Search This Blog

Tuesday, November 11, 2014

Dua Penduduk Pulau Perhentian Kecil Hilang Di Lautan

Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 5:08 PM

BESUT: Dua penduduk Pulau Perhentian Kecil dikhuatiri hilang bersama bot mereka di laut ketika dalam perjalanan pulang ke pulau peranginan itu pada Isnin malam.
Mangsa Suffian Mohd Nor, 42, seorang nelayan dan Mohd Suhaimi Ibni Shukri, 27, pekerja chalet dikatakan pulang ke pulau itu dengan bot fiber menerusi Jeti Kuala Besut kira-kira 8 malam.
Pegawai Operasi Mencari yang juga Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata namun kedua-dua mangsa tidak kembali ke rumah sebelum keluarga mereka membuat laporan polis.
"Kedua-dua mangsa sepatutnya sampai dua jam kemudian pada malam tadi, sebaliknya gagal berbuat demikian sehinggalah kira-kira 7 pagi tadi. Seorang daripada mereka telah menghubungi keluarganya.
"Dia memberitahu bot mereka mengalami kerosakkan enjin dan dihanyut ke suatu lokasi yang mereka tidak ketahui sebelum terputus hubungan," katanya di sini Selasa.
Seramai lima anggota bomba bersama polis telah memulakan operasi pencarian di beberapa kawasan perairan dengan tumpuan kepada lokasi laluan bot antara Kuala Besut dan Pulau Perhentian serta pulau-pulau berdekatan.
Hasmadi tidak menolak bot mangsa berkemungkinan ditolak jauh dari lokasi laluan bot berikutan keadaan cuaca yang gelap malam tadi dan ditambah dengan laut yang bergelora.
Dalam perkembangan lain, usaha mencari seorang nelayan yang hilang sejak Khamis lalu, Ali Majid, 59, dari Pengakalan Atap, Kuala Besut masih gagal ditemui dan anggota mencari dan menyelamat masih meneruskan usaha pencarian sehingga hari ini.

Internet, Filem Punca Gejala Buli


Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 6:58 PM

KUALA TERENGGANU: Pendedahan perkara negatif dalam internet serta filem boleh menjadi salah satu punca gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Sufa'at Tumin.

"Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi insiden buli ini, lebih-lebih lagi sekarang ini para pelajar terdedah kepada banyak perkara negatif menerusi internet dan filem," katanya pada sidang media sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di sini, Selasa.

Sufa'at mengulas mengenai penyebaran dua klip video kes buli yang melibatkan sekumpulan pelajar di dua buah sekolah di laman sosial baru-baru ini.

Polis mengenal pasti rakaman tersebut berlaku di sebuah asrama di Pontian, Johor pada 2010 dan satu lagi di sebuah rumah anak yatim di Kangar, Perlis pada Jun lalu.

Menurut Sufa'at, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan sentiasa memantau dan terus menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi mengekang gejala tersebut selain meminta ibu bapa turut sama memainkan peranan dalam mengatasi perkara ini.

"Buli ini termasuk dalam masalah disiplin sekolah dan usaha mengekang masalah disiplin ini sememangnya usaha berterusan.

"Di sekolah-sekolah kita mempunyai guru-guru disiplin dan warden di asrama yang mana mereka juga menjalani program khusus untuk menangani perkara ini," katanya.

Dalam majlis itu, program penganugerahan kali kesembilan tersebut disertai 176 pelajar dan guru dari seluruh negara bertujuan memberi pengiktifan kepada pelajar dan sekolah yang cemerlang di peringkat kebangsaan.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Rozainum Ahmad serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin.

Guru Tinggalkan Nota Sebelum 'Ambil' Nyawa Bersama Anak Autisme


Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 9:45 AM

UDON THANI (THAILAND): Seorang guru lelaki sempat menguruskan sawahnya dan meluangkan masa makan malam bersama keluarga sebelum dtemui dalam keadaan menyedihkan bersama anaknya yang menghidap autisme.
Beberapa jam kemudian, bapa mentua guru terbabit berdepan pengalaman mengerikan apabila menemui mayat guru itu yang dipercayai membunuh diri bersebelahan mayat anak lelakinya itu.
Pegawai polis Udon Thani, Singharaj Kaewkerdme berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di daerah Mak Khaeng.
“Bapa mentua guru itu terjaga kira-kira pukul 7 pagi dan berasa aneh kerana terhidu bau darah.
“Apabila diselidik, dia menemui kedua-dua mayat dalam bilik tidur mereka,” katanya.
Singharaj berkata, polis juga menemui nota terakhir ditinggalkan guru terbabit.
Katanya, siasatan polis mendapati pasangan anak-beranak itu mati akibat kecederaan parah pada kepala.
“Sepucuk pistol ditemui berhampiran tangan kiri si bapa,” katanya.
Doktor pula berkata, kedua-dua mereka mati kira-kira lima jam sebelum ditemui.
Sementara itu, bapa mentua guru terbabit berkata, dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku.
“Dia seorang bapa dan suami yang baik. Dia juga tabah menjaga anaknya yang menghidap autisme, tetapi sesekali dia merungut mengenai keluarganya,” katanya.
Melalui nota ditinggalkan, guru itu memohon maaf dan meminta mereka menjaga anggota keluarga yang lain, termasuk isteri dan seorang anak perempuannya yang berusia 10 tahun.
Sementara itu, beberapa jiran melaporkan mereka terdengar bunyi tembakan kira- kira pukul 2 pagi.

Bas Bertembung Dengan Lori, 56 Terbunuh


Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 2:03 PM

KARACHI: Sekurang-kurangnya 56 penumpang termasuk 18 kanak-kanak terbunuh apabila bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa barangan di Selatan Pakistan pada Selasa.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku di bandar Khairpur yang terletak kira-kira 450 kilometer dari Karachi.
"Bas awam yang berulang-alik dari Karachi itu dari arah Swat sebelum bertembung dengan lori sehingga mengorbankan seramai 56 penumpang," kata seorang pegawai kanan polis, Nasir Aftab.
Jelasnya, seramai 18 penumpang lagi mengalami kecederaan. Kesemua penumpang terdiri daripada 17 perempuan dan 18 kanak-kanak manakala selebihnya lelaki.
Seorang doktor di Hospital Awam Khairpur berkata, seramai tiga dari 18 mangsa itu berada dalam keadaan kritikal ketika ini.

Kapten Feri Sewol Korea Selatan Dipenjara 36 Tahun


Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 3:02 PM
Lee dibawa keluar dari mahkamah setelah didapati bersalah cuai ketika menjalankan tugas selaku kapten feri Sewol yang karam April lalu mengorbankan lebih 300 orang penumpang sebahagian besarnya kanak-kanak sekolah.

SEOUL: Kapten feri Korea Selatan yang dipenuhi dengan pelajar-pelajar sekolah yang karam April lalu telah dihukum penjara 36 tahun setelah didapati bersalah cuai ketika menjalankan tugas.
Feri yang dinamakan Sewol itu ketika karam membawa 476 penumpang.
Sejumlah 295 penumpang disahkan mati lemas - sebahagian besarnya pelajar sekolah manakala sembilan orang lagi masih hilang.
Kapten Lee Joon-seok adalah di 15 anggota krew yang dibicarakan dalam tragedi terburuk maritim negara tersebut.
Pendakwaraya memohon agar dia dikenakan hukuman mati atas dakwaan membunuh tanpa niat.
Bagaimanapun mahkamah membebaskannya daripada tuduhan tersebut sebaliknya mendapati dia cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai kapten kapal.
Malah Lee telah didapati meninggalkan kapal yang sedang tenggelam itu ketika para penumpang masih lagi berada di dalam kapal.
Selain Lee, ketua jurutera kapal, yang hanya dikenali sebagai Park, turut didapati bersalah dan dihukum penjara 30 tahun.
Tiga belas lagi anggota krew dihukum penjara sehingga 20 tahun juga di atas kecuaian ketika menjalankan tugas sehingga membawa kepada kematian penumpang.
Malapetaka itu telah mencetuskan perdebatan hangat tentang prosedur keselamatan kapal dan juga operasi menyelamat.
Akibat daripada insiden ini, Kerajaan Korea Selatan telah membubarkan Jabatan Pengawal Pantai dan mengantikannya dengan sebuah agensi lain.
Kini satu lagi perbicaraan akan berlangsung yang melibatkan kakitangan firma perkapalan yang menguruskan perkhidmatan feri tersebut, iaitu Chonghaejin Marine Co.
Pemilik firma perkapalan tersebut yang juga seorang bilionair Korea, Yoo Byung-eun telah menghilangkan diri sebaik sahaja tragedi itu menimpa dan kemudian telah ditemui mati dipercayai membunuh diri.

Sindiket Nigeria Di China Kurier Syabu Ke Malaysia


Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 1:42 PM

KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang didalangi warga Nigeria dipercayai bertanggungjawab terhadap empat cubaan menyeludup syabu sebanyak lapan kilogram sejak 7 hingga 10 November baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sindiket yang berpangkalan di China itu dikesan cuba menyeludup dadah bernilai RM800,000.
"Hasil siasatan mendapati, empat cubaan menyeludup syabu itu dibuat menggunakan dua buah syarikat kurier di Petaling Jaya.
"Keempat-empat bungkusan berkenaan didapati tiba dari Guandong, China. Antara barangan yang digunakan untuk menyeludup syabu ialah tempat duduk basikal dan dakwat pencetak," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, Selasa.
Menurut beliau, berikutan itu, JSJN kini sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa di China untuk melumpuhkan sindiket berkenaan.  

Tembak Lelaki Hingga Cedera, Ketua Kampung Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 11 November 2014 2:42 PM

TAWAU: Polis menahan seorang ketua kampung selepas dipercayai melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang lelaki di Kampung Batu 2, Jalan Apas di sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata dalam kejadian 1.15 pagi itu, suspek berusia 62 tahun itu melepaskan dua das tembakan untuk menakut-nakutkan beberapa lelaki yang dikatakan cuba menyerangnya.
"Ketika kejadian beberapa lelaki dikatakan telah menyerang dengan melemparkan objek ke rumah beliau menyebabkan dia berang dan terus keluar rumah dan melepaskan dua das tembakan amaran untuk menakut-nakutkan penyerang terbabit.
"Satu daripada tembakan terkena seorang daripada lelaki itu. Mangsa yang cedera di bahagian telinga dan belakang badan itu kini dirawat di Hospital Besar Tawau," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan senjata jenis 'pump gun' yang digunakan turut dirampas untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Awang Besar menasihatkan orang ramai yang mempunyai lesen dan memiliki senjata api supaya tidak menggunakannya secara sewenang-wenangnya.

Penyebar ajaran Millah Abraham

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

zura_jalil@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pengusaha bengkel dan sepasang suami isteri mengaku salah terhadap pertuduhan mengembangkan ajaran sesat Millah Ibrahim @ Abraham, bulan lalu.
Tertuduh, Kamarudin Annuar, 48, yang didakwa atas tuduhan mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain agama Islam kepada orang Islam yang dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim @ Abraham membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie Ibrahim Deris.
Pasangan Mohamad Harizal Kamarudin, 36, dan Nur Ridah Osman, 24, pula mengaku salah atas tuduhan bersubahat mengambil bahagian dalam pengembangan ajaran itu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis perniagaan di Megan Phoenix, Cheras di sini antara jam 9 malam hingga jam 9.25 malam pada 20 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadap Kamarudin dikemukakan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 manakala pertuduhan terhadap Mohamad Harizal dan Nur Ridah dikemukakan mengikut Seksyen 43(b) akta sama.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:16 AM


DARI kiri Mohamad Harizal, Nur Ridah dan Kamarudin menghadapi tuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8229#sthash.HleQuRIU.dpuf

Tetak, langgar abang sampai mati


Oleh FardyBungga

fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akibat gagal mengawal kemarahan, seorang adik sanggup menetak sebelum melanggar abangnya sendiri sehingga mati dalam kejadian di Jalan 219, Seksyen 51A, Petaling Jaya, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, pertengkaran kedua beradik berusia 30-an itu dipercayai akibat perebutan hak milik sebuah lori yang diusahakan bersama sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan darah dan sebuah motosikal ditemui di tempat kejadian dengan kesan langgar.
Katanya, polis percaya suspek yang juga adik mangsa bertindak menetaknya sebelum merempuh dengan sebuah kenderaan sehingga mengakibatkan kecederaan serius di kepala dan badan.
"Mangsa dihantar oleh ahli keluarganya sendiri ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan setibanya di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya masih menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 11:28 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8253#sthash.QDJtTRof.dpuf

Kurier dadah dari China

Oleh Asmah Rusman
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas lapan kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM800,000 dalam empat pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya dalam tempoh Jumaat lalu hingga kelmarin.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, empat cubaan penyeludupan dadah itu disyaki didalangi sindiket Nigeria yang menggunakan perkhidmatan syarikat kurier dari Guangdong, China.
"Kali ini sindiket menggunakan komponen alat percetakan, tempat duduk basikal dan katrij mesin pencetak untuk menyorok semua dadah berkenaan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat awam dan kerjasama erat pihak polis dengan syarikat kurier bagi membanteras trend terbaru aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa.
Katanya, pihaknya mendapat maklumat kemungkinan Lapangan Terbang Langkawi, Kedah turut dijadikan sasaran aktiviti penyeludupan selepas lapangan terbang antarabangsa dan lapangan terbang domestik dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 11:52 AM


DADAH yang disorok dalam tempat duduk basikal. FOTO Yazit Razali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8256#sthash.uCFoKpX9.dpuf

‘Inspektor’ Vijay rakam video seks

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

am@hmetro.com.my


Georgetown: Polis mengesahkan seorang lelaki menyamar sebagai Inspektor Vijay yang ditahan di Bayan Baru Sabtu lalu sudah mengikis wang dua wanita membabitkan kerugian bernilai RM28,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 25 tahun itu menyamar sebagai pegawai polis sejak setahun lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati sepanjang tempoh itu lima wanita sudah menjadi mangsa penipuannya selain menjadi tempat pemuas nafsu sebelum diugut untuk menyebarkan video seks mereka bagi mendapatkan wang.

"Kelicikan suspek akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis selain menemui pelbagai barangan termasuk uniform polis, wang tunai RM1,205 dan telefon bimbit.

"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut danmeminta mana-mana wanita yang pernah menjadi mangsa tampil membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 3:30 PM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8266#sthash.qWqdZm65.dpuf

Hukum gantung kerana bunuh bapa


Oleh Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi selepas didapati bersalah membunuh bapa kandungnya, tahun lalu.
Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, R Arumugam, 30, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Zabariah berkata, mahkamah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan serta hujah kedua-dua pihak dalam memberikan keputusannya.
Beliau berkata, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sehubungan itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan membunuh bapanya, S Ramadas, 56.
Mengikut pertuduhan, Arumugam didakwa membunuh bapa kandungnya di 73A Kampung Kuala Lukut, Port Dickson, dekat sini, kira-kira jam 10 malam 10 Mac 2013.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Ramzani Idris.
Harian Metro pada 12 Mac tahun lalu melaporkan, akibat pertengkaran mulut, seorang lelaki membelasah bapanya dengan kayu hingga cedera parah di kepala dalam kejadian di rumah mereka di 37A, Kampung Kuala Lukut.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 3:33 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8268#sthash.ORZw48YG.dpuf

Nenek cari dua cucu hilang


Mohd Muhaimin Asrullee (kiri) bersama adiknya, Mohd Shafiq Jordenlee
Mohd Muhaimin Asrullee (kiri) bersama adiknya, Mohd Shafiq Jordenlee
SHAH ALAM - Seorang nenek merayu bantuan orang ramai supaya mengesan dua cucu lelakinya yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Mohd Muhaimin Asrullee Mohd Sharullee, 14, dan adiknya, Mohd Shafiq Jordenlee, 11, keluar dari rumahnya di Setapak, kira-kira jam 11 pagi.

Mereka memberi alasan untuk pergi ke rumah neneknya, Laila Sagap, 55, di Flet Sri Sabah, Cheras.

Bagaimanapun, dua beradik itu tidak muncul sehingga ke hari ini sehingga memaksa keluarga terbabit membuat laporan polis memaklumkan kehilangan mereka.

Menurut Laila, ketika keluar rumah, Mohd Muhaimin memakai baju-t bersama seluar jeans manakala adiknya, baju-t berwarna merah dengan seluar pendek.

“Saya amat risau kerana mereka keluar rumah sehelai sepinggang. Sehingga ke hari ini kami sekeluarga tidak tahu ke mana mereka pergi.

“Saya juga risau sesuatu yang buruk terjadi kepada mereka berdua,” kata Laila kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, dia meminta orang awam yang terlihat dua beradik itu supaya menghubungi 017-3550057 atau balai polis berdekatan.

Kanak-kanak 2 tahun maut terminum metadon


Sophie Jones
Sophie Jones
SEORANG kanak-kanak berusia 2 tahun maut selepas terminum metadon, iaitu sejenis ubat untuk merawat ketagihan dadah milik ibu bapanya yang diletakkan di dalam botol minuman Tom and Jerry.

Menurut laporan Mirror, susulan kejadian itu, ibu bapa mangsa Sophie Jones, Michelle King, 29, dan Barry Jones, 42, berdepan hukuman penjara kerana kecuaian mereka hingga menyebabkan kanak-kanak itu tertelan cecair yang tidak sepatutnya.

Selepas menyedari Sophie tidak bernafas, pasangan tersebut menghubungi ambulans ke rumah mereka di Blackpool, Lancashire di England. Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia.

Selepas keputusan itu, Inspektor Andy Cribbin dari Balai Polis Lancashire berkata, kematian Sophie adalah akibat diabaikan orang tuanya yang sepatutnya melindungi mangsa daripada sebarang kemudaratan.

“Kematiannya boleh dielakkan jika tiada penggunaan dalam rumah. Tindakan meninggalkan metadon dalam cawan kanak-kanak sama seperti meninggalkan senjata api di tempat yang boleh dicapai kanak-kanak,”katanya.

Jones, yang juga mempunyai 93 kesalahan jenayah akan dijatuhi hukuman penjara bermula bulan depan bersama pasangannya yang sebelum ini telah menerima hukuman lebih awal kerana mengaku bersalah.

Gadis barbie cedera diserang dan dirompak

Valeria Lukyanova
Valeria Lukyanova
GADIS ‘patung barbie’ dikatakan mengalami kecederaan apabila diserang dan dirompak dua lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumahnya, baru-baru ini.

Memetik laporan dari portal Mail Online pada Rabu lalu, Valeria Lukyanova, mendakwa ditumbuk berkali-kali oleh dua perombak pada 31 Oktober lalu.

Gadis kelahiran Ukraine ini dikatakan diserang sehingga mendatangkan kecederaan pada kepala dan bibirnya.

"Saya diserang ketika di pintu masuk blok kediaman saya semasa pulang dari kedai dan memasukkan kod keselamatan di pintu rumah ketika dua lelaki menyelinap dari belakang dan menyerang saya.

"Mereka cuba untuk merompak saya. Ia berlaku dalam sekelip mata, mereka memukul saya di kepala dan beberapa kali pada rahang, salah seorang daripada mereka mula mencekik saya,” katanya.

Jelasnya, kehadiran jirannya menyebabkan perompak tersebut melarikan diri.

“Jika bukan kerana jiran saya yang tiba-tiba muncul, saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Mereka melihat dia dan melarikan diri,” katanya lagi.

Lukyanova dilapor ditahan di hospital bagi mendapatkan rawatan dan dibenar pulang empat hari selepas serangan berlaku.

Pengedar dadah rempuh rumah

Keadaan rumah mangsa selepas dirempuh White.
Keadaan rumah mangsa selepas dirempuh White.
SEBUAH keluarga nyaris maut selepas ruang tamu rumah mereka di Ashington, Northumberland di England dirempuh sebuah kereta mewah BMW milik seorang pengedar dadah yang dipandu laju.
Pemandu dan juga pemilik kenderaan tersebut, Owen White, 25, ketika itu dikatakan berada di bawah pengaruh dadah dan baru pulang dari sebuah parti pada malam sebelum kejadian itu.
Owen yang melarikan diri selepas kemalangan itu bagaimanapun ditahan melalui pendaftaran kereta yang didaftarkan atas namanya. Pada awalnya, dia tidak mengaku memandu kenderaan itu, namun terdapat DNA nya pada beg udara pemandu.

Hakim, John Evans berkata, pasangan suami isteri dan seorang anaknya yang tinggal di rumah itu nyaris maut, namun mereka terselamat kerana sedang tidur di tingkat atas memandangkan kejadian berlaku pada hari Ahad sekitar pukul 7.45 pagi (waktu tempatan).

“Anda memandu dengan melulu sehingga merempuh rumah milik sebuah keluarga. Nasib mereka baik kerana tidak berada di ruang tamu. Jika mereka berada di ruang tamu, kamu akan menghadapi tuduhan membunuh,” katanya.

White mengaku bersalah kerana memandu secara berbahaya dan dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan.

Menurut penghuni rumah, selepas terdengar bunyi kuat dari tingkat bawah, mereka keluar untuk melihat dan dapati tiga lelaki sedang membantu antara satu sama lain keluar daripada kereta dengan White mengalami kecederaan. - Mirror

Kapten kapal Sewol bakal dihukum mati


Joon-seok didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh akibat kecuaian yang disengajakan.
Joon-seok didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh akibat kecuaian yang disengajakan.
KOREA SELATAN - Kapten kapal Sewol yang karam pada April lalu kini bakal berdepan hukuman gantung setelah didapati gagal menjalankan tugasnya sebagai ketua kapal.

Kapten feri, Lee Joon Seok adalah antara 15 anak kapal yang didakwa di Mahkamah Korea Selatan atas tragedi buruk kapal Sewol yang mengorbankan lebih 300 nyawa ketika karam di Pulau Jeju.

Menurut pasukan Pendakwa Raya, Joon Seok bersama 14 krew lagi didakwa meninggalkan kapal selepas memberitahu penumpang supaya kekal berada dalam kabin kapal yang sedang ditenggelami air.

Joon Seok dan tiga lagi berdepan dengan tuduhan membunuh, manakala 11 yang lain dituduh cuai ketika menjalankan tugas.

Masing-masing yang dituduh cuai kini berdepan dengan hukuman penjara 30 tahun

Tragedi tersebut disifatkan salah satu bencana paling buruk dicatatkan di Korea Selatan.

Kebanyakan yang terkorban dalam nahas tersebut adalah kanak-kanak sekolah.

Dalam pada itu, kerajaan Korea Selatan turut dilapor mengumumkan pembatalan pencarian mayat dalam kapal yang tenggelam.

Pengumuman tersebut dibuat beberapa jam sebelum keputusan mahkamah dikeluarkan.

Menurut laporan portal BBC hari ini, sebanyak 295 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat setakat ini.

Manakala sembilan yang lain dilaporkan masih hilang.

Lubuk simpan tembaga terbongkar


MOHD ISKANDAR OTHMAN
Fah Hin menunjukkan kabel yang ditemui dari suspek.
Fah Hin menunjukkan kabel yang ditemui dari suspek. Fah Hin menunjukkan kabel yang ditemui dari suspek.
11 November 2014


BAYAN LEPAS - Seorang pengusaha kedai barang lusuh dan pekerjanya ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan sindiket mencuri kabel di sekitar daerah barat daya.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah rumah setinggan di Sungai Nibong Kecil, di sini semalam, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 30 tahun sedang leka membakar kabel bagi mendapatkan aluminium dan tembaga.

Serbuan diketuai Asisten Superintendan Mohamad Sani Mat Ali itu berjaya merampas 200 kilogram kabel yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, rumah itu dijadikan stor menyimpan barang lusuh. Mereka dipercayai membakar kabel bagi mengeluarkan tembaga yang kemudian dijual dengan harga dua kali ganda.

"Kita percaya mereka menjadi orang tengah dengan membeli dari sindiket curi kabel dengan harga murah sebelum menjual kembali kepada pihak ketiga dengan harga berlipat kali ganda.

"Siasatan mendapati semua kabel yang dirampas itu milik Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya pada sidang media di Balai Polis Bayan Lepas, di sini, semalam.

Menurutnya, serbuan itu dibuat berikutan laporan seorang penyelia TNB yang mendakwa stor syarikat itu di sebuah tapak pembinaan pencawang baharu di Sungai Ara diceroboh Khamis lalu.

Sebanyak 30 kabel TNB disimpan dalam kontena yang dijadikan stor hilang dengan kerugian dianggarkan mencecah RM60,000.

"Berikutan itu,kami menggerakkan ops lusuh bagi memburu suspek. Kita percaya kabel yang ditemui di stor berkenaan adalah sebahagian yang dicuri lima hari lalu," katanya.

Fah Hin berkata,kedua-duanya akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Cikgu minta solat sebelum perbicaraan


ADILA SHARINNI WAHID
Cikgu minta solat sebelum perbicaraan
Cikgu minta solat sebelum perbicaraan
10 November 2014


KOTA BHARU - Seorang guru sempat menunaikan solat Zuhur di dalam mahkamah sesyen, di sini, petang tadi, sebelum dituduh atas dakwaan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang pelajarnya, minggu lalu.

Tertuduh, Nik Hazmi Ghani, 33, ketika itu sedang menunggu prosiding tuduhan dijalankan ke atasnya dan meminta kebenaran pihak polis untuk sembahyang kira-kira jam 3.20 petang.

Dia kemudiannya bersembahyang di atas kerusi di dalam mahkamah sebelum prosiding bermula pada jam 4 petang.

Tertuduh didakwa merangsang kanak-kanak sembilan tahun terbabit untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di Kampung Teras, Sering, Binjai, di sini, antara jam 11 malam, 30 Oktober lalu dan 1 pagi, keesokannya.

Bapa tiga anak tersebut, bagaimanapun mengaku tidak salah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus. Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari memohon tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan tidak menawarkan jaminan
dengan alasan tertuduh dan mangsa masing-masing mengajar serta belajar di sekolah yang sama.

Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Takiyuddin Hassan merayu supaya dibenarkan jaminan dengan hujah tertuduh sebagai seorang penjawat awam yang mempunyai keluarga dan berjanji akan mematuhi segala undang-undang, jika jaminan itu dibenarkan.

Selepas penelitian maksimum, Mohd Yusoff kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat jamin tersebut akan terbatal jika terdapat laporan gangguan tertuduh terhadap mangsa atau saksi-saksi pihak pendakwaan.

Kes bersambung 9 Disember depan.

Sinar Harian pada 3 November lalu menyiarkan laporan seorang guru berusia 33 tahun ditahan polis selepas didakwa cuba meliwat murid tahun tiga sekolahnya.

Kejadian 30 Oktober lalu itu terbongkar selepas ibu mangsa mengesaki sesuatu yang tidak kena pada anaknya kerana pulang lewat malam dengan bau harum minyak wangi melekat di badan.

Lelaki amuk, hayun parang dalam balai polis


WARTAWAN SINAR HARIAN
Balai polis Manjoi.
Balai polis Manjoi. Balai polis Manjoi.
10 November 2014


MANJOI - Anggota Balai Polis Manjoi, di sini semalam gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman secara tiba-tiba meluru masuk ke pekarangan balai dan menjerit supaya diberikan sepucuk pistol.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga merupakan bekas guru itu dikatakan mengamuk dan mengugut seorang anggota wanita yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan sambil memegang parang panjang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek yang memegang parang sepanjang 0.6 meter bertindak menghayun senjata itu ke anggota wanita terbabit.

“Empat anggota MPV bertindak mengepung balai dan suspek melepaskan parang yang dipegangnya selepas dipujuk salah seorang anggota.

“Setelah beberapa minit, suspek berjaya ditangkap walaupun berlaku sedikit pergelutan,” katanya.

Chang Keong berkata, hasil siasatan mendapati suspek merupakan bekas guru sekolah menengah berhampiran telah bercuti tanpa gaji selama setahun kerana disyaki menghadapi masalah mental.

“Lelaki berkenaan telah bercerai dengan isterinya sejak dua minggu lalu dan mempunyai empat orang anak. Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Suspek sekarang direman dan dihantar untuk pemeriksaan doktor. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya.

Kerana angsa, penganggur mengaku tikam dua lelaki


ADILA SHARINNI WAHID
Kerana angsa, penganggur mengaku tikam dua lelaki
Kerana angsa, penganggur mengaku tikam dua lelaki
11 November 2014


KOTA BHARU - Susulan kes berang dituduh mencuri angsa, seorang penganggur mengaku salah atas tuduhan menikam dua lelaki, di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu, bagaimanapun ditetapkan bulan depan sementara menunggu laporan perubatan dan fakta hukuman.

Tertuduh, Mohd Ridzuan Abu Hanifah mengaku salah pada tuduhan pertama mendatangkan cedera ke atas Saruan Mohd Noor, 35, dengan menggunakan sebilah parang di sebuah bangsal berhampiran sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Durian Kudung, Bachok, pada jam 1.30 petang, 8 November lalu.

Tertuduh juga mengaku bagi pertuduhan kedua, mendatangkan kecederaan ke atas rakan Saruan, Nor Azizan Che Said, 32, dengan menggunakan senjata sama pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri. Pada prosiding itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM8,000 dengan seorang penjamin. Kes bersambung pada 17 Disember depan di Mahkamah Bachok.

Sinar Harian, 9 November lalu melaporkan seorang tukang cat parah, manakala rakannya cedera apabila diserang lelaki yang marah dituduh mencuri angsa di Kampung Durian Kudung, Gunung, Bachok.

Lelaki berkenaan marah dituduh mencuri dan mereka bertengkar sebelum bergelut dan mangsa ditikam di dada. Seorang lagi mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan, cedera di tangan.

Kejadian disedari adik Saruan dan penduduk kampung yang kemudian bertindak pantas menangkap serta mengikat suspek.

11 motosikal kena angkut DBKL


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 November 2014
Penguat kuasa DBKL mengambil tindakan sita terhadap motosikal yang diletakkan di siar kaki di pusat bandar
Penguat kuasa DBKL mengambil tindakan sita terhadap motosikal yang diletakkan di siar kaki di pusat bandar Penguat kuasa DBKL mengambil tindakan sita terhadap motosikal yang diletakkan di siar kaki di pusat bandar

KUALA LUMPUR - Akibat ambil jalan mudah, pemilik sebelas motosikal yang diletakkan di laluan pejalan kaki disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi di beberapa kawasan di ibu kota.

Ketua Operasi DBKL, Afzal Nizan berkata, tindakan khas angkut motosikal itu merupakan siri ke-40 bagi tahun ini dalam usaha mengekang sikap pentingkan diri pengguna motosikal yang sering meletak kenderaan sesuka hati.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan halangan kerana menggunakan ruang yang sepatutnya digunakan orang awam.

“Selain tindakan ke atas motosikal milik orang awam yang diletakkan atas siar kaki di pusat bandar, operasi ini juga memberi tumpuan terhadap kedai-kedai motosikal yang meletakkan motosikal di siar kaki.

“Sebanyak 79 notis dikeluarkan terhadap motosikal yang diletakkan di siar kaki di kawasan-kawasan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang, Persiaran KLCC dan Lorong Binjai.

“Ia seperti mana termaktub di bawah Kesalahan Kaedah 44, Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya.

Tambah beliau, tindakan terhadap kedai-kedai motosikal juga meliputi mana-mana yang dikenal pasti menyebabkan kekotoran di ruang awam.

“Sebanyak empat notis di bawah seksyen 46 (1d) dikeluarkan melibatkan kekotoran di hadapan premis, manakala satu notis satu notis bawah Seksyen 46 (1a) kerana meletakkan tong, kotak, sampah atau barang di tempat awam,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, kesemua motosikal yang di sita dihantar ke Stor Simpanan Kenderaan Jalan Galloway.

Konco Hasan Budu dipenjara


Mohd Jasmin dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam
Mohd Jasmin dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan yang juga dipercayai salah seorang konco ‘Hasan Budu’ dijatuhi hukuman penjara 28 bulan selepas mengaku salah mencuri sebuah kereta milik seorang pemandu lori, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Mohd Jasmin Othman, 41, dari Kampung Padang Tapong, Jerteh, Besut, mengaku salah mencuri Proton Wira yang bernilai RM13,000 milik Zamzunazri Masri, 27.

Dia mengaku salah melakukan jenayah itu bersama seorang lagi yang belum dituduh, pada 29 Mei lalu, antara jam lebih kurang 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi, di hadapan sebuah kedai, di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini.

Dengan itu Mohd Jasmin mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada 29 Mei lalu, jam lebih kurang 12.30 tengah malam, semasa berada di rumah di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, mangsa dapati kereta Proton Wiranya yang diletak di hadapan rumah telah tiada.

Yakin keretanya dicuri, mangsa terus membuat laporan polis di Balai Polis Batu Rakit.

Bagaimanapun, pada hari sama, lebih kurang 2.30 pagi, semasa rakan sekampungnya berada di tepi jalan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini, telah ternampak kereta milik mangsa dinaiki dua lelaki yang tidak dikenali dan diikuti sebuah kereta jenis Honda Ferio yang juga dinaiki dua lelaki lain tidak dikenali menghala ke arah Kota Bharu, Kelantan.

Mereka yang telah dimaklumkan mengenai kehilangan kereta mangsa sebelum ini cuba menghalang kereta berkenaan bagaimanapun gagal.

Apabila tiba di Jalan Mengabang Panjang, Batu Rakit, di sini, rakan mangsa dapati kereta milik mangsa yang dicuri itu telah ditinggalkan di tepi jalan.

Lebih kurang jam 3.15 pagi, rakannya lihat kereta Honda Ferio sama datang semula, kemudian dua lelaki yang sama telah turun dari kereta tersebut untuk mengisi minyak ke dalam kereta milik mangsa.

Yakin kedua-dua mereka inilah pencuri kenderaan itu, rakan mangsa yang memerhati gelagat kedua-duanya sebelum ini terus menangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Tiga kumpulan penjenayah lumpuh


Saiful Bahri meneliti alat hiburan yang dirampas.
Saiful Bahri meneliti alat hiburan yang dirampas.
GUA MUSANG - Tiga kumpulan penjenayah lumpuh selepas ketua setiap kumpulan terbabit berjaya diberkas dalam beberapa serbuan sepanjang tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Ketiga-tiga kumpulan terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah, curi motosikal dan tabung masjid sekitar daerah.

Ketua Polis daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, antara tiga ketua kumpulan yang berjaya ditahan dan dijatuhkan hukuman di mahkamah Oktober lalu, ialah kumpulan Iwan, Mamat dan Fatah.

Beliau turut mengakui dua budak lelaki bawah umur yang turut terbabit dalam kumpulan berkenaan juga ditahan dan dibicarakan mahkamah Juvana sebelum polis melancarkan gerakan mengesan saki baki kumpulan berkenaan.

“Dengan penahanan tiga ketua kumpulan berkenaan kita berjaya selesaikan 31 kes pecah rumah dan curi motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) di sini, pagi semalam.

Saiful Bahri berkata, kumpulan Iwan membabitkan 10 kes pecah rumah, kumpulan Mamat lima kes pecah rumah masing-masing empat curi motosikal dan 13 kes curi wang tabung masjid, manakala kumpulan Fatah membabitkan lapan kes pecah rumah.

Beliau berkata, kejayaan itu berikutan pihaknya menubuhkan 'task force' yang berfungsi untuk mengesan kumpulan itu dan hasilnya juga turut menemui semula barangan dicuri penjenayah terbabit membabitkan rampasan bernilai RM50,000.

“Dengan kejayaan itu terbukti kemampuan anggota kita menjalankan intipan di samping menjejaki penjenayah itu hingga berjaya ditahan dan sudah didakwa di mahkamah,” katanya,

Selain itu katanya, polis juga berjaya menyerbu empat premis yang menjalankan kegiatan hiburan haram, termasuk tiga premis terletak di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan sebuah premis di Kampung Pulai.

“Dalam serbuan itu, turut ditahan 21 pelayan warga Thailand yang menyalahgunakan pas lawatan sosial di tiga premis hiburan haram itu,” katanya.

Aset empat hospital awam bernilai RM44.19 juta hilang



SATU kes kecurian melibatkan 68 jenis ubat bernilai RM1.21 juta berlaku di Substor Farmasi Neurosains dan Substor Farmasi Urologi/Nefrologi Hospital Kuala Lumpur pada November 2011. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 mendedahkan aset bernilai RM44.19 juta hilang di empat buah hospital Kementerian Kesihatan bagi tempoh 2011 hingga 2013.
Menurut laporan itu, satu kes kecurian melibatkan 68 jenis ubat bernilai RM1.21 juta berlaku di Substor Farmasi Neurosains dan Substor Farmasi Urologi/Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada November 2011.
Hasil siasatan yang dijalankan oleh HKL mendapati kecurian itu dilakukan oleh orang dalam yang berurusan dengan pihak stor dan mengetahui kelemahan dalam pengurusan kunci substor farmasi tersebut.
Laporan polis telah dibuat pada 27 Disember 2011.
Namun, sebahagian daripada stok ubat itu yang bernilai RM0.74 juta telah dijumpai semula pada Januari 2012.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3IiNC5bbL 
Hakcipta terpelihara 

Cuba kebas duit nenek RM1 juta


Hezlishah dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam semalam atas cubaan menipu duit nenek sendiri.


SEBERANG PERAI – Seorang cucu yang tergamak cuba menipu nenek sendiri membabitkan wang berjumlah RM1 juta hasil penjualan tanah berakhir dengan lelaki itu didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini semalam.
Tertuduh, Hezlishah Ahmad, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Hezlishah yang ditangkap pada 5 November lalu didakwa tidak menyerahkan lima keping cek yang kesemuanya bernilai RM1 juta kepada Rahmah Mohd., 79, hasil penjualan tanah milik neneknya seluas 0.8 hektar di daerah ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3IiMauCKg 
Hakcipta terpelihara 

9 maut jet peribadi langgar kren



Agensi - BEBERAPA anggota keselamatan memeriksa serpihan sebuah jet peribadi yang terhempas selepas merempuh sebuah kren berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Grand Bahama di Bahamas kelmarin.


NASSAU, Bahamas – Sembilan penumpang termasuk ketua gereja Bahamas terbunuh apabila jet yang mereka naiki terhempas selepas merempuh sebuah kren di sebuah tapak pembinaan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Grand Bahama di sini kelmarin.
Seorang jurucakap polis berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 5.10 petang waktu tempatan ketika pesawat berkenaan yang berlepas dari bandar ini terbang rendah untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
“Semua sembilan penumpang termasuk anak kapal jet malang tersebut terbunuh,” katanya.
Antara penumpang yang maut termasuk ketua gereja Bahamas, Myles Munroe, isterinya dan beberapa lagi pengikut beliau.
Jet peribadi milik syarikat penerbangan Lear Jet itu meletup selepas merempuh kren milik sebuah syarikat perkapalan sebelum terhempas.
Munroe merupakan ketua sebuah kumpulan gereja terbesar di Bahamas dan mempunyai beribu-ribu pengikut di negara itu.
Beliau dan beberapa pengikutnya hadir ke bandar ini untuk menghadiri satu persidangan gereja.
Jabatan Penerbangan Awam Bahamas dalam satu kenyataan memberitahu bahawa, pihaknya akan melakukan penyiasatan untuk mengetahui punca sebenar nahas tersebut. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3IiKSFxIz 
Hakcipta terpelihara 

Tragedi kandang lembu


Tanah Merah: “Ketika melalui kandang itu, saya nampak lembu mati dan terkejut melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan bogel berhampiran lembu itu,” kata Mohd Husin, 61.

Mohd adalah saksi pertama yang menemui mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan dalam kandang lembu miliknya di Kampung Panglima Bayu di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia menemui mayat lelaki tanpa pakaian itu kira-kira jam 4 petang ketika keluar mencari seekor lembunya yang hilang bersama rakan Kiman Hasan, 47, di kawasan sekitar kandang berkenaan.

“Sejak jam 9 pagi, saya keluar mencari lembu itu kerana tiada di lokasi yang biasa. Puas mencari di kawasan berkenaan, saya beralih ke kawasan kandang sebelum terkejut menemui mayat lelaki itu bersama lembu saya.

“Saya segera memanggil Kiman yang ketika itu berada jauh di depan untuk mengesahkan apa yang saya lihat. Kami kemudian mengambil keputusan melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Katanya, dia membuat aduan di Balai Polis Batu Gajah, kira-kira jam 4.15 petang manakala mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, adik mangsa dikenali sebagai Abdul, 30, berkata, abangnya yang berusia 43 tahun dan menghidap sakit jantung, paru-paru berair serta lelah disedari tidak pulang ke rumah oleh isterinya sejak jam 10 malam, Sabtu lalu.

“Arwah tidak memaklumkan pergi ke mana, malah kakak ipar pun hanya sedar arwah tidak pulang sejak jam 10 malam sebelum kami menghubungi rakan arwah tiada seorang pun yang tahu sehinggalah ada jiran memberitahu mayat abang ditemui di sebuah kandang lembu,” katanya.

Menurutnya, berikutan penyakitnya, arwah abangnya yang juga bekas tentera kini bekerja sebagai buruh dan pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati punca dia meninggal dunia akibat kecederaan serius di bahagian kiri leher.

Menurutnya, kecederaan itu dipercayai akibat ditendang lembu berdasarkan kesan tapak kaki haiwan berkenaan yang ditemui pada leher mangsa.

“Mangsa turut mengalami pendarahan dalam otak manakala punca kematian lembu itu dipercayai akibat terjerut,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:16 AM

ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa di kandang lembu di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8227#sthash.0Pty2hDl.dpuf