Search This Blog

Wednesday, November 19, 2014

OKU rugi RM16,000 dilarikan isteri kedua


Gambar hiasan
Gambar hiasan
MUAR - Sudah jatuh, ditimpa tangga. Begitulah nasib menimpa seorang lelaki OKU apabila dikhianati isteri sendiri yang menghilangkan diri bersama wang tunai berjumlah RM16,000, Selasa lalu di Lenga.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, wang tersebut hasil kutipan bersama rakan mangsa untuk menjalankan tanaman kelapa sawit secara berkelompok.

“Mangsa berusia 59 tahun menyedari kehilangan wang itu yang disimpan dalam almari sebaik sahaja bangun daripada tidur selepas melihat pintu almari terbuka, kira-kira jam 2 petang.

“Lebih mengejutkan apabila barang milik isterinya yang berusia 33 tahun juga sudah tiada dalam almari berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa cuba menghubungi telefon bimbit isterinya tetapi tidak berjaya dan kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Beliau berkata, mangsa mengahwini isterinya yang berstatus penduduk tetap (PR) berasal dari Thailand itu pada 2009 selepas kematian isteri pertamanya.

“Mangsa mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu dan bekerja sebagai pekebun.

“Kita sedang giat mengesan isteri mangsa dan meminta orang awam yang terlihat atau mengenali suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Maut diseret sejauh tiga meter


Anggota forensik memeriksa mayat mangsa yang terperosok di bawah treler.
Anggota forensik memeriksa mayat mangsa yang terperosok di bawah treler.
SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila dia digilis sebelum diseret sebuah treler membawa muatan tong gas, sejauh kira-kira tiga meter dalam kemalangan di Jalan Mambau - Port Dickson, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.50  pagi itu, mangsa A. Chinnapan, 59, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat digilis treler yang merempuh motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki mangsa.

Pegawai Bomba Kanan II,  Badrotamam Abd Rahim berkata, sebaik saja anggotanya tiba di tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, terdapat seorang lelaki yang tidak lagi bernyawa berada di bahagian bawah lori.

Menurutnya, kaki kanan mangsa parah akibat tersangkut di antara dua tayar lori berkenaan, manakala kaki kiri pula hancur dan jari tangan putus dipercayai akibat diseret.

“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa terselit di bahagian bawah lori sehingga menyebabkan kakinya tersangkut. Bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Berdasarkan kesan di tempat kejadian, kita percaya mangsa diseret selepas digilis treler berkenaan.

"Sementara pembonceng yang juga merupakan isteri mangsa pula tercampak di belakang lori, selain mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku sewaktu kedua-dua kenderaan yang datang dari arah Seremban  itu berada di persimpangan sebuah stesen minyak di situ.

Semasa tiba di lokasi kejadian, katanya, pemandu treler berkenaan cuba membelok ke kiri untuk menuju ke stesen minyak, bagaimanapun bergesel dengan motosikal milik mangsa.

“Mangsa dan isteri terjatuh, sebelum digilis lori treler berkenaan. Manakala pemandu lori yang berusia 37 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Isteri mangsa masih dirawat di zon merah dan masih tidak sedarkan diri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pemandu treler itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Bakar bilik selepas pecah masuk


Rohini (kiri) dan anaknya meneliti keadaan bilik tidur kedua rumahnya yang dibakar pencuri.
Rohini (kiri) dan anaknya meneliti keadaan bilik tidur kedua rumahnya yang dibakar pencuri.
BAGAN SERAI -  Kejam. Itulah ungkapan sesuai dilabelkan terhadap sekumpulan pencuri  mencetuskan kebakaran di rumah yang dipecah masuk dan hampir meragut nyawa tiga penghuni dalam kejadian di Taman Serai Indah, di sini awal pagi semalam.

Mangsa, A Rohini, 60, berkata, dalam kejadian jam 4 pagi, dia tidur bersama cucu berusia lima tahun di ruang tamu sebelum terjaga akibat terdengar bunyi aneh di bahagian siling rumah.

Menurutnya, apabila memandang siling itu, dia terkejut melihat kelibat seorang lelaki dan memakai penutup muka turun dari siling sambil memegang sebilah parang.

“Tergamam melihat kelibat itu, saya berpura-pura tidur dan dapat merasakan suspek cuba memastikan saya, cucu serta suami yang tidur di bilik tidur utama tidak menyedari kehadirannya.

