Penjual burger itu kemudian mengajak gadis bawah umur itu keluar dengan menaiki motosikal untuk berkenalan sebelum membawa mangsa ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.
Namun lain yang terjadi apabila mangsa dirogol sebelum di­tinggalkan berseorangan di sebuah pusat karaoke di Kampung Melayu Pandan, di sini.
Mangsa kemudian bertindak menghubungi rakan dan ibunya sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Selepas 10 bulan kejadian, hari ini, penjual buger terbabit menerima padah apabila dihukum penjara 16 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memperkosa remaja berkenaan.
Hakim Muhamad Jamil Husin memerintahkan hukuman terhadap Hairul Lisan Husin, 28, berkuat kuasa dari tarikh ikat jamin ke atasnya ditarik balik pada 11 Mei lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Hairul Lisan didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di kawasan Kampung Melayu Pandan di sini kira-kira pukul 3.15 pagi, 10 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Azni Sidek.
Terdahulu, Jasmee Hameeza memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kes itu merupakan kesalahan serius selain untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.
Malah, katanya, tertuduh juga tidak menunjukkan tanda-tanda penyesalan apabila pernah cuba melarikan diri pada 11 Mei lalu.