Search This Blog

Sunday, November 2, 2014

50 rumah di Baling dinaiki air selepas banjir kilat

AHAD, 2 NOVEMBER 2014 @ 12:45 PM

 
BALING: Sekurang-kurangnya 50 rumah di 13 kampung sekitar daerah di sini dinaiki air sedalam satu meter, susulan banjir kilat yang melanda bermula jam 1.30 pagi tadi.

Difahamkan banjir berlaku susulan limpahan air Sungai Ketil selepas hujan lebat selama lebih empat jam melanda terutama sekitar Mukim Siong, di sini.

Antara kampung terjejas termasuk Kampung Kuala Kuda, Bukit Sebelah dan Kampung Siput di Siong, selain Kampung Banggol Derum, Dusun Raja, Lahar, Nering, Pantai Teh, Haji Abas di mukim Bongor.

Turut terjejas Kampung Sungai Batu, Seberang Pekan, Bawah Gunung di mukim Baling dan Kampung Lubuk Pedati serta Tanjung Merbau di mukim Pulai.

Pelajar Tingkatan 4 dikhuatiri hilang ketika sertai maraton

AHAD, 2 NOVEMBER 2014 @ 12:37 PM

 
KUALA TERENGGANU: Polis melancarkan gerakan mencari seorang pelajar Tingkatan 4 yang dikhuatiri hilang ketika menyertai acara maraton Gajah Terom di Sekayu, Kuala Berang.

Pelajar terbabit, Ahmad Rafikin Azman, 16, dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dipercayai hilang selepas tidak muncul di lokasi penamat di Hutan Lipur Sekayu.

Sebelum kehilangannya, pelajar terbabit dikatakan keluar rumah pada Jumaat lalu dan tidur berkhemah di lokasi bersama beberapa rakannya untuk menyertai acara kategori Junior, iaitu larian sejauh 12 kilometer pergi dan balik.

Acara larian itu bermula pada jam 8.15 pagi hingga 1.30 tengah hari dan penutupnya pada jam 2.30 petang, semalam.


Kehilangannya disedari selepas bapanya Azman Othman, 50, datang untuk menjemput anaknya, tetapi mangsa tidak muncul.

Beliau kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Berikutan laporan itu, polis melancarkan gerakan mencari membabitkan 12 anggota dan dibantu empat anggota daripada Unit K9 IPD Kuala Berang.

Mereka turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung.

Dua lelaki pukul warga emas kerana RM10

AHAD, 2 NOVEMBER 2014 @ 1:01 PM

 
MELAKA: Gara-gara RM10, seorang warga emas dipukul sehingga berdarah di kepalanya oleh dua lelaki di Banda Hilir di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Loy Sai Tong, 54, berjalan seorang diri melalui sebuah lorong untuk ke tempat kerjanya di sebuah kedai makan di Jalan Bunga Raya, Banda Hilir, sebelum didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal dari arah belakang.

Sai Tong berkata, selepas melepasinya suspek melakukan pusingan-U sebelum berhenti depannya dengan seorang daripada mereka turun menghampirinya lalu meminta wang.

"Pada mulanya lelaki itu hanya minta RM1 dan saya terus menyeluk saku lalu mengeluarkan RM1 terikat bersama berjumlah RM10 dan diberikan kepadanya.


"Suspek kemudian meminta lagi wang dan saya mengatakan sudah tiada.

"Dia tak puas hati dan terus menumbuk kepala saya dua hingga tiga kali sehingga berdarah. Saya terjatuh sebelum mereka melarikan diri," katanya ketika ditemui di sebuah kedai makan di Jalan Bunga Raya, Banda Hilir di sini.

Tiga kedai dipecah masuk


Siew Ying (kanan) dan Dafney Ho melihat barang miliknya di kedai digeledah penjenayah di Uptown Avenue, petang kelmarin.
Siew Ying (kanan) dan Dafney Ho melihat barang miliknya di kedai digeledah penjenayah di Uptown Avenue, petang kelmarin.
SEREMBAN – Tiga kedai di Uptown Avenue, Seremban 2, di sini, dipecah masuk penjenayah, petang kelmarin.

Sebuah kafe dan dua restoran menyajikan makanan jepun dan barat itu disedari dimasuki penjenayah oleh pemilik restoran.

Salah seorang pemilik restoran, Loh Siew Ying, 57, berkata, dia berasa pelik melihat pintu hadapan premis rosak sejurus tiba di kedai kira-kira jam 3 petang.

“Sebaik tiba di kedai, saya cuba membuka pintu dengan kunci tetapi tidak boleh kerana pintu seperti sudah dirosakkan.

“Saya berasa tidak sedap hati dan terus membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan saya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pintu premis kedainya itu dapat dibuka selepas meminta bantuan orang ramai dan kelihatan barangan kedai dalam keadaan baik.

“Saya segera ke bahagian kaunter dan terperanjat melihat peti simpanan duit yang mengandungi wang lebih kurang RM500 sudah tiada.

“Laci kaunter juga turut bersepah dipercayai digeledah pencuri untuk mencari wang dan barang berharga,” katanya.

Siew Ying berkata, dia kerugian hampir RM1,000 apabila lebih 30 kotak rokok bernilai hampir RM500 dilarikan penjenayah.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai saya turut dirosakkan penjenayah bagi menghapuskan bahan bukti.

“Saya percaya pencuri memasuki kedai saya pada tengah malam kelmarin, kerana kawasan di sini sunyi dan tiada pengawal keselamatan,” katanya.

Selain kedainya, katanya, dua restoran berhampiran turut menjadi sasaran penjenayah apabila kedai mereka turut mengalami kejadian sama.

“Saya menerima maklumat daripada rakan-rakan yang beritahu salah sebuah kedai yang dimasuki pencuri kerugian hampir RM8,000,” katanya.

Kesemua pemilik kedai membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, di sini, sejurus selepas kejadian.

Tiga cedera bas rempuh lori


Keadaan bas dinaiki guru dan staf sebuah sekolah dari Butterworth remuk di bahagian kiri.
Keadaan bas dinaiki guru dan staf sebuah sekolah dari Butterworth remuk di bahagian kiri.
HULU SELANGOR - Seramai 44 orang guru dan staf sebuah sekolah dari Butterworth, Pulau Pinang berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 406, Hulu Bernam dalam kejadian 4 pagi semalam.

Tiga daripada mereka mengalami luka akibat terkena serpihan kaca dan dirawat di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar, sementara yang lainnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, rombongan tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan yang tidak dapat dipastikan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkepli Bedin, pemandu bas difahamkan gagal mengelak sebelum terlanggar belakang lori.

“Keadaan cuaca adalah baik, namun gelap berikutan tiada lampu jalan. Rempuhan menyebabkan bas rosak teruk di bahagian depan sebelah kiri.

“Punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan di Kilometer 58, berhampiran tanah perkuburan Cina di Kuala Kubu Baru jam 4 pagi semalam.

Zulkepli berkata, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pemandu bas telah diambil keterangan selepas menyerah diri di balai sejurus kejadian.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sementara keretanya remuk 50 peratus di bahagian depan.

Nelayan jadi sasaran penyamun


Md Said (kiri) menunjukkan keadaan jeti yang dicerobohi penjenayah kepada Ban Hong, semalam.
Md Said (kiri) menunjukkan keadaan jeti yang dicerobohi penjenayah kepada Ban Hong, semalam.
KLEBANG – Lapan nelayan mengalami kerugian kira-kira RM80,000 apabila perahu, enjin dan peralatan menangkap ikan milik mereka yang diletakkan di Jeti Nelayan Tradisional Klebang Besar, di sini dicuri, awal pagi semalam.

Antara peralatan dicuri termasuk empat perahu gentian kaca, tujuh enjin pelbagai kuasa kuda, sebuah mesin menggulung jaring, dua set jaring dan tong minyak.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Jeti Tradisional Klebang Besar, Md Said Adam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi dipercayai dilakukan sekumpulan orang dari luar kawasan berkenaan.

“Pada masa itu, ada seorang pemancing mendakwa melihat sebuah bot menunda keluar bot dari jeti ini tanpa memasang lampu kira-kira jam 5 pagi.

“Memang keadaan gelap dan mereka menyangka nelayan di sini yang lakukan,” katanya yang turut kerugian RM4,500 kerana kehilangan enjin.

Sementara itu, Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, bantuan akan disalurkan kepada semua nelayan terlibat.

“Kerajaan negeri prihatin dengan keadaan nelayan dan kita akan cuba mendapatkan bantuan menerusi Jabatan Perikanan negeri serta pihak-pihak berkaitan bagi membolehkan mereka dibantu.

“Saya juga akan memohon Jabatan Laut dan Pasukan Polis Marin supaya mempergiatkan rondaan di perairan kita khususnya di kawasan jeti nelayan kerana tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Ban Hong turut meminta jawatankuasa nelayan menubuhkan skuad keselamatan bagi memantau jeti daripada dicerobohi penjenayah.

Wanita disamun ketika asyik bersembang di rumah


Piah (kanan) menunjukkan kesan luka pada leher Rohani akibat tujahan pisau penyamun, kelmarin.
Piah (kanan) menunjukkan kesan luka pada leher Rohani akibat tujahan pisau penyamun, kelmarin.
BACHOK - Seorang wanita yang asyik bersembang dengan ahli keluarganya kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, kerugian hampir RM6,000 apabila rantai lehernya disamun lelaki bersenjatakan pisau Rambo dekat sini.

