Search This Blog

Saturday, October 11, 2014

Enam Kereta Bernilai RM500,000 Musnah Dalam Serangan Kebakaran


Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 3:49 PM

GEORGE TOWN: Enam buah kereta bernilai kira-kira RM500,000 musnah dalam serangan kebakaran di tempat letak kereta terbuka bertentangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Dipercayai kebakaran berlaku pada pukul 12.40 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata polis menemui satu botol plastik di tempat kejadian, yang dipercayai diisi dengan minyak.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau benda letupan.

Pemilik kenderaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

14 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Penempatan Nelayan


Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 1:10 PM

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 14 rumah dalam air musnah apabila berlaku kebakaran di sebuah penempatan nelayan berhampiran bandar pantai timur Sandakan awal Sabtu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Affendy Ramin berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran yang berlaku pukul 7.30 pagi di Kampung Pukat, kira-kira 3 km dari pusat bandar Sandakan.
Beliau berkata 26 anggota bomba dan dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran pada pukul 8.48 pagi.

Kampung Pukat adalah antara penempatan terawal di tepi pantai Sandakan. Terdapat kira-kira 50 buah rumah di penempatan tersebut.

Kanak-Kanak Mati Lemas Ketika Mandi Di Pantai


Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 10:33 PM

JOHHRU: Seorang kanak-kanak perempuan mati lemas manakala seorang remaja lelaki masih hilang ketika mandi di pantai Tanjung Balau dekat Kota Tinggi pada Jumaat.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 5 petang dengan mangsa yang lemas adalah Hidayah Budin, 2, manakala remaja yang hilang terbabit hanya dikenali sebagai Shukri, 14.
Hidayah dan Shukri yang masing-masing merupakan jiran dikatakan mandi di pantai tersebut bersama ibunya Siti Marsila Md Jasin, 28, tiga adik beradiknya Nuraliza, 12, Amy, 11, dan Ahmad, 9, serta seorang lelaki Mohd Faizal Yunus, 29.
Kesemua mereka dari Taman Johor Jaya di sini.
Ketua Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pengawal pantai Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada pukul 5.55 petang.
"Operasi masih dijalankan bersama pihak penyelamat pantai Kejora. Ekoran keadaan pantai yang gelap, anggota akan membuat pemantauan dan menyusur di sekitar pantai untuk operasi malam," katanya.

Syarikat Dikesan Menipu Guna Nama, Logo MAA Takaful Berhad


Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 4:23 PM

KUALA LUMPUR: MAA Takaful Berhad (MAA Takaful) ingin memperingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sebuah syarikat yang menggunakan nama dan logo MAA Takaful bagi tujuan menjual produk.

Baru-baru ini, kami telah menerima aduan berkaitan dengan sebuah syarikat iaitu Qaseh Qayyum Enterprise yang menipu dalam menawarkan produk insurans Personal Accident (PA) kepada orang ramai dengan menggunakan nama dan logo MAA Takaful.

Syarikat tersebut dikatakan akan meminta sekali bayaran bagi produk tersebut dan amaun kecil lain bagi tujuan pembaharuan.

Selanjutnya, suatu sijil iaitu Sijil Insurans beserta logo dan perkataan "Provided by MAA Takaful" tertera di atasnya akan diberikan kepada pelanggan.

Ingin diperjelaskan bahawa MAA Takaful tiada sebarang bentuk hubungan dengan syarikat tersebut iaitu Qaseh Qayyum Enterprise dan tidak juga mengeluarkan Sijil Insurans yang mengandungi logo tersebut.

Orang ramai adalah diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah menjadi mangsa terhadap aktiviti penipuan tersebut.

MAA Takaful mengambil serius akan hal ini dan sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa yang relevan untuk penyiasatan lebih lanjut.

Orang ramai disarankan untuk menghubungi pihak berkuasa sekiranya mereka menjadi mangsa penipuan dan MAA Takaful tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa musibah yang berkaitan dengan aktiviti penipuan tersebut.

