Search This Blog

Sunday, October 26, 2014

Mangsa tragedi jatuh rakit ditemui





26/10/2014 7:50pm

GUA MUSANG- Mayat kedua mangsa tragedi jatuh rakit di Sungai Ladang Aring 10 ditemui kira-kira 4.30 petang tadi.

Mangsa Nasrul Hafis Shahrudin, 29, dari Seremban ditemui kira-kira 50 meter dari kawasan kejadian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ahmad Nordin Ibrahim, mangsa ditemui berhampiran kawasan rakannya yang berjaya diselamatkan anggota penyelamat kelmarin.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tersangkut pada kayu sungai tidak jauh dari mangsa pertama yang berjaya diselamatkan.

"Permukaan air yang keruh dan berkeladak menyukarkan operasi pencarian mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

"Mangsa yang masih belum berkahwin telah dituntut oleh keluarga dan akan dibawa pulang ke Seremban," katanya. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_21.htm#ixzz3HGJtjCRM
Hakcipta terpelihara 

Penduduk Rantau Panjang dinasihat siap sedia hadapi banjir


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rantau Panjang melakukan pemeriksaan terhadap bot dan peralatan menyelamat sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir. - Foto Jauhariatul Akmal Johar
KOTA BHARU: Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok terutama di Rantau Panjang dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah berikutan paras air sungai itu di jajahan berkenaan sudah melepasi paras amaran.
Cacatan dari laman sesawang info banjir Jabatan Parit dan Saliran (JPS) jam 10 pagi semalam menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 8.57 meter. Paras biasa ialah lima meter, berjaga-jaga (tujuh meter), amaran (lapan meter) dan merbahaya (sembilan meter).
Sehingga jam 1 petang semalam, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang terus mencatatkan peningkatan ke 8.60 meter. Paras air di kesemua sungai utama yang menjadi tempat menyukat paras air turut mencatatkan peningkatan, melebih paras biasa, namun tidak melebihi paras berjaga-jaga.

PEGAWAI Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan 1, Zaimi Samat menunjukkan bacaan paras air Sungai Golok berhampiran Pusat Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran di Kedai Lama. - Foto Jauhariatul Akmal Johar
Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Mohd Rizal Hasmarli Hashim, berkata walaupun masih belum ada penduduk di sepanjang Sungai Golok berpindah, namun mereka diminta berwaspada untuk berbuat demikian sekiranya keadaan terpaksa.
"Dari maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, sehingga kini masih belum ada penduduk di kawasan Rantau Panjang terpaksa berpindah walaupun paras air sungai berkenaan sudah melebihi paras amaran.
"Bagaimanapun, MKN menasihatkan penduduk di Rantau Panjang terutama yang tinggal di sepanjang Sungai Golok, supaya berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan sekiranya kediaman ditenggelami air," katanya ketika dihubungi di sini.

Polis Tembak Warga Asing Samun Kafe Internet


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 8:04 PM

PETALING JAYA: Polis menembak mati seorang penjenayah warga asing ketika cuba menyamun sebuah kafe internet di Taman Fadeson, Kepong kira-kira pukul 2 petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, hasil pemeriksaan penjenayah yang memakai topeng dan bertopi keledar itu bagaimanapun menyamun menggunakan pistol tiruan.

Menurut Munusamy, kelibat suspek yang berlegar-legar menggunakan motosikal tanpa nombor pendaftaran dihidu dua anggota polis yang membuat rondaan di kawasan pusat perniagaan di situ.

"Salah seorang detektif memasuki kafe internet tersebut untuk menyamar sebagai pelanggan. Suspek masuk ke dalam kafe tersebut dan terus ke kaunter dengan mengacu sepucuk pistol.

"Pada masa itu, detektif yang berada di belakang kedai tersebut berteriak 'polis'. Lelaki itu acu pistol ke arah detektif. Demi untuk menjaga keselamatan diri dan penjaga kaunter, beberapa das tembakan dilepaskan kearah lelaki tersebut," katanya menerusi kenyataan media di sini, Ahad.

Turut dijumpai dalam bag sandang mangsa ialah wang tunai yang dipercayai baharu disamun, wang Indonesia dan sebuah passport Indonesia.

Mangsa dipercayai berumur 24 tahun.

Ibu rayu anak gadis pulang


May Lee bersama suami dan seorang anak mereka ketika bertemu media dan Andy untuk membantu anaknya pulang.
May Lee bersama suami dan seorang anak mereka ketika bertemu media dan Andy untuk membantu anaknya pulang.
KUANTAN - Pasangan suami isteri dari Lorong Seri Teruntum dekat sini merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri pulang ke pangkuan keluarga dan mahu semua masalah diselesaikan dengan baik.

Tan Hong Beng, 44 dan Wong May Lee, 44 bagaimanapun mengesyaki anaknya, Tan Wan Lin, 18, mengikut seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali Tun Tun Oo kerana mereka pernah bercinta sebelum dihalang keluarga.

May Lee berkata, tiga laporan polis bertarikh 22 September, Isnin dan Rabu lepas dibuat berkaitan lelaki berusia 30an itu kerana cuba mengganggu ketenteraman keluarga berkenaan.

Katanya, selepas menerima maklumat anaknya ponteng sekolah pada Ogos dan September lalu, dia berjumpa dengan lelaki berkenaan yang berjanji tidak menjalin hubungan dengan anaknya.

Bagi mengukuhkan janji lelaki berkenaan, May Lee meminta lelaki itu menandatangani surat aku janji pada 23 September lalu supaya tidak berjumpa anaknya dan meninggalkan Kuantan selama-lamanya.

Menurutnya, Wan Lin turut menandatangani surat aku janji bertarikh sama supaya tidak ponteng atau melarikan diri dari rumah.

“Malangnya, anak saya keluar rumah antara jam 5.30 pagi hingga 7 pagi Isnin lalu dengan meninggalkan sekeping nota,” katanya.

Antara kandungan surat itu katanya, anaknya mahu dia menganggap dia keluar bekerja dan menimba pengalaman selain cuba hidup sendiri.

Wan Lin juga mahu berdikari selepas keluarga membantah hubungan mereka.

“Saya juga sayang ibu kerana banyak beri galakan. Tidak kira apa yang berlaku, keluarga penting, saya berjanji akan jaga diri dengan baik,” katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, anaknya turut mengambil surat aku janji itu dengan beberapa helai pakaian, kad pengenalan dan wang tunai kira-kira RM100.

Menurutnya, selepas menandatangani aku janji, dia melihat sendiri lelaki berkenaan membawa beg dan mendakwa mahu pulang ke Myanmar.

“Tapi saya dimaklumkan seorang ahli keluarnya yang bekerja di sini, lelaki itu tidak pulang ke Myanmar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Cawangan Kuantan, Andy Chew berkata, pihaknya meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai Wan Lin supaya menghubungi keluarganya.

Hawaii keluar amaran berpindah kemungkinan letusan gunung berapi



PAKAR Geologi Pihak Pemantau Gunung Berapi Hawaii (HVO) berjalan di atas permukaan lahar Gunung Berapi Kilauea bagi mengesan kesan limpahan dekat Kampung Pahoa, Hawaii. - Foto Reuters
HONOLULU: Pihak berkuasa tempatan meminta penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Berapi Kilauea supaya bersiap sedia berpindah dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang berikutan aliran lahar mula melimpah ke atas jalan raya dan mendekati kediaman mereka.
Aliran lahar itu kini kira-kira 50 hingga 70 meter lebar dan bergerak ke timur laut selaju kira-kira sembilan meter sejam.
Lahar itu melimpah ke atas jalan raya di kawasan Pahoa, bandar terbesar di wilayah Puna, Big Island pada kira-kira jam 3.50 pagi waktu tempatan.
Ia juga kira-kira satu kilometer dari Pahoa Village Road iaitu jalan raya utama bandar berkenaan.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada lahar berkenaan mungkin sampai ke jalan raya kampung kerana pergerakannya tidak menentu. - AP