“Beberapa minit kemudian, secara curi-curi saya lihat  suspek menuju ke arah dapur dan membuka pintu menggunakan kunci yang berada di tepi pintu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Rohini berkata, sebaik pintu dibuka, empat lagi suspek yang turut menutup muka dan bersenjata memasuki rumahnya.

Jelasnya, tiga daripada lima suspek kemudian masuk ke bilik sembahyang terletak bersebelahan dapur dan mencuri tabung yang disimpan di situ.

"Manakala dua lagi memasuki bilik tidur utama dan kedua, mereka mencuri wang tunai RM10,000 serta barang kemas bernilai RM20,000.

"Kumpulan itu turut mengambil sebuah televisyen dan dua telefon pintar," katanya.

Rohini berkata, apabila kesemua suspek keluar dari rumah dia berasa lega namun, tidak menyangka salah seorang suspek berpatah balik dan mencetuskan kebakaran dalam bilik tidur kedua.

Menurutnya, sebaik melihat api dalam bilik itu, dia  segera mengejutkan suami dan cucu untuk keluar dari rumah.

“Kami semua sempat keluar dari rumah dan saya segera ke rumah jiran untuk minta tolong,” katanya.

Seorang jiran enggan dikenali berkata, dia kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bagan Serai dan polis.

“Saya tidak menyangka rumah Rohini akan dibakar oleh pencuri kerana tiada laporan kes kecurian berlaku di taman ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyatakan  berdasarkan siasatan, kebakaran dipercayai dicetuskan suspek bertujuan untuk mengalih perhatian mangsa.

Pemandu maut lori kena rempuh


Keadaan lori yang dipandu mangsa. Gambar kecil: Wong Choong Fook
Keadaan lori yang dipandu mangsa. Gambar kecil: Wong Choong Fook
TAPAH – Seorang maut, sementara dua yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 328.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 malam itu, mangsa Wong Choong Fook, 55, yang memandu lori muatan kacang tanah dari Ipoh ke Kuala Lumpur maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, sebuah pacuan empat roda dinaiki dua lelaki berusia 31 dan 34 tahun merempuh belakang lori dipandu mangsa.

“Rempuhan menyebabkan lori dipandu mangsa terbabas dan terbalik ke bahu jalan.

"Manakala pacuan empat roda berpusing ke kanan dan berhenti melawan arus,” katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati pemandu lori itu cedera di beberapa anggota badan.

"Dua lagi mangsa turut cedera dengan seorang daripadanya patah kaki kiri.

“Pemandu pacuan empat roda ditahan bagi bantu siasatan, bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Tiga cedera kemalangan


Keadaan kereta Perodua Kelisa yang terlibat dalam kemalangan dengan enam kenderaan lain, kelmarin.
Keadaan kereta Perodua Kelisa yang terlibat dalam kemalangan dengan enam kenderaan lain, kelmarin.
IPOH - Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran Gopeng terpaksa berhadapan dengan kesesakan sepanjang dua kilometer selama lebih satu jam akibat kemalangan yang melibatkan enam kenderaan, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa berkata, kemalangan turut menyebabkan penumpang tiga kereta lain mengalami kecederaan ringan.

“Kami menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.16 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, salah seorang mangsa berusia 57 tahun tersepit dan berkaya dikeluarkan dan di hantar ke Hospital Tapah untuk rawatan.

“Dua gadis berusia 19 dan 17 tahun dipercayai anak pemandu kereta terbabit patah tangan dan mengalami luka pada anggota badan.

“Kedua-dua gadis terbabit telah dikeluarkan daripada kenderaan tersebut dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya yang memberitahu pihaknya turut dibantu anggota dan pegawai bomba Tapah.

Kereta nyaris masuk tasik


Bahagian hadapan kereta rosak akibat merempuh benteng simen di atas jambatan.
Bahagian hadapan kereta rosak akibat merempuh benteng simen di atas jambatan.
GERIK - Lima anggota tentera berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki mereka hampir terjunam ke dalam Tasik Banding, di sini, selepas kenderaan mereka merempuh pagar besi di jambatan berhampiran Belum Rainforest Resort.

Kejadian kira-kira jam 3.00 petang di KM 35.5 Jalan Raya Timur-Barat berlaku apabila Perodua Myvi tersebut yang dipandu terbabas sebelum merempuh pagar di jambatan tersebut.

Kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Kelantan ke Taiping.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Asisten Superintendan Mohd Zamzuri Mat Nawi berkata, kereta tersebut berpusing selepas merempuh benteng simen sebelum bahagian belakang kereta merempuh pagar jambatan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pagar jambatan patah dan terjatuh ke dalam tasik sehingga bahagian belakang kereta terkeluar sedikit daripada jambatan.

“Tayar belakang bahagian kiri telah melepasi jambatan tetapi tayar hadapan bahagian kiri tersangkut pada benteng jambatan menyebabkan kereta itu tersangkut,” katanya.

Beliau berkata, semua penumpang dalam kereta berkenaan bergegas keluar dari kenderaan tersebut bagi menyelamatkan diri dari terjunam ke dalam Tasik Banding.

“Kejadian berlaku ketika hujan renyai dan rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit rosak. Bagaimanapun, pemandu dan semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta dipercayai  dipandu dengan laju sebelum terbabas. Permukaan jalan yang licin menyebabkan kereta tidak seimbang dan terbabas.

“Tahun lalu sebuah treler turut terbabas di tengah jambatan Tasik Banding menyebabkan bahagian kepala treler melepasi jambatan tetapi bernasib baik tidak terputus daripada bahagian badan yang melintang di atas jambatan,” katanya.

18 GRO Vietnam tak sempat lolos


Sebahagian wanita warga Vietnam ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di sebuah premis di Taman Johor Jaya, awal pagi, semalam.
Sebahagian wanita warga Vietnam ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di sebuah premis di Taman Johor Jaya, awal pagi, semalam.
JOHOR BAHRU - Seramai 18 wanita warga Vietnam ditahan ketika sedang melayan pelanggan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Johor di sebuah premis karaoke di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya di sini, awal pagi semalam.

Serbuan dilakukan pada kira-kira jam 12.20 pagi, semalam selepas beberapa pegawai penguatkuasa melakukan penyamaran sebagai pelanggan bagi mengesan kegiatan yang dilakukan.

Ketika serbuan, sebahagian wanita warga asing yang terkejut dengan kehadiran pegawai penguatkuasa turut bertindak melarikan diri dan bersembunyi di dalam bilik air untuk mengelak dicekup.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Khairulanuar Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan selepas menerima aduan orang awam dan seramai 27 orang telah diperiksa dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan itu seramai 18 wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, semua mereka didapati pekerja di premis berkenaan dan mempunyai nombor badan masing-masing,” katanya.

Dalam pada, dua lelaki warga tempatan berusia 36 dan 40 tahun yang  jugapengurus premis berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Khairulanuar berkata, operasi tamat kira-kira jam 1 pagi dan semua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa Kompleks KDN Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Padah dera kucing

Oleh Murni Wan Omar

murni@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pemilik pusat penjagaan kucing dan pekerjanya dikenakan hukuman denda masing-masing RM800 dan RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan terhadap 17 ekor kucing termasuk empat yang sudah mati.
Majistret Zura Syazween Hamizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Helmy Jasman Sulaiman, 27, dan Norhazlin Ibrahim, 39, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Helmy Jasman dan Norhazlin didakwa bersama-sama melakukan atau menyebabkan kesakitan dan kesengsaraan yang tidak munasabah terhadap 17 ekor kucing itu.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Jagaan Kucing Omiey Home, Kampung Melayu Kepong pada jam lebih kurang 11.30 pagi, 3 April lalu.
Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Helmy Jasman dalam rayuannya mendakwa kucing yang dihantar ke pusat jagaannya berada dalam keadaan sakit dan ada juga yang kudung.
Kedua-dua mereka membayar denda itu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 3:08 PM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10171#sthash.xsSDB68Z.dpuf


Samseng kena dakwa

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
Petaling Jaya: Seorang lelaki yang gambarnya tersebar di laman sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kereta serta membuat ugutan jenayah terhadap seorang pembantu peribadi, dua hari lalu.
Pengarah syarikat konsultan Khoo Kok Ann, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan kereta dan meludah ke arah cermin hadapan kereta Perodua Kenari warna putih milik Alisa Thean Wei Yun, 45.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap mangsa yang sama dengan menghalang laluan perjalanan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 12:52 PM


KOK ANN didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Farizul Hafiz Awang
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10155#sthash.beZnpZbk.dpuf

Artis ditahan positif syabu


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Gombak: Seorang penyanyi dan pelakon lelaki berusia 35 tahun ditahan di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Selayang kerana memiliki satu peket dadah syabu jam 2 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Muhammed Hasbullah Ali ketika dihubungi berkata, hasil pemeriksaan ke atas artis terbabit menemui satu peket lutsinar dadah jenis syabu seberat 0.3 gram dalam gengaman tangan kiri.

Menurutnya, polis kemudian membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk menjalani ujian air kencing dan disahkan positif dadah syabu.

"Suspek kini ditahan dan akan direman esok bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan tangkapan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) ADB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 6:36 PM


Pembuli jalan: Pengarah syarikat didakwa


Kok An mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Petaling Jaya. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI
Kok An mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Petaling Jaya. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI
PETALING JAYA - Seorang pengarah syarikat konsultan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap dua pertuduhan melakukan khianat dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kenderaan serta membuat ugutan jenayah terhadap seorang pembantu peribadi dua hari lalu.

Khoo Kok An, 58, mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Salamiah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, Kok An didakwa melakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan kereta dan meludah ke arah cermin hadapan kereta Perodua Kenari putih milik Alisa Thean Wei Yun, 45.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap mangsa yang sama dengan menghalang laluan perjalanan.

Bagi kesalahan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) susur keluar Putrajaya atas jejambat Subang Jaya, jam 8 pagi, 17 November 2014.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes atas alasan kes itu mendapat perhatian umum.

Bagaimanapun peguam T. Geetha memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM1000 kerana kesalahan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan kes.

Balak haram bernilai RM5.5 juta dirampas dalam operasi di Sarawak



KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (tengah) bersama Pengarah Perhutanan Sarawak, Sapuan Ahmad (kanan) dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan ketika mengadakan sidang media di Kompleks DUN Sarawak, di sini petang tadi. - Foto Che Rani Che Din
PETRA JAYA: Sebanyak 22,306 balak haram bernilai RM5.5 juta dirampas dalam operasi khas di Miri dan Bimtulu yang dilancarkan Jabatan Hutan Sarawak sepanjang dua minggu lalu.
  Pengarah Perhutanan Sarawak, Sapuan Ahmad, berkata turut dirampas dua jentera yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pembalakan haram itu.
  Bagaimanapun, beliau berkata tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan yang turut disertai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  "Operasi ini dilakukan sebagai kesinambungan kejayaan Ops Khazanah Rimba yang dilaksanakan di Sibu, Oktober lalu.
  "Sebanyak tiga helikopter digunakan sepanjang operasi itu yang menyasarkan kawasan hutan di Bintulu dan Miri," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini petang tadi.
  Sapuan berkata, pihaknya turut menggunakan teknologi terkini yang dibangunkan Jabatan Hutan Sarawak yang dikenali sebagai 'Hyperspectral Sensing Applications' bagi melaksanakan operasi berkenaan.
  "Kami turut menggunakan maklumat penduduk tempatan yang tinggal berdekatan untuk mengenalpasti lokasi pembalakan haram itu," katanya.
  Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata beliau berpuashati dengan pelaksanaan operasi oleh Jabatan Hutan Sarawak bersama agensi penguat kuasa lain itu.
  Bagaimanapun, katanya, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengekang aktiviti pembalakan haram, sekali gus membanteras gejala rasuah dalam sektor pembalakan di negeri ini.
  "Kejayaan operasi ini cukup memuaskan, namun banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk kita membanteras aktiviti haram ini," katanya yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak.

Penyanyi lelaki ditahan miliki syabu



Oleh Fitri Nizam
KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi dan pelakon lelaki berusia 35 tahun ditahan di pekarangan sebuah pusat beli belah di Selayang, Gombak kerana memiliki dadah jenis syabu, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, suspek yang juga vokalis sebuah kumpulan pop rock terkenal di era 90-an itu ditahan dalam Operasi Tapis yang dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Muhammed Hasbullah Ali, ketika dihubungi, berkata penyanyi itu ditahan ketika berada di dalam Toyota Wish di lokasi itu.
Katanya, anggota bertugas kemudian menemui satu peket lutsinar berisi dadah dipercayai syabu seberat 0.3 gram yang digenggamnya.
"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Gombak untuk jalani ujian saringan air kencing sebelum mendapati dia positif dadah jenis syabu.
"Siasatan selanjutnya sedang dijalankan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.
Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Selayang untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut esok.

Maut terkena serpihan mesin rumput


Oleh Hadzlihady Hassan
Balik Pulau: Seorang lelaki maut selepas terkena serpihan mata mesin pemotong rumput ketika melakukan kerja pembersihan bersama empat rakannya di sebuah dusun durian di Balik Pulau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Mohamad Nazri Mohd Noor, 22, maut di lokasi kejadian selepas serpihan mata mesin pemotong rumput rakannya patah dan melayang terkena belakang bahu kirinya.
Menurut sumber, mangsa mengalami pendarahan teruk dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Sepasukan anggota forensik turut bergegas ke lokasi kejadian dan hasil siastan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 9:36 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10193#sthash.ZFCZfbIl.dpuf

Seorang lagi wanita maut akibat H5H1 di Mesir

RABU, 19 NOVEMBER 2014 @ 5:53 PM KAHERAH: Seorang wanita Mesir meninggal dunia semalam akibat selesema burung H5N1, kematian kedua dalam tempoh dua hari dan yang ketiga tahun ini. Agensi berita rasmi MENA memetik kenyataan Kementerian Kesihatan sebagai berkata, wanita berusia 30 tahun dari Wilayah Minya di selatan Kaherah meninggal dunia di hospital di Bandaraya Assiut. Isnin lalu, seorang wanita berusia 19 tahun juga maut akibat selesema burung di Assiut. Mesir mengenal pasti tujuh kes virus berkenaan tahun ini, termasuk tiga yang meninggal dunia. Kes H5N1 jarang berlaku dalam kalangan manusia dan virus berkenaan tidak merebak dengan begitu mudah antara manusia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara 2003 hingga 2 Oktober lalu, terdapat 668 kes H5N1 membabitkan manusia yang disahkan di makmal yang dilaporkan di 16 negara, dengan 393 meninggal dunia. Laman web Kementerian Kesihatan menyatakan Mesir mempunyai 180 kes selesema burung sejak 2006, dengan 66 atau 36 peratus adalah kes maut. - Reuters

Lebih 26,000 pendatang asing ditahan sehingga kelmarin

KUALA LUMPUR: Seramai 451 majikan dan 26,785 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan sejak Januari hingga kelmarin, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Beliau berkata, mereka ditahan dalam 4,893 operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara.
"Operasi berkenaan akan selalu dilaksanakan secara konsisten dalam usaha membanteras kehadiran PATI," katanya berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Undang-undang, Perintah dan Keadilan Jenayah 2014, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff.
Ahmad Zahid berkata, kestabilan politik dan kedudukan ekonomi negara yang baik adalah antara faktor utama kebanjiran PATI dan walaupun kehadiran mereka membawa manfaat kepada negara pada sesuatu tahap, mereka juga adalah cabaran hebat yang perlu dihadapi kerajaan.
"Ini termasuk isu PATI yang menyumbang kepada peningkatan jenayah seperti pecah rumah, jenayah seksual, pengedaran dadah, pengubahan wang haram malah pemerdagangan manusia," katanya.
Persidangan antarabangsa selama dua hari itu bertemakan "Sistem Keadilan Jenayah dalam abad ke-21: Semangat, Bentuk dan Cabaran" membabitkan hampir 90 penulis dan penulis bersama dari tujuh negara membentangkan 64 kertas kerja berkenaan perkembangan keadilan jenayah dalam sistem keadilan negara mereka.
- BERNAMA

Pelajar tingkatan satu korban pertama banjir

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Aminudin Ismail

am@hmetro.com.my

Permaisuri: Seorang pelajar Tingkatan Satu menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas terjatuh ke dalam telaga di Kampung Jelapang, Bandar Permaisuri, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Norsyakirah Izati Nazliza, 13, ditemui lemas di dalam telaga yang terletak di belakang rumah datuknya, Mat Daud Dollah, 73.
Sebelum kejadian, anak sulung daripada lima beradik itu dikatakan mengikut datuknya memukat ikan di bendang yang terletak kira-kira 25 meter dari rumah datuknya.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam telaga yang ditenggelami air yang terletak di dalam sawah ketika datuknya sedang memukat.
Beliau berkata, kejadian menimpa mangsa itu dilihat dua sepupunya yang segera memaklumkan kejadian itu kepada datuk mangsa.
"Telaga itu tidak dapat dilihat kerana dipenuhi air sebelum gerakan mencari mangsa dijalankan dengan bantuan penduduk kampung.
"Mangsa berjaya ditemui di penduduk kampung sebelum dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 8:58 PM



SEORANG daripada saudara menutup Nursyakirah Izzati Nazliza yang lemas. FOTO Aminudin Ismail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10192#sthash.xQbMaoGW.dpuf

Budak perempuan didera diselamat jiran


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Laporan polis yang dibuat seorang bapa mengenai kehilangan anak perempuan berusia 10 tahun akhirnya mendedahkan mangsa sebenarnya menjadi mangsa dera lelaki itu sejak beberapa bulan lalu dalam kejadian di Sungai Besi, di sini.
Difahamkan, mangsa berusia 10 tahun diselamatkan jirannya sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan di atas kecederaannya itu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, mangsa menjadi mangsa dera bapanya sejak beberapa bulan dan pihak polis sedang menunggu laporan hospital untuk siasatan lanjut.
"Mangsa dihantar ke HKL oleh jirannya pada 13 November dan kanak-kanak itu masih dirawat di HKL.
"Bapa mangsa yang berusia 31 tahun pula sudah ditahan untuk siasatan lanjut pada 15 November lalu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 6:29 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10187#sthash.7aKjPI9U.dpuf

Maut kerana tanah

Sri Aman: Seorang pesara tentera maut selepas kepalanya terhantuk pada kayu dalam pergaduhan membabitkan pembelian tanah di Chendong Selepong Jagu, di sini, pagi tadi.
Mangsa Chalik Tinggi, 59, disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi selepas 24 jam menerima rawatan di Hospital Sri Aman (HSA) akibat cedera parah di kepala.
Sumber berkata, kejadian berlaku pada jam 10 pagi kelmarin apabila suspek berusia 57 tahun bertandang ke rumahnya sebelum tercetus pergaduhan.
"Sebelum itu, suspek mencetuskan konflik berhubung hasrat untuk membeli tanah sawah dengan isteri mangsa namun dihalang. Tindakan itu menyebabkan suspek naik angin dengan mengambil racun lalu menyembur pada tanaman milik mangsa.
"Bagaimanapun, perbuatan suspek disedari mangsa menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati lalu bertandang ke rumahnya. Ketika itulah tercetus pergaduhan sebelum mangsa terjatuh menyebabkan kepalanya terkena kayu berhampiran rumahnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohammad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:23 PM


CHALIK meninggal dunia akibat parah di kepala.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10181#sthash.ABOR1Qdk.dpuf

Bas terjunam dalam sungai

Oleh Omar Osman

am@hmetro.com.my

Baling: Sebuah bas henti-henti terjunam ke dalam Sungai Muda dari Jambatan Muda berhampiran Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Ketil ke Sungai Petani.
Bagaimanapun, difahamkan pemandu bas serta tiga penumpang berjaya menyelamatkan diri dan dihantar ke Pusat Kesihatan Kuala Ketil untuk rawatan.
Pada masa ini, pasukan mencari dan menyelamat sedang melakukan usaha untuk mengesan jika masih terdapat penumpang lain di dalam bas terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:38 PM


FOTO Omar Osman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10185#sthash.lYwyxtt4.dpuf

Tanam wanita mengandung


Oleh Fuad Hadinata Yaacob

hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: Mayat seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang dipercayai mengandung ditemui ditanam dalam sebuah kubur sedalam kira-kira semeter di Kalumpang, Hulu Selangor, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, mayat yang ditanam di dalam ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Gumut Tambahan itu ditemui kira-kira jam 5 petang selepas polis menggali kubur berkenaan.
Menurutnya, anak saudara mangsa berusia 36 tahun menghubungi polis selepas dia dimaklumkan rakannya mengenai penemuan kubur berkenaan.
"Anak saudara mangsa kemudian menghubungi polis dan kita bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita menggali kubur itu dan menemui mayat berkenaan yang ditanam sedalam kira-kira semeter.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kita masih menyiasat sama ada mangsa mati akibat kecederaan atau ketika melahirkan anak," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Menurutnya, seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun yang tinggal serumah dengan mangsa ditahan polis untuk membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:32 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10182#sthash.AmrSmpfj.dpuf

Badai Salju Hantam Amerika, 4 Orang Tewas


badai salju
 iSETIDAKNYA empat orang dikabarkan tewas pada hari Selasa (18/11/2014) oleh badai salju ekstrem di Amerika. Pasalnya, badai salju telah menghantam pantai timur AS sejak sepekan lalu.
Dari keempat orang itu, tiga diantaranya tewas akibat serangan jantung dan satu lainya mengalami kecelakaan akibat terjangan badai. Cuaca ekstri itu diperkuat dengan hujan salju berat di Erie County, saluran TV lokal WKBW melaporkan.
Keadaan darurat telah diumumkan di daerah tersebut. Petugas bencana setempat kemudian membawa alat berat untuk mengevakuasi dan membersihkan salju yang menutup jalan raya.
Hari itu adalah suhu terdingin di bulan November sejak tahun 1976, demikian menurut meteorologi dari NBC. Suhu tersebut rata-rata 19,4 F atau -7 C.
Badai salju berat juga diperkirakan akan melanda wilayah Great Lakes pada hari Rabu (19/11/2014), khususnya di pantai timur Danau Erie dan Danau Ontario cenderung menerima salju lebih besar dari 18 inci dibandingkan dengan beberapa daerah di New York, menurut National Layanan cuaca.
Prakiraan mengatakan badai salju band itu yang akan bergerak ke arah utara menuju Buffalo, NY, pada Rabu pagi dan ke Niagara County, NY, pada tengah hari.
Lebih dari 50 persen dari benua Amerika ditutupi dengan salju pada Selasa pagi, demikian menurut National Weather Service. [fha/islampos/aa]

Inspektor maut motosikal rempuh lori


KUALA LUMPUR 19 Nov. – Seorang anggota polis berpangkat Inspektor maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan, malam tadi.
Menurut jurucakap polis, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.45 malam di Kilometer P5, Lebuh Raya Persiaran Putrajaya menuju Puchong melibatkan mangsa, Inspektor Mohd. Ismadi Mohd. Mohidin, 30, yang meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Putra Perdana, Puchong,
“Mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala setelah merempuh bahagian belakang sebuah lori yang mengalami kerosakan di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/inspektor-maut-motosikal-rempuh-lori-1.26611#sthash.3IA08s1y.dpuf

Syarikat Kurier Dari Guangzhou Jadi Medium Seludup Dadah


Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 6:04 PM

KUALA LUMPUR: Polis mengesan syarikat perkhidmatan kurier dari Guangzhou, China yang kurang dikenali digunakan sebagai medium oleh sindiket dadah didalangi warga Nigeria untuk menyeludup dadah ke negara ini.

Sindiket dadah warga Nigeria itu juga dipercayai telah mempunyai komuniti di negara berkenaan dalam menjalankan kegiatan jenayah itu.

Bagaimanapun, taktik licik sindiket itu yang sentiasa mengubah modus operandi mereka, terus dibongkar apabila polis merampas dadah jenis syabu seberat 21.9kg bernilai RM2.2 juta di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata polis turut menahan lima lelaki warga Nigeria berusia 27 hingga 40 tahun, dalam lima serbuan menerusi 'Ops Candle Fish' sejak Rabu lepas hingga Isnin.

"Sindiket ini menggunakan syarikat perkhidmatan kurier yang kurang dikenali bagi mengaburi pihak berkuasa mengesan kegiatan mereka yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menyorokkan bungkusan dadah," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lepas kira-kira 4.15 petang, polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas satu kotak berisi tujuh set 'Printer Catridge' yang mengandungi 1.03kg syabu yang disorok di dalamnya.

Sehari kemudian kira-kira pukul 7 malam, polis merampas sebuah kotak yang tidak dituntut di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya yang mengandungi 5.04kg syabu yang disorok di dalam 10 buah beg galas yang telah diubah suai, kata Noor Rashid.

