Search This Blog

Sunday, October 5, 2014

Kanak-Kanak 7 Tahun Dipercayai Didera Bapa Dan Teman Wanita


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 7:53 PM

MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki berkenaan di sebuah rumah di Paya Rumput di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai kerap menjadi mangsa dera pasangan berkenaan berdasarkan kesan kecederaan lama dan baharu di seluruh belakang badan mangsa.
Beliau berkata, laporan berhubung kes dera kanak-kanak itu dibuat nenek angkat kanak-kanak tersebut yang juga tuan rumah yang diduduki keluarga mangsa, di balai Tanjung Minyak kira-kira 6.05 petang pada Selasa (30 September).
"Wanita itu mendakwa pasangan berkenaan kerap mendera kanak-kanak tersebut menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang selain ditumbuk serta dihentak kepala ke dinding," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata sehubungan itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 31 tahun, ditahan bagi membantu siasatan ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 2.30 petang Rabu (1 Oktober).
Raja Shahrom berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang biskut di Batu Berendam di sini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis manakala teman wanitanya dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama kerana menyusu anaknya berusia dua tahun.
Katanya, kanak-kanak perempuan mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, nenek angkat kanak-kanak itu berkata, teman wanita kepada bapa kanak-kanak itu merupakan anak angkatnya yang menumpang di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu.
"Tangan kanak-kanak itu berbalut simen ketika hari pertama tiba di rumah saya dan apabila ditanya mangsa dikatakan patah tangan akibat terjatuh tangga di rumah sewa mereka di Masai, Johor," kata tukang cuci di sebuah sekolah di Paya Rumput itu.
Dia mendakwa sering melihat kanak-kanak itu dipukul bapa dan anak angkatnya itu walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga mengakibatkan kecederaan di seluruh anggota badan.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani berkata, pasangan itu ditahan di rumah berkenaan kira-kira 12 tengah malam pada 29 September lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan Seksyen 54 enakmen sama kerana melahirkan anak luar nikah.
mstar

Dua Beradik Hilang Di Sungai Golok Belum Ditemui


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 4:58 PM
Operasi mencari dan menyelamat di Sungai Golok. Foto SAZUKI EMBONG / THE STAR

KOTA BHARU: Dua beradik yang lemas dalam kejadian bot terbalik di Sungai Golok pada Sabtu masih belum ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman berkata, sehingga pukul 4 petang tadi, kira-kira 100 anggota yang menyertai operasi itu masih gagal menemui Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10, dan adiknya Wan Nurhabib Naufal, 6.
Beliau berkata, operasi pencarian meliputi kawasan sepanjang tiga kilometer.
"Operasi akan dihentikan pada pukul 7 malam ini (Ahad) dan disambung esok (Isnin)," katanya kepada Bernama.
Mayat ibu mereka, Rosmiwati Zakaria, 37, ditemui pada pukul 5.45 petang Sabtu, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Anak beranak itu adalah antara 15 penumpang bot yang sedang pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand.
Rosmiwati merupakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Pahang sementara Wan Nurdiana Nadia merupakan murid Sekolah Kebangsaan Jerantut.
Bot itu terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu. Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing.
mstar

Nenek maut cuba selamatkan cucu


5 Oktober 2014


SANDAKAN - Seorang wanita warga emas maut dirempuh kereta apabila cuba menyelamatkan cucunya yang melintas jalan raya di Batu 2, Jalan Lintas Utara di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain berkata, dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Garatiah, 70, mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Duchess Of Kent di sini.
 
Zabidi berkata, cucu perempuan mangsa, Nurbayah Saptal yang berusia lima tahun turut mengalami cedera parah di kepala dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi di hospital sama.
 
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa sebuah kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah bandar Sandakan ke Batu 7 terlanggar kedua-dua mangsa yang berada di tengah jalan pada masa itu," katanya kepada Bernama.
 
Beliau berkata kemalangan berlaku apabila cucu Garatiah tiba-tiba berlari melintas dari kiri ke kanan jalan, kemudian disusuli oleh Garatiah yang cuba menyelamatkan cucunya sebelum kedua-duanya dilanggar.
 
Katanya kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh pemandu kereta berusia 30 itu.
 
Zabidi berkata, pemandu kereta itu, seorang lelaki telah membuat laporan polis berhubung insiden itu. - Bernama

Taska ditutup sementara susulan kematian bayi

AHAD, 5 OKTOBER 2014 @ 5:35 PM

 
PUTRAJAYA: Taska Permata Bonda di Presint 11 di sini yang diarah tutup sementara berikutan kematian seorang bayi berusia empat bulan kerana gagal mematuhi nisbah yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, kata Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Norani Mohd Hashim.