Sebarang pertanyaan atau maklumat sila hubungi Khidmat Pelanggan MAA Takaful Berhad di talian 03-6287 6666 atau emel: MAAWebAdmin

Dua Maut Kapal Penyelidikan Taiwan Karam


Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 4:46 PM
Imej daripada video yang disiarkan menunjukkan kapal penyelidikan marin karam di perairan dekat pulau Penghu di barat Taiwan. Foto AFP

TAIPEI: Dua saintis maut manakala 43 yang lain diselamatkan apabila sebuah kapal penyelidikan marin karam di perairan Taiwan selepas terlanggar terumbu, kata pegawai pengawal pantai pada Sabtu.
Bantuan kecemasan gagal untuk menyelamatkan kedua-dua saintis itu selepas kapal "Ocean Researcher V", yang membawa 27 penyelidik dan 18 kru, karam di kepulauan Penghu pada Jumaat, kata pegawai.
Kapal seberat 2,700 tan itu mula karam selepas ia terlanggar sebuah terumbu dan hilang kawalan.
Mereka yang berada di dalam kapal itu menyelamatkan diri menggunakan rakit keselamatan, tetapi tenggelam berikutan angin kencang dan ombak besar.
Pengawal pantai dan tentera laut mengarahkan beberapa bot dan helikopter untuk menjalankan operasi menyelamat.
Kapal itu berlayar dari sebuah pelabuhan di selatan bandar Tainan pada Khamis untuk ekspedisi penyelidikan marin selama lapan hari yang diketuai oleh kerajaan dengan kerjasama beberapa universiti.
Ketika kejadian, ia dalam perjalanan ke Penghulu untuk mendapatkan perlindungan ekoran cuaca buruk. - AFP

Jumlah Kematian Akibat Ebola Kini Lebih 4,000 Orang


Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 4:32 PM

MADRID: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa jumlah kematian akibat wabak Ebola kini melebihi 4,000 orang.
Pertubuhan itu berkata, seramai 4,033 orang meninggal dunia akibat Ebola setakat 8 Oktober lalu, daripada 8,399 kes yang berdaftar di enam negara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jumlah bantuan untuk menyekat penularan wabak itu kekurangan AS$1 bilion (RM3.26 bilion) daripada yang diperlukan, menyebabkan bilangan kematian yang meningkat secara mendadak. - AFP

Dua Beranak Maut Dalam Kemalangan Lori Dan Bas


Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 8:52 PM

JEMPOL: Dua beranak maut selepas lori tiga tan yang mereka naiki dirempuh sebuah bas persiaran di KM4, Jalan Bahau-Kemayan di sini, awal pagi Sabtu.
Jurucakap polis, berkata kejadian pada kira-kira pukul 6.20 pagi itu mengorbankan pemandu lori, Abdul Rahman Sulaiman, 44; dan anaknya, Muhammad Saiful, 21, yang berasal dari Muar, Johor.
Katanya akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah di badan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas yang sedang dalam perjalanan dari arah Kemayan dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan, lalu merempuh lori mangsa yang datang dari arah Bahau. 
Pemandu bas pula dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 
Sementara itu, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau dan Bandar Seri Jempol dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan dua beranak yang tersepit itu. 
Mayat mereka dihantar ke Hospital Jempol di sini untuk bedah siasat.

Polis Buru 'Ah Hai' Suspek Utama Letupan Di Bukit Bintang


Diterbitkan: Sabtu, 11 Oktober 2014 9:41 PM
Unit Pemusnah Bom PDRM berjaya meletupkan bom tangan kedua yang masih aktif, yang ditemui di lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu 'Ah Hai' yang merupakan suspek utama dalam siasatan terhadap insiden letupan bom tangan di Kompleks Sun di Bukit Bintang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, 'Ah Hai' didakwa terlibat dalam satu kes di Sentul pada Ogos lalu, dengan mengacukan pistol ke arah seorang anggota polis.
"Kita percaya Ah Hai merupakan sasaran utama. Berdasarkan siasatan awal, dia didapati sebagai saksi penting dalam kes ini, dan polis sedang cuba mengesannya," katanya.
Tajuddin berkata, polis telah pun menyelesaikan satu kes membabitkan Ah Hai dan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Dikenali sebagai 'Ah Hai', lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai dari Geng 21 telah menjalankan perniagaan haram di sini, termasuk perjudian. 
Insiden letupan itu berlaku di luar kelab malam Cherry Blossom pada Khamis, sehingga mengakibatkan seorang joki kereta maut dan mencederakan 12 yang lain, termasuk dua warga China, dua warga Singapura dan seorang warga Thailand.
Tajuddin berkata, lapan mangsa telah memberikan keterangan mereka kepada pihak polis.
Tiong Kwong Yie, 36, meninggal dunia akibat kecederaan serius selepas kejadian letupan yang berlaku pada pukul 4.25 pagi itu.

14 rumah atas air di Sandakan musnah dalam kebakaran

SANDAKAN: Sebanyak 14 rumah atas air di Bandar Nam Tung dekat Jalan Leila, di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu dipercayai perpunca akibat litar pintas, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Kebakaran hanya dapat dikawal kira-kira sejam kemudian oleh sepasukan 32 anggota bomba bersama dua jentera yang tiba di lokasi berkenaan pada jam 7.48 pagi.

Wanita maut kenderaan dinaiki terbabas di Sibu

TANJUNG MANIS : Seorang wanita maut selepas pacuan empat roda yang dinaikinya hilang kawalan di Kilometer 110 Jalan Sibu-Tanjung Manis, hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira 3 petang itu, mangsa, Nor Azan Dahiri, 26, dan empat saudaranya dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kampung Penibong dari Sibu.
Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, Toyota Hilux yang dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum terbalik.
Akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala, empat yang lain hanya mengalami cedera ringan.
Mangsa yang cedera dikenali sebagai Halfatika Haldin, 26, Maidi Busri, 37, Abdul Karim Keri, 25, dan Zulfikar Zawawi, 21.
Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Umum Sibu untuk rawatan lanjut.

Gempa kuat landa Honshu, Jepun

TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Ritcher melanda pesisir pantai pulau Honshu, Jepun, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), hari ini.

Pusat gempa itu terletak kira-kira 110 kilometer di timur laut Hachinohe, menurut laman web USGS.
Bagaimanapun, gempa yang berlaku kira-kira jam 2.36 pagi (waktu tempatan) itu tidak mendatangkan ancaman tsunami, menurut Agensi Meteorologi Jepun. - Reuters

19 pekerja binaan maut tanah runtuh di China

SABTU, 11 OKTOBER 2014 @ 11:26 AM

 
BEIJING: Sekurang-kurangnya 19 buruh binaan lebuh raya terbunuh manakala dua lagi parah dalam kejadian tanah runtuh di barat laut China, hari ini.

Menurut kerajaan tempatan, tanah runtuh itu memusnahkan lapan bilik asrama sementara untuk pekerja binaan berkenaan di daerah Ganquan, iaitu sebahagian daripada bandar Yan'an di wilayah Shaanxi.

Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan sembilan orang terbunuh di lokasi nahas dan 10 lagi meninggal dunia selepas usaha menyelamatkan mereka gagal.

Daerah Yan'an adalah sebahagian daripada Loess Pateau yang terkenal dengan kawasan tanah berpasir yang longgar. - AP

9 maut, 30 hilang bot karam di pesisir Guinea

CONAKRY: Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dan berpuluh lagi hilang selepas sebuah bot kayu yang membawa penumpang melebihi had karam di pesisir pantai selatan Guinea, kata pegawai tempatan.
Menurut agensi pelayaran kebangsaan, bot panjang tirus itu membawa 69 penumpang ketika meninggalkan pelabuhan Farmoriah untuk ke pasar minggu di pantai negara barat Afrika itu.
"Ia karam di laut tidak jauh dari (bandar pasar) Benty, menyebabkan sembilan terkorban manakala 18 lagi terselamat," menurut agensi itu dalam satu kenyataan yang dibaca di televisyen.
Menurut satu sumber keselamatan tempatan, bot malang itu terbabit dalam perlanggaran dengan kapal lain di laut.
Beliau mengesahkan bahawa sembilan orang mati dan 30 yang lain masih tidak dapat dikenal pasti.
Bot berkenaan karam beberapa minit selepas meninggalkan pelabuhan, sambil menambah: "Ia merempuh kapal korek...dan tenggelam."
Sumber itu berkata, kapal korek itu milik syarikat perlombongan Forecariah Guinea, sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh Australian Bellzone dan Tabung Antarabangsa China (CIF) untuk melombong bijih besi. - AFP

