Search This Blog

Sunday, November 16, 2014

Remaja mati dikelar

Sandakan: Berang diejek sebagai pelarian, seorang wanita hilang pertimbangan apabila mengelar leher seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menggunakan pisau pemotong daging sehingga maut dalam kejadian di Flat Golden Gate, Jalan Batu Sapi, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 5.20 petang, mangsa yang dikenali sebagai Emalin Al, ditemui terbaring berlumuran darah di dalam bilik tidurnya dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Difahamkan, suspek berusia 27 tahun berdendam dengan keluarga mangsa akibat sering diejek sebagai pendatang.
Suspek kemudian mengambil kesempatan ke rumah mangsa yang juga jirannya, apabila mendapati gadis terbabit tinggal seorang diri.
Sejurus bertemu, suspek dikatakan sempat menasihati mangsa supaya berhenti mengejeknya, namun tidak diendahkan.
Suspek yang mulai berang melibas pisau dibawanya sebanyak dua kali dan mengenai leher mangsa.
Ibu mangsa yang pulang ke rumah terkejut apabila mendapati anaknya berlumuran darah di dalam bilik lalu dibawa ke hospital.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, suspek ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas melakukan perbuatan itu.
“Siasatan awal mendapati, motif kejadian disebabkan dendam apabila sering menjadi mangsa ejekan keluarga mangsa.
“Suspek dikatakan sempat menasihati mangsa supaya tidak lagi mengejeknya sebelum membunuhnya,” katanya.
Zabidi berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui cap jari suspek dan akhirnya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Polis turut berjaya merampas pisau pemotong daging sepanjang 14 sentimeter dipercayai digunakan dalam kejadian ini.
“Suspek kini masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:36 AM


ZABIDI (kanan) menunjukkan senjata digunakan suspek untuk membunuh mangsa dalam kejadian di Jalan Batu Sapi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9393#sthash.bmKPgab3.dpuf

13 mesin judi dirampas

Muar: Polis merampas 13 mesin judi dari sebuah premis di Sungai Balang, di sini, hasil serbuan pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, serbuan dilakukan menerusi Ops Dadu Fasa 2 bertujuan membersihkan daerah ini daripada kegiatan perjudian.
“Kami sudah mendapatkan waran geledah premis berkenaan dan hasilnya, sepasukan anggota diketuai Inspektor Junaidi Juan memeriksa premis itu.
“Ketika tiba, pihak polis mendapati premis berkunci menyebabkan anggota terpaksa memotong mangga dan sebaik berjaya memasuki premis itu kita menemui 13 mesin judi yang dipercayai baru tiba,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut beliau, pihaknya merampas semua mesin judi berkenaan dan kini berusaha mengesan pemilik bangunan serta penyewa premis itu.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:37 AM


Azman menunjukkan mesin judi yang dirampas di Sungai Balang, Rabu lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9407#sthash.BS5uebq5.dpuf

Budak perempuan 8 tahun tak dirogol


Kajang: Polis mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol seorang lelaki di sini Selasa lalu tidak diperkosa selepas menjalani dua pemeriksaan kesihatan.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi memberitahu berikutan keputusan pemeriksaan kesihatan itu, polis tidak akan membuka kertas siasatan kes berkenaan.
“Setakat ini memang tidak ada kes rogol membabitkan mangsa kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dibuka.
“Namun, saya mengesahkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 30-an iaitu ibu kanak-kanak itu Selasa lalu yang curiga sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas anaknya selepas kanak-kanak itu didakwa keluar dengan adik angkat arwah suaminya,” katanya.
Katanya, sebelum ini kanak-kanak itu pernah beberapa kali pergi ke rumah lelaki berkenaan untuk membantu mengemas rumah dan perkara itu dimaklum kepada pengadu.
“Bagaimanapun, baru-baru ini seorang rakan pengadu memberitahu anaknya itu mengikut lelaki berkenaan keluar, namun tidak dapat dipastikan ke mana.
“Pengadu yang bimbang dan curiga dengan perkara itu tampil membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya dirogol,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kanak-kanak berkenaan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital dan doktor mengesahkan tiada kesan koyakan pada kemaluannya.
“Pemeriksaan dilakukan sebanyak dua kali dan keputusannya mengesahkan tidak berlaku kejadian itu, namun pengadu masih tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan,” katanya.
Susulan itu, Ab Rashid berkata, mangsa ditahan di wad hospital berkenaan untuk pemeriksaan pakar perubatan yang seterusnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:45 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9416#sthash.cmAwoCXz.dpuf

