehingga 8.30 malam ini, kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Lembah Kerian, Changlun.

"Ada enam buah rumah terlibat tetapi penghuninya belum dipindahkan. Paras air ialah kira-kira 1 meter," katanya ketika dihubungi malam ini.

Pihak polis dan Bomba juga diarahkan bersiap sedia kerana beberapa kawasan di daerah itu terus dinaiki air. - Bernama

Tindakan Tegas Diambil Terhadap Anggota Rela Salah Guna Senjata Api


Diterbitkan: Sabtu, 22 November 2014 6:27 PM

MELAKA: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati menyalah guna senjata api termasuk menarik balik lesen itu dan melucutkan keanggotaan mereka.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Pengarah Rela Lukeman Saaid mengingatkan anggota Rela supaya menggunakan senjata api yang diberi mengikut prosedur ditetapkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan jabatan itu.

Beliau berkata penggunaan senjata api oleh anggota Rela juga sentiasa dipantau pegawai Rela di 156 daerah di seluruh negara.

"Kita memandang serius penyalahgunaan senjata api dan anggota yang menggunakannya untuk tujuan berburu tanpa pengetahuan pegawai... ini juga boleh sebabkan lesen ditarik balik dan keanggotaan dilucutkan," kata Lukeman kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pangkat bersekutu Rela di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan seorang anggota Rela melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian seorang lelaki dipercayai cuba mencuri lembu di sebuah ladang sawit di Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan pada Rabu lepas.

Lukeman berkata ia merupakan kes terpencil dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan.

Menurutnya bukan semua anggota Rela layak memiliki lesen senjata api kerana ia perlu melalui prosedur ketat serta pertimbangan teliti oleh PDRM.

"Walaupun permohonan lesen melalui Rela tetapi kita akan membuat tapisan dahulu sebelum mencadangkannya kepada PDRM bagi menentukan kelayakan atau keperluan pemohon," katanya.

Rela juga sentiasa memberi latihan penggunaan senjata yang betul dalam kalangan anggota dan memastikan mereka lulus prosedur yang ditetapkan bagi melayakkan mereka membaharui lesen senjata api.

Dalam perkembangan lain, katanya Rela sentiasa memantau pelbagai isu berkaitan anggotanya melalui unit integriti yang diwujudkan bagi memastikan imej dan persepsi positif jabatan itu dipelihara.

Militan Somalia Bunuh 28 Penumpang Bas di Kenya


Diterbitkan: Sabtu, 22 November 2014 6:01 PM

GARISSA, Kenya: Sekumpulan lelaki bersenjata menahan sebuah bas di timur laut Kenya berdekatan sempadan Somalia awal hari ini dan membunuh 28 penumpang dalam serangan hendap yang didakwa polis dilakukan oleh kumpulan Shebab.

Serangan terbaharu yang dilancarkan kumpulan Shebab di Kenya itu berlaku seminggu selepas serbuan polis ke atas beberapa masjid di bandar pelabuhan Mombasa hingga mencetuskan ketegangan di bandar bergolak itu.

"Saya boleh sahkan bahawa...28 penumpang yang tidak bersalah dibunuh dengan kejam oleh anggota kumpulan Shebab," kata Ketua Polis Wilayah, Noah Mwavinda, merujuk kepada kumpulan militan Somalia.

Kumpulan lelaki bersenjata itu menyerang hendap bas yang dalam perjalanan ke Nairobi, beberapa kilometer selepas meninggalkan Mandera, sebuah bandar yang terletak di sempadan Somalia di timur laut Kenya.


Kira-kira 60 penumpang diarah turun dari bas itu dengan lelaki bersenjata itu memisahkan mereka ke kumpulan beragama Islam dan bukan Islam.

Anggota militan itu kemudian menaiki bas bersama penumpang bukan Islam dan cuba meninggalkan tempat itu, namun gagal kerana kenderaan berkenaan tersekat.

"Jadi mereka membunuh semua tahanan sebelum melarikan diri ke Somalia," kata Mwavinda.

Pasukan Palang Merah Kenya mengesahkan angka korban itu menerusi Twitter selepas tiba di tempat kejadian.

