Search This Blog

Monday, November 3, 2014

Pesawat angkasa lepas 'Virgin Galactic' berkecai di udara

MOJAVE, California: Pesawat penumpang angkasa lepas 'Virgin Galactic' yang terbabit dalam nahas ketika menjalani ujian penerbangan di padang pasir Mojave Jumaat lalu didapati berkecai di udara.
"Serpihannya menandakan ia berkecai di udara," kata Pemangku Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Christopher Hart.
NTSB mengetuai siasatan ke atas nahas membabitkan pesawat angkasa lepas, 'SpaceShipTwo', yang menjalani ujian penerbangan pertama sejak Januari apabila ia terhempas dan serpihannya bertaburan di sekitar kawasan seluas lapan kilometer di padang pasir Mojave di utara Los Angeles.
Seorang juruterbang terbunuh dan seorang lagi cedera parah.
Menurut laporan yang disiarkan oleh 'Wall Street Journal' semalam, siasatan awal mendapat nahas pesawat Virgin itu menunjukkan ia mengalami kegagalan struktur dan bukan letupan enjin yang menyebabkan ia terhempas.
Pemilik 'Virgin Galactic', jutawan dan usahawan British, Richard Branson, berlepas ke Mojave Sabtu lalu untuk menemui pegawainya dan penyiasat NTSB.
Katanya, beliau berazam untuk mencari punca nahas itu dan percaya impiannya untuk mengadakan pelancongan di angkasa lepas untuk penumpang akan berjaya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif 'Virgin Galactic', George Whitesides berkata, syarikat berkenaan akan menyiapkan sebuah pesawat angkasa lepas baharu yang boleh terbang menjelang tahun depan. - REUTERS

Pemilik pengsan motosikal berkuasa tinggi terbakar

Pelabuhan Klang: Seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri apabila mengetahui motosikal yang baru dibelinya enam bulan lalu dibakar dalam kejadian di Flat Sri Perantau, pagi semalam.
Menurut Muhammad Ikhmal Jamaluddin, 18, anak kepada pemilik motosikal berkenaan yang dikenali sebagai Jamaluddin Muhammad, 44, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, jiran mereka memaklumkan bahawa kenderaan milik bapanya itu terbakar.
“Ayah kemudian meluru keluar untuk melihat motosikal jenis Benelli RKV 200 miliknya sebelum terperanjat dan tidak sedarkan diri apabila mendapati motosikal berkenaan hangus sama sekali.
“Orang ramai terpaksa membawa ayah ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui semalam.
Difahamkan, tiga motosikal terbakar akibat perbuatan khianat serta turut mengakibatkan dua letupan berlaku yang menyebabkan penduduk di sekitar flat berkenaan cemas seketika.
Menurut saksi kejadian, Mohd Shawal Sabtu, 33, individu yang bertanggungjawab membakar kenderaan berkenaan bukan penghuni dari flat berkenaan dan datang ke kawasan itu sebelum mula membuat kecoh.
“Saya dapati lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan sudah menasihatkannya dengan cara baik supaya beredar dari flat ini kerana bimbang dia melakukan sesuatu di luar jangkaan.
“Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit beredar, lelaki terbabit yang berusia 30-an datang kembali,” katanya.
Katanya, dia yang dimaklumkan mengenai kehadiran semula lelaki itu kemudian membuat tinjauan dan terkejut apabila mendapati lelaki berkenaan sedang membakar sebuah motosikal.
“Lelaki itu cuba melarikan diri namun sempat ditangkap beberapa penduduk yang melihat kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat pula berkata, pihaknya menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:00 AM


KEADAAN motosikal yang dibakar, pagi semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6143#sthash.iuF8czhR.dpuf

‘Saya tidak dendami ayah’

Kota Bharu: “Saya tidak menyimpan dendam kepada bapa, malah saya anggap ini sebagai pengajaran,” kata kanak-kanak berusia 12 tahun yang dibelasah bapa dengan kabel brek basikal kerana mencuri telefon bimbit sepupunya, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Pasir Hor, Khamis lalu itu, mangsa mengalami kecederaan dengan 19 kesan lebam di belakang dan depan badan, punggung, kaki serta tangan.
Selain itu, mangsa turut dicekik dan dihempas ke meja oleh bapanya yang berusia 40 tahun menyebabkan dagu cedera.
Mangsa berkata, tindakan bapanya itu untuk memberi pengajaran supaya dia tidak melakukan kesalahan sama.
“Saya mengaku mencuri telefon bimbit itu, namun tidak menyangka bapa akan bertindak sedemikian.
“Ini satu pengajaran yang sangat berguna dan saya sudah insaf serta berjanji tidak akan ulangi kesalahan sama,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Surau Kota, di sini, semalam.
Metro Ahad semalam melaporkan seorang bapa hilang pertimbangan apabila memukul anaknya menggunakan kabel brek basikal, mencekik leher dan menendang kaki serta tangan sehingga cedera selepas mendapati anaknya mencuri telefon bimbit sepupu dalam kejadian di Pasir Hor.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, oleh neneknya.
Menceritakan kejadian itu, mangsa berkata, ketika itu dia bersama ahli keluarga berada di rumah neneknya sebelum ibu menerima panggilan telefon dari sepupunya memaklumkan dia kehilangan telefon bimbit.
“Saya mengaku mencuri telefon bimbit kerana disuruh abang sebelum bapa berjanji menyerahkan sendiri telefon itu pada jam 10.30 malam,” katanya.
Dia berkata, sebaik telefon diserahkan, bapa mengheretnya masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu sebelum merotan belakang badan dan memukul paha dengan kabel brek basikal.
“Saya meraung meminta ampun, namun bapa terus memukul sebelum terdengar nenek dan bapa saudara datang sambil memanggil saya keluar.
“Sebaik mendengar panggilan nenek, bapa berhenti dan saya berasa lega selepas melihat nenek muncul,” katanya.
Sementara itu, nenek mangsa berkata, dia terkejut selepas mendapati cucunya itu dipukul hingga lemah di dalam rumah.
“Saya sedih melihat dia separuh mati berada di dalam tandas dalam keadaan tidak berbaju dan tanpa memakai seluar sambil mengadu sakit.
“Dengan bantuan anak, saya mengangkat cucu membawanya ke klinik berdekatan sebelum dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut,” katanya cucunya itu dirawat selama dua hari sebelum dibenarkan keluar kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan polis kini sedang memburu suspek.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:21 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6165#sthash.qECdSZHv.dpuf

Perancang utama kes rompakan di laut dikesan

Johor Bahru: Seorang lelaki dipercayai perancang utama sindiket rompakan di laut sedang dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor bagi membantu siasatan cubaan rompak oleh sekumpulan lelaki disyaki lanun di perairan Pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi pada Jumaat lalu.
Usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti identiti lelaki yang dipercayai penyalur maklumat dan mengatur semua tindakan kumpulan lanun yang berjaya ditahan itu.
Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit ada berhubung dengan kumpulan lelaki terbabit menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menurutnya, seorang daripada lelaki yang ditahan itu juga mengaku menerima arahan dan maklumat daripada individu terbabit.
“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut dan maklumat awal mendapati lelaki berkenaan memberi arahan dari luar negara.
“Kami sedang mengenal pasti identiti individu berkenaan dan sejauh mana pembabitannya dalam kegiatan itu tetapi percaya dia adalah dalang kepada kumpulan terbabit,” katanya ketika sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Johor di Tampoi, di sini, semalam.
Jumaat lalu, sebuah bot ronda yang sedang melakukan Ops Pensura, menahan dan memeriksa sebuah kapal tangki dan bot fiber yang bergerak bergandingan dalam keadaan mencurigakan di 2.5 batu nautika dari Pantai Teluk Ramunia kira-kira jam 7.30 malam.
Pemeriksaan terhadap bot fiber berkenaan mendapati terdapat lima lelaki berasal dari negara jiran ditahan bersama senjata tajam.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:16 AM


PAUL (dua dari kiri) menunjukkan parang yang dirampas daripada kumpulan lelaki disyaki lanun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6159#sthash.B6B2PK92.dpuf

163 Saman Dikeluarkan Pada Hari Pertama Ops JPJ


Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 11:11 AM

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak telah mengeluarkan 163 saman kepada pengguna jalan raya pada yang mengubahsuai nombor plat, pemasangan lampu strobe dan lampu High Intensity Discharged (HID).

Ketua Penguatkuasa, Mohd Ariff Abdul Rahman berkata, operasi itu dijalankan di bandar-bandar utama seperti di Ipoh, Gerik, Tapah, Kuala Kangsar dan Teluk Intan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, 21 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan nombor plat.

Saman-saman lain termasuk untuk pemasangan lampu strobe, lampu HID yang tidak diluluskan dan cukai jalan tamat tempoh, insuran dan lesen memandu. 
Operasi itu bermula pada waktu pagi dan berterusan sehingga tengah malam. 
Mohd Ariff berkata 808 kenderaan telah diperiksa, malah 91 notis telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.

"Kami juga memberi amaran dan pemilik kenderaan yang memasang 'tinted' terlalu gelap di cermin hadapan dan tingkap," katanya sambil menambah penguatkuasaan cermin gelap yang lebih ketat bermula 1 Mei tahun depan.

"Kami memberikan mereka (pemilik kenderaan) masa yang cukup untuk membuang tinted itu," katanya.

Mohd Ariff berkata, saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya pada nombor plat  adalah lebih tinggi kerana operasi dijalankan bermula siang hingga ke malam.

Manakala katanya, lampu strobe dan lampu HID yang tidak dibenarkan, mereka hanya boleh menangkap pesalah ketika waktu malam.

JPJ memulakan operasi ini secara menyeluruh selepas peringatan dan amaran dibuat sejak beberapa bulan lalu.

13 Rumah Rosak Akibat Puting Beliung


Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 9:47 AM

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 13 buah rumah di Taman Wira Mergong di sini, mengalami kerosakan setelah dilanda angin kencang dan pusaran kecil puting beliung pada Ahad.
Kejadian kira-kira 1.15 tengah hari itu berlaku hanya selepas dua hari kejadian puting beliung melanda lima kawasan di daerah Kota Setar.
Ketua Cawangan Blok E Taman Wira Mergong, Ahmad Ishak, 60, berkata ini merupakan kali ketiga kejadian seumpama itu berlaku dalam tempoh dua tahun sejak 2012 dan kejadian pertama tahun ini.
"Kejadian seperti ini pernah berlaku dua tahun lepas dan sama seperti sebelum ini, ia berlaku ketika cuaca cerah dan angin datang dalam tempoh yang sangat singkat. Tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.
"Kebanyakan rumah yang terlibat rosak di bahagian bumbung dan hanya tiga buah yang mengalami kerosakan teruk tetapi pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melihat kerosakan yang dialami penduduk," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Adam Abdullah, 30, berkata semasa kejadian dia berada di luar rumah sedang menjemur pakaian sebelum mendengar bunyi angin kuat serta pusaran puting beliung kecil datang dari arah bertentangan rumahnya.
"Saya tengah sidai baju. Selepas itu saya dengar bunyi angin kuat dan lihat ada bumbung rumah jiran yang diterbangkan angin dan angin kencang itu terus menghala ke kawasan rumah saya.
"Saya terus meluru masuk ke dalam rumah untuk menyuruh isteri dan anak yang berumur satu tahun lebih menyorok di bawah meja kerana bimbang akan berlaku kejadian seperti di Mergong dua hari lepas, tetapi saya bersyukur kerana ia tidak serius," katanya.
Jamilah Mard, 20, yang merupakan pelajar semester lima jurusan Perbankan di Kolej Universiti Insaniah berkata ketika kejadian dia bersama empat teman rumahnya sedang mengulang kaji pelajaran di ruang tamu sebelum mendengar angin kuat di bahagian dapur rumah mereka.
"Kami sedang mengulang kaji pelajaran sebelum mendengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba sahaja bumbung di bahagian dapur dibawa angin. Kejadian berlaku sekelip mata...kami tak mampu berbuat apa-apa dan tergamam melihat bumbung diterbangkan angin satu persatu," katanya.
Pada Jumaat lepas, 71 buah rumah dan sebuah klinik desa rosak dalam kejadian puting beliung yang berlaku pada 5 petang, melibatkan Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya.