Mangsa lemas bukan mati dirodok


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki sebelum ditolak ke dalam lombong di Taman Tasik, Setapak di sini, malam Khamis lalu adalah disebabkan lemas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, hasil bedah siasat menunjukkan suspek meninggal dunia kerana lemas selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki ketika sedang duduk berbual bersama lima lagi rakannya yang lain.
“Hasil bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan suspek meninggal dunia kerana lemas, namun terdapat kesan kecederaan di belakang kepala mangsa. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati berlaku pergelutan di antara mangsa dan kumpulan penyerang sebelum mangsa terjatuh ke dalam lombong di lokasi kejadian.
Menurutnya, sehingga kini tujuh suspek berusia 15 hingga 18 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan dan polis masih memburu beberapa lagi suspek dipercayai terbabit dengan insiden berkenaan.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa, Khairul Fadzmi Shahrulnizam bersama lima lagi rakannya dipercayai diserang 20 lelaki bermotosikal yang bersenjatakan besi, kayu dan topi keledar disyaki cuba menyamun mereka.
Difahamkan, rakan mangsa yang cedera dibelasah memberitahu mangsa dipercayai dirodok dengan pisau sebelum ditolak ke dalam lombong kerana terdengar jeritannya mengerang kesakitan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:45 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9418#sthash.mrVuUNJj.dpuf

Maut terperangkap dalam kebakaran

Oleh Nur Saliawati Salberi 
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Klang: Lelaki warga asing maut selepas terperangkap dalam kebakaran restoran di Jalan Haji Sirat, 6.30 petang ini.
Mangsa berusia 38 tahun dikatakan tidur di tingkat atas premis tempatnya bekerja.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Pegawai Bomba Mohd Fauzi Kadri, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.44 petang.
Menurutnya, dua jentera, masing-masing daripada BBP Sungai Pinang dan Kota Raja dikejarkan ke tampat kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, hampir 70 peratus bilik tidur yang terletak di tingkat atas sudah terbakar. Punca kejadian masih disiasat dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk proses bedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 11:33 PM


RESTORAN yang terbakar ini menyebabkan seorang lelaki warga asing rentung.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9281#sthash.R7LJ6py9.dpuf

Tiga lagi nelayan belum jumpa


Oleh Mohammad Ishak

am@hmetro.com.my
Jertih: Tiga lagi nelayan yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan dalam dua minggu di perairan Pulau Perhentian, dekat sini, masih belum ditemui.
Seorang daripada nelayan terbabit adalah Ali Majid, 59, dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, yang dilaporkan hilang pada 6 November lalu, ketika memacing sendirian di perairan berkenaan.
Dua lagi nelayan warga Thailand yang belum ditemui dikenali sebagai Chai, 38, dan Sat, 37, yang dilaporkan hilang bersama lima rakan lain apabila bot mereka karam di perairan sama, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Kamsani Hassan berkata, empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam di perairan Pulau Perhentian, dekat sini, Rabu lalu, ditemui dalam keadaan selamat oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), petang semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 4:52 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9271#sthash.XyCN40rx.dpuf

Gazebo musnah dalam kebakaran


JITRA: Sebanyak 11 buah gazebo atau pondok kecil untuk berehat turut musnah dalam kebakaran bengkel pertukangan kayu di Km 21, Simpang Tiga Asun, Jalan Changloon dekat sini awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 pagi.
Pemilkinya Sabri Ahmad, 37, berkata keseluruhan bengkelnya terbakar termasuk bahan kayu yang belum digunakan.
Beliau berkata seorang pekerjanya yang tinggal berhampiran bengkel tersebut meghubunginya mengenai kebakaran itu, setelah dimaklumkan pekerja kedai makanan berhampiran.
Beliau berkata beliau kerugian kira-kira RM300,000.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hafizie Hassan berkata pihaknya menghantar 19 anggota dan tiga jentera untuk mamadam kebakaran yang dapat dikawal pada jam 3.43 pagi.
Punca kebakaran masih disiasat. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 8:38 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9088#sthash.4onzxtIZ.dpuf