Pembunuhan itu berlaku seminggu selepas seorang penduduk ditembak mati manakala lebih 350 yang lain ditahan susulan serbuan pasukan keselamatan Kenya ke atas beberapa masjid di Mombasa bagi mencari senjata dan penyokong Shebab. 

Gempa kuat gegar barat China, 1 maut

BEIJING: Gempa bumi kuat menggegarkan kawasan pergunungan di barat China hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang mati serta kerosakan kecil pada bangunan, menurut pegawai dan media kerajaan.
Menurut USGS, gempa bumi bermagnitud 5.9 itu berlaku pada kedalaman 14.6 kilometer. Ia berlaku pada lewat tengah hari kira-kira 30 kilometer dari bandar Kangding di wilayah Sichuan.
Agensi seismologi China menyatakan ia bermagnitud 6.3.
Menurut agensi berita Xinhua, seorang wanita berusia 70-an meninggal dunia apabila dihempap bingkai tingkap.
Seorang pegawai kerajaan wilayah Kangding berkata, gempa bumi itu berlaku hanya beberapa saat dan terdapat laporan bangunan retak dan tembok runtuh. - AP

3 suspek terbabit kegiatan IS ditahan - KPN

KUALA LUMPUR: Tiga suspek termasuk dua wanita berusia antara 28 hingga 34 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam mengendalikan beberapa akaun Facebook yang ada kaitan dengan kumpulan Negara Islam (IS) di Syria.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ketiga-tiga suspek itu juga disyaki terbabit dalam aktiviti pengumpulan dana yang ada kaitan dengan aktiviti rakyat Malaysia ke Syria bagi menyertai kumpulan berkenaan.
"Semua suspek adalah rakyat Malaysia dan seorang daripada suspek yang berusia 34 tahun adalah isteri kepada individu yang dituduh atas kesalahan menghasut, menggalak atau memperoleh harta bagi pelakuan keganasan pada 11 November lalu.
"Seorang lagi suspek wanita yang berusia 28 tahun bekerja sebagai pengurus acara di Kuala Lumpur manakala suspek ketiga pula seorang lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai Penolong Eksekutif di sebuah badan berkanun," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khalid berkata, ketiga-tiga suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan Akta 574 Kanun Keseksaan yang boleh disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

H5N8: Belanda musnahkan 8,000 itik

AMSTERDAM: Pihak berkuasa kesihatan memusnahkan 8,000 itik bagi mengelak kemungkinan penularan wabak selesema burung yang sudah menjangkiti tiga ladang ternakan dalam masa seminggu di Belanda, antara pengeksport utama unggas dan telur.
Menurut satu kenyataan kerajaan, itik berkenaan sedang dimusnahkan di bandar Barneveld sebagai langkah berjaga-jaga kerana pihak berkuasa mahu menghapuskan segala risiko virus H5N8 tersebar ke tiga daripada 12 negeri sejak Ahad lalu.
Operasi pengosongan di ladang ternakan itik di Barneveld itu akan meningkatkan bilangan haiwan yang dimusnahkan sejak jangkitan pertama dikesan pada 211,000 unggas Ahad lalu.
"Tindakan ini perlu dilakukan bagi mengelak penularan wabak seperti pada 2003 apabila 30 juta ayam dimusnahkan," menurut kenyataan itu. - Reuters

Letupan di Hyatt Regency London, 5 masuk hospital

LONDON: Lima orang dimasukkan ke hospital lewat malam tadi berikutan kecederaan yang dialami susulan letupan gas di bilik bawah tanah di hotel Hyatt Regency di London, menurut perkhidmatan kecemasan.
Bomba London menyatakan kira-kira 400 orang dibawa keluar dari hotel di Berkeley Mews itu selepas letupan menyebabkan kerosakan besar pada tingkat bawah bangunan itu.
Seorang jurucakap wanita Hyatt berkata, sekurang-kurangnya 12 kakitangan dirawat kerana mengalami kecederaan manakala tiada pelanggan yang cedera.
Pelanggan ditempatkan di hotel berhampiran manakala kerosakan pada bangunan sedang dinilai. - Reuters

Dua wanita ditahan Polis Cawangan Khas


Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Bukit Aman menahan tiga individu termasuk dua wanita disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas di Syria, malam tadi.
Operasi antara 10 malam hingga 12 tengah malam itu dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata semua suspek rakyat tempatan itu berusia 28 hingga 34 tahun.
"Seorang daripada suspek juga adalah isteri kepada individu yang dituduh pada 11 November lalu atas kesalahan menghasut, menggalak atau memperoleh harta bagi pelakuan tindakan keganasan.
"Dua lagi suspek bekerja sebagai pengurus acara dan penolong eksekutif di sebuah badan berkanun," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semua suspek disyaki terbabit dalam mengendalikan beberapa akaun Facebook yang ada kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam di Syria.
"Selain itu, mereka turut dipercayai terbabit dalam aktiviti pengumpulan dana bagi aktiviti penghantaran rakyat Malaysia ke Syria," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:46 P
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10948#sthash.41Jk93bm.dpuf

Jurujual maut dalam kolam renang

Oleh Yusmawati Mhd Yusof 

yusmawati_yusof@hmetro.com.my





Melaka: Seorang jurujual lelaki maut ketika berenang di Kompleks Kolam Renang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bandar Hilir, di sini, 8 malam tadi.
Difahamkan, Eng Che Huan ditemui lemas di dasar kolam oleh penjaga kolam.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, mangsa yang berasal dari Ayer Hitam, Johor ditemui didasar kolam pada kedalaman kira-kira 4 meter.
"Pasukan penjaga kolam yang menyedari kejadian membawa mangsa naik ke tepi kolam dan melakukan bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya.
"Pasukan paramedik yang tiba jam 8.10 malam kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa polis ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya.
Menurutnya, susulan kejadian kompleks berkenaan ditutup sehingga hari ini dan beroperasi semula esok.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 4:59 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10945#sthash.Je3gV7YC.dpuf

Empat dicekup tanpa benang


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

srul@hmetro.com.my

Kuantan: Empat pelacur warga Vietnam berusia antara 25 tan 30 tahun ditahan ketika asyik melayan pelanggan dalam serbuan Ops Sayang oleh Jabatan Imigresen Pahang di rumah urut di Jalan Sri Kuantan, di sini, malam tadi.
Operasi sejam bermula 7.30 malam itu, membabitkan 10 pegawai diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Mohd Rosli Mat Nun selepas mendapat aduan awam berhubung kegiatan tidak bermoral di premis itu.
Mohd Rosli berkata, premis yang berselindung di rumah urut itu menawarkan khidmat layanan seks dengan bayaran kira-kira RM170.
“Ketika ditahan, segelintir daripada pelacur berkenaan dalam keadaan bogel. Kita turut menahan majikan wanita itu, lelaki tempatan berusia linkungan 40-an yang berada di kaunter premis di tingkat satu.
"Semua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah. Kita percaya premis itu sudah beroperasi hampir setahun," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 4:29 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10943#sthash.kWUWiBLG.dpuf

20 rumah setinggan di Silam hangus


KEADAAN rumah yang musnah hangus dijilat api dalam kebakaran mengakibatkan 20 keluarga tinggal sehelai sepinggang di Kampung Pangkalan, Silam di sini, awal pagi tadi. - Foto Latif Ahmad
LAHAD DATU: Sebanyak 20 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan, Silam di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu menerima panggilan kecemasan pada 12.14 pagi dan sepasukan lapan anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
"Kebakaran dapat dikawal pada 1.20 pagi," katanya dalam kenyataan di sini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat. - BERNAMA

Ular sawa sebesar anaconda telah berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Kota Tinggi semalam.

Ular sawa sebesar anaconda telah berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Kota Tinggi semalam. - gambar: Mohd Hafizzi Ismail(FB) ,DAily TRaffic REport


Kacau Isteri Petinju, Sekumpulan Samseng Terima Padah




Diterbitkan: Sabtu, 22 November 2014 1:54 PM

SEORANG petinju profesional Rusia membelasah sekumpulan samseng selepas mereka mengganggu isterinya.

Nicolai Vlasenko, 29, melihat sekumpulan lelaki mengganggu isterinya sebaik sahaja dia keluar daripada tandas dan meminta agar tidak berbuat demikian.