Seorang maut, dua kereta bertembung


Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 48.3 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, petang semalam.
Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 48.3 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, petang semalam.
KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu anaknya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48.3 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 1 jam 3.40 petang semalam.

Mangsa, Hanaffe Harun, 54, yang bekerja sebagai pemandu difahamkan dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke rumahnya di Felda Adela.

Anak mangsa, Hamidi, 20, berkata, ketika kejadian, dia yang memandu kereta membawa ayahnya dan juga ibunya, Massiah Husin, 50, di mana ketika itu hujan lebat.

“Hujan sangat lebat, sampai sahaja di selekoh dekat tempat kejadian, saya lihat kereta pacuan empat roda itu telah memasuki laluan kami.

“Ekoran itu telah menyebabkan kemalangan,  ayah yang duduk di bahagian penumpang tersepit. Ayah juga mempunyai sakit jantung,  katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi semalam.

Hamidi berkata, arwah ayahnya juga tidak ada menunjukkan apa-apa tanda, namun sejak akhir ini ayahnya gemar mengusik ibunya yang juga merupakan seorang yang kuat melatah.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superindentan Low Hang Seng berkata kemalangan maut itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dengan sebuah Proton Wira.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dari arah Sungai Rengit menghala ke arah Kota Tinggi telah  bertembung dan berlanggar dengan Proton Wira yang datang dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit.

“Akibat kemalangan itu, penumpang Proton Wira telah meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di dada manakala pemandunya cedera ringan di kaki. Penumpang bahagian belakang pula patah tangan dan menerima rawatan di HKT.

“Pemandu Toyota Hilux pula mengalami cedera ringan. Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan kawasan jalan selekoh yang mempunyai garisan berkembar berjalur sebagai pembahagi jalan, “katanya.
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2014
KOTA BHARU - Bapa kepada kanak-kanak yang didera menggunakan kabel brek basikal di Pasir Hor diburu polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah,  Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas kejadian  itu.

“Polis telah mengeluarkan arahan di semua balai di daerah ini untuk gerakan mencari bapa kanak-kanak terbabit.

“Lelaki terbabit adalah bekas banduan dan berdasarkan maklumat keluarga, suspek juga dipercayai mendera anak yang lain,” katanya, semalam.

Kelmarin, media melaporkan seorang bapa memukul anak berusia 12 tahun guna kabel brek basikal, mencekik leher dan menendang kaki serta tangan kanak-kanak itu sehingga cedera selepas mendapati anaknya itu mencuri telefon bimbit sepupunya.

Protes di Perancis bertukar ganas


3 November 2014
PARIS - Sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan cedera ketika menyertai perhimpunan memprotes kekejaman polis di Perancis.

Media tempatan dpa melaporkan, bantahan bertukar ganas di dua bandar utama iaitu Nantes dan Touloues apabila kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Polis menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan.

Tunjuk perasaan itu adalah bagi mengingati kematian Remi Fraisse yang mati akibat terkena serpihan bom dibaling polis pada 26 Oktober lalu, ketika menyertai bantahan pembinaan empangan di Toulouse.

Laporan menyebut, tunjuk perasaan yang disertai golongan remaja turut diadakan di  Lille, Bordeaux dan Avignon.    

Pencuri dipaksa berjalan itik


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2014
TUMPAT - Bukan sahaja berputih mata tidak berjaya mencuri motosikal tetapi seorang remaja juga terpaksa berjalan itik beberapa kilometer ke balai polis.

 Remaja berusia 18 tahun itu ditangkap ketika cuba mencuri motosikal yang diletakkan di dalam garaj di Kampung Palekbang, di sini, kira-kira jam 6 pagi, semalam.

 Dalam kejadian itu, remaja terbabit dipercayai diberkas penduduk kampung, namun seorang lagi rakannya berjaya meloloskan diri.

 Menurut sumber, remaja itu diserahkan kepada Balai Polis Palekbang oleh penduduk kampung kira-kira jam 7.20 pagi bersama dengan sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Kejadian ini disedari oleh isteri pemilik motosikal berkenaan yang terdengar bunyi rantai kunci kenderaan tersebut ditarik.

  “Sebaik sahaja membuka pintu, dia melihat dua lelaki berada dalam garaj menyimpan motosikal. Mereka terkejut dan melarikan diri ke arah kereta mereka,” katanya.

Bagaimanapun, enjin kereta suspek gagal dihidupkan menyebabkan remaja terbabit terpaksa meninggalkannya di tempat kejadian.

 Kejadian itu menjadi bualan hangat di laman sosial Facebook selepas dimuat naik orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan.  Rakaman berdurasi 50 saat itu menunjukkan suspek dengan tangan diikat dipaksa berjalan itik selepas ditangkap ketika cuba mencuri motosikal di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Superintenden Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Liwat: Guru agama ditahan


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 November 2014
KOTA BHARU - Seorang guru agama berusia 33 tahun ditahan polis selepas didakwa cuba meliwat murid tahun tiga di sekolahnya, di Chicha di sini, kelmarin.  

Kejadian pada 30 Oktober lalu itu terbongkar selepas ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap anaknya kerana pulang lewat malam dengan bau harum minyak wangi melekat di badan.

