Search This Blog

Wednesday, November 12, 2014

Treler Bawa Tong Gas Terbabas Dekat Terowong Menora


Diterbitkan: Rabu, 12 November 2014 12:52 PM

IPOH: Sebuah treler membawa muatan tong gas terbabas menyebabkan muatan yang dibawa tercampak di atas jalan dalam kemalangan di Kilometer 256.9, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora pagi Rabu.


Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, insiden itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi Rabu.



"Treler tersebut menuju ke utara sebelum terbabas dan beberapa tong gas tercampak di atas jalan.


"Tong gas yang tercampak meletup akibat dilanggar dua buah kereta, menyebabkan salah sebuah daripadanya terbakar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan walaupun insiden tersebut menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah.

Ebola: Jururawat Lelaki Mangsa Kedua Maut Di Mali


Diterbitkan: Rabu, 12 November 2014 9:28 AM
Antara tanda-tanda jangkitan virus Ebola.

BAMAKO: Seorang jururawat lelaki menjadi mangsa korban kedua akibat jangkitan Ebola di Mali.
Jururawat itu sebelum ini pernah merawat seorang pesakit dari Guinea di Klinik Pasteur di sini.
Jurucakap pegawai perubatan berkata ujian mengesahkan jururawat terbabit dijangkiti virus Ebola.
Terdahulu, mangsa kes pertama Ebola di Mali itu adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Dia disahkan dijangkiti penyakit itu selepas melakukan perjalanan ke pekan Kayes pada 23 Oktober lalu.
Dia bagaimanapun meninggal dunia pada hari berikutnya.
Kanak-kanak perempuan itu memulakan perjalanan menaiki bas dan teksi bersama , kakak dan bapa saudaranya. Mereka berhenti berkali-kali dalam perjalanan sejauh 1,200 kilometer itu.
Mereka juga berada di Bamako selama dua jam kerana menziarahi saudara mara di sebuah rumah yang mempunyai 25 penghuni.
Penularan wabak Ebola itu mengorbankan kira-kira 5,000 orang setakat ini dengan sebahagian besarnya di Afrika barat manakala Liberia sebagai kawasan paling terjejas teruk akibat penyakit itu.

Lapan maut jalani kaedah pemandulan


Beberapa wanita yang dimasukkan ke hospital kini berada dalam keadaan kritikal.
Beberapa wanita yang dimasukkan ke hospital kini berada dalam keadaan kritikal.
NEW DELHI - INDIA . Seramai lapan wanita maut manakala 32 lagu dimasukkan ke hospital selepas menjalani pembedahan pemandulan di sebuah pusat kesihatan di India, menurut media, semalam.

Headlines Today melaporkan, pembedahan tubektomi telah dijalankan ke atas 83 wanita di kampung Pendari di Chhatisgarh, Sabtu lalu, oleh seorang doktor dan pembantunya dalam tempoh lima jam.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Gujarat menetapkan setiap calon penjawat awam di negara itu perlu mempunyai tandas di rumah bagi mengelakkan amalan membuang air secara terbuka.

Kerajaan negeri dalam satu kenyataan berkata, Dewan Undangan Negeri Gujarat telah meluluskan satu rang undang-undang yang memerlukan semua kakitangan kerajaan untuk mengisytiharkan mereka mempunyai tandas di rumah dalam tempoh enam bulan, atau bakal berdepan hukuman dilucutkan jawatan.

“Tindakan membendung amalan membuang air secara terbuka adalah penting daripada sudut mewujudkan persekitaran yang bersih dan mencegah pencemaran air,"menurutnya dipetik dari laporan AFP.

Nahas bas penumpang ragut puluhan nyawa


Bas penumpang dipercayai terbabas sebelum merempuh lori barang.
Bas penumpang dipercayai terbabas sebelum merempuh lori barang.
KARACHI - PAKISTAN . Sekurang-kurangnya 56 orang maut manakala 18 yang lain cedera selepas sebuah bas penumpang bertembung dengan lori barang di selatan Pakistan, semalam.

Pegawai kanan polis Nasr Aftab berkata, kemalangan berlaku berhampiran bandar Khaipur, di bahagian selatan wilayah Sindh, kira-kira 450 kilometer dari utara ibu negara.

"Bas penumpang datang dari arah barat laut Swat terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori barang. Antara terbunuh termasuk 17 wanita dan 18 kanak-kanak,"katanya dipetik dari laporan AFP.

Doktor di hospital awam Khaipur mengesahkan, tiga mangsa cedera kini berada dalam keadaan kritikal.

Pembunuhan 43 pelajar: Penunjuk perasaan rampas lapangan terbang Acapulco

ACAPULCO: Penunjuk perasaan yang marah dengan pembunuhan beramai-ramai 43 pelajar Mexico, bertempur dengan polis dan merampas Lapangan Terbang Acapulco selama beberapa jam semalam berikutan skandal yang menggoyangkan kedudukan Presiden Enrique Pena Nieto.
Beribu-ribu orang berarak ke lapangan terbang itu, diketuai ibu bapa pelajar terbabit dan disertai rakan kolej perguruan Guerrero.
Tunjuk perasaan menyusuli bantahan yang diadakan pada penghujung minggu lalu di mana pihak berkuasa berkata kumpulan bersenjata mengakui membunuh 43 pelajar terbabit dan membakar mayat mereka September lalu selepas diserahkan oleh anggota polis yang terbabit dengan rasuah.
"Pena turun! Pena pembunuh! Duduklah di China," teriak penunjuk perasaan, merujuk kepada keputusan kontroversial presiden berkenaan untuk menghadiri sidang kemuncak di Beijing ketika rakyat marah dengan kejadian membabitkan pelajar itu.
Penunjuk perasaan itu menutup jalan masuk ke lapangan terbang selama lebih tiga jam manakala beberapa orang memakai topeng muka kelihatan membawa kayu.
Sebelum sampai di lapangan terbang, penunjuk perasaan terbabit membaling batu dan bom api ke arah polis antikeganasan yang menghalang mereka, mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 anggota cedera.
Pelancong pula terpaksa berjalan kaki ke lapangan terbang dengan menarik beg di belakang mereka. Tiga penerbangan dibatalkan. - AFP

Lelaki hilang di Hutan Lipur Bukit Wang ditemui

JITRA: Lelaki yang dilapor hilang di Hutan Lipur Bukit Wang semalam ditemui dalam keadaan selamat beberapa kilometer di dalam kawasan hutan itu oleh orang kampung, sebentar tadi.
Terdahulu, operasi mencari mangsa disambung jam 8 pagi tadi dengan lokasi pencarian diperluaskan sehingga 6 kilometer serta menggunakan anjing pengesan.

12 rumah papan hangus kebakaran di Kinarut



ORANG awam melihat api marak membakar 12 rumah papan di Kampung Pituru di Kinarut, Papar, awal pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
PAPAR: Sebanyak 12 rumah papan di Kampung Pituru di Kinarut, dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 1.50 pagi itu, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Difahamkan, kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api marak dengan cepat, namun semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Jururawat mangsa kedua maut akibat Ebola di Mali

BAMAKO: Mali menghadapi kes terbaru jangkitan Ebola yang tiada kaitan dengan kes pertama bulan lalu, berikutan kematian seorang jururawat lelaki lewat semalam.
Jururawat itu sebelum ini pernah merawat seorang pesakit dari Guinea di Klinik Pasteur di sini.
Pegawai perubatan menyatakan ujian mengesahkan terdapat virus Ebola pada jururawat terbabit.
Pengumuman mengenai kes kedua Ebola dilakukan ketika tempoh kuarantin 108 orang yang terdedah pada risiko kes pertama hampir tamat Selasa depan.
Mangsa kes pertama Ebola di Mali itu adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disahkan dijangkiti penyakit itu selepas melakukan perjalanan ke pekan Kayes pada 23 Oktober lalu. Dia meninggal dunia pada hari berikutnya.
Kanak-kanak perempuan itu melakukan perjalanan dengan bas dan teksi dengan nenek, kakak dan bapa saudaranya, dan berhenti berkali-kali dalam perjalanan sejauh 1,200 kilometer itu.
Mereka juga berada di Bamako selama dua jam kerana menziarahi saudara mara di sebuah rumah yang mempunyai 25 orang.
Penularan wabak Ebola itu mengorbankan kira-kira 5,000 orang setakat ini, sebahagian besarnya di Afrika barat, dengan Liberia sebagai kawasan paling teruk dilanda penyakit itu manakala jangkitannya masih menular di Sierra Leone dan Guinea. - AFP

Bantahan kematian pelajar di Mexico semakin memuncak

CHILPANCINGO (Mexico): Rakyat Mexico yang marah dengan pembunuhan beramai-ramai 43 pelajar, semalam membakar ibu pejabat negeri parti Guerrero yang memerintah dan menahan seketika seorang komander polis.
Polis antirusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan dan kepulan asap putih kelihatan keluar dari bangunan Parti Revolusioner Institusional (PRI) di ibu negeri selatan, Chilpancingo.
Bantahan meletus di Mexico sejak pihak berkuasa berkata kumpulan bersenjata mengakui membunuh pelajar dan membakar mayat mereka selepas pihak polis yang mengambil rasuah menyerahkan 43 mangsa terbabit kepada mereka September lalu.
Kira-kira 1,000 orang, termasuk pelajar dan ahli kesatuan perguruan berarak di Chilpancingo sebelum bertempur dengan polis.
Kejadian itu menggoyangkan kerajaan di bawah kepemimpinan Presiden Enrique Pena Nieto. - AFP

PGA rampas 63,100 liter diesel bersubsidi



ANGGOTA PGA Briged Sarawak memeriksa diesel bersubsidi yang disembunyikan dalam peti simpanan sebuah kapal menangkap ikan di Jeti Sungai Baong, Miri semalam.


MIRI – Niat jahat satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi untuk menjual bahan api itu kepada bot nelayan asing tidak kesampaian apabila kegiatan mereka dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dalam satu serbuan di Jeti Sungai Baong, Jalan Catleya 5, Krokop di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, sebanyak 63,100 liter minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM138,000 berjaya dirampas.
Turut dirampas ialah dua buah kapal ikan yang dilengkapi alat penyedut minyak, hos getah dan peti penyimpanan rahsia yang dianggarkan bernilai RM800,000.
Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Isa Munir berkata, hasil maklumat awam, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Vietnam yang dipercayai penjaga kedua-dua buah kapal itu bagi membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3IoiySUzx 
Hakcipta terpelihara 

Pencuri duit masjid dipenjara tiga bulan


SHAH ALAM – Gara-gara mencuri wang tabung sebuah masjid, seorang jurudawai elektrik dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Ellyana Razali memerintahkan demikian selepas Mohammad Ridzuan Daud (gambar), 38, mengaku bersalah mencuri wang tunai RM55 di dalam sebuah tabung di Masjid al-Bakri, Bukit Naga, Seksyen 32 di sini pada pukul 11 malam, 17 Oktober 2013.
Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang menunjukkan, tertuduh yang cuba melindungi identiti dengan memakai topeng mulut telah dikesan memasuki masjid berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Mohammad Ridzuan yang menetap di Pangsapuri Limau Indah, Seksyen 32 di sini kemudiannya dilihat memasukkan sebatang besi nipis yang ditampal dengan pita pelekat ke dalam tabung masjid bagi mengambil duit di dalamnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3IoiYIVCJ 
Hakcipta terpelihara 

Tetak abang sebab berebut lori



LORI 3 tan yang direbut dua beradik ditinggalkan suspek di tempat letak kenderaan di hadapan syarikat kosmetik Avon di Petaling Jaya.


PETALING JAYA – Akibat perselisihan faham berhubung hak milik sebuah lori, seorang adik tergamak menetak dan melanggar abang kandungnya sehingga mati di hadapan bangunan syarikat kosmetik Avon di Jalan 219, Seksyen 51A di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.20 malam itu, K. Prakash, 38, ditetak menggunakan sebilah parang dan dilibas dengan seutas rantai pengunci motosikal oleh adiknya yang berusia 30-an dan seorang rakan.
Difahamkan, mangsa dan suspek mengusahakan perniagaan menyewa sebuah lori. Kenderaan tersebut disewa oleh syarikat kosmetik Avon sejak tiga tahun lalu untuk menghantar barang-barang kosmetik kepada pengedarnya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, suspek dipercayai menetak mangsa beberapa kali sebelum merempuhnya dengan kereta jenis Proton Waja.
“Mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan badan.
“Siasatan di tempat kejadian menemui sebuah lori 3 tan yang ditinggalkan di tempat letak kereta syarikat kosmetik Avon,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3IoiPFLD5 
Hakcipta terpelihara 

Kapten feri Sewol dihukum penjara selama 36 tahun


KAPTEN feri Sewol, Lee Joon-seok dibawa ke sebuah mahkamah di bandar Gwangju semalam.


SEOUL – Kapten yang meninggalkan beratus-ratus pelajar sekolah ketika feri Sewol terbalik dan karam di perairan Korea Utara pada April lalu, Lee Joon-seok dijatuhi hukuman penjara 36 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah mahkamah di bandar raya Gwangju mendapati Joon-seok tidak bersalah atas tuduhan membunuh tetapi dia dipenjara kerana kecuaian melampau.
Feri Sewol tenggelam pada 16 April lalu ketika membuat pusingan U semasa belayar ke pulau peranginan Jeju. Joon-seok, 69, meninggalkan Sewol yang sedang karam ketika beratus-ratus penumpang masih berada dalam feri tersebut.
Hanya 172 daripada penumpang feri itu dapat diselamatkan. Hampir tujuh bulan selepas tragedi tersebut, pihak berkuasa menemui 295 mayat dengan sembilan mayat masih hilang.
Sebelum ini, pihak pendakwa raya menuntut kapten feri itu dihukum mati selepas menggelarnya seorang penipu yang meninggalkan Sewol walaupun mengetahui beratus-ratus penumpang yang terperangkap akan mati.
Mahkamah sama menjatuhi hukuman penjara 30 tahun ke atas ketua jurutera Sewol, Park Gi-ho kerana membunuh setelah dia tidak membantu dua kru feri itu yang cedera.
Baki 13 kru yang didakwa pula masing-masing dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun atas pelbagai pertuduhan termasuk jenayah cuai dan membunuh secara tidak sengaja.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pendakwa raya yang terlibat dalam kes itu memberitahu bahawa pihaknya akan merayu hukuman terhadap semua 15 kru feri berkenaan setelah menyifatkan keputusan mahkamah sebagai mengecewakan.
Perasaan kecewa juga turut dirasakan oleh waris dan saudara-mara mangsa yang menganggap hukuman tersebut tidak setimpal. Malah, seorang waris mangsa meminta Hakim Lim Joung-youb supaya membebaskan Jeon-seok dan krunya.
“Biar kami, waris mangsa sendiri yang menghukum mereka,” katanya.
Sewol yang seberat 6,825 tan itu menjalani pengubahsuaian haram supaya feri tersebut dapat membawa muatan melebihi berat yang dibenarkan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3IohrvAtC 
Hakcipta terpelihara 

Jumlah jangkitan baru Ebola di Liberia merosot



SEKUMPULAN askar Amerika Syarikat berkawal di sebuah pusat rawatan Ebola yang dibina negara itu di bandar Tubmanburg, Liberia kelmarin. - AFP


MONROVIA – Kerajaan Liberia kelmarin mengumumkan jumlah jangkitan baru virus Ebola di negara itu menurun dengan mendadak sekali gus menunjukkan wabak berkenaan semakin dapat dikawal.
Timbalan Menteri Kesihatan Liberia, Tolbert Nyenswah berkata, jumlah jangkitan baru setiap hari kini hanya dalam lingkungan 50 kes berbanding lebih 500 kes beberapa minggu lalu.
Beberapa pakar juga meramalkan bahawa penurunan itu menunjukkan bahawa wabak Ebola semakin berkurangan.
“Jumlah jangkitan Ebola semakin berkurangan berbanding jumlah kes yang kami umumkan pada dua bulan lalu,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, masih terdapat beberapa kes baru Ebola dilaporkan di seluruh negara.
Wabak berkenaan menyebabkan lebih 5,000 orang mati selepas menjangkiti lebih 10,000 penduduk di Liberia, Sierra Leone dan Guinea.
Liberia merupakan negara yang paling teruk terjejas akibat wabak maut berkenaan diikuti oleh Sierra Leone dan Guinea.
Dalam perkembangan berbeza, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, pihaknya telah membenarkan 25 daripada 100 penduduk Mali yang dipercayai berhubung dengan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang dijangkiti Ebola di negara itu pulang ke rumah mereka.
Kanak-kanak tersebut yang berasal dari Guinea disahkan dijangkiti virus Ebola selepas pergi ke bandar Kayes di Mali pada 23 Oktober lalu dan meninggal dunia sehari selepas itu.
Seramai 100 orang telah dikuarantin oleh pihak berkuasa selepas kanak-kanak itu menaiki teksi dan bas bersama keluarga masing-masing. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Ioh9XAKl 
Hakcipta terpelihara 

Majikan lantik ejen penipu

Rawang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kebanyakan pekerja asing berada di Cameron Highlands disebabkan ditipu oleh ejen yang dilantik majikan kononnya mahu mendapatkan permit kerja.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah besar berlaku apabila ejen pekerja asing yang tidak berdaftar dilantik oleh majikan untuk mendapatkan permit kerja.
“Bagaimanapun selepas bayaran dibuat oleh majikan, ejen ini melarikan diri dan meninggalkan pekerja asing begitu saja.
“Ini yang menyebabkan pekerja asing yang masuk secara halal (laluan betul) boleh menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) berikutan ditipu ejen masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles And Manufacturing Sdn Bhd di Kundang Jaya di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai lambakan warga asing di Cameron Highlands dan langkah penguatkuasaan KDN.
Katanya, beliau juga berharap pemantauan secara berterusan dilakukan oleh Jabatan Imigresen bagi membanteras PATI di kawasan peranginan itu.
“Kita berharap tindakan penguatkuasaan dijalankan sepanjang tahun dan tidak bermusim bagi menahan pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja di Cameron Highlands.
“KDN juga menyarankan majikan supaya melakukan permohonan atas talian untuk mengambil pekerja asing kepada Jabatan Imigresen supaya tidak ditipu ejen,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, seramai 141 pemegang kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) yang sepatutnya tidak boleh bekerja ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam operasi yang diadakan baru-baru ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia bagi memantau aliran wang negara yang keluar bagi kegiatan militan.
“Kita akan menjadikan dua agensi berkenaan sebagai bank pusat dan pemantauan bagi membanteras kegiatan keganasan mengikut Akta Pencegahan dan Penggubahan Wang Haram (AMLA).
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan AMLA kepada individu yang menyalurkan aliran wang untuk kegiatan keganasan termasuk kepada individu yang mengutip derma di laman sosial kemudian menyalurkan ke negara berkenaan (Syria dan Iraq),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:08 AM


AHMAD Zahid (tengah) melihat produk yang dihasilkan selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles And Manufacturing Sdn Bhd.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8407#sthash.4jGoHcNa.dpuf

Dua bos cuai


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara (JSPN).
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia kerana mereka didapati cuai dan gagal sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan yang menilai pelaksanaan projek membina lima insinerator bernilai lebih RM200 juta seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Katanya, tindakan sama juga perlu diambil terhadap dua pakar yang terbabit dalam pemilihan teknologi serta perancangan pelaksanaan projek terbabit yang gagal disiapkan dan tidak beroperasi mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan.
“Loji insinerator Pulau Pangkor walaupun dikatakan beroperasi sepenuhnya namun kecekapan operasi jauh daripada kepatuhan kontrak sedia ada.
“Manakala tiga loji lain iaitu di Cameron Highland, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi walaupun sudah siap namun PAC masih belum mendapat laporan mengenai prestasi semasa loji itu sementara tapak loji di Labuan pula terbengkalai.
“PAC tidak boleh menerima maklum balas kementerian mengenai kegagalan operasi syarikat terbabit mematuhi kontrak dengan alasan ia mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya di Parlimen, di sini, semalam.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kelima-lima insinerator terbabit secara rundingan terus kepada syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT).
“Siasatan juga mendapati jawatankuasa berkenaan hanya menilai teknologi itu berdasarkan cadangan atas kertas tanpa membuat lawatan tapak kepada projek printis di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Pewaja Steel dan prototaip di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata, kementerian perlu memastikan loji insinerator yang siap dibina dapat digunakan dan beroperasi mengikut kesesuaian iklim, lokasi, spesifikasi kontrak, tempoh masa ditetapkan dan meyakinkan rakyat dan pengguna.
“Kaedah perolehan secara tender terbuka perlu dilaksana dalam perolehan pembinaan dan operasi loji insinerator pada masa depan supaya syarikat dan teknologi berwibawa dan terkini dapat diperoleh,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8393#sthash.ipzwWv19.dpuf

Dua remaja buruan polis


Kuala Lumpur: Dua remaja lelaki diburu pihak polis selepas dipercayai membelasah hingga mati seorang remaja berusia 16 tahun di Jalan Air Pusing, Setapak di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.17 pagi itu, mayat mangsa dikenali sebagai Wanesharan, 16, ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan badan oleh orang awam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dua remaja terbabit dipercayai boleh membantu siasatan selepas beberapa saksi melihat kedua-dua mereka bersama mangsa sebelum mayat mangsa ditemui.
Katanya, dua remaja lelaki itu dikenali sebagai M Indaran, 18, dan M Shantiran, 18, diminta tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pengedar risalah di kawasan itu tidak mempunyai sebarang masalah ataupun kes jenayah lampau.
“Menurut bapa mangsa, anaknya itu terpaksa bekerja sejak berhenti sekolah ketika darjah lima untuk membantu keluarga dan tidak mempunyai masalah jenayah sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua remaja yang dicari itu dipercayai rakan kepada mangsa dan boleh membantu siasatan polis untuk mengetahui motif sebenar kejadian.
“Ada beberapa saksi yang mendakwa melihat mangsa ditampar dua lelaki pada malam sebelum dia ditemui mati.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa juga sudah diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:18 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8245#sthash.Jc6KOCy2.dpuf

Rumah terbakar dapur gas meletup

Baling: “Ketika hendak membuka dapur gas ia tiba-tiba meletup sehingga api menyambar dinding rumah.
“Saya bergegas lari ke ruang tamu dan keluar meminta bantuan. Bagaimanapun api marak dengan cepat menyebabkan semua barangan tidak sempat diselamatkan,” kata Habsah Man.
Habsah, 70, dari Kampung Belakang Pekan Kuala Pegang, di sini, berkata, kejadian jam 11.45 pagi itu apabila dia hendak memasak hidangan tengah hari untuk dua cucunya, Mohd Zaim Zamri, 10, dan adiknya, Zamzati, 8, tetapi tidak sempat berbuat demikian.
“Kebiasaan kedua-dua cucu saya akan makan selepas pulang dari sekolah.
“Selepas menyediakan lauk untuk dimasak saya kemudian membuka dapur gas terkejut apabila ia tiba-tiba meletup dan terbakar.
“Saya tergamam kerana tidak sempat selamatkan barang berharga.
“Apapun saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Anak mangsa, Zamri Yaakob, 48, berkata, ketika kejadian itu, dia berada di tempat kerja.
“Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengenai kejadian itu dan bergegas pulang kerana bimbang ibu yang tidak sihat,” katanya,” katanya yang juga Pengerusi Biro Bencana Alam UMNO Bahagian Baling.
Zamri berkata, kebiasaannya dia membantu mereka yang ditimpa musibah, tetapi kali ini Allah mengujinya dan menerima dengan sabar.
“Saya reda apa yang berlaku kerana semua yang terjadi kehendak Allah,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.10 tengah hari dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua buah kenderaan dari Baling dan Sik.
“Api dapat dikawal dalam masa 20 minit daripada merebak ke rumah penduduk yang lain.
“Seramai 18 anggota termasuk pegawai dan anggota sukarela membantu memadam kebakaran itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:18 AM


ZAMRI (kiri) melihat naskhah al-Quran yang selamat dalam kebakaran.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8247#sthash.QkW6Q4kr.dpuf

Tokoh politik mati tergantung


Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang juga tokoh parti politik pembangkang ditemui mati tergantung di bilik kediamannya di Desa Lembah Permai di sini, petang semalam.
Menurut sumber, mangsa ditemui keluarganya jam 6.30 petang semalam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.
Sumber berkata, mangsa dipercayai mati malam kelmarin sebelum ditemui keluarganya.
“Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
“Motif dan punca kematian mangsa masih lagi disiasat. Perkara itu hanya akan diketahui sebaik proses bedah siasat selesai dilakukan,” kata sumber.
Difahamkan mangsa turut dikenali sebagai Bala dikalangan rakan politik lain dan pernah menjawat jawatan naib ketua parti politik di kawasan Ampang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8382#sthash.2407iNZg.dpuf

Sudah kaku dalam semak

Jasin: Misteri seorang pengawal keselamatan warga emas tidak berkunjung ke kedai makan milik rakannya sejak Sabtu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam semak kira-kira 20 meter dari rumah sewanya di Jalan Solok Baroh, Merlimau, di sini, semalam.
Mayat Abdul Wahab Dol, 65, yang lengkap berpakaian ditemui pada jam 8 pagi oleh dua lelaki yang tinggal berhampiran ketika meninjau kawasan itu selepas seorang daripada mereka terhidu bau busuk.
Menurut sumber, bau berkenaan dihidu seorang guru ketika menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang terletak berhampiran kawasan semak sebelum dia memaklumkan perkara itu kepada suami pengasuh terbabit.
“Mereka kemudian meninjau kawasan semak berhampiran bagi mencari punca bau busuk itu dan terkejut apabila menemui mayat mangsa lengkap berpakaian dalam keadaan mengiring di situ sebelum menghubungi polis.
“Melihat kepada keadaan mayat berkenaan, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak Jumaat lalu disyaki akibat serangan asma kerana terdapat alat bantuan pernafasan penyakit itu di dalam poket seluarnya selain kad pengenalan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, motosikal jenis Honda EX5 dan topi keledar milik mangsa juga ditemui ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 100 meter dari lokasi mayatnya dijumpai.
Rakannya, Mohamad Diah Abdul Samat, 53, berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa yang mesra dipanggil Pak Andak, Jumaat lalu, ketika arwah datang ke kedai makan miliknya di kawasan berhampiran.
Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas melihat orang ramai bersama polis berada di lokasi terbabit dan terkejut apabila mendapati kad pengenalan yang ditemui pada tubuh mayat berkenaan adalah milik mangsa.
“Sudah menjadi kebiasaan setiap hari arwah akan datang ke kedai saya pada waktu petang dan malam untuk makan. Namun, selepas kali terakhir dia datang Jumaat lalu, kelibatnya tidak lagi kelihatan. Tidak sangka rupanya dia sudah meninggal dunia.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan kad pengenalan yang ditemui pada mayat itu adalah miliknya sebelum bergegas memaklumkan kejadian kepada anak serta bekas isteri arwah dan meminta mereka ke lokasi terbabit,” katanya.
Menurutnya, Abdul Wahab yang menyewa bersendirian di kawasan berhampiran menghidap penyakit asma dan menjadi kebiasaan bagi arwah meninggalkan motosikalnya sebelum berjalan kaki pulang ke rumah sekiranya diserang penyakit berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian terbabit.
“Mayat mangsa ditemui oleh orang ramai dan berdasarkan keadaan mayat itu, kita percaya dia sudah meninggal dunia sejak Jumaat lalu.
“Mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:12 AM


MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8446#sthash.LMkYfsTE.dpuf

Kena tindakan tukar serta-merta


Kuala Lumpur: Pegawai kanan polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini dikenakan tindakan pertukaran serta-merta oleh Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pegawai kanan PDRM itu dikenakan tindakan ditukar di peringkat jabatan dan tidak lagi menjawat jawatan disandang kini.
Beliau berkata, pegawai kanan PDRM yang kini ditahan reman oleh SPRM selama lima hari itu akan dikenakan tindakan tatatertib oleh PDRM sekiranya terbukti bersalah.
“Dia boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh pasukan kerana sudah mencemarkan nama PDRM. Namun ia semua bergantung kepada siasatan dilakukan SPRM.
“Jika terbukti bersalah, hukuman akan dikenakan dan bentuk hukuman itu akan dipertimbangkan kemudian,” katanya.
Harian Metro semalam mendedahkan pegawai kanan PDRM itu yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman ditahan SPRM susulan penemuan wang tunai hampir setengah juta.
SPRM yang berjaya menahan suspek dipercayai di sebuah lokasi di Nilai, Negeri Sembilan, menemui wang tunai RM170,000 daripada suspek sebelum menemui RM300,000 lagi di kediamannya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:11 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8442#sthash.dnh72V6W.dpuf

Khalwat celah kaunter tiket

Jitra: Sebuah kaunter tiket bas ekspres yang bertutup sejak awal pagi semalam membongkar kegiatan maksiat dilakukan seorang anggota tentera bersama pasangannya sebelum dicekup berkhalwat, semalam.
Mereka dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) di kaunter bas Bandar Darulaman, di sini, ketika tidur dalam kaunter terbabit jam 1.30 petang.
Difahamkan, kaunter itu dipercayai beroperasi pada jam 4 petang setiap hari dan kesempatan itu digunakan pasangan terbabit berdua-duaan untuk mengelak dikesan orang ramai.
Anggota tentera terbabit yang bertugas di sebuah kem di negeri ini dikatakan kerap datang ke situ dan mengambil kesempatan pada waktu awal pagi untuk masuk bersama pasangannya yang juga kerani di kaunter terbabit.
Dia yang berusia 27 tahun dan berasal dari Sabah itu dikatakan sudah beristeri dan mempunyai tiga anak manakala wanita terbabit yang juga penduduk tempatan mempunyai dua anak, tetapi menjanda selepas kematian suaminya.
Ketua Operasi PADKP Muhammad Ihsanuddin Mohd Azhar berkata, berdasarkan maklumat diterima, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi membuat pemeriksaan di kaunter tiket bas terbabit.
Beliau berkata, setibanya di situ, didapati pintu di bahagian hadapan dan belakang kaunter itu tertutup dan mengesyaki sesuatu mencurigakan menyebabkan anggotanya mengetuk pintu berkali-kali.
“Kita dapati kaunter tiket bas itu berkembar dengan satu lagi kaunter syarikat bas sama, tetapi satu lagi premis beroperasi seperti biasa.
“Selepas pintu diketuk hampir lima minit, seorang wanita yang berkemeja-T dan berkain batik membuka pintu dalam keadaan terpinga-pinga melihat kehadiran anggota kami.
“Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki berseluar panjang dan berkemeja-T sedang duduk atas tilam dipercayai kedua-duanya baru bangun tidur,” katanya di sini, semalam.
Muhammad Ihsanuddin berkata, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan turut memberi alasan datang ke situ untuk berbincang soal perkahwinan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya menerima maklumat pasangan itu kerap berada dalam kaunter itu sebelum ini sehingga menimbulkan syak.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Jitra untuk dibuat laporan tangkapan sebelum ke pejabat agama daerah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:10 AM


PASANGAN kerap berada dalam kaunter hingga menimbulkan syak.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8430#sthash.Xj4obaPr.dpuf