Tidak berpuas hati dengan teguran tersebut, kumpulan tersebut mengajak Vlasenko keluar dari kelab untuk berbincang lebih lanjut.

Salah seorang ahli kumpulan tersebut, Leonti Yevdokimov,33, mendakwa dirinya sebagai ketua kumpulan dan turut memberitahu bahawa kumpulan mereka menguasai sebuah bandar di Rusia.
Nikolai Vlasenko
Selain berpengalaman sebagai petinju, Vlasenko juga mempunyai kelebihan dalam seni mempertahankan diri.
|Nicolai Vlasenko
Salah seorang kumpulan samseng itu menarik baju Vlasenko sebelum dia bertindak menghayunkan buku limanya ke dada lelaki itu.

Malah seorang lagi samseng yang cuba melawan turut dijatuhkan Vlasenko, manakala lelaki ketiga ditampar dimuka.

Selepas melihat tiga rakannya dibelasah Vlasenko, beberapa lagi ahli samseng itu terus beredar.

Ahli kumpulan samseng yang dibelasah itu kemudiannya melantik peguam dan melaporkan kepada polis bahawa mereka diserang oleh Vlasenko.

Bagaimana pun pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan selepas menonton rakaman CCTV yang menyaksikan kumpulan tersebut memulakan pergaduhan terlebih dahulu.|
|Nicolai Vlasenko
Manakala peguam kepada Vlasenko berkata: "Vlasenko bertindak kerana mereka mengganggu isterinya.

"Dia bersedia untuk berbincang dengan baik ketika di luar kelab, namun mereka menolaknya terlebih dahulu sebelum dia memukul kumpulan itu sebagai tindakan mempertahankan diri".

Kicap tiruan dirampas


Pasukan penguat kuasa KPDNKK menjalankan operasi di sebuah kedai runcit di Taman Sri Subang, semalam.
Pasukan penguat kuasa KPDNKK menjalankan operasi di sebuah kedai runcit di Taman Sri Subang, semalam.
SUBANG JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membongkar kegiatan penghasilan kicap tiruan yang dijual secara berleluasa di pasaran.

Kicap diisi di dalam pelbagai saiz botol itu dikesan dipasarkan secara meluas kepada kedai runcit dan pemborong tempatan dengan memalsukan jenama kicap terkenal.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan pegawai KPDNKK bertindak menyerbu beberapa premis kedai runcit di Taman Sri Subang di sini, yang dikesan menjual kicap tiruan kepada orang ramai.

Dalam serbuan jam 11.30 pagi semalam, pihak KPDNKK menemui berpuluh botol kicap yang dijual dirak kedai berkenaan.

Sumber KPDNKK menjelaskan, pemeriksaan turut disertai wakil pemilik kicap itu bagi mengenal pasti sama ada kicap dijual itu dikeluarkan syarikat sah di Indonesia.

“Bagaimanapun pemeriksaan mendapati terdapat kelainan pada botol kicap dan kandungan pada kicap itu yang didapati mempunyai rasa serta kandungan berbeza

“Kelainan boleh dilihat pada penutup botol kicap yang mempunyai warna berlainan dari botol kicap asal,” katanya.

Hasil serbuan, sebanyak 61 botol kicap yang disahkan sebagai kicap palsu. Setiap botol kicap itu berharga antara RM4 hingga RM6 setiap satu.

Difahamkan KPDNKK masih menyiasat sumber kicap itu diperolehi dan pemborong yang membekalkan kicap itu.

Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Warga emas disamun RM56,900


Kelihatan mangsa diseret dua suspek menuju ke kereta putih yang dinaiki oleh kumpulan penjenayah tersebut.
Kelihatan mangsa diseret dua suspek menuju ke kereta putih yang dinaiki oleh kumpulan penjenayah tersebut.
SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas, mengalami kerugian RM56,900 selepas disamun oleh empat lelaki bersenjatakan parang di Jalan Rasah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian, kira-kira jam 12.20 tengahari itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an, diseret dua lelaki ke dalam sebuah kereta berwarna putih, selepas dia mengeluarkan wang dari sebuah bank, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, siasatan awal mendapati mangsa dilarikan sekumpulan suspek berusia lingkungan 30-an, sehingga ke Pedas, sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan terikat di Ulu Kancong.