38 rumah dilanda banjir kilat di Bentong


Ops Banjir Kilat di kuartes guru Lurah Bilut, Bentong, Pahang malam tadi. - Foto Twitter Bomba
KUANTAN: Sebanyak 38 buah rumah di Lurah Bilut dekat Bentong dilanda banjir kilat awal pagi ini berikutan hujan lebat lewat malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, kejadian kira-kira 2.30 pagi itu turut mengakibatkan 18 buah kenderaan termasuk tiga buah kenderaan milik Jabatan Kesihatan mengalami kerosakan.
Katanya kawasan terlibat banjir kilat itu ialah kuarters guru Lurah Bilut, kawasan Klinik Kesihatan Lurah Bilut, kawasan Kampung Baru dan kawasan Sungai Penjuring.

Ops Banjir Kilat di kuartes guru Lurah Bilut, Bentong, Pahang malam tadi. - Foto Twitter Bomba
"Di kuarters guru sahaja sebanyak 20 buah rumah terlibat, 11 daripadanya berpenghuni manakala selebihnya tidak diduduki sementara di Klinik Kesihatan Lurah Bilut pula dua rumah kakitangan turut dinaiki air sedalam hampir satu meter," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya di kawasan Kampung Baru sebanyak sembilan buah rumah terlibat, manakala di Sungai Penjuring, tujuh buah rumah dinaiki air.
Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada mangsa dipindahkan dalam kejadian itu.
Air mulai surut kira-kira 4.15 pagi tadi dan kerja pembersihan sedang dijalankan. - BERNAMA

APMM tahan lima nelayan Indonesia ceroboh perairan Pulau Pinang


ANGGOTA APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan Zon B yang ditahan pada kedudukan 43 batu nautika selatan Pulau Kendi dekat sini, semalam. - Foto ihsan APMM
GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang menahan lima nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negeri ini pada jarak 43 batu nautika selatan Pulau Kendi dekat sini, semalam.
Ketua Penguatkuasanya Kapten Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan berkata, seorang tekong dan empat awak-awak berusia antara 20-an dan 40-an itu ditahan ketika anggotanya membuat rondaan pukul 12 tengah hari.
"Mereka kemudian dibawa ke ke Jeti Limbungan Batu Maung dan kesemua peralatan memancing, bot serta 700 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis disita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, nelayan asing terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntuk denda maksimum RM1 juta bagi tekong dan RM100,000 bagi setiap awak-awak, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, sebuah lagi bot Zon B ditahan kerana melanggar syarat memukat ikan di 5.5 batu nautika barat Pulau Kendi, pukul 12.45 tengah hari semalam.
Kamaruszaman berkata seorang tekong dan dua awak-awak bot itu turut ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari pantai.
Katanya bot itu ditunda ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Batu Maung manakala sejumlah 200 kilogram ikan campur dan 150 kilogram ikan baja dirampas. - BERNAMA

Mayat kedua mangsa lemas Sungai Aring ditemui



ANGGOTA penyelamat membawa mangsa lemas, Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, yang dijumpai selepas tragedi berakit di Sungai Aring, Gua Musang dua hari lalu, ditemui petang tadi. - Foto Ramli Ibrahim
KOTA BAHARU : Seorang lagi mangsa lemas dalam tragedi berakit di Sungai Aring, Gua Musang dua hari lepas, ditemui petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim berkata mayat Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, dari Taman Desa Rhu Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan ditemui kira-kira jam 4.30 petang.
"Mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini mayat Mohd Nor Abdul Rahman, 47, daripada Taman Sri Medan, Petaling Jaya, Selangor, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam.
Semalam, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Jumaat, kedua-dua lelaki itu bersama lapan rakan lain sedang berkelah di Kuala Koh, sebelum menaiki rakit buluh yang dipinjam daripada penduduk Orang Asli untuk memancing ikan.
Rakit buluh itu melanggar batu di tengah sungai menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.
Bagaimanapun, lapan yang lain dapat menyelamatkan diri - BERNAMA