Wanita berusia 30 tahun itu  menyoal anaknya itu sebelum kanak-kanak berusia 9 tahun itu menceritakan kejadian dia diliwat seorang ustaz yang mengajar di sekolahnya.

Suspek sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada jam 8 malam dan mengambilnya untuk dibawa bersiar-siar di Pasar Malam Wakaf Che Yeh. Suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah sewanya di Chicha dan didakwa meliwat kanak-kanak terbabit.

Mangsa hanya dihantar pulang pada jam 1.30 pagi. Selepas menceritakan kejadian itu, ibu mangsa membawa anak sulung daripada tiga beradik itu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pemeriksaan dan membuat laporan di Balai Polis Tawang, Bachok.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Rohaimi Md Isa berkata, guru agama terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu ditahan ketika berada di kantin sekolah.

"Laporan awal pihak hospital bagaimanapun mendapati tiada kesan koyakan pada dubur mangsa, namun suspek sendiri mengaku ada melakukan sesuatu (cabul) ke atas mangsa.

“Polis masih siasat kes ini termasuk dakwaan mangsa disuruh menghisap beberapa batang rokok sebelum dicabul. Suspek direman hingga 7 November ini,” katanya.

Kereta terjunam dalam gaung 20m


Hilux yang dinaiki mangsa terperosok ke dalam cerun sedalam 20 meter.
Hilux yang dinaiki mangsa terperosok ke dalam cerun sedalam 20 meter.
KEMAMAN – Sepasang tunang yang dalam perjalanan menghantar kuih bernasib baik apabila mereka terselamat walaupun kenderaan yang dinaiki terhumban ke dalam cerun sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Mak Lagam-Cheneh dekat Bukit Jembalang, lewat petang semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 5.45 petang itu, kedua-dua mangsa, Sharifah Mas Anum Syed Anuar, 21, dan Wan Mohd Al-Hafiz Rifaie Wan Kamaruzaman, 28, terpaksa merangkak keluar menerusi tingkap dari pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki.

Kenderaan yang dinaiki mereka terbalik dengan empat tayar ke atas dan rosak teruk gara-gara terjunam dari kedudukan tinggi sekali gus kedua-dua mangsa juga terpaksa memanjat tebing cerun untuk naik ke tepi jalan.

Kejadian berkenaan berlaku selepas beberapa minit mangsa bergerak dari rumahnya di Kampung Batu 4 Binjai untuk menghantar kuih yang ditempah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh.

Bagaimanapun, Sharifah Mas Anum berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian yang berselekoh dan berbukit, secara tiba-tiba sebuah lagi Toyota Hilux berwarna hitam yang datang dari arah bertentangan memasuki laluan mereka.

“Hilux itu masuk jalan kami, jadi tunang cuba mengelak sebelum kenderaan kami terbabas dan meluncur ke dalam cerun.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata dan selepas keluar dari Hilux yang terbalik saya segera hubungi mak minta bantuan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Mazita Abdullah, 40, mengambil masa kira-kira sejam untuk menemui anak dan bakal menantunya.

Mazlita berkata, dia terpaksa berpusing di Jalan Mak Lagam-Cheneh itu berulang kali kerana gagal mencari tempat anaknya berada.

“Selepas sejam barulah saya temuinya, alhamdulillah kerana mereka berdua selamat dan tidak alami kecederaan walaupun keadaan kenderaan agak teruk.

“Cuma yang dikesalkan pemandu Hilux yang masuk ke laluan anak saya hingga kemalangan ini berlaku tidak membantu sebaliknya meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Penyanyi pamer aksi ghairah


Antara aksi penyanyi perempuan terlibat ketika pertunjukan dikir barat berkenaan.
Antara aksi penyanyi perempuan terlibat ketika pertunjukan dikir barat berkenaan.
MARANG - Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman kesal dengan penganjuran dikir barat yang menampilkan penyanyi perempuan dalam aksi tarian mengghairahkan di Rawai, di sini, malam kelmarin.

Kata Ariffin, program seumpama itu akan meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat, tambahan pula orang Islam masih berada di awal Muharam, yang sepatutnya dihayati dengan melakukan amalan makruf dan meninggalkan amalan mungkar.

“Saya kecewa kerana program seumpama ini diadakan di dalam kawasan Dun saya. Tatkala masyarakat perlu didedahkan dengan lebih banyak majlis ilmu, datang pula program berbentuk maksiat seperti ini yang seolah-olah mencabar hukum ALLAH SWT.

"Apa relevannya pihak berkuasa beri kelulusan permit bagi program seumpama ini? Yang kita tahu, terang-terangan program ini adalah program maksiat dengan aksi selebriti perempuan menari gelek dan berpakaian menjolok mata. Jadi, kita tidak akan teragak-agak untuk berbuat sesuatu sekiranya program seumpama ini diadakan lagi pada masa akan datang. Ini ketegasan dan prinsip kita,” katanya.

Difahamkan, pertunjukan dikir barat yang menampilkan beberapa penyanyi wanita dengan aksi mengghairahkan itu berlangsung di lokasi tertutup di Rawai dengan mengenakan yuran RM6 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.


’Hati-hati saring hiburan’

Terdahulu, Pemuda Pas Marang turut kesal dan membantah penganjuran dikir barat seumpama itu kerana menampilkan penyanyi perempuan yang berpakaian seksi dengan aksi mengghairahkan.

Tambahan pula, Marang dikenali sebagai kawasan yang subur dengan ilmu, selain negara turut bergelut dengan pelbagai masalah sosial yang melanda umat Islam sekarang.

Setiausaha Pemuda Pas Marang, Mohamad Aswadi Mohamad dalam kenyataannya berkata, penganjuran itu menggambarkan sikap acuh tidak acuh kerajaan berkaitan program hiburan agak melampau membabitkan artis-artis yang tidak mengikut syariat.

Tambahan pula katanya, hiburan merupakan elemen berpengaruh dalam kalangan remaja dan hiburan bersifat mendidik akan mendorong golongan berkenaan mengembangkan sahsiah diri secara positif.

“Jika mereka terima pendedahan bersifat hedonistik (mementingkan keseronokan) semata-mata, ia akan mendorong golongan muda bertindak menurut nafsu, tambahan pula artis ditampilkan mengundang kelucahan.

"Jadi, kita harap pihak berkaitan lebih berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan penganjuran hiburan kelak," katanya.

Pemuda Pas Marang juga meminta pihak berkuasa lebih peka dengan sensitiviti umat Islam, sementara kerajaan perlu lebih tegas dalam menyekat unsur yang boleh merosakkan akhlak generasi muda, manakala Majlis Daerah Marang pula menyenaraikan penganjur tidak mengikut syarat.


Senarai hitam jika tak ikut syarat

Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Marang, semalam, mengesahkan menerima permohonan penganjur bagi mengadakan pertunjukan berkenaan dengan syarat-syarat ditetapkan.

“Namun jika persembahan itu didapati lari daripada konsep dikir barat (seperti dimohon) termasuk jika ‘terlebih’ atau tidak ikut syarat, kita akan menyenaraihitamkan penganjur,” katanya.

Namun, Sinar Harian gagal mengesan penganjur pertunjukan berkenaan.

Guna anjing pengesan cari pelajar hilang


Anggota Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan anjing pengesan dalam operasi mencari pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Ahmad Rafikin Azman, 16, yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas menyertai acara maraton di Hutan Lipur Sekayu di Hulu Terengganu, hari ini. - Foto Bernama
Anggota Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan anjing pengesan dalam operasi mencari pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Ahmad Rafikin Azman, 16, yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas menyertai acara maraton di Hutan Lipur Sekayu di Hulu Terengganu, hari ini. - Foto Bernama
HULU TERENGGANU - Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan khidmat anjing pengesan bagi menjejak seorang pelajar tingkatan empat yang dilaporkan hilang sewaktu menyertai acara maraton di Sekayu, Kuala Berang di sini, petang semalam.
 
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, setakat lima petang tadi, usaha mencari Ahmad Rafikin Azman, 16, masih gagal sehingga pihaknya terpaksa menggunakan empat ekor anjing pengesan polis dalam operasi
itu.
 
"Kita juga menambah anggota penyelamat kepada 92 berbanding 42 orang pada sebelah pagi tadi berikutan keadaan cuaca di samping permukaan jalan yang licin.
 
"Walaupun hujan dan cuaca gelap, kita akan teruskan usaha sehingga berjaya menemui mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di Sekayu, di sini hari ini.
 
Mangsa seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, dilaporkan hilang setelah tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira 6 petang semalam.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar hilang selepas sertai maraton]

Azman sebelum itu memaklumkan kepada penganjur bahawa dia tidak menemui Ahmad Rafikin yang akan diambilnya pada 3 petang selepas perlumbaan itu.
 
Operasi mencari dan menyelamat, yang membabitkan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Rela serta penduduk kampung itu, turut disertai anggota keluarga mangsa.
 
Abang mangsa, Ahmad Ridhuan Azman, 27, berkata beliau bersama bapanya mula menyertai operasi yang bermula kira-kira 8 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat terkini usaha mencari dan menyelamat adik bongsunya itu.
 
"Laluan yang mencabar serta licin serta di tambah dengan hujan lebat menambahkan lagi kesukaran kami bersama pihak penyelamat mencari adik saya.
 
"Jika tersilap langkah, kita akan terjatuh ke dalam gaung. Namun saya dan ayah berharap adik selamat dan kami sekeluarga sudah bertekad untuk tidak berputus asa sehinggalah dapat menemui adik," katanya.
 
Beliau berkata, Ahmad Rafikin merupakan seorang yang aktif dan amat meminati sukan lasak dan mereka sekeluarga sentiasa menyokong minatnya itu, namun tidak menyangka insiden seumpama itu berlaku kepada mangsa.
 
Dalam pada itu, penduduk kampung serta 29 pelajar pondok Darul Iman turut mengadakan solat hajat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat itu. - Bernama

Polis Kedah rampas 6,590 mesin judi


Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof (tengah) melihat pelbagai jenis komputer yang dijadikan mesin judi haram yang telah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof (tengah) melihat pelbagai jenis komputer yang dijadikan mesin judi haram yang telah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Polis Kedah merampas sebanyak 6,590 pelbagai mesin perjudian dan menahan 1,562 suspek dalam 2,487 serbuan di seluruh negeri ini bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober lepas.
  
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata daripada tangkapan itu pihaknya turut merampas wang tunai hasil perjudian haram bernilai RM80,380.
  
Katanya, dalam tempoh sama tahun lepas, sebanyak 10,926 pelbagai mesin perjudian serta wang perjudian bernilai RM77,026 dirampas selain 2,118 suspek ditahan dalam 3,179 serbuan, di lokasi berbeza.
  
Beliau berkata, bagi tempoh 26 hingga 31 Oktober lepas pihaknya merampas 78 mesin judi dan hasil perjudian sebanyak RM630 selepas melakukan serbuan di 251 tempat di seluruh negeri ini serta menahan 41 suspek.
  
"Perbezaan kedua-dua tahun bagi tempoh 10 bulan sudah jelas menunjukkan kejayaan Polis Kedah mengurangkan kegiatan perjudian di negeri ini. Kedah akan bersih daripada kegiatan perjudian haram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Zakaria berkata, tangkapan dan serbuan berkurangan sejak kebelakangan ini selepas arahan membanteras kegiatan perjudian dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang menyebabkan pengusaha pusat perjudian haram telah menutup operasi mereka selepas kerap diserbu.
  
"Pengusaha pusat judi yang tegar pun sudah kecundang selepas kerap diserbu Polis. Kita yakin mampu untuk bersihkan negeri ini daripada kegiatan perjudian," katanya.
  
Katanya bagi kegiatan loteri haram tanpa lesen bagi tempoh Januari hingga 31 Oktober tahun ini pihaknya menahan 943 suspek dalam 1,250 serbuan dan turut merampas wang tunai RM108,493.
  
Beliau berkata, dalam tempoh sama tahun lepas pihaknya menahan 809 suspek dalam 1,021 serbuan dan merampas wang tunai sebanyak RM75,245.
  
Katanya polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai Polis dan Ketua Polis Daerah yang berkomplot dengan pengusaha pusat perjudian dalam usaha membanteras kegiatan perjudian di negeri ini.
  
"Kalau orang awam ada maklumat berkaitan perjudian haram mereka boleh laporkan untuk kita ambil tindakan segera. Ini kerana mereka licik dengan lakukan operasi secara bersembunyi seperti dalam hotel, rumah ibadah dan rumah kampung," katanya. - Bernama

Pelbagai kosmetik, ubatan dirampas


2 November 2014
TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas pelbagai barangan kosmetik dan ubat-ubatan yang bernilai RM10,128 di perairan Sungai Tongkang, di sini semalam.
   
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, kesemua barangan tersebut dirampas ketika pasukan peronda memeriksa sebuah feri penumpang di perairan berkenaan kira-kira 11 pagi.
   
"Antara barang yang dirampas ialah pelbagai minyak angin terapi sebanyak 456 botol, ubat Tongkat Ajimat Madura 240 kotak, tisu basah antiseptik 100 kotak, jamu langsing 36 botol dan minyak urut, 48 kotak," katanya dalam kenyataan di sini.
   
Mohamad berkata, bagaimanapun tiada penumpang yang mengaku sebagai pemilik barangan rampasan yang tidak mempunyai label tanda daftar kelulusan Kementerian Kesihatan itu.
   
Siasatan awal mendapati feri penumpang berkenaan dalam perjalan dari Nunukan, Indonesia menuju ke daerah ini, katanya.

"Kesemua barangan tersebut merupakan barangan larangan yang disyaki cuba dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di daerah ini," tambah Mohamad.
   
Sementara itu, beliau berkata pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung sebarang aktiviti penyeludupan yang tidak bercukai atau barang kawalan mahupun barangan tiruan yang cuba diseludup ke negara ini.
   
Justeru katanya, kerjasama masyarakat setempat amat diperlukan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan. - Bernama

Isteri maut dipukul suami


Mangsa yang dipercayai dipukul suaminya. - Foto Malaysian Crime Awareness Campaign
Mangsa yang dipercayai dipukul suaminya. - Foto Malaysian Crime Awareness Campaign
PUCHONG - Seorang penjaga pusat siber bertindak kejam mendera isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Taman Puchong Utama di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu, dipercayai beberapa kali memukul muka isterinya yang dikenali sebagai, G Kanagaletchumi, 25. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian, suspek menghantar dua anak lelakinya yang berusia enam tahun dan dua bulan ke rumah ibunya kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

"Adik suspek yang berasa curiga kemudian pergi ke rumah pasangan tersebut kira-kira jam 11.30 malam, dia kemudian memecah masuk rumah itu setelah panggilannya tidak terjawab, sebelum mendapati kakak iparnya terbaring di lantai di ruang tamu dengan beberapa kesan lebam di muka dan badan," katanya.

Menurutnya, adik suspek kemudian cuba menghubungi suami mangsa yang dipercayai melarikan diri ke Kedah.

"Siasatan awal mendapati, mangsa sering bergaduh dengan suaminya. Hasil laporan bedah siasat dari Hospital Serdang memaklumkan terdapat kesan kecederaan dalaman lama dipercayai akibat dipukul," katanya.

20 GRO warga asing ditahan


Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.
GEORGETOWN - Tidak pernah serik. Walaupun pernah diserbu beberapa kali oleh pihak penguatkuasa sebelum ini namun beberapa pusat hiburan di Midlands Park, Pulau Tikus di sini didapati masih beroperasi dengan manawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) kepada pengunjung.

Dalam serbuan Ops Noda oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bermula jam 1 pagi tadi, 20 wanita warga asing dikesan berkhidmat sebagai GRO di tiga pusat hiburan di bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, 17 daripadanya warga China dan tiga Vietnam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemuanya melakukan kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial, menyalahgunakan permit kerja dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, mereka yang berusia antara 23 hingga 40 tahun itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis namun gagal apabila pusat hiburan berkenaan dikepung terlebih dahulu.

"Kita melakukan pemantauan rapi sebelum menyerbu pusat hiburan berkenaan kerana ia mempunyai laluan tikus untuk melarikan diri selain menggunakan khidmat tonto untuk memerhati kehadiran polis.

"Polis turut menahan lima tonto yang dipercayai menyalurkan maklumat kepada pengusaha pusat hiburan dan cuba mengganggu tugas pihak berkuasa," katanya ketika ditemui dilokasi serbuan awal pagi tadi.

Mior Farid berkata, semua wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 55 B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja yang tidak memiliki pas yang sah, Seksyen 6(3) akta sama kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.

Dalam operasi itu, polis turut menahan 42 pelanggan warga tempatan yang berhibur di pusat berkenaan membabitkan 32 lelaki dan 10 wanita untuk saringan air kencing.

"Kita mengesyaki ada antara mereka yang menyalahgunakan dadah ketika berhibur.

"Kesemua yang ditahan dibawa  ke IPD Timur Laut untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.

Polis masih siasat kes Dusit


PDRM
KUCHING - Polis masih memburu lima individu yang mendakwa sebagai pegawai polis daripada Unit Cawangan Khas Bukit Aman dan didakwa mengancam dan menggugut anggota Dayak Informal Group (DIG), Dr Dusit Jaul.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Dusit, seorang pejuang kaum Dayak, telah membuat laporan polis berhubung insiden-insiden tersebut.
 
Katanya beliau telah mengarahkan polis supaya melakukan siasatan terperinci mengenai laporan Dusit tetapi menambah polis masih belum dapat mengenal pasti identiti lima individu yang terbabit.
 
"Pada ketika ini, saya tidak mendapat apa-apa laporan terbaru atau maklumat lanjut mengenai kes ini. Setakat saya tahu, dia (Dusit) seharusnya tidak diganggu atau diancam.
 
"Jika polis mahu menyoal beliau, mereka harus memberi notis terlebih dahulu kepadanya untuk datang ke balai polis tetapi tidak kepada isteri dan anak-anaknya kerana ia bukan satu prosedur yang betul," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, tidak ada rekod atau arahan untuk perkara seperti itu dilaksanakan oleh polis.
 
"Saya telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat kes itu sehingga mereka mengenal pasti lima individu tersebut...kita tidak mahu orang awam menyamar sebagai pegawai polis dan akibatnya ia menjejaskan nama pasukan polis dan kerajaan," katanya.
 
Dusit mendakwa pada 7 Oktober lepas, sekitar jam 10.45 pagi, lima individu tanpa sebarang dokumen pengenalan diri masuk ke dalam rumahnya tanpa kebenaran di Tabuan Jaya.
 
Kumpulan itu didakwa memberi amaran kepada isterinya, yang seorang diri di rumah ketika itu, supaya dia (Dusit) berhenti bercakap mengenai perkara berkaitan hak-hak bangsa Dayak serta isu-isu semasa yang dihadapi oleh kaum itu.
 
Dusit juga mendakwa tiga daripada lima 'tetamu' tidak diundang itu fasih berbahasa Iban, seorang berbangsa India dan seorang lagi Melayu.
 
Beliau berkata, kumpulan yang sama juga sering kelihatan mengekorinya malah pada 4 sehingga 5 Oktober lepas, mereka mengekorinya dengan kereta sehingga ke Lubok Antu. - Bernama

JKM terus pantau mangsa ribut


Sebahagian rumah mengalami rosak teruk akibat ribut.
Sebahagian rumah mengalami rosak teruk akibat ribut.
ALOR SETAR - Sebuah pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan mangsa ribut dalam kejadian puting beliung berskala sederhana, yang melanda beberapa kawasan di daerah Kota Setar petang kelmarin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, penempatan sementara itu dibuka di sebuah surau di Kampung Sungai Baru, iaitu di kawasan paling teruk terjejas.

“Walaupun jumlah rumah yang mengalami kerosakan mencecah 71 buah, namun hanya sebuah keluarga lima beranak dipindahkan ke surau itu kerana rumah mereka ranap teruk ditimpa pokok manakala kebanyakan mangsa menumpang sementara di rumah saudara mara,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak kelmarin merekodkan, sebanyak 71 rumah dan sebuah klinik bidan rosak dalam kejadian itu.

“Setakat 5 petang semalam, kawasan rumah paling teruk terjejas ialah di Kampung Sungai Baru, melibatkan 22 rumah dengan satu daripadanya ranap dan klinik bidan. Kawasan perumahan Taman Mergong Jaya sebanyak 25 rumah,” katanya.

Kawasan perumahan lain yang rosak direkodkan ialah, Kampung Batin, Taman Inangn, Kampung Mergong Hilir dan Kampung Parit Buaya, Alor Janggus.

“JKM segera salurkan bantuan bencana kepada mangsa ribut sejak kelmarin. Bancian akan dilakukan berterusan berdasarkan kepada aduan penduduk dari masa ke semasa,” katanya.

Kelmarin, pusaran angin berskala sederhana seakan puting beliung jelas kelihatan di beberapa kawasan dipercayai bermula dari Sungai Baru (Kuala Sungai) menghala ke Mergong (Alor Setar), sekitar 4.30 petang.

Pencawang TNB terbakar


Gambar semasa kejadian yang dikongsi oleh orang ramai di laman sosial Facebook.
Gambar semasa kejadian yang dikongsi oleh orang ramai di laman sosial Facebook.
PASIR MAS - Pencawang masuk utama milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Lemal di sini terbakar kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Kebakaran tersebut menyebabkan beberapa kawasan di sekitar jajahan ini mengalami gangguan di antara 10 minit hingga dua jam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adenan Mohd Juri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.03 pagi.

Menurutnya, seramai 15 anggota dari tiga buah balai iaitu Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kota Bharu bersama empat buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

“Ketika sampai di tempat kejadian  api sedang marak dan pihak kami mengambil masa 46 minit untuk mengawalnya dari merebak.

“Kami terpaksa menggunakan buih untuk memadamkan kebakaran tersebut dari terus merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.

Adenan berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah pencawang dan punca serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kelantan, Ir Md Yuslan Md Yusof ketika dihubungi berkata, kebakaran tersebut melibatkan pencawang masuk utama.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca utama kebakaran tersebut.

“Bagaimanapun kita berjaya memulihkan semula gangguan tersebut di antara 10 minit hingga dua jam selepas berlakunya kejadian itu,” katanya.

Hati-hati individu menyamar beli emas terpakai


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 November 2014

PASIR MAS - Orang ramai terutamanya golongan wanita dinasihatkan agar berhati-hati dengan individu yang dipercayai menyamar sebagai pembeli emas terpakai.

Orang ramai, Shafie Abas berkata, individu tersebut dikatakan menggunakan ilmu pukau terhadap mereka yang berminat untuk menjual emas mereka.

“Dengan cara tersebut dia akan mengambil semua barang kemas milik orang ramai ketika proses jual beli dan membawa lari.

“Diharap golongan wanita di sini agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau percaya kepada individu yang mencurigakan ini,” katanya.

Menurutnya, jika mereka  ingin menjual barangan kemas diharap memilih saluran yang betul agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Lelaki Vietnam seludup sumbu badak ditahan


3 November 2014
JOHANNESBURG - AFRIKA SELATAN. Dua lelaki Vietnam ditahan bersama 18 sumbu badak di Lapangan Terbang Johannesburg, semalam.

Polis Afrika Selatan berkata, suspek dipercayai menyeludup sumbu seberat 41 kilogram (kg) itu dari Mozambique.

"Ini adalah rampasan sumbu terbesar dalam satu operasi di Afrika Selatan," kata kenyataan polis.

Suspek berusia 25 dan 26 tahun, bakal didakwa atas kesalahan memiliki dan menyeludup spesies terancam lapor AFP.

Sumbu badak dianggap berharga di dalam perubatan tradisional di Asia dan Vietnam dikatakan mempunyai pasaran terbesar kerana percaya ia dapat menyembuhkan penyakit kanser.

Sumbu badak sebenarnya tidak mempunyai nilai dalam perubatan.

Namun begitu, permintaan yang tinggi menyebabkan pemburuan haram semakin meningkat di Afrika Selatan, iaitu habitat untuk badak sumbu yang masih ada, di dunia.

Lebih 730 badak sumbu dibunuh tahun ini.

Apartment Retak Di Pandan Perdana, Penduduk Hidup Ketakutan


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 2:52 PM

KUALA LUMPUR: Ketika mula-mula membeli satu unit kediaman di Pandan Lake View Apartments di Pandan Perdana pada 2003, Noor Hayati Muda, 40, amat gembira kerana menyangka hajatnya untuk memiliki sebuah rumah impian, akhirnya menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya seketika cuma kerana tidak lama kemudian, beliau dapati kediaman itu mula menghadiahkan kepadanya pelbagai mimpi ngeri.
Kebimbangan mula menghantui dirinya apabila beliau mendapati retakan pada dinding dan lantai di unit paling bawah Blok B pangsapuri lima tingkat itu semakin membesar, manakala air pula kelihatan mengalir ke dalam longkang daripada bahagian bawah blok berkenaan.
Beliau semakin resah apabila ternampak mata air berhampiran pangsapuri itu kerana ia memberi petanda jelas tentang kemungkinan wujudnya air bawah tanah di situ.
Penjawat awam ini memberitahu Bernama bahawa setiap hari, beliau diulit kebimbangan tentang keselamatan dirinya "kerana saya rasa pangsapuri ini seperti senget".
Noor Hayati berkata sebenarnya, ketika mula-mula membeli unit kediaman di situ, beliau perasan tentang kewujudan beberapa retakan, tetapi ejen hartanah memberi jaminan kepadanya bahawa kejadian itu perkara biasa kerana struktur bangunan sedang dalam proses pengukuhan.
"Dia meyakinkan saya bahawa pergerakan akan berakhir selepas beberapa tahun," katanya. Tetapi kini, terdapat rekahan besar antara asas bangunan itu dan tanah.
Noor Hayati berkata memandangkan sebuah bangunan tinggi sedang dibina kira-kira 100 meter dari pangsapuri berkenaan iaitu di tapak bekas Pandan Lake Club, beliau semakin bimbang tentang keselamatan dirinya dan penghuni lain di blok berkenaan.
"Teringat saya kepada tragedi Highland Towers'. Bagaimanapun, berbeza dengan pangsapuri itu, yang dilaporkan tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum ia runtuh, tapi bangunan ini menunjukkan tanda-tanda bahawa sesuatu perlu dilakukan sebelum sudah terlalu lambat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Lai Su Foh, 53, berkata retakan juga berlaku pada unit kediamannya.
"Tapi, ia tidaklah seteruk unit yang menghadap tasik. Bagaimanapun, saya tetap bimbang. Saya inginkan kepastian sama ada bangunan ini benar-benar selamat," kata suri rumah itu.
Izani Zainol, 36, pula berkata beliau dapati wujud satu rekahan besar pada bahagian bawah blok itu kira-kira tujuh tahun lepas, yang menjadi tempat tikus berlari keluar-masuk.
"Saya mengemukakan laporan berserta foto kepada LT Sdn Bhd, syarikat yang mengurus pangsapuri ini sebelum ini, sebelum JMB (Lembaga Pengurusan Bersama) memgambil alih, tapi tiada tindakan diambil," kata Izani, yang tinggal di situ bersama isteri dan seorang anak lelaki berusia lima tahun.
Noor Hayati berkata ketika menyuarakan perkara itu kepada MPAJ, beliau diberitahu bahawa adalah menjadi tanggungjawab JMB untuk mendapatkan khidmat jurutera bagi menentukan sama ada bangunan berkenaan selamat untuk diduduki. MPAJ mengesahkan perkara itu.
"Ya, memang betul. Ketika pangsapuri itu diurus JMBnya, ia menjadi tanggungjawab JMB itu (untuk mendapatkan khidmat juruperunding) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bangunan dan Hartanah Bersama (Penyenggaran dan Pengurusan) 2007," kata pegawai komunikasi korporat MPAJ Norhayati Ahmad.
Sementara itu, seorang wakil JMB, yang tidak mahu dikenali, berkata JMB tidak mampu mendapatkan khidmat jurutera untuk membuat pemeriksaan terhadap blok bangunan itu kerana ia menghadapi kekangan kewangan.
"Kami baru saja mengambil alih pejabat ini pada 13 Sept lepas daripada JMB sebelum ini, yang dibubarkan setelah anggota utamanya meletak jawatan sebelum tempoh mereka memegang jawatan berakhir awal tahun depan.
"Kami mewarisi kira-kira RM3,000 dalam akaun bank JMB dan hutang lebih kurang RM30,000. Kami sedar masalah yang dihadapi penduduk Blok B dan kami sedang cuba mendapatkan bantuan daripada anggota exco negeri yang bertanggungjawab mengenainya, Iskandar Abdul Samad (perumahan, pengurusan bangunan dan peneroka bandar), serta Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli," katanya kepada Bernama.