Search This Blog

Thursday, November 13, 2014

‘Jumpa macam-macam benda’



BEBERAPA anggota bomba memimpin Mohd. Yahya (tengah) selepas dia ditemui di sebuah kebun getah berhampiran Hutan Simpan Bukit Wang, Alor Setar dalam keadaan lemah semalam.


JITRA – Seorang pekerja jentera berat yang dilaporkan hilang selepas berkelah bersama keluarganya di kawasan Hutan Simpan Bukit Wang kelmarin ditemui dalam keadaan lemah di sebuah kebun getah kira-kira tiga kilometer dari pintu masuk ke tapak perkelahan itu semalam.
Mohd. Yahya Ahmad Bakri, 25, ditemui oleh beberapa penduduk kampung ketika sedang merayau-rayau di kawasan bukit berhampiran kebun getah itu kira-kira pukul 10.15 pagi, kurang 24 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Seorang penduduk, Suhaimi Mohd. Salleh, 44, dari Kampung Padang Paya di sini berkata, ketika kejadian dia dan beberapa rakannya sedang menoreh di kebun itu sebelum terdengar suara seseorang dari kawasan bukit berhampiran.
“Kami saling bersahut-sahutan sebelum seorang lelaki muncul beberapa minit kemudian dari celah-celah pokok getah.
“Saya memang tahu ada kejadian orang hilang di kawasan perkelahan ini kelmarin dan mengesyaki dia adalah orang yang dicari kerana tidak pernah melihat wajahnya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3Ixj5VkqX 
Hakcipta terpelihara 

Datuk, rakan niaga dituduh buat tuntutan palsu RM1.116 juta



TENG KEONG (bercermin mata belakang) dan Yean Teong (depan kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tuduhan membuat tuntutan palsu.


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah urusan bergelar Datuk bersama rakan perniagaannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan membuat tuntutan palsu melalui invois berkaitan kerja-kerja logistik membabitkan 200 unit lori berjumlah RM1.116 juta.
Tertuduh, Datuk Koay Teng Keong, 57, dan Teh Yean Teong, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa memperdayakan Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. melalui dua invois Deutsche Direct Sdn. Bhd. berjumlah RM605,200 dan RM511,400 berkaitan kontrak bagi kerja-kerja logistik 200 unit lori.
Teng Keong merupakan bekas pengarah urusan syarikat kejuruteraan, Gadang Engineering manakala Yean Teong adalah pemilik syarikat pengangkutan Deutsche Direct.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3Ixizf3EY 
Hakcipta terpelihara 

Dua parah treler tong gas terbalik


Sebuah kenderaan Perodua Alza terbakar selepas merempuh tong gas.


IPOH – Dua kanak-kanak lelaki cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah treler membawa muatan penuh tong gas petroleum cecair (LPG) dengan dua buah kenderaan lain di Kilometer 257, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi berdekatan Terowong Menora itu berlaku apabila treler terbabit yang dalam perjalanan ke arah utara dari Ipoh tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Akibat kemalangan itu, kira-kira 50 tong gas yang dibawa treler terbabit tercampak di atas jalan dengan sebahagian daripadanya turut bertaburan di laluan bersebelahan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang sedang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan dari Kuala Kedah, Kedah yang kebetulan melalui tempat kejadian tidak sempat mengelak lalu merempuh beberapa tong gas yang berada di hadapannya.
Menurutnya, pemandu, Mohd. Nasir Jaafar, 40, dan anaknya, Muhammad Syakirin, 10, sempat keluar sebelum kenderaan mereka terbakar akibat letupan tong gas yang dirempuh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3IxiD36fj 
Hakcipta terpelihara 

Kajang ditenggelami banjir kilat lagi



KELIHATAN bangunan kedai dimasuki air manakala beberapa buah kereta terperangkap dalam banjir kilat di pekan Kajang semalam.


