Search This Blog

Sunday, October 12, 2014

Polis serbu 6 premis hiburan jejak suspek bom Bukit Bintang



POLIS menyerbu enam premis hiburan di sekitar ibu negara awal pagi tadi bagi menjejaki suspek kes letupan bom di Bukit Bintang, Khamis lalu.
KUALA LUMPUR : Polis menyerbu enam premis hiburan di sekitar ibu negara awal pagi tadi bagi menjejaki suspek kes letupan bom di Bukit Bintang, Khamis lalu.
Operasi mengejut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, dibantu Pasukan Taktikal Khas Jenayah (STAFOC) ke atas enam premis terbabit dibuat selepas polis mempercayai lokasi itu menjadi tumpuan individu yang terbabit dalam aktiviti kongsi gelap untuk bertemu dan berhibur.
Seramai 620 pengunjung dan kakitangan enam premis hiburan berkenaan turut diperiksa.

POLIS menyerbu enam premis hiburan di sekitar ibu negara awal pagi tadi bagi menjejaki suspek kes letupan bom di Bukit Bintang, Khamis lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D7 Bukit Aman, Datuk Roslee Chik, berkata melalui operasi sedemikian, pihaknya yakin kes itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Katanya, hasil penahanan beberapa individu, berkemungkinan mempunyai maklumat dan terbabit secara tidak langsung dengan insiden berkenaan akan mempercepatkan siasatan.
"Setakat ini kita dapat menahan individu yang mungkin dapat bantu kita selesaikan kes letupan itu disamping membanteras elemen kongsi gelap, maksiat dan dadah yang dipercayai turut wujud di sebalik operasi di premis berkenaan," katanya ketika ditemui hari ini.

Lelaki maut ketika lari dari sekatan polis

ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan suspek yang remuk selepas merempuh sebuah jentolak ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya polis di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di sini, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
MELAKA: Seorang lelaki dipercayai penjenayah maut selepas kereta yang dinaikinya merempuh sebuah jentolak ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya polis di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, seorang anggota polis trafik berpangkat koperal turut cedera di bahagian kaki dan tangan selepas cuba menahan kenderaan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Razali Bakar, berkata sebelum kejadian, kereta PROTON Persona dinaiki dua lelaki tidak berhenti ketika sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Laksamana di sini.
Beliau berkata, hebahan kemudian dibuat kepada semua petugas sebelum anggota trafik berkenaan mengesan kereta terbabit di Jalan Syed Abdul Aziz sebelum cuba menahannya.
"Anggota polis berkenaan yang menaiki motosikal peronda kemudian telah dihimpit lalu terjatuh menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Razali berkata, kereta berkenaan kemudian memecut ke arah Limbongan sebelum terbabas dan merempuh sebuah jentolak yang sedang menjalankan kerja pembesaran jalan dan parit di kiri jalan.
Beliau berkata kenderaan itu kemudian terbakar sebelum pengendali jentolak tersebut menyimbah lumpur bagi memadam kebakaran.
"Hasil pemeriksaan polis mendapati seorang penumpang yang tersepit maut manakala pemandu kereta mengalami kecederaan parah akibat rempuhan itu," katanya.
Katanya, polis turut menemui beberapa bungkusan serbuk putih dipercayai dadah dan beberapa peralatan seperti kapak, parang, pemutar skru dan pemotong kabel disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.
"Polis belum mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit," katanya.
Lelaki yang cedera parah serta anggota polis berusia 45 tahun berkenaan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
- BERNAMA

Dua beranak maut dalam nahas


Keadaan lori yang remuk selepas dirempuh bas dari arah bertentangan.
Keadaan lori yang remuk selepas dirempuh bas dari arah bertentangan.
JEMPOL – Dua beranak maut selepas lori yang dinaiki mereka bertembung sebuah bas persiaran tanpa penumpang di Kilometer 4 Jalan Bahau - Kemayan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Sulaiman, 44, dan anaknya, Muhammad Saiful, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas persiaran dari arah Kemayan itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, sebelum merempuh lori terbabit yang datang dari arah Bahau.

Akibat pertembungan itu, beliau berkata, kedua-dua mangsa tersepit dan cedera parah dan disahkan meninggal dunia.

"Bagaimanapun, pemandu bas hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan susulan.

“Manakala, mayat kedua beranak itu dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat,” katanya di sini, semalam.