Tikam lepas beri salam


Kota Bharu: “Saya tidak sangka dia yang dianggap seperti anak dan sanggup tikam disebabkan hal tak diketahui,” kata Che Soh Mamat, 65, yang patah tulang rusuk kiri dan cedera di bahagian dada akibat ditikam sebanyak tiga kali oleh seorang lelaki berusia 41 tahun dalam kejadian di Kampung Wakaf Comel Paloh, Tanah Merah, di sini, Rabu lalu.
Kejadian berlaku jam 5.45 petang ketika warga emas terbabit bersama isteri sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum didatangi seorang lelaki yang juga jirannya. Katanya, lelaki itu datang ke rumah dalam keadaan baik apabila memberi salam dan mendakwa mahu membayar hutang.
“Isteri cuba bertanya kepadanya hutang apa yang mahu dibayar sebelum dia meluru masuk mendapatkan saya dan terus mengeluarkan pahat. 

“Dia secara tiba-tiba menikam saya tiga kali di bahagian dada, rusuk kiri dan kanan,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM), di sini, semalam.
Foto
CHE Soh menerima rawatan di HUSM.

Katanya, selepas melihat dia rebah dalam keadaan parah berlumuran darah, lelaki itu menghilangkan diri.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Padah ‘potong’ barisan


Menurut saksi, mangsa berusia sekitar 50-an tahun itu enggan beratur di tandas berhampiran pasar Galangyu kerana tidak dapat menahan untuk membuang air. 
Ketika itu, seorang pelancong wanita yang berada dalam barisan tidak membenarkan mangsa memotongnya namun dia tidak mengendahkannya. 

Kerana berang, pelancong itu terus menghubungi rakannya dengan telefon mengatakan dia mahu memukul mangsa.
Foto
WANITA yang cedera selepas kepalanya dihentakkan dengan bata, membuat panggilan telefon meminta bantuan.

Sebaik keluar dari tandas, orang ramai menggesa warga emas berkenaan segera beredar dari kawasan terbabit namun dia tidak berjaya melarikan diri.

Seorang saksi berkata, dia cuba menghalang perbuatan pelancong itu, namun terlambat apabila wanita itu menghentakkan kepala mangsa dengan bata. 

Polis tiba di tempat kejadian dan mendapati suspek terlantar di lantai sambil mendakwa cedera dipukul dan meminta dihantar ke hospital dengan segera. 

Jurucakap polis memberitahu, warga emas yang berusia 56 tahun itu bekerja di Gulangyu. 

Polis juga menahan pelancong berkenaan dan akan mendakwanya atas tuduhan menyerang hingga menyebabkan kecederaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Kanak-kanak dua tahun mati lemas, seorang lagi masih hilang

JUMAAT, 10 OKTOBER 2014 @ 8:07 PM

 
KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun mati lemas, manakala seorang remaja lagi masih hilang ketika mandi di pantai Tanjung Balau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa Hidayah Budin, 2, lemas dan kenalannya yang hanya dikenali sebagai Shukri, 14, masih hilang, manakala lima yang lain berusia antara sembilan hingga 29 tahun, selamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Low Hap Seng, mengesahkan kejadian ketika dihubungi, sebentar tadi.

‘Pembunuh’ pelancong tarik balik kenyataan


Bangkok: Dua lelaki Myanmar yang didakwa mengaku membunuh dua pelancong Britain di Koh Tao dilaporkan menarik balik kenyataan mereka, semalam.

Media di England melaporkan, kedua-dua suspek mendakwa mereka dipukul polis untuk mendapatkan pengakuan membunuh berkenaan.

Dua lelaki terbabit - Zaw Lin dan Win Zaw Htun - dituduh membunuh Hannah Witheridge serta David Miller di pulau peranginan berkenaan pada bulan lalu.

Zaw dan Win ditangkap polis Thailand minggu lalu dan hasil soal siasat, pihak berkuasa berkata, mereka mengaku membunuh Hannah dan Miller.


Kedua-dua suspek kemudian dituduh membunuh, merogol dan merompak.


Bagaimanapun akhbar Bangkok Post melaporkan seorang peguam dan pegawai Kedutaan Myanmar di Bangkok mengesahkan kedua-dua tertuduh menukar pengakuan mereka.

Kata Aung Myo Thant, Zaw dan Win mengaku bersuka-ria di pantai pada malam Hannah dan Miller dibunuh.

