Search This Blog

Thursday, October 9, 2014

Letupan: Dua Mangsa Kritikal


Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 2:02 PM
Unit Pemusnah Bom berjaya memusnahkan satu lagi bom yang ditemui di lokasi kejadian letupan di Jalan Bukit Bintang, pagi Khamis.

KUALA LUMPUR: Dua mangsa kejadian letupan di Jalan Bukit Bintang awal pagi Khamis kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Sebelum ini, seorang mangsa warga tempatan yang juga pekerja sebuah kelab malam di kawasan berkenaan disahkan maut ketika menjalani pembedahan.

Jurucakap HKL berkata, seramai 11 daripada 13 mangsa membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita terlibat dalam insiden pada pukul 4.30 pagi itu mendapat rawatan di HKL.

Selain itu, dua lagi mangsa rakyat tempatan mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Ampang.

"Mayat mangsa yang meninggal akan dibedah siasat, manakala dua lagi mangsa yang juga mengalami kecederaan parah kini ditempatkan di zon merah dan berada dalam keadaan kritikal," katanya.

Jurucakap itu berkata, mangsa terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat dari China, seorang rakyat Thailand serta seorang dari Singapura.

Selain itu, beliau menambah, pihak kedutaan dari negara asal mangsa telah diberitahu dan tiba di HKL untuk mengenal pasti mangsa.

Laporan sebelum ini mendedahkan seramai 14 mangsa terlibat dalam letupan dua biji bom yang dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta di sebuah bangunan.
Sementara itu, di lokasi kejadian, pihak forensik polis dan Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan terperinci di sekitar kawasan berkenaan bagi mengesan sebarang bahan bukti untuk membantu siasatan kes itu.
Unit Pemusnah Bom juga bertindak memusnahkan bom ketiga yang gagal diletupkan pihak bertanggungjawab dalam kejadian awal pagi Khamis itu.

Polis Nafi Letupan Bom Di Bukit Bintang Ada Kaitan Dengan IS


Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 4:38 PM
Seorang anggota pemusnah bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang salah sebutir bom di Sun Complex, Bukit Bintang. - foto AZHAR MAHFOF/The Star

KUALA LUMPUR: Polis menafikan kejadian letupan bom di Bukit Bintang pada Khamis mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam (IS), sebaliknya kejadian itu berpunca daripada aktiviti kumpulan gengster.
Ketua Polis Kuala Lumpur DatukTajuddin Md Isa berkata kejadian itu dipercayai berpunca perebutan kawasan perniagaan antara kumpulan kongsi gelap.

"Fokus siasatan masih lagi awal, namun ia dipercayai lebih kepada kumpulan kongsi gelap yang cuba merebut kawasan dan berkaitan dengan bisnes.

"Pihak polis juga memberi jamiman secara keseluruhan kawasan ini telah selamat," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian.

Seorang joki kereta maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing dalam serangan bom 'molotov cocktail' yang dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap, di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex pada pukul 4.20 pagi.

Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.

Pekerja joki itu ialah Tiong Kwong Yie, 36.

Tajuddin berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di kawasan berkenaan dan boleh menjalankan aktiviti seperti biasa.

"Polis akan mempertingkatkan tahap keselamatan terjamin dengan membuat rondaan secara kerap di sini," katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru supaya orang ramai jangan mudah percaya tentang berita yang mengatakan terdapat lapan butir bom di sekitar sini.

"Hanya dua butir bom sahaja setakat ini. Seperti laporan dalam media sosial sebelum ini ada lapan, jangan percaya," katanya.

Tajuddin berkata sekiranya orang ramai mahu mendapatkan keterangan lanjut berhubung kes itu, mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Sementara itu, jurucakap Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata tiga daripada 11 mangsa letupan yang dirawat di HKL telah dipindahkan ke Hospital Ampang dan dua lagi masih dirawat di Hospital Gleneagles.

Sehingga kini katanya, mangsa yang cedera merupakan enam rakyat tempatan, seorang lelaki Thailand, seorang lelaki Singapura dan empat wanita (China). 

Lelaki Myanmar Dicari Bantu Kes Bunuh Di Tasek Gelugor


Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 4:57 PM

KEPALA BATAS: Polis mencari seorang lelaki Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kejadian rakan senegaranya maut diserang sekumpulan lelaki di kawasan ladang sawit di Pokok Machang, Tasek Gelugor pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lelaki itu dikenali sebagai Kumar, berusia 30-an dan beralamat terakhir di Tasek Gelugor dekat sini.

"Selepas mendapat beberapa maklumat, polis telah ke rumah lelaki itu tetapi lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak dipercayai telah melarikan diri.

"Oleh itu polis meminta kerjasama orang ramai yang mepunyai maklumat mengenai Kumar agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas program High Profile Policing (HPP) di sebuah stesen minyak di Permatang Sireh, di sini Khamis.

Dalam kejadian Isnin malam itu, K. Arichandran, 34, mati akibat cedera parah selepas ditetak sekumpulan lelaki.

Mazlan berkata siasatan polis mendapati kejadian itu dipercayai akibat dendam berikutan mangsa gagal membayar hutang dengan beberapa kumpulan pengedar dadah.

"Seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan ekoran kejadian itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas kami mengambil keterangannya," katanya.
Sementara itu Mazlan berkata 70 peratus daripada 35 kes bunuh membabitkan rakyat asing di Pulau Pinang sejak Januari hingga 30 September lepas adalah dari Myanmar.
Beliau berkata bagaimanapun kes-kes bunuh membabitkan rakyat Myanmar itu tiada kaitan dengan konflik yang berlaku di negara berkenaan, sebaliknya disebabkan pergaduhan, balas dendam, hutang dan dadah. 

Juruteknik Rugi RM49,450 Tertipu Dengan Skim Cabutan Bertuah


Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 6:37 PM

IPOH: Seorang juruteknik mengalami kerugian RM49,450 akibat tertipu dengan skim cabutan bertuah.
Lelaki berumur 41 tahun ini ditipu dengan membayar wang berkenaan kononnya untuk menuntut hadiah yang dimenanginya berupa lampu kristal.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shahron Anuar Abdul Latif berkata mangsa diminta mendeposit wang tersebut di dalam akaun yang diberikan seorang wanita yang mendakwa dia bekerja di sebuah pasar raya di Hong Kong.

Beliau berkata mangsa percaya dengan muslihat wanita terbabit kerana kakak sepupunya pernah menghadiahkan rantai emas kepadanya yang di beli di Hong Kong dan beranggapan kad ahli sepupunya itu yang terpilih untuk memenangi hadiah tersebut.

Mangsa membuat laporan polis pada Selasa lepas.

JAIM Tahan Wanita Disyaki Bersekedudukan Hingga Lahir Lima Orang Anak


Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 8:24 PM
Gambar hiasan.

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Rabu menahan seorang wanita berusia 31 tahun di Pulau Besar di sini kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang lelaki sehingga melahirkan lima orang anak.

Ketua Penguatkuasa JAIM Rahimin Bani berkata wanita itu ditahan ketika sedang tidur bersama semua anaknya berusia antara satu hingga 11 tahun di dalam sebuah khemah di tepi pantai pulau berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya JAIM percaya lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pasangan wanita itu berada di pulau berkenaan tetapi melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan.

"Siasatan mendapati wanita itu tidak mempunyai sijil perakuan nikah manakala semua anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran dan mereka sebelum ini tinggal di Masjid Tanah (Alor Gajah, Melaka) sebelum berpindah ke pulau itu kira-kira dua bulan lepas," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Khamis.

Rahimin berkata wanita yang berasal dari Jengka, Pahang itu mendakwa telah berkahwin dengan lelaki itu di Thailand pada tahun 2002.

Beliau berkata wanita itu turut mendakwa empat anaknya lahir di Melaka manakala anak bongsunya lahir di Seremban, Negeri Sembilan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana bersedudukan.

Sementara itu Rahimin berkata JAIM sering melakukan pemeriksaan bagi mengekang kegiatan berunsur khurafat yang dijalankan di kawasan kubur di pulau berkenaan.

"Kami meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Pesakit pertama Ebola di AS meninggal dunia

KHAMIS, 9 OKTOBER 2014 @ 8:03 AM

 
WASHINGTON: Mangsa pertama dijangkiti Ebola di Amerika Syarikat meninggal dunia semalam dengan kerajaan mengumumkan langkah lebih ketat menangani merebaknya wabak membawa maut itu diperluaskan meliputi pemeriksaan di semua lapangan terbang.

Pemeriksaan terhadap penumpang itu termasuk mengambil bacaan suhu badan pengunjung dari Afrika Barat yang meliputi lima lapangan terbang utama di Amerika.

Saringan kesihatan terbaharu itu akan bermula Sabtu ini di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK New York dan disusuli Washington Dulles serta lapangan terbang antarabangsa di Atlanta, Chicago dan Newark.

Dianggarkan purata lebih 150 pengunjung akan diperiksa menggunakan alat bacaan suhu berteknilogi tinggi yang tidak perlu dilekapkan di kulit badan.



Rumah Putih berkata, pemeriksaan itu juga menjangkau lebih sembilan hingga 10 pengunjung yang memasuki Amerika dari negara yang teruk dilanda Ebola iaitu Liberia, Sierra Leone dan Guinea.

Presiden Barack Obama meminta langkah kawalan lebih ketat itu amat diperlukan untuk menambahkan lagi aspek perlindungan yang sedang dikuatkuasakan bagi mengawal Ebola daripada merebak.

Pengawal sempadan juga diminta memantau dan memeriksa rapi kemasukan mereka yang sakit dan segera melaporkannya kepada Pusat Kawalan Penyakit.

Sekiranya pemeriksaan deman biasa yang dilakukan di pintu masuk mungkin boleh mengenal pasti keadaan Thomas Eric Duncan, seorang lelaki Liberia yang mati akibat Ebola di Hospital Dallas, awal pagi semalam.

Duncan masih tidak menunjukkan simpton menghidap Ebola ketika dia tiba di Amerika.

Bagaimanapun, rawatan yang lewat terhadap Duncan serta jangkitan yang didapati seorang jururawat yang merawat pesakit Ebola di Spain, kini meningkatkan lagi kebimbangan dalam kalangan negara Barat kemampuan mereka untuk menyekat penyakit ini yang sudah mengorbankan 3,800 orang di Afrika Barat. - AP


GAMBAR fail menunjukkan Thomas Eric Duncan, Mangsa pertama dijangkiti Ebola di Amerika Syarikat ketika menghadiri majlis perkahwinan di Ghana pada 2011. - Foto AP

ANGGOTA kecemasan meletakkan penanda pada sebuah kenderaan yang dipercayai milik Sarjan Michael Monnig di Frisco, Texas, Amerika Syarikat selepas menerima laporan lelaki itu ada berhubung secara fizikal dengan Thomas Eric Duncan yang meninggal dunia semalam. - Foto EPA
«»

Polis cari tujuh atlet Sukan Asia yang hilang

RABU, 8 OKTOBER 2014 @ 4:58 PM

 
SEOUL: Polis sedang mencari tujuh atlet dan seorang wartawan yang hilang di Incheon selepas Sukan Asia tamat Sabtu lalu.

Inspektor polis Baek Seung-cheol berkata mereka tidak tahu di mana ahli sukan berkenaan sekarang berada. Tiga daripada mereka adalah dari Nepal, dua dari Sri Lanka dan seorang setiap satu dari Bangladesh dan Palestin.

Baek berkata seorang wartawan televisyen dari Pakistan juga hilang.

Polis berpendapat ada kemungkinan semua lapan orang itu kini bekerja secara haram di Korea Selatan.



Tambahnya, visa bagi atlet berkenaan tamat pada 9 Oktober manakala visa wartawan terbabit tamat pada 30 Oktober depan.

