Rasuah
SEREMBAN - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini terhadap pertuduhan meminta dan cuba menerima suapan wang tunai RM15,000, tujuh tahun lepas.
  
Zairi Abd Hamid, 55, dan Harun Norrshid Mohd Amin, 55, didakwa meminta RM15,000 daripada Lam Shah Mustaffa sebagai dorongan untuk pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyelesaikan kesnya yang disiasat BPR.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Nasi Ayam Hainan, Taman Ampangan, Seremban pada kira-kira 3.05 petang, 30 Julai, 2007.
  
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa cuba menerima suapan RM15,000 daripada individu sama kononnya untuk pegawai BPR bagi tujuan sama di Restoran The Rhim, Senawang pada kira-kira 9.50 malam, 30 Julai, 2007.
  
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 20 (1) (a) dan Seksyen 10 (a) (bb) akta sama, dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama