Search This Blog

Tuesday, October 14, 2014

Dua Ditahan, Dadah RM2.76 Juta Dirampas


Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 2:40 PM
Paramasivam (dua dari kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan di Taman Lim, Selasa.

IPOH: Polis menahan dua individu termasuk seorang warga asing serta merampas dadah jenis methamphetamine seberat 32.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.76 juta di sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, dadah berkenaan ditemui di sebuah banglo satu tingkat yang menjalankan perusahaan katering di Taman Lim di sini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati rumah berkenaan dijadikan makmal dadah sejak enam bulan lepas.

"Hasil serbuan di rumah yang tidak berpenghuni itu membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di sekitar Ipoh pada hari yang sama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Selasa.

Beliau berkata suspek warga tempatan yang bekerja sebagai pengusaha katering berusia 42 tahun manakala warga asing itu berusia 34 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Dalam serbuan itu juga, kita turut merampas sebuah van, dua motosikal, wang tunai dan barang kemas bernilai RM35,200," katanya.

Paramasivam berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati mereka tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes berkenaan melibatkan satu sindiket pengedaran dadah, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 32,000 orang dan kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Syarikat Pembinaan Didenda RM35,000 Ingkar Tutup Premis


Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 2:32 PM

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan Maran Econ Build Sdn Bhd didenda RM35,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengingkari perintah penutupan premis yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KK) berhubung pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Majistret Zura Syazween Hamizan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap syarikat berkenaan selepas pengarahnya, yang namanya tidak didedahkan, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Zura Syazween menjatuhkan hukuman denda RM8,500 dan denda tambahan RM500 setiap hari bermula 23 Ogos lepas sehingga Selasa.

Mahkamah juga memerintahkan wakil syarikat berkenaan dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati mengingkari perintah penutupan premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Mohd Asri Muda bertarikh 23 Ogos 2014 di premis tapak binaan di Lot 28368, Jalan 24/26, Seksyen 10, Wangsa Maju di sini pada 10.25 pagi 28 Ogos lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(8) dibaca bersama Seksyen 8(3)(aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(a) akta sama yang membawa hukuman tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, hasil pemantauan pegawai Pejabat Kesihatan Titiwangsa Shumizan Siron mendapati kerja pembinaan di tapak berkenaan tidak mematuhi perintah penutupan premis yang dikeluarkan kepada kontraktor tapak pembinaan itu pada 23 Ogos lepas, bagi menjalankan kerja-kerja pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan KKM Ideris Mohamed manakala syarikat itu diwakili R.Rameswaran.

Insiden Letupan Di Bukit Bintang: Ah Hai Hadir Beri Keterangan


Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 7:06 PM
Seorang joki kereta maut dalam serangan letupan bom tangan di Bukit Bintang, Khamis lalu.

KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai 'Ah Hai' dipercayai menjadi sasaran dalam serangan letupan bom tangan di Bukit Bintang minggu lalu, hadir untuk memberi keterangan di balai polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, Ah Hai hadir ke balai polis di sini kira-kira pukul 9 malam Isnin.

"Keterangannya direkodkan sehingga kira-kira pukul 11.45 malam. Kami sedang meneliti keterangan itu untuk membantu siasatan. Dia tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambahnya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis sedang berusaha keras untuk menyelesaikan kes tersebut.

Terdahulu, Tajuddin berkata, Ah Hai dipercayai salah seorang saksi yang boleh membantu siasatan polis untuk mengenal pasti motif serangan tersebut.

Difahamkan polis giat memburu Ah Hai yang dipercayai menjadi sasaran utama dalam serangan itu selain penyerang yang dipercayai dari kumpulan musuh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata polis telah merakamkan keterangan daripada 17 individu setakat ini bagi membantu siasatan untuk merungkai motif serangan tersebut.

"Kami sedang memantau rakaman CCTV di kawasan berdekatan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam insiden itu," katanya.

Letupan kira-kira pukul 4.25 pagi Khamis lalu yang dikaitkan dengan pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap di hadapan kelab malam, Cherry Blossom di Jalan Bukit Bintang menyebabkan seorang joki kereta maut manakala 12 lagi cedera.

Sebuah kereta jenis Toyota Alphard, Toyota Camry, Mazda dan BMW turut musnah dalam insiden itu.

Antara yang cedera termasuk seorang lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga Singapura dan empat wanita warga China, kesemuanya berusia antara 31 dan 56 tahun.

Khairi berkata, daripada 12 mangsa yang cedera, dua lagi masih menerima rawatan manakala 10 yang lain dibenarkan keluar dari hospital.

Ebola: 5 Penumpang Penerbangan Dubai-Boston Diperiksa


Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 10:40 AM
Seorang pegawai Hazmat membawa keluar seorang penumpang dari sebuah pesawat Emirates yang tiba di Lapangan Terbang Logan, Boston dari Dubai bagi pemeriksaan kesihatan berkaitan wabak Ebola. Foto cbsboston

BOSTON: Satu pemeriksaan kesihatan berkaitan wabak Ebola dilakukan terhadap lima penumpang yang mempunyai simptom seperti selesema, yang dipindahkan dari sebuah pesawat komersial di Boston pada Isnin, kata pegawai kesihatan Boston.
Pesawat itu dikuarantinkan selama kira-kira dua jam selepas ia mendarat dari Dubai.
Sekurang-kurangnya terdapat tiga insiden cemas berkaitan wabak Ebola yang melibatkan penerbangan komersial di Amerika Syarikat (AS) berlaku dalam masa hanya beberapa hari.
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka yang dibawa ke hospital tempatan itu dipercayai telah berkunjung dari Afrika Barat.
Pegawai kesihatan Boston berkata, lima penumpang disahkan tidak dijangkiti Ebola, Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) atau jangkitan 'meningococcal'.
"Pesakit-pesakit yang tiba.. di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan tidak memenuhi kriteria terhadap mana-mana jangkitan yang menjadikan kebimbangan kesihatan awam," kata unit penyakit berjangkit Suruhanjaya Kesihatan Awam Boston dalam satu kenyataan.
Pesawat Emirates EK 237 tiba di Lapangan Terbang Logan di Boston pada pukul 2.30 petang waktu tempatan selepas penerbangan 14 jam dari Dubai.
Ia berada di landasan terbang (tarmac) tanpa sebarang pemindahan sehingga sekumpulan pegawai yang berpakaian sut Hazmat (pasukan tindakan khas bahan berbahaya) memasuki pesawat itu dan mengeluarkan lima penumpang terbabit. - AFP

Pesawat American Airlines mendarat cemas di San Francisco


SAN FRANCISCO: Sebuah pesawat American Airlines membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco hari ini selepas mengalami masalah tekanan dalam kabin, kata pihak berkuasa penerbangan.
Jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Ian Gregor, berkata pesawat Boeing 757 itu berlepas dari San Francisco ke Dallas/Lapangan Terbang Fort Worth terpaksa berpatah balik ke sini dan mendarat tanpa sebarang insiden tidak diingini pada kira-kira jam 2.15 petang waktu tempatan.
Gregor berkata, FAA akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan berkenaan bagi menentukan masalah sebenar dan menyelesaikannya sebelum ia terbang semula.
Sementara itu, tiada kecederaan dilaporkan. - AP
DISYORKAN

Wanita maut kereta bertembung pacuan empat roda dekat Menglembu

IPOH: Seorang pemandu wanita maut manakala seorang lagi pemandu cedera apabila kenderaan yang dipandu mereka bertembung dalam satu kejadian di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran sebuah kilang kuari di Menglembu di sini, tengah hari tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Shuhaida Wahab, 29, beralamat di Kampung Gunung Panjang, Gopeng. Mangsa yang memandu kereta jenis PROTON Wira meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux cedera di kepala dan badan serta dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superitendan Sharudin Wan Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 tengah hari dan ketika kejadian, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di laluan berkembar mengakibatkan ia bertembung dengan Toyota Hilux yang berada di laluan bertentangan.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam.
"Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Pusat Transformasi Desa (RTC) Gopeng," katanya di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Pekerja PBB dijangkiti Ebola meninggal dunia di hospital Jerman