Beliau berkata, peraturan menetapkan nisbah pengasuh hendaklah 1:3 (seorang pengasuh : tiga kanak-kanak di bawah satu tahun), 1:5 (seorang pengasuh : lima kanak-kanak berumur satu tahun hingga tiga tahun) dan 1:10 (seorang pengasuh : 10 kanak-kanak berumur tiga tahun hingga empat tahun).

"Hasil siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati semasa kejadian hanya terdapat empat pengasuh yang menjaga 33 kanak-kanak di bawah umur empat tahun dan enam orang kanak-kanak transit yang melebihi umur empat tahun, berbanding sembilan pengasuh yang sepatutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selasa lalu, seorang bayi perempuan berusia empat bulan, Nur Imna Khalisa Muhd Zamri meninggal dunia di taska itu. Bayi itu ditemui dalam keadaan kaku dan kebiruan oleh ibu bapanya ketika hendak membawa pulang bayi mereka pada 5.45 petang pada hari berkenaan.



Beliau berkata, JKM juga mendapati bahawa pengusaha Taska Permata Bonda gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

Norani berkata, di bawah peraturan itu, setiap pengusaha perlu memastikan pengasuh yang dilantik wajib menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Permata dan lulus selama bekerja di taska masing-masing.

"Semakan mendapati empat pengasuh yang bekerja di Taska Permata Bonda pada hari kejadian masih belum menghadiri dan lulus kursus berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Norani berkata JKM dengan merujuk kepada Subseksyen 16 (1) (a) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308), melalui perintah secara bertulis mengarahkan premis itu ditutup sementara sehingga diberitahu selanjutnya.

"Tindakan JKM ini mengambil kira kepada risiko kanak-kanak lain yang masih berada di taska itu," katanya.

- BERNAMA

Tayar pesawat Boeing 737 pecah sebelum berlepas dari Los Angeles

SEPASANG tayar pecah ketika pesawat Aeromexico membawa 129 penumpang dan enam kru sedang bersiap untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, semalam. - Foto AP

SEPASANG tayar pecah ketika pesawat Aeromexico membawa 129 penumpang dan enam kru sedang bersiap untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, semalam. - Foto AP
LOS ANGELES: Sepasang tayar pecah ketika pesawat Aeromexico membawa 129 penumpang dan enam kru sedang bersiap untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, semalam.
Situasi mencemaskan itu memaksa juruterbang menghentikan kapal terbang itu serta merta tapi tiada kecederaan dilaporkan.
Tiada penumpang yang mengalami kecederaan dan semua diturunkan dengan selamat dari Aeromexico Flight 18 sebelum dibawa beberapa bas ke terminal.
Penumpang berkenaan kemudian mengambil penerbangan lain untuk berlepas ke Bandaraya Mexico.
Menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, sepasang tayar pada sebelah kiri pesawat Boeing 737 adalah puncanya.
"Pegawai NTSB tidak bercadang melakukan siasatan lanjut," kata jurucakapnya, Peter Knudson.
Sementara itu, pegawai dari Aeromexico tidak memberi ulasan segera manakala laporan awal Pentadbiran Penerbangan Kebangsaan menyatakan gear pendaratan sebelah kiri mengalami kerosakan.
Ia berlaku pada jam 6.30 pagi Sabtu dan landasan ditutup sementara sehingga pesawat berkenaan dipindahkan. - AP
BH

Kematian guru di Kundasang dipercayai dibunuh suspek dikenali

ORANG ramai berkumpul di lokasi kejadian seorang guru wanita, Masinah Samadi, 50, (gambar kecil) yang ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di ruang tamu rumahnya berhampiran kuarters penempatan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Kundasang, Ranau, Jumaat lalu. - Foto Cleo Will
KOTA KINABALU: Polis percaya kes kematian seorang guru sekolah rendah di Kundasang, Ranau pada Jumaat lalu berpunca daripada rompakan dan samun oleh suspek yang dikenali mangsa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya rumah mangsa dipecah masuk suspek yang dikenalinya sebelum membunuh mangsa.
"Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih disiasat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Aidiladha di Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi itu, Masinah Samadi, 50, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala dan badan di sebuah rumah berhampiran kuarters Sabah Electricity Sdn Bhd, Kundasang, Ranau.
Mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh suaminya yang baru pulang bekerja.
- BERNAMA
BH

Warga emas, anak disamun dua lelaki

AHAD, 5 OKTOBER 2014 @ 2:39 PM

 
BESUT: Dua beranak berdepan detik cemas apabila diacukan sebilah parang panjang ke dada sebelum disamun dua lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Kampung Lapan Kotak di sini, semalam.

