Search This Blog

Tuesday, November 4, 2014

Polis Tahan Empat Lelaki, Rampas Dadah RM1 Juta


Diterbitkan: Selasa, 4 November 2014 6:43 PM

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan lima cubaan sindiket antarabangsa dan tempatan untuk menyeludup dadah ke negara ini, selain merampas 9.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1 juta, dalam tempoh empat hari lepas.
  

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sepanjang tempoh itu, empat lelaki dengan tiga daripadanya warga asing dan seorang warga tempatan berusia 27 hingga 34 tahun turut ditahan di pelbagai lokasi.

Ini termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Bandar Sunway dan Petaling Jaya, kata beliau.

"Selain itu, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) kita juga berjaya membongkar taktik-taktik baharu yang digunakan sindiket antarabangsa untuk menyeludup masuk dadah.

"Ia antaranya menggunakan perkhidmatan syarikat khidmat kargo udara yang tidak begitu dikenali di Malaysia oleh warga asing khususnya Nigeria untuk membawa sejumlah dadah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Noor Rashid berkata, cubaan pertama berjaya dipatahkan di sebuah kondominium di Pulau Pinang apabila seorang lelaki warga Nigeria ditahan bersama 2.6 kg dadah syabu yang disorok dalam sebuah kotak berisi patung tembikar pada pukul 3.10 petang, 31 Oktober lepas.

Dua jam kemudian, di Petaling Jaya hari yang sama, polis menumpaskan percubaan menyeludup dadah menggunakan syarikat perkhidmatan kargo tempatan selain merampas dadah jenis Syabu seberat 2.6 kg yang disimpan dalam 42 bahagian kaki meja komputer tetapi tiada tangkapan dibuat.

"Terdapat tujuh unit meja komputer yang dirampas dan setiap satunya memiliki enam bahagian besi batang kaki meja komputer," katanya.

Pada kira-kira pukul 7.30 malam, hari yang sama, seorang lelaki warga Republik Guinea ditahan di Petaling Jaya dengan sejumlah 0.5 kg Syabu yang dijumpai dalam span tempat duduk basikal yang telah diubahsuai.

Noor Rashid berkata, dalam tangkapan seterusnya, polis menahan seorang lelaki warga India di KLIA dan menemui sebanyak 1.7 kg dadah syabu yang disembunyikan dalam ruangan bagasi yang telah diubahsuai pada pukul 8 pagi, Sabtu lepas.

"Semalam kira-kira 2 petang di Bandar Sunway pula, kami menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dua kilogram syabu yang diletakkan dalam tempat duduk basikal yang diubahsuai, dipercayai diseludup masuk dari negara China.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus memperhebatkan tindakan untuk membanteras aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket tempatan mahupun antarabangsa pada masa depan.

Polis Tahan Lelaki Disyaki Rancang Serangan Bom di London


Diterbitkan: Selasa, 4 November 2014 1:00 PM

LONDON: Polis Britain menahan seorang lelaki berusia 18 tahun kerana disyaki merancang melakukan serangan bom di sini, Isnin.
Anggota skuad pemusnah bom tentera dihantar ke kawasan perumahan berhampiran Stadium Newcastle United di timur laut England selepas 'bahan meragukan' dijumpai di kawasan tersebut.
"Seorang lelaki kulit putih berusia 18 tahun ditahan dan kini diletakkan di dalam tahanan bagi menjalani siasatan," kata Superintendan Polis Northumbria, Bruce Storey.

"Dia ditahan selepas disyaki memiliki bahan letupan dengan niat untuk membahayakan nyawa orang lain.

"Kami tidak tahu niat sebenar lelaki ini tetapi percaya dia ingin melakukan sesuatu yang boleh mengancam orang lain," katanya.

Storey berkata, berikutan maklumat daripada orang ramai, polis menggeledah rumah lelaki terbabit dan menjumpai bahan yang disyaki menyebabkan mereka menutup kawasan itu dan mengosongkan beberapa rumah.

Polis berkata, mereka kini sedang mengumpulkan segala maklumat yang ada berhubung lelaki berkenaan bagi mengenal pasti motifnya.

Pelajar Sesat Di Hutan Lipur Sekayu Ditemui Mati


Diterbitkan: Selasa, 4 November 2014 9:36 PM
Ahmad Rafikin Azman

HULU TERENGGANU: Pelajar Tingkatan Empat yang hilang sewaktu menyertai perlumbaan maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang di sini sejak Sabtu lepas ditemui mati oleh sukarelawan mencari dan menyelamat.

Ahmad Rafikin Azman, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu ditemui oleh anggota penyelamat sekitar 3.30 petang di celah batu, tidak jauh dari trek perlumbaan.

Timbalan Ketua Polis Hulu Terengganu, ASP Rosli Amir ketika ditemui Bernama hanya memberi kenyataan ringkas berkenaan penemuan mangsa yang hilang sejak tiga hari lepas.

"Mangsa selamat dibawa turun kira-kira 6.40 petang tadi dan ditemui oleh pasukan penyelamat di celah batu. Dia dihantar ke Rumah Mayat Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.

Dalam keadaan hujan lebat, operasi membawa turun mangsa memakan masa hampir tiga jam berikutan cuaca yang buruk dan laluan yang licin.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi khemah operasi mencari dan menyelamat apabila anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak dan ada antara mereka pengsan sejurus mendapat berita sedih itu.

Ahmad Rafikin dilaporkan hilang setelah tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira pukul 6 petang Sabtu.

Azman sebelum itu memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatutnya diambilnya kira-kira 3 petang selepas acara itu.

Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota pasukan bomba dan penyelamat, polis, Rela, tentera serta penduduk kampung turut disertai anggota keluarga mangsa.

Tiga beranak maut MPV bertembung bas

Tiga beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki mangsa
Tiga beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 92, Jalan Lipis-Merapoh, Kuala Lipis, Pahang, awal pagi semalam.



KUALA LIPIS 3 Nov. - Tiga beranak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas eks­pres dua tingkat di Kilometer 92, Jalan Lipis-Merapoh dekat sini, awal pagi ini.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu ialah pemandu MPV ber­kenaan, Nik Zainuddin Nik Mohamad, 58, isterinya, Wan Akma Lailee Wan Aziz, 54, dan anak perempuan mereka, Nik Lyana, 19. Seorang lagi anak mangsa, Ahmad Bahari, 15, yang turut berada dalam kenderaan itu cedera parah.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian pukul 2.05 pagi itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di tempat kejadian, MPV berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
“Tiga mangsa yang berada di dalam MPV meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang mangsa lagi cedera parah,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua 43 penumpang dan pemandu bas dua tingkat berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, katanya, jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat manakala seorang mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Ujarnya, pada masa ini pihak polis masih giat melakukan siasatan menyeluruh dalam kes ini.
Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Cicha akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol, Kota Bharu hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/tiga-beranak-maut-mpv-bertembung-bas-1.20531#sthash.07VQ5KE4.dpuf

Bakar kereta kerana cinta ditolak


SUSPEK yang membakar dua kereta diberkas oleh orang ramai di Butterworth, Pulau Pinang, awal pagi semalam.
ANGGOTA bomba dan penyelamat memeriksa dua kereta yang terbakar dipercayai angkara seorang lelaki di Butterworth, Pulau Pinang, awal pagi semalam. 


 BUTTERWORTH 3 Nov. – Seorang lelaki berusia 50 tahun nekad membakar kereta seorang wanita selepas tidak berpuas hati cintanya ditolak oleh wanita tersebut dalam kejadian di Lorong Melur 19, Taman Emas dekat sini awal pagi ini.
Menurut sumber, suspek datang ke rumah wanita yang berusia 46 tahun itu kira-kira pukul 2.20 pagi ketika wanita tersebut pulang dari tempat kerjanya di sebuah kelab di sini.
Difahamkan suspek meluahkan perasaan cintanya kepada wanita yang telah bersuami itu.
Suspek kemudiannya melepaskan kemarahan dengan memecahkan cermin kereta Proton Iswara suami mangsa dan pintu serta tingkap rumahnya.
Suspek kemudiannya bertindak lebih ganas apabila membakar motosikal yang dinaikinya yang di­letakkan di belakang kereta Toyota Vios milik mangsa sehingga meng-akibatkan kereta itu turut terbakar.
Tindakan pantas suami mangsa memadamkan kebakaran tersebut dengan menggunakan alat pema-dam api berjaya mengawal kebakaran sebelum anggota bomba dipanggil bagi memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.
Suspek yang dikatakan sering mengunjungi kelab malam tempat wanita itu bekerja, kemudiannya melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan oleh orang ramai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan bahan bakar.
"Suspek berjaya ditahan oleh anggota peronda yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan dia kini ditahan di lokap berpusat di Kepala Batas.
"Kita sedang menyiasat motif kejadian yang menyebabkan suspek bertindak demikian," katanya ketika dihubungi hari ini
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bakar-kereta-kerana-cinta-ditolak-1.20556#sthash.XfzgHxXV.dpuf

Lelaki memandu kapal terbang ke pub untuk minum bir


CAPE TOWN 4 Nov. - Penduduk di sebuah bandar di Newman, Australia gempar apabila seorang lelaki memandu sebuah pesawat ringan di atas jalan raya ke sebuah pub untuk minum bir baru-baru ini.
Menurut akhbar The Guardian, pesawat itu didapati tidak mempunyai sayap bergerak menggunakan kipas dan mengawalnya menggunakan pedal kaki.
Seorang pegawai polis di Newman, Sarjan Mark McKenzie berkata, menurut Akta Jalan Raya, jika disabitkan kesalahan lelaki itu boleh didakwa dibawah Kod Jenayah apabila jenayah yang dilakukannya sedikit pelik dari kebiasaan.
Lelaki itu kemudian memandu pesawat yang dinaiki pulang ke rumahnya semual. - Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-memandu-kapal-terbang-ke-pub-untuk-minum-bir-1.20412#sthash.ykgMTRGu.dpuf

Ibu sama nama dengan anggota militan IS ditahan


TUNIS 3 Nov. – Gara-gara mempunyai nama yang sama dengan seorang anggota militan Negara Islam (IS), seorang wanita Britain ditahan selama sembilan jam pada hari pertama tiba di Tunisia untuk bercuti bersama keluarganya.
Portal berita aol.co melaporkan, Sally Jones, suaminya, Mark dan dua anak mereka, Lucy, 13 serta Ben, 11, tidak dibenarkan memasuki Tunisia selepas pengawal keselamatan sempadan menyangka dia adalah suspek wanita yang didakwa berpindah ke Syria untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) pada tahun ini.
Suspek anggota militan IS itu juga bernama Sally Jones pada tahun 1990-an merupakan seorang pemain gitar kumpulan muzik Krunch di Britain yang dianggotai ahli wanita dan pernah membuat beberapa persembahan di tenggara Britain.
Difahamkan, pegawai pengawal kredit yang berusia 43 tahun itu ditahan pada hari Jumaat minggu lalu dan dikawal pegawal bersenjata tanpa makan serta minum selepas terbang dari Manchester ke Tunisia untuk bercuti.
“Saya trauma dengan pengalaman ditahan. Selama sembilan jam mereka tahan kami. Mereka tidak beritahu sebab kami ditahan, tiada makanan atau minuman diberikan dan kami berasa terancam.
“Mereka hanya memberitahu saya bahawa Sally Jones mempunyai pasport dengan tarikh lahir yang sama dengan saya selain rupa wajah yang hampir sama. Hanya itu yang diberitahu kepada kami,” kata Sally kepada Manchester Evening News.
Akhirnya, pengawal sempadan bertindak membebaskan mereka sekeluarga setelah Sally memberi maklumat asal peribadinya, yang jelasnya merupakan antara maklumat yang telah diperolehi pengawal itu sejak dari awal lagi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-sama-nama-dengan-anggota-militan-is-ditahan-1.20414#sthash.bWpl5IRt.dpuf

Tendangan 4 jahanam

Kajang: Tindakan tidak berhati perut empat penjenayah menyerang seorang janda hingga menyebabkan mangsa cedera parah akibat kepalanya terhempas di atas jalan.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, mangsa, Cheong Chooi Mee, 46, dikatakan menunggang motosikal berseorangan sebelum diserang empat suspek di Taman Semenyih Indah di sini.
Mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh selepas motosikal ditunggang dipercayai ditendang penjenayah terbabit.
Mangsa yang mempunyai tiga anak perempuan kini masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat pendarahan di bahagian otak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Muhamad Ji berkata, kejadian turut disaksikan seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:09 AM


CHEONG cedera parah selepas terjatuh dari motosikal akibat diserang 4 penjenayah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6371#sthash.BZgXyw7a.dpuf

Yatim piatu sekelip mata

Oleh Syazwan Msar

am@hmetro.com.my

Kuala Lipis: Tiga beranak terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 92, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, 2.05 pagi tadi.
Mangsa maut adalah pemandu MPV berkenaan, Nik Zainuddin Nik Mohamad, 58, isterinya, Wan Akmaa Lailee Wan Aziz, 54 dan anak mereka, Nik Lyana, 19.
Seorang lagi anak mangsa, Ahmad Bahari, 15, cedera parah.
Semua mangsa berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan berlaku apabila Zainuddin yang memandu MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur.
"Namun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh bas.
"Akibatnya, tiga daripada empat beranak itu maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala seorang lagi parah.Orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi,di sini.
Beliau berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dan parah dihantar ke Hospital Gua Musang, Kelantan.
"Bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kota Bharu membawa 42 penumpang dan pemandu serta penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 10:08 AM


KEADAAN kereta mangsa yang bertembung dengan bas. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6173#sthash.bPdVZrQc.dpuf

Haji Ain bawa lari RM2 juta

Oleh Nur Saliawati Salberi

hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki kini sedang diburu selepas dipercayai memperdaya lebih 20 individu termasuk orang kenamaan dari negeri ini untuk melabur dalam syarikat jualan langsung miliknya membabitkan kerugian lebih RM2 juta sejak dua tahun lalu.
Lelaki berusia 40-an yang dikenali sebagai 'Haji Ain' itu biasanya sering mencari mangsa di sekitar masjid di daerah ini terutama warga emas atau mereka yang baru bersara dengan menunjukkan kertas kerja dan kebijaksanaannya berbicara mengenai perniagaan jualan langsung yang dijalankan.
Malah, lelaki itu juga kini tinggal di kawasan kejiranan mewah dan sukar dimasuki orang yang tidak berkenaan kerana ia dikawal ketat.
Seorang daripada mangsanya, Shima Hussein, 53, berkata, lelaki yang menggunakan kenderaan mewah itu juga kini jarang pulang ke rumahnya selain tidak lagi menjalankan perniagaan di negeri ini kerana menyedari menjadi buruan pelabur.
Menurutnya, dia berasa tertipu selepas dua tahun terbabit dengan perniagaan jualan langsung (MLM) bersama lelaki berkenaan sebelum dipujuk melabur dalam syarikat MLM baru yang ditubuhkan lelaki itu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:18 AM


SHIMA menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6162#sthash.vsD8KJSn.dpuf

Bawah naungan kongsi gelap

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

azimfitri@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 16 pusat hiburan di sekitar ibu negara dikesan bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap tertentu bagi melindungi kegiatan masing-masing daripada diganggu mana-mana pihak termasuk polis atau kongsi gelap lain.
Kegiatan itu terbongkar apabila polis menemui pelbagai senjata berbahaya milik kumpulan terbabit selepas pusat hiburan itu diserbu, malam kelmarin.
Dalam serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ke pusat hiburan berkenaan menemui pelbagai senjata berbahaya seperti parang, batang besi, kayu dan pisau yang dipercayai disimpan kumpulan kongsi gelap di premis berkenaan.
Menurut sumber polis, senjata berbahaya berkenaan disimpan bertujuan digunakan sekiranya berlaku pergaduhan dengan musuh mereka di kawasan sekitar pusat hiburan itu.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas pembabitan pusat hiburan itu yang didapati menyimpan senjata berbahaya bagi tujuan gengsterism.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:11 AM


ANTARA senjata yang dirampas dalam serbuan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6151#sthash.W4PHQZlB.dpuf

Penyepit dalam ‘anu’

Oleh Arifin Salleh

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun apabila terpaksa menanggung derita hampir sebulan selepas kemaluannya berair dan bernanah akibat dimasuki penyepit rambut.
Kejadian disedari ibu mangsa yang berusia 35 tahun apabila mendapati anak tunggalnya mengadu sakit setiap kali hendak membuang air kecil dan dibawa ke Hospital Alor Gajah, di sini, untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.
Pemeriksaan perubatan dilakukan di Hospital Melaka, Jumaat lalu, merungkai permasalahan itu apabila menemui satu penyepit rambut di dalam kemaluan kanak-kanak terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kejadian dipercayai berlaku hampir sebulan lalu apabila ibu mangsa yang bekerja sendiri mendapati kemaluan anaknya kerap berair.
Menurutnya, tidak sedap hati dengan perkara itu, ibu mangsa membawa anaknya ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan, namun pihak hospital tidak menemui sebarang penyakit pelik yang mencurigakan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:12 AM


CONTOH sepit rambut yang ditemui di dalam kemaluan mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6391#sthash.f7R94E5n.dpuf

Rugi RM200,000 bengkel terbakar

Oleh Jaafar Mulup

am@hmetro.com.my

Tampin: Sebuah bengkel membaiki dan mengecat kereta di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Taman Gunung Mas, di sini, musnah dalam kebakaran jam 9.34 malam tadi.
Pemilik bengkel Lim Chin Huat, 56, ketika ditemui berkata, dia menganggarkan kerugian lebih RM200,000 termasuk tiga kereta yang sedang dibaiki, rentung.
Tiga jentera bomba dengan 18 anggota masing-masing satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBDPM) Tampin, Gemas dan Rembau ke lokasi dan berjaya mengawal kebakaran setengah jam kemudian daripada merebak ke deretan kilang lain.
Sebuah pusat pengumpulan barangan terpakai turut musnah dalam kebakaran itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 12:52 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6183#sthash.R5Kqddif.dpuf

Sorok dadah dalam ‘kuda’

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang lelaki warga Nigeria berusia 32 tahun ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 2.5 kilogram bernilai RM400,000 dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Batu Ferringhi, 3.10 petang, 31 Oktober lalu.
Pemeriksaan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang berjaya menemui dadah berkenaan disembunyikan dalam kotak kayu bersama beberapa patung kuda perhiasan.
Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan berkata, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier antarabangsa sebagai taktik terbaru menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negara ini.
Hasil siasatan awal dadah berkenaan dipercayai dihantar oleh pengirim dari China sebelum tiba di Kuala Lumpur dan diserahkan kepada penerima di negeri ini.
"Sindiket menyorokkan dadah berkenaan dalan kotak kayu bersama beberapa patung kuda perhiasan, ini adalah taktik mereka bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Namun hasil maklumat diterima kami berjaya menjejak ahli sindiket berkenaan sebelum menahan lelaki warga Nigeria itu bersama dadah berkenaan," katanya.
Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini (7 November) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 1:05 PM


PATUNG kuda perhiasan ditemui bersama dadah dalam kotak kayu. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6187#sthash.8zjVuoPM.dpuf

Penyamun kena cekup, tiga masih diburu

Oleh Isma Ismail

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki yang disyaki menyamun sebuah kediaman ahli perniagaan di bandar raya ini ditahan di Melaka pada 24 Oktober lalu.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan susulan gerakan yang dijalankan selepas kejadian samun pada 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis turut merampas pelbagai jenis arak dan beg tangan bernilai RM200,000 daripada suspek.
Menurutnya, barangan berkenaan dipercayai dilarikan dari rumah mangsa ketika kejadian jam 7.30 pagi.
"Kini, tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sedang diburu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 1:38 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6191#sthash.Kk5DxTjI.dpuf

Ceroboh rumah bakar motosikal, kereta

Oleh Salman Hamat
SUSPEK ditahan anggota polis di lokasi kejadian.
salman@hmetro.com.my

Butterworth: Sebuah Toyota Vios rosak teruk pada bahagian belakang akibat disambar api dari sebuah motosikal milik seorang lelaki bertindak membakar kenderaan itu dipercayai akibat rasa tidak puas hati dengan pemilik kereta terbabit dalam kejadian di sebuah rumah di Lorong Melur, Taman Emas, 3.30 pagi tadi.
Terdahulu sebelum kejadian supek pergi ke rumah mangsa sebelum menceroboh masuk ke kawasan rumah itu dan bertindak memecahkan cermin hadapan dan cermin sisi kereta Proton Iswara diletakkan berselahan Toyota Vios berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, suspek kemudian membawa masuk motosikalnya ke dalam kawasan rumah mangsa.
Suspek kemudian membakar motosikal diletakkan di belakang Toyota Vios berkenaan.
Tindakan itu menyebabkan api dari motosikal yang terbakar itu menyambar bahagian belakang Toyota Vios milik mangsa.
"Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian kami sedang melakukan siasatan lanjut mengenai motif dia bertindak membakar motosikalnya itu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 2:54 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6199#sthash.u6TqcLhy.dpuf

Waspada sampul prabayar PosLaju palsu


KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berwaspada dengan kewujudan sampul prabayar PosLaju palsu setelah Pos Malaysia Berhad mengesan perbuatan menjual dan mengedarnya dalam pasaran.
Dalam kenyataannya hari ini, Pos Malaysia menyatakan pengguna produk palsu itu menghadapi risiko barangan mereka tidak diterima untuk dihantar selain berdepan tindakan undang-undang.
"Pos Malaysia memandang serius perkara ini dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan hanya membeli sampul prabayar PosLaju tulen di pejabat pos, pusat PosLaju dan ejen PosLaju yang sah," katanya.
Sebuah pasukan petugas khas dianggotai merinyu pos Pos Malaysia ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan wujud rangkaian penjualan dan pengedaran sampul prabayar PosLaju palsu di negara ini.
Hasil siasatan pasukan itu, sebanyak 1,300 sampul PosLaju palsu pelbagai saiz dirampas setakat ini.
Kesalahan menghasilkan, mengedar, menjual dan memproses produk pos palsu dan tiruan boleh dihukum mengikut Seksyen 65 Akta Perkhidmatan Pos 2012, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Kenyataan itu berkata, Pos Malaysia meminta Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membantunya mengenal pasti dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab itu serta menghentikan kegiatan haram itu, yang memberi kesan besar terhadap perniagaannya.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Pos Malaysia untuk melindungi pelanggannya, syarikat itu akan memperkenalkan lebih banyak ciri keselamatan pada produknya, kata kenyataan itu.
Pos Malaysia meminta orang ramai melaporkan sebarang kegiatan haram menghasilkan, mengedar dan menjual produk palsu Pos Malaysia dengan menghubungi PosLine 1-300-300-300 atau emel kepada care@pos.com.my atau cawangannya yang terdekat. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:02 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6226#sthash.U2msHXFQ.dpuf

19 ditahan dalam Ops Tapis Khas



IPOH: Polis menahan 19 lelaki termasuk empat warganegara Myanmar dan tiga rakyat Mongolia dalam Ops Tapis Khas Bersepadu di Taiping hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik perak ACP Yap Toon Khuan berkata operasi itu diadakan di Kuala Sepetang dan Kampung Seberang dari 4.30 pagi hingga 10.30 pagi tadi.
“Seramai 41 orang diperiksa dalam operasi itu. Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 8.6 gram, ganja 4.9 gram dan methaphetamin 0.7 gram dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua lelaki itu, yang berusia antara 25 dan 60 tahun, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).
Operasi itu disertai 18 pegawai dan 91 anggota pasukan STING Bukit Aman, Polis Marin dan Unit Anjing Pengesan K9. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:40 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6212#sthash.DO0TNZVX.dpuf

Pengawal keselamatan didakwa cabul anak jiran


KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, September lepas.
Mohamad Borhanudin Mohd Shafiei, 48, didakwa mencabul kehormatan mangsa yang juga anak jirannya di sebuah rumah di Cheras pada pukul 6 pagi, 6 Sept lepas.
Dia didakwa mengikut Sekyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Nurul Ain Abdul Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Nov depan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 4:11 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6204#sthash.GHJ3B8Ok.dpuf

Sembunyi dadah dalam kotak patung hiasan


GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas syabu bernilai RM400,000 yang disembunyikan dalam kotak berisi patung perhiasan dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Batu Ferringhi, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata lelaki yang ditahan dalam serbuan pada pukul 3.15 petang Jumaat hasil risikan sejak seminggu lepas itu, memasuki negara ini menggunakan pas pelajar sebuah kolej swasta di negeri ini.
“Kesemua dadah itu disembunyikan dalam ruang khas sebuah kotak berisi pelbagai patung perhiasan seperti naga dan harimau yang dipos secara kurier dari China ke Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu tidak menuntut di kolej berkenaan dan dia juga tidak mempunyai pekerjaan.
“Lelaki itu dipercayai mendapat bekalan dadah dari luar negara dan membungkusnya semula sebelum mengedarkan kepada pelanggannya di sekitar Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan mereka yang terlibat dengan lelaki berkenaan giat dijalankan.
Lelaki itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6210#sthash.dKxK92PS.dpuf

Rogol anak kawan hingga hamil

Oleh Rudy Syarene Sheriffudin

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang bapa tampil membuat laporan polis semalam (Ahad) selepas mendakwa anak perempuanya berusia 16 tahun dirogol kenalan rapatnya sendiri yang berusia 53 tahun hingga menyebabkan remaja itu kini hamil tujuh bulan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu disedari bapa gadis itu sejak 29 September lalu selepas mendapati gelagat anaknya mencurigakan.
"Namun remaja itu cuba menyembunyikan kandungannya, bagaimanapun bapanya yang masih curiga mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar anaknya ke hospital sebelum disahkan hamil.
"Remaja itu juga enggan mendedahkan identiti lelaki bertanggungjawab terhadap kandungannya itu menyebabkan bapanya tampil membuat laporan polis," katanya.
Hasil soal siasat remaja itu mengaku melakukan hubungan seks dengan kenalan bapanya di sebuah hotel di kawasan Timur Laut.
Suspek ditahan dirumahnya di Sungai Pinang pada hari sama laporan dibuat bapa mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan Kerana merogol.
Lelaki itu juga ditahan reman hingga Sabtu depan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 6:56 PM


POLIS membawa suspek berusia 53 tahun yang disyaki merogol seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun. FOTO Muhammad Mikail Ong
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6221#sthash.i7uYye3l.dpuf