Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, semalam.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, semalam.
BANDA HILIR - Sebahagian besar warga Pangsapuri Hilir Kota, di sini yang sedang lena, terjaga selepas dikejutkan dengan dua letupan dari sebuah kereta diletakkan di tempat letak kereta berhampiran yang terbakar awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, kereta jenis Proton Wira Aeroback milik seorang lelaki awal 30-an itu meletup serta terbakar secara tiba-tiba sehingga api turut merebak dan merosakkan sebuah kereta jenis Toyota yang diletakkan bersebelahan di kawasan berhampiran sebuah pusat hiburan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca akibat perbuatan khianat dan bukan disebabkan molotov cocktail.

“Tiada kesan cermin dipecahkan berikutan tiada serpihan kaca ditemui. Bagaimanapun, pemilik kereta yang berada di kawasan berhampiran segera ke lokasi dan berjaya menyelamatkan barangan di dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 50-an berkata, dia sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan, disusuli bunyi sistem penggera kenderaan.

“Kira-kira seminit selepas itu, satu letupan kuat kedengaran sebelum api mula marak membakar bahagian hadapan dan tayar hadapan di sebelah kiri kenderaan berkenaan.

“Pengunjung di sebuah pusat hiburan berhampiran juga cuba memadamkan api dengan alat pemadam api dan sempat mengalihkan sebuah kereta sebelah yang rosak di bahagian kiri hadapan akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Ketua operasi Pegawai Bomba Kanan I Latif Ismail berkata, sebuah jentera membabitkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Ketika kita tiba, api sudah marak di bahagian hadapan dan enjin serta memusnahkan tayar hadapan di sebelah kiri kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada mangsa di dalam kereta itu dan api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya jam 5.15 pagi. Kebakaran mengakibatkan 10 peratus kereta berkenaan musnah,” katanya di sini, semalam.

Menurut Latif, punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.