Malah, kejadian itu turut menyebabkan ibu kepada pengadu yang juga seorang warga emas cedera dan patah beberapa batang gigi akibat ditarik ke luar rumah hingga terjatuh sebelum penyamun tanpa belas kasihan meragut barangan kemas milik mangsa lalu melarikan diri.

Ketika kejadian, Zaleha Awang, 42, bersama ibunya Mek Che Mat, 85, sedang mengemas rumah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna kelabu.

"Seorang daripada suspek itu meluru masuk ke dalam rumah dengan membawa sebilah kelewang panjang walaupun saya cuba menghalangnya daripada masuk," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.



Berikutan itu, terjadi pergelutan antara suspek dan mangsa hingga menyebabkan teman suspek yang menanti di dalam kereta turut naik ke rumah dan mengacukan kelewang di dada Zaleha sebelum meragut gelang tangan emasnya.

Zaleha berkata, ibunya pula ditarik suspek hingga ke tepi longkang rumah sebelum gelang tangan emasnya direntap dengan kasar hingga menyebabkan luka di pergelangan tangan manakala beberapa batang giginya pula patah akibat terjatuh ditarik suspek.

Katanya, kedua-dua suspek melarikan diri dengan dua utas gelang emas yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut,Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan kejadian dan berkata warga emas itu serta anaknya dibawa ke Hospital Besut untuk pemeriksaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini operasi mengesan kedua-dua penyamun itu sedang dipergiatkan.

- BERNAMA
BH

Mexico siasat kaitan 43 pelajar hilang dengan kubur besar

ANGGOTA polis berada di lokasi di mana mayat ditemui dalam sebuah kubur besar di selatan Mexico. - Foto Reuters
IGUALA DE LA INDEPENDENCIA, Mexico: Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada beberapa mayat yang ditemui dalam kubur besar di selatan Mexico adalah mayat 43 pelajar yang hilang selepas kejadian tembak dengan polis minggu lalu.
Lubang kubur itu ditemui di sebuah bukit di luar Iguala, bandar di mana pelajar berkenaan dilihat untuk kali terakhir dan saksi menyatakan polis tempatan membawa beberapa pelajar berkenaan.
Ketua Pendakwaraya Guerrero, Inaky Blanco, enggan menyatakan bilangan mayat yang ditanam dalam kubur besar di Iguala itu yang terletak kira-kira 200 kilometer ke selatan Bandaraya Mexico.
"Kami belum dapat menyatakan bilangan sebenar mayat. Kami masih menjalankan siasatan di lokasi," katanya pada sidang media di ibu negeri Chilpancingo.
Namun, dua anggota polis di lokasi memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 15 mayat sudah dibawa keluar dari kubur berkenaan yang dikawal anggota tentera dan polis.
Kubur berkenaan ditemui selepas beberapa daripada 30 suspek yang ditahan dalam kes berkenaan memberitahu lokasinya kepada pihak berkuasa.
Tahanan itu termasuk 22 anggota polis dan kumpulan samseng.
Jika benar mayat berkenaan adalah pelajar yang hilang itu, ia adalah pembunuhan beramai-ramai paling buruk yang pernah berlaku di Mexico selepas perang dadah memuncak pada 2006 yang menyebabkan 80,000 orang maut sehingga kini. - AFP
BH

Taufan Simon semakin mengganas di pesisir pantai Mexico

IMEJ satelit NOAA yang diambil semalam menunjukkan kekuatan Taufan Simon kira-kira 300 batu di barat daya Semenanjung Baja. Menurut Pusat Taufan Kebangsaan di Miami, kelajuan angin maksimum oleh Taufan Simon meningkat kepada 215 kilometer sejam semalam, menjadikan ia taufan Kategori 4. - Foto AP

MIAMI: Simon bertukar menjadi taufan utama di Pasifik, namun masih tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan di Miami, kelajuan angin maksimum oleh Taufan Simon meningkat kepada 215 kilometer sejam semalam, menjadikan ia taufan Kategori 4.
Bagaimanapun, peramal cuaca menjangkakan ia akan mulai lemah pada esok.
Pusat itu menyatakan, taufan berkenaan terletak kira-kira 640 kilometer di barat daya penghujung selatan semenanjung Baja dan bergerak ke barat laut pada kelajuan 17 kilometer sejam.
Simon dijangka menghasilkan sehingga 10 sentimeter hujan di bahagian tengah semenanjung dan di negeri barat laut Sonora.
Ombak besar yang terhasil oleh taufan berkenaan boleh menyebabkan nyawa terancam dan keadaan tidak menentu. - AP
BH

Askar Somalia tawan pelabuhan utama daripada militan Shebab

AHAD, 5 OKTOBER 2014 @ 4:53 PM

 
MOGADISHU: Askar Somalia yang dibantu tentera pengaman Afrika menawan semula pelabuhan utama terakhir daripada militan Shebab, menurut pegawai Somalia.