Rohani Jusoh, 34, berkata, ketika itu suaminya Abdullah Arif, 47, keluar menunaikan solat Jumaat dan hanya dia bersama ibu, Piah Omar, 72, anaknya, Nur Zahra Sofia,3, dan sepupu, Rahimah Mat Hassan,62, berada di rumah itu.

Menurutnya, ketika kejadian mereka sedang asyik bersembang sebelum didatangi sebuah kereta Honda berwarna biru yang berhenti di pekarangan rumahnya.

“Seorang lelaki keluar dari kereta terus melompat menerkam saya dan mengacukan pisau di leher saya. Dia minta saya serahkan rantai leher. Saya panik dan kata ambillah sebelum dia merentap rantai itu.

“Dalam keadaan panik itu ibu dan sepupu turun dari serambi meminta pertolongan dari jiran. Tetapi ketika itu semua lelaki tiada di rumah kerana menunaikan solat Jumaat.

“Melihat ibu menjerit meminta tolong, seorang lagi rakannya keluar membawa parang. Dalam masa tak sampat lima minit tragedi itu berlaku dan mereka terus pergi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, selepas suspek berlalu, barulah jiran-jirannya yang datang menjengah dan membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.

Rohani berkata, sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan lehernya luka sedikit akibat terkena hujung pisau suspek.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut itu dia tidak dapat mengecam suspek dan hanya melihat lelaki itu bertubuh sederhana, memakai topi, berbaju hitam dan seluar jeans.

Menurutnya, selain dua lelaki yang keluar bersenjata itu, ada jiran melihat dua orang lagi di dalam kereta itu termasuk seorang wanita dan anak kecil.

Difahamkan, itu adalah kes pertama berlaku di sekitar kawasan terbabit dan sebelum ini hanya melibatkan kawasan berdekatan pantai.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan. Kerugian dianggarkan bernilai RM6,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

70 suspek gores dan menang ditahan


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 November 2014


SEREMBAN – Polis sudah menahan 70 sus-pek dipercayai terlibat dalam sindiket gores dan menang yang bergerak aktif di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, sehingga Oktober ini, sebanyak 285 kes dicatatkan berlaku di negeri ini membabitkan kira-kira RM5.6 juta.

Beliau berkata, mangsa terdiri daripada pelbagai bangsa dan kebanyakan mereka adalah golongan berumur pertengahan yang mudah diperdaya dan dipengaruhi.

“Sebelum ini, suspek ditahan akan disabit di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Kecil 1955 memperuntukkan hukuman denda RM100, penjara sebulan atau kedua-dua sekali.

“Namun demikian, kita sedang berusaha untuk mensabitkan kesalahan itu di bawah Akta 420 kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman lebih tinggi,” katanya.

Ditemui mati tertiarap belakang kedai


Mayat mangsa ditemui di lorong belakang sebuah kedai makan di Sitiawan
Mayat mangsa ditemui di lorong belakang sebuah kedai makan di Sitiawan
MANJUNG - Seorang lelaki ditemui mati di lorong belakang sebuah kedai makan di Sitiawan di sini petang kelmarin.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditemui orang awam yang melalui kawasan kedai makan berkenaan dalam keadaan tertiarap tanpa baju dan hanya memakai tuala berwarna biru.

Mangsa yang berseorangan dikatakan sering tidur di kaki lima bangunan kedai makan dan tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Mohd Shah ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada kira-kira jam 4.10 petang kelmarin.

“Kami terima panggilan dari orang ramai mengatakan menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di belakang lorong kedai makan.

“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan disahkan sebagai K Manivanan dan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat paru-paru rosak dan bernanah.

“Tiada sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa. Mayatnya kemudian dituntut oleh adiknya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Tiga lelaki bertopeng samun asrama pekerja


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 November 2014


BALIK PULAU - Dua wanita warga Indonesia trauma apabila asrama mereka di Lebuh Batu Maung di sini, dimasuki tiga lelaki bertopeng dalam satu kejadian samun, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kedua-dua wanita berkenaan dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan tiga lelaki itu.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek memakai baju gelap mengacukan parang dan mengarahkan kedua-dua mangsa menyerahkan barangan berharga kepada mereka.

Bimbang dicederakan, kedua-dua mangsa yang berusia awal 20-an terpaksa menyerahkan barang berharga sebelum suspek bertindak menggeledah kesemua bilik di rumah berkenaan.

Sumber berkata, daripada keterangan awal mangsa mendapati suspek dikatakan menggunakan parang panjang dan rod besi ketika menyamun asrama berkenaan.

“Suspek melarikan dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan wang tunai berjumlah RM570 milik mangsa.

“Selepas mendapatkan barangan berharga itu, mereka kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya, keterangan kedua-dua mangsa diambil dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan” katanya.