Hampir 1,000 atlet bertanding dalam kejohanan Sukan Asia itu. - AP

Pesawat tangki terhempas dalam kebakaran hutan di California

LOS ANGELES: Sebuah pesawat tangki yang digunakan untuk memadamkan kebakaran di Taman Negara Yosemite terhempas dan terbakar semalam, mengakibatkan juruterbangnya terbunuh.
Jurucakap Bomba California Alyssa Smith berkata anggota kecemasan tiba di tempat kejadian 'Dog Rock Fire' itu petang semalam dan mengesahkan bahawa juruterbangnya, yang masih belum dikenal pasti, sudah meninggal dunia.
Saksi nampak pesawat terbabit terhempas pada bukit di atas Lebuhraya 140 berhampiran pintu masuk ke Yosemite.
Katanya, anggota penyelamat hanya tiba di tempat kejadian beberapa jam selepas nahas itu. Setakat ini punca nahas masih belum diketahui.
Smith berkata hanya juruterbang itu saja berada di dalam pesawat ketika ia terhempas.
Pihak berkuasa memulakan gerakan mencari pesawat dua enjin Grumman S-2T itu, selepas ia hilang hubungan radio dengan pesawat pengiring yang terbang bersamanya.
Kebakaran 'Dog Rock Fire' itu yang meletus pada kira-kira jam 2.45 petang menyebabkan penduduk kira-kira 60 rumah terpaksa dipindahkan. - REUTERS

Gempa bumi 6.2 magnitud di Mexico

RABU, 8 OKTOBER 2014 @ 11:47 AM

 
BANDARAYA MEXICO: Satu gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda Mexico di Teluk California, kira-kira 121 kilometer di barat daya Bandaraya El Dorado.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu hanya sedalam 10 kilometer dan boleh dirasai sehingga ke Bandaraya Culiacan, ibu negeri Sinaloa.

"Kami rasai gegaran kecil selama lima hingga 10 saat," kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Melva Uribe.

Setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan. - REUTERS

Jepun sedia hadapi Vongfong


Tokyo: Sebuah taufan besar yang kini menuju ke arah Jepun dan dijangka membadai negara itu hujung minggu ini dipercayai sekuat Haiyan yang melanda Filipina lewat tahun lalu, kata pakar kaji cuaca semalam.

Taufan Vongfong yang datang dari arah Lautan Pasifik dilihat semakin kuat ia mendekati perairan Jepun.


“Kekuatannya hampir sama dengan Haiyan yang melanda Filipina November lalu,” kata seorang pakar kaji cauca di Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Taufan Haiyan mengakibatkan 8,000 maut dan hilang selepas ia membawa bersama-samanya angin selaju 300 kilometer sejam dan turut mengakibatkan ombak besar.


Vongfong dilapor menunjukkan kekuatan angin dengan kelajuan yang sama.


Taufan itu dijangka membadai Jepun hujung minggu ini, hanya beberapa hari selepas satu lagi taufan melanda negara itu yang menyebabkan 11 maut atau hilang selain menjejaskan perjalanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Umur tak panjang



Carvillen (Perancis): Seorang lelaki terselamat selepas gagal mengawal kenderaan yang dipandunya, terbunuh apabila dilanggar oleh kereta yang dipandu isterinya tidak lama kemudian.

Lelaki berusia 54 tahun berkenaan dan anak perempuannya yang berumur 16 tahun tidak cedera selepas mereka terbabit dalam kemalangan awal.


Mereka berjaya merangkak keluar dari van itu yang terbalik di Carvilee, barat Perancis.

Bagaimanapun, isterinya yang mendapat tahu mengenai kemalangan berkenaan dan bergegas ke tempat keadian, juga gagal mengawal keretanya di tempat sama, menyebabkan dia melanggar suaminya.


Lelaki itu dikatakan mati di tempat kejadian sementara anak mereka terselamat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Pembunuh pelancong diseksa


Yangon: Tiga pekerja Myanmar di pulau peranginan Koh Tao mendakwa polis menyeksa mereka untuk mendedahkan maklumat mengenai pembunuhan dua pelancong Britain di situ bulan lalu.

Sumber berkata, tiga individu itu adalah sebahagian daripada enam warga Myanmar yang ditahan polis Thailand.



“Tiga daripadanya dibebaskan tetapi dua rakan mereka ditangkap dan didakwa membunuh, manakala suspek ketiga dipercayai bersetuju memberi keterangan terhadap dua yang dituduh,” katanya.

Ketiga-tiga suspek itu mendakwa polis mencurah air panas ke atas mereka ketika proses soal siasat.


Mereka kemudian bertemu pemimpin kesatuan buruh untuk menunjukkan bukti kecederaan dialami sebelum menyerahkannya ke Kedutaan Myanmar.


Sementara itu pegawai kedutaan berkata, mereka bersedia membantu tertuduh.

Tiga suspek yang dibebaskan mendakwa polis Thailand mengancam untuk mengambil tindakan lebih serius jika Kedutaan Myanmar campur tangan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Nilai Mayang RM1,300 sejam


Media Australia Couriermail.com.au melaporkan, Mayang Prasetyo mengenakan bayaran sehingga lebih RM1,300 sejam. 
“Mangsa kemudian dipotong dan ditanak suaminya di sebuah apartmen adalah pelacur kelas tinggi,” lapor laman sesawang itu. 

Memetik sumber, media itu mendakwa mayang turut memasarkan dirinya dan mencari pelanggan secara dalam talian.
Foto
MAYANG bersama Volke.

Semakan di Internet menunjukkan Mayang - seorang pondan - menulis promosi di sebuah laman sesawang: “Rebut saya sekarang sebelum terlambat.”

Ibu Mayang, Nining Sukarni, berkata anaknya itu adalah orang yang banyak membantu keperluan kewangan mereka seharian. 

“Mayang sering menghantar wang terutama untuk dua adiknya yang baru berusia 15 dan 18 tahun,” katanya. 

Polis Australia menemui mayat busuk Mayang di apartmen didiaminya bersama Marcus Volke, 28, kelmarin selepas penduduk setempat mengadu terhidu bau busuk di situ. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

Ebola tiba di Eropah


Wanita berusia 40 tahun itu mula rasa tidak sihat pada 30 September lalu tetapi hanya pergi ke hospital pada Ahad kerana mengalami demam panas. 
Hasil dua ujian mengesahkan dia dijangkiti virus yang setakat ini membunuh lebih 3,400 orang di barat Afrika. 

Pegawai perubatan Sepanyol kini berusaha menyiasat mereka yang mungkin terdedah kepada virus dibawanya dan setakat ini memantau 30 orang termasuk suami dan rakan sekerja untuk memastikan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti.
Foto
KONVOI membawa jururawat Sepanyol yang dijangkiti virus Ebola daripada seorang paderi berusia 69 tahun meninggalkan Hosptial Alcorcon di Madrid.

Wanita terbabit sebahagian daripada pasukan perubatan di Hospital La Paz-Carlos III di mana dua warga emas Sepanyol yang juga pendakwah maut ketika menerima rawatan untuk Ebola selepas pulang dari Afrika.

Pengarah kesihatan utama Madrid Antonio Alemany berkata, wanita terbabit pergi bercuti sehari selepas kedua-dua pesakit berkenaan meninggal dunia pada 25 September lalu. 
Jururawat yang sudah berkahwin namun tiada anak kini diasingkan daripada pesakit lain di Alcorcon yang terletak di pinggiran Madrid. 

Menurut Alemany, keadaannya stabil namun masih mengalami demam panas. 

Berita jangkitan itu menyebabkan ramai mempertikaikan keputusan kerajaan Sepanyol memanggil semula pendakwahnya di Afrika. 

Malah ada yang turut mempertikaikan sejauh mana hospital Sepanyol mampu menangani kes Ebola. 

Dua pesakit dalam jagaan jururawat terbabit adalah paderi, Miguel Pajares yang meninggal dunia pada 12 Ogos lalu dan Manuel Garcie, 69, yang maut pada 25 September lalu. 

Pajares adalah pesakit pertama yang dihantar pulang ke Eropah untuk mendapat rawatan.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

300 cedera, satu terbunuh


Agensi berita kebangsaan Xinhua melaporkan, gegaran 6.0 magnitud itu berlaku di wilayah Yunnan - berhampiran sempadan Myanmar dan Laos - lewat kelmarin. 
Gempa berkenaan menyebabkan beberapa sekolah mengalami kerosakan teruk namun tiada kecederaan murid disebabkan kejadian berlaku waktu malam. 

Akhbar Xinhua memetik seorang pegawai tempatan sebagai berkata, 100 sekolah rosak manakala kira-kira 1.8 juta kaki persegi bangunan turut memerlukan pembaikpulihan.
Foto
SEKUMPULAN penduduk berehat di tempat pemindahan sementara yang dibina untuk mangsa gempa bumi, semalam.

Pembinaan sekolah adalah isu sensitif di China, yang melihat lebih 5,000 murid maut selepas sekolah mereka runtuh dalam gempa bumi di wilayah Sichuan pada 2008.

Punca keruntuhan itu dikaitkan dengan pembinaan bangunan menggunakan bahan murah selain dilihat turut mempunyai unsur rasuah ketika pembinaannya. 

Sementara itu, dalam kejadian semalam hanya seorang mangsa dilaporkan maut. 

Lebih 124,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka disebabkan gempa bumi itu. 

Namun disebabkan cuaca agak kering di rantau itu sejak beberapa hari lalu, risiko tanah runtuh dilihat agak rendah. 

“Banyak rumah yang runtuh dan kami masih menyiasat jumlah mangsa dalam kejadian ini. 

“Buat masa ini gegaran susulan masih dapat dirasai,” kata seorang pegawai tempatan. 

Pusat gempa dikenal pasti di Jinggu, 85 kilometer dari bandar Pu’er yang turut terkenal kerana ladang tehnya. 

Gegaran turut dirasai di ibu negeri Yunnan, Kunming. 

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, gempa bumi itu menyebabkan bangunan bergegar malah ada bandar yang kehilangan bekalan elektrik dan hubungan telekomunikasi.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Heroin disangka gula-gula


Seorang pengasuh menelefon polis selepas melihat kanak-kanak berkenaan membelek bungkusan itu. 
Ibu budak itu, Ashley Tull, 30, ditangkap dan dituduh memiliki dadah di samping tiga tuduhan membahayakan kebajikan kanak-kanak. 

Polis di Delaware berkata, ujian yang dilakukan terhadap kandungan bungkusan itu mengesahkan ia heroin.
Foto
ASHLEY.
Foto
HEROIN yang dirampas daripada anaknya.

Kanak-kanak itu dikatakan tersilap membawa beg berisi heroin selepas beg yang biasa dibawanya dikoyakkan kucing keluarganya.

Menurut polis, kanak-kanak berkenaan menyangka bungkusan itu gula-gula yang dibekalkan ibunya. 

Ashley yang juga mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang lagi anak perempuan berumur 11 tahun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak AS$6,000 sementara anaknya diletakkan di bawah penjagaan seorang anggota keluarganya (RM19,600) - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Gempa bumi kuat melanda Yunnan, seorang terkorban


SEBUAH rumah rosak selepas gempa bumi sekuat 6.0 pada skala Richter menggegar pekan Yongping di bandar Pu'er, Yunnan, barat daya China. - AFP
YUNNAN 8 Okt. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter, melanda kawasan pergunungan barat daya wilayah Yunnan, China semalam, mengakibatkan seorang penduduk maut, manakala 324 yang lain cedera.
Menurut laporan media tempatan hari ini, seramai 56,880 orang turut hilang tempat tinggal apabila gempa bumi itu berlaku berhampiran sempadan China dengan Myanmar dan Laos.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kebanyakan mangsa yang cedera berada di daerah Jinggu yang terletak berhampiran pusat gempa, kira-kira 85 kilometer dari bandar Pu'er.
"Bangunan bergegar dengan kuat. Pinggan-pinggan jatuh ke lantai dapur. Kami semua berlari keluar ke jalan-jalan," kata seorang penduduk, Li Anqin.
Pegawai kerajaan memaklumkan, gempa bumi itu menjejaskan lebih 92,000 penduduk Jinggu.
"Banyak rumah musnah dan kami sedang menjalankan siasatan berhubung kecederaan atau kematian. Gegaran susulan masih berlaku," kata seorang pegawai yang dipetik Xinhua.
Pegawai wilayah mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon bencana dengan lebih 3,200 anggota tentera dikerah untuk menyelamatkan penduduk.
Selain itu, seramai 600 penyelamat profesional dengan anjing pengesan dihantar ke kawasan gempa bumi bagi membantu operasi pencarian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_08/Gempa-bumi-kuat-melanda-Yunnan-seorang-terkorban#ixzz3Fcla47Y0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi di China, satu maut, lebih 300 cedera


BEIJING 8 Okt. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan wilayah Yunnan di barat daya China, tengah malam tadi, mengakibatkan seorang penduduk terbunuh dan lebih 300 lagi cedera.
Laporan portal berita Channel News Asia menyebut, kira-kira 50,000 orang turut dipindahkan ke tempat selamat selepas gempa bumi yang berpusat di 163 kilometer barat laut Yunjinghong pada kedalaman 10 kilometer, menggegarkan wilayah yang terletak di sempadan China, Myanmar dan Laos.
Sumber kerajaan wilayah berkata, perintah darurat telah diisytiharkan dengan lebih 3,200 anggota tentera dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan ramai mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan atau rumah.
Selain itu sumber tersebut berkata, 600 anggota penyelamat profesional dilengkapi unit anjing pengesan turut dikerah ke lokasi bencana. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141008/lu_11/Gempa-bumi-di-China-satu-maut-lebih-300-cedera#ixzz3FcjfxtGh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penunjuk perasaan Kurdis bertempur dengan polis Turki, 14 terbunuh


ANKARA 9 Okt. - Seramai 14 orang terbunuh apabila kumpulan penunjuk perasaan Kurdis bertempur dengan anggota polis negara ini semalam.
Agensi berita Turki melaporkan, keganasan terbaharu itu tercetus di kawasan penempatan Kurdis di timur Turki yang turut merebak di seluruh Turki dan Eropah apabila penunjuk perasaan menuntut agar tindakan lebih keras diambil terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS).
Agensi berita swasta Turki, Dogan berkata, setakat ini lapan orang dilaporkan maut di Diyarbakir yang terletak di timur Turki, dan beberapa lagi di bandar sebelah timur. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_02/Penunjuk-perasaan-Kurdis-bertempur-dengan-polis-Turki-14-terbunuh#ixzz3FcaIZ7hJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima perogol digantung di Afghanistan


KABUL 9 Okt. - Seramai lima lelaki Afghanistan dijatuhi hukuman gantung semalam di atas kesalahan merogol secara berkumpulan empat orang wanita sekali gus mencetus kritikan kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap perbicaraan serta hukuman yang dijatuhkan.
Serangan ganas itu berlaku di Paghman, luar Kabul menimbulkan kemarahan rakyat dan negara Afghanistan yang menuntut supaya pesalah itu digantung, dan pada minggu lalu pada masa yang sama Presiden Hamid Karzai meluluskan hukuman gantung ke atas pesalah terbabit sebelum keluar meninggalkan pejabat minggu lalu.
"Lima lelaki yang mempunyai kaitan dengan insiden rogol Paghman dan jenayah besar yang lain, telah digantung petang ini," kata Timbalan Pendakwa Raya Negara, Rahmatullah Nazari. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_03/Lima-perogol-digantung-di-Afghanistan#ixzz3Fca3H1ru
© Utusan Melayu (M) Bhd