Pegawai tentera Somalia, Abdi Mire, berkata pihak tentera kini menguasai sepenuhnya Pelabuhan Barawe, 200 kilometer ke barat daya Mogadishu.

"Situasi adalah tenang dan anggota militan berkenaan melarikan diri sebelum pasukan tentera tiba di bandar itu," kata gabenor wilayah itu, Abdukadir Mohamed Nur.

Lelaki nyaris maut kereta dilanggar bas ekspres

AHAD, 5 OKTOBER 2014 @ 4:42 PM

 
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas dan dirempuh sebuah bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan selepas hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Toyota Avanza yang dipandu remaja berumur 21 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan.

"Pada masa yang sama, sebuah bas ekspres yang membawa 19 orang penumpang yang dalam perjalanan dari Kedah menuju Selangor, merempuh kereta berkenaan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas di bahagian kiri jalan," kata sumber polis.

Akibat kejadian itu, empat penumpang, pemandu bas dan pemandu kereta itu cedera ringan.



Jurucakap berkata, mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap sementara penumpang lain meneruskan perjalanan dengan bas lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan kemalangan itu.

- BERNAMA

Identiti tiga lagi mangsa nahas di Rompin dikenal pasti

REMUK ... Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi.

SEORANG ahli keluarga mangsa kelihatan sayu ketika melihat keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah. - Foto Luqman Hakim Zubir
ROMPIN: Identiti tiga daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi, sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2.
Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka, Azhar Mat Ali, 43, dan dua isterinya, Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).

REMUK ... Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi.
Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua) dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.
"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi ini di hospital berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Johari berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.

KEADAAN bas yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi.
Katanya, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena serpihan cermin bas kini dirawat di hospital sama.
Seramai 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
- BERNAMA

Dua beradik hilang si Sungai Golok belum ditemui

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan usaha mencari dua kanak-kanak yang lemas ketika menyeberangi Sungai Golok dari Pasar Mundok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Dua beradik yang lemas dalam kejadian bot terbalik di Sungai Golok semalam masih belum ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman, berkata sehingga jam 4 petang tadi, kira-kira 100 anggota yang menyertai operasi itu masih gagal menemui Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10, dan adiknya, Wan Nurhabib Naufal, 6.
Beliau berkata, operasi pencarian meliputi kawasan sepanjang tiga kilometer.
"Operasi akan dihentikan pada jam 7 malam ini dan disambung esok," katanya.
Mayat ibu mereka, Rosmiwati Zakaria, 37, ditemui pada jam 5.45 petang semalam, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Tiga beranak itu adalah antara 15 penumpang bot dalam perjalanan pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand.
Rosmiwati adalah pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Pahang sementara Wan Nurdiana Nadia adalah murid Sekolah Kebangsaan Jerantut.
Bot itu terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu.
Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing.
- BERNAMA

Disebat menantu baran


Oleh Ahmad Ismail

am@hmetro.com.my
Labis: Seorang wanita bukan saja ditumbuk di muka, malah turut disebat dengan besi kepala tali pinggang oleh menantunya yang naik berang selepas dia cuba menyelamatkan anak perempuannya yang mengandung lima bulan itu daripada terus menjadi mangsa belasahan lelaki itu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi kelmarin di sebuah rumah di taman perumahan di sini, apabila wanita berusia 57 tahun itu mahu mengambil anak perempuannya yang berusia 30 tahun itu selepas mengadu sering dipukul suaminya.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, anak mangsa mendakwa sering dibelasah oleh suaminya iaitu seorang pemandu lori berusia 31 tahun yang panas baran hanya kerana perkara dan kesilapan remeh.
Katanya, berikutan itu, wanita berkenaan ke rumah anaknya dengan hasrat mahu mengambil anak dan dua cucunya yang masih kecil kerana bimbang mereka menjadi mangsa kekasaran menantunya.
Bagaimanapun, katanya, ketika mahu beredar dari rumah berkenaan, menantu wanita itu muncul dan mempersoalkan tindakan membawa isteri dan anak-anaknya keluar dari rumah.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:18 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7946#sthash.4XeY9FCm.dpuf

Suri rumah kena ikat, penyamun ceroboh banglo


Kediaman mangsa yang diceroboh tiga lelaki bertopeng dipercayai warga Indonesia pagi tadi.
Kediaman mangsa yang diceroboh tiga lelaki bertopeng dipercayai warga Indonesia pagi tadi.
GEORGETOWN - Seorang suri rumah menghadapi detik mengerikan apabila banglo yang dihuni bersama lima anaknya diceroboh tiga lelaki bertopeng di Persiaran Sungai Emas 1, Batu Feringghi di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa tidur dalam bilik bersendirian didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong sayur.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu mengikat wanita berusia 37 tahun itu dengan tali pinggang anaknya sebelum menggeledah bilik berkenaan.