Hamzah berkata, keluarga kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Sungai terap Bukit Pasir Muar, Johor itu sudah dimaklumkan tentang kejadian berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Pengawal keselamatan cedera terlepas tembakan



KETUA Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada pengawal keselamatan berhubung kejadian seorang pengawal keselamatan cedera terlepas tembakan di sebuah kedai emas di Jalan Persiaran Gurney di sini hari ini. - Foto Muhammad Mikail Ong
GEORGETOWN: Seorang pengawal keselamatan cedera ringan di tangan akibat terkena serpihan lantai setelah terlepas sedas tembakan di sebuah kedai emas di Gurney Plaza, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid, berkata dalam kejadian 9.20 pagi itu, mangsa baru sahaja memulakan tugasnya di premis yang terletak di aras bawah kompleks beli belah berkenaan.

KESAN serpihan di lantai selepas seorang pengawal keselamatan terlepas sedas tembakan di sebuah kedai emas di Gurney Plaza, di sini hari ini. - Foto Muhammad Mikail Ong
"Tiada sebarang kecederaan membabitkan pekerja lain atau pelanggan kerana premis itu baru memulakan operasi," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, lelaki berumur 40 tahun itu sudah tiga tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis berkenaan dan dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
- BERNAMA

Polis tahan lelaki kurang siuman dipercayai bakar rumah

 AHAD, 12 OKTOBER 2014 @ 1:44 PM

 
BESUT: Polis menahan seorang lelaki tidak siuman dipercayai membakar rumah milik seorang tukang kebun di Kampung Beting Lintang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah, ketika dihubungi berkata tangkapan dibuat pada kira-kira 12.30 tengah hari, selepas kejadian kebakaran pada 11.50 pagi, semalam.

"Polis yang berada di lokasi kebakaran telah melihat lelaki berkenaan berjoget-joget di hadapan rumah mangsa yang sedang terbakar dan menahannya selepas ia menjerit-jerit apabila melihat api sedang marak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui status suspek yang berusia 29 tahun itu, termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan ke atasnya.



Pemilik rumah, Mat Jusoh Daud, 35, tukang kebun di Resort Tok Bali Kelantan berkata, rumah kayu berusia 10 tahun tersebut sedang dibaik pulih dan beliau bersama isteri dan empat anaknya merancang untuk berpindah ke situ, pada awal tahun depan.

- BERNAMA

Anggota polis maut nahas dekat IPK Sabah

AHAD, 12 OKTOBER 2014 @ 1:30 PM


KOTA KINABALU: Seorang anggota polis maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang lampu di Jalan Kepayan berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, Koperal Juman Lah, 35, yang duduk di bahagian penumpang hadapan, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1, manakala seorang lagi penumpang patah kaki dan pemandu hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Putatan.

Beliau berkata, mangsa bertugas di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kinarut.



Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kanak-kanak cedera tersepit eskalator di Melaka

AHAD, 12 OKTOBER 2014 @ 6:00 PM

 
MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki cedera tiga jari kaki kanannya apabila kasut yang dipakainya tersepit di eskalator di sebuah pusat beli belah terkenal di sini, hari ini.

Ketika kejadian kira-kira 12.15 tengah hari tadi, kanak-kanak berusia 10 tahun itu bersama keluarganya sedang menaiki eskalator ke tingkat atas pusat membeli belah itu.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Arshad Mail, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.32 tengah hari dan tiba empat minit kemudian bersama sebuah jentera dan unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan lapan anggota.

"Sebaik tiba di lokasi, kaki kanak-kanak itu telah berjaya dikeluarkan pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan dan bomba kemudian memberikan rawatan kecemasan awal kepada mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.



Beliau berkata, siasatan awal mendapati kasut jenis kanvas yang dipakai kanak-kanak berkenaan tersepit di tepi eskalator berkenaan sebelum menarik bersama tiga jari kaki kanannya.

Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

- BERNAMA

Tukang masak, anak tiri maut dilanggar kereta ketika melintas jalan

AHAD, 12 OKTOBER 2014 @ 6:03 PM

 
JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak dan anak tirinya maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di KM7 Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh, berkata kejadian pada jam 5.05 pagi itu menyebabkan Ellyas Salleh, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak tirinya, Juliah Alfiana Nasyirah Agi Kasumi, 4, meninggal dunia pada kira-kira 12 tengah hari, di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

"Kedua-dua mangsa yang berjalan kaki dikatakan sedang melintas jalan dari arah Kampung Datuk Sulaiman Menteri menghala ke Taman Suria sebelum dilanggar oleh kereta jenis PROTON Wira dari arah bandar raya Johor Baharu menuju Kota Tinggi," katanya di sini hari ini.

Sulaiman berkata, akibat pelanggaran itu, Ellyas yang juga seorang tukang masak di sebuah kantin sekolah, mengalami kecederaan di kepala dan badan manakala anak tirinya mengalami kecederaan parah di kepala.



Beliau berkata, pemandu kereta berkenaan, seorang lelaki berumur 39 tahun pula mengalami luka di tangan dan bahagian hadapan keretanya rosak.