Tak sedar kereta, motosikal dah hangus


Oleh Asmah Rusman

am@hmetro.com.my

Puchong: Ahli perniagaan kerugian kira-kira RM500,000 selepas rumah teres dua tingkat, dua kereta dan motosikal milik anaknya hangus dijilat api di Jalan Mawar 1E, Taman Puchong Perdana, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 63, sedang menonton televisyen bersama isteri dan cucunya berusia 10 tahun.
"Kami kemudian terdengar jiran menjerit memberitahu ada api. Apabila kami keluar untuk melihat keadaan ketika itu semua kenderaan yang berada di dalam garaj sudah hangus.
"Kami segera menyelamatkan diri dan menghubungi pasukan penyelamat namun tidak mampu berbuat apa kerana api marak dengan pantas meskipun ketika itu hujan renyai," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, Mohd Hisam Mat Asih, berkata 18 anggota BBP Puchong, Cyberjaya dan Subang Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya mengambil setengah jam bagi memadam dan mengawal api sepenuhnya daripada merebak ke kawasan rumah bersebelahan.
"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 11:36 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9282#sthash.wXc6Q32c.dpuf

Parang makan tuan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang penyamun warga Myanmar putus tangan kanan akibat dilibas mangsanya dalam kejadian di Taman Sikamat Utama, di sini, kira-kira 3.30 pagi ini.
Kejadian bermula apabila sekumpulan empat suspek mahu memecah masuk rumah suami isteri yang juga warga Myanmar dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, suspek memecah masuk melalui tingkap di ruang tamu sebelum menendang pintu bilik menyebabkan mangsa berusia awal 40-an dan isteri berusia 30-an terkejut.
"Mereka kemudian meluru ke arah mangsa dan menumbuk mukanya bertubi-tubi dan merampas rantai dipakai isteri mangsa. Mangsa kemudian melawan tindakan suspek menyebabkan berlaku pergelutan.
"Bagaimanapun, mangsa kemudian berjaya merampas parang dipegang seorang daripada suspek lalu melibas ke arahnya menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, hasil laporan, polis menjalankan siasatan dan menemui suspek yang cedera di dalam semak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa manakala tiga lagi suspek melarikan diri.
Muhamad Zaki berkata, lelaki terbabit kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 6:42 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9275#sthash.JYB5hCcJ.dpuf

Masuk hutan waktu malam

Gua Musang: "Pergilah cari dalam hutan, memang jumpa mereka. Ramai bersembunyi di situ terutama warga Bangladesh," kata seorang penduduk Orang Asli di Pos Sendrop, Lojing, di sini yang mahu dikenali sebagai Anjang, 25.
Katanya, dia mengesan kebanjiran warga asing di kawasan kebun sayur berhampiran kediamannya sejak minggu lalu ketika pihak berkuasa mengetatkan penguatkuasaan di Cameron Highlands.
Menurutnya, warga asing itu tidak datang secara berkumpulan, sebaliknya memasuki kawasan berkenaan pada waktu malam secara individu atau kumpulan kecil.
"Mereka pandai, tidak masuk beramai-ramai. Mereka masuk sedikit-sedikit waktu malam supaya tak dikesan, tetapi kami nampak sebab ikut kampung ini.
"Soalnya pekerja warga asing yang ada di ladang itu pun sudah ramai, saya sendiri tak pasti ada permit kerja atau tidak.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:52 AM


ANTARA pekerja warga asing Bangladesh yang bekerja di ladang sayur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9423#sthash.XKop9ECD.dpuf

Van masuk parit

Omar Osman dan Hafizudin Mohd Safar . 
am@hmetro.com.my

.
Sungai Petani: "Saya tidur di tempat duduk bahagian tengah van sebelum dikejutkan dengan gegaran kuat.
"Apabila membuka mata saya dapati van yang kami naiki berada di dalam parit di tepi lebuh raya."
Begitu kata Mohd Rafis Md Zahid, 29, guru Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, di sini, yang terbabit dalam kemalangan selepas van dinaiki bersama 11 yang lain hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 92.1 Lebuhraya PLUS arah Utara dekat Bedong, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia bersama seorang lagi guru pengiring, lapan pelajar tingkatan satu hingga lima dan dua pemandu dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menghadiri kursus kenaikan pangkat Kadet Remaja Sekolah (KRS) selama lima hari di Sepang, Selangor sejak Isnin lalu.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu van berusia 57 tahun dipercayai gagal mengawal kenderaan menyebabkan van Nissan Urvan yang dinaiki terbabas ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam parit di tepi lebuh raya.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:55 AM