Menurut sumber, keterangan awal dari mangsa menyebut ketiga-tiga lelaki berkenaan mungkin berasal dari Indonesia berikutan bahasa pertuturan mereka.

Beliau berkata, mereka hanya mengikat mangsa manakala anak-anaknya tidak diganggu.

"Antara barang yang dlarikan ialah cincin berlian, rantai emas, subang emas, kamera, telefon pintar dan tabung," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya, mangsa dan anak-anak tidak cedera.

Ketika kejadian, anak pengadu sedang tidur dan tidak diganggu suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang.

"Pasukan forensik dihantar ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kediaman mangsa tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Unit anjing pengesan (K-9) juga digunakan untuk membantu menjejaki suspek," katanya.

Mior Farid berkata, mangsa mengalami kerugiaan kira-kira RM15,000.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sadis, enam sekeluarga maut


Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. - Foto ihsan IPD Rompin
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. - Foto ihsan IPD Rompin
MUADZAM SHAH - Enam sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Perodua Alza dinaiki keluarga berkenaan, bas ekspres dan kereta Perodua Myvi.

Katanya, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Kuantan itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Alza dinaiki tiga lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kereta itu kemudiannya merempuh bas ekspres dari arah bertentangan sebelum dilanggar kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Keriangan malam raya bertukar tragedi


5 Oktober 2014

DUNGUN - Keriangan suasana sambutan Aidiladha tahun ini bertukar tragedi buat sebuah keluarga di Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun apabila rumah mereka hangus terbakar malam tadi.

Che Osman Ahmad, 74, berkata, ketika kejadian kira-kira 9.30 malam, beliau sedang membakar lemang bersama-sama tiga anak dan menantunya di rumah anaknya yang terletak berhampiran rumahnya.

"Kami semua terdengar satu bunyi letupan yang kuat, saya menjengah untuk melihat dan tidak sangka ada kebakaran di satu daripada bilik di rumah kami ... semua tidak dapat diselamatkan.

"Pak cik sempat lari masuk ke dalam rumah dan capai beberapa dokumen penting saja sebelum api marak. Syukur tiada yang cedera," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian isterinya, Siti Jaharah Wok, 64, sedang bersendirian memasak di dapur bergegas keluar menyelamatkan diri manakala dua anak yang tinggal bersama mereka kebetulan tiada di rumah.

Menurutnya jentera Bomba dan Penyelamat hanya tiba selepas rumahnya rentung kerana rumahnya terletak jauh dari balai bomba terdekat iaitu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, kira-kira 50 kilometer.

Che Osman berkata, beliau menganggarkan kerugian keseluruhan kira-kira RM50,000.

"Pak cik percaya kebakaran ini berpunca daripada litar pintas dan buat masa ni pak cik sekeluarga tumpang tinggal di rumah anak. Pak cik anggap ini semua ujian ALLAH SWT untuk pak cik sekeluarga pada hari raya Aidiladha tahun ini," katanya. - Bernama

Nyaris maut dilanggar bas ekspres


5 Oktober 2014


NIBONG TEBAL - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas dan dirempuh sebuah bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan selepas hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap dekat sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi, apabila pemandu kereta Toyota Avanza itu yang berumur 21 tahun dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan basah lalu dia melanggar besi pembahagi jalan.

"Pada masa yang sama, sebuah bas ekspres yang membawa 19 orang penumpang yang dalam perjalanan dari Kedah menuju Selangor, merempuh kereta tersebut dan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas di bahagian kiri jalan," kata sumber polis.

Akibat kejadian tersebut, empat penumpang, pemandu bas dan pemandu kereta itu cedera ringan.

Jurucakap itu berkata mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap sementara penumpang lain meneruskan perjalanan dengan bas lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan kemalangan itu. - Bernama

Enam Dipercayai Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Di Rompin


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 7:15 AM
Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan enam maut dipercayai sekeluarga selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres Maraliner dan sebuah kereta Perodua Myvi.

KUANTAN: Enam sekeluarga yang dalam perjalanan pulang menyambut Hari Raya Aidiladha maut setelah Perodua Alza yang dinaiki di percayai terbabas lalu merempuh sebuah bas dari arah bertentangan dalam kemalangan diKilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin Sabtu malam. 

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu turut melibatkan sebuah kenderaan lain jenis Perodua Myvi.

Katanya setakat ini tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Azhar Mat Ali, 43, Zaliha Johar, 42, masing-masing dari Kampung Parit Pasir Lama, Pekan Nenas, Johor dan Siti Habibah Kasbon, 43, dari Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.