Katanya, siasatan setakat ini mendapati kedua-dua mangsa melintas jalan ketika lampu isyarat laluan kenderaan masih berwarna hijau.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

-BERNAMA

Bimbang tanah bukit runtuh


Keadaan Proton Waja milik Noraini tidak lagi boleh digunakan setelah dihempap tanah runtuh dalam kejadian Mei lalu.
Keadaan Proton Waja milik Noraini tidak lagi boleh digunakan setelah dihempap tanah runtuh dalam kejadian Mei lalu.
KUALA BERANG - Bimbang tragedi tanah bukit di hadapan rumahnya runtuh dalam kejadian Mei lalu berulang, Noraini Abdullah, 52, mengharapkan semua pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin.

Menurut penduduk di perumahan Taman Permint SEDC, Jalan Sekayu ini, dia sekeluarga kini diselubungi kerisauan kerana hakisan kecil berlaku setiap kali hujan lebat tambahan pula musim tengkujuh makin tiba.

“Cuaca sekarang tidak menentu dan setiap kali hujan lebat pasti akan terjadi hakisan kecil di tanah bukit hadapan rumah saya ini.

“Ketika itu juga air hujan yang turun dari bukit deras bagaikan air terjun," katanya.

Kata Noraini, mereka hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat.

“Kami risau kejadian lima bulan lalu berulang, ketika itu sebuah Proton Waja ranap dihempap tanah.

“Memandangkan musim tengkujuh semakin dekat, tidak mustahil tragedi itu berulang jika tidak ada pihak yang bertindak," katanya.

Justeru, penduduk yang tinggal berhampiran bukit itu memohon pihak berkaitan mengambil langkah segera bagi mengelakkan kejadian itu menimpa mereka sekali lagi.

“Saya faham kos perlu ditanggung untuk menyelesaikan masalah ini tetapi hal ini turut babitkan nyawa kami.

“Jika tidak dapat dilakukan untuk jangka panjang, cukuplah sekadar langkah penyelesaian jangka pendek," katanya ketika ditemui, semalam.

Sinar Harian pada 24 Mei lalu melaporkan tragedi tanah runtuh kawasan berbukit di perumahan Taman Permint SEDC, Jalan Sekayu dan kejadian kira-kira 5.50 petang itu membabitkan dua keluarga iaitu Noraini dan Zaileha Othman, 50.

Kejadian berkenaan turut menyebabkan Zaleha kerugian RM5,000 setelah banyak barang dalam stor hadapan rumahnya dan bumbung bahagian anjung rumah mengalami kerosakan akibat dihempap tanah serta pokok tumbang.

Enam polis Karachi digantung tugas


11 Oktober 2014


KARACHI - PAKISTAN. Pihak berkuasa Pakistan menggantung enam pegawai polis di wilayah Karachi selepas 29 orang mati akibat meminum arak buatan sendiri, kelmarin.
Tindakan itu diambil selepas jumlah kematian meningkat.

Difahamkan, ia kematian tertinggi sejak tujuh tahun lalu.

Jurucakap polis berkata, kesemua yang digantung didakwa cuai menjalankan tugas.

"Insiden itu berlaku di kawasan mereka. Mereka sepatutnya memantau penjualan arak buatan sendiri," katanya dipetik Arab News.

Premis perbankan terbakar di Bandar Baru Salak Tinggi



ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha memadam kebakaran di sebuah premis perbankan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba KLIA
SEPANG: Sebuah premis perbankan, Maybank di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, terbakar kira-kira jam 3.19 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA), Yahya Mohd Sham berkata, seramai 17 anggota daripada Balai Bomba KLIA dan Sepang tiba di tempat kejadian pada jam 3.27 pagi.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.15 pagi.
"Punca kejadian yang bermula di bilik sistem pelayan komputer masih dalam siasatan," katanya.

Tikam pemandu RapidPenang: Mahkamah perintah penghantar sayur dihantar ke Hospital Bahagia


Seorang penghantar sayur, Chong Lan Keow, 49, ditempatkan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak, selama satu bulan bagi menjalani rawatan dan pemantauan atas tuduhan mencederakan seorang pemandu bas RapidPenang pada Isnin lalu. - Foto BERNAMA
GEORGETOWN: Mahkamah Majistret di sini hari ini, memerintahkan seorang penghantar sayur ditempatkan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak, selama satu bulan bagi menjalani rawatan dan pemantauan atas tuduhan mencederakan seorang pemandu bas RapidPenang pada Isnin lalu.
Majisret L Umardevi mengeluarkan perintah itu ke atas Chong Lan Keow, 49, selepas peguambela tertuduh, Norliza Mohd Ali memohon mahkamah berbuat demikian dengan alasan anak guamnya mengalami masalah jiwa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Aisyamudin Yaacob, 27, dengan menggunakan sebilah pisau pada jam 6.50 pagi, 6 Oktober lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bas RapidPenang di Jalan Paya Terubong Relau di Sungai Nibong dalam Daerah Timur Laut di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan itu jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkifli.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan kes.

5 ditahan, dadah RM6.7 juta dirampas



PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (tiga dari kiri) menunjukkan barang rampasan dadah bernilai RM6.7 juta di Bukit Aman, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KUALA LUMPUR: Polis menahan lima individu, termasuk tiga warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.7 juta sepanjang awal bulan ini sehingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata polis turut berjaya membongkar satu makmal dadah memproses dan membungkus pil Ecstacy yang beroperasi di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju pada Jumaat lalu.
Sebanyak 35 bungkusan plastik mengandungi 35,000 biji pil Ecstacy dan cecair bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM3.5 juta yang sudah siap untuk dipasarkan, ditemui dalam kondominium terbabit.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Wanita dituduh tipu jual beli telefon bimbit bernilai RM1 juta

JUMAAT, 10 OKTOBER 2014 @ 2:16 PM

 
SEREMBAN: Seorang wanita menghadapi 59 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didakwa menipu urusan penjualan telefon bimbit membabitkan kerugian mencecah RM1 juta.

Redzaini Radzuan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu enam mangsa berusia lingkungan 30-an bahawa syarikatnya mampu membekalkan telefon bimbit berjenama.

Penipuan itu menyebabkan mangsa memindahkan wang kepadanya bagi mendapatkan telefon bimbit terbabit yang sebenarnya tidak wujud.



Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara Oktober tahun lalu sehingga Februari tahun ini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farid Mohd Mokhtar, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Shukor Mohd Yusof.

Keluarga Konstabel Zakiah terima lebih 80 panggilan telefon daripada penculik



Konstabel Zakiah Aleip
TUARAN: Keluarga Konstabel Zakiah Aleip, 27, anggota polis yang masih ditawan oleh kumpulan penculik di selatan Filipina, sudah menerima lebih 80 panggilan telefon daripadanya setakat ini.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, berkata Zakiah juga berada dalam keadaan baik dan selamat.
"Dia (Zakiah) selamat dan berada dalam keadaan baik, namun mungkin dalam keadaan penat kerana dipercayai selalu dibawa berpindah.
"Rundingan bersama kumpulan penculik itu masih berlangsung dan kita berharap dia dapat dibebaskan," katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga Zakiah di Kampung Tinuhan, Tenghilan, di sini.

Polis tahan dua lelaki rampas komponen motosikal

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan dua lelaki dan merampas motosikal dan pelbagai komponen kenderaan itu dalam serbuan di Taman Sentul, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata bertindak hasil risikan, pasukan khas curi motosikal menyerbu rumah berkenaan pada 1 pagi dan menahan dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun.
"Ketika serbuan dua lelaki yang dipercayai geng curi motosikal itu sedang tidur dan pemeriksaan polis di luar rumah sewa mereka itu menemui sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dilapor hilang di Bukit Mertajam baru-baru ini yang dipasang nombor pendaftaran palsu.
"Pasukan berkenaan juga turut menemui satu set penutup motosikal, lapan batang ekzos, enam unit tangki minyak, enam unit rim motosikal dan empat unit penghadang angin motosikal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan polis menemui pelbagai lagi komponen motosikal yang dipercayai dileraikan daripada motosikal curi sebelum dijual kepada pihak tertentu.
"Pelbagai komponen motosikal yang ditemui disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan, antaranya enjin, penutup, karburetor, kotak udara dan cukai jalan motosikal," katanya.
Rusli berkata, siasatan awal polis mendapati dua lelaki itu menjalankan aktiviti mencuri motosikal sejak beberapa bulan lalu dan menjadikan kawasan pusat membeli-belah untuk mencuri.
Katanya, modus operandi mereka adalah dengan mencuri motosikal dan menjual dengan harga murah atau meleraikan komponennya sebelum menjual kepada pihak tertentu.
"Dua lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini direman bagi membantu siasatan dan polis percaya penahanan berkenaan dapat menyelesaikan beberapa kes curi motosikal yang berlaku di daerah ini," katanya.
- BERNAMA

Malaysia sedang berunding bebaskan konstabel tanpa bayaran tebusan - Polis



PENGARAH Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim memperkatakan sesuatu kepada Sharifah Erna Berson, 22, isteri kepada Konstabel Zakiah Aliep, 27, yang diculik sekumpulan penceroboh di Pusat Peranginan Pulau Mabul Semporna pada 12 Julai lalu ketika membuat kunjungan keluarga Zakia di Kampung Tinuhan Tenghilan Tuaran dekat sini hari ini. - Foto Edmund Samunting
TUARAN: Malaysia sedang berunding dengan kumpulan penculik bagi pembebasan tanpa bayaran tebusan anggota polis marin, Konstabel Zakiah Aleip yang diculik di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, (KDNKA) Bukit Aman, Senior Deputi Komisioner Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, berkata rundingan sebelum ini menemui jalan buntu kerana kumpulan penculik menuntut wang tebusan yang tinggi antara RM3 juta hingga RM10 juta.
Katanya, Zakiah yang diculik kumpulan penceroboh pada 12 Julai lalu berada dalam keadaan sihat dan selamat berdasarkan panggilan telefon kepada isterinya dan beliau dipercayai berada di lokasi di pedalaman selatan Filipina bersempadanan dengan Sabah.
"Kita tengah berunding... kini mereka menuntut 40 juta peso, kadarnya ada naik dan turun, mereka ada memberi sepuluh hari dan kita tunda... rundingan masih boleh diteruskan.
"Apa yang penting, kalau boleh kita mahu membuat pembebasan tanpa sebarang bayaran dan pihak sana boleh membebaskannya secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan ke rumah bapa Zakiah di Kampung Tinuhan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander Pasukan Polis Marin, Datuk Abd Aziz Yusoff.
Muhammad Fuad berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pasukan keselamatan Filipina untuk meneruskan rundingan dan menurutnya Zakiah telah menghubungi keluarganya sebanyak 82 kali sejak dilarikan kumpulan penculik itu.
Ditanya lokasi Zakiah ditawan, beliau berkata kumpulan penculik dipercayai sentiasa bergerak dan berpindah tempat persembunyian berkemungkinan di kawasan hutan.
"Isterinya tidak tahu di mana dia berada kerana melalui percakapan dengan Zakiah, kumpulan itu sering berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat. Apabila isteri cuba bertanya pihak sana tidak mahu mendedahkan lokasi. Apabila mereka rasa tidak selamat akan pindah dan pindah di kawasan pedalaman kemungkinan kawasan hutan," katanya.
Beliau berkata, pasukan polis akan berusaha dan bertangungjawab sepenuhnya untuk menentukan keselamatan Zakiah dan kembali ke pangkuan keluarga.
"Kita mahu dia dibebaskan dengan selamat dan oleh sebab itu, kita mengambil masa tiga bulan (untuk berunding) dan keadaan masih terkawal dan dia (Zakiah) masih okay kerana kita tahu pihak sana tidak mendera dan memukul ... kita perlu ambil masa," katanya.
Berhubung lawatan kebajikan itu, Muhammad Fuad berkata, ia sebagai tanda sokongan kepada keluarga Zakiah dengan menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Zakiah iaitu Juna Gumbur, 54, dan Aliep Sadu, 54, serta isteri Zakiah, Sharifah Erna Berson, 22, dan anak mereka, Muhd Hisyam Izzuddin yang berusia tujuh bulan.
"Kita memberi harapan kepada keluarga Zakia bahawa pasukan polis sentiasa mengambil berat dari segi kebajikan dan kita ada orang yang tengah membuat rundingan ... kita hendak beliau (Zakiah) bebas dengan selamat," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Fuad berkata, pengusaha ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak pada 16 Jun lalu juga dipercayai berada dalam keadaan selamat dan rundingan juga sedang diadakan dengan pihak penculik bagi pembebasannya tanpa bayaran tebusan. - BERNAMA

Polis nafi laporan wanita dirompak, dibunuh di ibu negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan yang tersebar termasuk di media sosial kononnya beberapa wanita dirompak dan ditikam sehingga menyebabkan kematian di beberapa lokasi di ibu negara.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Asmawati Ahmad, berkata maklumat palsu itu pernah disebarkan pada Julai 2012 dan Julai lalu.
"Tiada kes sedemikian dilaporkan berlaku di sekitar ibu kota," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita sensasi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya yang disebarkan melalui media sosial.
Asmawati berkata, berita palsu itu kini kembali dihebahkan bertujuan menakutkan orang ramai.
Maklumat palsu itu merujuk kepada insiden sedemikian yang kononnya berlaku di Puduraya, Bukit Bintang dan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) membabitkan satu sindiket. - BERNAMA

Pesawat polis Iran terhempas, tujuh maut

AHAD, 12 OKTOBER 2014 @ 8:24 AM

 
TEHRAN: Sebuah pesawat polis Iran terhempas semalam, mengorbankan tujuh orang, termasuk seorang pegawai kanan polis.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan pesawat berkenaan terhempas di kawasan pergunungan di luar ibu negeri wilayah Zahedan.

Agensi berita itu menyatakan pesawat terbabit membawa empat penumpang dan tiga anggota kru.