BERLIN: Seorang anggota pasukan perubatan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijangkiti Ebola di Liberia, hari ini disahkan meninggal dunia meskipun selepas diberi prosedur rawatan intensif.
Hospital St. Georg di Leipzig dalam kenyataan hari ini menyebut, lelaki berusia 56 tahun yang namanya tidak dikeluarkan, meninggal dunia selepas diserang semalaman penyakit itu.
Lelaki itu disahkan positif Ebola pada 6 Oktober lalu dan tiba di Leipzig untuk menjalani rawatan pada 9 Oktober di mana mangsa diletakkan di unit rawatan khas.
Lelaki itu adalah pesakit ketika Ebola yang diterbangkan ke Jerman untuk rawatan.
Pesakit pertama, seorang lelaki Senegal dijangkiti Ebola ketika bekerja untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Sierra Leone dan dibawa ke Hospital Hamburg penghujung Ogos lalu untuk rawatan.
Lelaki berkenaan dibenarkan keluar hospital 3 Oktober lalu selepas pulih dan kembali ke negara asalnya, demikian menurut hospital itu.
Seorang lagi pesakit seorang lelaki Uganda yang bekerja untuk satu kumpulan bantuan perubatan Itali di Afrika Barat dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Frankfurt. - AP

Punca diesel diseludup keluar kerana harga murah



Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. - Foto Syaharim Abidin
KUALA LUMPUR: Harga diesel yang murah di negara ini merupakan satu daripada punca bahan api berkenaan diseludup ke negara luar untuk diniagakan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, perkara itu adalah satu hakikat yang perlu diterima dan menjadi cabaran terbesar bagi kerajaan membanteras kegiatan itu.
"Itu satu daripada penyebab dan kita terpaksa menerima hakikat kerana hal ini, buat apa jua cara pun maka ada pihak-pihak yang berniaga atas kemurahan kerajaan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang mahu kerajaan mengambil langkah agresif membendung kegiatan penyeludupan diesel di sempadan perairan negara.
Justeru, Razali berkata, kerajaan sentiasa memandang serius dengan melaksanakan langkah agresif memerangi kegiatan ini dengan penubuhan pasukan petugas dengan kerjasama beberapa jabatan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan rakyat terus menikmati diesel dengan harga rendah.

HARGA diesel yang murah di negara ini merupakan satu daripada punca bahan api berkenaan diseludup ke negara luar untuk diniagakan. - Foto Hiasan
"Kita akan sentiasa melaksanakan mekanisme pengeluaran dan mengawal jika terdapat ruang-ruang terbuka yang membolehkan penduduk menyeludup bahan ini untuk diniagakan di luar," katanya.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu langkah-langkah keselamatan yang dirangka APMM untuk memerangi aktiviti penyeludupan diesel seperti yang berlaku di Parlimen Pengerang dengan nilai rampasan yang agak tinggi, Razali berkata:
"Satu pangkalan APMM diwujudkan di Tanjung Pengelih dengan kekuatan 34 anggota, sebuah kapal dan dua buah bot Petir bagi mengawal kegiatan penyeludupan di perairan sekitar Mersing dan Sedili," katanya.
Razali juga berkata, satu program Sahabat Maritim juga diwujudkan bagi memberi ruang kepada penduduk atau orang awam berkongsi maklumat mengenai kegiatan penyeludupan minyak dengan pihak berkuasa.
Selain itu, 3,715 kapal dagang di sekitar perairan Johor juga dipantau dan tindakan diambil sekiranya terdapat sebarang kesangsian. - BERNAMA

