Search This Blog

Tuesday, October 28, 2014

Polis Curiga Laporan Pengawal Keselamatan Dakwa Wang RM2 Juta 'Dirompak'


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 6:00 PM

SHAH ALAM: Sebuah van berisi wang tunai RM2 juta dilarikan sekumpulan perompak selepas empat pengawal keselamatan yang selesai melakukan kutipan wang berhenti untuk makan malam.
Insiden kira-kira pukul 9 malam Isnin itu dilaporkan oleh pengawal keselamatan terbabit kepada polis.

Bagaimanapun, polis ragu-ragu dengan kenyataan yang diberikan oleh kesemua pengawal keselamatan terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Che Mat berkata, terdapat ketidaktetapan di dalam laporan yang diberikan oleh pengawal keselamatan terbabit dan pemandunya.

Polis percaya kesemua pengawal keselamatan tersebut mungkin terlibat dalam insiden itu.

Abdul Samah berkata, keempat-empat pengawal keselamatan itu berkata mereka baharu sahaja selesai mengutip wang dari beberapa lokasi di Seri Kembangan sebelum berhenti makan di sebuah restoran dekat Jalan Lestari Perdana 7.

Tiga pengawal tersebut dilaporkan meninggalkan pump gun mereka di dalam van bersama pemandunya untuk makan malam.

"Apabila mereka kembali 15 minit kemudian, mereka mendakwa van tersebut hilang. Mereka kemudiannya menjumpai van tersebut dengan pemandu ditemui dalam keadaan tangannya diikat," kata Abdul Samah.

Pemandu tersebut memberitahu polis bahawa dua lelaki dengan sepucuk pistol menyerangnya di dalam van sebelum mengikat dan melarikan van berkenaan.

Mereka meninggalkan van tersebut selepas melarikan wang dari belakang kenderaan berkenaan.

Abdul Samah berkata 'perompak' tersebut tidak melarikan bersama pump gun yang ditinggalkan di dalam van berkenaan.

Pemandu van itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Prosedur operasi standard tidak membenarkan mereka untuk berhenti ketika sedang bertugas. Mereka membawa sejumlah wang yang banyak, mengapa mereka berhenti untuk makan?

"Ia bertentangan dengan latihan dan SOP mereka," katanya.

10 keluarga terbabit banjir di Alor Setar dipindah

SELASA, 28 OKTOBER 2014 @ 9:10 PM

  
ALOR SETAR: Kira-kira 10 keluarga dari Kampung Lapangan Terbang dan Sri Pasir, Kepala Batas dekat sini terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat selepas rumah mereka mula dinaiki air awal hari ini.

Lebih 50 orang dari sepuluh keluarga terbabit mengambil keputusan berpindah segera berikutan paras air di Sungai Padang Terap melepasi paras bahaya iaitu mencapai 4.01 meter sehingga pukul 5 petang tadi.

Seorang penduduk Sobry Saad, 55, berkata, air sungai yang terletak berhampiran rumahnya mula melimpah dan masuk ke rumahnya kira-kira pukul 5 pagi tadi.

"Air mula melimpah di bahagian dapur rumah awal pagi tadi dan hingga petang ini seluruh rumahnya ditenggelami air. Air naik di paras pinggang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lapangan Terbang.

Peniaga roti canai itu berkata, dia telah melakukan persiapan dengan mengangkat semua barangan dalam rumah seperti peralatan elektrik dan perabot ke bahagian atas rumah selepas melihat paras air sungai mula naik awal pagi tadi.

Sementara itu, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lapangan Terbang, Azman Che Ani berkata kebanyakan rumah yang dinaiki air terletak berdekatan dengan Sungai Padang Terap.

"Kita ambil langkah awal dengan berpindah secara berperingkat kerana bimbang banjir lebih buruk akan berlaku," katanya. - BERNAMA

Bot pelancong terbalik di India, tiga warga Russia maut

SELASA, 28 OKTOBER 2014 @ 7:14 PM

 
PANAJI, India: Sebuah bot membawa pelancong untuk melihat ikan lumba-lumba terbalik di luar pesisiran pantai barat India dan mengorbankan tiga wanita Russia.

Mangsa terbabit adalah sebahagian daripada sekumpulan 10 pelancong Russia yang menyewa bot itu bagi mengekori ikan lumba-lumba sejauh lebih satu kilometer di pantai popular Betul, wilayah Goa.

Pegawai polis Nilesh Shirotkar berkata, satu gelombang besar mengakibatkan bot itu terbalik menyebabkan beberapa penumpang terperangkap di bawahnya.

Shirotkar berkata, pegawai dari Konsulat Russia di Goa sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian.


Goa adalah destinasi pantai popular dan menarik kira-kira tiga juta pelancong setiap tahun. Sebahagian besar daripada pelancong itu adalah dari Russia. - AP

Perut kenyang, duit hilang

Oleh Fardy Bungga dan Mohd Rizal Abdullah

am@hmetro.com.my

Seri Kembangan: Sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai sebanyak RM2 juta disamun di Taman Equine di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, empat pekerja terbabit baru selesai mengutip wang tunai di beberapa buah bank di kawasan itu sebelum berhenti di sebuah restoran untuk makan malam.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, tiga pekerja terbabit keluar manakala seorang lagi tidur di dalam van tersebut.
Menurutnya, pekerja yang berada di dalam van terbabit mendakwa didatangi dua lelaki yang bertindak mengikatnya lalu melarikan van bersama wang tunai sejauh dua kilometer dari lokasi.
"Setakat ini polis menahan keempat pekerja terbabit untuk siasatan," katanya.
Katanya, polis akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti mereka yang terlibat.
"Keempat pekerja terbabit kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 4:18 PM


ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi van itu ditinggalkan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4723#sthash.ZN7IHlhO.dpuf

Pelajar mati lemas tercampak dalam longkang

TASEK GELUGOR: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini mati lemas selepas tercampak ke dalam longkang besar apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di Padang Cempedak, di sini tengah malam tadi.
Muhammad Amirul Asraf Mohamad Sabri, 15, dipercayai dibawa arus deras dan mayatnya ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi pelajar itu dilapor terjatuh.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Abdul Rahman Ibrahim, berkata ketika kejadian pada 12.45 tengah malam itu, pelajar berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Jarak Atas ke Tasek Gelugor.
"Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya menyebabkannya terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh longkang dan terjatuh ke dalamnya. Kejadian itu disedari beberapa orang awam yang melalui kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis serta pasukan bomba dan penyelamat melancarkan gerakan mencari sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.
Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.
- BERNAMA

Penternak rugi lebih RM500,000 ikan kelah mati dipercayai diracun


28/10/2014 6:56pm

GUA MUSANG - Seorang penternak ikan dalam kolam di Kampung Lepan Jaya di sini kerugian lebih RM500,000 selepas kira-kira 6,000 ekor ikan kelah yang diternak mati dipercayai akibat diracun.
Mat Nawi Hussin, 55, berkata, 4,000 ekor ikan kelah yang mati bersaiz lebih sekilogram dan boleh dijual dengan harga RM150 seekor, manakala 2,000 ekor lagi adalah anak ikan kelah yang dilepaskan ke dalam kolam sama setahun lepas.
Kejadian tersebut disedari pada pukul 8 pagi Sabtu lepas, ketika beliau meninjau sekitar kolam ikannya dan mendapati ribuan ikan kelah mati dalam sebuah kolam.
Beliau turut menternak beberapa jenis ikan dalam tujuh kolam lain di sekitar rumahnya seperti talapia, keli dan patin.
"Saya mengesyaki kematian ikan kelah itu akibat perbuatan khianat dan ada yang tidak senang hati, dipercayai mencurah racun ke dalam kolam ikan kelah yang hanya terletak beberapa meter dari jalan utama kampung ini.
"Rasa kecewa juga dengan apa yang berlaku tetapi saya menerima takdir ini. Banyak lagi ikan yang berada dalam tujuh kolam lain masih selamat dan menjadi rezeki saya untuk menyara keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz3HRlShVpG 
Hakcipta terpelihara 

Siklon Nilofar hampiri kawasan barat India


Penduduk Gujarat diarah membuat persiapan bagi menghadapi Nilofar.
Penduduk Gujarat diarah membuat persiapan bagi menghadapi Nilofar.
NEW DELHI - INDIA. Pihak berkuasa India mengeluarkan amaran mengenai Siklon Nilofar yang kini menuju ke bahagian pantai barat negara itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan Nilofar bakal membadai wilayah Gujarat dengan kelajuan angin sehingga 145 kilometer sejam.

Hujan lebat juga dijangka melanda beberapa daerah di sepanjang pantai Gujarat antaranya Saurashtra dan Kutch.

Awal bulan ini, kawasan di timur India mengalami kemusnahan teruk selepas di badai ribut Hudhud dalam laporan BBC.

Seniman terlampau


Seniman terlampau
SEORANG seniman persembahan yang memaku kemaluannya di Dataran Merah di Moscow tahun lalu, sekali lagi menggemparkan Rusia.

Kali ini, Petr Pavlenskiy bertindak mengerat cuping telinganya di Serbski berhampiran Moscow.

Polis tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas menerima aduan orang ramai dipetik laporan Mirror.

Artis jalanan berusia 31 tahun itu kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital di Botkinsky.

Sebelum ini, Pavlenskiy pernah menjahit mulut dan melilit tubuhnya menggunakan kawat berduri.

Tindakan itu dikatakan kerana tidak berpuas hati dengan dengan penahanan kumpulan punk wanita, Pussy Riot yang dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana mencemuh Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Kekejaman pengasuh terbongkar


Kekejaman pengasuh terbongkar
TINDAKAN kejam seorang pengasuh di Amerika Syarikat yang diberi tanggungjawab untuk menjaga empat kanak-kanak terbongkar selepas seorang daripada mereka mendedahkan perkara itu kepada ibu mereka.

Ketika kejadian itu, Dana Cash, 34, dari Yucaipa, Los Angeles, California diupah oleh seorang wanita yang enggan identitinya didedahkan kepada umum.

Menurut wanita itu, dia telah memeriksa rekod suspek di laman care.com sebelum memberi kepercayaan kepadanya untuk menjaga keempat-empat anaknya termasuk sepasang kembar lapor Daily Mail.

"Dia melayan anak saya dengan baik sepanjang tempoh percubaan yang kami berikan," katanya lagi.

Bagaimanapun, wanita itu terkejut selepas anak sulungnya mengadu tentang perbuatan Cash terhadap adik kembarnya yang berumur 12 bulan.

"Saya cuba untuk mengumpulkan bukti dengan cara melihat semula rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV). Dia bertindak kasar dengan si kembar  termasuk memasukkan tangannya ke dalam mulut salah seorang daripada mereka dengan ganas," jelasnya.

Susulan daripada insiden itu, Cash telah diberkas oleh Syerif San Bernardino pada 2 Oktober lalu selepas disyaki melakukan penderaan ke atas kanak-kanak, namun dia dibebaskan dengan ikat jamin.  

Pihak berkuasa memaklumkan kes tersebut masih dalam siasatan. 

Wanita cuba bunuh anak tiri


Jen
Jen
SEORANG kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun di China ditemui dalam keadaan menyayat hari selepas ditinggalkan selama tiga hari di dalam sebuah lubang oleh ibu tirinya.

Menurut Gang Jian, 40, dia tidak menyangka bekas isterinya akan bertindak sedemikian selepas lelaki itu memfailkan perceraian ke atasnya.

"Hubungan mereka agak baik sebelum ini, namun dia meninggalkan rumah kami selepas saya membuat keputusan untuk berpisah," jelasnya kepada Daily Mail.

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap polis memaklumkan suspek, Ting Liang, 30, dipercayai menjemput Jen dari sekolah atas alasan untuk membawanya berjumpa dengan doktor.

"Liang membawa mangsa ke kawasan bekas lombong arang batu di daerah Fengan, wilayah barat daya Guishou sebelum menendang dan menjerut lehernya dengan skarf tanpa belas kasihan.

"Suspek bertindak mencampakkan mangsa ke dalam sebuah lubang selepas dia tidak sedarkan diri akibat perbuatan kejam ibu tirinya.

Tetapi, perkara itu terbongkar selepas Jian membuat laporan mengenai kehilangan Jen.

"Kanak-kanak itu bernasib baik kerana masih hidup walaupun tubuhnya mengalami dehidrasi selepas tidak sedarkan diri selama 72 jam," katanya.

Pada mulanya, Jian didakwa cuba menafikan perbuatannya ketika disoal siasat polis.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengaku melakukan jenayah itu selepas polis menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang membuktikan wanita itu ada bersama dengan mangsa pada hari kejadian.

Liang bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah atas tuduhan menculik dan cubaan membunuh.

Remaja maut digilis kereta api


Bunga diletakkan di sekitar kawasan kejadian bagi memperingati Ngaremu King yang dilanggar kereta api barang kelmarin.
Bunga diletakkan di sekitar kawasan kejadian bagi memperingati Ngaremu King yang dilanggar kereta api barang kelmarin.
TE KUITI – NEW ZEALAND. Seorang remaja lelaki maut selepas dilanggar kereta api barang, di sini, kelmarin.

Penasihat Komunikasi Kanan Kiwi Rail, David Miller, mengesahkan mangsa, Ngaremu King, 14, berada di tepi landasan dan tiba-tiba muncul di hadapan kereta api yang dalam perjalanan dari Wellington ke Auckland.

Pemandu kereta api yang trauma dengan insiden tersebut diberikan cuti.

Difahamkan remaja tersebut bermain di taman berhampiran sebelum melintasi landasan untuk ke taman di seberang landasan ketika kejadian tersebut berlaku.

Menurut sepupu mangsa, Jaime-Leigh Matthews, seorang rakan mangsa jatuh dari basikal dan mangsa berlari untuk membantu rakannya.

Namun ketika berlari semula ke taman berhampiran dia dilanggar kereta api tersebut.

Insiden itu menyebabkan landasan tersebut ditutup lebih kurang  empat jam untuk pihak polis melakukan siasatan.

Menurut Miller, pihak Kiwi Rail turut menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut, serta mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berada berhampiran dengan landasan.

Wanita mati dipukul kerana amal sihir


Aktiviti memburu ahli sihir yang mensasarkan golongan wanita menjadi kebiasaan di beberapa bahagian di India. - Foto AFP
Aktiviti memburu ahli sihir yang mensasarkan golongan wanita menjadi kebiasaan di beberapa bahagian di India. - Foto AFP
CHHASTTISGARH - INDIA. Seorang wanita dibunuh olah saudara-mara kerana disyaki mengamalkan ilmu sihir di daerah Weragama, di sini.

Menurut laporan polis, Dukalheen Bai mati selepas dibogel, dipukul dan diseksa selama beberapa jam oleh abang iparnya, Nakul Patel dan beberapa lagi ahli keluarga mangsa.

Patel menuduh mangsa mengamalkan sihir yang menyebabkan anak lelakinya jatuh sakit.

Dia kemudian ditahan bersama 10 orang lagi ahli keluarga termasuk lima orang wanita yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, lapor AFP.

Menurut anak mangsa, Ashok Patel, ibunya dipukul dengan teruk di hadapan orang kampung, numun tiada seorang pun tampil membantu wanita tersebut.

“Ibu saya menjerit tapi orang kampung hanya melihat. Saya cuba menghalang namun tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Tradisi memburu ahli sihir ini menjadi amalan kaum tertentu di India yang masih memegang kepercayaan terhadap kuasa sihir dan mistik.

Namun terdapat juga yang mengambil kesempatan dengan mensasarkan golongan janda untuk mendapatkan harta dan tanah mereka.

Awal bulan ini, bekas atlet lontar lembing India, Debjani Bora turut diikat dan dipukul dengan teruk setelah dituduh mengamalkan sihir di kampungnya di sebelah utara-timur Assam.

Skandal rasuah: Ahli politik antara ditahan


28 Oktober 2014


MADRID – SEPANYOL. Pihak polis Sepanyol menahan lebih 50 orang di seluruh negara, termasuk anggota kanan parti pemerintah dalam operasi membanteras rasuah besar-besaran negara itu.

Seramai 51 orang ahli politik didakwa terlibat dalam skandal rasuah besar. Mereka yang ditangkap menghadapi tuduhan menggunakan wang untuk kegiatan haram, menggunakan pengaruh serta menggelapkan wang.

Antara ahli politik yang menjadi tumpuan dalam penahanan tersebut ialah bekas Setiausaha Agung parti pemerintah, Francisco Granados, lapor al-Jazeera.

Granados meletak jawatan pada Februari setelah akhbar El Mundo melaporkan beliau memiliki hampir dua juta dolar dalam akaun bank di Switzerland.

Sementara itu, difahamkan ahli politik daripada parti rakyat dan sosialis juga antara yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurut kenyataan pegawai pejabat pendakwa anti-rasuah, mereka dipercayai terlibat dalam rangkaian rasuah melibatkan kontrak pembinaan kerajaan tempatan bernilai kira-kira 315 juta dolar.

