Search This Blog

Thursday, October 23, 2014

Isu balak haram: SPRM tahan pegawai kanan polis


SPRM
SPRM
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan polis di sebuah IPD di Sarawak merupakan antara 10 yang ditahan dalam operasi bersepadu Ops Tukul yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 20 Oktober lalu.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, penahanan tersebut dibuat berdasarkan hasil maklumat dan pemantauan yang dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain.

"Pegawai polis berusia 35 tahun itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM16,000 dari tiga transaksi berasingan.

"Berdasarkan siasatan yang kami lakukan, kami dapati pegawai polis tersebut menerima rasuah sebanyak RM3,000 pada Ogos, RM5,000 pada September dan RM8,000 pada Oktober lalu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Antara lain yang ditahan termasuk pengurus besar, pengurus kem, pemilik syarikat dan pemegang saham syarikat.

Katanya lagi, tangkapan dan penahanan tersebut melibatkan kakitangan syarikat dari 10 buah syarikat dikenal pasti menjalankan aktiviti pembalakan haram dan memberi rasuah kepada pegawai operasi.

"Mereka yang ditangkap berumur antara 28 hingga 70 tahun dan nilai rasuah yang diberi adalah antara RM 300 hingga RM10,000 dalam setiap transaksi.

"Dalam operasi ini, SPRM telah menyita lebih kurang 30 akaun bank milik pemilik syarikat balak dengan nilai dianggarkan RM18 juta," tambahnya.

Daripada jumlah yang ditahan, seorang daripadanya dihadap ke mahkamah Kuching semalam dan manakala empat lagi didakwa di mahkamah Limbang hari ini.

Dalam pada itu, lima yang lain termasuk pegawai polis tersebut masih disiasat pihak berkuasa.

Sementara itu, Mohd Shukri  menegaskan, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan ke atas sebarang aktiviti membabitkan pemberian dan penerimaan rasuah.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati memberi dan mengambil rasuah ketika menjalankan sebarang urusan.

Dua Rakan Hilang Sejak Ahad Ditemui Kemalangan


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 6:22 PM
Pihak bomba menyiasat lokasi kemalangan.

IPOH: Misteri kehilangan dua rakan, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lepas, terungkai apabila seorang daripada mereka ditemui Orang Asli di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bidor pada Rabu, setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tanah Mas dekat Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah ACP Som Sak Din Keliaw berkata mereka ditemui beberapa Orang Asli pada 4.45 petang di ladang kelapa sawit itu, yang terletak berdekatan tempat nahas.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang Ahad lepas, kereta yang dipandu A. Nicholas Andrew, 33, dan dinaiki R. Thiyagarajan, 34, terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 20 meter.

Akibat kejadian itu, Nicholas tercampak keluar dari kereta itu menyebabkan beliau patah tangan dan kaki manakala Thiyagarajan meninggal dunia kerana tersepit di dalam kenderaan itu, katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya Nicholas terpaksa merangkak menyusuri anak sungai sehingga ke ladang kelapa sawit itu selama tiga hari ekoran kecederaannya, sebelum beliau ditemui Orang Asli berkenaan.

Mayat Thiyagarajan, yang bekerja sebagai penjual gas, dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala Nicholas, seorang tukang kebun, dirawat di hospital sama.

Ahad lepas, keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Noor Ahmad Sariff berkata sebuah jentera dengan enam anggota dihantar ke tempat kejadian untuk membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.

Pasangan Suami-Isteri Inggeris Ditemui Mati Dalam Bilik Hotel Di India


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 5:30 PM
Mayat pasangan suami-isteri pengembara dari Britain yang ditemui mati di dalam bilik hotel di Agra, India berhampiran destinasi pelancongan terkenal, Taj Mahal dipercayai menjadi mangsa pengambil pil atau ubat-ubatan yang berlebihan.

NEW DELHI: Dikelilingi pelbagai pil tidur, anti-depresi, anti-kegelisahan dan botol ubat batuk, pasangan suami-isteri warga Britain ditemui mati dalam bilik hotel mereka yang terletak di kawasan pelancongan terkenal iaitu Taj Mahal.
Kedua-duanya adalah pemegang ijazah kelas pertama dan merupakan bekas pensyarah bahasa Inggeris di sebuah kolej di Manchester, England.
Mereka sedang mengembara di India dengan rancangan untuk mengajar sambil melancong.
Polis berkata, James Gaskell, 27, dan isterinya Alex, 24, mati kerana mengambil pil secara berlebihan.
Turut ditemui bersama mereka ialah buku panduan pengembaraan, beg, telefon bimbit serta ubat-ubatan.
Penemuan mayat mereka adalah sama sekali kontras dengan foto-foto yang dimuatnaikkan oleh pasangan ini beberapa hari lalu yang menunjukkan mereka sedang bergembira, sentiasa tersenyum dan romantis sepanjang pengembaraan mereka di sini.
Bagaimanapun James ada mengirim beberapa siri mesej dalam laman Twitter bercakap mengenai sikap kasualnya berhubung pelbagai jenis dadah dan pil-pil yang mengandungi dadah.
Tweetnya yang terakhir iaitu pada Ahad, dua hari sebelum mayat mereka ditemui menceritakan bagaimana mudahnya untuk mereka memperolehi ubat-ubatan di India.
Dia menulis bahawa ubat seperti kodeina hanya boleh diperolehi dari bawah kaunter manakala Valium, Xanax dan Lyrica boleh diperolehi dengan mudah di mana-mana.
Yang peliknya sementara suaminya itu tanpa berselindung bercakap mengenai dadah dan penggunaan dadah, keluarga isterinya menegaskan bahawa anak perempuan mereka adalah seorang yang anti-dadah.
Pasangan tersebut berkahwin November tahun lalu ditemui mati di Hotel Maya, Agra, berhampiran dengan destinasi popular, Taj Mahal.
James Gaskell ditemui mati dalam keadaan terbaring disisinya manakala isterinya rebah dalam posisi membongkok.
Terdapat tanda-tanda di dalam bilik itu yang salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sedang sakit sebelum mati.
Pemilik hotel bajet itu, Rajesh Gupta memberitahu yang pasangan tersebut mendaftarkan diri pada Isnin malam.
"Mereka kemudiannya memesan makan malam pada lebih kurang jam 9 malam dan sejam kemudian ketika pesanan dihantar, James Gaskell yang membuka pintu bilik untuk menerima makanan.Dia tidak benarkan pekerja kami memasuki bilik dan terus menutup pintu.
"Mereka hanya membuat tempahan untuk bermalam selama satu malam sahaja. Tetapi apabila pasangan itu tidak turun ke kaunter untuk melanjutkan tempahan, pekerja kami telah pergi mengetuk pintu bilik mereka pada jam 11:30 pagi Selasa tetapi tidak ada respon.
"Pintu bilik mereka masih berkunci dari dalam dan oleh kerana tidak ada respon pengurus kami telah menghubungi polis. Selepas memecah masuk, polis menemui mereka sudah pun meninggal dunia dengan televisyen dan alat penghawa dingin masih terpasang," katanya.
Polis kemudiannya menemui lima buah botol ubat batuk yang sudah kosong, berkeping-keping pil tidur, pil tahan sakit, pil anti-depresi dan ubat anti-kegelisahan yang dibekalkan oleh Hospital Sir Ganga Ram, Delhi.
Ketua Polis Agra, Shalabh Mathur berkata, daripada preskripsi tersebut, adalah jelas bahawa mangsa wanita itu mengalami sakit kepala.
"Kami tidak menemui sebarang tanda yang bilik mereka telah dipecah masuk melainkan oleh pasukan polis yang membuat pemeriksaan selepas menerima panggilan daripada pemilik hotel dan satu-satunya kesimpulan yang boleh kami buat ialah kedua-dua mangsa telah mengambil ubat-ubatan ini secara berlebihan," ujarnya.
Mengenai pil anti-kegelisahan, Dr Ish Anand, pegawai perubatan yang memberikan pil tersebut kepada James  Gaskell berkata, mangsa mendakwa telah lama mengambil pil berkenaan dan berada pada tahap perlu memakannya.
"Dia kelihatan seperti ketagihan pil tersebut dan orang yang berada di dalam situasi ini tidak selamat untuk berhenti secara mendadak. Jadi saya memberinya dos yang berlainan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Saya juga dapati yang keadaannya ketika itu adalah stabil, tenang, berjaga-jaga dan boleh berjalan dengan elok. Apabila dia bercakap, dia kelihatan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai ubat tersebut jadi saya menganggap yang dia boleh mengendalikannya dengan selamat," kata doktor itu.
Bapa tiri Alex pula memberitahu akhbar Britian the Mail, bahawa menantunya itu mengambil dadah yang terkawal untuk merawat depresi.
"Ini bukanlah dua remaja yang sedang dalam pengembaraan dadah di India...James memang sedang dalam preskripsi pil depresi dan mereka ke sana untuk mengenali lebih dekat budaya dan cara kehidupan masyarakat India, bukannya untuk bersuka ria dengan dadah," katanya lagi.
Alex dikatakan seorang yang sangat berhati-hati dengan dadah apatah lagi budaya mengambil dadah.
Kedua-duanya mengajar bahasa Inggeris di Kolej Antarabangsa Manchester dan berhasrat suatu hari nanti mengajar bahasa Inggeris di luar negara seperti di India atau Indonesia.
Dan kedua-duanya adalah graduan yang cemerlang - memperolehi ijazah kelas pertama.
Mereka telah mengembara di benua kecil India sejak Julai lalu.

Dua terbunuh, serangan di parlimen Kanada


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kanada semalam dikejutkan dengan serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menceroboh masuk bangunan Parlimen negara itu.

Dalam insiden berkenaan seorang seorang anggota tentera yang juga seorang pengawal di Memorial Perang Kebangsaan  negara itu, ditembak mati.

Turut terbunuh salah seorang daripada penyerang  yang dikenal pasti sebagai Michael Zehaf-Bibeau, seorang warga Kanada yang ditembak mati.

Dua lagi pengawal keselamatan cedera parah namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Anggota tentera yang terbunuh dikenal pasti sebagai Koperal Nathan Cirillo, 24 tahun, seorang pegawai unit simpanan tentera yang berpangkalan di Hamilton, Ontario.

Sementara itu Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper berkata negara itu tidak akan takut dengan keganasan.

Harper yang dilapor berjaya meninggalkan lokasi kejadian dalam keadaan selamat berkata, serangan terbaru itu menguatkan tekad kerajaan memerangi tindakan keganasan.

"Mereka tidak akan mempunyai tempat yang selamat," katanya.

Pada Isnin lalu seorang lagi askar turut terbunuh dalam kejadian langgar lari oleh seorang lelaki.

Polis kini sedang giat memburu sekurang-kurangnya dua lagi suspek yang terlibat dalam serangan terbaru itu.- HARAKAHDAILY 23/10/2014

Pelancong warga Sri Lanka dipercayai lemas


Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.
TELOK KEMANG - Seorang warga Sri Lanka dipercayai lemas ketika mandi di pantai Teluk Kemang sekitar jam 3.00 petang tadi.

Mangsa seorang lelaki berusia akhir 20an dipercayai berasal dari Sri Lanka datang ke Telok Kemang bersama abang dan rakan-rakannya.

Seorang saksi, Amar Faizee Mohd Yusof, 28, berkata, ketika kejadian dia sedang mandi bersama rakannya dan melihat mangsa sedang mandi dengan memakai pelampung tiup tayar.

"Jarak mangsa dengan pantai kira-kira 30 meter dan kemungkinan pelampung terlepas dari pautannya menyebabkan dia tidak dapat mengawal diri sebelum tenggelam," katanya kepada Sinar Harian.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

Terkejut kereta terbakar


Keadaan dua kereta dalam garaj yang terbakar, awal pagi semalam.
Keadaan dua kereta dalam garaj yang terbakar, awal pagi semalam.
KAMUNTING – Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kota Wira, Zulkifli Halim, 54, terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 selepas sebuah kereta dan garaj miliknya hangus dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Zulkifli berkata, kejadian itu hanya disedari apabila terdengar bunyi hon kenderaan.

"Kami bergegas keluar dan terkejut apabila lihat api yang bermula dari bahagian belakang kereta sudah semakin marak.

"Saya dan anak cuba padamkan kebakaran tapi tidak berjaya kerana api marak cepat," katanya.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan kereta Proton Saga miliknya diletakkan dalam garaj di seberang jalan depan rumah.

"Garaj itu boleh muat dua kereta dan sebuah kereta Kia Spectra milik jiran yang ditumpangkan di garaj sama turut terbakar,” katanya.

Menurutnya, itu kejadian pertama di kawasan perumahan berkenaan dan siasatan mengenainya diserahkan kepada jabatan bomba.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa, tapi mujurlah kereta berkenaan diletakkan jauh dari rumah.

"Jika tidak mungkin api merebak ke rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.11 pagi.

"Enam anggota bersama sebuah jentera terbabit dalam operasi berkenaan dan sebaik tiba di lokasi kejadian kita dapati api mara, manakala dua kereta musnah 90 peratus.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Tak sempat rai Deepavali


Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan walaupun bahagian depan kenderaan mengalami kerosakan.
Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan walaupun bahagian depan kenderaan mengalami kerosakan.
BESTARI JAYA – Seorang pekerja kilang tidak sempat menyambut perayaan Deepavali apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 18.5 Jalan Kuala Selangor-Rawang berhampiran Taman Sinaran, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 malam itu, mangsa, K Seran, 22, menunggang motosikal Modenas Kriss seorang diri dipercayai dalam perjalanan mahu pulang ke rumah dari arah Bestari Jaya menghala ke Kuala Selangor.

Sumber menjelaskan, mangsa yang dipercayai anak yatim piatu itu berlanggar dengan sebuah kereta Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan menyebabkannya terpelanting ke bahu jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Bestari Jaya sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit dan kes masih dalam siasatan.

“Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sehingga kini masih mencari saksi untuk membantu siasatan.

“Polis memohon kerjasama orang  ramai yang menyaksikan kejadian terbabit supaya dapat tampil ke balai polis berhampiran.

“Orang ramai boleh terus menemui Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Inspektor Mohamad Elmie Othman untuk laporan lanjut,” katanya.

Ajal ketika pulang ke rumah


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius yang dialami selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu isyarat berhampiran Taman Safiah Murni, Bukit Payong, pagi semalam.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius yang dialami selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu isyarat berhampiran Taman Safiah Murni, Bukit Payong, pagi semalam.
MARANG - Malang tidak berbau. Demikian nasib seorang lelaki yang maut dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas lalu merempuh tiang lampu isyarat, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi, di Kilometer 16 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang dekat Batu 9, Bukit Payong.

Mangsa, Mohd Sharul Hafiz Awang, 26, yang beralamat dari Felda Bukit Bading, Ajil, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan serius akibat merempuh lampu isyarat berhampiran Taman Safiah Murni.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang, Hulu Terengganu, dipercayai untuk pulang ke rumahnya.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai terbabas dan melanggar tiang lampu isyarat.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius termasuk di bahagian kepala.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan.
Menurutnya, kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dipenjara 16 tahun rogol gadis bawah umur


WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Oktober 2014


JOHOR BAHRU – Padah memuaskan nafsu terhadap gadis bawah umur, seorang penjual burger dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun selepas didapati bersalah merogol remaja 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen, semalam.

Hakim Muhamad Jamil Husin memerintahkan hukuman penjara itu ke atas Hairul Lisan Husin, 28, bermula dari tarikh ikat jamin ke atasnya ditarik balik pada 11 Mei lalu.

Tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di sebuah rumah tidak dikenal pasti di Kampung Melayu Pandan, di sini pada jam 3.15 pagi pada 10 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwaraya Jasmee Hameeza Jaafar mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Jasmee turut memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Hairul Lisan kerana perbuatannya merupakan kesalahan serius selain tertuduh didapati tidak menunjukkan tanda penyesalan apabila cuba melarikan diri dari kandang tertuduh pada 11 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh yang membuka gerai burger di hadapan rumah mangsa telah mengajaknya keluar menaiki motosikal.

Mangsa yang dikatakan baru dua bulan berpindah ke kawasan itu kemudiannya dibawa ke sebuah lokasi yang tidak diketahui dan dirogol oleh tertuduh sebelum ditinggalkan berseorangan di sebuah kedai di Kampung Melayu Pandan.

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu berjaya menghubungi ibu dan rakannya sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Seludup madu lebah: Pasangan dari Ukraine ditahan


Lebah madu
Lebah madu
AUCKLAND - NEW ZEALAND. Pegawai di sempadan negara ini berjaya menangkap pasangan dari Ukraine  yang menjalankan kegiatan menyeludup madu yang dilihat merugikan industri penternakan lebah di negara tersebut.

Pasangan tersebut ditangkap di Lapangan Terbang Auckland dan pihak berkuasa menemui tiga kilogram madu dan satu kilogram debunga dalam bagasi mereka yang didakwa untuk kegunaan peribadi.

Menurut pegawai Kementerian Perusahaan Utama, Craig Hughes, pasangan tersebut datang ke New Zealand dan bekerja di ladang penternakan lebah.

Bagaimanapun, tindakan mereka membawa keluar madu dan debunga tersebut bertentangan dengan undang-undang bio keselamatan negara ini yang melindungi ekosistem tempatan daripada spesies invasif.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Penternak Lebah Nasional New Zealand, Daniel Paul berkata, kegiatan penyeludupan ini boleh berleluasa jika tidak ditangani segera dan menjejaskan industri penternakan lebah.

“Barang-barang yang diseludup boleh membunuh populasi lebah tempatan dan menyebabkan kerugian sehingga NZ$5 juta (US$4 juta),” jelasnya.

New Zealand terkenal sebagai pusat pengeluaran madu manuka dan mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.

Atlet Elit Guna Steroid Anti-Radang


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 7:00 AM

KUALA LUMPUR: Penggunaan bahan terlarang yang diuji positif ke atas atlet negara dikenali sebagai Dexamathesone.

Menurut sumber, bahan itu merupakan sejenis steroid untuk rawatan perubatan dengan kesan anti-radang yang kebiasaannya digunakan dalam rawatan pemulihan atlet.

Kajian menunjukkan dexamethasone bukan bahan untuk meningkatkan prestasi atlet. Ia biasanya digunakan untuk rawatan alahan, tindak balas alahan, masalah tulang dan radang yang kronik.

Spekulasi tersebar seorang atlet yang diuji positif dengan bahan ini, jaguh badminton No.1 dunia, Lee Chong Wei kemungkinan menggunakannya untuk mengurangkan kesakitan.

"Ia tidak dilarang jika diuji di luar kejohanan.

"Untuk ujian ketika kejohanan, ia dilarang jika diambil dengan cara menelan, suntikan atau terus melalui otot atau dubur," tambah sumber itu.

Bagaimanapun, ia dibenarkan jika membuat suntikan di sekitar tisu radang (bukan di bahagian otot) dan di bahagian kulit.

Untuk rawatan ini, nasihat dari pihak doktor diperlukan. Dalam masa sama, hanya doktor yang boleh melakukan rawatan ini dengan persetujuan pesakit.

Pada Isnin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan seorang atlet telah diuji positif dalam ujian doping.

Pun begitu, beliau enggan mendedahkan nama atlet tersebut sehingga ujian sample B selesai dijalankan. Tarikh untuk ujian sample B belum diketahui.

Kes positif dadah ini merupakan isu doping kedua melibatkan atlet Malaysia beberapa minggu kebelakangan ini.

Sebelum ini, pingat emas atlet wushu Tai Cheau Xuen ditarik balik selepas diuji positif dengan dadah perangsang jenis sibutramine ketika beraksi pada Sukan Asia bulan lalu.

Balak Haram: Polis, Pengusaha Syarikat Kena Cekup


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 12:29 PM

KUALA LUMPUR: Sepuluh individu ditahan, termasuk seorang pegawai kanan polis yang dipercayai melindungi aktiviti pembalakan haram di Sarawak melibatkan nilai suapan yang keseluruhannya mencecah RM50,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, sembilan lagi individu yang ditahan adalah pemilik syarikat, pengarah urusan dan pengurus kem yang berusia antara 28 hingga 70 tahun.
"SPRM juga menyita kira-kira 30 akaun pemilik syarikat balak yang terlibat dengan nilai keseluruhannya mencecah RM18 juta menerusi Ops Tukul yang dilancarkan sejak Isnin lalu," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, daripada 10 yang ditahan itu, empat akan dituduh di Limbang pada Khamis, manakala seorang lagi sudah didakwa semalam (Rabu) di Kuching, Sarawak," katanya.
Tiga daripada 10 suspek kes rasuah pembalakan haram di Sarawak yang dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

Beliau berkata, empat lagi individu, termasuk seorang pegawai polis berusia 35 tahun yang ditahan masih lagi disiasat dan dalam tahanan reman sehingga Ahad ini.
"Pegawai kanan polis yang ditahan itu mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis sebuah daerah di Sarawak dan dipercayai menerima wang suapan berjumlah RM16,000 menerusi tiga transaksi.

"Transaksi pertama bernilai RM3,000 pada 24 Ogos lalu, seterusnya RM5,000 pada 11 September dan RM8,000 pada Isnin lalu," katanya.

Tertuduh berusia 28 tahun ditahan kerana kegiatan pembalakan haram.

Katanya, jika bersabit kesalahan, individu terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan 17(a), Akta SPRM 2009 yang mengenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.

Mengenai nilai suapan yang dianggap kecil, Mohd Shukri berkata, ia tetap memberi impak kepada kegiatan itu kerana menyebabkan kemusnahan alam sekitar, merosakkan kawasan tadahan, mencemarkan air sungai dan mengancam hidupan liar.

"Kita dapati pembalak haram ini menebang pokok bernilai tinggi seperti pokok belian dan tapang yang penebangannya dilarang," katanya.

Beliau berkata, menerusi pemerhatian SPRM sejak sembilan bulan lalu di 12 lokasi iaitu Kuching, Limbang, Sibu, Ulu Baram, Lundu, Kapit dan Miri, kerajaan Sarawak mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM43 juta dengan anggaran kerugian sebanyak RM100 juta setahun.

Katanya, operasi bersepadu itu membabitkan kerjasama agensi seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Lembaga Hutan Malaysia. 

Dua Maut Rusuhan Ebola


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 12:14 PM
Antara kediaman yang diarah penghuninya dikuarantin kerana dipercayai menghidap wabak Ebola di Sierra Leone.

FREETOWN: Hanya kerana mahu mengambil contoh darah seorang wanita warga tua yang menjadi mangsa wabak Ebola, sekumpulan penduduk bertindak mencetuskan rusuhan di Sierra Leone.

Lebih mendukacitakan apabila kejadian itu mengakibatkan dua maut, manakala beberapa lagi mengalami kecederaan.

Sebelum rusuhan itu berlaku, pekerja pasukan perubatan yang berusaha untuk mengekang penularan Ebola cuba mengambil contoh darah wanita tua itu.

Wanita terbabit yang berusia 90 tahun itu dipercayai dijangkiti penyakit maut berkenaan dan meninggal dunia dipercayai akibat tekanan darah tinggi.

Apabila dikhabarkan mengenai kematian wanita itu dan kemungkinan pekerja kesihatan mahu mengambil contoh darah ibu pemimpin belia di bandar Koidu itu, penduduk setempat bertindak berkumpul sambil membawa parang dan penyodok untuk menghalang tugas itu.

Rusuhan mula tercetus apApabila petugas perubatan menghubungi pengawal keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Berikutan kejadian itu, menurut sumber hospital, dua maut, manakala 10 cedera dalam keganasan itu.

Bagaimanapun, belum dapat disahkan sama ada kematian itu disebabkan kecederaan ditembak atau sebab lain.

Penganggur Didakwa Bunuh Anggota Tentera


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 3:50 PM

KLANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh seorang anggota tentera dua minggu lepas.

Tee Hock Keong, 47, dari Jeram dekat sini, didakwa bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas membunuh L/Kpl Hazry Siddek, 30, di Jalan Batu Nilam 34, berhampiran Blok E, Bukit Tinggi 2 di sini, pada 2.45 pagi, 12 Oktober lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mangsa yang bertugas di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur meninggal dunia disebabkan luka tikaman pada dada.

Tee mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu yang ditangkap pada 16 Oktober lepas.

Majistret Ahmad Feisal Mohd Azmi menetapkan 1 Dis depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan ujian DNA.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Ab. Latiff sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Bekas Pemandu Peribadi Zahida Rafik Didakwa Pecah Amanah


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 3:30 PM
Zahida Rafik.

KUALA LUMPUR: Bekas pemandu peribadi pelakon Zahida Rafik pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas tuduhan melakukan pecah amanah wang milik pelakon itu berjumlah RM200,000 dua tahun lepas.
Noor Azman Azmi, 40, yang kini bekerja sebagai pemandu teksi didakwa melakukan pecah amanah selepas diamanahkan oleh Zahida, 40, untuk memasukkan wang itu ke dalam akaun peribadinya namun wang itu digunakan untuk kegunaannya sendiri.

Bapa tunggal kepada dua anak yang ditangkap pada Khamis didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 186 Lorong Kempas 2, Kampung Melayu Ampang pada 11.30 pagi, 29 Februari 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Eric Paulsen, yang mewakili Noor Azman memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur.

Eric memaklumkan kepada mahkamah, Noor Azman juga mempunyai satu kes saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masih lagi dalam perbicaraan dan melalui saman itu Noor Azman menamakan Zahida sebagai defendan selepas pelakon itu mendakwa anak guamnya telah melarikan wang.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 20 November untuk sebutan kes.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang pekerja kedai emas, Griff Joyner Lois, 23, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri jongkong emas 999 seberat 100 gram bernilai RM13,158 milik majikannya, Habib Jewels Manufacturing Sdn Bhd di kedai emas Habib Jewels, Ampang Jaya pada 12.30 tengahari, 27 September lepas.

Wanita dari Sarawak itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan 20 November.
Pendakwaan kes itu turut dikendalikan oleh Goh manakala tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh.

Empat Ditahan, Dadah Bernilai RM1.7 Juta Dirampas


Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 3:24 PM
Mohd Mokhtar (dua, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Taman Kampung Tengah, Jeram, Muar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Khamis. - fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Polis Johor merampas dadah seberat 14.3 kilogram bernilai RM1.7 juta dan menahan empat suspek di Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pada Khamis, empat suspek tersebut yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kampung Tengah kira-kira pukul 2.30 petang, 19 Oktober lalu.

"Kesemua suspek berusia antara 16 dan 74 tahun terdiri daripada ahli keluarga dan kami sedang menyiasat sekiranya terdapat penglibatan suspek lain.

"Kami merampas dadah jenis ketamin, bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk memproses dadah," katanya.

Mayat Muhammad Ridzuan ditemui


KUALA LUMPUR 23 Okt. - Mayat Muhammad Ridzuan Yusri, 13, yang dihanyutkan arus deras di Sungai Kerayong berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Maluri di sini kelmarin, ditemui pagi ini.
Berdasarkan maklumat awal, mayat mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras ditemui tersangkut pada kayu di dasar Sungai Kerayong berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cheras di sini pukul 10.47 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Muhammad Ridzuan dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Kerayong ketika bermain dalam hujan lebat bersama lima rakannya di tebing sungai tersebut pada pukul 6 petang kelmarin. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/mayat-muhammad-ridzuan-ditemui-1.15945#sthash.g3akxWjG.dpuf

Tiga suspek pecah mesin ATM dari Colombia diberkas


KUALA LUMPUR – Tiga penjenayah warga Colombia yang paling dikehendaki polis Thailand selepas mereka memecahkan beberapa mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negara itu berjaya diberkas polis di Hotel Signature Little India, Jalan Tun Sambanthan di sini kelmarin.
Menurut sumber, tiga lelaki itu dikesan melarikan diri dari Thailand dan menyeludup masuk ke negara ini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 20 Oktober lalu.
“Pada pukul 11 malam, pihak imigresen di Danok, Thailand mendapat maklumat bahawa tiga lelaki yang disyaki suspek paling dikehendaki berhubung kes pecah mesin ATM di Thailand telah memasuki Malaysia.
“Hasil maklumat itu juga mendapati ketiga-tiga suspek berada di Kuala Lumpur dan menginap di sebuah hotel tiga bintang dekat Jalan Tun Sambanthan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3GwdWlDRK 
Hakcipta terpelihara 

Kepala putus melantun 20 meter



KEADAAN motosikal yang ditunggang Mohd. Nasri remuk setelah dia dipercayai merempuh besi penghadang jalan di Taman Keladi, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau, Perlis maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya terputus setelah motosikal yang ditungganginya terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di persimpangan Taman Keladi dari Jalan Lencongan Timur Sungai Petani di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi itu, mangsa, Mohd. Nasri Rusydi, 19, yang tinggal di Taman Permata Semarak di sini me­ninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan dikatakan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ datang dari arah Taman Keladi menuju ke rumah seorang rakannya di Bandar Puteri Jaya di sini.
Dia dikatakan terbabas ketika sampai di tempat kejadian dan akibat rempuhan kuat, kepala mangsa terputus setelah terkena besi penghadang jalan tersebut. Kepalanya yang putus itu ditemui kira-kira 20 meter dari badannya.
Bapa mangsa, Yusuf Ismail, 45, memberitahu, dia terkejut apabila diberitahu anaknya yang merupakan pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu terlibat dalam kemalangan ngeri tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3Gwckk8a0 
Hakcipta terpelihara 

Makan nasi kandar jumpa gigi



SEORANG pelanggan yang mahu dikenali sebagai Man menunjukkan sebatang gigi geraham yang didakwa dijumpai dalam kuah kari ketika menjamu selera di sebuah di ibu negara semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tidak menyangka kunyahan terakhirnya ketika menikmati hidangan nasi kandar di sebuah restoran terkemuka di sini menjadi igauan ngeri dalam hidupnya apabila menemui sebatang gigi geraham manusia di dalam kuah kari.
Menurut lelaki yang mahu dikenali sebagai Man itu, dia berkunjung ke restoran tersebut untuk makan selepas diberitahu oleh rakan-rakan mengenai kelazatan makanan yang ada di sana kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Pada mulanya saya ingat apa yang digigit itu adalah bahan-bahan rempah atau nasi. Tetapi disebabkan rasanya keras saya terus keluarkan benda itu daripada mulut untuk melihatnya sendiri.
“Sebaik melihatnya, terus terdetik di hati bahawa ia adalah sebatang gigi geraham. Bagi memastikan kebenarannya lagi, saya terus membasuh ‘benda’ yang digigit itu dan terkejut kerana sememangnya ia sebatang gigi,” kata Man ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3GwcZmK7z 
Hakcipta terpelihara 

Bengkel senapang dalam rumah


WARGA Vietnam yang ditahan kerana membuat tiga laras senapang angin.


TAMPIN – Kegiatan seorang lelaki warga Vietnam yang membuat senapang angin sebelum menjualnya kepada penduduk tempatan terbongkar selepas anggota-anggota Grup Taktikal Khas Jabatan Imigresen menyerbu rumah kongsinya di sebuah kilang kayu di Gemas Baru di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 3.30 pagi itu, tiga laras senapang angin dan pelbagai aksesori untuk membuat senjata tersebut ditemui di dalam rumah berkenaan yang terletak kira-kira 600 meter dari Segamat, Johor.
Antara aksesori yang ditemui itu ialah pemetik api, batang besi, batang kayu, injap dan pembidik laser.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, ketika disoal siasat, warga Vietnam berusia 27 tahun itu mengaku dia membuat senjata tersebut yang dihasilkan dengan menggunakan batang paip Polyvinil Cloride (PVC).
Menurut Faizal, pihaknya percaya tukang kayu itu turut menjual senjata berkenaan selepas tiga laras senjata itu termasuk dua daripadanya disorok di belakang dinding biliknya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3Gwc8EYHr 
Hakcipta terpelihara