“Mereka kini merayu kerajaan Myanmar melihat kes berkenaan dan mencari kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Pemegang ‘ijazah’ merompak dijel


Ashley De Luca, 27, mengaku mencuri arak, manisan dan makan dari pasar raya di seluruh bandar Faversham di Kent sejak Mac lalu. 
Dia juga memakai pakaian seragam polis pada 13 Mac lalu untuk mencuri dari sebuah garaj tetapi melarikan diri selepas gagal melakukannya. 

De Luca mengaku bersalah terhadap tujuh tuduhan mencuri, merompak dan dua tuduhan gagal menyerah diri serta memakai pakaian seragam polis dengan niat untuk menipu di Majkamah Majistret Mid Kent bulan lalu.Foto
DE Luca bergaya seperti penjenayah dalam gambar yang dimuat naik dalam Facebooknya.
Foto
DE Luca.

De Luca dipenjara 119 hari dan diarah membayar denda sebanyak £150 (RM785).

Dalam laman Facebooknya, De Luca bercakap besar mengenai gaya hidupnya sebagai penjenayah. 

Dalam ruang pekerjaan dan pelajaran, dia menulis: ‘Ijazah sarjana dalam merompak dan mencuri.’
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

6 batang besi tusuk leher

Xiangyang: Seorang pekerja nyaris maut selepas enam batang besi tertusuk menembusi lehernya.

Xie Mo yang dijangka pulih sepenuhnya terselamat kerana besi itu tidak mengena saluran darah utama atau tenggoroknya.
Kejadian berlaku ketika Xie Mo bekerja membina jambatan di Xiangyang di wilayah Hubei, timur China minggu lalu.

Xie Mo berada di atas jambatan itu apabila mesin yang digunakan untuk meluruskan besi di depannya tidak berfungsi.Foto
KEADAAN Xie Mo sebelum menjalani pembedahan.
Foto
BESI yang dicabut keluar dari leher Xie Mo.
Dia tidak sempat mengelak apabila besi itu melayang dan menusuk bahagian kanan lehernya.

“Leher saya tiba-tiba kebas sebelum saya rebah. Mujur saya tidak jatuh terus ke tanah,” katanya.

Dia dikejarkan ke hospital sambil memegang besi itu bagi mengelak ia bergerak.

Doktor terpaksa meminta bantuan bomba untuk memotong sebahagian besi itu, lima daripadanya lebih satu meter.

Xie Mo kemudian menjalani pembedahan untuk membuang baki besi itu dan dijangka pulih dalam masa beberapa minggu lagi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

Ebola mungkin menjadi seperti wabak AIDS



SEORANG pekerja lapangan terbang memakai topeng mulut dan hidung di terminal ketibaan Lapangan Terbang Los Angeles , AS kelmarin. - AFP


NEW YORK – Seorang pegawai kesihatan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) memberi amaran langkah drastik perlu bagi menghalang virus Ebola menular menjadi epidemik global seperti AIDS.
Ketua Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) juga meramalkan bilangan kes demam Ebola meningkat kepada 1.4 juta orang pada Januari tahun depan melainkan langkah tegas dilakukan untuk menangani virus maut itu.
“Kita perlu bekerja keras dari sekarang supaya Ebola tidak menjadi seperti AIDS. Sejak 30 tahun bekerja dalam bidang kesihatan awam, hanya satu penyakit yang menyerupai Ebola dan ia adalah AIDS,” kata ketua CDC, Dr. Tom Frieden.
Sementara itu, seorang jururawat Sepanyol yang menghidap Ebola, Teresa Romero kini berdepan risiko kematian.
“Wanita itu tenat selepas dijangkiti virus maut itu,” kata seorang pemimpin Sepanyol, Ignacio Gonzalez di Parlimen negara itu.
Romero, 44, adalah orang pertama yang dijangkiti wabak itu di Eropah.
Wabak Ebola yang mengganas sejak awal tahun ini telah membunuh hampir 3,900 orang dan penularan virus itu ke AS dan Eropah menyebabkan beberapa negara seperti AS, Kanada dan Britain mula melaksanakan pemeriksaan lebih ketat di lapangan terbang terutamanya melibatkan penumpang dari Afrika Barat.
Di AS pula, kematian seorang mangsa terbaharu Ebola, Thomas Eric Duncan pada Rabu lalu menyebabkan pegawai-pegawai AS diarahkan meningkatkan pe­meriksaan di lima lapangan terbang iaitu di Atlanta, Chicago, New Jersey, New York dan Washington.
Kerajaan Britain turut mengambil langkah serupa di lapangan terbang utama negara itu seperti Heathrow dan Gatwick selain turut memeriksa penumpang yang menaiki kereta api laju Eurostar dari Belgium dan Perancis. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3FmnwA4ib 
Hakcipta terpelihara 