Mayat kanak-kanak enam tahun ditemui di PD malam tadi


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Port Dickson ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat Shasikumar di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson, malam tadi. - Foto Rozainah Abdul Rahim
PORT DICKSON: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang hilang ketika berkelah bersama keluarganya di Pantai Bagan Pinang di sini, semalam, ditemui lemas jam 10.30 malam tadi.
Mayat G Shasikumar ditemui di pantai itu oleh pasukan bomba serta polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak jam 7 malam.
Sebelum itu, mangsa disedari hilang oleh bapanya S Ganesan, 35, ketika mereka sekeluarga berkumpul untuk makan selepas mandi laut pada jam 5.30 petang.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mustafa Ahmad, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Anggota bomba maut motosikal dipercayai dilanggar lori

AHAD, 26 OKTOBER 2014 @ 11:17 AM

 
BAGAN SERAI: Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, Ab Latiff Sulaiman, 56, maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badannya.

Kejadian di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah pekan ini, dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dilanggar dari belakang oleh lori terbabit sehingga terperosok di bawah lori berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Alias Bahari, berkata pasukannya dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah lori itu.


"Kami kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, hari ini.

Gempa 5.2 magnitud gegar utara Greece

ATHENS: Gempa berukuran 5.2 magnitud menggegarkan utara Greece awal hari ini, namun tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan setakat ini.
Gegaran berlaku jam 3.16 pagi waktu tempatan berpusat di 20 kilometer (km) di utara Bandar Arta dan 249km di timur laut ibu negara Athens. - AFP

Lima cedera letupan kilang di Kanada

Polis berkata, anggota pasukan perkhidmatan kecemasan bergegas ke Veolia ES Canada Industrial Services di Sarnia, Ontario bagi memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa yang terbabit.
"Lima mangsa itu dibawa ke Pusat Perubatan Bluewater Health di Sarnia. Seorang daripada mereka diterbangkan ke London (Ontario)," kata kenyataan polis.
Veolia ES Canada Industrial Services adalah anak syarikat Perancis, Veolia yang mengendalikan perkhidmatan air, kitar semula dan sisa pembuangan. - AFP

Sembilan maut bas jatuh gaung di India

INDIA: Sembilan orang terkorban selepas bas yang bergerak pada waktu malam di kawasan terpencil timur laut India terbabas dan kemudiannya terhumban ke dalam gaung pada awal pagi tadi, kata polis.
Selain itu, 28 lagi penumpang sebahagian daripadanya dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital.
Polis yang menyiasat punca kejadian berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira jam 2 pagi di bandar Kaliabor , wilayah Assam.
Polis wilayah Gauhati berkata, pemandu bas adalah antara yang terkorban dalam nahas berkenaan.
Sementara itu, stesen televisyen tempatan turut menyiarkan rakaman kejadian yang menunjukkan bas berkenaan terbalik di dalam paya kira-kira enam meter di bawah jambatan.
Sembilan mayat mangsa yang ditutup dengan kain putih diletakkan di tepi jalan.
Berkenaan membawa 35 orang berlepas dari bandar Lakhimpur, utara Assam malam semalam untuk menuju destinasi ke Guwahati. - AP

Polis tembak mati penjenayah di Kepong


  
KUALA LUMPUR : Polis menembak mati seorang penjenayah di Kafe Siber, Pusat Perniagaan Faderson, di Taman Faderson, Kepong, hari ini.

Kejadian jam 2.30 petang tadi itu berlaku selepas suspek dipercayai cuba untuk menyamun di salah sebuah premis perniagaan di kawasan terbabit.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul, Deputi Superintendan Mohd Ishak Yaakob yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis kini sedang mengawal lokasi kejadian bagi menunggu pasukan forensik tiba.