IRNA melaporkan antara yang terbunuh ialah Jeneral Mahmoud Sadeqi, seorang pegawai kanan polis yang mengetuai unit penyiasatan



Agensi berita Fars pula melaporkan pesawat terbabit berlepas dari Tehran menuju ke tenggara Iran bagi menyiasat satu kejadian membabitkan serangan terhadap anggota polis di sana.

Pihak berkuasa tidak memberi maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Ogos lalu, sebuah pesawat komersial terhempas selepas berlepas dari Tehran, mengorbankan 39 orang.

Kejadian terbesar berlaku pada Januari 2011, apabila sebuah pesawat Iran Air Boeing 727 berkecai ketika terhempas dalam pendaratan kecemasan dalam ribut salji, mengakibatkan sekurang-kurangnya 77 orang maut. - AP

Bekas menteri Britain terbabit seks cyber berundur dari politik

LONDON: Seorang menteri Britain, Brooks Newmark yang meletakkan jawatan berikutan skandal seks cyber bulan lalu, semalam memutuskan untuk melepaskan kerusi Parlimennya pada pilihan raya umum Mei depan.
Newmark meletakkan jawatan sebagai Menteri Masyarakat Sivil pada 28 September, selepas menghantar gambar lucah memaparkan dirinya sebagai aktivis parti wanita kepada seorang wartawan sambilan lelaki.
Tokoh politik berusia 56 tahun itu, yang sudah berkahwin dan mempunyai lima anak, meletakkan jawatan daripada kerajaan sejurus sebelum cerita mengenainya disiarkan oleh akhbar 'Sunday Mirror'.
Newmark, ahli Parlimen Konservatif bagi kawasan Braintree di timur London sejak 2005, menulis surat kepada pemimpin parti David Cameron bagi menyatakan hasratnya tidak mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum 2015.
"Pencerobohan media dalam episod lalu dalam kehidupan peribadi saya mengakibatkan beban berat ke atas keluarga saya. Oleh itu saya memutuskan untuk tidak bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.
"Saya tidak menuding jari kepada sesiapa tapi diri saya sendiri dan memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan saya.
"Saya akan kekal sebagai penyokong setia kerajaan ini," katanya.
Dalam laporannya akhbar 'Sunday Mirror' melaporkan Newmark memuat naik sekeping gambar yang mendedahkan dirinya memakai sepasang baju tidur bercorak 'paisley' menerusi sebuah laman sosial persendirian. - AFP

30 hektar kebun sawit diserang gajah


Chukai: Lebih 30 hektar kebun sawit milik penduduk Kampung Air Putih, di sini, musnah selepas diserang sekumpulan gajah liar sejak beberapa hari lalu menyebabkan mereka kerugian besar sehingga puluhan ribu ringgit.

Pokok sawit berusia dua hingga empat tahun yang ditanam secara bergotong-royong di atas tanah projek pertanian berkelompok itu kini menunggu masa untuk membuahkan hasil, namun musnah dirosakkan haiwan berkenaan.

Penduduk, Abdul Manan Muda, 58, berkata, dia terkejut melihat tanaman sawit itu musnah diserang sekumpulan gajah liar ketika datang ke kebun untuk melakukan kerja pembersihan pagi kelmarin.

"Saya terkejut melihat kebun musnah dan berselerak diserang gajah sebelum segera memberitahu rakan serta meninjau di kawasan berhampiran.

"Setiap pemilik kebun diberikan tanah seluas antara satu hingga dua hektar untuk mengusahakan tanaman sawit dan mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 setiap orang akibat kejadian ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohd Huzir Razak, 36, berkata sejak kebelakangan ini beberapa gajah sering datang ke kebun itu dan merosakkan tanaman sawit milik penduduk menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

"Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat mengambil tindakan segera dengan menghalau gajah terbabit atau menangkapnya bagi mengelak ia terus menjadi ancaman kepada kebun penduduk kampung.

"Penduduk bimbang, jika kejadian sama berulang ia bukan saja boleh membahayakan nyawa malah boleh menyebabkan penduduk kehilangan punca rezeki," katanya.



caption

1) Penduduk melihat sawit yang dirosakkan gajah liar di Kampung Air Putih.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1227?m=1#sthash.kOp4ZqeV.dpuf

Suami “naik hantu”


Oleh Norul Awatif Romli
Alor Setar: Seorang wanita menanggung kesakitan apabila dipukul dan ditolak sehingga jatuh oleh suaminya mengakibatkan tulang belakangnya patah dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Sentang, Utan Aji, Kangar, Perlis, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari ketika umat Islam menyambut Aidiladha, mangsa berusia 50 tahun yang juga kakitangan sebuah syarikat percetakan mendakwa bukan saja dipukul dengan kejam, malah turut diherdik serta dimaki hamun suaminya berusia 55 tahun yang tiba-tiba 'naik hantu'.
Difahamkan, kejadian berpunca selepas suami mangsa menjumpai peralatan digunakan untuk kerja memasang paip di tempat pembakaran sampah berhampiran rumah dipercayai dibuang anak tunggal lelaki mereka berusia tujuh tahun.
Lebih menyedihkan apabila pada jam 4 pagi keesokan harinya mangsa dipijak pula di muka, kaki dan tangan sehingga bengkak selain diseret keluar daripada bilik tidur hingga ke ruang tamu kerana dituduh mencarut walaupun ketika itu mangsa membaca surah Yasin.
Mangsa berkata, berikutan kejadian itu tulang belakangnya disahkan patah oleh doktor dan menjalani pembedahan yang menelan kos melebihi RM10,000 untuk memasukkan besi bagi memulihkan kesihatannya.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1164#sthash.ezkk9BL2.dpuf

Menangis cincin ‘gigit’ jari


ANGGOTA bomba memotong cincin dipakai mangsa.

Sungkai: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menanggung kesakitan hampir dua jam selepas cincin lama yang dipakainya gagal ditanggalkan daripada jari manis tangan kanannya.
Dalam kejadian di kediamannya di Kampung Haji, di sini, kira-kira jam 5 pagi Selasa lalu, mangsa Nurhayatul Husna Mohd Najmulail, 3, mula berasa sakit selepas jarinya itu membengkak dipercayai kesan daripada pemakaian cincin terbabit.
Ibunya Wan Intan Dyana Othman, 28 berkata, perkara itu disedari selepas anak perempuannya itu meraung kesakitan kesan daripada jarinya yang mula membengkak.
"Cincin terbabit dibeli saya dan suami pada Aidilfitri lalu dan ingin memakainya semula untuk hari raya haji tempoh hari. Namun tidak sangka pula cincin itu tidak lagi muat untuk dipakai," katanya.
Menurutnya, anaknya kemudian dibawa ke kedai emas berhampiran untuk mengeluarkan cincin berkenaan, namun disarankan oleh pekerja di situ supaya membawa terus ke balai bomba berdekatan.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:19 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1176#sthash.Nidm0OGr.dpuf

Perkampungan air terbakar

KEBAKARAN memusnahkan 13 rumah di perkampungan atas air.
Sandakan: Kira-kira 60 penduduk perkampungan atas air kehilangan tempat tinggal apabila 13 rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Nam Tung, Jalan Leila, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, beberapa penduduk yang kebanyakannya berada di rumah, sempat lari menyelamatkan diri, tetapi gagal menyelamatkan harta benda masing-masing.
Ketua Zon Sandakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi dan mengerahkan 37 anggota dan enam jentera segera ke lokasi kejadian.
"Sejurus tiba lapan minit kemudian, bomba mendapati api sudah marak manakala keadaan kelam-kabut apabila penduduk cuba menyelamatkan harta benda masing-masing.
"Bomba lantas melakukan kerja mengawal dan memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi.
Menurut Anddre, pihaknya mengambil masa hampir satu jam sebelum mengawal kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.48 pagi.
"Siasatan awal mendapati, sebanyak 13 rumah musnah kerana api mudah merebak disebabkan kedudukannya yang rapat selain struktur kediaman diperbuat daripada papan.
"Bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain dan kebakaran hanya membabitkan satu deretan rumah yang terletak berhampiran jalan raya," katanya
Anddre berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
"Pihak kami masih melakukan siasatan mengenai punca dan serta kerugian dialami," katanya.
caption
KEBAKARAN memusnahkan 13 rumah perkampungan atas air di Taman Nam Tung.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1272?m=1#sthash.IPXKyB1M.dpuf

Pelempar suar sudah dikenal pasti

KEADAAN kecoh selepas tamat perlawanan di Stadium Mini MPT.
Temerloh: Polis sudah mengenal pasti individu yang disyaki melemparkan suar ke dalam padang hingga menyebabkan kekecohan selepas perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara FELDA United dan Selangor di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, walaupun tiada sebarang tangkapan dilakukan ketika kejadian, pihaknya mempunyai saksi dan bukti bergambar beberapa individu memegang suar sebelum dilemparkan ke dalam padang.

Katanya, insiden berkenaan masih dalam siasatan dan pihaknya berkemungkinan akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan maklumat lengkap sebelum mengambil tindakan susulan.

"Kita berjaya mengawal keadaan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku termasuk kecederaan membabitkan penonton dan pasukan keselamatan kerana kita sudah mengambil langkah awal dengan menempatkan anggota di setiap penjuru padang.

"Siasatan turut menjurus kepada bagaimana individu itu boleh membawa masuk suar ke kawasan penonton walaupun kawalan serta pemeriksaan sudah dilakukan di semua pintu masuk," katanya ketika dihubungi, di sini,semalam.

Perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara FELDA United dengan Selangor menyaksikan pasukan 'Red Giant'gagal mara ke separuh akhir selepas mencatatkan keputusan seri 3-3, dengan agregat 7-3.

Sebaik saja tamat perlawanan, keadaan dalam stadium kecoh apabila tindakan segelintir penyokong membaling suar ke dalam padang hingga menyebabkan ia dipenuhi asap sebelum pasukan keselamatan bertindak mengawal keadaan.

Mohd Anuar berkata, pihaknya akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan dan melakukan pemeriksaan dengan lebih teliti terhadap penonton pada perlawanan akan datang bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kita meminta penonton mengikut segala peraturan yang sudah ditetapkan dan jangan bertindak sewenang-wenangnya atau mengikut perasaan hingga mencetuskan kekecohan atau pertelingkahan.

"Tonton perlawanan bola sepak dengan penuh semangat kesukanan dan jangan mencetuskan provokasi hingga boleh mencetuskan pergaduhan antara penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:05 AM
«»


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1224#sthash.WXGz7QPt.dpuf

Tangan tercampak 5 meter

TOYOTA Hilux yang remuk selepas dirempuh lori tiga tan. 

ORANG ramai melihat tangan mangsa yang terputus akibat kemalangan.
Keningau: Seorang pemandu maut dengan tangannya putus dan tercampak lima meter selepas kenderaan dipandunya dirempuh lori dalam kejadian di Kilometer 65 Jalan Keningau-Nabawan, berhampiran Kampung Satu Nabawan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa Nipoh Kili, 55, mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami cedera parah di tangan kanan dan dada.
Sementara itu, pemandu lori tiga tan Mohammad Ikhsan, 29, bersama kelindannya warga Myanmar yang hanya dikenali sebagai San Win, 20-an, cedera.
Difahamkan, mangsa yang memandu Toyota Hilux seorang diri dipercayai dalam perjalanan dari Sook menuju ke Nabawan.
Setibanya di tempat kejadian, lori tiga tan jenis Mitsubishi Fuso yang datang dari arah hadapan dikatakan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan dipandu mangsa.
Rempuhan kuat itu menyebabkan tangan kanan mangsa terputus dan terpelanting kira-kira lima meter daripada lokasi rempuhan.
Mangsa kemudian dikeluarkan sepasukan bomba dan dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Asisten Superintendan Merbin Anak Lisa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat polytrauma atau kesan cedera teruk pada tangan kanan manakala paru-parunya turut pecah, dipercayai tertusuk tulang.
"Manakala pemandu lori mengalami kecederaan ringan pada lutut sementara kelindannya tidak mengalami kecederaan," katanya.
Merbin berkata, siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan menuju ke Sook selepas selesai melakukan kerja pembinaan longkang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut.
"Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:50 AM

140 kes denggi sehari

PENDUDUK sertai gotong-royong anjuran Garena Malaysia dan DBKL di PPR Taman Mulia, semalam.
Oleh Suraya Roslan
Cheras: Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu 38,263 setakat kelmarin dengan purata kes harian 140 sehari.
Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, ia diikuti dengan Kelantan iaitu 13,248 kes dengan jumlah kes harian 34 kes disusuli Kuala Lumpur mencatatkan 5,349 kes dengan 13 kematian dan 13 kes disahkan denggi setiap hari.
"Ia disusuli beberapa negeri yang turut mencatatkan peningkatan kes demam denggi iaitu Johor (4,484), Perak (4,242), Negeri Sembilan (3,104), Melaka (2,068), Pulau Pinang (1,667), Sarawak (1,479), Pahang (1,330), Terengganu (1,101), Sabah (1,003), Kedah (791), Putrajaya (261), Perlis (188) dan Labuan (11)," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Statistik KKM mencatatkan 78,589 kes demam denggi membabitkan ratusan kematian direkodkan di seluruh negara untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Zainal Ariffin Pawanchee berkata, setakat ini kes demam denggi di Kuala Lumpur berada dalam keadaan terkawal.
"Bagaimanapun kami tidak menafikan jumlah kes dicatatkan meningkat 250 peratus berbanding tahun lalu.
"Malah, dengan 13 kematian dicatatkan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pelan tindakan khas untuk pencegahan dan kawalan denggi," katanya ketika ditemui di Program Gotong Royong Garena Malaysia dan DBKL di PPR Taman Mulia dan Sri Kota, di sini, semalam.
Katanya, pihaknya turut mengadakan gotong-royong perdana membersihkan kawasan persekitaran penduduk selain pemeriksaan rumah ke rumah bagi mencari tempat takungan denggi.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:43 AM