Search This Blog

Wednesday, October 29, 2014

Ibu Kecewa Anaknya Mangsa Buli Digantung Sekolah


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 8:34 PM

KULIM: Ibu kepada seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini yang dikatakan dibuli sekumpulan pelajar sekolah itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang tidak mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit tetapi menggantung persekolahan anaknya.
Yuszaidah Yusuf, 41, berkata anaknya Mohd Afiq Afifuddin Mohd Tajuddin, 17, pelajar Tingkatan Lima sekolah itu, diserang dan dicederakan sekumpulan pelajar ketika dia berada dalam sebuah bilik air di sekolah tersebut pukul 10.45 pagi pada 8 Okt lepas.
Katanya apa yang menyebabkan dia keliru adalah apabila anaknya yang bengkak di muka dan bahagian mata kiri serta lebam di belakang badan pula dihukum pihak sekolah kerana dikatakan punca masalah dan dihukum gantung pengajian seminggu.
Katanya dia dan suaminya dimaklumkan seorang guru sekolah tersebut yang anak sulungnya itu dirawat di Bilik Kecemasan, Hospital Kulim pada hari kejadian dan dimaklumkan guru berkenaan bahawa anaknya itu terjatuh dalam bilik air.
"Melihat keadaan lebam di mata kiri, muka dan belakang anak saya itu menguatkan syak saya bahawa anak saya ini bukanlah jatuh tetapi sebenarnya perkara lain yang berlaku terhadap dirinya. Kemudian dia mengaku dikasari sekumpulan pelajar lain ketika dia berada dalam bilik air sekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Kulim Techno City (KTC) di sini, Rabu.
Katanya memandangkan kesan-kesan bengkak di mata dan muka serta belakang anak lelakinya itu agak serius, dia dan suaminya Mohd Tajuddin Mohd Taib, 45, memutuskan untuk bertemu doktor di Bahagian Kecemasan Hospital Kulim.
Mereka kemudian mendapatkan rawatan sekali lagi di wad kecemasan sebelum membuat laporan polis.
Katanya memandangkan di Hospital Kulim tiada pakar mata, mereka mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan anak mereka dimasukkan ke wad pada 12 hingga 16 Okt.
"Seperkara yang malang setelah balik ke Kulim pada 16 Okt lalu kami dimaklumkan melalui telefon bahawa anak saya digantung belajar dari 16 Okt sehingga 22 Okt dan agak memeranjatkan kami. Setelah mendapatkan rawatan susulan di Alor Setar, anak saya itu mendapat cuti sakit sehingga 2 Nov," katanya.
Keluarga berkenaan memohon Kementerian Pendidikan supaya memberi pertimbangan lebih wajar berhubung masa depan anak mereka yang cedera akibat dibuli tetapi dikenakan tindakan tatatertib.
Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim Abdul Aziz Muhammad ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes tersebut.

Suspek bunuh pekerja ladang direman


PORT DICKSON: Seorang mekanik direman tujuh hari, bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh pekerja ladang di kawasan perumahan di Ladang Tanah Merah, dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baharudin Mustapha berkata, pihaknya masih giat menjalankan siasatan bagi menangkap dua lagi suspek dalam kes ini yang masih bebas.
Menurut fakta kes, V Muniandy, 24, diserang lima lelaki tidak jauh dari kediamannya dipercayai berpunca daripada pergaduhan.
Akibat serangan itu, mangsa ditetak dengan objek tajam menyebabkan kaki kirinya putus manakala kedua-dua tangannya hampir putus dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson.
Sebelum itu, polis menahan dua suspek berumur lingkungan 30-an dan 40-an bagi membantu siasatan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 7:28 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5020#sthash.gCCSViag.dpuf

Mat rempit ‘tawan’ stesen minyak

Oleh Gaddafi Musli
Serdang: Setiap hujung minggu sebuah stesen minyak di lebuh raya PLUS, di sini, berubah menjadi 'litar mini' apabila puluhan mat rempit berkumpul dan membunyikan enjin secara kuat sehingga mengganggu ketenteraman.
Kehadiran mereka dikesan pada hujung minggu terutama malam Sabtu dan Ahad dan apabila cuti umum, bermula 10 malam sehingga awal pagi.
Seorang bekas mat rempit yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 34, mendedahkan perbuatan membunyikan enjin adalah untuk menjadikan lokasi itu lebih 'panas' dengan menarik perhatian pihak berkuasa.
"Apabila keadaan mula bingit, lebih ramai mat rempit akan berkumpul dan membanjiri stesen minyak berkenaan," katanya.
Dia juga yang pernah 'bermain' di kawasan berkenaan, berkata lokasi itu popular kerana terletak di tepi lebuh raya utama dan mempunyai banyak laluan untuk melarikan diri sekiranya diserbu polis.
"Kadangkala stesen minyak berkenaan dijadikan lokasi permulaan untuk perlumbaan haram di sepanjang lebuh raya dan BESRAYA," jelasnya.
Bukti rakaman aksi `koyak minyak’ oleh mat rempit di dalam stesen minyak itu dikongsi pembaca Harian Metro yang menghantarnya untuk dikongsi.
Dia yang enggan nama didedahkan, berkata apabila begitu ramai mat rempit muncul, beberapa pengguna, terutama pemandu kereta yang hendak mengisi minyak terpaksa melupakan hajat itu.
“Mereka tidak laju tapi bingit mengelilingi beberapa pam minyak,” katanya.
Pengguna, Mohd Zaki Abdul Razak, 30, pula berkata kelibat puluhan mat rempit di stesen minyak berkenaan pada malam minggu menyebabkan dia dan keluarga berasa kurang selesa untuk berhenti mengisi minyak.
"Apabila mereka mula membunyikan enjin dengan kuat, keadaan menjadi bising malah udara juga tidak sihat akibat asap yang dikeluarkan ekzos motosikal," katanya.
Sementara itu Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai aktiviti samseng jalan raya di kawasan itu.
“Kita mengalu-alukan perkongsian maklumat khususnya daripada orang ramai kerana operasi cegah samseng jalan raya memerlukan perancangan rapi untuk mengelakkan mereka melarikan diri ketika serbuan," katanya ketika dihubungi.
Beliau menegaskan pihaknya sentiasa melakukan operasi dan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan mat rempit dari semasa ke semasa.
Lebih menyedihkan, majoriti yang menjadi mat rempit adalah golongan remaja dengan ada dalam kalangan mereka masih di bangku sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi.
Katanya, statistik terbaru menunjukkan 6 daripada 10 kematian kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dengan lingkungan umur mangsa antara 16 hingga 25 tahun.
"Saya sering tekankan peranan ibu bapa dan keluarga dalam membendung gejala ini. Mereka harus ambil tahu apa aktiviti anak-anak terutama pada malam minggu dan nasihati mereka sekiranya terlibat dalam kegiatan rempit," tegasnya.
Menurutnya, terdapat ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menggunakan motosikal meskipun tidak mempunyai lesen sah.
"Perbuatan itu umpama membunuh anak sendiri di jalan raya. Justeru saya ingatkan kepada ibu bapa agar pantau aktiviti anak-anak. Jangan sesekali benarkan mereka menggunakan motosikal jika tidak mempunyai lesen sah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:21 AM


AKSI mat rempit di stesen minyak
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4964#sthash.pOoBSRdX.dpuf

Tutup kilang ais kotor

Georgetown: Sebuah kilang ais di Perai, Butterworth dekat sini diarah tutup oleh Jabatan kesihatan Pulau Pinang mulai semalam, kerana beroperasi dalam keadaan kotor.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, siasatan mendapati ketulan ais yang siap diproses diletakkan di atas lantai tanpa dilapik bersama barangan lain seperti but.
“Selain itu keadaan lantai yang berkulat serta siling bersawang juga boleh menyebabkan ais berkenaan tercemar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, kilang yang hanya memperoleh markah 32 peratus itu diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi atau tempoh penutupan dilanjutkan.
Sebanyak 20 kilang ais diperiksa iaitu masing-masing enam di Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan, empat di Seberang Perai Tengah dan masing-masing dua premis di Timur Laut dan Seberang Perai Utara.
Ku Nafishah berkata, kilang memproses ais sepatutnya mempunyai lesen operasi daripada Kementerian Kesihatan selain pihak berkuasa tempatan (PBT), namun hanya 12 premis di seluruh negeri ini yang telah dilesenkan di bawah kementerian itu.
“Lapan belas daripada 20 premis yang diperiksa itu tidak mempunyai lesen kementerian tetapi kami masih memberi peluang dan akan membimbing premis yang telah dikenal pasti bagi melayakkan mereka mendapat lesen itu kerana kebersihan premis agak baik,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sembilan notis saman berjumlah RM22,500 kerana premis menggajikan pekerja yang tidak mempunyai sijil pengendali makanan manakala PBT mengeluarkan lapan kompaun bernilai RM1,900.
Orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini, katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 8:52 PM


KEADAAN sinki air yang kotor dan tidak diselenggarakan dengan sempurna. FOTORudy Syareme Sheriffudin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5034#sthash.CDolciQU.dpuf

Reman pengasuh tiga hari

BUDAK tiga tahun dalam keadaan terikat tangan dan kaki ketika ibunya membuat pemeriksaan di rumah pengasuhnya.x
Oleh Zulfa Mohamad
Butterworth: Seorang wanita bertindak membuat laporan polis selepas mendapati anak lelakinya berusia tiga tahun dalam keadaan terikat tangan dan kaki ketika membuat pemeriksaan di rumah pengasuhnya, semalam.
Wanita berusia 38 tahun itu menghantar anak lelakinya itu ke rumah pengasuh di Taman Sri Pinang dekat sini, sejak Jun tahun lalu sebelum keluar bekerja di sebuah kilang.
Sebelum ini tiada sebarang masalah berlaku. Namun, ibu mangsa rasa curiga selepas anaknya pulang dari rumah pengasuhnya dalam keadaan lapar beberapa hari lalu.
Menurut sumber, ibu mangsa yang mengesyaki anaknya didera bertindak membuat pemeriksaan mengejut dengan pergi ke rumah pengasuh anaknya jam 10 pagi dan terkejut melihat anaknya terikat tangan dan kaki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam di badannya.
Katanya, suspek bertindak demikian kerana mendakwa kanak-kanak itu terlalu nakal.
Susulan laporan polis berkenaan, pengasuh berusia 39 tahun itu ditahan petang semalam sebelum Mahkamah Sesyen Butterworth memutuskan dia direman tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 8:24 PM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5022#sthash.Krv9BACp.dpuf