Maut dipukul rakan senegara


26 Oktober 2014


BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kecederaan parah di kepala dan leher dipercayai dipukul rakan senegara dalam pergaduhan di rumah sewa mereka di Taman Chai Leng, Perai di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat lelaki dikenali sebagai Dunai itu ditemui dibuang di kawasan semak, kira-kira 500 meter dari rumah sewa itu.

Katanya, polis menerima laporan daripada majikan lelaki itu yang memaklumkan dua pekerjanya bergaduh dalam kejadian jam 2 pagi itu.

"Peniaga berusia 56 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada rakannya yang memberitahu dua pekerja warga Myanmar yang tinggal di
tingkat dua rumah kedai berkenaan bergaduh.

"Dia yang tinggal di taman yang sama bergegas ke rumah kedai berkenaan dan mendapati tiada sesiapa di situ dan hanya menemui kesan darah atas lantai yang ditutup dengan selimut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan berkata, daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ, peniaga itu mendapati dua pekerjanya itu masing-masing berusia 30-an bergaduh dan suspek telah memukul Dunai dan menjerut lehernya hingga mati.

Katanya, suspek dilihat membawa keluar mayat dan kemudiannya masuk semula ke dalam rumah dan membersihkan darah di lokasi kejadian dan polis sedang giat mengesan suspek.

Sementara itu, Mazlan berkata, mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala dan kelar di leher ditemui di kawasan semak dalam kebun bersebelahan projek pembinaan bangunan di Kampung Tiga Kongsi, Simpang Ampat di Nibong Tebal malam tadi.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam pada jam 10 malam sebelum  memaklumkan kepada polis.

"Pasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat lelaki dengan wajah tidak sempurna akibat hampir reput itu berbungkus dengan kotak kertas yang telah  basah dan berikat dengan tali nylon," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Kepala penunggang motosikal pecah

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di KM32 Jalan Klang-Teluk Intan, di hadapan Klinik Kesihatan Jeram.
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di KM32 Jalan Klang-Teluk Intan, di hadapan Klinik Kesihatan Jeram.
KUALA SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dalam kejadian kemalangan di KM32 Jalan Klang-Teluk Intan di hadapan Klinik Kesihatan Jeram, malam semalam.
Dalam kejadian jam 12 malam itu, mangsa, Muhammad Mukhlis Ijur, 22, yang dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru seorang diri dari arah Klang menuju ke Kuala Selangor.

Sumber menjelaskan, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh 20 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan mengalami kecederaan teruk di kepala dan dada.

“Manakala pemandu kereta jenis Toyota Estima berwarna kelabu dan seorang penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa yang berasal dari Batu 21, Jeram itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit dan kes masih dalam siasatan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan laporan menunjukkan punca kematian mangsa adalah Polytraumasecondary MVA.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pada masa sama, pihak polis masih mencari saksi bebas untuk membantu siasatan.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit supaya dapat tampil ke balai polis berhampiran.

“Orang ramai boleh terus menemui Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Inspektor Mohammad Hanis Ismail untuk laporan lanjut,” katanya.

Pekerja maut ditetak dalam pergaduhan


26 Oktober 2014


PORT DICKSON - Seorang pekerja ladang maut setelah diserang sekumpulan lelaki di kawasan perumahan di Ladang Tanah Merah, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, V Muniandy, 22, diserang lima lelaki tidak jauh dari kediamannya dalam kejadian jam 4.40 petang dipercayai berpunca daripada pergaduhan.

"Mangsa telah ditetak dengan objek tajam dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan. Difahamkan mangsa tinggal bersama keluarganya di rumah tersebut, namun dia berseorangan ketika didatangi kelima-lima suspek berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson.

Baharudin berkata polis menahan dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an kira-kira 12 malam tadi bagi membantu siasatan.

