Search This Blog

Tuesday, October 7, 2014

Pemandu Teksi Maut Ditimpa Serpihan Bangunan


Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2014 9:38 AM

LONDON: Seorang lelaki yang memandu teksi jenis Proton Waja maut selepas kereta itu ditimpa serpihan bangunan runtuh akibat ribut yang berlaku di Bandar Bridlington, Yorkshire pada Isnin.
Lelaki berusia 61 tahun itu merupakan mangsa ribut yang melanda bandar tersebut sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus dan perkihdmatan kereta api terpaksa dihentikan.
Ribut lebih kuat dijangka melanda bandar itu buat kali kedua pada Selasa dan keadaan juga mungkin lebih teruk.
Berikutan itu, perjalanan kereta api ke England juga akan tertangguh.
Keadaan itu bagaimanapun akan kembali pulih pada pertengahan September dengan cuaca lebih baik.

5 maut letupan kilang bunga api di China

ISNIN, 6 OKTOBER 2014 @ 8:25 PM

 
BEIJING: Lima orang maut dalam letupan di sebuah kilang bunga api yang beroperasi secara haram di selatan China, kata polis.

Polis di wilayah Guizhou sedang menyiasat punca letupan berkenaan di kilang terletak di kawasan kampung Lanjiang pagi tadi.

Seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.

Kerajaan negara itu menutup beribu-ribu kilang bunga api haram bagi mengelak kejadian yang berpunca akibat keadaan penghasilan produk yang berbahaya atau kekurangan peralatan keselamatan.



Bagaimanapun, industri pembuatan bunga api itu kekal sebagai sumber ekonomi bagi kebanyakan wilayah miskin, sehingga menyediakan insentif untuk mengelak tindakan pihak berkuasa. - AP


PANCARAN bunga api memeriahkan Festival Tanglung yang diraikan di daerah Taijiang, dekat wilayah Guizhou. - Foto Fail EPA

11 kaum Asli di Colombia maut dipanah petir

SELASA, 7 OKTOBER 2014 @ 8:49 AM

 
BOGOTA: Kira-kira 11 Orang Asli di Colombia maut dan 15 cedera akibat dipanah petir ketika menghadiri mesyuarat pemimpin spiritual suku kaum Wiwa di kawasan pergunungan di utara negara berkenaan semalam.

Pejabat pentadbir suku kaum itu berkata

mangsa daripada masyarakat berkenaan yang hidup di kawasan terpencil Sierra Nevada, terkena caj elektrik akibat terkena petir.

"Pemimpin suku kaum itu sedang mengadakan mesyuarat ketika kejadian," katanya.



Pertubuhan Orang Asli Kebangsaan Colombia (ONIC) pula berkata kaum Wiwa, sebelum ini disalah anggap sebagai kaum Kogi, sedang mengadakan satu upacara ritual dan sering menghadapi masalah seperti perubahan cuaca di kawasan berbukit itu.

Anggota tentera yang beroperasi di kawasan berkenaan menghantar mangsa yang cedera ke beberapa pusat perubatan di bandaraya Caribberan Santa Marta sejauh lima jam perjalanan dari tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata kebanyakan mereka dirawat bagi kecederaan melecur tahap dua dan tiga. - AFP


ANGGOTA penyelamat dan askar mengusung mangsa ke ambulans untuk dihantar ke hospital di Santa Marta semalam. Kira-kira 11 Orang Asli maut dan 15 cedera akibat dipanah petir di Sierra Nevada. - Foto AFP

Turner Broadcasting berhentikan 1,475 pekerja

SELASA, 7 OKTOBER 2014 @ 10:17 AM

 
NEW YORK: Turner Broadcasting, syarikat induk kepada rangkaian stesen penyiaran CNN, TBS dan TNT menghentikan khidmat 1,475 pekerjanya iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.

Pengumuman itu susulan daripada penamatan kira-kira 600 pekerja sukarela veteran pada Ogos lalu, sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang dilakukan oleh syarikat berpangkalan di Atlanta itu.

Turner berkata, penstrukturan semula itu termasuk langkah mengurangkan pekerja, menghapuskan jawatan yang belum diisi dan pemberhentian secara sukarela.

Langkah menghentikan kakitangan itu membabitkan 18 lokasi meliputi seksyen berita, sukan, hiburan dan bisnes, termasuk jawatan bahagian korporat.



Jurucakap Turner berkata, syarikat menamatkan khidmat 975 pekerja di Atlanta disusuli pengurangan tenaga kerja di bandaraya itu kira-kira 5,500 orang.

Syarikat itu juga merancang untuk menambah jawatan baru di kawasan yang mempunyao pertumbuhan dan pelaburan baharu.

CNN dilaporkan sedang bertungkus-lumus dalam melaksanakan strateginya untuk mengekalkan jumlah penonton serta bersaing dengan rangkaian berita kabel Fox News dan MSNBC.

TNT dan TBS, yang selama ini banyak bergantung kepada siaran program lama yang diulang-ulang, kini turut menerima tekanan bagi memuatkan rancangan yang lebih bermutu.