"Sejam kemudian, polis menahan tiga lelaki warga Nigeria di hadapan pusat beli-belah Sunway Pyramid (di Petaling Jaya) dan merampas 2kg syabu yang disembunyikan di dalam plastik dan kotak makanan dalam kenderaan mereka.

"Dalam serbuan keempat pada Sabtu lepas kira-kira 1 tengah hari, polis menahan seorang lagi lelaki warga Nigeria di syarikat kurier di Petaling Jaya dan merampas empat buah kotak berisi empat silinder besi yang mengandungi dadah syabu seberat 8.6kg yang disorok di dalamnya," katanya.

Noor Rashid berkata dalam serbuan terakhir pukul 5.20 petang semalam, polis merampas dua buah kotak yang tidak dituntut di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya dan hasil siasatan mendapati kotak tersebut berisi 5.52kg syabu yang disorok di dalam 50 buah tempat duduk basikal yang telah diubah suai.

"Sindiket biasanya meletakkan alamat tertentu untuk penghantaran terus ke lokasi dan ada di antara alamat berkenaan merupakan rumah kosong dan sebagainya tetapi ada juga yang hanya menggunakan alamat syarikat kurier, kerana itu ada kurier yang tidak dituntut kerana mereka kurang yakin dan bimbang dikesan polis.

"Mereka yang ditahan menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar. Kesemua mereka ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya polis juga akan memantau setiap kurier dari syarikat perkhidmatan kurier China bagi mengekang kegiatan penyeludupan menggunakan kaedah ini.

Seksyen 39B memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jabatan Imigresen Buru Ejen, Pelindung Pati


Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 6:58 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan memburu pihak yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke dalam negara dan mereka yang menjadi ejen atau melindungi golongan ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihak yang terbabit menggaji atau melindungi Pati secara haram harus tampil menyerah diri sebelum program pengampunan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.
"Apa yang perlu majikan lakukan supaya menyerahkan Pati itu kepada imigresen secara sukarela...hukuman mereka (Pati) akan diringankan samada diberi kompaun atau dihantar balik ke negara asal," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu Jabatan Imigresen di Sentul Raya, di sini.
Dalam satu operasi selama dua jam bermula pukul 9 malam Isnin melibatkan 104 pegawai dan anggota dari Ibupejabat Jabatan Imigresen dan Cawangan Kuala Lumpur, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), 178 warga asing diperiksa.
Daripada jumlah itu, 49 ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan, manakala empat lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi masa.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (16), Indonesia (35), Myanmmar dan India masing-masing satu," katanya.

Polis Dedah Imej Suspek Kes Bom Bukit Bintang


Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 3:32 PM
Imej seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden serangan bom tangan di hadapan sebuah kelab malam pada 9 Oktober lepas yang dikeluarkan oleh Polis. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mendedahkan imej seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden serangan bom tangan di hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang pada 9 Oktober lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata ia berdasarkan empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV juga, polis mendapati semasa kejadian, terdapat dua lelaki bertindak membaling bom tangan ke arah sekumpulan pengunjung yang keluar daripada pusat hiburan tersebut.

"Polis telah merujuk rakaman berkenaan kepada pihak forensik PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mendapatkan pelukis profesional bagi melakar gambaran imej salah seorang yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Polis percaya imej lelaki yang dilukis berumur dalam lingkungan 40 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Tajudin berkata polis juga mendapati kedua-dua suspek telah berlari menuju ke sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam yang diletakkan di kawasan sekitar sejurus selepas kejadian.

Pada masa sama pihak polis memohon maaf kerana mereka terpaksa mengambil masa untuk mengenal pasti suspek disebabkan gambaran CCTV yang kurang jelas, katanya.

Beliau berkata sehingga kini lima warga tempatan berumur antara 25 dan 46 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan.

Namun kesemua mereka telah dibebaskan, katanya.

"Kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis selama dua minggu," katanya sambil menambah polis masih percaya kejadian itu merupakan cubaan membunuh yang bermotifkan persaingan aktiviti haram.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat suspek yang menyerupai imej yang diedarkan agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R. Ananthan di talian 019-3227766 atau menghubungi terus Bahagian Khas (D9), IPKKL di talian 03-21460685 dan pusat kawalan IPKKL melalui talian 03-21460585 atau 03-21460584.

Dalam kejadian itu, seorang joki kereta Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 yang lain termasuk pelancong asing cedera yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap.