Pegawai polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di Seongnam pada 17 Oktober lalu. foto- Reuters
Pegawai polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di Seongnam pada 17 Oktober lalu. foto- Reuters
SEONGNAM - KOREA SELATAN.  Ahli keluarga kepada 16 orang mangsa yang terbunuh selepas jatuh ke dalam saluran pengudaraan semasa konsert terbuka Korea Selatan, Jumaat lalu, meminta pihak berkuasa meringankan hukuman terhadap pihak penganjur.

Jurucakap keluarga mangsa, Han Jae Chang, dalam satu sidang akhbar memberitahu, ahli keluarga mangsa mencapai persetujuan dengan pihak penganjur berkenaan pampasan untuk keluarga mangsa.

Malah mereka juga berharap hukuman minimum dikenakan ke atas pihak penganjur, memandangkan kejadian tersebut merupakan satu kemalangan, dan tiada unsur jenayah.

Dalam pada itu, pihak polis kini menjalankan siasatan ke atas pegawai penyiasat dari bandar Seongnam yang menjadi lokasi konsert, termasuk pihak Institut Promosi Sains dan Teknologi Gyeonggi (Gstep) dan EDaily selaku penganjur konsert berkenaan.

Hal ini berikutan penemuan mayat seorang lelaki yang merupakan pegawai institut berkenaan pada pagi Sabtu lalu.

Menurut laporan pegawai penyiasat, mangsa dipercayai membunuh diri dengan terjun daripada tingkat 10 sebuah bangunan.

Kemalangan ngeri itu berlaku ketika persembahan kumpulan 4Minute yang diundang dalam konsert berkenaan. Kesemua mangsa berdiri beramai-ramai di atas penutup saluran pengudaraan untuk mendapatkan pemandangan jelas persembahan kumpulan berkenaan.

Tindakan tersebut menyebabkan penutup saluran tersebut roboh dan mangsa jatuh kira-kira 20 meter di bawah tanah. Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan terbunuh, manakala 11 orang cedera dan sembilan lagi parah.