“Hasil keterangan mangsa, kita dimaklumkan semasa mangsa dilarikan itu, dia berada dalam keadaan mata tertutup (diserkup dengan kain) dan tangan diikat dengan menggunakan pita pelekat.

“Setibanya di Ulu Kancong Rantau, mangsa kemudiannya diturunkan dan ditinggalkan dalam keadaan tangan terikat.

“Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh orang awam, yang melalui jalan tersebut dan kemudian dibawa ke Balai Polis Pedas untuk membuat laporan,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan menerima empat jahitan akibat terkena parang yang dilibas suspek.

Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah Kilinik Kesihatan di Pedas, untuk mendapatkan rawatan susulan.

Kata Muhamad Zaki, kes akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa melakukan samun.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta untuk tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan untuk membantu siasatan, atau menghubungi di talian, 06-7682222 Balai Polis Seremban 2," katanya.

Sementara itu, video berdurasi 32 saat yang dipercayai mempunyai kaitan kes samun berkenaan kini menjadi viral apabila ia dimuat naik oleh seorang saksi kejadian, dikongsi ramai pengunjung di laman sosial.

Dua maut kereta dinaiki terbabas


Keadaan kenderaan yang terbabas dan menyebabkan pemandu dan seorang penumpang maut awal pagi semalam.
Keadaan kenderaan yang terbabas dan menyebabkan pemandu dan seorang penumpang maut awal pagi semalam.
SUBANG JAYA – Dua maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki ketiga-tiganya terbabas berdekatan bulatan Kewajipan dari arah Sunway menuju ke Subang Jaya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.39 pagi, pemandu kereta jenis Audi tersebut dipercayai ingin membuat pusingan U berhampiran bulatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bagaimanapun kenderaan dipandu terbabas lalu melanggar tiang konkrit di pusingan U tersebut.

Rempuhan kuat menyebabkan kesemua penumpang termasuk di bahagian belakang tersepit dan mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta dikenali sebagai Lim Jean Hee, 31, beralamat di Jalan Petaling Utama, Petaling Jaya dan penumpang bahagian belakang, J Prabagaran, 41, dari Jalan Wawasan 5/3, Pusat Bandar Puchong.

Manakala penumpang di bahagian depan dikenali sebagai Fong Kim Woon, 28, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu terbabas ketika pemandu cuba membuat pusingan U, dua mangsa disahkan maut serta-merta di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiga rumah musnah di Kampung Jawa


Oleh Yusmawati Mhd Yusof

yusmawati_yusof@hmetro.com.my
Melaka: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa, di sini, kira-kira 1 pagi ini.
Kejadian disedari jiran berusia 26 tahun selepas terhidu bau asap ketika di rumahnya.
Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri, Baharom Muhamad Hasim, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 1.07 pagi.
"Tiga jentera dengan kekuatan 25 anggota termasuk pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu dan Bukit Katil ke lokasi.
"Ketika tiba api sedang marak dan kebakaran dapat dikawal, pada 1.28 pagi. Api berjaya dipadam sepenuhnya, pada 2.30 pagi," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kebakaran mengakibatkan dua rumah yang tidak berpenghuni musnah manakala sebuah lagi terbakar 60 peratus.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 4:26 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10942#sthash.z0RP6oVK.dpuf

1 maut, 4 parah pergaduhan dua kongsi gelap

SABTU, 22 NOVEMBER 2014 @ 3:58 PM

 
TEMERLOH: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di Bukit Bendera, Mentakab dekat sini awal pagi ini, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Datuk Zakaria Ahmad, berkata dalam pergaduhan kira-kira 3.20 pagi itu, P Arasu, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Polis percaya sebuah motosikal diletakkan di atas badan mangsa yang cedera parah sebelum motosikal berkenaan dibakar," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hari Zakaria berkata, pergaduhan di hadapan rumah Persatuan Kebajikan Sukan dan Rekreasi di Bukit Bendera itu melibatkan penggunaan senjata tajam seperti besi dan kayu.

Katanya, empat mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk rawatan dan akan ditahan untuk siasatan.

"Polis sedang memburu anggota kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta kesalahan merusuh," katanya.

- BERNAMA

Jika sudah ajal...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

am@hmetro.com.my
Machang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dalam lubang takungan air sedalam kira-kira 1.8 meter, dalam kejadian di Taman Rahda, Pulai Chondong, di sini.
Kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Zaty dan meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik berhampiran, dalam kejadian 6.10 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Komisioner Loo Lian Lay, berkata mangsa dikatakan terjatuh ketika sedang bermain bersama dua adiknya di tepi lubang berkenaan.
Katanya, kejadian disedari seorang orang awam yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, saksi tidak sempat membantu kerana mangsa sudah tenggelam dalam lubang itu. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 3:30 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10940#sthash.LYJ3ypAx.dpuf

3 das henti kenderaan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua lelaki Afrika yang dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara berjaya ditahan berdekatan sebuah pusat beli-belah di Kepong petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, sepasukan polis dari IPD Seberang Perai Utara membuat intipan untuk menahan kedua-dua suspek berdekatan pusat beli belah itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika itu, kedua-dua suspek keluar dari pusat beli-belah dan menuju ke arah sebuah kereta Perodua Myvi.
Katanya, apabila polis menghampiri suspek, mereka meluru masuk ke dalam kenderaan dan cuba melarikan diri dengan melanggar anggota polis.
"Pegawai berkenaan terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta yang dinaiki suspek untuk memberhentikan kenderaan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:19 AM


POLIS memeriksa kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10922#sthash.4cgOPROI.dpuf

Polis, tentera gempur Cameron Highlands waktu malam - PM



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Sairien Nafis
SERDANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan anggota ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan pembukaan tanah secara haram di situ pada waktu malam, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil susulan perbincangannya dengan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, berdasarkan laporan bahawa kegiatan itu sering dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) pada waktu malam.
"Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain) untuk menghantar anggota masing-masing supaya pada waktu malam kita akan membuat rondaan yang lebih menyeluruh dan kalau ada kegiatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2014, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.
Berhubung kebanjiran PATI di kawasan tanah tinggi itu, beliau berkata, penguatkuasaan lebih tegas dan berkesan akan dijalankan melalui kerjasama antara kerajaan negeri Pahang dan Kerajaan Pusat.
Najib berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan melawat kawasan tanah tinggi itu Isnin ini bersama-sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Saya berharap hasil lawatan dan perbincangan bersama itu, kita akan membuat tindakan yang lebih berkesan dan kelemahan-kelemahan dari segi penguatkuasaan selama ini akan berubah kepada satu bentuk penguatkuasaan lebih serius dan berkesan lagi," katanya.
Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 November lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.
- BERNAMA

3 maut, 11 cedera letupan di lombong arang batu di Sri Aman


Oleh Mohd Roji Kawi
SRI AMAN: Tiga maut manakala 11 lagi cedera parah dalam kejadian letupan di lombong arang batu di Silantek, Pantu, di sini, 11 pagi tadi.
Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai warga Myanmar, Korea dan Indonesia.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.32 pagi dan enam anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, anggota bomba mengambil masa satu jam untuk tiba di lokasi kejadian yang jaraknya 62 kilometer dari Balai Bomba Sri Aman pada jam 12.40 tengahari tadi.
"Letupan berlaku pada jarak 150 meter di dalam terowong dan sehingga kini tiada mangsa terperangkap," katanya.

Tiga terbunuh, 14 cedera

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

rabiatul@hmetro.com.my
Sri Aman: Tiga pekerja terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam letupan lombong arang batu di Selantik, Pantu Sri Aman, di sini, 10.20 pagi ini.
Mengikut maklumat awal Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.32 pagi.
Katanya, satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba Sri Aman bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 100 kilometer dari lokasi kejadian.
Laporan awal daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman memaklumkan turut mengsahkan tiga terbunuh dalam kejadian itu.
Identiti mangsa belum diketahui. Mangsa yang cedera dan mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, difahamkan, ketiga-tiga korban lombong berkenaan adalah warga asing terdiri daripada Myanmar, Korea dan Indonesia
Turut difahamkan, letupan berlaku kira-kira 150 meter dalam terowong berkenaan dan tiada mangsa dilaporkan terperangkap.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 3:02 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10937#sthash.aRVjP7w6.dpuf