BOMBA berusaha mengeluarkan van dari parit selepas nahas di Kilometer 92.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara dekat Bedong.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9425#sthash.nh0PTHzh.dpuf

Pil tercemar

New Delhi: Pil dipercayai dimakan puluhan wanita di sebuah kem pemandulan di India timur berkemungkinan mengandungi bahan kimia yang lazimnya digunakan dalam racun tikus, kata seorang pegawai kanan di Chhattisgarh, semalam.
Ketua pentadbir daerah Bilaspur berkata, ujian awal terhadap pil antibiotik ciprocin itu didapati mengandungi zink fosfida.
Antibiotik itu diberi kepada pesakit pembedahan pemandulan beramai-ramai di kem perancangan keluarga kendalian kerajaan itu seminggu lalu dan sekurang-kurangnya 15 wanita maut.
Menurutnya, pihak berkuasa membuat ujian terhadap pil berkenaan selepas dimaklumkan zink fosfida ditemui di kilang berhampiran, Mahawar Pharmaceuticals yang juga disiasat berhubung kejadian itu.
Katanya, sampel ubat berkenaan dihantar ke makmal di Delhi dan Kolkata untuk pemeriksaan lanjut.
“Kami percaya hasil pemeriksaan itu sama. Simptom ditunjukkan pesakit juga mengesahkan keracunan akibat zink fosfida,” katanya.
Lebih ramai pesakit tiba di hospital dari pelbagai perkampungan dalam tempoh dua hari lalu dan ada antaranya mengadu mengalami muntah, pening dan bengkak, kata seorang doktor di hospital awam utama daerah itu.
Katanya, pesakit terbabit tidak melalui prosedur pemandulan berkenaan sebaliknya makan ubat itu atas sebab lain.
Kerajaan negeri berkata, 200,000 pill Ciprocin 500 dan lebih 4 juta pil lain dihasilkan Mahawar turut dirampas.
Pengarah urusan Mahawar, Ramesh Mahawar dan anak lelakinya kini ditahan polis. Syarikat itu bagaimanapun menegaskan kedua-duanya tidak bersalah.
India negara paling banyak melakukan pemandulan wanita dalam usaha mengurangkan populasi dianggap sekejam dilakukan di China.
Walaupun jumlah kelahiran berkurangan sejak beberapa dekad lalu di India, kadar pertumbuhan penduduknya tetap antara yang paling banyak di dunia,
Pemandulan dilakukan kerana lebih murah dan berkesan selain mengatasi keengganan menggunakan alat pencegah kehamilan penduduknya. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 6:01 AM


IBU seorang wanita yang mati di kem pemandulan berkenaan, Bedan Bai, 70, mendukung cucunya Kirti.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9429#sthash.J2Y8extL.dpuf

‘Berulang kali ugut bunuh’

Kota Bharu: “Lelaki itu berulang kali mengugut mahu bunuh jika saya cuba melarikan diri,” kata budak perempuan berusia 10 tahun yang diculik oleh seorang lelaki di depan Wat Ariyakhiri, berhampiran rumahnya di Kampung Aril, Melor, dekat sini, petang kelmarin.
Menurutnya, dia bersama rakan perempuannya berusia 12 tahun sedang menolak basikalnya sebaik keluar dari wat berkenaan, kira-kira jam 3.30 petang.
Katanya, tiba-tiba muncul sebuah kereta jenis Proton Saga dari belakang yang dipandu perlahan melanggar basikalnya.
“Pemandu kereta itu keluar dan terus mendukung saya masuk ke dalam kereta tanpa menghiraukan jeritan rakan saya yang cuba membantu sebelum dia disepak.
“Saya turut diarahkan berdiam diri dan merebahkan tubuh di sebelah tempat duduk pemandu bagi mengelakkan dikesan orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Harian Metro semalam melaporkan, budak perempuan itu bernasib baik apabila berjaya melarikan diri selepas kereta digunakan untuk melarikannya tersangkut dalam selut.
Dia dilarikan sejauh 22 kilometer sebelum melarikan diri dan ditemui penduduk kampung.
Katanya, walaupun takut, dia menguatkan semangat dan cuba mencari jalan melarikan diri sebaik diculik oleh lelaki yang dipercayai penduduk tempatan itu.
“Saya bernasib baik kerana kereta yang dipandu oleh lelaki itu tiba-tiba tersangkut dalam selut. Sebaik diminta bersembunyi, saya menanggalkan gelang loceng di kaki bagi mengelak bunyi bising dan terus melarikan diri sebelum ditemui penduduk kampung dan diserahkan kepada polis,” katanya yang meredah sawah dan semak berduri sebelum ditemui penduduk kampung.
Kanak-kanak itu mengakui sehingga kini dia masih trauma dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Mat Isa berkata, pihaknya akan mengedarkan fotofit suspek dalam masa terdekat.
Katanya, sehingga kini gerakan memburu suspek masih dilakukan walaupun berdepan cabaran berikutan tiada saksi yang melihat secara jelas kejadian itu melainkan mangsa.
“Lokasi kejadian di kawasan kampung dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Bagaimanapun, kita yakin suspek yang menggunakan kereta Proton Saga itu akan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:47 AM


IBU bapa mangsa menenangkannya sebaik berjaya menyelamatkan diri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9421#sthash.tI0e5bcR.dpuf

3 hari terperangkap antara dinding

Longmont (Amerika Syarikat): Seorang lelaki dikeluarkan dari celah dinding sebuah kedai selepas tersekat selama tiga hari ketika cuba mencuri.
Paul Felyk, 35, teperangkap di celah dinding di bumbung bangunan kedai itu di Longmont, utara Denver.
Pekerja membuat laporan polis kelmarin selepas mendengar bunyi bising.
Bagaimanapun, polis yang datang menyiasat tidak menemui apa-apa.
Keesokannya, pekerja kedai memanggil polis sekali lagi selepas mendengar seorang lelaki menjerit di dalam dinding berkenaan.
Jurucakap polis tempatan Molly Meehan berkata: “Anggota kami berjaya mengesan lelaki itu antara dinding dalam dan luar bangunan itu.”
Anggota bomba terpaksa mengguna gergaji bulat untuk memotong bahagian dalam dinding untuk mengeluarkan Felyk.
Dia kini dirawat di hospital kerana keletihan dan kecederaan pada bahagian bawah badan.
Pegawai penyiasat, Matt Cage berkata, Felyk akan berdepan dengan tuduhan jenayah apabila keluar hospital kelak.
“Dia masih belum ditangkap. Tetapi kami menyiasatnya atas tuduhan cubaan merompak,” kata Cage.
Dia berkata, tempat lelaki itu terperangkap hanya muat untuknya berdiri dan ia amat gelap sementara suhu pula terlalu sejuk. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:06 AM


FELYK yang disyaki merompak akhirnya dikeluarkan dari celah dua dinding.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9205#sthash.UVs2MdTN.dpuf

3 kanibal dibicara


Garanhuns (Brazil): Tiga orang yang didakwa membunuh sekurang-kurangnya dua wanita, memakan sebahagian mayat mereka dan sebahagian lagi diguna untuk membuat kuih dan dijual kepada orang ramai, mula dibicarakan semalam.
Jorge Beltrao Negromonte da Silveira, isterinya, Isabel Cristina Pires dan perempuan simpanannya, Bruna Cristina Oliveira da Silva ditangkap pada April 2012.
Mereka didakwa mengaku memperdaya mangsa ke rumah mereka antara 2008 dan 2012 dengan menjanjikan pekerjaan.
Bagaimanapun, mereka membunuh mangsa dan menjadikan daging mereka pai untuk dijual kepada jiran, di sekolah dan hospital, mendakwanya mengandungi tuna atau daging ayam.
Polis menemui saki baki mayat wanita itu di belakang rumah suspek.
Ketika ditangkap, mereka mendakwa menganggotai kumpulan ‘menyucikan dunia dan mengurangkan populasinya.’
Sejurus selepas ditangkap, polis turut menemui buku 50 halaman berjudul ‘Pendedahan Seorang Skizofrenia (kecelaruan mental)’ yang ditulis Silveira.
Dia menceritakan dia mendengar suara dan obses untuk membunuh wanita.
Pada hari perbicaraan semalam, Silveira berkata: “Saya melakukan kekejaman. Ia kelemahan dan kekejaman yang amat saya kesali.”
Mangsa yang dipercayai dibunuh antara 2008 dan 2012, termasuk Alexandra Falcao, 20.
Bagaimanapun, kekejaman mereka terbongkar selepas mereka cuba menggunakan kad kredit seorang mangsa.
Ketiga-tiganya berdepan hukuman penjara 30 tahun, kata sumber mahkamah.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:10 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9354#sthash.JDCIl6oA.dpuf

Sekat acara ratu cantik


Riyadh: Polis pencegah maksiat Arab Saudi semalam bertindak menyekat satu rancangan untuk mengadakan pertandingan ratu cantik.
Tindakan itu dilakukan selepas iklan mengenai pertandingan itu disiarkan menerusi laman sosial di negara berkenaan.
Iklan itu mempelawa wanita berusia antara 17 dan 27 tahun menyertai pertandingan berkenaan di sebuah hotel di Makkah dan menawarkan cincin emas kepada pemenang pertama, kedua dan ketiga.
Akhbar Sabq melaporkan, Suruhanjaya Pencegah Maksiat yang menyedari mengenai rancangan berkenaan, menyerbu hotel itu dan membatalkan tempahan. Ia kini berusaha menjejaki penganjurnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:10 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9355#sthash.8JegO0gD.dpuf

War Machine kejam


Las Vegas: Jaguh sukan campuran seni mempertahankan diri (MMA) yang menukar namanya secara rasmi kepada War Machine semalam dibicarakan atas 34 tuduhan termasuk cubaan membunuh, mencederakan dan menculik bekas teman wanita yang juga pelakon porno.
Mahkamah mendengar keterangan mangsa, Christy Mack yang menangis ketika menceritakan pengalamannya melarikan diri dari rumahnya dalam keadaan bogel dan berlumuran darah ketika War Machine, atau nama asalnya Jonathan Paul Koppenhaver pergi mengambil pisau untuk membunuhnya pada 8 Ogos lalu.
Mahkamah ditunjukkan gambar kecederaan termasuk soket mata retak, patah hidung dan luka pada hati selain luka di kepalanya akibat Koppenhaver memasukkan pisau ke dalam telinganya ketika mengugut membunuhnya.
“Pisau itu patah selepas gagal memotong rambut dan rambut palsu saya menyebabkannya ke dapur untuk mengambil senjata lain. Saya mengambil peluang itu melarikan diri meminta bantuan jiran,” katanya.- AP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:20 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9360#sthash.lZ33Wa8e.dpuf

Murah hati bantu pengutip sampah


Bangkok: Seorang pengutip sampah menjual 96 CD berhak cipta yang ditemui di tempat sampah dengan harga 20 baht (RM2) dan didenda 133,400 baht (RM13,591) bebas selepas jumlah itu dibayar ‘penderma’ yang tidak dikenali.
Surat Maneenopparatsuda, 28, dihukum penjara Khamis lalu kerana tidak mampu membayar denda itu, namun dibebaskan selepas jumlah berkenaan dibayar secara tunai melalui peguam Woranai Bamnetphan.
Woranai berkata, denda itu dibayar seorang penderma yang bersimpati dan hanya berniat membantu Surat.
Pada masa sama, Pegawai Daerah Saphan Sung Kanchana Charbsuwan juga datang ke mahkamah untuk membantu membayar denda itu atas arahan Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra namun Woranai menjelaskan jumlah berkenaan terlebih dulu.
Ketika dijatuhkan hukuman, Surat memberitahu mahkamah dia tidak menyedari perbuatannya melanggar undang-undang. 
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:20 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9364#sthash.2c4HLaW9.dpuf

Bunuh pemuda berang pakaian dikencing


Manama: Seorang peniaga warga Bahrain berusia 46 tahun membunuh seorang rakyat Arab Saudi selepas mangsa kencing pada pakaian dijualnya di tepi jalan di bandar raya ini.
Defendan berkata, dia meletakkan pakaian terpakai yang dijualnya berhampiran sebuah hotel apabila pemuda Saudi berusia 21 tahun itu kencing di atasnya.
Dia memarahi pemuda berkenaan, tetapi mangsa bertindak balas dengan memakinya.
Pertengkaran terjadi sebelum mereka bertumbuk. Pemuda Saudi itu kemudian mengeluarkan pisau dan cuba menikam defendan.
“Saya memukulnya dengan kayu, merampas pisau itu dan menikamnya berulang kali. Saya hanya mempertahankan diri,” katanya.
Bagaimanapun, akhbar tempatan melaporkan, seorang saksi melihat lelaki itu yang mengeluarkan pisau dari sakunya dan menikam pemuda Saudi berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:20 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9371#sthash.Ap6v7Bhq.dpuf