Tiga lagi mangsa belum dapat dikenal pasti, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan dari arah Segamat menuju ke arah Kuantan itu hilang kawalan.

"Kenderaan itu kemudiannya masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang tiada penumpang dari arah bertentangan," katanya.

Menurutnya, pada masa sama sebuah Perodua Myvi yang berada di belakang Perodua Alza itu tidak sempat mengelak dan turut terbabas di tepi longkang ditepi jalan berkenaan. 

"Pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. 
mstar

Kematian Remaja Perempuan 18 Tahun Penuh Misteri


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 10:02 AM
Pangsapuri Desa Mentari

PETALING JAYA: Kematian seorang perempuan berusia 18 menjadi tanda tanya selepas terjatuh dari Tingkat 15 di sebuah pangsapuri pada Sabtu.

Remaja tersebut yang dikenali dengan Gita, jatuh di atas bumbung sebuah kereta Proton Saga pada pukul 5.15 petang, namun masih bernyawa ketika itu.

Dia dilaporkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Salah seorang penduduk Pangsapuri Desa Mentari di Kampung Medan berkata, remaja perempuan itu ada memberitahu bahawa dia ditolak oleh seseorang dari tingkat 15.

Bagaimanapun, abang mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, Gita tidak mempunyai sebarang masalah.

Mangsa merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik dan meninggalkan sekolah menengah pada usia 13 tahun sebelum bekerja di sebuah kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassom berkata, pihak polis memerlukan lebih banyak maklumat sebelum mengklafikasikan kes ini sebagai mati mengejut atau kes bunuh.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan.
mstar

Tiga Lagi Mangsa Maut Kemalangan Di Rompin Dikenal Pasti


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 12:18 PM
Keadaan bas yang terlibat dengan kemalangan di Rompin Sabtu malam.

ROMPIN: Identiti tiga lagi daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Km142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah Sabtu malam sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2. 

Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka Azhar MatAli, 43, dan dua isterinya Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).

Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua) dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.

"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi Ahad di hospital berkenaan,"katanya kepada Bernama.

Johari berkata kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhardi Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk kelaluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.

Katanya seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena pecahan cermin bas kini dirawat di hospital sama.

Sebanyak 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan,katanya.
mstar

Keriangan Malam Raya Bertukar Tragedi Rumah Terbakar


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 3:12 PM

DUNGUN: Keriangan suasana sambutan Aidiladha tahun ini bertukar tragedi buat sebuah keluarga di Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun apabila rumah mereka hangus terbakar Sabtu malam.
Che Osman Ahmad, 74, berkata ketika kejadian kira-kira 9.30 malam, beliau sedang membakar lemang bersama-sama tiga anak dan menantunya di rumah anaknya yang terletak berhampiran rumahnya.
"Kami semua terdengar satu bunyi letupan yang kuat, saya menjengah untuk melihat dan tidak sangka ada kebakaran di satu daripada bilik di rumah kami ... semua tidak dapat diselamatkan.
"Pak cik sempat lari masuk ke dalam rumah dan capai beberapa dokumen penting saja sebelum api marak. Syukur tiada yang cedera," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian.
Menurutnya, ketika kejadian isterinya, Siti Jaharah Wok, 64, sedang bersendirian memasak di dapur bergegas keluar menyelamatkan diri manakala dua anak yang tinggal bersama mereka kebetulan tiada di rumah.
Menurutnya jentera Bomba dan Penyelamat hanya tiba selepas rumahnya rentung kerana rumahnya terletak jauh dari balai bomba terdekat iaitu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, kira-kira 50 kilometer.
Che Osman berkata, beliau menganggarkan kerugian keseluruhan kira-kira RM50,000.
"Pak cik percaya kebakaran ini berpunca daripada litar pintas dan buat masa ni pak cik sekeluarga tumpang tinggal di rumah anak. Pak cik anggap ini semua ujian Allah swt untuk pak cik sekeluarga pada hari raya Aidiladha tahun ini," katanya.
mstar

Kematian Guru Di Kundasang Dipercayai Dibunuh Suspek Dikenali


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 12:49 PM
Orang ramai berkumpul di kawasan perumahan mangsa bunuh di Kundasang Jumaat lau.

KOTA KINABALU: Polis percaya kes kematian seorang guru sekolah rendah di Kundasang, Ranau, pada Jumaat lepas berpunca daripada rompakan dan samun oleh suspek yang dikenali mangsa. 

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya rumah mangsa dipecah masuk suspek yang dikenalinya sebelum membunuh mangsa.

Bagaimanapun motif sebenar kejadian masih disiasat, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Aidiladha di Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, Masinah Samadi, 50, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala dan badan di sebuah rumah berhampiran kuarters Sabah Electricity Sdn Bhd, Kundasang, Ranau. 

Mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh suaminya yang baru pulang daripada kerja. 
mstar

Remaja Perempuan Lari Rumah Gara-Gara Telefon Bimbit


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 7:50 AM

ALOR SETAR: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun melarikan diri dari rumahnya kerana salah faham terhadap sebuah telefon bimbit.

Bapanya, Khor Ooi Seen,48, tidak dapat menahan kesedihan ketika sidang akhbar yang diadakan bagi mencari anaknya yang melarikan diri itu.

Ooi Seen yang bertugas sebagai pembantu dapur menangis ketika ketua Skuad Bantuan Bencana MCA (CRSM) Alor Setar, Daniel Tan membaca surat yang ditulis Yi Qian (gambar) sebelum melarikan diri pada 30 September lalu.

Remaja tersebut meminta maaf kerana melarikan diri, namun dia kecewa dengan keluarganya yang tidak memberi peluang kepada dirinya.

Yi Qian juga memberitahu bapanya bahawa dia akan pergi ke' satu tempat yang jauh' dan meminta keluarga agar tidak mengganggu kawan baiknya sepanjang kehilangannya itu.

Sambil mengesat air mata, Ooi Seen lebih banyak mendiamkan diri pada sidang media tersebut yang diadakan di Pekan China pada Sabtu.

Isterinya, N.Sithara Dewi,46, berkata, anaknya itu yang belajar di Tingakatan Empat mungkin melarikan diri selepas menganggap keluarga tidak mengendah untuk mengambil balik telefon bimbitnya yang dirampas oleh pihak sekolah pada 25 September.

Sithara berkata, dia telah pergi ke sekolah pada 28 dan 30 September untuk cuba dapatkan kembali telefon tersebut.

"Namun guru besar tidak ada di sekolah pada dua tarikh itu," katanya sambil menambah anak perempuannya itu menunggu seseorang sekitar pukul 7 malam di rumahnya di Taman Bahagia sebelum melarikan diri.

"Dia keluar menerusi pintu belakang selepas memeluk dan mengambil duit RM50 dengan kakaknya.

"Kami mendapati bajunya hilang dan sekeping surat untuk bapanya," tambah Sithara.

Mereka membuat laporan polis pada Khamis lalu.

Yi Qian merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik tidak menghubungi keluarga sejak hari itu.

Bapanya percaya, remaja ini masih berada di sekitar negeri ini.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja perempuan ini boleh menghubungi polis atau talian CRSM di 010-565 2011/2012/2013/2014.
mstar

Bayi 6 Bulan Maut Diserang Anjing


Diterbitkan: Ahad, 5 Oktober 2014 8:46 AM

SEORANG bayi perempuan berusia enam bulan maut selepas diserang seekor anjing ketika berada di rumah neneknya di Daventry, Northamptonshire, England pada Sabtu.
Polis Northamptonshire berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 Jumaat bahawa terdapat seekor anjing telah menyerang bayi perempuan dan melarikannya.
Polis yang berjaya mengesan anjing jenis pitbull tersebut kemudian terpaksa membunuh binatang berkenaan.
Ketika kejadian, ibu bayi itu dikatakan keluar dari rumah dan meninggalkan mangsa bersama neneknya.
Bagaimanapun anjing liar itu telah memasuki rumah tersebut dan melarikan bayi berkenaan dalam keadaan ngeri.
Sementara itu kejiranan di Daventry sebelum ini telah menggelar anjing berkenaan sebagai 'anjing syaitan' kerana sering menyerang binatang peliharaan lain.
Mereka juga tidak menyangkakan bahawa anjing liar itu akhirnya akan membunuh manusia dalam keadaan ngeri
mstar

Sambutan perayaan ragut 32 nyawa


Patna: Seramai 32 orang dilaporkan terbunuh kerana berasak-asak selepas tamat satu sambutan perayaan keagamaan di timur India semalam.

Ribuan pengunjung hadir ke sambutan perayaan Dussehra di bandar Patna mulai panik dan berebut-rebut meninggalkan lokasi selepas tersebar khabar angin berlaku kebakaran.


Ketua Polis Bihar, Gupteshwar Pandey berkata, mereka mendapat maklumat bahawa 32 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam kejadian berkenaan.

“Puluhan yang lain cedera parah akibat rempuhan,” katanya.


Pengunjung dikatakan mula keluar dari lokasi sambutan di Gandhi Maidan selepas selesai upacara membakar patung gergasi Ravana dalam sambutan bagi merayakan “kemenangan kebaikan mengalahkan kejahatan.” Seorang saksi berkata, ada yang menjerit memberitahu wayar elektrik di situ terbakar. “Sebaik mendengar berita itu, orang ramai mula panik dan saling tolak-menolak untuk keluar menyelamatkan diri.