Pengawal keselamatan cedera parah ditembak

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan cedera parah di perut dan pinggul kiri selepas dipercayai ditembak dua lelaki di Kampung Lorong Nyior Cabang di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman, berkata ketika kejadian jam 9.25 malam itu, mangsa, Syed Zainuddin Syed Noh, 52, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berjumpa rakan di sebuah warung berdekatan rumahnya di kampung terbabit.
"Mangsa ditembak dari arah belakang oleh dua lelaki yang mengekorinya dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Ego berwarna putih merah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kemudiannya terjatuh dan ditindih motosikal miliknya sebelum menerima bantuan daripada orang awam yang melalui lorong itu.
Mangsa yang cedera akibat tembakan itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi serta dilaporkan masih belum sedarkan diri.
Rosli berkata, daripada siasatan forensik yang dilakukan di tempat kejadian, polis menemui satu kelongsong peluru dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut sementara sebutir peluru ditemui dalam badan mangsa.
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif tembakan," katanya. - BERNAMA

Mayat dua remaja hilang ketika memancing ditemui

SUNGAI PETANI: Mayat dua remaja yang dilapor hilang ketika memancing di Pantai Merdeka, dekat sini, ditemui selang enam minit antara satu sama lain bermula jam 6 petang tadi.
Mayat kedua-dua mereka ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka dilapor hilang tengah hari semalam.

Angka kematian ribut di India kini 22 orang



WARGA India melihat sebuah kapal nelayan yang terbalik selepas dibadai taufan Hudhud di Vishakapatnam, negara itu, semalam. - Foto AP
HYDERABAD, India: Ribut kencang Hudhud yang membadai pantai timur India pada hujung minggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terkorban, merosakkan beribu-ribu kediaman, memutuskan bekalan elektrik di perkampungan dan mengakibatkan orang ramai berebut-rebut mendapatkan bekalan barangan keperluan, kata pegawai hari ini.
Sekolah masih lagi ditutup, tiang elektrik tumbang dan sistem komunikasi hanya sebahagian berfungsi di bandar pelabuhan Visakhapatnam, tenggara wilayah Andhra Pradesh yang terjejas teruk apabila tiupan angin selaju 200 kilometer sejam membadai kawasan pantai, Ahad lalu.
Perdana Menteri, Narendra Modi membuat pemantauan menerusi udara bagi meninjau kawasan yang terjejas teruk di wilayah berkenaan hari ini.
Sementara itu, penduduk di Visakhapatnam gembira dan lega apabila trak membawa bekalan makanan dan air botol tiba di situ. - AFP

Pelajar 12 tahun hilang dikhuatiri lemas ketika mandi

SELASA, 14 OKTOBER 2014 @ 8:45 PM

 
KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki hilang, dipercayai lemas ketika mandi dengan dua orang rakannya di Sungai Pegalan, dekat sini, petang tadi.

Mohd Hazim Hakim, 12, dari Kampung Taurid Taud, dikatakan dihanyutkan arus sungai deras sejauh kira-kira 200 meter sebelum hilang.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau, Janil Jaya ketika dihubungi berkata mereka menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 4.13 petang seterusnya melancarkan operasi mencari dan menyelamat melibatkan 13 anggota termasuk anggota bomba bantuan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan kira-kira 6.53 petang tadi kerana keadaan gelap dan akan disambung pada jam 6 pagi esok. - BERNAMA

Kanak-kanak lemas meninggal dunia selepas 9 hari dirawat

SELASA, 14 OKTOBER 2014 @ 8:37 PM
GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan yang dilapor kritikal selepas lemas di dalam kolam renang di sebuah kondominium di Bandar Baru Air Itam pada 6 Oktober lalu, meninggal dunia hari ini.

Ooi Zhi Ting, 6, disahkan mati jam 1.05 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan di sini berkata, kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu Ooi dikatakan sedang bermain bersama dua kakaknya yang berumur antara 11 dan 16 tahun sebelum terjatuh ke dalam kolam renang sedalam 1.2 meter.



Sementara itu, bapa kanak-kanak itu yang enggan namanya disiarkan berkata beliau berhasrat mendermakan kesemua organ anaknya kepada mereka yang memerlukan.

"Saya sudah tandatangan surat persetujuan untuk derma organ itu dan anak saya dijangka boleh dibawa balik esok untuk upacara pengebumian selepas pembedahannya selesai," katanya ketika ditemui di HPP. - BERNAMA

15 rumah di Pendang, Kuala Kedah rosak dilanda puting beliung



PENGGUNA lebuh raya memberhentikan kenderaan mereka bagi menyaksikan puting beliung yang melanda Pendang, Kedah, hari ini. - Foto Twitter
ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 15 rumah kediaman di dua lokasi masing-masing di Pendang dan Kuala Kedah dilapor rosak selepas dilanda angin puting beliung, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu turut menyebabkan sebuah sekolah di Kampung Alor Besar di Pendang, dekat sini terjejas apabila bumbung bangunan dan makmal komputer dikatakan mengalami kerosakan.
Berdasarkan maklumat, angin berpusar setinggi bangunan empat tingkat itu dilihat terbentuk sejurus hujan lebat melanda, sebelum menerbangkan bumbung dan dinding beberapa rumah di Kampung Alor Besar.
Turut mengalami kerosakan, tiga rumah di Taman Seri Kota di Kuala Kedah akibat insiden sama.

Dua maut pesawat tentera Algeria terhempas

SELASA, 14 OKTOBER 2014 @ 7:57 AM

 
ALGIERS: Sebuah pesawat pengebom yang menjalani latihan di ibu negara Algeria, terhempas menyebabkan dua terkorban, kata Kementerian Pertahanan Algeria hari ini.

Pesawat SU-24 itu terhempas petang semalam menyebabkan juruterbang dan pembantunya terkorban dalam kejadian dekat Pangkalan Tentera Hassi Bahbah, kira-kira 240 kilometer selatan Algiers.

Sejumlah pesawat terhempas tahun ini dan terbaharu kapal terbang Air Algerie yang dalam perjalanan dari Burkina Faso terhempas ketika cuaca buruk di utara Mali mengakibatkan 116 terkorban pada Julai lalu.

Pada Februari lalu pula, sebuah pesawat tentera terhempas di kawasan pergunungan sehingga menyebabkan 77 orang di dalamnya maut kebanyakannya askar. - AP

Gempa bumi kuat gegar El Salvador

EL SALVADOR: Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Ritcher melanda kira-kira 106 kilometer di selatan-tenggara Usulutan di El Salvador, lewat malam tadi.
Bagaimanapun, gempa dengan kedalaman 9 kilometer itu tidak melaporkan sebarang kerosakan. - Reuters

Maut jatuh dari tingkat 7 hospital

Beberapa anggota Unit Forensik mengangkat mayat untuk ​proses bedah siasat.
Beberapa anggota Unit Forensik mengangkat mayat untuk ​proses bedah siasat.
ALOR SETAR - Seorang wanita berusia 48 tahun ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok bangunan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, awal pagi semalam.

Mayat Teoh Ah Fong, 48, dari Alor Mengkudu ditemui kira-kira jam 7.30 pagi berdekatan kaki lima bangunan oleh seorang tukang cuci yang tiba di tempat kejadian untuk memulakan tugasannya.

Mayat mangsa yang berpakian lengkap ditemui dalam keadaan terbaring dan sebahagian kepalanya cedera parah.

Suami mangsa, Tan Ah Keat, 55, yang juga seorang tukang besi berkata, berita mengenai isterinya itu hanya diketahui kira-kira jam 9 pagi apabila dihubungi polis.

"Saya tidak sangka dia terjatuh. Sebelum ini, memang dia ada mengadu sakit, dan tidak sanggup lagi menahan kesakitan yang dialaminya," katanya kepada media ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, mendiang isterinya beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat kesukaran untuk membuang air kecil.

"Dia terima rawatan Rabu minggu lalu dan ditahan di wad di hospital lama Alor Setar. Dia dibenarkan pulang tiga hari kemudian.

"Bagaimanapun semalam (kelmarin) sakit dia datang lagi menyebabkan saya terpaksa membawanya ke hospital kira-kira jam 1 pagi dan meninggalkannya di situ untuk pulang kerana anak perempuan (orang kurang upaya) mengadu mengantuk dan mahu tidur," katanya.

Semerntara itu, Keua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut (SDR).

"Kita menerima panggilan daripada seorang lelaki India lebih kurang jam 7.30 pagi yang menjumpai mayat di belakang kantin hospital.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa pergi ke lif bangunan hospital secara bersendirian pada jam 3.30 pagi," katanya.

Menurutnya, tiada saksi kejadian direkodkan setakat ini.

Bot karam: Lima Pati mati lemas


14 Oktober 2014


JOHOR BAHRU - Lima pendatang asing tanpa izin (Pati) mati lemas apabila sebuah bot pancung yang mereka naiki karam di perairan pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi, di sini, awal hari ini.
   
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supritenden Low Hang Seng berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.25 pagi ketika bot tiga enjin berkenaan dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini menuju ke Batam, Indonesia.
   
"Kejadian menyebabkan dua wanita dan tiga lelaki mati lemas manakala seramai 36 yang lain selamat," katanya di sini hari ini.
   
Hang Seng berkata jumlah sebenar pendatang asing di dalam bot terbabit belum dapat dipastikan dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
   
Beliau berkata mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala mereka yang terselamat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan. - Bernama

Kanak-kanak tergelincir kolam meninggal dunia


MOHD ISKANDAR OTHMAN
14 Oktober 2014


GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sebelum ini dilaporkan tergelincir ke dalam kolam renang di sebuah kondominium di Bandar Baru Ayer Itam pada 6 Oktober lalu meninggal dunia, hari ini.

Ooi Zhi Ting meninggal kira-kira jam 1.05 petang selepas lapan hari berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kematian kanak-kanak berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa dikatakan mengikut ibunya ke kondominium berkenaan untuk berjumpa rakannya.

Difahamkan, mangsa kemudian bersama sekumpulan remaja berusia dalan lingkungan 15 dan 16 tahun yang juga anak rakan ibunya turun ke kawasan kolam renang.

Bagaimanapun, mangsa yang dikatakan berjalan seorang diri berhampiran kolam dipercayai tergelincir dan terjatuh lalu lemas.

Semasa kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa dilaporkan sudah berada dalam keadaan kritikal dan tidak bermaya dipercayai akibat tertelan air.

Sementara itu, difahamkan keluarga mangsa akan mendermakan semua organ kanak-kanak berkenaan kepada hospital.

Mereka yang dilihat masih bersedih di pekarangan Unit Forensik Hospital Pulau Pinang enggan ditemui media.

Lima rumah kena serang molotov cocktail


14 Oktober 2014


JOHOR BAHRU - Lima rumah di sekitar bandar raya ini dan Kulaijaya mengalami kerosakan kecil akibat dilempar bom botol atau 'molotov cocktail' dalam kejadian dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata, kejadian terbabit dipercayai dilakukan oleh along dan berlaku antara 12 tengah malam dan 4 pagi.

"Kejadian melibatkan rumah di kawasan Johor Bahru Selatan, Nusajaya dan Kulaijaya. Ia dipercayai dilakukan along untuk menakutkan para peminjam yang dipercayai gagal membayar pinjaman mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Ismail berkata, kejadian itu bagaimanapun, tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mangsa.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya kini sedang melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

"Kita memberi amaran kepada para peminjam wang bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka menggunakan kaedah yang melanggar undang-undang," katanya.

Orang ramai dalam masa yang sama juga dinasihatkan supaya tidak meminjam wang daripada along bagi mengelakkan implikasi buruk, katanya. - Bernama

Cedera ditembak selepas minum kopi


ROSALWANI CHE SOH
14 Oktober 2014


KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 52 tahun cedera di perut dan bahagian belakang dalam kejadian tembak di Berek 12 di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal yang dipercayai baru pulang dari kedai kopi berhampiran kediamannya.

Mangsa ditembak dua lelaki menaiki motosikal dan dipercayai melepaskan dua das tembakan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng mengesahkan kejadian.

Yong Heng berkata setakat ini kes terbabit masih disiasat untuk tindakan susulan.

Dua lelaki disyaki samun kedai 24 jam diburu


14 Oktober 2014

KOTA KINABALU - Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes samun kedai 24 jam termasuk kes pecah kereta dan rumah di sekitar Menggatal.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata tiga anggota kumpulan itu ditahan dalam serbuan polis yang dijalankan ke atas sebuah rumah di Taman Bukit Setia, Menggatal, pada 11 malam, 8 Oktober lepas.

"Ketiga-tiga suspek lelaki yang berumur antara 21 dan 34 tahun itu masing-masing mempunyai kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Kancil, telefon bimbit dan pemutar skru," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kes samun yang dilakukan oleh kumpulan itu menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM18,350. - Bernama

Kepala putus akibat kemalangan


Akibat gagal mengawal motosikal yang ditungganginya, mangsa merempuh pengadang jalan menyebabkan dia maut di lokasi kejadian.
Akibat gagal mengawal motosikal yang ditungganginya, mangsa merempuh pengadang jalan menyebabkan dia maut di lokasi kejadian.
NUSAJAYA – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis apabila kepalanya putus selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.8 Jalan Persisiran Pantai, di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamad berkata, mangsa berusia 21 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden kira-kira jam 4.25 pagi itu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian mangsa sendiri yang menunggang motosikal dalam keadaan laju.

“Mangsa gagal mengawal kenderaannya sebaik tiba di lokasi itu sehingga menyebabkannya terbabas dan merempuh pengadang jalan,” katanya.

Noor Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati keadaan jalan di lokasi kejadian didapati berada dalam kondisi memuaskan, lurus, rata serta cuaca kering.

“Terdapat kesan darah pada besi pengadang jalan berkenaan.

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Dakwa guru hantuk kepala


Vasudevan menunjukkan bahagian kepala anaknya yang diketuk guru wanita berkenaan.
Vasudevan menunjukkan bahagian kepala anaknya yang diketuk guru wanita berkenaan.
KLANG - Seorang pelajar tingkatan satu kelas peralihan mendakwa kepalanya dihantukkan ke dinding oleh seorang cikgu.
Mangsa mendakwa, dirinya diperlakukan sedemikian ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung pada 30 September lalu di sebuah sekolah menengah di sini.

Pelajar berkenaan mendakwa, guru tersebut bertindak sedemikian setelah dia memberitahu buku latihan Bahasa Melayunya telah kehabisan.

“Masa tu cikgu minta semua murid salin nota. Kebetulan saya dan dua lagi kawan sekelas dah kehabisan buku latihan.
"Kerana kehabisan buku latihan tersebut, kami pun teruslah salin tugasan yang  diarahkan cikgu di atas kertas.
"Tapi... saya tak sangka pula cikgu saya tu naik angin kerana hal itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Memberitahu lanjut, pelajar tersebut memberitahu, sebelum kejadian dia dikasari, guru tersebut telah menghampiri dia dan dua lagi rakannya.

Katanya, guru berkenaan bertanya mengapa mereka menyalin di atas kertas.

“Setelah saya jelaskan apa sebabnya... cikgu ketuk kepala saya guna jam tangan yang dipakainya,” katanya.

Mangsa memberitahu, tidak cukup dengan itu, guru berkenaan menarik bajunya di bahagian dada (poket) menyebabkan poket kiri baju koyak.

“Selepas itu dia tolak saya ke dinding beberapa kali dan cakap perkataan kesat. Bila balik rumah, saya beritahu ibu bapa saya," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa Vasudevan, 37, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.

“Saya ke sekolah jumpa guru besar untuk beritahu perkara itu. Saya memang kesal dengan tindakan guru berkenaan.
“Memanglah pelajar sekolah nakal, tapi cikgu tak sepatutnya bertindak melanggar batasan,” katanya.

Dia yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada hari kejadian sekitar jam 9.01 malam berkata, pihaknya akan mengetengahkan isu ini untuk tindakan lanjut selepas berasakan pihak sekolah berkenaan seakan mendiamkan diri sehingga kini.

Pemandu lori ditembak depan rumah


Anggota forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
Anggota forensik melakukan siasatan di tempat kejadian.
BAYAN LEPAS - Seorang pemandu lori yang baru saja mahu memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur parah apabila ditembak di Sungai Tiram di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, mangsa berusia 27 dikatakan baru saja masuk ke dalam lori yang diletakkan di hadapan rumahnya sebelum ditegur seorang lelaki.

Menyedari ada orang memanggilnya, mangsa keluar semula dari lori namun sebaik sahaja turun dia ditembak dari jarak dekat oleh lelaki berkenaan.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahu manakala penjenayah berkenaan melarikan diri ke belakang rumah mangsa.

Menurut sumber, mangsa sempat masuk ke dalam rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada adik iparnya sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan mangsa kini dilaporkan stabil.

“Siasatan polis di tempat kejadian menemui sebutir peluru hidup berhampiran lori mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.

Dua bapa ayam masuk perangkap


Anggota Imigresen membuat pemeriksaan ke atas wanita warga asing yang ditahan dalam Ops Sayang, kelmarin.
Anggota Imigresen membuat pemeriksaan ke atas wanita warga asing yang ditahan dalam Ops Sayang, kelmarin.
JOHOR BAHRU - Dua lelaki tempatan dipercayai ‘bapa ayam’ antara yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam Ops Sayang di sebuah hotel Jalan Sulaiman, di sini, sekitar jam 6.45 petang kelmarin.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, Masri Adul berkata, seorang lelaki berumur 33 tahun ditahan ketika membawa tiga wanita warga Indonesia menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sunny berwarna putih.

Menurutnya, seorang lagi lelaki ditahan berumur 41 tahun ketika mencari pelanggan untuk dibawa memilih perempuan di tingkat atas premis.

“Operasi yang disertai seramai 12 anggota Imigresen berjaya menahan keseluruhan 18 wanita warga asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/ 63 (Akta 155) dan Perkara 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka yang ditahan juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20 Atipsom 2007 dan Seksyen 12 Atipsom 2007,” katanya.

Masri berkata, ketika serbuan dilakukan, seorang daripada 10 warga Indonesia yang ditahan sedang bersama pelanggan di dalam bilik, manakala selebihnya berada di bahagian tengah premis sedang menunggu kehadiran pelanggan.

Katanya, pemeriksaan ke atas sebuah bilik penginapan yang terletak bersebelahan hotel yang diserbu menemui lima lagi wanita warga Thailand.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

“Kita turut menyita sebuah kereta jenis Nissan Sunny. Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan tamat sekitar jam 9 malam,” katanya.

Penoreh getah mengaku tidak salah liwat isteri

Tertuduh dibawa keluar dari perkarangan mahkamah selepas dituduh meliwat isteri sendiri.
Tertuduh dibawa keluar dari perkarangan mahkamah selepas dituduh meliwat isteri sendiri.
TEMERLOH – Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meliwat isteri sendiri.

Tertuduh dituduh meliwat isterinya di rumah mereka kira-kira jam 2 pagi 7 Oktober lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Lelaki terbabit yang berusia 48 tahun dan mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup bersama isteri ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh selepas isterinya membuat laporan polis.

Berdasarkan laporan, kejadian itu bukan kali pertama sebaliknya sudah beberapa kali berlaku tanpa kerelaan isteri.

Mangsa bekerja sebagai buruh am membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami tekanan akibat kejadian itu.

Hakim Jamaludin Mat memerintahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 selepas tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan sebelum menetapkan 13 November depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.