"Kita telah mendapat perintah mahkamah pagi ini untuk menahan reman kedua-duanya selama seminggu bagi membantu siasatan. Kita sedang mengesan tiga lagi suspek berhubung kejadian itu," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Pesawat Berlepas Tanpa Bagasi, Penumpang Terkandas Di Landasan Heathrow


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 9:26 AM

KEROSAKAN besar pada sistem komputer mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Heathrow di London pada malam Sabtu waktu tempatan menyebabkan sistem bagasi lapangan terbang itu mengalami masalah dan pesawat tidak dapat memakir di pintu masing-masing untuk mengeluarkan penumpang.
Beratus-ratus penumpang pada Sabtu terkandas di tarmac landasan terbang selama beberapa jam. Pada masa sama, pesawat-pesawat yang mahu berlepas turut dihalang daripada meninggalkan lapangan terbang di London itu.
Seorang jurucakap Lapangan Terbang Heathrow mengakui terdapat masalah pada sistem komputer tetapi menegaskan ia bukan punca yang mengakibat sebarang kelewatan penerbangan.
Katanya, juruterbang-juruterbang bagi pesawat terlibat telah tersilap memaklumkan kepada mana-mana penumpang yang memikirkan sebaliknya.
Kegagalan sistem komputer itu turut mencetuskan kemarahan orang ramai di dalam terminal dan menghairankan apabila banyak pesawat British Airways (BA) dikatakan terpaksa berlepas tanpa membawa bagasi penumpang bagi mengurangkan tekanan di lapangan terbang.
Seorang penumpang, Karen Theedom menulis di akaun Twitternya: "Kami akan berlepas, tanpa bagasi! Saya memang pandai berjenaka. Saya dengar NYC (Bandaraya New York) adalah tempat yang baik untuk membeli-belah!"
Seorang lagi penumpang malang yang tiba di Hong Kong terlepas penerbangan berikutnya ke Taipei apabila dia menyedari bagasinya masih di London.
Walaupun sistem komputer itu didakwa kembali pulih dan beroperasi pada pukul 9 malam, ramai penumpang meluahkan rasa kecewa mereka kerana masih berada di dalam pesawat sehingga pukul 1 pagi.
Sally Silver menulis di Twitternya: "Kami sudah berada di dalam pesawat selama satu setengah jam di #heathrow dan masih lagi menunggu! Kenapa biarkan kami semua naik pesawat apabila mereka tahu kami tak akan bergerak ke mana-mana." 
Kebanyakan penerbangan yang terjejas akibat insiden itu ialah British Airways.
Menurut satu kenyataan daripada syarikat penerbangan itu: "Kami mengalami gangguan yang menyebabkan masalah berlaku di salah satu sistem komputer di Lapangan Terbang Heathrow.
"Kami bekerjasama dengan lapangan terbang untuk menyelesaikan perkara ini dan para pelanggan perlu membuat semakan di ba.com untuk mengetahui maklumat paling baharu mengenai penerbangan mereka.
"Kami mohon maaf terhadap sebarang masalah yang menjejaskan rancangan penerbangan para pelanggan." - dailymail

Pekerja Ladang Maut Ditetak 5 Lelaki


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 1:18 PM

PORT DICKSON: Seorang pekerja ladang maut setelah diserang sekumpulan lelaki di kawasan perumahan di Ladang Tanah Merah, dekat sini, pada Sabtu, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baharudin Mustapha berkata V. Muniandy, 22, diserang lima lelaki tidak jauh dari kediamannya dalam kejadian 4.40 petang dipercayai berpunca daripada pergaduhan.
"Mangsa telah ditetak dengan objek tajam dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan. Difahamkan mangsa tinggal bersama keluarganya di rumah tersebut, namun dia berseorangan ketika didatangi kelima-lima suspek berkenaan," katanya.
Katanya mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson.
Baharudin berkata polis menahan dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an kira-kira 12 pada Sabtu malam bagi membantu siasatan.
"Kita telah mendapat perintah mahkamah pagi ini (Ahad) untuk menahan reman kedua-duanya selama seminggu (sehingga 1 Nov) bagi membantu siasatan. Kita sedang mengesan tiga lagi suspek berhubung kejadian itu," katanya.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bayi Punca MH135 Mendarat Cemas Meninggal Dunia


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 10:55 AM

PETALING JAYA: Bayi baharu lahir kepada seorang penumpang wanita warga Australia yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH135, yang mendarat cemas di Bali pada Jumaat, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
MH135 terpaksa membuat pendaratan cemas apabila penumpang wanitanya mahu bersalin.
Samual P. Jeyanthi dibawa ke Hospital Kasih Ibu di Bali selepas MH135 mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai pada kira-kira pukul 2.10 petang, sebaik sahaja pesawat itu mendapat kebenaran untuk dilencongkan dari laluan asal Kuala Lumpur-Brisbane.
Akhbar The Sydney Morning Herald melaporkan ketua perkhidmatan perubatan Diah Ratna Dewi sebagai berkata, bayi itu sudah pun dilahirkan dan meninggal dunia apabila penumpang wanita itu tiba di hospital.
"Kita jangka bayi berkenaan lahir kira-kira satu hingga satu setengah jam sebelum kita terimanya. Pesakit memakumkan kepada kita bahawa dia tiada masalah dengan kandungannya," katanya dipetik sebagai berkata.
Doktor itu menambah bahawa wanita itu dirawat dan diambil oleh syarikat penerbangan itu pada kira-kira pukul 9 malam.
Penerbangan MH135 yang membawa 178 penumpang itu kembali berlepas ke Brisbane selepas dua jam ia membuat pendaratan cemas di Bali.

Lelaki Ditemui Mati Rentung Dalam Kebakaran


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 12:18 PM

KUANTAN: Seorang lelaki rentung selepas rumahnya di Simpang 4, Kampung Baru Bintang dekat Temerloh terbakar pada Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Anuar Osman berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Sabaruddin Ahmad berusia 46 tahun.
Beliau berkata polis menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada jam 8.12 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh yang selesai melakukan kerja memadamkan api menemui mayat mangsa dalam keadaan rentung di ruang tamu rumahnya," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa yang masih bujang, tinggal seorang diri manakala kakak dan ibunya ke rumah saudaranya di Lanchang, Temerloh.
Anuar berkata bomba percaya kebakaran tersebut bermula dari bahagian dapur namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.

Pencari besi buruk maut dipukul dua lelaki


BERNAMA | .
BUTTERWORTH: Seorang pencari besi buruk maut selepas dipukul dua lelaki di Kampung Musang, Bagan Dalam di sini kira-kira pukul 7.45 malam tadi.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata mangsa L.Satiaseelan, 43, yang tinggal di Kampung Jawa, di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
  
Katanya mayat mangsa ditemui terlentang di atas jalan raya di kawasan kampung berkenaan oleh orang awam yang memaklumkan kepada polis.
  
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat, kata Mazlan.
  
"Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 34 dan 43 tahun yang dipercayai memukul mangsa, tidak jauh daripada lokasi mayat ditemui," katanya.
  
Katanya motif kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati dan marah terhadap mangsa yang melarikan sebuah lori milik salah seorang daripada dua beradik itu dan mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -

Maut terkena renjatan elektrik

Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk tindakan lanjut.
NILAI – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengalihkan wayar elektrik kendur di ladang kelapa sawit di Kampung Jijan Tengah di sini, semalam.
Ketika kejadian mangsa, Ngatimin, 40, sedang bekerja mengait buah kepala sawit di ladang berkenaan sebelum dia ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dengan mulutnya berbuih oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Sharim Simin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan jam 11.48 pagi.

“Sebaik sahaja sampai, kami menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri berhampiran sebuah rumah, dipercayai rumah pekerja ladang terbabit.

“Mulut mangsa juga didapati berbuih selain jari tangan kanannya terdapat kesan terbakar,” katanya.

Sharim berkata, bomba cuba memberi bantuan pernafasan kepada mangsa, namun tiada sebarang pergerakan ditunjukkan.

“Unit perubatan dari Klinik Kesihatan Sendayan membuat pemeriksaan terhadap mangsa mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.