“Pakatan sulit melibatkan ahli majlis tempatan dan pegawai negeri dengan syarikat pembinaan serta perkhidmatan tenaga, termasuk orang tengah dan syarikat utama membolehkan mereka mendapat kontrak sekitar 250 juta euro dalam dua tahun lepas sahaja,” katanya.

Siasatan ini merupakan yang terbaru bagi kes rangkaian skandal rasuah melibatkan parti politik, bank, kelab bola sepak dan kerabat diraja.

Hasil siasatan tersebut menyebabkan 400 akaun bank dibekukan dan lebih kurang 260 syarikat disiasat.

GAMBAR NGERI PERISTIWA KILOMETER 223.2 PLUS!

http://www.kakema.com/2014/10/gambar-ngeri-peristiwa-kilometer-2232.html


#Tergamam.. Ya Allah.. tempatkan roh umat Islam yang terbabit dalam kemalangan ini di tempat orang yang beriman. jauhilah kami dari segala seksa dan azab di dunia dan akhirat. aminnn..

Masyallah.. seram sejuk tengok gambar kemalangan di kilometer 223.2

Ada beberapa lagi keping gambar kemalangan maut di PLUS highway .Kalau lemah jantung/lemah semangat jangan tengok.

VIDEO CLICK DIBAWAH
























































Terminal Dua lapangan terbang Mexico terbakar


BANDARAYA MEXICO: Satu kebakaran berlaku di bangunan Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico semalam namun berjaya dikawal tanpa mengakibatkan kerosakan teruk, kata jurucakap lapangan terbang.
Gambar televisyen menunjukkan kepulan asap keluar dari bahagian atas bangunan berkenaan.
Laporan media menyatakan kebakaran itu berlaku di kawasan medan selera yang menempatkan restoran makanan segera.
Jurucakap lapangan terbang berkata tiada laporan diterima mengenai sebarang kecederaan.
Kerajaan Mexico bercadang untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu bernilai AS$9.15 bilion berhampiran tapak yang ada sekarang yang akan meningkatkan kapasiti hab pengangkutan itu. - REUTERS

Muhammad Rizalman dibebas dengan ikat jamin



MUHAMMAD Rizalman Ismail dikejar wartawan New Zealand ketika berjalan ke teksi yang sedang menunggunya selepas dihadapkan ke Mahkamah Daerah Wellington hari ini. - Foto AFP
WELLINGTON, New Zealand: Bekas atase tentera Malaysia di Wellington, Muhammad Rizalman Ismail yang menghadapi pertuduhan serangan seksual, dibebaskan dengan ikat jamin.
Hakim Mahkamah Daerah Wellington, Arthur Tompkins, memutuskan bahawa Muhammad Rizalman boleh dilepaskan daripada tahanan jika beliau mematuhi beberapa syarat, termasuk menyerahkan pasport, tidak keluar malam dan tidak berhubung dengan mangsa.
Muhammad Rizalman ditahan sejak kembali ke New Zealand Sabtu lalu, lima bulan selepas meninggalkan negara itu di bawah kekebalan diplomatik.
Beliau bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington apabila ditahan pada 9 Mei lalu kerana didakwa mengekori seorang wanita berusia 21 tahun ke rumah dan menyerangnya. - AP

20 saksi dipanggil beri keterangan kes Tuhan Harun


Kuantan: Sekurang-kurangnya 20 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam kes ketua ajaran sesat Tuhan Harun dan lima pengikutnya yang didakwa berkonspirasi dan membunuh Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek di di Mahkamah Tinggi, di sini, mulai semalam.
Dalam prosiding semalam, dua saksi pendakwaan dipanggil iaitu Penolong Penyelia Stor Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Koperal Najib Warsin dan jurugambar polis Lans Koperal Wan Saufi Wan Shaari.
Kes didengar di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad dan Farahah Mohd Nazari, manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.
Harun, 48, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 31; pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38; dan tiga lagi pengikutnya, Jefferi Safar, 37, Sumustapha Suradi, 39, serta Shamsinar Abdul Halim, 37, bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka untuk membunuh Ahmad Raffli.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini, jam 1.50 tengah hari 10 November tahun lalu.
Manakala, Shamsinar bersama Sumustapha dan seorang lagi yang masih bebas juga turut didakwa membunuh Ahmad Raffli pada tarikh, tempat dan masa sama.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:20 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4677#sthash.nYkk4wKt.dpuf