Tujuh pelajar ditahan disyaki terlibat kes rogol


Seramai tujuh pelajar lelaki sebuah institut kemahiran ditahan
Seramai tujuh pelajar lelaki sebuah institut kemahiran ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol di Temerloh, Pahang, semalam.
TEMERLOH 31 Okt. – Seramai tujuh orang pelajar sebuah institut kemahiran di sini ditahan kerana disyaki merogol seorang gadis secara bergilir-gilir pada 14 Oktober lalu.
Difahamkan dalam kejadian bermula pukul 1 pagi itu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan dibawa ke premis pengajian ber­kenaan sebelum dirogol secara bergilir-gilir oleh tujuh lelaki.
Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai dikatakan diajak oleh seorang suspek untuk keluar minum di kawasan berhampiran.
Mangsa kemudiannya dikata­kan dibawa suspek ke premis ber­kenaan sebelum dirogol secara bergilir-gilir oleh enam lelaki berumur antara 18 hingga 21 tahun.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis yang menerima laporan semalam telah berjaya mengesan tujuh suspek di sekitar Temerloh dan Mentakab.
Katanya, kesemua suspek te­lah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Kesek­saan.
“Pada masa ini siasatan masih giat dilakukan dan siasatan akan dilakukan secara menyeluruh bagi menyelesaikan kes ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tujuh-pelajar-ditahan-disyaki-terlibat-kes-rogol-1.19324#sthash.hlZoJjAY.dpuf

Nirmala dapat RM139,147.20


Ganti rugi atas kecederaan berlaku 11 tahun lalu

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Penantian empat tahun bekas pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat untuk menuntut keadilan akhirnya berbaloi setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas majikannya membayar ganti rugi berjumlah RM139,147.20 setelah di­da­pati bertanggungjawab mencederakannya.
Nirmala Bonat
Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid dalam keputusannya meme­rintahkan Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Tiing membayar RM105,000 bagi kecederaan di kedua-dua payu dara dan di bahagian belakang Nirmala yang kini berusia 29 tahun.
Pasangan suami isteri terbabit juga dikehendaki membayar RM4,000 bagi kecederaan dan parut di lengan Nirmala dan RM10,000 untuk kecederaan di kepala, muka dan mulutnya yang dialaminya kira-kira 11 tahun lalu.
Sementara bagi kecederaan di hidung wanita itu dibayar RM8,000 dan tekanan emosi RM40,000.
Kesemua jumlah tersebut adalah ganti rugi am yang layak diterima Nirmala.
Bagi ganti rugi khas pula, mahkamah cuma membenarkan RM10,616 meliputi perbelanjaan asas tempat tinggal, makan dan minum manakala RM6,880 bagi kehilangan pendapatan. Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM10,000.
Berdasarkan perkiraan tersebut, keseluruhan ganti rugi yang dipertimbangkan oleh Siti Khadijah terhadap Nirmala adalah berjumlah RM184,496.
Namun begitu Siti Khadijah menegaskan, jumlah keseluruhan ganti rugi itu hendaklah dipotong 30 peratus kerana Nirmala juga bertanggungjawab atas kejadian itu.
Ini kerana, menurut beliau, meskipun perbuatan Pek Ha melampaui batas-batas kemanusiaan namun mahkamah mendapati Nirmala menyumbang ke arah kejadian yang menimpanya.
“Nirmala telah menyembunyikan usianya yang sebenar sehingga menyebabkan ketidaksesuaian seorang pembantu untuk melakukan pekerjaan mengikut keperluan majikannya.
“Berdasarkan keterangan, Nirmala telah menimbulkan masalah dan tekanan kepada majikannya terutama Pek Ha yang mengharapkan bantuan pembantunya itu selepas melahirkan anak bongsunya yang ketika itu baru berusia dua minggu dan sedang menyusu badan,” kata Siti Khadijah.
Menyentuh tentang keterangan Nirmala yang ketika kejadian berusia 18 tahun telah berbogel di bilik tetamu, Siti Khadijah mempersoalkan mengapa dia berbuat demikian dan tindakan itu telah menyusahkan selain menambah tekanan kepada majikannya itu.
Siti Khadijah juga menyatakan, pada asalnya Pek Ha seorang majikan yang baik tetapi seolah-olah hilang akal pada ketika itu kerana perlu menangani kerenah anak-anaknya yang masih kecil.
Mahkamah bagaimanapun menolak tuntutan Nirmala untuk mendapatkan ganti rugi bagi perbelanjaan perubatan, kehilangan kebolehan mencari pendapatan dan pengangkutan kerana gagal mengemukakan resit bayaran.
Dalam penghakimannya, Siti Khadijah turut menolak tuntutan balas yang dikemukakan pasangan itu terhadap Nirmala.
Pek Ha hadir di mahkamah dengan dikawal oleh beberapa warden Penjara Wanita Kajang kerana sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober 2012 kerana mencederakan Nirmala.
Pada 28 Januari 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Pek Ha, 46, dan Ik Tiing, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh suri rumah itu, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.
Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr. Ismail di sini pada September 2003, mendakwa Ik Tiing pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan sewajarnya.
Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Peguam M. Kavimani yang mewakili Nirmala memberitahu pemberita, anak guamnya tidak dapat hadir hari ini kerana berada di Indonesia. Pek Ha dan suaminya diwakili peguam Chan Vy Sing dan Lam Cheng Wun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/nirmala-dapat-rm139-147-20-1.19338#sthash.KQTDa0e3.dpuf