Pembantu kantin maut motosikal terbabas


KUANTAN: Seorang pembantu kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang, Indera Mahkota di sini maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Kuantan-Bypass berhampiran Kampung Chendering menghala ke Gambang lewat malam semalam.
Mangsa, Mohamad Jafri Hashim, 48, dari Kampung Pandan di sini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku 11.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari arah pelabuhan menghala ke Gambang.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang dipercayai menunggang mototsikal itu sendirian dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar lopak air lalu hilang kawalan sebelum terbalik,” katanya hari ini.
Kata Mohd Noor, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat. -Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 9:35 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5042#sthash.HGFUoQk7.dpuf

18 pekerja terperangkap dalam lombong arang batu di Turki

ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi menyelamat 18 pelombong yang terperangkap di kawasan lombong arang batu di selatan Turki, hari ini. - Foto AFP
ANKARA: Sekurang-kurangnya 18 pekerja terperangkap apabila sebahagian kawasan lombong arang batu di selatan Turki dilanda banjir, kata pegawai hari ini.
Kejadian itu meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan yang lemah di tempat kerja di negara berkenaan.
Laporan awal menyebut banjir di dalam lombong Has Sekerler dekat bandar Ermenek di wilayah Karaman menyebabkan runtuhan tetapi laporan berikutnya menyebut pekerja terperangkap akibat paras air yang meningkat. Punca banjir itu masih belum dapat dipastikan.
Kira-kira 20 pekerja lain sama ada berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan dari dalam lombong, kira-kira 500 kilometer di selatan Ankara. - AP

10 maut, 31 cedera nahas bas sekolah di Brazil


SAO PAULO: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 31 lagi mengalami kecederaan apabila sebuah bas sekolah membawa pelajar bagi program mendaki terbabit dalam nahas di Brazil, kata polis hari ini.
"Mereka menaiki bas untuk lawatan sekolah," kata jurucakap polis.
Pihak berkuasa berkata, 16 orang yang cedera dalam nahas itu dilaporkan parah.
Bas itu berlepas dari Sao Paulo ke Borborema bertembung dengan trak membawa minyak sayuran dari arah bertentangan menyebabkan 10 orang mati di tempat kejadian. - AFP

16 maut, 300 dikhuatiri hilang tanah runtuh di Sri Lanka

RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 6:51 PM

 
COLOMBO: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala lebih 300 dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di wilayah tanaman teh di Sri Lanka, hari ini.

Jurucakap Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sarath Kumara, berkata tanah runtuh itu memusnahkan ladang teh yang terkenal di timur Colombo pagi ini, dengan beberapa kediaman tertimbus sedalam kira-kira sembilan meter.

Anggota tentera cuba untuk mengorek tanah runtuh berkenaan bagi menyelamatkan mangsa, namun usaha menyelamat terjejas berikutan berlaku kerosakan jalan raya di kawasan berkenaan.

"Kami mendapat laporan kira-kira 140 kediaman musnah dihanyut oleh banjir lumpur.


"Yang terbaru, kita mendapat laporan sekurang-kurangnya 300 orang dikhuatiri hilang," katanya.

Kumara berkata, 16 mayat berkenaan berjaya ditemui pada tengah hari selepas bencana berkenaan semakin pulih di wilayah Koslanda, kira-kira 200 kilometer timur ibu negara Sri Lanka.

Mangsa dikenal pasti sebagai pekerja ladang dan ahli keluarga mereka.

Pegawai ketenteraan di kawasan berkenaan, Mejar Jeneral Mano Perera, berkata kira-kira 20 unit dikerah dalam operasi menyelamat di kawasan pergunungan yang tidak stabil itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat tergendala akibat keadaan kawasan berkenaan yang berkabus.

Kejadian tanah runtuh itu bermula pada jam kira-kira 7.45 pagi waktu tempatan dan berlaku selama 10 minit, kata Perera. - AFP

Cubaan curi wang dari mesin deposit tunai gagal

RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 4:36 PM

 
TASEK GELUGOR: Cubaan seorang lelaki melarikan wang dari mesin deposit tunai gagal apabila tidak dapat mengumpil mesin itu di sebuah bank di Jalan Hashim Awang di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim, berkata kejadian itu disedari seorang pelanggan bank berkenaan yang ingin menggunakan mesin deposit tunai itu pada jam 6.15 pagi ini.

"Lelaki yang mahu menggunakan mesin deposit itu mendapati ada kesan umpilan pada mesin itu dan memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan CCTV di bank berkenaan mendapati seorang lelaki yang memakai jaket dengan penutup kepala masuk ke premis itu pada jam 3.10 pagi.


"Terdapat empat CCTV dalam bank itu dan satu daripadanya iaitu yang terletak di ruang lobi premis telah disembur cat oleh lelaki berkenaan tetapi tiga lagi dapat merakam kejadian itu," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes itu.

- BERNAMA

Polis tumpas geng pecah rumah di Jasin

RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 4:44 PM

 
JASIN: Polis berjaya menumpaskan geng pecah rumah dikenali Geng Alif di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya tiga suspek termasuk ketuanya pada awal pagi dan petang semalam, di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek pertama yang juga ketua kumpulan itu dikenali sebagai Alif, 27, ditahan di rumahnya di Kampung Bukit Sedanan, Selandar di sini jam 9.50 pagi, semalam.

Katanya, dua lagi suspek masing-masing dikenali sebagai Muiz, 18, dan Kudin, 22, pula ditangkap pada hari sama di rumah mereka pada jam 3.30 petang di kawasan sama.

"Tiga lagi rakan mereka berusia lingkungan 20-an masih bebas dengan polis kini sedang giat mengesan mereka dan yakin mampu menahan mereka tidak lama lagi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Jasin di sini, sebentar tadi.


Kumpulan itu katanya, dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini dengan modus operandi mereka mengumpil tingkap rumah mangsa sebelum memasukinya dan ia dilakukan pada lewat malam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu terbabit dengan 11 kes jenayah membabitkan lima kes pecah rumah di sekitar daerah ini; tiga kes sama di Gemencheh dan Tampin di Negeri Sembilan; dua kes curi motosikal di Melaka Tengah dan satu kes pecah bengkel di Alor Gajah.

"Anggaran nilai kerugian bagi kes pecah rumah adalah sebanyak RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Polis tahan lelaki, rampas dadah bernilai RM200,000 di Relau

RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 5:50 PM

 
GEORGETOWN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM200,000 dari sebuah unit pangsapuri di Relau di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Lee Keng Chuan berkata, hasil maklumat awam dan risikan sejak dua minggu lepas, polis menyerbu rumah berkenaan pada 12.30 tengah hari dan menahan lelaki berusia 49 tahun itu.

"Hasil pemeriksaan di rumah sewa lelaki itu, kami menemui pelbagai jenis dadah antaranya syabu seberat 744 gram (g), heroin (324g), serbuk ketamin (202g), pil eramin 5 (2,300 biji) dan pil ecstacy (35 biji).

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua botol asid dan pelbagai peralatan memproses dadah serta menyita pelbagai mata wang bernilai hampir RM5,000," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.


Beliau berkata, lelaki itu, yang dipercayai bergerak secara bersendirian, aktif mengedar dadah di sekitar Pulau Pinang sejak enam bulan lepas dan menjadikan rumah itu sebagai stor menyimpan bekalan dadah.

"Dia juga dipercayai cuba untuk menghasilkan dadah sendiri dengan menjadikan rumah berkenaan sebagai makmal memproses dadah," katanya.

Lelaki itu, yang mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah serta positif dadah, direman sehingga Ahad ini. - BERNAMA

Tiga maut, 200 hilang banjir lumpur landa Sri Lanka


COLOMBO: Kira-kira 200 orang dilaporkan hilang manakala tiga disahkan maut selepas hujan lebat mengakibatkan banjir lumpur di tengah Sri Lanka, hari ini.
"Kami mendapat laporan 140 rumah dibawa arus dalam banjir lumpur itu," kata Sarath Kumara, jurucakap Pusat Pengurusan Bencana Nasional (DMC).
"Kami sudah menjumpai tiga mayat dan terdapat laporan menyatakan sehingga 200 orang mungkin hilang.
"Polis, kakitangan keselamatan dan anggota suka rela terbabit dalam operasi besar-besaran bagi mencari mangsa terselamat," kata Kumara.
Beberapa bahagian di lebuh raya juga ditenggelami air. - AFP

Kanak-kanak lelaki diikat tangan, kaki di rumah pengasuh

RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 5:25 PM

 
KEPALA BATAS: Seorang wanita yang membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh anaknya terkejut apabila mendapati anak lelakinya berusia tiga tahun terbaring di atas lantai dengan tangan dan kaki diikat.

Wanita yang bekerja kilang itu mengambil keputusan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh di Flat Taman Seri Pinang di sini semalam, selepas mendakwa sejak kebelakangan ini anaknya sentiasa dalam keadaan lapar apabila diambil daripada rumah pengasuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata kanak-kanak itu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak Jun tahun lalu dan sebelum ini ibu kanak-kanak itu mendakwa tiada sebarang masalah dengan pengasuh berkenaan.

"Menurut ibu kanak-kanak itu, anaknya dihantar ke rumah pengasuh berkenaan pada 5.30 pagi semalam dan kira-kira lima jam kemudian dia pergi ke rumah pengasuh itu untuk melihat keadaan anaknya.

"Dia melihat anaknya dalam keadaan tangan terikat di belakang dan kaki turut diikat terbaring di atas lantai...ketika itu hanya anak pengasuh yang berusia 11 tahun berada di rumah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kanak-kanak itu tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam di badannya.

Sehubungan itu, polis menahan reman wanita berusia 39 tahun itu bagi membantu siasatan dan menurut Abdul Rahman, suspek bertindak demikian kerana mendakwa kanak-kanak berkenaan terlalu nakal.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Pembantu Pegawai KPDNKK Didakwa Terima Suapan RM2,000



Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 1:20 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu terhadap pertuduhan menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang pengurus sebuah premis perniagaan tahun lepas.

Zaidi Zainuddin, 31, didakwa menerima suapan itu daripada Ng Lap Ken, 47,sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga VCD/DVD cetak rompak Sim Kit Choon, 37, di sebuah hotel, Jalan Ipoh di sini pada 3.10 petang 22 Oktober tahun lepas.

Zaidi yang bertugas di KPDNKK cawangan Kuala Selangor didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh, yang diwakili peguam Vasudevan Appu, diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang dan menetapkan 19 Nov untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Mohd Asnawi memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth supaya ia dapat disebut semula bersama enam lagi kes lain membabitkan isu sama.

Kanak-Kanak Berusia Setahun Meninggal Dunia, Dipercayai Didera



Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:09 PM
Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Pasukan forensik telah membuat lawatan ke sebuah rumah pasangan suami isteri bagi mencari sebarang bukti berkaitan dengan kematian mengejut salah seorang anak mereka pada Isnin lalu.

Polis memberitahu, doktor di Hospital Sungai Buloh membuat laporan selepas pasangan tersebut menghantar anak perempuan mereka berusia setahun dalam keadaan tidak sedarkan diri ke wad kecemasan pada Jumaat lalu.

Menurut doktor, pihaknya telah menemui beberapa kesan lebam di kepala, tangan kanan dan bahagian belakang.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia beberapa minut tiba di hospital.

"Punca kematian disebabkan kecederaan teruk di kepala. Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu pernah dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya selama tiga bulan kerana patah tangan kanan," jelas Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus.

"Apabila kami menyoal siasat ibu bapa mangsa, mereka mendakwa anaknya itu mendapat kesan lebam kerana terjatuh dari tangga dua hari sebelum kematian.

"Mereka turut memberitahu kanak-kanak itu turut patah tangan ketika jatuh ketika itu."

Pihak polis pergi ke rumah mangsa di SS2 dan turut berjumpa dengan tiga lagi anak pasangan tersebut yang berumur lapan tahun, dua tahun dan empat bulan.

Hasil siasatan mendapati tiada apa-apa kesan lebam terhadap tiga kanak-kanak itu

."Kami masih mencari sebarang kemungkinan dalam kes ini. Kami memohon kepada jiran-jiran agar tampil memberi sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan," jelas Supt Fadil.

Lawatan itu bukanlah kali pertama dilakukan oleh polis ke atas rumah pasangan suami isteri yang telah berkahwin selama 10 tahun ini.

Menurut jiran, pada tahun lalu mereka ada menelefon polis selepas mendengar jeritan dan bunyi seperti dipukul.

Jelas salah seorang jiran kepada The Star, suara menjerit, bergaduh dan bunyi barang-barang dibaling sudah menjadi perkara biasa kepada mereka sejak empat tahun lalu.

"Sudah penat mendengar suara mereka. Setiap hari saya dengar mereka bergaduh, si isteri menjerit, membaling perabot dan anak-anak menangis.

"Ada satu ketika dulu, salah seorang jiran ada membuat laporan polis, namun selepas itu mereka ditegur oleh ibu mangsa agar jangan masuk campur," jelas jiran mangsa.

Dia menggambarkan bapa kanak-kanak itu sebagai 'psycho'  kerana pernah mencalarkan kereta dan membuang sampah di tempat letak kereta di depan rumahnya.

'Bakal Orang Terkaya Di Dunia' Ditahan Di Thailand


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 11:11 AM
Papan iklan gergasi memaparkan Jian yang dipasang di Butterworth.

GEORGE TOWN: Lelaki warganegara China, Zhang Jian  yang menggelarkan dirinya 'Bakal orang Terkaya Di Dunia' telah ditahan di Thailand.

Jian Ditahan oleh Polis Thailand berkaitan dengan skim piramid yang melibatkan mangsa di China dan Malaysia dengan jumlah lebih kurang 6 juta baht (RM600juta) dan 3 juta baht (RM300 juta).

Mengikut The Nation, pihak polis juga turut mencari warga Thai yang terlibat dengan skim yang dilancarkan pada Jun lalu.

Laporan akhbar itu juga berkata, polis Bangkok turut menahan Song Miqui,37, dan Wang Wenfang,29, dalam sebuah kondominium di Pathumwan pada Isnin dan merampas wang tunai dalam pelbagai matawang.

Pihak polis juga turut merampas lima kontrak penjualan tanah di Phuket bernilai 22.3 juta baht (RM2.23juta), dua perjanjian tanah di Phuket serta akaun bank berjumlah 1.5 juta bath (RM150,000) dan kad pengenalan Thailand.

Jian,26, pengasas YSLM atau turut dikenali Yun Shu Mao-'multi-level marketing' turut dilaporkan menyertai 100 hari program di kuil, Phuket sejak awal bulan Ogos.

Pun begitu, menurut sumber, dia terpaksa berhenti separuh jalan kerana kuil tersebut dipenuhi dengan orang ramai yang mahu menjadi pengikutnya dan menyertai YSLM.

Jelas Jiang, dia telah menyumbang RM394,330 kepada kuil itu selepas syarikatnya mencapai sasaran RM50 juta.

Awal Julai lalu, Jian menjadi perhatian media Malaysia apabila mukanya muncul dipapan iklan gergasi yang mendakwa dia adalah 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia'.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah membuat siasatan dan mendapati YSLM berikatan dengan skim cepat kaya sebelum Jian meninggalkan negara ini pergi ke Thailand.

YSLM selepas itu menawarkan untuk mengembalikan wang kepada ahli-ahlinya yang belum memperkenalkan skim ini kepada orang lain.

Hello Kitty Memandu Sambil Mabuk


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 3:34 PM

GORHAM, Maine: Polis menahan seorang wanita berpakaian seperti watak Hello Kitty kerana memandu dalam keadaan mabuk, kata polis pada Selasa.


Polis Gorham berkata, Carrie Gipson, 37, dari Westbrook ditahan kira-kira pukul 2 pagi Ahad lalu.

Ketika ditahan, kata jurucakap polis, Carrie memandu di laluan salah.

"Pada awalnya dia enggan membuat ujian pernafasan tetapi selepas akur, dia ditangkap atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk.

"Dia kemudian ditahan di Penjara Cumberland," katanya.

Berdasarkan gambar fail polis, Carrie dilihat memakai pakaian lengkap Hello Kitty, kecuali bahagian kepala.

Wanita Malaysia Ditahan Bersama 6 Jongkong Emas Di Dhaka


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 1:40 PM

NEW DELHI: Seorang wanita rakyat Malaysia yang membawa enam jongkong emas ditahan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa di lapangan terbang antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka di Bangladesh, menurut satu laporan.    

Bangladesh bdnews24.com melaporkan bahawa wanita 53 tahun itu ditahan apabila dia menggunakan laluan hijau sekitar tengah hari pada Selasa.    

Menurut laporan itu, beliau telah diperiksa selepas kelihatan mencurigakan daripada cara dia berjalan dan hasil pemeriksaan itu menunjukkan beliau membawa enam jongkong emas seberat satu kilogram.    

Laporan itu memetik Penolong Penguasa Batalion Polis Tentera Nur-e Alam Siddique sebagai berkata bahawa wanita itu datang ke Bangladesh menaiki penerbangan Malaysia Airlines pukul 11 pagi.    

"Dia tidak pernah datang ke Bangladesh sebelum ini, sesuai dengan butiran perjalanan dalam pasport beliau.

Beliau juga tidak fasih berbahasa Inggeris, jadi kami tidak dapat memastikan lagi destinasinya di Bangladesh," katanya.    

Tindakan undang-undang sedang dijalankan ke atas wanita itu, kata akhbar dalam talian yang memetik kenyataan Penolong Pesuruhjaya Kastam Jewela Khanam.

Roket Ke ISS Meletup


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 9:19 AM
Antares meletup hanya enam saat sebaik ia dilancarkan pada pukul 6.22 petang waktu tempatan.

CAPE CANAVERAL: Roket angkasa lepas komersial, Antares yang menghantar bekalan ke Pusat Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) meletup hanya enam saat sebaik dilancarkan, awal pagi Rabu.

 
Kepulan asap dan api yang marak dapat dilihat dengan jelas sekitar Florida akibat letupan roket kargo Cygnus yang membawa muatan 2,267 kilogram bahan untuk kegunaan enam angkasawan yang tinggal di ISS.

Senario sebelum Antares meletup di Wallops Island.
Ia adalah perjalanan keempat membawa kapal angkasa Cygnus ke makmal orbit, roket itu melakukan perjalanan pertamanya setahun lalu.

Roket angkasa Orbital Sciences Corp tanpa pemandu itu setinggi 14 tingkat bangunan itu meletup dan terbakar di kompleks pelancaran angkasa lepas Wallops Island, Virginia pada jam 6.22 petang waktu tempatan.

Syarikat pemiliknya berkata, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dan kerosakan yang berlaku hanya membabitkan kemudahan di tapak pelancaran itu.

NASA membiayai misi roket angkasa yang dimiliki syarikat Orbital Sciences yang berpangkalan di Virginia dan syarikat Space-X berpangkalan di California untuk memastikan stok di ISS.

Setakat ini punca kejadian masih tidak diketahui, demikian menurut pengulas misi pelancaran NASA, Dan Huot.

Pasangan warga emas maut


Honda Civic (kiri) dinaiki mangsa yang hilang kawalan sebelum dirempuh Toyota Hilux.
Honda Civic (kiri) dinaiki mangsa yang hilang kawalan sebelum dirempuh Toyota Hilux.
BATANG MELAKA - Sepasang suami isteri warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batang Melaka, berhampiran Balairaya Batang Melaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.10 petang itu, kereta jenis Honda Civic dinaiki pasangan berkenaan yang dipandu anak perempuannya dalam perjalanan ke Bukit Jalor selepas dikatakan membawa keluar seorang ahli keluarga mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Saksi kejadian dikenali sebagai Sharif Suboh berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu dalam perjalanan dengan isterinya dari Batang Melaka ke Gemencheh sebelum melihat kemalangan tersebut.

Menurut Sharif, kereta dipandu anak perempuan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Taha, Gemencheh yang datang dari arah bertentangan.

“Saya bernasib baik kerana sempat mengelak melanggar Vios yang terbalik di tengah jalan itu. Difahamkan guru itu dalam perjalanan ke Melaka untuk menghadiri kursus.

“Namun, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan Honda Civic dinaiki warga emas itu, menyebabkan tiga buah kenderaan terlibat,” katanya.

Menurutnya, penumpang warga emas itu kritikal setelah mengalami pendarahan dalaman, manakala isterinya patah tangan kiri.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka," katanya yang juga merupakan Sidang Batang Melaka.

Kedua-dua warga emas berkenaan bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka, manakala anak perempuannya dilaporkan parah dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Dua terselamat kereta dihempap pokok


Anggota bomba sedang giat membersihkan dahan dan batang pokok yang tumbang di Jalan Masai Baru, semalam.
Anggota bomba sedang giat membersihkan dahan dan batang pokok yang tumbang di Jalan Masai Baru, semalam.
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback terselamat apabila kereta yang dipandu secara tiba-tiba dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Masai Baru berhampiran Balai Polis Johor Jaya, di sini, kira-kira jam 2.45 petang, semalam.

Pegawai Operasi Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Sharol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 petang dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

Menurutnya, dua mangsa yang berumur lingkungan 20-an bernasib baik kerana sebatang pokok yang tumbang menghempap kereta mereka di bahagian penumpang belakang.

“Lapan anggota kita dikejarkan ke lokasi kejadian memandangkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya sedang terlibat dalam operasi menyelamat dan memadam kebakaran.

“Memang nasib mereka sangat baik kerana batang pokok yang tumbang menghempap bahagian belakang dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sharol berkata, pihaknya difahamkan kedua-dua mangsa merupakan jurujual sebuah syarikat dan sedang dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru.

Menurutnya, operasi yang ditamatkan pada jam 3.35 petang turut mendapat bantuan daripada anggota polis Balai Polis Johor Jaya dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor.

Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang


Rumah Husin dan keluarganya musnah dalam kebakaran pagi, semalam.
Rumah Husin dan keluarganya musnah dalam kebakaran pagi, semalam.
SENAI - Tiga beranak dari Jalan Dato Onn, Mersing dekat sini tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menanggung kerugian RM60,000 apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Husin Ibrahim, 65 yang bekerja sebagai nelayan berkata, ketika kejadian dia keluar ke kedai berhampiran rumahnya manakala isteri dan anaknya tiada di rumah.

“Saya keluar sebentar ke kedai dan isteri pula bekerja membuat keropok di rumah jiran berdekatan sementara anak kami pula ke sekolah.

“Tidak lama kemudian jiran hubungi saya dan beritahu rumah kami terbakar jadi saya bergegas pulang untuk melihat keadaan yang berlaku.

“Setibanya di rumah saya lihat bumbung sudah dipenuhi api yang sedang marak dan hampir keseluruhan rumah kami terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan dokumen penting atau mengambil sebarang peralatan rumah kerana api marak terlalu cepat dan membahayakan keselamatannya jika terus meredah masuk ke dalam rumah.

“Kami tinggal sehelai sepinggang dan tidak sempat ambil apa-apa. Kami terpaksa menumpang di rumah jiran untuk sementara waktu kerana rumah musnah teruk dalam kejadian ini,” katanya.

Dalam pada itu Husin berkata, dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM60,000 bagi membaiki semula kediamannya dan peralatan rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian besar namun saya tetap bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, seramai lapan anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian manakala kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Kepala cedera, kaki patah


Keadaan beberapa rumah yang turut ditimpa dinding konkrit atas bukit berdekatan kuil dipercayai akibat pembinaan yang tidak kukuh.
Keadaan beberapa rumah yang turut ditimpa dinding konkrit atas bukit berdekatan kuil dipercayai akibat pembinaan yang tidak kukuh.
KAMPAR - Seorang lelaki nyaris maut apabila dihempap dinding konkrit setinggi sembilan meter di belakang rumahnya dalam kejadian yang berlaku di Kampung Abdullah kira-kira jam 8 malam, kelmarin.

Mangsa, Cheong Yoon Seng, 53, yang dipercayai baru pulang dari kerja sempat berlindung di bawah meja untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, kepalanya cedera dan kaki kanannya patah akibat tersepit dalam kejadian itu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Dalam perkembangan sama, abang mangsa, Cheong Yoon Meng, 54, berkata, rumah warisan keluarganya itu berusia lebih 70 tahun dan sudah usang.

"Adik saya memang tinggal di situ kerana dia masih bujang," katanya.

Menurutnya, dua tahun lalu sebuah dinding konkrit dibina untuk meluaskan kuil yang berada di atas bukit belakang rumah tersebut.

“Namun, apabila hujan, tanah dan air akan mendap menyebabkan kawasan dalam dinding seperti kolam sekali gus memberi tekanan pada dinding  sehingga menyebabkan ia runtuh,” katanya.

"Selain rumah mereka, empat rumah berhampiran turut ditimpa dinding konkrit tersebut, namun ketika kejadian ia tidak berpenghuni kerana masing-masing sudah berkeluarga dan tinggal di kawasan lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Mohamad Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.49 malam dan seramai 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, mereka mendapati seorang lelaki tersepit dan cedera akibat dihempap pecahan dinding konkrit yang runtuh menimpa rumah mangsa.

“Kami menggunakan gergaji rantai dan gergaji besi untuk memotong besi serta kayu bagi memudahkan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

10 rumah rosak dipukul ribut

Antara rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku pada Ahad lalu.
Antara rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku pada Ahad lalu.
LENGGONG - Kira-kira 10 rumah di Kampung Selat Pagar, di sini, rosak di bahagian bumbung akibat dilanda ribut yang berlaku pada Ahad lalu.

Mangsa ribut,  Chow Pek Chee, 63, berkata, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di kampung itu sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, angin terlalu kuat dan menerbangkan bumbung rumahnya.

"Saya segera mencari tempat yang selamat  di dalam rumah kerana bimbangkan keselamatan diri.

“Saya lega kerana keadaan tidak begitu teruk dan saya juga tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pek Chee berkata, selepas ribut reda, dia segera keluar dari rumah dan mendapati  kediaman lain turut terjejas.

Jelasnya, beberapa rumah jiran turut mengalami keadaan yang sama seperti kediamannya malah ada mengalami kerosakan dinding.

“Banyak rumah yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan banyak atap pecah berada di atas jalan raya akibat diterbangkan angin.

“Saya difahamkan tiada penduduk yang mengalami kecederaan kerana ramai diantaranya bersembunyi di dalam rumah sewaktu kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Lenggong, ID Azalan Shah Banyamin melawat mangsa ribut di kampung tersebut bagi meninjau keadaan mereka, pagi kelmarin.

Katanya, sedikit bantuan diberikan bagi meringankan beban mangsa dan beliau berharap pihak berkenaan dapat menyegerakan penyerahan bantuan tabung bencana.

“Ribut ini kali kedua berlaku di sini kerana sebelum ini pernah berlaku tetapi pada 40 tahun lalu.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat turun padang dan membantu mangsa ribut, di sini,” katanya.

Rasa bahang panas ketika tidur


Nandarajan melihat keadaan bilik yang hangus dalam kejadian itu.
Nandarajan melihat keadaan bilik yang hangus dalam kejadian itu.
KUANTAN - Lima sekeluarga yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan kebakaran di rumah mereka di Lorong Seri Setali 57, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi itu, R Nandarajan, 45, yang sedang lena dikejutkan oleh anak sulung, N Karthik, 20, yang tidur di bilik utama di tingkat atas bersama dua adik dan seorang sepupu.

Karthik berkata, dia yang sedang tidur terjaga dari tidur akibat bahang panas dan terkejut apabila melihat api di bahagian suis utama.

Menurutnya, dia bertindak mengejutkan dua adiknya, N Arvindran, 18,  dan N Aswindraj, 12, serta sepupu N Komathi, 20, bagi menyelamatkan diri.

“Dalam  panik, saya mengejutkan bapa yang tidur di bilik sebelah dan kami turun ke tingkat bawah.

“Kejadian berlaku dengan begitu pantas dan tidak sempat menyelamatkan barang penting termasuk dokumen,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Nandarajan berkata, mereka semua turun ke tingkat bawah dan mengambil air untuk padam api yang marak.

“Bagaimana pun, asap tebal menyukarkan kami untuk naik ke atas. Kami hanya menunggu bomba datang untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Nandarajan berkata, boleh dikatakan dua bilik di tingkat atas musnah secara keseluruhan, malah komputer riba dan telefon milik anaknya tidak dapat diselamatkan.

Katanya, dia sekeluarga lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan memuji tindakan pantas Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota yang tiba dengan cepat ke lokasi.

Janda diugut bunuh ah long


Mangsa ugutan ah long menunjukkan poster ancaman yang dibuat salah satu dari kumpulan ah longm terbabit kepada Michael, semalam.
Mangsa ugutan ah long menunjukkan poster ancaman yang dibuat salah satu dari kumpulan ah longm terbabit kepada Michael, semalam.
KUALA LUMPUR - Bayaran dikatakan sudah dijelaskan, namun seorang janda beranak satu masih hidup dalam ketakutan akibat diugut ah long selepas kematian suaminya, 19 Oktober lalu.

Difahamkan, mangsa sekeluarga bukan setakat diugut, malah diancam bunuh oleh dua kumpulan ah long yang tidak berpuas hati dan mendakwa mendiang suaminya gagal melunaskan hutang dibuat sebelum ini.

Mangsa, seorang suri rumah berusia 53 tahun itu berkata, mendiang suaminya, 58, meminjam wang sebanyak RM5,000 dari dua kumpulan berkenaan kerana terdesak akibat perniagaan mengalami kerugian.

“Akibat tidak tahan dengan ugutan dan ancaman, suami saya mengalami tekanan serius sehingga meninggal dunia akibat sakit jantung.

“Sebelum suami saya meninggal dunia, dia beritahu semua hutang telah dibayar. Tapi saya masih terima ugutan mereka dan meminta membayar sebanyak RM10,000,” katanya.

Beliau juga mendakwa ada menerima poster berbaur ugutan di mana, kumpulan sindiket berkenaan turut mempamerkan wajah mendiang dan alamat rumah.

Bimbang keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis, 23 Oktober lalu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, setakat Oktober 2014 sebanyak 64 aduan diterima membabitkan sindiket pinjaman wang ah long yang melibatkan kira-kira RM13 juta.

“Manakala sejak Januari hingga Oktober tahun ini, Biro Pengaduan Awam MCA menerima 472 kes sama melibatkan kira-kira RM57 juta,” katanya.