KAJANG – Hujan lebat selama tiga jam yang melanda pekan Kajang dan beberapa kawasan sekitar semalam menyebabkan kawasan-kawasan terbabit dilanda banjir kilat.
Hujan yang bermula pukul 2 petang itu menyebabkan pekan Kajang, Saujana Impian dan Taman Jasmin dinaiki air sehingga setengah meter.
Lebih teruk beberapa buah kedai di pekan Kajang dimasuki air dan menyebabkan barangan rosak. Kejadian banjir kilat itu turut menyebabkan berpuluh-puluh buah kenderaan tenggelam di pekan itu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, seperti biasa pekan Kajang paling teruk dinaiki air sehingga banyak kenderaan terperangkap dan kedai-kedai dimasuki air.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3Ixinosxp 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Liberia nangis kena dakwa


SMITH (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu oleh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga Liberia yang mendakwa datang ke Terengganu untuk menjadi pemain bola sepak pasukan T-Team dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini.
Luseni Gabriel Smith, 31, yang ditahan di kawasan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini pada pukul 9.45 pagi 8 Oktober lalu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit ke­salahan.
Mengikut fakta kes, siasatan mendapati tertuduh mendakwa datang ke Malaysia tanpa ejen untuk mencuba nasib menjadi pemain import T-Team dalam Liga Malaysia musim depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3IxiL4hiw 
Hakcipta terpelihara 

Diikat, dibelasah sebab meragut



SEORANG peragut diikat selepas dibelasah orang ramai yang menyaksikan kejadian ragut di Lorong Pisang Barat 3, Kuching semalam.


KUCHING – Geram dengan tindakan dua penjenayah meragut rantai leher emas milik seorang ahli perniagaan, beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu bertindak membelasah dan mengikat salah seorang suspek di Lorong Pisang Barat 3 di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku apabila mangsa berusia 53 tahun yang baru keluar dari keretanya tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal lalu meragut barang kemas dipakai mangsa.
Sumber berkata, orang ramai yang menyedari kejadian tersebut kemudian mengejar suspek.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3Ixi5jikq 
Hakcipta terpelihara 

Puting beliung bagai burung terbang



Imej puting beliung yang memusnahkan 20 rumah dan premis perniagaan di Kampung Sungai Nonang, Jalan Batas Paip semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 20 buah rumah dan empat premis perniagaan di Kampung Sungai Nonang, Jalan Batas Paip di sini rosak akibat dilanda puting beliung semalam.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, lima buah rumah rosak teruk apabila sebahagian struktur rumah-rumah terbabit roboh dengan hampir keseluruhan bumbung diterbangkan pusaran angin.
Kejadian semalam adalah kali kelima di negeri ini sejak 14 Oktober lalu yang bermula di Alor Besar, Pendang, diikuti Kampung Dalam Kota, Kampung Sungai Baru dan Taman Wira Mergong.
Penduduk, Che Tom Ahmad, 55, berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas dapur rumah sebelum terdengar bunyi angin yang kuat.
“Beberapa saat selepas itu, saya nampak struktur bumbung bergegar dan banyak kayu jatuh menyebabkan saya mencari dua anak saya berusia 14 dan 16 tahun yang berada di bilik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3Ixhy7LX1 
Hakcipta terpelihara 

2 jari putus tersepit



ANGGOTA bomba sedang membuka mesin memproses rumput bagi mengeluarkan tangan Kellai yang tersepit dalam kejadian di Permatang Pauh, Bukit Mertajam semalam.


SEBERANG PERAI – Seorang pekerja warga Myanmar putus dua jari apabila pergelangan tangan kanannya tersangkut pada sebuah mesin memproses rumput dalam kejadian di satu kawasan lapang di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam di sini kelmarin.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Kellai, 59, dipercayai terleka memasukkan rumput segar ke dalam mesin memotong untuk dijadikan makanan lembu sehingga tidak sedar tangannya turut termasuk ke dalam mesin tersebut.
Dia yang panik selepas tangannya tidak boleh ditarik keluar menjerit meminta bantuan rakan sekerjanya yang berada di lokasi kejadian.
Malangnya, selepas mesin memproses rumput itu ditutup, rakan mangsa yang berusaha sedaya upaya menarik keluar tangan mangsa tetap gagal menyelamatkan tangan mangsa.
Rakan mangsa kemudian terpaksa meminta bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3IxhqIbcB 
Hakcipta terpelihara 

Penjahat asing suka pecah rumah


PASAR Borong Selayang dipenuhi warga asing yang menjalankan aktiviti peniagaan di kaki lima pasar.


KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,000 kes jenayah yang membabitkan warga asing dilaporkan berlaku di Malaysia sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini malah dijangka mengatasi keseluruhan 13,591 kes sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah tersebut merangkumi 11.2 peratus daripada keseluruhan 84,029 kes jenayah di negara ini.
Antara jenayah terbabit ialah 3,103 kes pecah rumah, 1,871 kes curi dan 1,008 kes samun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, penjenayah lazimnya akan menggunakan dokumen pengenalan diri palsu bagi mengelakkan identiti mereka dikesan pihak berkuasa.
“Mereka akan menggunakan dokumen palsu walaupun pernah ditangkap kerana tindakan itu membolehkan penjenayah terbabit keluar masuk ke negara ini tanpa dikesan selain mengelirukan pihak berkuasa yang memantau kegiatan mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3Ixhf5SPq 
Hakcipta terpelihara 

Jururawat mangsa kedua Ebola di Mali



SEORANG anggota polis berkawal di hadapan sebuah klinik di mana seorang jururawat yang bertugas di situ mati akibat virus Ebola di Bamako, Mali kelmarin. - REUTERS


BAMAKO – Kerajaan Mali mengesahkan laporan kes kedua demam Ebola di negara itu lewat kelmarin manakala pihak polis dikerahkan untuk mengawal sebuah klinik di ibu kota negara itu di sini.
Pihak berkuasa menyatakan, klinik itu telah dikuarantin.
Dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Twitter, Menteri Penerangan Mali, Mahamadou Camar berkata, langkah-langkah pencegahan telah dikeluarkan tetapi beliau tidak mendedahkan maklumat terperinci berhubung kes tersebut.
Beberapa pegawai tempatan dan diplomat bagaimanapun memberitahu, kes Ebola terbaharu itu tiada kaitan dengan jangkitan pertama pada bulan lalu.
Mali menjadi negara Afrika Barat keenam mencatat kes Ebola apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Guinea meninggal dunia di negara berkenaan pada Oktober lalu.
Tiada kes baharu direkodkan sejak itu manakala 108 orang yang dikaitkan dengan kanak-kanak perempuan itu tamat tempoh kuarantin mereka selama 21 hari kelmarin.
Mali berkongsi sempadan sejauh 800 kilometer dengan Guinea. Guinea, Liberia dan Sierra Leone merupakan negara yang paling teruk terjejas akibat wabak Ebola pada tahun ini yang meragut hampir 5,000 nyawa.
Beberapa pegawai perubatan dan diplomat berkata, kes baharu Ebola di Mali melibatkan seorang jururawat. Pesakit itu berhubungan dengan seorang lelaki yang tiba dari Guinea dan meninggal dunia akhir bulan lalu di klinik berkenaan.
Seorang pegawai perubatan pula memberitahu, jururawat berkenaan mati pada petang kelmarin manakala seorang doktor lain jatuh sakit dan telah dikuarantin. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3IxgjmLBw 
Hakcipta terpelihara 

Dua pencuci tingkap 'bergayut' di tingkat 69 WTC berjaya diselamatkan


Imej yang dicapai daripada video, dua pekerja mencuci tingkap bergayut di atas platform di tingkat 69 menara 'World Trade Centre' (WTC) dan berjaya diselamatkan anggota bomba semalam. - Foto
NEW YORK: Dua pekerja mencuci tingkap diselamatkan di World Trade Centre (WTC) yang baharu selepas kabel yang mengikat platform mereka terputus, menyebabkan mereka terpaksa bergayut di tingkat 69 selama hampir dua jam.
Pasukan penyelamat terpaksa membuat lubang pada tingkap tingkat 68 untuk menyelamatkan pekerja terbabit yang berpaut pada platform yang tergantung di satu sudut di bahagian selatan bangunan itu, pada ketinggian 240 meter di Menara Satu kompleks berkenaan di Manhattan.
Kira-kira 100 anggota bomba dan penyelamat terbabit dalam operasi menyelamat di kompleks berkenaan setinggi 1,776 kaki itu, iaitu yang tertinggi di Amerika Syarikat.
Pesuruhjaya Bomba New York, Daniel Nigro berkata anggotanya mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke tempat kedua-dua pekerja itu tergantung.
"Mereka berdiam diri dan tidak bercakap banyak," kata Nigro.
Pihak penyelamat memotong lubang di sebuah tingkap di tingkat 68 dan membawa pekerja itu masuk ke dalam bangunan.
Sebelum mereka diselamatkan, anggota bomba menggantungkan kabel untuk memastikan platform itu tidak jatuh dan berkomunikasi dengan kedua-dua pekerja terbabit menerusi radio.
Ambulans, kenderaan bomba dan helikopter dihantar ke tempat kejadian dan kawasan di sekitar bangunan berkenaan di New York ditutup.
Pihak berkuasa berkata pekerja berkenaan memakai alat keselamatan menyebabkan mereka tidak berada dalam keadaan merbahaya.GAMBAR diperolehi dari tweeter oleh Jabatan Bomba New York menunjukkan pekerja yang terperangkap di atas platform tempat mereka bekerja, di World Trade Centre (WTC) New York. - Foto REUTERS
Bangunan itu, yang dibina semula di atas tapak lama WTC yang diserang pada 11 September 2001, dibuka semula minggu lalu. - AFP

Gempa bumi 4.8 magnitud melanda Kansas, Oklahoma

KHAMIS, 13 NOVEMBER 2014 @ 8:58 AM

 
WASHINGTON: Gempa bumi dengan ukuran magnitud 4.8 menggegarkan sebahagian besar kawasan di Kansas dan Oklahoma semalam, kejadian yang jarang berlaku di kedua-dua negeri berkenaan yang selalunya dilanda ribut taufan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa yang berlaku pada jam 3.40 petang itu, adalah sedalam 5.4 kilometer, melanda berdekatan Conway Springs di Kansas.

Pusat gempa bumi itu adalah 53 kilometer dari Wichita, bandar raya terbesar di Kansas dan 200 kilometer dari bandaraya Oklahoma.

Media tempatan menyatakan setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan berikutan gempa itu. - AFP

Pesawat MiG-25 Algeria terhempas ketika latihan

RABU, 12 NOVEMBER 2014 @ 4:58 PM

 
ALGIERS: Sebuah pesawat pejuang MiG-25 Algeria terhempas ketika menjalani latihan tetapi juruterbangnya sempat melantun keluar dengan selamat, kata Kementerian Pertahanannya.

Pesawat itu terjatuh di kawasan Hassi Bahbah, kira-kira 200 kilometer di selatan Algiers. - AFP

Simpang ‘bayangan maut’ ragut nyawa lagi

Ampang: Ibarat ‘laluan puaka’ apabila persimpangan Jalan Ampang-Hulu Langat menghala ke Jalan Taman Putra di sini, sekali lagi meragut nyawa apabila lori terbabas sebelum merempuh tiga kereta dan motosikal.
Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, seorang pelajar kolej swasta yang menunggang motosikal maut dirempuh dan diseret lori 10 tan yang membawa muatan tanah.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang terperosok di bawah lori turut pecah kepala.
Jurucakap polis trafik berkata, lori yang dalam perjalanan dari Jalan Hulu Langat itu hilang kawalan ketika menuruni laluan bukit curam.
“Lori itu sepatutnya berhenti di persimpangan lampu isyarat, namun gagal dikawal akibat mengalami masalah brek.
“Lori itu merempuh tiga kereta dan motosikal yang berada di persimpangan berkenaan menyebabkan pemandu kereta cedera parah manakala penunggang motosikal maut,” katanya.
Katanya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke balai polis untuk soal siasat.
“Tiga pemandu kereta yang parah termasuk seorang patah tangan kiri dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, persimpangan berkenaan menjadi ‘bayangan maut’ berikutan sering berlaku kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti bas dan lori.
“Kenderaan berat yang menuruni laluan bukit curam ini gagal memberhentikan kenderaan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat menyebabkan mereka hilang kawalan dan merempuh kenderaan yang berhenti atau diletakkan di tepi jalan.
“Keadaan ini sangat berbahaya dan mengancam nyawa, namun pengguna tiada pilihan kerana mereka yang ingin pergi ke kawasan deretan kedai yang terletak di depan laluan itu terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di tepi jalan,” katanya.
Pada 24 Februari tahun lalu, bas persiaran yang membawa 15 penumpang terbabas dan merempuh kedai kasut di lokasi sama.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:09 AM


PELAJAR kolej swasta maut dirempuh lori di persimpangan Jalan Ampang-Hulu Langat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8736#sthash.i5Q4AVl7.dpuf

Doktor pelatih ungkap ayat novel cinta


Ampang: Seorang doktor muda kasanova dipercayai aktif memikat ramai gadis dan remaja menggunakan ayat novel cinta sebelum memujuk mangsa mengadakan hubungan seks.
Doktor lelaki berusia 20-an itu dikesan menggunakan laman sosial Weechat untuk berkenalan dengan mangsa sebelum diajak pulang ke rumahnya bagi melakukan seks.
Suspek dikesan menjadikan kediaman kondominium miliknya di Pandan Indah, di sini, sebagai lokasi untuk melakukan temu janji asmara.
Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru, suspek dikatakan berkenalan dengan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun melalui laman sosial Wechat awal Oktober lalu.
Menurutnya, remaja perempuan yang masih bersekolah dan berasal dari Terengganu itu kemudian diajak melakukan temujanji beberapa kali oleh suspek.
“Mangsa dikatakan ‘cair’ dan terpikat dengan suspek yang bijak bermain kata-kata cinta. Malah, mangsa akhirnya mengikut suspek ke kondominium didiami sebelum melakukan hubungan seks.
“Mangsa hanya pulang ke rumah keesokan harinya selepas bermalam di rumah lelaki terbabit. Tindakan mangsa tidak pulang ke rumah menyebabkan ibu bapanya gusar sebelum menyoal siasat punca kegagalannya pulang ke rumah,” katanya.
Dia berkata, mangsa akhirnya mengaku beberapa kali melakukan hubungan seks dengan doktor muda terbabit.
“Susulan itu mangsa dibawa ke Balai Polis Ampang, di sini, untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Ampang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan doktor pernah melakukan hubungan kelamin,” katanya.
Menurutnya, susulan itu, polis memberkas doktor terbabit sebelum ditahan reman enam hari bermula Khamis lalu.
“Polis turut melakukan pemeriksaan di kediaman suspek sebelum menemui bukti menunjukkan suspek turut menjalin hubungan dengan ramai wanita lain yang turut dibawa pulang ke rumahnya.
“Siasatan mendapati suspek sedang menjalani latihan praktikal sebagai doktor dan bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai bijak memikat gadis dengan kata-kata manis. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:09 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8743#sthash.pxLwCc4G.dpuf

Ajal dihempap bumbung

Georgetown: Malang nasib seorang pekerja apabila maut dihempap bumbung konkrit yang runtuh di sebuah kilang membuat peralatan komputer di Zon Peridustiran Bebas, Bayan Baru, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Wan Ahmad Nadzari Wan Mokhtar, 48, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Difahamkan, mangsa yang bekerja syif malam, sedang berjalan menuju mesin perakam waktu selepas meletakkan motosikalnya di tempat parkir.
Bagaimanapun, bumbung konkrit kilang berkenaan tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil, namun selepas kerja menyelamat dilakukan, mangsa ditemui di bawah runtuhan tetapi sudah tidak bernyawa.
Timbalan Pengarah JBPM negeri Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.58 petang dan anggotanya mengeluarkan mayat mangsa jam 7.28 malam.
“Tiada mangsa lain terbabit dan kami masih menyiasat punca kejadian,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 20-an, berkata dia terdengar dentuman kuat lalu bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika itu hujan renyai dan sejurus mendengar bunyi kuat, saya serta beberapa pekerja lain yang berada dalam kilang, berlari keluar.
“Kami terkejut melihat mangsa berada di bawah runtuhan sebelum menghubungi bomba dan ambulans,” katanya.
Sementara itu, adik ipar mangsa, Rozimah Mohamad, 40, berkata dia mendapat tahu mengenai kejadian selepas dimaklumkan anak saudaranya menerusi panggilan telefon.
“Ketika kejadian, dia dikatakan berada betul-betul di bawah bumbung yang runtuh itu. Wan Ahmad Nadzari mempunyai empat anak dan sudah 10 tahun bekerja di kilang ini,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:11 AM


ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa yang dihempap bumbung konkrit.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8756#sthash.DT9Wyx5K.dpuf

Lintah Afrika aktif cari mangsa


Ampang: Penjenayah ‘Mat Afrika’ dikesan aktif berkeliaran di daerah ini untuk mencari sasaran mangsa melalui penipuan ‘black money’, pengiriman hadiah wasiat dan pelbagai bentuk skim penipuan Internet lain.
Penjenayah Afrika ini yang memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar dikesan turut aktif memperdaya dan cuba mengikis wang wanita tempatan.
Tindakan mereka ini dibuktikan apabila pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima sebanyak 52 laporan kes penipuan warga Afrika sejak Januari 2013 hingga Oktober 2014.
Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya menerima 34 kes penipuan Afrika pada tahun 2013 dan 18 kes dari Januari sehingga Oktober tahun ini.
Menurutnya, pihak polis berjaya menyelesaikan 27 kes dari jumlah keseluruhan penipuan itu.
Beliau berkata, pihak polis sentiasa berusaha memastikan sindiket penipuan ditumpaskan di daerah ini dan menasihatkan orang ramai jangan mudah mempercayai tawaran membabitkan warga Afrika terutama melalui Internet.
“Kita mesti tahu dan memahami terlebih dahulu sifat semula jadi Internet kerana kita tidak mengetahui siapa sebenarnya yang berkomunikasi atau berhubung.
“Selain itu, jangan mudah memberikan nombor akaun kepada kenalan Internet untuk tujuan yang tidak pasti,” katanya.
Khairuldin berkata, orang ramai juga disarankan tidak mudah terpedaya dengan ayat cinta dalam masa singkat di Internet kerana ia hanya untuk mengaburi mangsa.
“Mereka juga harus berwaspada jika didatangi suspek yang menawarkan kaedah menggandakan duit melalui alam jin berikutan ia jelas penipuan.
“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes penipuan Afrika diminta membuat laporan polis di balai polis berdekatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:11 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8758#sthash.irQXDtyi.dpuf

Cedera dipukul cuba pecah kereta

Kota Bharu: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 22 tahun cedera dipukul penduduk kampung ketika cuba memecah kereta di Panji, Pengkalan Chepa, di sini 8.30 malam tadi.
Akibatnya, lelaki itu cedera di kepala dan menerima beberapa jahitan selain lebam di badan.
Dia kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.
Difahamkan dalam kejadian itu, OKU berkenaan yang mengalami kecacatan di bahagian kiri tangan cuba memecah sebuah kereta, namun disedari penduduk kampung yang bertindak memukulnya.
Bagaimanapun, ibu lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan penduduk kampung membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu tadi.
"Mereka tak patut pukul anak saya hingga cedera begini. Sepatutnya mereka rujuk kepada polis," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 3:52 PM


IBU lelaki OKU menunjukkan laporan polis yang dibuatnya selepas anaknya dipukul orang ramai kerana disyaki mencuri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8791#sthash.L0Mia1Li.dpuf

Polis tahan dua suspek pecah mesin ATM

Alor Setar: Polis menahan dua lelaki berusia 25 tahun selepas disyaki terbabit dalam kejadian memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pokok Sena dan Simpang Empat dalam daerah Kota Setar, pada 6 dan 11 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan di rumah masing-masing di sekitar Alor Setar awal pagi semalam bagi membantu siasatan lanjut.
"Bagi kes di Pokok Sena suspek dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) menaiki sebuah kereta Kancil dan memakai penutup muka ketika cuba mengumpil mesin ATM sebuah bank pada kira-kira jam 2 pagi tetapi gagal," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rendah Polis (PRP) di Dewan Utama IPK Kedah, di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, dalam cubaan kedua kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu polis percaya suspek yang sama menaiki sebuah motosikal dan memakai penutup muka, cuba memecah sebuah mesin ATM di sebuah bank di Simpang Empat di sini.
"Kedua-dua cubaan mereka gagal namun kita berjaya mengesan mereka melalui siasatan yang dibuat ke atas rakaman CCTV.
"Siasatan awal mendapati kedua-kedua suspek saling mengenali, bagaimanapun pemeriksaan rekod mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal jenis Yamaha LC, kuku kambing dan rangka motosikal dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan itu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 3:49 PM




ZAKARIA bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar Hanyan Ramlan (kiri) menunjukkan barangan rampasan. FOTO Sharul Hafiz Zam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8790#sthash.6HiZFQbo.dpuf

Kereta hangus selepas pemilik diugut

Teks dan gambar oleh Rudy Syareme Sheriffudin

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang ahli perniagaankerugian kira-kira RM80,000 apabila dua kereta yang diletakkan di dalam premis mencuci kenderaan miliknya musnah dalam kebakaran yang dipercayai akibat perbuatan khianat di Jalan Arratoon, di sini awal pagi semalam.
Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi sewaktu mangsa, Syed Amin Zainul Abidin, 44, yang ketika itu berada di rumah menerima panggilan kecemasan daripada pegawai bomba mengatakan bengkel cuci kereta miliknya terbakar.
Syed Amin berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dan terkejut selepas mendapati kereta Proton Perdana miliknya dijilat api.
"Sayu hati melihat kereta yang dibeli 17 tahun lalu dan sudah diubah suai hangus bersama kereta Toyota Altis yang terletak bersebelahan.
"Saya mengesyaki kejadian ini akibat perbuatan khianat kerana menerima ugutan daripada seorang lelaki yang mahu membakar premis ini kerana berlaku perselisihan faham antara kami, beberapa jam sebelum kejadian," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 3:39 PM


SYED Amin melihat keadaan kereta miliknya yang musnah dalam kebakaran. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8787#sthash.LltmbMPz.dpuf

Tangan hancur ‘dimakan’ pengisar rumput

Bukit Mertajam: Akibat terleka ketika memasukkan rumput ke dalam mesin pengisar, seorang lelaki warga Myanmar menahan kesakitan lebih 30 minit kerana tangan kanannya tersepit dalam mesin berkenaan di sebuah ladang di Taman Perwira, Permatang Tinggi di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, dua jari lelaki itu putus manakala pergelangan tangannya hancur menyebabkan dia mengalami pendarahan teruk.
Ketika kejadian, mangsa berusia 59 tahun itu memasukkan rumput untuk dikisar dan diproses sebagai makanan lembu, namun dia terleka hingga tangan kanannya tersepit.
Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan menarik tangan mangsa keluar, namun gagal dan mangsa meraung menahan kesakitan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam Pegawai Bomba Tinggi Wan Ruslan Wan Yahaya berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang.
“Kami dapati mangsa dalam keadaan kesakitan. Usaha menarik keluar tangannya gagal selain bimbang menyebabkan kecederaan lebih parah.
“Kami mendapatkan bantuan ambulans dan pegawai perubatan menyuntik ubat bius agar mangsa berasa kebas, tidak sakit sebelum memulakan usaha mengeluarkan tangannya,” katanya.
Wan Ruslan berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit meleraikan mesin pengisar berkenaan untuk mengeluarkan tangan mangsa menggunakan pemutar skru dan spanar. Ia pilihan terbaik bagi mengelak kecederaan bertambah teruk.
“Tangan mangsa dapat dikeluarkan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:12 AM


ANGGOTA bomba meleraikan mesin pengisar untuk mengeluarkan tangan mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8762#sthash.yq0e6p3c.dpuf

9,496 kes jenayah warga asing antara Januari hingga Ogos


KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,496 kes jenayah melibatkan warga asing dicatatkan antara Jan hingga Ogos tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, jumlah itu adalah 11.2 peratus daripada keseluruhan 85,029 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh sama di negara ini.
“Walaupun perangkaan itu masih lagi kecil berbanding keseluruhan indeks jenayah negara, polis sentiasa memberi perhatian serius dalam membendung kegiatan jenayah melibatkan warga asing kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing yang terlibat dalam kes jenayah serta pelan tindakan kementerian dalam memastikan kegiatan mereka dapat dikawal.
Katanya, daripada jumlah itu, 2,306 melibatkan jenayah kekerasan iaitu bunuh (167), rogol (138), samun berkawan bersenjata api (108), samun berkawan tanpa senjata api (1,008), samun bersenjata api (10), samun tanpa senjata api (377) dan mencederakan (498). - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 7:01 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8810#sthash.RslZ2XOh.dpuf

Padah minta rasuah seks


Oleh Mohamad Hussin

am@hmetro.com.my
Alor Setar: Tindakan seorang penjawat awam berusia 50-an yang disyaki meminta rasuah dalam bentuk layanan seks sebagai dorongan untuk mendapat kelulusan rumah mampu milik membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang ini.
Pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan itu ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Putra, di sini, ketika bersama seorang janda berusia lingkungan 20-an dipercayai mangsanya.
Sumber SPRM ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek, namun identiti lelaki terbabit termasuk di jabatan tidak dinyatakan.
"Kita tahan suspek berdasarkan maklumat awam diterima dan hasil siasatan dijalankan sejak beberapa bulan lalu. Ketika ditahan anggota kami, suspek berdua-duaan dengan wanita terbabit dan dipercayai sedang menuntut rasuah terbabit.
"Berdasarkan maklumat, kita percaya ini bukan kes pertama dan suspek mungkin pernah melakukan perbuatan sama sebelum ini. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 namun dibebaskan dengan jaminan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 8:35 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8814#sthash.Ug3kz2tp.dpuf