Penunggang motosikal mati dipukul


KUALA LUMPUR 1 Nov. – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di tepi lampu isyarat di Taman Putra, Ampang Jaya, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa S. Kanagaretnam, 56, maut di lokasi berkenaan akibat kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khai­ruldin Saad berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian, mangsa diserang lima lelaki di lokasi berkenaan.
“Salah seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa sementara empat lagi bertindak memerhatikan keadaan sekeliling,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Khairuldin, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penunggang-motosikal-mati-dipukul-1.19511#sthash.wvvaXJss.dpuf

25 premis judi diserbu kosong


PENGUAT kuasa MBMB membuka pintu pagar besi sebuah premis judi
PENGUAT kuasa MBMB membuka pintu pagar besi sebuah premis judi haram dalam operasi bersama anggota PDRM, MBMB dan TNB di Taman Cheng Permai, Melaka, semalam. – MINGGUAN/GAIE UCHEL
MELAKA 1 Nov. – Sebanyak 25 daripada 29 premis judi haram yang diserbu di sekitar bandar raya Melaka hari ini didapati kosong setelah komputer-komputer yang sebelum ini digunakan untuk menjalankan aktiviti tersebut dipindahkan.
Berikutan itu, serbuan besar-besaran melibatkan 100 anggota pelbagai pihak berkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencatat rampasan paling rendah iaitu 29 unit komputer.
Menurut jurucakap penguat kuasa MBMB, antara premis yang didapati kosong semasa serbuan ialah lapan premis di Taman Semabok Perdana, Taman Malim Jaya (empat), Bukit Beruang (empat), Taman Paya Rumput Utama (tiga), Taman Seri Paya Rumput (dua), Taman Cheng Perdana (dua) dan masing-masing satu di Taman Cheng Permai serta Taman IKS Paya Rumput.
“Boleh dikatakan sebahagian besar pemilik bertindak awal me­ngosongkan premis masing-masing bagi mengelak daripada serbuan yang dijalankan sejak operasi menggempur pusat judi haram dilaksanakan di seluruh negara Ahad lalu.
“Ada premis yang hanya terdapat kerusi dan meja,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambah jurucakap itu, operasi membanteras judi haram kali ini telah dipecahkan kepada empat kumpulan dan mereka bergerak serentak bermula pukul 10 pagi dan berakhir pukul 2 petang.
Ujarnya, rampasan yang berjaya dilakukan ialah lapan unit komputer masing-masing di Taman Paya Rumput Utama dan Taman Seri Paya Rumput manakala Taman Semabok Perdana (13).
Serbuan itu turut membabitkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Agama Islam Me­laka (Jaim), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Suruhanjaya Tenaga.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/25-premis-judi-diserbu-kosong-1.19584#sthash.PTkI45XK.dpuf

219 gadis diculik dan dikahwin Bako Haram


CHIBOK 2 Nov - Pemimpin kumpulan radikal, Boko Haram di Nigeria, Abubakar Shekau menyatakan dalam satu rakaman video bahawa kesemua 219 gadis yang diculik mereka telah memeluk Islam dan dikahwinkan.
Beberapa keluarga kepada 219 kanak-kanak sekolah yang diculik Bako Haram untuk lebih dari enam bulan lalu berkata, mereka tergamam namun tidak terkejut dengan dakwaan bahawa remaja-remaja wanita itu telah dikahwinkan.
Abubakar Shekau membuat kenyataan itu dalam satu rakaman video terbaharu kelmarin, yang mana dia juga menyatakan bahawa kesemua gadis itu juga telah memeluk Islam dan menolak tuntutan rundingan damai dan gencatan senjata.
Ketua Forum Chibok Elders di bandar timur laut Nigeria, di Pogo Bitrus berkata; “Dakwaan mengenai perkahwinan itu mengejutkan kami, walaupun kami mengetahui bahawa Bako Haram merupakan sebuah kumpulan yang tidak boleh dipercayai.” - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/219-gadis-diculik-dan-dikahwin-bako-haram-1.19508#sthash.9BdMaL3U.dpuf

Mayat kedua kru bot dilanggar ditemui


KUANTAN 2 Nov. - Mayat kedua dipercayai mangsa bot tunda jenis YTC M5 yang karam dilanggar kapal dagang kira-kira 16.4 kilometer dari Tanjung Gelang pada Khamis lalu, ditemui pagi ini. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mayat-kedua-kru-bot-dilanggar-ditemui-1.19635#sthash.UKFzDIPp.dpuf

Empat Maut Bot Karam Dipukul Ombak


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 1:17 PM
Mangsa terselamat diiringi pasukan keselamatan untuk mendapatkan rawatan.

SAN FRANCISCO: Empat maut manakala seorang lagi selamat apabila sebuah bot nelayan karam dipukul ombak kuat di luar pantai California.
Kesemua mangsa dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan semasa berada di atas kapal tersebut.
Mangsa yang terbunuh terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

Pejabat Sonoma County Sheriff, Sarjan Cecile Focha berkata mangsa yang terselamat berenang ke tebing sebuah pulau terpencil sebelum diselamatkan oleh krew helikopter.

"Ia satu tragedi yang menyayat hati," katanya.

Seorang pelaut membuat laporan mengenai insiden tersebut yang berlaku dekat Bodega Bay, kira-kira 70 batu nautika dari utara San Francisco kira-kira pukul 10 pagi.
Mangsa yang terselamat, Phillip Sanchez, 66, dari Bodega Bay memberitahu pasukan penyelamat bahawa mereka baru saja memulakan kegiatan menangkap ketam.
Empat mangsa berjaya ditarik keluar dari dalam laut tetapi seorang disahkan meninggal dunia ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tiga daripada mereka dibawa naik ke daratan dan diberikan bantuan pernafasan sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans tetapi gagal diselamatkan.
"Kecewa, semuanya tidak dapat diselamatkan," kata Cecile.
Pejabat sheriff juga mengesahkan tiada penggunaan alkohol atau dadah oleh mangsa dalam tragedi itu.

Wanita Ditembak Mati Di Perkarangan Stadium Emirates


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 12:28 PM

SEORANG wanita dilaporkan telah ditembak mati di perkarangan stadium milik pasukan Arsenal pada pagi Sabtu.
Wanita itu dikatakan telah ditembak seorang lelaki berusia 38 tahun, beberapa jam sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris melibatkan pertemuan antara Arsenal menentang Burnley.
Pasukan perubatan yang menemui mangsa memberitahu, keadaan wanita terbabit tenat akibat kecederaan parah selepas ditembak.
Mereka gagal menyelamatkan mangsa yang kemudian disahkan mati di lokasi kejadian.
Jurucakap Polis Metropolitan berkata," pada peringkat awal kita percaya suspek yang ditahan dan mangsa saling mengenali."
Dalam perlawanan pada sebelah petang di Stadium Emirates, Arsenal berjaya menewaskan Burnley 3-0.

Berpaut tiang rumah elak diterbang puting beliung


BERNAMA | .
ALOR SETAR: "Saya, anak saya dan beberapa orang jiran berpaut pada tiang rumah saya agar kami tidak ditolak pusaran angin kuat," demikian kata seorang penduduk Kampung Mergong Hilir yang mengalami kejadian angin puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Daerah Kota Setar petang semalam.
  
Rohaya Md Saad, 37, kemudiannya mendapati sebahagian besar bumbung rumahnya rosak teruk dan kesemua barangannya seperti perabot dan peralatan elektrik dibasahi air hujan.
  
Beliau berkata ketika itu beliau bersama anak lelakinya Mohamad Azim Mohd Irwan, 10, sedang berada di dalam rumah dan terdengar teriakan jirannya yang ternampak puting beliung yang sedang berpusar datang dari kawasan sawah padi.
  
Katanya tidak sampai beberapa minit sahaja puting beliung menghampiri kawasaan rumah mereka dan sekali gus mengangkat bumbung rumahnya dan bumbung rumah jirannya.
  
"Buat masa sekarang, kami sekeluarga terpaksa tinggal dalam rumah yang rosak ini sebab kami tidak ada tempat lain untuk tinggal. Malam ini pun kami akan tidur di bahagian hadapan rumah yang bumbungnya tidak rosak," katanya ketika ditemui di rumahnya yang perlu dibaiki segera.
  
Sebanyak enam buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan.
  
Dalam kejadian antara 10 hingga 15 minit yang bermula kira-kira pukul 5 petang, keseluruhan 71 buah rumah dan sebuah klinik bidan di kawasan Kota Setar rosak.
  
Kawasan yang terlibat ialah Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya.
  
Azizan Abdul Rani, 39, pula berkata beliau segera membawa anak dan isterinya keluar dari rumah mereka dan berlindung di rumah jirannya sebaik melihat puting beliung sedang menghala ke rumah mereka.
  
Rumahnya rosak teruk pada bahagian bumbung di ruang tamu dan kesemua barangan termasuk buku sekolah anaknya rosak akibat terkena air hujan.
  
"Saya harap bantuan dapat segera disalurkan kepada kami. Kami memerlukan rumah yang lebih selesa dengan segera kerana hujan lebat sentiasa turun pada waktu petang ketika ini," katanya. - Bernama

Wanita Bunuh Diri Kerana Suami Enggan Tonton Filem Shah Rukh Khan


Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 12:02 AM

SEORANG wanita di India bertindak meminum cuka sebagai tanda protes terhadap suaminya yang tidak mahu menonton filem lakonan aktor Shah Rukh Khan berjudulHappy New Year.

Wanita yang dikenali sebagai Neha itu tidak dapat diselamatkan doktor apabila keseluruhan organ dalamannya rosak dan terbakar akibat cecair berasid itu.

Seperti dilapor One India News, wanita berusia 21 tahun itu turut membuat sebuah rakaman video yang memberitahu bahawa perkara tersebut adalah kesalahan suaminya, Vishal.

Vishal menolak untuk menonton filem tersebut pada hari pertama tayangan kerana terlalu ramai orang. Namun perkara tersebut telah membuatkan wanita itu terlalu kecewa hingga tekad membunuh diri.

Sementara itu, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak Shah Rukh Khan berhubung kes tersebut.

Lelaki maut dibelasah sekumpulan lelaki di Ampang Jaya

SABTU, 1 NOVEMBER 2014 @ 2:23 PM

 
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal lelaki ditemui maut dalam keadaan terbaring di tepi lampu isyarat di Taman Putra, Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad, berkata lelaki itu yang dikenali sebagai S Kanagaretnam, 56, mati akibat cedera parah di kepala dipercayai dipukul dengan topi keledar dalam kejadian kira-kira 1 pagi ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki di lokasi kejadian pertama, iaitu di tepi jalan berhadapan dengan sebuah kedai motosikal di Jalan Permai E, Kampung Tasik Permai, Ampang.

"Berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian, mangsa diserang lima lelaki di lokasi kejadian pertama, dan seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa sementara empat lagi bertindak memerhatikan keadaan sekeliling," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Katanya, saksi melihat seorang lelaki memukul mangsa menggunakan topi keledar dan kesemua suspek menaiki tiga motosikal iaitu satu daripadanya sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Khairuldin berkata, mangsa dipercayai meninggalkan lokasi kejadian selepas dipukul, namun mati dalam keadaan terbaring di tepi lampu isyarat akibat hentakan kuat di kepalanya.

Katanya, bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya hanya dimaklumkan mengenai kejadian maut itu daripada Hospital Ampang.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk dibedah siasat," tambahnya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian pertama, pihaknya menemui serpihan visor topi keledar yang disyaki milik mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Suri rumah ditemui mati dengan kesan lebam di muka, badan

SABTU, 1 NOVEMBER 2014 @ 1:02 PM

 
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah ditemui mati dengan kesan lebam di muka dan badan dipercayai akibat dipukul ahli keluarga terdekatnya di sebuah kediaman di Taman Puchong Utama, Bukit Puchong, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mayat G Kanagaletchumi, 25, ditemui adik lelakinya dalam keadaan terbaring di tengah rumah kira-kira jam 12 tengah malam dan polis menerima panggilan sejam kemudian.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata suspek disyaki memukul wanita itu dengan tangan sehingga menyebabkan kematian.

Yahaya berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa sering bergaduh dengan suspek yang dipercayai seorang penagih dadah.


Beliau berkata, adik mangsa memaklumkan bahawa suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai penjaga kafe internet pernah menyatakan niat buruk ke atas mangsa.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri di Kedah dan sebelum kejadian sempat menghantar kedua-dua anak lelakinya masing-masing berusia enam tahun dan dua bulan ke rumah ibunya yang terletak berhampiran.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Satu mayat nelayan dari bot yang berlanggar ditemui

Anggota Polis mengusung mayat yang ditemui untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, hari ini. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Satu mayat daripada enam kru yang hilang selepas bot tunda mereka dilanggar sebuah kapal dagang kira-kira 16.4 kilometer dari Tanjung Gelang di sini Khamis lepas ditemui tengah hari tadi.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama, Datuk Nasir Adam berkata, mayat yang belum dikenal pasti itu ditemui kira-kira 1.40 tengah hari oleh kapal KM Sebatik kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat telah dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat. "Operasi mencari lima lagi krew bot tunda berkenaan masih diteruskan pasukan gerakan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, TLDM dan Jabatan Laut," katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang kru bot tunda warga Indonesia, Martin Sembiring, 30, terselamat selepas dia terjun daripada bot itu apabila menyedari sebuah kapal dagang semakin menghampiri bot mereka.
Martin kemudiannya diselamatkan sebuah kapal nelayan yang melalui kawasan kejadian sebelum laporan polis dibuat. - BERNAMA

10 maut nahas bas di Nepal

SABTU, 1 NOVEMBER 2014 @ 1:50 PM

 
KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 10 maut termasuk seorang wanita Russia apabila dua bas bertembung di tengah Nepal dalam nahas pada awal pagi tadi, kata polis.

Nahas berlaku di lebuh raya daerah Makwanpur, kira-kira 33 kilometer selatan Kathmandu.

"Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.15 pagi waktu tempatan. Seramai 10 orang maut termasuk seorang wanita Russia," katanya.

Seramai 29 orang, kesemuanya warga Nepal mengalami kecederaan dalam nahas itu dan diberi rawatan di hospital berdekatan. - AFP

Kementerian Pertahanan sedia hadapi gelombang banjir



KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertahanan sentiasa bersedia menghadapi gelombang banjir yang bakal melanda negara setiap kali tiba musim tengkujuh.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kementeriannya menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan sentiasa bersedia membantu rakyat dalam apa jua situasi termasuk bencana banjir.
"Kekurangan air di Selangor pun kita gunakan tentera serta 'tanker' milik tentera bagi membantu rakyat di Selangor yang berdepan dengan krisis bekalan air di negeri itu.
"Tentera kita...sentiasa bersedia bukan sahaja dalam keadaan kita berperang, tapi dalam keadaan bencana pun kita boleh memainkan peranan mendekati rakyat," kata Hishammuddin ketika ditemui pada majlis Konvensyen Umno Terengganu 2014 di sini hari ini. - BERNAMA

Empat terbunuh, seorang selamat dalam tragedi bot di California

AHAD, 2 NOVEMBER 2014 @ 10:40 AM

 
SAN FRANCISCO : Empat terbunuh, sementara seorang lagi selamat dalam insiden membabitkan bot perahu di luar pantai California pada Sabtu, kata pihak berkuasa negara berkenaan.

Ombak kuat melanda pantai berkenaan menyebabkan bot nelayan milik swasta itu terbalik di perairan berhampiran Bodega Bay itu.

Mangsa yang mati itu termasuk tiga lelaki dan seorang wanita.

Pejabat Sonoma County Sheriff dalam satu kenyataan berkata pasukan pengawal pantai Amerika Syarikat telah berjaya menarik empat mangsa berkenaan dari air, namun satu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Tiga yang lain dibawa ke kawasan daratan di pantai berkenaan sebelum diusung ke hospital menggunakan ambulans, selain diberikan bantuan pernafasan.

"Kecewa, semuanya tidak dapat diselamatkan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Jabatan helikopter A sheriff, berjaya menyelamatkan seorang lelaki dewasa, berusia 66 tahun dikenali Phillip Sanchez, dari Bodega Rock.

"Lelaki itu memakai T-shirt dan seluar jeans. Dia tidak memakai jeket keselamatan. Dia mengalami kecederaan kecil dan kelihatan kesejukan," kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, tidak seorang pun mangsa yang berada di atas bot itu memakai jaket keselamatan sebelum kejadian, walaupun kelengkapan itu boleh didapati di atas bot berkenaan.

Pejabat sheriff juga mengesahkan tiada penggunaan alkohol atau dadah oleh mangsa dalam tragedi itu. -AFP

Lapan polis terbunuh, 12 lagi hilang dalam serangan di Kenya


NAIROBI : Lapan pegawai polis terbunuh, sementara 12 anggota yang lain masih hilang dalam serangan terbaru di utara Kenya, menurut polis negara berkenaan, pada Sabtu.
Pegawai polis yang masih hilang sejak Jumaat, dipercayai diserang hendap ketika mereka menjalankan operasi keselamatan di kawasan Tasik Turkana.
Penyerang telah bertindak membakar tiga kenderaan polis, sumber polis turut menyatakan kemungkinan mereka yang masih hilang itu sudah meninggal dunia.
Jurucakap polis, Gatiria Mboroko mengesahkan serangan itu berlaku di kawasan Kapedo namun tidak dapat memberi maklumat lanjut, dengan alasan berdepan masalah komunikasi dengan pihak polis di lokasi insiden.
Anggota polis tambahan juga sudah dikerah untuk ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari selepas insiden serangan terbaru itu.
Dua tahun lalu, lebih daripada 40 pegawai polis terbunuh selepas mengejar pencuri ternakan lembu kira-kira 100 kilometer di sebelah selatan negara berkenaan, satu serangan yang belum pernah terjadi di negara Afrika timur itu.
Minggu lalu, lima orang, termasuk tiga pegawai polis terbunuh dalam serangan di kawasan Kapedo.
kekurangan bekalan air dan kawasan ragut telah memburukkan konflik antara masyarakat di kawasan berkenaan yang majoritinya dihuni petani pindah. -AFP