Turner Broadcasting System, yang turut memiliki Cartoon Network, HLN, TruTV dan Turner Classic Movies, adalah satu unit dalam Time Warner Inc. yang berpangkalan di New York, syarikat yang didukung oleh HBO dan Warner Bros Studio. - AP

Jangkitan ke atas jururawat di Sepanyol timbulkan kebimbangan baharu Ebola

WASHINGTON: Jangkitan Ebola yang disahkan ke atas seorang jururawat di Sepanyol, yang pertama di luar zon wabak berkenaan di Afrika Barat, menimbulkan kebimbangan baharu dunia.
Di Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama berkata kerajaannya sedang menimbang untuk mengeluarkan arahan pemeriksaan lebih teliti ke atas penumpang yang tiba dari rantau berkenaan.
"Dalam menangani kes Ebola yang berpotensi, kita tidak boleh mempunyai banyak margin kesilapan" kata Presiden Amerika Syarikat itu.
Sementara itu seorang warga Liberia Thomas Duncan yang kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Amerika Syarikat, mula menerima penawar yang masih diuji di Dallas.
Seorang lagi mangsa, wartawan video Amerika, Ashoka Mukpo, 33, boleh berjalan dari kapal terbang sebelum diusung dan dibawa dengan ambulans.
Bapanya berkata simptom demam dan pening kepalanya sudah semakin berkurangan.
"Seronok saya lihat mukanya hari ini," kata Dr Mitchell Levy, yang bercakap dengan anak lelakinya menerusi sistem perbualan video di Pusat Perubatan Nebraska.
Di Sepanyol, jururawat terbabit adalah sebahagian daripada anggota yang merawat dua mubaligh yang diterbangkan balik ke Sepanyol selepas dijangkiti Ebola di Afrika Barat.
Pegawai kesihatan berkata jururawat berkenaan hanya mengalami demam, tetapi jangkitannya disahkan menerusi dua ujian yang dilakukan ke atasnya.
Beliau dirawat dalam keadaan pengasingan, sementara pihak berkuasa menyenaraikan orang yang pernah mengadakan hubungan dengannya. - AP

Pegawai udara dihanyutkan ombak dikenal pasti

SELASA, 7 OKTOBER 2014 @ 10:56 AM

 
GEORGIA: Pangkalan Udara Robbins di sini sudah mengenal pasti anggota udara yang maut dan hilang selepas dihanyutkan ombak kuat berikutan taufan berhampiran Okinawa, Jepun, beberapa hari lalu.

Dalam satu kenyataan, pegawai pangkalan berkata mayat Sarjan James Swartz sudah dijumpai tetapi Sarjan Daniel Paschal dan Sarjan Joshua Schoenhoff masih hilang.

Pegawai pangkalan berkata Swartz adalah Superintendan Aeroangkasa dengan Sayap Kawalan Udara ke-116 'National Guard' Udara Georgia.

Pegawai udara terbabit dihantar bertugas sementara di Pangkalan Udara Kadena, Jepun dan sedang melakukan lawatan ke kawasan pantai apabila ombak kuat menghanyutkan mereka ke laut. - AP

Dua lagi mayat dijumpai di atas gunung berapi Jepun

TOKYO: Anggota penyelamat menjumpai dua lagi mayat di dalam debu gunung berapi di tengah Jepun hari ini, di mana sekurang-kurangnya 12 pengembara berjalan kaki masih hilang berikutan letusan yang mengakibatkan 51 orang maut.
Pegawai pengurusan krisis kerajaan wilayah Nagano berkata salah satu daripada mayat itu diangkut dengan helikopter tentera.
Stesen Penyiaran NHK berkata satu lagi mayat ditemui tetapi tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai keadaannya.
Adalah tidak diketahui sama ada kedua-dua mayat yang dijumpai itu adalah sebahagian daripada 12 orang yang masih hilang.
Satu gerakan mencari membabitkan kira-kira 1,000 anggota polis dan bomba meneruskan usaha untuk mencari awal pagi ini selepas terhenti selama dua hari akibat cuaca buruk.
Gambar dari udara menunjukkan anggota penyelamat mendapati sukar untuk berjalan dalam debu tebal bercampur air itu setinggi lutut.
Gunung Berapi Ontake setinggi 3,067 meter itu meletus tanpa sebarang amaran pada 27 September lalu ketika ramai pengembara berjalan kaki berada di atasnya. - AFP

Kapal minyak Vietnam dari Singapura hilang

SELASA, 7 OKTOBER 2014 @ 5:30 PM

 
KUALA LUMPUR: Sebuah kapal minyak Vietnam dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Singapura ke pelabuhan Quang Tri di Vietnam dan dikhuatiri dirampas.

Menurut Pusat Laporan Lanun Biro Maritim Antarabangsa, sehingga kini tiada perhubungan dilakukan dengan kapal MT Sunrise 689 sejak ia berlepas dari Singapura Khamis lalu.

Agensi Berita Vietnam berkata kapal itu adalah milik sebuah syarikat binaan kapal di pelabuhan utara Hai Phong dan membawa lebih 5,226 tan minyak dan 18 anggota kru.

"Nasib anggota kru dan kapal itu tidak diketahui," kata badan pemantau lanun itu yang berpusat di Kuala Lumpur.



Ia menggesa kapal yang melalui kawasan berkenaan supaya turut memantau kapal yang hilang itu dan melaporkan kedudukannya sekiranya ternampak. - AFP

Pemandu bas ditikam dengan pisau



Aisyamudin menahan kesakitan selepas ditikam beberapa kali oleh seorang penumpang di Relau, George Town semalam.