“Keadaan itu menyebabkan sebahagian pengunjung terjatuh sebelum dipijak orang lain,” katanya.

Majistret daerah, Kumar Verma meletakkan jumlah kematian antara 20 hingga 25 orang dan menyatakan mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan.


“Melalui maklumat yang kami dapat, kebanyakan mangsa adalah wanita. Lima hingga enam orang daripadanya kanak-kanak dan kira-kira 20 wanita terbunuh manakala 15 lagi cedera,” katanya. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

PBB: Segera kesan 43 pelajar hilang


Chilpancingo, Mexico: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pihak berkuasa melancarkan operasi mencari lebih efektif bagi mengesan 43 pelajar yang hilang selepas insiden berdarah minggu lalu.

Kejadian yang menyaksikan polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan itu turut disifatkan sebagai “satu daripada kejadian paling buruk masa kini”.


PBB mulai campur tangan selepas keluarga mangsa mengkritik usaha mencari dijalankan kerajaan dan bertemu dengan pegawai kementerian dalam negeri bagi merayu siasatan lebih serius di peringkat persekutuan diadakan di wilayah Guerrero yang bergolak.

Saksi memberitahu, polis di bandar itu dilihat mengheret pelajar ke dalam kenderaan polis selepas melepaskan tembakan ke arah bas yang dirampas sekumpulan anak muda di Iguala pada 26 September lalu.


Tiga pelajar terbunuh dalam kejadian itu manakala tiga lagi terbunuh dalam serangan bersenjata ke atas bas satu pasukan bola sepak di pinggir bandar berkenaan.


Pihak berkuasa sudah menahan 22 anggota polis berhubung kes tembakan itu.

PBB menggesa kerajaan negara Mexico merangka dan mengambil semua langkah yang perlu bagi melancarkan operasi mencari yang lebih giat dan berkesan.


Mereka juga mendesak penculik untuk mengembalikan kumpulan pelajar berkenaan dalam keadaan selamat serta meminta kerajaan mengambil tindakan bagi memastikan pelanggaran hak asasi manusia seperti yang dilaporkan, tidak berulang lagi.



Setakat ini, badan hak asasi manusia PBB sudah menghantar wakil ke wilayah berkenaan dan menghubungi mangsa, keluarga serta pihak berkuasa tempatan.


Kejadian berkenaan berlaku selepas tiga tentera negara itu dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai berikutan hukuman mati ke atas 22 suspek dadah di selatan ibu negara Mexico.


Menurut pelajar di kolej latihan perguruan berhampiran Chilpancingo itu, mereka datang ke Iguala untuk aktiviti mengumpul dana dan diserang ketika dalam perjalanan pulang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Lanyak anak macam hamba


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dipercayai menjadi mangsa dera bapa dan teman wanita lelaki itu dekat Alor Gajah di sini, 29 September lalu.

Dipercayai dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa di pukul menggunakan getah paip serta kepala dihentak pada kerusi oleh kekasih bapanya dan lelaki itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 36 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kira-kira jam 2.30 petang, Rabu lalu.

"Mangsa dipercayai kerap dipukul kedua-dua suspek menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang malah pengadu juga mendakwa pernah melihat mangsa ditumbuk dan kepalanya dihentak pada dinding.

Foto
KESAN calar akibat didera di bahagian belakang badan mangsa. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan


"Suspek lelaki ditahan reman enam hari sehingga Selasa depan manakala suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama kerana menyusukan anak kecil" katanya ketika dihubungi.




Menurutnya, mangsa kini dirawat di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Sempat minta maaf


Kuala Kangsar: “Saya sempat meminta maaf dengan ibu selepas melihat keadaannya. Ibu yang tenat sempat memberitahu dia sudah memaafkan semua kami adik-beradik dan turut meminta maaf kepada kami,” kata Yusriman Roslan, 22.
Yusriman ialah pemandu kereta Proton Saga BLM yang dirempuh sebuah treler dalam kemalangan jalan raya membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 256, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini, semalam. 
Dalam nahas jam 11.40 pagi itu, Norhayati Wook, 50, dan anaknya, Siti Yuslianis Roslan, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan. Abangnya, Yusrizal, 25, parah, manakala adiknya, Siti Yusliana, 12, cedera ringan. 

Menurut Yusriman, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Rawang, Selangor untuk balik ke kampung di Lenggong, Perak bagi menyambut Aidiladha.
Foto
DUA maut, seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah lori di KM 256 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Utara berdekatan Terowong Menora dekat Ipoh.

Katanya, dia yang terkejut terdengar dentuman kuat akibat rempuhan lori itu hanya mampu menjerit manakala keretanya pula diheret ke kanan jalan.



Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05