Harimau tak gigit kerana rongak


New Delhi: Seorang wanita India disahkan mati akibat dicakar seekor harimau, kes pertama seumpamanya kerana haiwan berkenaan tidak ada gigi untuk menggigit mangsa.
Harimau biasanya membunuh dengan menggigit mangsa.
Bagaimanapun, wanita berusia 34 tahun itu dicakar hingga mati, kejadian yang dianggap aneh.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam edisi terbaru Jurnal Perundangan Perubatan, harimau itu hanya mencakar mangsa hingga mati mungkin kerana dia rongak atau giginya tak berfungsi.
Dalam kejadian berkenaan awal tahun ini, wanita itu sedang memetik daun herba di hutan Bramhapuri apabila harimau berkenaan menerkamnya.
Harimau itu hanya melepaskan mayat wanita berkenaan selepas penduduk lain melontar batu bagi mengusirnya.
Bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat dicakar dan tidak mempunyai kesan digigit.
Harimau itu ditemui mati keesokannya, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.
Pemeriksaan menunjukkan haiwan itu rongak. Dipercayai haiwan itu kelaparan dan melihat wanita itu sebagai mangsa mudah.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:20 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9372#sthash.9tMQzmAk.dpuf

Putus dua dilanggar tram

Bucharest: Seorang wanita putus dua selepas dilanggar sebuah tram.
Menurut saksi, Elena Filotti, 65, dilanggar ketika dia cuba menyeberang jalan di bandar Arad, barat Romania, ketika lampu merah.
Seorang saksi, Mircea Radulescu, 37, berkata: “Elena mungkin menyangka dia sempat melintas. Dia tidak mengendahkan hon dibunyikan berulang kali oleh pemandu tram berkenaan.
“Badannya putus dua. Sungguh mengerikan. Anak saya ada bersama-sama. Saya menutup matanya kerana tidak mahu dia melihat keadaan mangsa.”
Seorang penumpang Constantin Ponta, 29, berkata: “Mulanya saya tidak pasti apa yang berlaku. Saya melihat orang ramai menunjuk sesuatu di bawah tram. Saya melihatnya dan nampak mayat wanita terjulur keluar di bawah.”
Sementara itu, polis berkata, pemandu berkenaan kecewa dengan kejadian itu.
“Laporannya sama dengan laporan saksi. Mungkin dia tidak akan didakwa kerana jelas wanita itu yang bersalah,” kata jurucakap polis. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:21 AM


ORANG ramai berkumpul melihat keadaan mayat mangsa di bawah tram.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9374#sthash.ZsBZ4tar.dpuf

‘Tauke besar’ dalang teroka tanah


Didakwa mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik

CAMERON HIGHLANDS 14 Nov. - Seorang lelaki yang pernah dikenakan hukuman buang daerah didakwa antara dalang utama yang rakus merosakkan alam sekitar di sini melalui tindakan meneroka tanah secara haram bagi aktiviti pertanian.
Sumber mendakwa, walaupun sudah meneroka beratus-ratus hektar dan perbuatannya diketahui umum namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa ke atas individu yang dianggap ‘tauke besar’ itu berikutan hubungan rapat dengan beberapa pemimpin politik.
“Malah, lelaki tersebut juga dikatakan turut memberi habuan kepada segelintir anggota agensi pengu­at kuasa bagi memastikan kegiatan haramnya tidak diganggu,” dakwanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Baru-baru ini pada 9 November lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan segelintir pegawai kerajaan negeri bagi melindungi kegiatan penerokaan tanah secara haram dan mereka didakwa dibayar RM10,000 untuk setiap 0.4 hektar tanah yang diteroka.
Sumber itu mendakwa, aktiviti pertanian yang dijalankan oleh lelaki berkenaan ialah di salah satu kawasan penanaman sayur terbesar di daerah ini.
“Individu berkenaan bukanlah ahli politik namun bijak menutup kegiatannya menerusi hubungan rapat dengan pemimpin politik sehingga di peringkat negeri berikutan itu tanah-tanah yang dice­robohnya mudah ‘dihalalkan’ walaupun menyalahi peraturan dan undang-undang,” dakwanya.
Sumber tersebut turut mendedahkan bagaimana modus operandi penerokaan tanah secara haram di sini sama seperti mana sesebuah kumpulan kongsi gelap menguasai sesuatu kawasan.
“Mereka sudah ‘membahagi-bahagikan’ had ka­wasan yang dikuasai. Sebagai contoh, ‘tauke besar’ di Brinchang tidak boleh meneroka tanah ke kawasan lain seperti di Bukit Raja atau Tanah Rata yang dikuasai oleh individu lain,” dakwanya.
Ujar sumber itu, peraturan itu dipatuhi sebagai menghormati persefahaman sesama mereka.
“Kegiatan tauke besar ini menambahkan lagi jumlah tanah haram yang diteroka selain orang perseorangan yang turut berbuat demikian,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tauke-besar-dalang-teroka-tanah-1.24835#sthash.nYs7eg8j.dpuf