GEORGE TOWN – Seorang pemandu bas Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) terpaksa berdepan kesakitan hampir sejam setelah cedera ditikam di pahanya oleh seorang penumpang wanita dipercayai kurang siuman semasa dalam perjalanan di Bukit Paya Terubong, Relau di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, mangsa, Aisyamudin Yaacob, 27, terus rebah dan pengsan di tempat duduk penumpang akibat mengalami pendarahan teruk di paha kanan.
Difahamkan, mangsa baru setahun bekerja dengan syarikat bas berkenaan dan semasa kejadian dia baru memulakan perjalanan dari terminal bas di Jeti Pengkalan Weld ke Balik Pulau.
Ketika itu, terdapat seorang lagi penumpang dipercayai wanita warga Indonesia dan dia telah melarikan diri sebaik melihat tindakan suspek.
Menurut sumber, insiden berlaku selepas suspek yang berusia 40-an dipercayai naik angin setelah bas yang dipandu mangsa tadi tidak berhenti di hadapan rumahnya di Green Garden.
“Wanita tersebut menaiki bas dari pekan Air Itam dan semasa dalam perjalanan dia telah menekan loceng supaya pemandu tersebut menurunkannya di hadapan rumah.
“Namun pemandu bas berkenaan berhenti di stesen bas berhampiran, tidak jauh dari rumah wanita tersebut. Dia (wanita) yang berang terus menikam mangsa beberapa kali dipercayai dengan sebilah pisau sebelum turun dari bas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3FSkPmNjo 
Hakcipta terpelihara 

Rumah ahli perniagaan ditembak



Anggota forensik memeriksa bahagian tingkap yang terkena tembakan rambang.


AMPANG JAYA – Rumah teres dua tingkat milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditembak seorang penjenayah bermotosikal awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi semalam, tingkap rumah itu pecah akibat terkena tembakan yang dilepaskan suspek.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairulddin Saad ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki melepaskan beberapa das tembakan dari jarak kira-kira 20 meter di hadapan rumah mangsa.
“Kami belum mengenal pasti suspek kerana ketika melepaskan tembakan suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan topeng muka manakala rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tidak dapat merakam kelibat lelaki itu berikutan pemandangan dilindungi kenderaan milik mangsa. Bagaimanapun daripada keterangan saksi, suspek menunggang motosikal dan memakai jaket hitam,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3FSkIbWdi 
Hakcipta terpelihara 

17 MPV mewah terbakar


BEGINILAH keadaan sebahagian kenderaan pelbagai guna mewah yang terbakar di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 buah kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat di sebuah premis menjual kenderaan import terpakai di Batu 4 Jalan Ipoh dekat sini awal pagi semalam.
Antara model MPV yang musnah 100 peratus dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu termasuk jenis Honda Stream, Toyota Estima dan Toyota Wish yang ditempatkan di stor penyimpanan di bahagian belakang premis berkenaan.
Menurut kakitangan premis yang mahu dikenali sebagai Ahmad, ini merupakan kejadian kali ketiga dalam masa empat bulan pada tahun ini sejak premis itu dibuka dua tahun lalu.
"Kami syak ia dilakukan oleh kumpulan samseng di kawasan ini atas sebab-sebab yang kami sendiri tidak pasti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3FSk3UNKj 
Hakcipta terpelihara 

Tujuh kenderaan kemalangan akibat seekor lembu


7 Oktober 2014


KOTA BHARU - Tiga cedera dalam satu kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan di KM53.9 Jalan Machang-Kuala Krai, Machang hari ini.
   
Dalam kejadian 6.55 pagi itu, sebuah kereta dari arah Machang dikatakan cuba mengelak seekor lembu, sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dari arah Kuala Krai.
   
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Kamal Azural Mohamed berkata, lima kereta lain kemudiannya turut terbabit kemalangan selepas cuba mengelak kejadian itu.
   
Mereka yang cedera ialah penumpang SUV iaitu Hafizuddin Awang, 27, Tengku Hanani Tan Ibrahim, 29, dan Mukhsin Maliki, 29, yang kesemuanya kini dirawat di Hospital Kuala Krai, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
   
Sementara itu, Ketua Bomba Daerah Kuala Krai, Azman Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kemalangan itu pada jam 7.24 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
 
"Enam anggota kami ke lokasi kejadian, semua mangsa selamat dikeluarkan dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang ramai," katanya. - Bernama

Bakal pelatih Pusasda maut kemalangan


Anggota keluarga Mohamad Asmawi Hamdan 18, tidak dapat menahan kesedihan meratapi kematiannya yang terbunuh dalam kemalangan kemalangan di KM262.8 arah selatan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PULS) pada kira-kira jam 1 pagi tadi. - Foto Bernama
Anggota keluarga Mohamad Asmawi Hamdan 18, tidak dapat menahan kesedihan meratapi kematiannya yang terbunuh dalam kemalangan kemalangan di KM262.8 arah selatan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PULS) pada kira-kira jam 1 pagi tadi. - Foto Bernama
SEREMBAN - Seorang pemuda yang bakal mendaftar sebagai pelatih di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Km262.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) awal pagi ini.
Mohamad Asmawi Hamdan, 18, yang melambung sebelum terjatuh di atas jalan raya dan diseret kira-kira 50 meter oleh kereta sama, meninggal dunia di tempat kejadian.
Rakannya, Mohd Aid Aidil Salihin, 19, berkata ketika kejadian kira-kira 1 pagi itu, dia dan Mohamad Asmawai serta empat lagi rakan menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Senawang.
"Tiba-tiba sebuah kereta Proton Preve berwarna putih melanggar Mohamad Asmawi yang menunggang di sebelah saya. Ekoran itu, Mohamad Asmawi melambung ke udara sebelum dilanggar lagi oleh kereta yang sama. Semuanya berlaku sangat pantas dan saya hanya mampu tergamam," katanya kepada Bernama di tempat kejadian.
Beliau berkata rakannya itu yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik difahamkan akan mendaftar sebagai pelatih di Pusasda bulan depan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat.
Ketua Trafik Negeri Supt Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu. - Bernama

Ibu diseret 6 meter, anak dilibas dengan kelewang


Mek Che menunjukkan kesan tangannya selepas ditarik penyamun.
Mek Che menunjukkan kesan tangannya selepas ditarik penyamun.
JERTIH - Seorang warga emas dan anak perempuannya berdepan detik cemas apabila dilibas dengan sebilah kelewang oleh salah seorang daripada dua lelaki yang menyamun mereka di rumah di Kampung Lapan Kotak, dekat sini, Sabtu lalu.

Penyamun terbabit mengeluarkan senjata tajam itu selepas mangsa, Zaleha Awang, 42, bertindak melawan untuk mempertahankan gelang emas yang dipakainya.

Sementara ibunya, Mek Che Mat, 85, mengalami kecederaan di mulut, selain lebam di beberapa bahagian anggota badan selepas penjenayah terbabit bertindak menyeret Mek sejauh lebih enam meter dari dalam rumah mangsa sehingga ke luar rumah.

Menurut Zaleha, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila sebuah kereta jenis Honda berwarna kelabu yang dinaiki dua lelaki, berhenti di luar pagar halaman rumahnya.

Katanya, kemudian keluar seorang lelaki berpakaian agak kemas, berambut pendek dan berbadan gempal menghampiri pintu sisi rumah seolah-olah mahu bertanya sesuatu.

"Tiba-tiba dia cuba masuk ke dalam rumah, saya cuba halang dengan menutup pintu jeriji, tetapi lelaki itu kuat, jadi saya tak sempat kunci pintu.

“Lepas masuk ke dalam rumah, dia terus tarik gelang yang saya pakai, tapi saya melawan,” katanya.

Ketika kejadian, Zaleha berada bersama ibu, seorang anak perempuannya berusia 15 tahun dan anak lelaki serta seorang anak saudara masing-masing berumur 7 tahun.

Kelewang hampir kena kepala

Zaleha berkata, pada mulanya kedua anaknya turut melawan penjenayah terbabit, tetapi kemudian lelaki itu mengeluarkan sebilah kelewang lalu melibas ke arahnya.

Saat itu katanya, dia hanya terbayang kematian apabila lelaki berkenaan melibas beberapa kali senjata tersebut, menyebabkan dia berhenti melawan dan lelaki itu terus mengambil gelangnya.

"Tak lama lepas itu, rakannya pula masuk ke dalam rumah dan tarik gelang emas yang dipakai emak.

“Gelang di tangan emak tak putus, jadi penjenayah itu terus tarik menyebabkan emak saya terjatuh dan lelaki itu terus tarik hingga keluar rumah sehingga emak saya jatuh di atas anak tangga dan tersadung longkang, sebelum gelang dipakainya terputus,” katanya.

Zaleha yang berlari keluar rumah untuk membantu ibunya, sekali lagi dilibas dengan kelewang oleh lelaki pertama hingga nyaris mengenai kepalanya.

Selepas berjaya merampas dua gelang tangan yang dipakai kedua-dua mangsa bernilai kira-kira RM20,000, dua lelaki terbabit terus melarikan diri.

Zaleha kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek terlibat.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya berhati-hati ketika memakai barang kemas termasuk di rumah.

Beliau berkata, sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan dan memberkas kumpulan yang sering melakukan kegiatan samun dengan memilih mangsa daripada golongan warga emas dan wanita di daerah ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Pasangan warga emas nyaris timpa pokok


Keadaan rumah mangsa yang ditimpa pokok.
Keadaan rumah mangsa yang ditimpa pokok.
HULU BESUT - Keriangan 14 keluarga di dua kampung dekat Hulu Besut untuk menyambut Aidiladha bertukar tragedi apabila rumah masing-masing rosak dipukul ribut dalam kejadian, petang Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu membabitkan Kampung Alor Keladi dan Tanjung Alir.

Seorang penduduk, Halimah Abas, 67, berkata, ribut berkenaan nyaris meragut nyawa dia dan suami, Jusoh Yaacob, 69, apabila bahagian ruang tamu dan garaj hadapan rumah mereka ranap dihempap sebatang pokok tumbang.

Menurutnya, sebelum kejadian, hujan lebat disusuli ribut kuat menyebabkan dia cuba menarik suaminya yang lumpuh keluar dari bilik menuju ke pintu hadapan rumah.

“Memang setiap kali ribut kuat makcik akan tarik pakcik duduk dekat pintu depan rumah sebab mudah keluar kalau ada apa-apa berlaku, lagi pun makcik bimbang pokok durian yang berada berhampiran bilik suami makcik tumbang.

“Tapi syukur ALLAH masih pelihara kami berdua kerana kami tak sempat ke pintu itu apabila tiba-tiba sebatang pokok mangga tumbang lalu menghempap bumbung rumah kami yang jaraknya hanya beberapa meter dari kami,” katanya.

Halimah berkata, bunyi pokok tumbang yang menghempap rumah mereka memang kuat menyebabkan mereka berdua tergamam dan menangis.

Katanya, lazimnya dia tinggal bertiga di rumah itu termasuk seorang anak lelakinya, Zamri, 25, namun ketika kejadian, Zamri tiada di rumah.

“Saya bersyukur kerana selamat walaupun runtuhan hanya beberapa meter di depan mata,” katanya yang turut mengalami kerugian apabila sebuah Proton Saga Iswara yang berada di garaj di hadapan rumahnya rosak.

Dalam kejadian itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat atap diterbangkan angin.

Seorang lagi mangsa, Zulhisham Mohd Razali, 20, juga bersyukur kerana rumah peninggalan neneknya tidak mengalami kerosakan teruk walaupun dihempap sebatang pokok sentul dan ketika kejadian tidak ada orang di rumah.

Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad turut melawat rumah mangsa pada malam kejadian dan mengambil tindakan sewajarnya.

Pengedar dadah mati diserang di Tasik Gelugor


7 Oktober 2014


KEPALA BATAS - Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas diserang sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di kawasan ladang sawit di Pokok Machang, Tasek Gelugor di sini malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, mangsa, K. Arichandran, 34, mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas ditetak kumpulan lelaki terbabit yang menyerangnya.
   
"Polis menerima panggilan pada jam 12.50 tengah malam oleh seorang lelaki warga Myanmar yang memaklumkan rakannya mati selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian jam 10 malam.
   
"Pemeriksaan di tempat kejadian iaitu kawasan ladang sawit itu mendapati mangsa mengalami cedera parah dengan kesan tetakan di kepala, tangan kiri hampir putus akibat tetakan serta beberapa kecederaan lain di badannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Katanya menurut rakan lelaki yang turut dikenali sebagai Janggu atau Raja itu, mangsa yang menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan ke rumah rakannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki sebelum dia dipukul serta ditetak mereka hingga mati.
   
Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku akibat dendam berikutan mangsa gagal membayar hutang dengan beberapa kumpulan pengedar dadah.-Bernama

Maklumat pelantar minyak bawa penemuan CB204


WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Oktober 2014


Contoh model CB90 yang dilaporkan terputus hubungan dengan KD Paus ketika dalam perjalanan ke Pulau Layang-layang semalam. Contoh model CB90 yang dilaporkan terputus hubungan dengan KD Paus ketika dalam perjalanan ke Pulau Layang-layang semalam.
< 1 / 1 >
KUALA LUMPUR - Maklumat dari pelantar minyak milik Petronas ERB West melihat sebuah bot dalam keadaan bergelap sekitar jam 4.30 pagi semalam membawa kepada penemuan bot CB204 yang dilaporkan terputus hubungan di Gugusan Semarang Peninjau, Sabah kelmarin.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohammad Rosland Omar berkata, selepas mendapat maklumat itu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menggerakkan KD Lekiu, KD Serang, KD Ganas dan KD Paus bersama sebuah pesawat helikopter Super Lynx dan Maritim Malaysia menugaskan dua buah kapal, KM Mabul dan KM Berani bersama sebuah pesawat helikopter Agusta Westland AW139.

"Dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula telah membantu dengan penugasan pesawat udara B 200T selepas bot didapati hanyut ke arah utara pelantar.

"Akhirnya KD Ganas berjaya menemui dan merapati CB204 kira-kira jam 7.15 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, semalam.

Katanya, kesemua tujuh kru bot berada dalam keadaan keletihan tetapi sihat dan bersemangat.

"KD Lekiu telah diarah ke lokasi bot dan dijangka tiba 4 pagi tadi bagi menunda CB204 ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) sekiranya cuaca mengizinkan dan dijangka tiba esok.

"Kejayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini menunjukkan kerjasama erat dan profesionalisme pelbagai agensi, perkhidmatan dan syarikat awam yang membuahkan hasil penemuan bot CB204 dan krewnya dalam keadaan selamat," katanya lagi.

Kelmarin, bot tempur jenis CB90 itu yang dalam perjalanan dari PTKK ke Stesen Uniform TLDM itu terputus hubungan komunikasi kira-kira jam 1115 pagi selepas berlepas pada jam 5 pagi.

Bot CB 204 yang dilaporkan terputus hubungan pada 5 Oktober itu berjaya dikesan apabila KD Ganas dapat memintas panggilan kecemasan melalui Radio Maritim VHF saluran 16 sekitar jam 3 petang.

Bot CB 204 melaporkan melalui radio mengalami kerosakan jentera utama dan sistem kemudi dan berapung kira-kira 50 batu nautika timur Pulau Layang-Layang.

Remaja hilang dipercayai ikut teman lelaki


Kang Yee
Kang Yee
IPOH - ‘Saya keluar untuk bantu keluarga dan jangan risaukan keselamatan saya’. Itu nota ringkas yang ditinggalkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang hilang dari kediamannya di Kampung Tawas, sejak 29 September lepas.

Kehilangan Koy Kang Yee, anak bongsu dari dua beradik itu disedari abangnya, pada hari kejadian setelah menemui nota ringkas di bilik remaja berkenaan kira-kira jam 2 petang.

Ibunya, Peh Mee Yin, 37​,​ berkata, kejadian tersebut amat mengejutkannya ​kerana​ Kang Yee merupakan anak yang baik dan tidak pernah mendatangkan sebarang masalah kepada keluarga.

"Saya amat terkejut dan kecewa kerana tanpa diduga dia nekad meninggalkan rumah atas alasan untuk mencari kerja dan membantu keluarga," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Mee Yin, dia dan keluarganya juga telah berikhtiar menghubungi dan mencari Kah Yee di sekitar kawasan berhampiran namun tindakan itu tidak mendatangkan hasil.

"Selepas kehilangannya, hampir setiap hari saya menghubunginya namun tiada balasan.

"Saya juga ada bertanyakan tentang Kah Yee kepada rakan-rakannya, namun mereka juga tidak mengetahui di mana dia berada," katanya.

Ditanya sama ada Kah Yee mengikut teman lelakinya, ​Mee Yin berkata, dia tidak menolak kemungkinan berlaku perkara itu.

“Difahamkan dia pernah berkawan rapat dengan seorang lelaki tetapi saya tidak pasti sama ada Kah Yee bersama teman lelakinya itu atau pun tidak,” katanya.

Katanya, dia hanya berharap anak gadisnya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga kerana tindakannya itu hanya akan menghancurkan masa hadapannya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan awam dan pengaduan MCA Perak, Jimmy Loh Thim Kheun berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Kah Yee diminta menghubungi balai polis berhampiran.

"Atau pun kepada Sesiapa yang pernah terlihat Kah Yee boleh menghubungi ibunya di talian 010-3968616 atau pejabat MCA Perak di talian 05-2536981.

Beliau berkata, kerjasama daripada orang ramai juga amat diperlukan bagi memudahkan usaha untuk menjejaki dan mengenal pasti lokasi terkini Kah Yee.

"Selain memakai kaca mata, Kah Yee juga dilihat kali terakhir memakai baju T putih, berseluar panjang gelap dan membawa beg sandang," katanya.

Mekanik cedera ditetak ketika bersiar-siar


7 Oktober 2014


BESUT - Seorang mekanik berumur 18 tahun cedera setelah ditetak dengan senjata tajam oleh seorang individu tidak dikenali ketika bersiar-siar di Kampung Keluang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian pada jam 5.40 petang itu menyebabkan Muhamad Zuraima Zurhaini cedera di kedua-dua belah tangan kerana menepis senjata dihayun suspek itu.
   
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut oleh orang ramai sebelum dipindahkan ke Hospital Universti Sains Malaysia, Kubang Kerian," katanya pada sidang media di sini hari ini.
   
Khaled berkata, soal siasat polis terhadap mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Tanah, Kerandang dekat sini dan bekerja bengkel di kampung itu mendapati mangsa tidak mengetahui motif serangan tersebut.
   
Katanya usaha mengesan suspek dipergiatkan sebaik sahaja menerima laporan tentang kejadian yang dibuat bapa saudara mangsa.- Bernama

Pesara tentera dituduh menipu babitkan RM3,000


mahkamah
IPOH - Seorang pesara tentera hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu membabitkan wang sebanyak RM30,000, tahun lepas.
  
Nordin Ahmad, 52, dari Jitra, Kedah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
  
Tertuduh yang pernah bertugas sebagai Sarjan Udara dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia itu didakwa menipu Mohamad Firdaus Idris, 39, kononnya boleh mendapatkan projek membekal makanan bermasak kepada Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin di Juru, Pulau Pinang melalui Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
  
Perbuatan tertuduh kemudian mendorong Mohamad Firdaus memberi wang tunai berjumlah RM5,000 dan cek bank CIMB Islamic bernilai RM25,000 kepadanya sebagai wang pendahuluan projek tersebut.
  
Nordin didakwa melakukan kesalahan itu di PT 4159, Jalan Sultan Idris Shah, Lumut pada jam 4 petang, 14 Disember tahun lepas.
 
Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.
  
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
  
Madihah menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan passport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
  
Kes akan disebut semula pada 7 November ini. - Bernama

Banjir: Lapan sekolah ditutup


Orang ramai di Pekan Donggongon terputus hubungan akibat ditengelami banjir selepas hujan berterusan sejak dua hari lepas di Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai di Pekan Donggongon terputus hubungan akibat ditengelami banjir selepas hujan berterusan sejak dua hari lepas di Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU - Lapan sekolah di tiga daerah di Sabah ditutup akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak awal pagi semalam.  

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Jame Alip berkata sebanyak 3,400 murid terjejas akibat banjir di sekitar Kota Kinabalu, Papar, dan Kota Belud.
  
Beliau berkata lima buah sekolah di Kota Kinabalu yang terlibat banjir ialah SK St Cathrine, SK Gudon, SK Pulau Gaya, SK Rampayan dan SK Natai.
  
"Di Papar, ia melibatkan SK Tampasak Kinarut dan SJKC Kin Kiau manakala sebuah sekolah di SK Lasau Titapon, Kota Belud," katanya di dalam kenyataan di sini, hari ini.
  
Beliau berkata walaupun sekolah yang terjejas banjir itu ditutup sementara, namun masih terdapat beberapa sekolah di Penampang yang tetap meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.
  
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang Jamaludin Hussin berkata kira-kira 400 penduduk dari empat kampung sekitar Penampang dilanda banjir dan menjejaskan aktiviti harian penduduk di bandar raya ini.
  
Beliau berkata antara kawasan terlibat ialah Kampung Penampang Proper, Kampung Hungap, Kampung Tuavon dan Kampung Tanaki.
  
"Anggota bomba telah dikerahkan untuk membantu pelajar terbabit serta memindahan penduduk yang terlibat banjir yang rata-ratanya berpindah ke kediaman anggota keluarga yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka dan Pejabat Daerah Penampang telah membuka pusat penempatan sementara di Dewan Masyarakat Tun Fuad bagi menghadapi situasi banjir ini.
  
Katanya, setakat tengah hari ini paras air di Empangan Sungai Babagon  berada di paras bahaya 10 meter.
  
Sehubungan itu, katanya, pihaknya sentiasa memantau situasi banjir itu dan  penduduk yang terlibat dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil tindakan untuk berpindah sekiranya keadaan banjir semakin serius.  

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sekitar Penampang termasuk pekan Donggongon, pejabat dan jabatn kerajaan serta pusat membeli-belah turut ditenggalami air.
  
Sementara itu, Ketua Stesen Tanjung Aru, Amzah Mamat berkata satu jadual perjalananan kereta api dari Tanjung Aru ke Beaufort melibatkan lebih 100 penumpang dibatalkan pada 7.55 pagi tadi berikutan banjir yang melanda kawasan Kawang Papar.
  
Menurutnya, keputusan dibuat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) setelah menerima maklumat awal mengenai landasan kereta api dilanda banjir melepasi enam inci pada landasan. - Bernama

Aidiladha pilu bagi seorang ibu


RAHMAH Hussein tidak dapat menahan rasa sedih selepas kehilangan anak lelaki dan dua menantu serta tiga orang cucu serentak dalam kemalangan maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih di Rompin, Pahang, malam semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
ROMPIN 5 Okt. - Tiada apa yang paling menggembirakan bagi seorang ibu apabila dapat bersama anak-anak serta cucu meraikan sambutan hari raya bersama-sama.
Itulah juga diharapkan oleh Rahmah Hussein, 61, yang membuat pelbagai persediaan untuk meraikan sambutan Aidiladha kali ini.
Namun panggilan polis pada malam tadi 'meragut' kegembiraan itu apabila diberitahu bahawa salah seorang anaknya bersama dua menantu dan tiga cucu meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di Kilometer 142.8, Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih di sini.
Anaknya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Azhar Mat Ali, 43; isteri pertama Azhar, Zaliha Johar, 44; isteri kedua, Siti Habibah Kasbon, 43; anak Azhar, Mohd. Wazin, 20; Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 12, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Menurut Rahmah, sebelum kejadian kira-kira pukul 7.15 malam, Azhar ada memaklumkan kepada salah seorang adiknya bahawa dia telah sampai di Segamat selepas bertolak dari rumahnya di Pekan Nenas, Pontian, Johor.
"Namun kira-kira pukul 9 malam, mereka sekeluarga masih belum sampai menyebabkan makcik tidak senang duduk dan menyuruh seorang lagi anak menghubunginya tetapi tidak berangkat.
"Beberapa kali juga anak saya cuba hubungi tetapi gagal sehinggalah kira-kira pukul 11.30 malam, makcik ada menerima panggilan daripada pihak polis yang menyatakan mereka terlibat kemalangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Keratong 2 di sini hari ini.
Katanya, pada malam kejadian juga, adik-beradik Azhar sedang menunggu mereka sekeluarga untuk mengadakan acara barbeku.
"Banyak makanan istimewa disediakan seperti ayam panggang, kerang bakar serta laksa untuk menyambut kepulangan mereka.
"Makcik memang dah rasa tidak sedap hati. Dari siang lagi makcik tak lalu makan, berdebar-debar, rupanya itu petanda bahawa anak makcik bersama menantu dan cucu telah 'pergi' selama-lamanya," kata Rahmah.
Tambah beliau, ketika solat maghrib, dia mendoakan keselamatan perjalanan kesemua anaknya yang hendak pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha kali ini.
Dalam pada itu, anak sulung Azhar, Nadirah, 21, berkata, dia tidak mengikut bapanya pulang ke kampung kerana bekerja pada hari raya kali ini.
"Pagi semalam, ketika saya mahu keluar ke tempat kerja, saya ada berjumpa dengan ibu (Zaliha), tetapi tidak nampak sebarang perubahan padanya dan saya sempat bersalam dengannya sebelum keluar rumah.
"Ketika waktu rehat juga saya pulang ke rumah, dapat berjumpa dengan adik-beradik lain tetapi tidak sempat bersembang," katanya.
Menurut Nadirah, ketika keluarganya itu berangkat untuk pulang ke kampung dari rumahnya di Pekan Nenas, dia tiada di rumah.
"Memang sedih sebab tidak dapat berjumpa dengan keluarga untuk buat kali terakhir," katanya yang kini menjadi yatim piatu.
Kejadian pada pukul 8.05 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini.
Namun setibanya di tempat kejadian, MPV dipandu Azhar hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres.
Sebuah kereta, Perodua Myvi yang berada di belakang MPV tersebut cuba mengelak dan terbabas ke dalam longkang tetapi pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu bas dan seorang penumpangnya bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Segamat.
Jenazah Azhar, Siti Zaleha, Mohd. Wazin, Ain Nadiah dan Ain Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Keratong 2 manakala Siti Habibah dikebumikan di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141006/je_01/Aidiladha-pilu-bagi-seorang-ibu#ixzz3FSciReQp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemandu bas parah ditikam penumpang


AISYAMUDIN Yaacob menahan sakit sementara menunggu bantuan selepas ditikam beberapa kali oleh seorang wanita di Bukit Relau, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 6 Okt. - Demi peraturan dan keselamatan penumpang, seorang pemandu bas Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) di sini, hanya akan memberhentikan kenderaannya di tempat yang ditetapkan.
Bagaimanapun hari ini, tindakannya yang enggan memberhentikan bas di hadapan sebuah rumah menyebabkan seorang penumpang wanita berusia 40 tahun, berang.
Tidak cukup memarahi pemandu tersebut, wanita itu bertindak menikam paha kiri lelaki berkenaan sebanyak dua kali dipercayai dengan senjata tajam.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Aisyamudin Yaacob, 27, yang baru dua minggu bertugas sedang memandu bas itu dan melalui kawasan Bukit Relau di sini, pada pukul 5.45 pagi.
Suspek kemudian membunyikan loceng tetapi mangsa enggan memberhentikan bas berkenaan di hadapan rumahnya di Green Garden, sebaliknya terus menuju di sebuah perhentian berdekatan kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Seorang penumpang memberitahu, wanita berkenaan yang dipercayai kurang siuman lalu meninggikan suara dan dengan pantas menuju ke arah mangsa sambil mengeluarkan 'sesuatu' dari dalam begnya.
"Saya kemudian melihat, suspek menikam mangsa. Mangsa menjerit menyebabkan penumpang lain terkejut manakala bas pula dalam keadaan terhuyunghayang tetapi mujurlah kenderaan itu dapat dihentikan di tepi jalan.
"Suspek kemudian melarikan diri sejurus bas berhenti dan pintunya terbuka. Orang ramai segera membawa mangsa yang mengalami pendarahan ke hospital," katanya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Polis masih berusaha mengesan wanita terbabit yang melarikan diri sejurus kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141007/je_01/Pemandu-bas-parah-ditikam-penumpang#ixzz3FSbhB9Zr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita tikam pemandu bas ditahan


PULAU PINANG 7 Okt. - Polis menahan seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan kes menikam seorang pemandu bas Rapid Penang dalam kejadian awal pagi semalam di Bukit Relau, Paya Terubong.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Altathrash wanita berkenaan yang berusia 48 tahun ditahan di rumahnya di Paya Terubong kira- kira pukul 7.30 pagi tadi.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, wanita terbabit mengaku menikam mangsa yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141007/je_04/Wanita-tikam-pemandu-bas-ditahan#ixzz3FSbUSPlw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki masak mayat kekasih


SYDNEY 6 Okt. - Polis Australia hari ini memulakan siasatan berhubung satu kes pembunuhan selepas penemuan mayat manusia di dalam sebuah pangsapuri mewah di Brisbane, kelmarin.
Namun, polis enggan mengesahkan laporan yang mendakwa bahagian mayat itu telah dimasak di dapur rumah tersebut.
Pihak berkuasa pergi ke sebuah rumah di kawasan kediaman mewah di Brisbane pada malam kelmarin selepas penduduk membuat laporan mereka terhidu bau yang amat busuk.
"Pihak pengurusan prihatin dengan kebajikan penduduk. Sejurus tiba di sini, kami memulakan siasatan berkaitan dengan kes bunuh dan bunuh diri," kata Pegawai Penyiasat Inspektor Tom Armitt kepada media.
Polis telah memberikan beberapa butiran tentang kes itu dan mengesahkan bahawa mayat manusia ditemukan di dalam pangsapuri di Teneriffe, sementara mayat seorang lelaki dijumpai di sebuah lorong berhampiran kediaman tersebut.
Akhbar Courier-Mail di Queensland melaporkan, lelaki itu merupakan seorang tukang masak berusia 28 tahun yang bekerja di atas kapal persiaran dan baru-baru ini berpindah ke pangsapuri yang dimiliki teman wanitanya yang merupakan rakyat Indonesia.
Polis bagaimanapun enggan mengulas laporan media bahawa lelaki itu mengelar lehernya sendiri selepas melarikan diri dari pangsapuri itu atau mereka menemui bahagian badan wanita yang dimasak dalam sebuah periuk industri di dapur rumah berkenaan.
Pegawai forensik dilihat berada di lokasi kejadian, hari ini dengan membawa tong yang digunakan untuk menyimpan sisa perubatan dari pangsapuri tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141007/lu_09/Lelaki-masak-mayat-kekasih#ixzz3FSalgBB4
© Utusan Melayu (M) Bhd