Empat lagi kubur besar ditemui



SEORANG anggota polis berkawal berhampiran sebuah kubur besar di pinggir bandar Iguala, dalam negeri Guerrero, selatan Mexcio kelmarin. - REUTERS


IGUALA – Kes 43 pelajar Mexico hilang selepas diserang polis yang bersubahat dengan geng penjenayah mencatat perkembangan baharu kelmarin apabila pihak berkuasa menemui beberapa lagi kubur besar.
Empat suspek baharu membawa polis persekutuan Mexico ke sebuah lokasi yang mengandungi empat buah kubur pada jarak 200 kilometer di selatan Bandar Raya Mexico.
“Empat suspek itu menyatakan kubur-kubur berkenaan menyimpan mayat pelajar yang hilang,” kata Peguam Negara, Jesus Murillo Karam.
Menurutnya, sebahagian mayat itu kelihatan rentung.
Penemuan itu memalapkan lagi harapan untuk menemui 43 itu dalam keadaan selamat, hampir dua minggu selepas mereka diserang sekumpulan anggota polis bandar ini yang didakwa bersubahat dengan kumpulan penjenayah tempatan, Guerreros Unidos.
Kubur tersebut ditemui berdekatan dengan lokasi sebuah kubur besar yang ditemui pada hujung minggu lalu di negeri Guerrero, selatan Mexico.
“Kubur tersebut mengandungi 28 mayat yang tidak dikenal pasti,” ujar Karam.
Dua pembunuh upahan mengaku membunuh 17 pelajar tersebut dan mencampakkan mayat mereka ke dalam kubur besar itu yang ditemui pada Sabtu lepas.
Menurut Karam, Datuk Bandar Jose Luis Abarca, isterinya dan pengarah keselamatan awam bandar ini melarikan diri selepas kejadian tersebut.
Isteri Abarca, Maria de los Angeles Pineda Villa merupakan saudara perempuan kepada dua pengasas geng penjenayah kejam Guerreros Unidos. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3FmmoaG1X 
Hakcipta terpelihara 

Dadah RM5.2 juta dirampas


Noor Rashid Ibrahim (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas ketika pihak polis mematahkan cubaan menyeludup 9.1 kilogram syabu di KLIA dan serbuan ke atas makmal dadah di Jalan Kuchai Lama pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Polis mematahkan cubaan tiga lelaki warga asing untuk menyeludup 9.1 kilogram syabu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 1 Oktober dan kelmarin.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut membongkar sebuah makmal pemprosesan ekstasi serta merampas 35,000 biji pil dan cecair dadah berkenaan di Jalan Kuchai Maju, pada 3 Oktober lalu.
Kesemua syabu dan esktasi yang dirampas itu bernilai RM5.2 juta.
Penahanan pertama melibatkan seorang lelaki Afrika yang membawa bersamanya sebuah bagasi di KLIA pada 1 Oktober lalu.
Hasil pemeriksaan di ruang bawah bagasi itu yang diubah suai, menjumpai dua kotak makanan kesihatan yang mengandungi 5.2 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM988,000.
Pada 8 Oktober lalu, bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki warga Iran yang membawa 3.9 kilogram syabu, bernilai RM741,000 di dalam bagasi pakaian mereka.
Dalam kejayaan lain, polis turut membongkar kegiatan sebuah makmal pemprosesan pil ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium yang tidak berpenghuni di Jalan Kuchai Maju, pada 3 Oktober lalu.
Sebanyak 35 bungkusan plastik mengandungi 35,000 biji pil dan cecair ekstasi dianggarkan bernilai RM3.5 juta yang sudah siap untuk dipasarkan dirampas.
Susulan itu, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 48 dan 49 tahun yang dipercayai suspek dalam kegiatan berkenaan.
Kesemua suspek direman tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang banyak membantu menyalurkan maklumat sehingga berjaya mengesan kegiatan memproses dan penyeludupan dadah di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141011/je_02/Dadah-RM52-juta-dirampas#ixzz3FmlJpPJx
© Utusan Melayu (M) Bhd