Tukang kayu rugi RM500,000, rumah terbakar


KUALA LUMPUR 15 Nov.- Seorang tukang kayu kerugian hampir RM500,000 selepas rumah teres yang didiami bersama keluarganya musnah dalam kebakaran di Jalan Mawar, Puchong Perdana, Selangor dekat sini hari ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Lee sedang menonton televisyen bersama anak dan isterinya di tingkat atas rumah.
Bagaimanapun mangsa sempat menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan jirannya- UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tukang-kayu-rugi-rm500-000-rumah-terbakar-1.24975#sthash.IKm50w7k.dpuf

Gempa bumi kuat landa Kepulauan Maluku, Indonesia


Sebahagian penduduk bandar Manado, utara Sulawesi berada di jalan
Sebahagian penduduk bandar Manado, utara Sulawesi berada di jalan raya selepas berlakunya gempa bumi kuat 7.3 pada skala Richter berhampiran Kepulauan Maluku, Indonesia, semalam. – AFP
JAKARTA 15 Nov. – Satu gempa bumi kuat berukuran 7.3 pada skala Richter melanda Kepulauan Maluku, timur negara ini pagi ini, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan di sekitar kawasan sejauh 300 kilometer dari tempat kejadian selain menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan bertempiran lari menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, pihak berkuasa telah menarik kembali amaran berkenaan beberapa jam kemudian.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) memberitau, gempa bumi pada kedalaman 46 kilometer berlaku di barat laut Kota Ternate, sebuah bandar di Maluku kira-kira pukul 9.31 pagi waktu tempatan (10.31 waktu Malaysia).
Tiada kematian atau kemusnah­an dilaporkan ekoran bencana alam tersebut.
Pada awalnya, Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan, ombak tsunami mungkin melanda kawasan perairan sejauh 300 kilometer dari pusat gempa termasuk di beberapa kawasan di Indonesia selain Filipina, Jepun, Taiwan dan pulau-pulau di Lautan Pasifik Selatan.
“Ombak setinggi antara 30 sentimeter hingga satu meter mungkin melanda beberapa kawasan di Indonesia dan ombak di bawah 30 sentimeter pula diramal membadai kawasan pantai di Filipina,” jelas pusat berkenaan.
Ketua Jabatan Gempa Bumi dan Tsunami, Agensi Meteorologi Indonesia, Mochammad Riyadi berkata, ekoran daripada gempa bumi tersebut pihaknya terpaksa mengeluarkan amaran Tsunami lebih awal.
“Penduduk di utara Kepulauan Maluku dan utara Sulawesi diminta tidak berada di kawasan perairan,’’ katanya.
Ketua Daerah Sitaro, Toni Supit berkata, penduduk di Pulau ­Sangihe yang berhampiran de­ngan pusat gempa lari bertempiaran meninggalkan rumah masing-ma­sing selepas merasai gegaran yang berlaku.
“Penduduk di kawasan pantai merasai gempa bumi kuat itu dan mereka kemudian pergi ke kawasan pantai untuk melihat keadaan paras air laut yang menjadi rujukan kepada mungkin berlakunya tsunami,” ujar Toni. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gempa-bumi-kuat-landa-kepulauan-maluku-indonesia-1.24991#sthash.DrB2dESs.dpuf